Home Cerpen Seram/Misteri Hantu Kak Wok Makan Kenduri Cerita 1
Hantu Kak Wok Makan Kenduri Cerita 1
Diq Na
24/2/2020 16:05:00
3,420
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Gulai tempoyak patin, gulai masam keladi kemahang, sambal hitam, gulai tempoyak patin, gulai masam keladi kemahang, sambal hitam…

            Hanya itu yang bergaung di benak seperti sebuah dikir menu. Air tangan Pak Mus dan Mak Besah suami isteri pula. Tukang masak yang diakui ramai. Berjejeh liur dibuatnya.

            Jalan kampung basah dan licin ditimpa hujan. Hal itu tidak sedikitpun membataskan kelajuan namun Zaki tetap menunggang motosikalnya penuh waspada. Tambah-tambah lagi hari sudah gelap.

            Malam ini ada kenduri kesyukuran di rumah Bang Medan. Anaknya dapat masuk universiti. Zaki sudah terlambat. Kena balik mandi dan tukar pakaian lagi sedangkan waktu sudah menghampiri 8.30 malam. Kalau dia terus pergi kenduri dengan seluar jeans koyak di lutut mahu dua hari tiga malam mendengar gurindam nasihat orang tuanya.

            Semua gara-gara ribut, halilintar dan hujan lebat. Amukan alam pakej tiga dalam satu masa. Dunia bagaikan bergegar. Air hujan mencurah-curah, langit bergemuruh bagaikan hendak runtuh. MetMalaysia melaporkan bahawa sekarang sudah masuk fasa awal musim tengkujuh. Tahun ini pula fenomena La Nina diramalkan akan berlaku. Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan cuaca semasa.

            Akibat tidak cakna, Zaki terperangkap di pasar raya selama dua jam hanya kerana sebotol minyak wangi. Boleh jadi juga disebabkan dia ingkar dengan nasihat ibunya agar tidak ke mana-mana. Kata orang mulut ibu masin. Bila ibu sebut hujan, memang hujanlah jawabnya walaupun sewaktu keluar petang tadi cuaca elok sahaja.

            Entah mengapa, perjalanan pulang kali ini dirasakan terlalu lama. Walhal dia mengikut jalan paling dekat. Jalan yang tidak lagi dilaluinya sejak setahun lalu. Hanya malam ini, dia mengambil keputusan untuk menggunakannya dek kerana terdesak.

            Enjin motosikal tiba-tiba mati. Ah, sudah! Masa-masa sesak sebegini, motosikal buat hal pula. Di manakah lokasinya sekarang? Zaki menoleh kanan dan kiri. Dia terpandang sebuah rumah batu. Reka bentuk rumah itu seakan dekat di hati terutama di bahagian beranda. Dia mencerlungkan pandangan. 

            Jantung berdegup kencang. Seolah-olah organ itu mahu lari dari dadanya. Tidak salah lagi. Rumah arwah Wok Maimon!

            Sudah ramai orang kampung yang ternampak lembaga perempuan berbaju labuh serba putih berkeliaran di perkarangan rumah itu. Wok Maimon, seorang ibu tunggal yang juga mak andam meninggal dunia akibat kemalangan kereta setahun lalu. Rumah itu kosong lantaran anak-anaknya menetap di bandar. Setiap tiga bulan sekali kawasan rumah itu akan diracun oleh Mawi yang kerjanya mengambil upah menerangkan kediaman dan kebun.

            Zaki menghidupkan enjin motosikal tetapi tidak berjaya. Dia mencuba dan terus mencuba namun tetap gagal. Apa pula masalahnya? Baru seminggu lepas motosikal itu dihantar servis, hari ini sudah meragam. Hati mula menyumpah-nyumpah pemilik bengkel.

            Tus! Tus! Ada air yang menitik di atas topi keledar. Zaki mendongak. Titik-titik dingin menimpa muka. Hujan yang reda turun semula. Nampaknya cuaca juga tidak mahu berkompromi. Kalau memang motosikalnya rosak maka terpaksalah dia menapak pulang dalam hujan.

            Berlama-lama di depan rumah orang yang sudah meninggal, terbiar kosong, malam hari pula membuatkan Zaki tak keruan. Tubuh terus menggeletar kerana ketakutan. Mungkin juga disebabkan kesejukan. Dia mencuba lagi. Tetap gagal. Dia memutuskan untuk mencuba buat kali yang terakhir. Kalau terus gagal, dia akan heret. Lupakan saja lauk-pauk kenduri yang menyelerakan itu. Bukan rezekinya malam ini. Lega, percubaan yang terakhir berjaya.   

            Zaki tidak mahu berlengah-lengah lagi. Baru beberapa meter motosikal bergerak, seorang wanita berbaju labuh putih muncul di tengah jalan. Wanita itu menahan motosikalnya. Dia terus membrek. Tubuh terenjut ke depan. Bukankah itu…

            Wanita itu pantas menuju ke arahnya sambil menggamit. Semakin dekat, terus mendekat. Zaki tidak fikir apa lagi.  

            “Hantu Kak Wok mengacau lagi, cabuttt!”

            Zaki memusingkan motosikal, terus memecut laju. Apa pilihan yang dia ada selain berpatah semula, memilih simpang yang satu lagi. Jauh pun jauhlah. Terlepas soru yang enak pun lantaklah. Dia tidak sanggup berdepan dengan jelmaan Wok Maimon. Betul andaian orang kampung, jelmaan itu berkemungkinan belaan yang tidak bertuan.

 

            Hujan renyai-renyai sudah berhenti. Selesai makan, kaum lelaki duduk bersantaian di serambi. Mereka mengambil peluang bersembang kosong sebelum pulang. Nama sahaja sekampung tetapi ada di antaranya yang jarang bertemu muka.

            Zaki, meskipun tiba lewat namun dia tidak terlepas kenduri itu. Pada mulanya ayah dan ibu mencuka juga tetapi setelah Mat Siam berkata yang dia juga terperangkap di bandar gara-gara hujan lebat, marah mereka langsung kendur.

            Zaki ikut menyelit, menumpang dengar apa yang dibicarakan. Sebenarnya dia takut balik dahulu walaupun badan terasa hendak demam. Buatnya jelmaan Wok Maimon menanti di simpang rumah, memang ngeri. Digagahkan menanti ayah, ibu dan adiknya untuk pulang bersama. Dia bertambah seriau apabila mereka membuka cerita tentang pengalaman berdepan perkara misteri dan mistik. Seorang demi seorang mengambil giliran untuk berkongsi apa yang pernah dilalui. Yang tidak punya pengalaman pula mendengar dengan khusyuk.  

           Selain pakar memasak, Pak Mus seorang kaki pancing. Dia bercerita tentang kejadian misteri sewaktu memancing di lubuk ikan yang dikatakan keras. Katanya, pergi berkawan beranilah. Kalau sendirian, memang taubatlah. Mujur tiada apa-apa yang berlaku walaupun dia berasa seperti sentiasa diperhatikan sewaktu berada di situ.

           Man Lampung juga pemancing tegar. Pesara tentera itu berkisah tentang keanehan yang berlaku setelah pulang daripada mencari ikan di sebuah lombong tinggal. Lelaki setengah abad berstatus duda yang berhati kering itu pergi seorang diri sahaja.

           “Tak ke pelik. Malam tu dapat berpuluh ekor ikan. Esoknya tak da seekor pun. Nak kata terlepas atau dimakan kucing memang mustahil. Jaring penutup tempat ikan kemas tak terusik,” cerita Man Lampung.

           “Penunggu lombong punya kot. Aku agak benda tu saja aje nak menyedapkan hati kau. Dibiarkan umpan kau mengena banyak. Dah tentulah dibawa balik haknya.” Pak Mus membuat telahan.

            “Agaknyalah. Sampai sekarang aku tak berani pergi sana lagi. Baru-baru ni ada kawan ajak tapi aku tak nak. Eee…terus tegak bulu tengkuk,” sambung Man Lampung.

            “Eloklah. Kalau kau pergi, entah-entah dengan kau sekali hilang. Jenuh kami mencari nanti. Kata orang, makhluk dunia sebelah sana memang berkenan dengan orang yang ada rupa. Macam kau ni, aku rasa tak mustahil. Umur dah 50-an tapi badan pun masih tegap macam orang muda.” Madi bergurau.

            “Ha ha ha.” Deraian ketawa memecah kesejukan malam.

            “Sebab tulah aku tolak. Memanglah aku ni gaya ala-ala Pak Maun Playboy dalam cerita P Ramlee tu tapi hati tetap setia pada yang satu. Jangan weh! Susah senang bersama. Ingat boleh cari ganti macam tu aje.” Man Lampung menambah lagi.

            Sejalur cahaya melintasi langit. Disusuli bunyi guruh membuatkan semua terkejut.

            “Alam menegur kita tu. Patutnya umur-umur macam kita, buka cerita pasal amal ibadat, sembahyang puasanya sempurna ke tak, amal jariahnya cukup ke tak. Tapi kau orang sibuk cerita pasal hantu, saka, penunggu tasiklah, penjaga lubuklah, orang bunianlah,” tegur Imam Ali.

            Semua terdiam. Jaluran cahaya itu muncul lagi seperti pancaran laser di dada langit. Mungkin betul pendapat Iman Ali yang alam sedang memberi peringatan kepada mereka.

            “Menurut ramalan, tahun ni berlaku fenomena La Nina. Sekarang pun dah masuk musim pejur. Beringat-ingatlah, terutama yang duduk dekat dengan sungai. Harap-harap banjir kali ni tak seteruk lima tahun lepas.” Pak Mus mengalih topik perbualan.

            “Nak hujan semula gayanya. Takut tak lepas balik kita nanti. Hari pun dah lewat. Eloklah kita beransur,” ujar Pak Razak, ayah Zaki.

            Seorang demi seorang meminta izin untuk pulang. Pak Razak mengarahkan Zaki memanggil ibu dan adiknya di dapur. Mereka perlu segera pulang kerana bimbang terperangkap dalam hujan.

            “Kamu bawa mak, abah bawak adik.”

            “Tak naklah. Abah bawa mak, Zaki bawa adik.”

            “Dah kenapanya. Kamu juga yang kata Ayai tu bila naik motor mulutnya bising.”

            “Lebih baik dengar mulut bising daripada dengar mulut membebel. Mesti mak sambung syarahan pasal kes lambat tadi. Mesti punya.”

            “Suka hati kamulah. Dah, panggil mak dengan adik cepat!”

            Zaki bergegas ke dapur. Sebaik menuruni tangga dapur, dia hampir bertembung dengan seorang wanita yang memakai jubah putih. Mereka saling berpandangan. Renungan wanita itu menajam. Dia terngaga. Bukankah ini…

            “Ha ha han…” Suara tersekat-sekat, selang beberapa saat Zaki jatuh pengsan.

            Dapur menjadi kecoh. Juriah berkejar mendapatkan Zaki. Muka anak bujangnya itu ditepuk berulang kali.

            “Bang, turun bawah lekas. Tengok budak Zaki ni. Tetiba aje jatuh pengsan.” Juriah berteriak memanggil suaminya.

            Orang kampung kegemparan dan tidak jadi pulang. Mereka bergegas ke dapur sebaik mendengar Zaki tiba-tiba tidak sedarkan diri. Pak Razak memanggil-manggil nama anaknya.

            “Dah kenapa budak Zaki ni? Tadi elok sangatlah bercakap. Apa kenanya?” Pak Razak naik risau.

            “Kalau tengok bentuk badan ni, rasa-rasanya motor dialah yang saya tahan tadi.” Wok Maisara pula bersuara.

            Janda muda tanpa anak itu pun menceritakan hal yang terjadi semasa dia dalam perjalanan ke tempat kenduri. Walaupun pada awalnya rasa takut-takut memikirkan keselamatan diri namun dicekalkan juga hati. Tak sangka apa yang berlaku sebaliknya pula.

            “Kau pun satu. Tahan motor malam hari dengan berjubah besar, labuh menyapu lantai segala bagai. Dah macam si Maya Karim Pontianak Pontianak Harum Sundal Malam gayanya. Tentulah dia takut. Mujurlah aku dengan Mak Kamsiah lambat keluar. Boleh tumpang kereta. Kalau tak, jalan kakilah kau dalam hujan. Aku pun tadi dek berdua dengan makciknya, kalau seorang memang pecut terus.” Madi mencelah.

            “Pak Madi, Maya Karinlah bukan Maya Karim. Ejaannya N bukan M. Sebut pun salah,” Wok Maisara menyambung lagi.

            “Apa-apalah. M ke, N ke janji bunyinya ada,” balas Madi semula.

            “Alah Pak Madi. Dah jubah putih ni aje yang sesuai pakai pergi kenduri, saya sarunglah. Saya ni balik, saja-saja nak jenguk rumah arwah mak. Yang saya bawa cuma kemeja, skirt dengan seluar jeans. Nak pakai baju kebaya mak lagilah tak sesuai. Semua jenis renda-renda, lip lap lip lap gitu,” jelas Wok Maisara.

            “Dah tu, budak Zaki ni macam mana? Nak dihantar ke hospital?” tanya Pak Razak.

            “Hish, Zaki ni cuma pengsan terkejut. Buat malu aje nak diusung ke hospital. Juriah, kau ambilkan aku air kosong segelas. Aku bacakan ayat-ayat yang patut sepotong dua. Lepas tu Razak, kau sapukan ke muka Zaki. Mudah-mudahan sedarlah dia,” sampuk Imam Ali.

 

            Di perkarangan rumah Wok Maimon, sekujur tubuh berbaju labuh serba putih melayang-layang mengelilingi rumah. Kemudian tubuh itu mengilai nyaring lalu ghaib menembusi dinding. Lampu di ruang tamu berkelip-kelip sebelum padam semula.

            Di kanvas langit malam, kilat masih sabung-menyabung. Guruh juga sesekali berdentum.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.