Home Cerpen Cinta Lelaki Dunia Khayalan
Lelaki Dunia Khayalan
Diq Na
20/2/2020 00:39:50
3,930
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

            Pesanan ringkas di telefon bimbit seminggu lalu sungguh berlainan lenggok ayatnya. Aku belek berulang-ulang hingga ke saat ini, entah berapa kali. Setengah jam lagi mengikut tarikh dan masa yang tercatat.

            Dia meminta pertemuan. Sangat penting, tidak boleh tidak. Selepas dua sesi terdahulu yang dipenuhi bujukan gagal mencairkan pendirian, lelaki itu seakan patah hati untuk berdiplomasi lagi. Sudah lama tengka masanya.

            Pada pertemuan pertama, enam bulan selepas kami memuktamadkan perpisahan dia berkisah tentang kegetiran hidup tanpaku. Berkeluh-kesah penuh kekesalan. Betapa bersalahnya dia atas keterlanjuran mencemar akad yang dilafazkan. Entah apa lagi alasannya, aku ingat-ingat lupa.

            Ketika pertemuan kedua, dia masih menjaja cerita yang sama. Lebih dramatik, lelaki itu tampil dengan muka cengkung tiada bermaya dan tubuh kurus tidak terurus. Ketara benar kekalahannya dalam permainan emosi. Aku masih punya perasaan dan ehsan. Tersentap juga tatkala terpandang betapa kusutnya seorang lelaki yang pada satu ketika pernah dengan sengaja menumpahkah air mata perempuanku.  

            Aku meminta ruang untuk berfikir berlandaskan kewarasan akal. Namun pabila diri bersendirian mencari keputusan, cengkaman sisi-sisi pahit itu semakin kuat pula. Sekaligus melurutkan semula tabir kemaafan yang sudah separuh tersingkap.

            Wahai lelaki, aku bukan perempuan dunia khayalanmu lagi. Engkau sudah kesasar dan aku amat menyedari akan hal itu. Aku memutuskan untuk menjauhi perangkap perasaan. Momokan madah-madah indah titipanmu berakhir ketika aku memutuskan untuk berhenti mencintai. Mega-mega didakapan langit, naungan itu bukan untukku lagi. Cukuplah. Aku sudah penat.

            Sejak itu aku menolak pertemuan. Tiada yang ketiga dan seterusnya. Kemudian engkau berpindah ke negeri lain. Rajuk, ramai mengiakan. Bagiku itulah yang terbaik.

            “Mama,kenapa ayah belum sampai lagi? Ayah jadi datang ke tak?”

            Khayalan tersekat. Raihana tercegat di hadapanku sambil mendukung kucing kesayangan. Jelas sekali yang anak ini rindu benar. Aku sorot wajahnya. Semakin dia membesar, semakin jelas tampang si ayah. Redup mata, ulas bibir dan kening sangat mirip. Dia menanti jawapan dan renungan itu…

            Aku membalasnya dengan senyuman. Tubuh anak itu kutarik lebih rapat. Aku meleraikan kucing jantan berekor kembang daripada pelukannya. Tangan mengibas baju yang dihinggapi kekotoran. Aku mahu Raihana kelihatan cantik dan kemas sewaktu menyambut kehadiran ayahnya. Supaya si ayah juga tahu bahawa aku seorang ibu yang baik.  

            “Sekejap lagi nak. Ayah dah janji, dia mesti datang. Sabar ya.”

            Raihana mengusap Blackie. Nama itu dipilih kerana bulunya hitam. Dia kembali ke sudut halaman menyambung permainan minum petang olok-olok. Blackie terkutik-kutik ekornya mengikut di belakang. Aku harap Raihana tidak akan bertanya lagi, kali yang ketiga.

            Permintaan untuk memelihara kucing sudah lama disuarakan. Apabila teman satu tadika bercerita tentang haiwan peliharaan masing-masing, Raihana semakin teruja untuk memiliki seekor kucing. Atau hamster, pilihan kedua. Oh tikus, sudah tentu tidak!

            Aku terlupa menunaikan permintaannya dek tuntutan kerja. Empat bulan lalu sewaktu pulang dari pejabat, Raihana menanti di muka pintu bersama anak kucing hitam. Terima kasih ayahnya Raihana. Mujurlah bukan seekor tikus. Walaupun Raihana pernah berkata hamster itu comel, padaku tetap tiada bezanya dengan tikus yang sesekali mencuri masuk ke dapur. Anak perempuan inilah yang mengikat kami walaupun tali perkahwinan sudah terlerai.

           Demi Raihana, tiada sengketa. Hubungan kami tetap baik biarpun istilah suami isteri itu sudah tidak wujud lagi. Sesekali dia menghubungiku bertanya khabar kami anak-beranak.

           Lelaki itu masih berkunjung ke rumah melawat Raihana tetapi kami jarang bersemuka lantaran dia tinggal di negeri yang berbeza hujung minggu. Atau sebenarnya aku memang mahu mengelak daripada bertemu dengannya. Cukuplah sekadar panggilan telefon tetapi tidak bertentangan mata. Ibulah yang menjadi pengganti diri setiap kali dia bertamu.

           “Kalau rujuk semula macam mana? Nur, janganlah keras hati sangat.”

           Soalan ibu menyelinap di antara rekah-rekah imbasan masa silam. Pasti kerja-kerja di dapur sudah selesai. Sejak dari pagi dia menyediakan pelbagai menu. Ujarnya tetamu perlu dilayan mesra. Perpisahan bukan bermaksud hubungan kekeluargaan renggang.

           Ibu bertungkus-lumus menyediakan laksa untuk menantu dan kuih bakar kesukaan besannya. Pembetulan! Bekas menantu dan bekas besan. Oleh kerana hubungan mereka baik, ibuku tidak mahu menggunakan istilah ‘bekas’ jika merujuk kepada kedua-duanya. Walau apapun yang telah berlaku, bekas suami dan bekas mentuaku tetap bapa dan nenek kepada cucunya.

           “Bukankah kita dah bincang perkara ini berulang kali umi. Tanyalah sebanyak mana pun, jawapan saya masih sama. Saya senang dengan kehidupan sekarang.”

            Susun langkah semula. Itu sudah kupasakkan sebaik selesai budi bicara dan pengadilan. Entah di mana kekurangan, kompas kehidupan menyongsang arah. Lelaki itu menyimpang bersama cinta kedua yang dirasakan lebih sempurna tetapi sayang dusta semata-mata. Terlambat dia menyedari. Terlalu rumit pula untuk diperbetul.

            “Fikirkan Raihana. Walaupun Haikal tidak pernah mengabaikannya namun dia perlukan seorang ayah. Bercerai hidup dan bercerai mati tak sama situasinya.”

             Ayat terakhir itu memang kata-kata keramat ibu. Dahulu, di awal perpisahan aku sering memberikan alasan tiada salahnya memegang status ibu tunggal. Ibuku juga seorang ibu tunggal, boleh sahaja meneruskan kehidupan seperti biasa.

             Bapa tiba-tiba diserang sakit jantung dan menyahut panggilan pencipta-Nya sehari kemudian. Masih jua ibuku mampu membesarkan tiga orang anak bersendirian. Kemudian pantas dia membidas, bapa tidak meninggalkan kami dengan tangan kosong. Ada wang simpanan. Ada rumah payung teduhan. Aku?

             Selepas itu aku tidak bermain dengan alasan lagi. Ibu yang sudah terlebih makan garam sentiasa ada hujah bernas setiap kali kami bertingkah.

            “Entah apa tujuan sebenar mereka. Haikal hanya beritahu mahu datang. Atau, nenek Raihana ada bercerita dengan umi sebab-sebab kedatangan mereka.”

             Ibu mendiam. Matanya tidak lekang memandang cucu kesayangan. Dahi ibu berkerut. Fikirannya bagaikan sedang menjana sesuatu.

             “Kali terakhir kami berhubung, dua bulan lepas.”  

             Begitu juga bekas suamiku. Dua bulan lalu dia menelefon dari utara tanah air. Katanya sedang sibuk berkursus dan tidak dapat menjenguk Raihana seperti selalu. Bulan lepas pula, dia terpaksa menghadiri seminar di ibu negara. Ayah dan anak hanya berkesempatan berbual melalui telefon sahaja.

             Lelaki itu, walau sesibuk mana sekalipun tetap mengutamakan Raihana dan tidak pernah culas soal nafkah sepanjang tempoh tiga tahun perpisahan kami. Sikap itu membuatkan aku cukup menghormatinya. Ketika teman-teman sama gelaran mengadu tentang bekas suami masing-masing yang bersikap lepas tangan, aku bernasib baik kerana tidak dibelenggu masalah serupa. Mudah-mudahan tidak.

             Bagaimana jika memang benar hasrat lelaki itu untuk menyimpul semula ikatan yang terlerai? Mungkin selepas dua kali percubaan sebelum ini gagal, dia meminta ibunya pula datang memujuk. Bersediakah aku menerimanya?

             Tidak! Duhai lelaki, jika engkau mahu terus berkhayal, aku tak mahu terkait sama. Semuanya sudah berakhir. Sekali lagi kutegaskan, sudah berakhir.

             “Ayah dah sampai.”

             Sebuah kereta memarkir di pintu pagar rumah. Raihana meloncat kegirangan menyambut ketibaan ayah tersayang. Lelaki itu keluar dari perut kereta disusuli ibunya.Dia kelihatan ceria dan lebih berisi berbanding kali terakhir aku melihatnya setengah tahun lalu. Nampak sungguh perubahannya.

             “Kami datang ada tujuan…”

             Lima belas minit masa yang diambil untuk menyatakan maksud sebenar kunjungan mereka. Setelah berbasa-basi dan melepaskan rindu pada Raihana, bekas ibu mentuaku memulakan agenda pertemuan.

             Dadaku berdebar-debar. Kembali bersatu?

             “Kami ingin menjemput Saodah dan Nur seisi keluarga. Haikal dan adik lelakinya naik pelamin serentak bulan depan. Ini kad jemputannya.”

             Alam terpanar. Sungguh, dunia di sekelilingku tiba-tiba kosong. Degup jantung dan denyut nadi bagaikan terhenti. Aku tenung bekas suami. Mata kami saling bertautan. Kemudian dia melarikan pandangan ke arah Raihana yang sedang leka bermain anak patung baharunya. Aku pula tunduk, menelan semua kata-kata. Ibu dan bekas mentuaku terus bercerita tentang kenduri bakal berlangsung. Kami pula berperang dengan perasaan sendiri.

             Sebelum pulang lelaki itu meminta pertemuan empat mata. Katanya ada perkara yang mahu dibincangkan terutama hal-hal yang berkaitan dengan Raihana. Demi Raihana, aku hirup kembali nafas yang seketika tadi melayang entah ke mana. Untuk Raihana kesayangan, aku himpun kembali kekuatan yang berselerak.

             “Dah ada pengganti?”

             “Belum. Masih mencari. Orang perempuan lain. Langkahnya tidak sepanjang lelaki. Duda dan janda, dua situasi berbeza di pandangan masyarakat.”

             “Atau awak memilih untuk bersendiri?”

             “Tidak, saya tak pernah menolak cinta. Barangkali penggantinya ada di luar sana. Cuma kami belum dipertemukan lagi.”

             “Semoga awak jumpa pengganti yang lebih baik berbanding saya.”

             “Amin, doakan yang molek-molek untuk saya.”

             “Kalau tak keberatan, datanglah ke majlis saya nanti. Bawa Raihana sekali. Jangan bimbang. Raihana akan terus bersama awak. Saya janji. Tanggung jawab sebagai ayah akan tetap saya pikul. Cuma mungkin masa untuk Raihana sedikit terbatas nanti.”

             “Ya, saya faham. Awak sudah ada tanggung jawab lain. Kemudian ada keluarga baru pula.”

             Perbualan kami terhenti. Mata sama-sama terpaku pada Raihana yang sedang mencuba basikal baharu sambil ditemani nenek-neneknya. Sesekali terdengar deraian ketawa, mengiringi semilir petang melintas lalu.

              “Saya tak tahu bagaimana nak cakap pada Raihana tentang perkahwinan ini. Tolonglah saya. Sebagai ibu, awak tentu ada cara untuk terangkan pada dia.”

              Perbualan yang terjeda bersambung semula. Lelaki itu menundukkan kepala. Lantas mengelus sebentuk cincin yang tersarung di jari. Cincin yang menandakan dia, hampir pasti menjadi kepunyaan belahan jiwanya. Dalila, itulah nama yang tertera di kad undangan.

             “Cuma satu yang saya pinta, simpanlah kisah-kisah luka di antara kita. Apa yang berlaku, saya mohon maaf sekali lagi. Segala derita, cukup setakat kita. Jangan sampai Raihana terpalit sama.”

             Lewat petang itu aku mengakui, Haikal lelaki hampir sempurna. Usia dan pengalaman membuatkan dia matang berbicara. Cuma jodoh kami tidak berpanjangan. Hal itu terjadi rahsia Allah jua. Ada wanita lebih layak untuknya seperti mana ada lelaki lain yang berhak memilik hatiku. Suatu hari nanti, aku percaya cinta akan hadir.

             Sebaik dia pulang, entah mengapa aku merasakan seperti separuh nyawa seakan pergi bersamanya. Perasaan perempuan memang misteri.

             Dunia khayalan lelaki itu sudah bertemu titik penghujung. Aku? Jangan berhenti berharap wahai perempuan. Pada saat hati berkata-kata, maka dengarlah. Kamu juga diciptakan dengan kekuatan di sebalik kelembutan itu.

             “Ayah kata ada kenduri walimatulurus. Mama, walimatulurus tu apa? Kita pergi tak?”

             Aku dakap Raihana. Ingin kuterangkan segala seperti mana janjiku pada ayahnya namun apalah yang dapat dimengertikan oleh si kecil ini. Bukan sekarang duhai anak tetapi suatu hari nanti.  Entah dari mana muncul sinar kekuatan, separuh nyawa yang hilang mendatang semula. Raihana telah mengembalikan nyawa itu.  

             “Tentulah kita pergi. Nanti Raihana tengok sendiri apa itu kenduri walimatulurus.”

             Teruslah melangkahlah. Sesuatu yang indah sedang menanti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.