Home Cerpen Seram/Misteri Langsuir Tenggek Malam
Langsuir Tenggek Malam
Diq Na
15/6/2023 10:01:29
1,820
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Mentari yang jatuh ke perdu langit dua jam lalu masih meninggalkan hawa panas. Sudah tiga hari berturut-turut suhu di tanah kelahiran ayahnya mencecah 37 darjah celsius.

            Linda bersantai-santai di kerusi goyang rotan antik peninggalan arwah datuk. Mudah-mudahan duduk di situ dapat mengurangkan stres rentetan bahang yang meruap di dalam rumah papan pusakanya. Dia masih ingat, ketika hayat Tuk Chad, kerusi itu digunakan kala menonton televisyen.

            Kalau drama yang tersiar, riuhlah mulut Tuk Chad mengomel seiring dengan perjalanan cerita. Datuknya itu paling suka filem tamil. Sekiranya keluar adegan pergaduhan, kaki dan tangan pun naik sekali. Bertentangan pula andai ceramah agama atau berita. Dia akan ralit mendengar apa yang disampaikan.

            Seakan mengulangi masa silam yang pernah dilewati, itulah yang dilakukan oleh Linda sekarang. Televisyen terpasang sayangnya apa yang tersiar gagal menarik minat mata. Entah mengapa dia merasakan siaran televisyen dewasa ini tidak seseronok zaman membesar. Semua diulang berkali-kali hingga jelak. Bosan dengan apa yang dilihat, dia capai alat kawalan jauh dan tekan butang tutup. Aman dunia.

            Linda mendongak ke siling rumah. Kipas memutar laju namun tebaran angin tetap gagal membendung kehangatan di malam pertengahan musim El Nino. Alangkah bagus sekiranya ada penyaman udara.

            Sudah seminggu Linda sekeluarga berpindah ke kampung. Perkara pertama yang dilakukan oleh ayahnya sebaik jejak di kampung adalah membeli penyaman udara. Malangnya tauke kedai memberitahu proses pemasangan mengambil masa kerana mengikut giliran. Maklumlah barang itu satu keperluan penting di musim panas sebegini. Dua kedai mereka pergi. Jawapan tetap sama. Suka atau tidak, mereka terpaksa akur.

            “Linda oi… kain baju kamu dekat luar lagi. Nak tunggu segala embun jantan betina turun ke apa. Orang dulu-dulu pantang kalau berjemur sampai malam. Nanti hantu setan tumpang bersidai sekali. Main-mainlah.”

            Salur ingatan Linda bagaikan menerobos dinding, ternampak-nampak pakaian yang bergantungan di ampaian. Sesudah asar tadi dia memang hendak mengangkatnya. Memandangkan mentari masih memancar terik, ditambah lagi keadaan pakaian yang panas bagaikan disalai cahaya, dia sekadar menarik ampaian beroda itu ke bawah kawasan beratap yang sering digunakan untuk aktiviti memasak jikalau sanak saudara berkumpul. Nanti bila hari sudah teduh barulah dibawa masuk. Alih-alih, langsung terlupa.

            “Linda, dengar tak ni? Ai, takkan dah tidur kut. Baru sangat lagi aku dengar suara  Asha Bhosle menyanyi dalam TV tu. Ini mesti dia dengar lagu dalam telefon pakai earphone. Tunggulah, kejap lagi aku naik.”

            Enggan membiarkan ibunya terus berprasangka yang bukan-bukan, Linda mengheret kaki menuruni dapur. Si ibu yang baru hendak mendaki tangga terus mati langkah.

            “Dengar pun dia.”

            “Apa yang sesak sangat mak. Bukan ke kain baju tu bawah atap duduknya. Bila masa rumah Tuk Chad ni ada ampai luar rumah. Lepas kena sondol dengan kereta sport Mat Yan tiga tahun dulu mana pernah tegak lagi tiang ampai tu.”

            “Bawah atap, tak bawah atap. Selagi mana di luar rumah, tetaplah tertakluk di bawah terma dan peraturan pantang larang, faham.”

            Linda bermalas-malasan di meja makan pula. Musim panas sebegini, segala kerja yang hendak  dilakukan menjadi berat belaka. Mata meliar ke serata dapur tetapi pandangan terus kosong.

            “Kamu ni macam tak suka aje duduk di kampung. Semenjak kita pindah, tak pernah nampak pun senyum. Mencuka memanjang.”

            “Dah abah tu tetiba nak balik ke kampung. Suka tak suka, kita dah pindah pun.”

            “Apa ingat kamu sorang yang tak suka. Mak ni pun tak berapa rela juga sebenarnya. Yalah, bukan senang nak tinggalkan jiran yang sekepala. Petang-petang membawang tepi parit. Hujung minggu buat makan-makan. Kenyang makan-makan, berzumba ramai-ramai. Tapi nak cakap apa lagi. Dah kehendak abah, ikutkan sajalah.”

            “Patutnya kita janganlah balik dulu. Biar abah sorang uruskan rumah baru. Tapak rumah pun hutan lagi. Nak tolak tanah, urus itu ini, makan bulan-bulan juga. Pengajian Linda baki setengah tahun. Cuti akhir tahun pun enam bulan lagi. Tak pasal-pasal Sam kena tukar sekolah. Paling kasihan Kak Tiha, terpaksa cari pengasuh Aiman dan Ika. Mujurlah Cik Zah jiran sebelah nak jaga. Abang Am aje yang tak kisah sebab dia kerja di Johor.”

            “Mana boleh biarkan abah terkontang-kanting sorang diri. Mak long cakap, bekas kekasih lama dia si Jenab Habib tu menjanda sekarang. Suaminya baru meninggal tiga bulan lepas. Buatnya cinta lama berputik semula, raban kita anak…”

            “Ya ke? Jangan-jangan abah beria sangat nak duduk sini pun sebab itu tak?”

            Mata ibunya menadah siling. Fikiran wanita pertengahan 50-an itu seakan menerawang, memikirkan andaian Linda tadi. Diskusi mereka terus terjeda.

            “Dahlah, malas fikir banyak-banyak. Bab abah, kalau betul, tahulah mak nak buat apa nanti. Mak naik solat isyak dulu. Kamu kalau nak makan, dah siap kemas meja ya. Kejap lagi abah balik masjid. Dia memang tak boleh tengok meja bersepah. Jangan kata setitik kuah, seekor semut merayap pun boleh angin satu badan. Kain baju di luar jangan lupa angkat. Dah dua kali menyebut ni.”  

            Linda terus selak tudung saji apabila tersedar yang dia sudah seharian tidak menjamah nasi dengan alasan diet. Terhidang di situ gulai lemak daging rampai dengan rebung, sambal mangga kampung, ulam petai dan ikan masin goreng. Memang menu kegemaran ayah.

            Walaupun lauk sudah memancing selera, Linda membuat keputusan untuk memasukkan baki kebaya dan kain batik arwah Nek Piah yang belum dibasuh. Kesemuanya akan diberikan kepada Cik Yam, orang asli yang telah menolong mereka mengemas rumah beberapa hari lalu. Kemudian dia mahu mengambil pakaian di ampaian pula.

            Bukanlah hendak percaya sangat dengan apa yang dimomokkan oleh ibunya tadi. Tipulah juga kalau tidak menjalar naluri takut terutama pabila memikirkan belukar tebal yang bersambung dengan pinggiran hutan tidak jauh dari rumah. Lantaran di kampung rumahnya jarak-jarak maka cahaya lampu juga terhad. Memikirkan semua itu, dia memilih untuk menyudahkan apa yang tertangguh.

            Linda masuk ke ruangan berdinding separa batu dan separa jaring. Di situlah, semenjak arwah datuk dan nenek masih ada dijadikan tempat meletak mesin basuh. Terdapat juga kawasan berlantai rendah yang dikhususkan untuk membasuh pakaian secara manual dan mencuci periuk belanga bersaiz besar sewaktu berhimpun ramai-ramai.

            “Jangan basuh…”

            Linda seakan terdengar suara bisikan sebaik memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Dia memandang ke dinding berjaring di sisi kiri. Bisikan seakan muncul dari arah itu tetapi tiada apa yang kelihatan. Mungkin dia tersilap dengar lalu diabaikan sahaja.

            Linda meneruskan kerja-kerja membasuh dengan memasukkan sabun pula. Belum sempat menutup mesin basuh dia disapa bunyi seretan sesuatu di atas lantai simen di luar rumah.

            “Linda, jangan basuh…”

            Suara bisikan itu hadir lagi. Kali ini Linda amat yakin dia tidak bermain dengan perasaan kerana namanya turut disebut dengan jelas. Lalu dia pun merapati dinding berjaring dan menjenguk-jenguk ke luar.

            “Siapa tu?”

            Linda memberanikan diri bertanya tetapi tiada jawapan balas. Lama juga dia tercegat di situ. Ternyata tiada apa-apa yang mencurigakan dan mengganggu sorot mata selain gelap malam. Entah-entah pemuda kampung yang mencuri peluang untuk berkenalan dengannya.

            Maklumlah, anak gadis yang baru berpindah memang menarik perhatian ramai. Bukan orang muda sahaja. Semalam sewaktu membeli sarapan di warung Dol Said kawan lama ayah, orang-orang tua pun ramai yang bertanya. Molek dijadikan calon menantu, seloroh mereka.

            “Main sembunyi-sembunyi konon. Ingat zaman piring hitam ke, baling batu tepi tingkap nak mengorat anak orang. Kalau berani keluarlah, tak pun jumpa abah aku terus.”

            Linda mencabar tanpa mengira siapa yang sedang berselindung di sebalik pekat malam itu. Telinga memerangkap suara ketawa mengekek di tepi dinding. Dia sangat cam suara itu. Hati naik panas seiring dengan udara hangat di sekitarnya.

            “Jangan sampai aku dapat kau Sam. Siaplah kau nanti.”

            “Tak mudah lah kau kak. Belajar pun tak habis lagi, dah sibuk-sibuk nak berlaki. Merenyam betul. Nanti aku kasi tahu abah.”

            “Aku ni nak gred enam bulan lagi okey. Bukan masalah besar pun mencari laki. Kalau kau tu yang nak jadi laki orang baru betul merenyam.”

            “Tak, sekarang ni aku nak tegur kau sebenarnya. Mana boleh membasuh malam-malam. Nanti langsuir tumpang basuh sekali.”

            “Setahu aku tak boleh jemur kain malam-malam. Takut hantu setan tumpang bersidai. Tak pernah dengar pun orang menyebut tak boleh membasuh malam-malam. Sedap mulut kau aje menambah pantang larang sedia ada.”

            “Betul ada, percayalah.”

            “Dah kenapa si langsuir tu nak tumpang basuh sekali?”

            “Sebab gaun putih langsuir tu kotor pakej dengan bau hapak. Dia nak minta tolong orang yang tengah membasuh tu basuhkan sekali. Ha ha ha… lari!”

            “Hoi, bawa sekali langsuir kau tu masuk bilik. Tak kelakarlah!”

            Sam menyambung ketawa sambil mengatur gerak dengan laju ke depan rumah. Di tepi dinding berjaring itu, Linda diserang tanda tanya.

            “Langsuir? Setahu aku yang pakai gaun putih pontianak. Langsuir dengan Pontianak tak sama  ke? Tipulah Sam. Hai langsuir, mari kita membasuh sekali. Hari panas-panas ni, kain baju cepat kering.”

            Enggan terus memikirkan perbezaan antara dua hantu yang cukup terkenal itu, Linda menyambung kerja-kerja membasuh. Kemudian dia ke ampaian pula. Satu demi satu pakaian memenuhi bakul.

            Dia hampir-hampir mencapai sidaian terakhir namun mata menangkap kekotoran yang melekap pada kain rona putih itu. Hidung turut kembang kempis kerana terhidu bau yang sungguh meloyakan. Ini mesti Sam yang cuba membuat onar lagi.

            “Tolong basuh…”

            “Kalau ya pun nak suruh aku basuh,letaklah dekat mesin basuh sana.”

            “Tolong basuh…”

            “Sam, mana kau? Tahu menyorok. Takutlah tu. Habis berlumpur jubah Mekah Tuk Chad. Kau pakai main bola ke apa? Ni kalau Nek Piah hidup lagi, dengan kau sekali dia renyuk dalam mesin basuh.”   

            Linda yang bengang dengan perbuatan Sam segera merentap kain putih yang dicemari kekotoran. Tindakan itu disusuli dengan bunyi berdebuk yang kuat di atas lantai simen. Dia memandang ke arah benda yang jatuh tidak jauh daripadanya.

            Alangkah terkejut Linda apabila terdengar bunyi mengilai. Secepat kilat juga benda yang menyerupai lembaga berwajah ngeri dan berpakaian putih comot itu bangun seraya melompat semula keatas palang ampaian.

            “Mak, ada hantu sidai kain!”

            Akibat terlampau takut, Linda pengsan serta-merta. Lembaga itu pula deras terbang dan hinggap di sebatang pohon durian yang sedang berbuah lebat tidak jauh dari situ. Sambil bertengger di dahan, matanya terus galak memerhati kekecohan yang berlaku di rumah pusaka itu.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.