Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Tamat
ROMZIE & JURIAH A Go Go Cinta 67 Tamat
Diq Na
21/12/2020 13:01:49
284
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Padang Kota Lama, dua minggu kemudian…

            Menjauh, kubawa langkah ini pergi

            Kerna tiada kekuatan lagi

            Usah ditanya ke mana destinasi

            Aku mahu menyendiri

            Memujuk lara jiwa dan hati…

            Kalaulah Romzie yang sedang berdendang ketika ini. Kalaulah The Rhythm Night yang beraksi di pentas sana. Kalaulah kolaborasi Romzie, The Rhythm Night dan Tuan Mansor yang bertajuk Senandung Cinta itu sehebat Menjauh, alangkah bagusnya.

            Kalaulah gelaran juara itu milik mereka. Kalaulah… sayangnya tidak!

            Alunan suara M Arip yang mersik bersama iringan muzik The Famous bagaikan mengejek-ejeknya. Selaku penyandang juara Kugiran Pop Yeh Yeh 67, mereka diberi penghormatan untuk berdendang semula.

            Apa yang hendak dikata lagi. Juriah tekup kedua-dua belah telinga. Dia tidak sanggup mendengar. Punah! Hati, harapan, impian, pelamin anganannya… semua hampir pasti tinggal kenangan. Yang tersisa hanyalah kehancuran.

            Juriah meneriak sekuat hati, mahu melepaskan tekanan yang mengunci diri. Bagaimanapun, suaranya tenggelam dalam bingitan muzik dan sorak-sorai peminat The Famous.

            Lagu Menjauh ciptaan M Arip sepenuhnya. Sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada The Famous. Bakat seni M Arip diserlahkan lagi dengan kemantapan kugirannya bermain muzik. Namun The Rhythm Night juga tidak kurang hebat. Persembahan mereka menarik, memukau penonton dan mendapat tepukan gemuruh. Persaingan sangat sengit. Peluang untuk kedua-duanya bergelar juara setara. Namun apakan daya, para juri sebulat suara memberi tempat naib juara kepada The Rhythm Night.

            Seperti mana bait-bait lagu yang berjaya menawan hati para juri, Juriah juga mahu menjauhkan diri. Tiada faedahnya dia tercegat di situ lagi. Keberadaannya hanya akan menambahkan lagi parah luka di dada.

            “Tunggu Juriah, kita bincang dulu.”

            Juriah menoleh ke kiri. Romzie cuba menghampirinya, mencelah-celah di antara ratusan penonton yang masih belum berganjak menyaksikan persembahan penutup Juara Kugiran Pop Yeh Yeh 67. Dia tidak berminat untuk membuat perhitungan lagi. Malahan, wajah Romzie juga tidak mahu dilihatnya. Dia benar-benar kecewa.

            Juriah mengatur langkah, menjarakkan diri. Sekali lagi namanya diseru. Padang Kota Lama yang masih sesak membuatkan pergerakan terbatas. Tahu-tahu Romzie sudah berdiri di sebelahnya.

            “Kau mahu apa lagi? Rasanya tiada apa yang perlu dibincangkan. Sudahlah Romzie, aku penat. Mulai malam ini, kita putus. Kau pilihlah jalan mengikut kemahuanmu.

            “Janganlah begitu. Aku sudah mendapat sebahagian wang belanja hantaran. Sebahagian lagi akan aku usahakan, percayalah. Kita masih punya masa sehari lagi.”

            “Sudah lama aku memberi kepercayaan itu tetapi apa yang aku dapat akhirnya. Kau memang manusia yang tidak mahu berubah dan sikap itu takkan berubah sampai bila-bila. Pergilah Romzie, lupakan saja aku. Biar aku teruskan hidup mengikut jalan yang sudah ditetapkan untukku.”

            Juriah tidak larat mendengar lagi. Dia sudah jelak dengan janji-janji manis Romzie. Patah arang. Putus sudah kasih sayang. Keputusan muktamad. Juriah tidak mahu tertipu lagi. Dia berlari meninggalkan Romzie. Sesekali terlanggar orang ramai tetapi apa dia peduli. Menjauhi Romzie, itu yang lebih utama.

            “Hai Romzie, kasihan sungguh melihat kau. Aku tahulah yang kau tiada wang tetapi aku benar-benar tidak sangka yang kau memang tidak punya wang simpanan langsung.”

            Dia terdengar Hassan menyindirnya. Entah dari mana teruna kampung sebelah itu muncul, menambahkan lagi ribut perasaan. Hasratnya untuk mengejar Juriah terbantut. Tatkala terpandang Hassan, dia merasakan amat perlu berdepan dengan teruna berlagak itu.

            “Jadi kau sukalah Hassan. Boleh masuk meminang Juriah pula. Oh, tidak! Langkah mayatku dulu kalau kau ada menyimpan hasrat itu. Ini Romzie, tidak semudah itu kau boleh merebut Juriah dari tanganku.”

            Alunan muzik terhenti. Penonton yang hadir bertepuk tangan sambil bersorak. Maka tamatlah sudah pertandingan Kugiran Pop Yeh Yeh 67 yang gilang-gemilang.

            “Acara sudah selesai. Kita beradu kekuatan sekarang. Jantan sama jantan. Kalau kau menang. Esok juga kau boleh masuk meminang Juriah. Ayuh… masuk sekarang.”

            Romzie mencabar sambil memasang kuda-kuda. Orang ramai ada yang memberikan perhatian padanya. Dia tidak kesah.  Biarlah kalau mereka mahu tengok. Mereka boleh menjadi saksi betapa dalam cintanya terhadap Juriah. Dia sanggup melakukan apa sahaja.

            “Hey Romzie, apa sudah jadi? Yang kau bersilat di tengah orang ramai ini mengapa? Kau mahu masuk pertandingan silat ke?” Tuan Mansor pula muncul, diiringi The Rhythm Night dan Nyonya Maznah.

            “Hassan ini perosak kebahagiaan saya, biar saya habiskan saja bapak,” tegas Romzie.

            “Sabar Romzie. Jangan bikin kecoh di sini. Malu tengok dek orang. Jaga kelakuanmu. Disiplin itu penting. Berapa kali bapak kasi ingat sama kau. Lebih-lebih lagi The Rhythm Night bergelar naib juara.” Tuan Mansor menegur.

            “Semua itu sudah tidak penting lagi bapak. Saya tetap kalah. Juriah berkeras mahu memutuskan pertunangan kami. Dan Hassan ini… memang sengaja mahu menyakitkan hati saya. Sukalah dia, boleh masuk meminang bila-bila masa saja.” Romzie menjawab.

            “Ya… bapak faham. Dengar sini Romzie, walaupun The Rhythm Night bukan juara tetapi kalian tetap menang di hati bapak. Sejujurnya bapak terharu melihat kesungguhan itu. Kalian sudah melakukan yang terbaik cuma malam ini nasib tidak menyebelahi kita saja. Begitulah adat pertandingan. Ada menang, ada kalah. Beginilah, separuh lagi wang belanja hantaran itu bapak kasi tetapi… ada syaratnya,” sambung Tuan Mansor.

            “Bapak ini, semua perkara mahu dikenakan syarat. Anak mahu kahwin pun masih berkira-kira,” rungut Romzie.

            “Yalah, dalam hidup kita ada peraturan yang mesti dipatuhi. Barulah kita boleh berjaya. Mudah benar kau lupa nasihat.” Pak Mansor memberi peringatan.

            “Jadi, apa pula syarat-syaratnya kali ini.” Romzie akhirnya akur untuk menerima apa jua kehendak bapanya.

            “Oleh kerana wang simpanan yang tinggal itu untuk perkahwinan bapak sendiri, apa kata kita buat majlis serentak saja. Jimat belanja. Lagipun ini rancangan Mak Cik Rosnah kau juga. Dia tidak sampai hati melihat kau dan Juriah berpisah hanya kerana wang hantaran. Dia minta bapak bertimbang rasa sama kau andai kata The Rhythm Night tidak berjaya menjadi juara. Nanti kau jangan lupa ucapkan terima kasih pada dia ya,” jelas Tuan Mansor.

            “Setuju bapak. Saya tidak kesah berkongsi majlis dengan bapak. Yang penting dapat kahwin,” Romzie mengutip kembali butir-butir harapan yang bersepahan.

            “Kalau begitu, esok juga aku masuk meminang. Kita naik pelamin sama-sama. Lagi jimat belanja.” Hassan menyampuk.

            “Eh! Kalau aku jadi kahwin dengan Juriah. Siapa pula yang kau hendak pinang,” Romzie tertanya-tanya.

            “Nyonya Maznahlah, siapa lagi.” Hassan pantas menjawab.

            Romzie terlopong. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Jadi selama hari ini dia dan juriah hanya tersalah sangka.

            “Sebab itu aku mengambil berat akan hal kalian berdua. Bukan orang lain, bakal anak dan menantuku juga. Betul kan Maznah?” Hassan menyambung kata, menjeling Nyonya Maznah.

            “Benar Romzie. Aku juga berfikiran seperti bapakmu. Andai kata The Rhythm Night tidak bergelar juara sekalipun, kalian akan tetap berkahwin juga. Aku dan Hassan memang bercadang untuk mengadakan majlis perkahwinan serentak, jadi jimatlah belanja. Mana ada ibu yang sanggup membiarkan anak menderita. Sudah tentu aku mahu lihat dia bahagia bersama pilihan hatinya,” terang Nyonya Maznah panjang lebar.

            Hela nafas Romzie lebih teratur. Semangat cinta datang semula. Benih-benih harapan yang dikutip perlu disemai agar tumbuh menjadi rimbunan kasih yang subur.

            “Nah, apa yang kau tercegat lagi di situ. Pergilah cari Juriah. Urusan kau dan dia masih belum selesai lagi. Nanti kalau dia terus merajuk dan enggan berkahwin, kau juga yang merana. Hai Romzie, takkanlah itu pun bapak kena ajar…” Tuan Mansor bersuara.

            “Baik bapak, sekarang juga saya pergi pujuk Juriah. Saya pasti Juriah takkan menolak cadangan ini.”

            Romzie menyusup di celahan penonton yang berjujukan meninggalkan Padang Kota Lama. Dia mahu cari Juriah sampai ketemu. Bayangan pelamin anganan mereka menari-nari di fikiran. Majlis perkahwinan mereka pasti meriah kerana bapak dan Mak Cik Hasnah akan bersanding bersama. Lebih meriah lagi jika Hassan dan Nyonya Maznah turut serta.

            “Jadi Nyonya Maznah, mulai esok eloklah kita mulakan persiapannya. Perkara besar seperti ini memerlukan perancangan teliti,” cadang Tuan Mansor.

            “Aku mengikut saja Tuan Mansor. Apa yang baik untuk anak-anak kita, baik juga bagiku. Jika mereka bahagia, kita juga turut bahagia bersama,” balas Nyonya Maznah.

            “Tak sangka ya Tuan Mansor, tidak lama lagi kita berberas. Tidak sabar menanti penghujung tahun nanti,” celah Hassan.

            “Kau ini Hassan, salahlah. Biras bukan beras.” Tuan Mansor membetulkan istilah yang digunakan.

            “Dua-dua pun salah. Bukan beras. Bukan juga biras. Yang sebetulnya Tuan Mansor dan Hassan berbesen tidak lama lagi.” Jefry pula menyampuk dengan penuh keyakinan.

            “Kau pun salah juga Jefry. Ketiga-tiganya memang salah sama sekali. Bukan berberas, bukan juga berbiras. Berbesen pun jauh sekali. Tuan Mansor dan Hassan sebenarnya berbesan… ha, yang itu sebetulnya,” tegas Nyonya Maznah.

            Mereka akhirnya tergelak besar.

            “The Rhythm Night, kalian juga perlu berlatih mulai sekarang. Kita akan mengadakan pesta keraian tujuh hari tujuh malam sempena majlis perkahwinan nanti.”

            “Horey…!  

 

  

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.