Pengantin Senja
Oleh : Zhar Aruzi Hairi
Petang hampir beralih ke senja. Angin selatan yang bertiup
menyapa tubuh gadis yang masih termenung di bangku berhampiran. Disebelahnya
diletakkan topi berwarna merah dengan logo sauh berwarna putih. Matanya
merenung jauh ke arah jeti yang memanjang
hingga ke dalam laut.
Beberapa bulan yang
lalu,
“Kenapa abang tak nak
balik lagi?” Zahira bersuara manja, bertanyakan kepada tunangnya Fikri yang
duduk disebelahnya.
“Abang nak tengok sunset kat sini. Cantik kata orang”
Jawab Fikri sambil membalas renungan Zahira. Kasihnya bertaut rapat kepada
gadis hitam manis itu. Hatinya cair memandang senyuman tunangnya itu.
“Kat pantai tadi lagi cantik
rasanya. Ada batu, pokok dan bot-bot nelayan kat situ” Ujar Zahira.
“Kat sini ada pemandangan yang
tak ada kat mana-mana pantai” Kata Fikri lalu menyentuh hujung tudung Zahira.
Manik yang ada dipintal-pintal sambil memandang wajah tunangnya.
“Apa yang special sangat dekat sini?” Zahira mulai berminat.
“Di sini ada sepasang pengantin
yang hanya akan muncul pada waktu senja. Diaorang akan menikmati suasana itu
dan kemudiannya hilang apabila tiba waktu malam. Hmmm…Romantik dan seram”
Cerita Fikri.
“Macammana abang tahu. Tak pernah
dengar pun?”
“Hal ni hanya orang tempatan je
yang tahu. Tak ada orang nak hebohkan pun. Abang tahu pun dari tokey kedai
makan di sini yang cerita. Masa tu, Abang dan kawan-kawan nak sewa bot di sini
untuk memancing ke Pulau Tengah”
“Abang tak takut ke? Nak tengok
benda-benda macam tu!”
“Tak ada apa yang nak ditakutkan.
Belum ada yang mati sebab tengok hantu kat sini” Jawab Fikri sambil tersenyum.
“Sekurang-kurangnya ada motivasi sikit kita yang dah nak kahwin ni. Pengantin
senja ni dah buktikan untuk hidup dan mati bersama “
“Abang nak kita hidup dan mati
bersama?”
“Tak salah kan. Abang memang tak
sanggup hidup lagi kalau Ira dah tak ada” Ucap Fikri bersungguh-sungguh. Tangan
kanannya mencapai dan menggenggam erat tangan kiri Zahira.
“Dah sejam Bang, bayang pengantin
pun tak nampak” Zahira sudah mulai risau kerana hari semakin gelap.
“Diorang malu kat kita agaknya.
Dah, Jom balik” Ajak Fikri.
Perempuan di kerusi tadi masih
merenung ke laut. Kali ini tangan kirinya menyentuh topi yang diletakkan
bersebelahan tadi.
“Ira datang sini nak tengok pengantin
tu bang” Ucap gadis itu separuh berbisik.
“Kalau boleh, Ira nak mintak
tolong diaorang sampaikan salam pada abang” sambungnya lagi, sebak. Cairan
jernih mulai menakung di tubir matanya dan kemudiannya menitis melintasi pipi.
“Ira rindukan abang !!!”
“Selamat Tengahhari Puan” Pegawai
polis bukan melayu yang mengetuk pintu tadi memulakan perbualan.“Saya mencari
Cik Zahira”
“Sayalah Zahira” Zahira
memperkenalkan diri dan membuka grill pintu.
“Saya Inspektor Ramaloo dan ini
pembantu saya Konstable Jamali. Kami ke sini untuk minta puan kenalpasti satu
objek” Inpektor Ramaloo mengeluarkan bungkusan plastik yang mengandungi sebuah
topi berwarna merah dengan logo sauh.
“Puan kenal topi ini?”
“Ini macam topi tunang saya,
Fikri” Akui Zahira. Dia mulai tidak keruan memikirkan sesuatu yang buruk
mungkin berlaku kepada Fikri.
“Dalam beberapa jam sebelum ini,
ada dia menghubungi Puan”
“Tak ada. Kami cuma berbual
tengahhari semalam. Dia dalam perjalanan ke Pulau Tengah. Apa yang berlaku
kepada Fikri tuan !!”
“Begini Puan. Sebenarnya kami
mengesyakki tunang puan telah lemas semasa memancing di Pulau Tengah. Cuma
pancing dan topi ini sahaja yang dijumpai di tempat kejadian.”
“Ya Allah!!!!” Zahira terduduk
dan menangis. Dia kemudiannya ditenangkan oleh ibunya yang keluar,sebaik
mendengar dia menjerit.
“Bahaya cik sorang-sorang kat
kawasan jeti ini!!” satu suara menegur dari belakang.
Zahira menoleh dan melihat
seorang lelaki memakai uniform biru laut. Lagaknya seolah seorang pekerja di
pelantar minyak.
“Boleh saya temankan?” Tanya
lelaki itu lagi.
Zahira hanya mendiamkan diri.
Lelaki itu mengambil tempat duduk di atas tunggul kayu yang ada berhampiran.
“tunggu siapa Cik? “ soal lelaki
itu lagi. Zahira mencapai topi yang diletakkan disebelah tadi dan dihenyak
diatas paha.
“Tunggu pengantin tu kannn..”
Lelaki itu membuat tekaan. Ungkapan itu membuatkan Zahira berpaling.
“Mana awak tahu ni?” soalnya
marah.
”Kalau orang masih di sini, waktu
sekarang ni. Tak ada tujuan lainlah.”
“Ya. Memang tu tujuan saya. Boleh
nampak ke?. Sebelum ni saya pernah cuba. Tak nampak apa-apa” Balas Zahira.
Amarahnya mulai reda. Sekurang-kurangnya dia ada teman berbual.
“Ramai yang nak tengok, tapi tak
tahu caranya”
“Ada cara nak tengok ke?”
“Haa.. tu la saya cakap tadi.
Ramai yang buang masa menunggu sahaja. Mula-mula Cik tengok matahari merah yagn
mulai jatuh tu. Kemudian pejamkan mata. Buat kiraan sampai sepuluh, lepas tu
buka mata perlahan-lahan. Cik kena buat sekarang”
Zahira pun melaksanakan saranan
lelaki tadi. Apabila matanya dibuka perlahan-lahan, ternampaklah sosok lelaki
dan perempuan berpegangan tangan di hujung jeti. Yang lelaki berkot lengkap dan
yang perempuan bergaun pengantin labuh berwarna putih. Muka mereka tidak
kelihatan kerana menghadap kearah matahari jatuh.
“Saya nampak diaorang la” Jerit
Zahira ceria.
“Abang, saya nampak pengantin
senja” Jeritnya lagi sambil mencium topi yang dipegang tadi.
Zahira memerhati dengan penuh
minat. Kedua-dua mempelai di jeti itu tidak bergerak-gerak langsung. Kelibat
mereka kelihatan jelas berlatarkan warna kemerahan matahari jatuh.
Selang beberapa minit, Zahira
bangun menuju ke arah jeti.
“Cik nak ke mana?, jeti tu
bahaya. Kayunya dah reput” Lelaki yagn menemaninya tadi bersuara.
“Aku nak jumpa pengantin tu!!!”
Zahira yang tadinya berjalan menukar langkah berlari. Kakinya mulai memijak
kayu-kayu yang dijadikan lantai jeti.
“kalau Cik nak mati, di sini
bukan tempatnya” lelaki tadi melaung sambil berlari.
“Dan kalau Cik mati, belum tentu
Cik dapat berjumpa dengan tunang cik”
Larian Zahira diatas jeti tiba-tiba
terhenti. “Macammana awak tahu pasal tunang saya?”
“saya nampak Cik berdua masa
mula-mula datang ke sini dulu”
“Macammana awak tahu dia dah tak
ada?”
“Topi yang Cik pegang tu bukti
dia dah tak ada” Balas lelaki itu. “Kalau Cik terus berlari, Laut akan menelan
Cik. Sama macam pengantin tu”
“Aku nak mati ke, nak terjun laut
ke. Buat apa saudara ambil kisah…Laut ni dah ambil tunang saya. Sekarang ni
biar dia ambil saya pulak.” Luah Zahira dengan air mata yagn berderai. “saya
dah tak nak hidup”
“sabar Cik. Kalau cik terjun pun,
tak mungkin Cik dapat berjumpa dengan dia. Sia-sia nanti Cik ke neraka kerana
bunuh diri. Cik tak akan bersama macam pengantin tu”
“Saudara nasihatkan orang
macamlah faham sangat dengan apa yang saya alami sekarang ni. Kalau ikutkan,
malam ni kami akan bernikah tau. Saya sangat-sangat rindukan dia.”
“Kalau cik sayangkan dia. Cik
doakan banyak-banyak untuk dia”
Zahira melihat kedua-dua
pengantin yang tadinya memerhatikan kearah laut mulai berpaling kepadanya.
Kedua-duanya berwajah pucat kebiruan dengan mata yang kehitaman dan menakutkan.
Perlahan-lahan kedua-duanya berjalan menuju kearah Zahira dan lelaki tersebut.
“Lari Cik, pengantin tu nak tarik
kita ke dalam laut!!!!” jerit lelaki tadi. Serentak dengan itu Zahira meluaskan
langkah lariannnya ke arah bertentangan. Rasa sedihnya kini bertukar menjadi
takut.
Kedua-dua pengantin tadi
meloloskan diri ke bawah jeti dan tenggelam di dalam laut. Kedua-duanya muncul
kembali di permukaan air dengan renangan yang pantas. Tangan kedua –duanya
digawang keatas untuk menarik kaki Zahira menerusi lubang-lubang antara kayu.
Kesan cakaran kuku kelihatan pada kayu sebaik tangan dihulur untuk menarik kaki
mangsa mereka ke dalam air.
Plomp!!!
Zahira terpijak kayu reput dan
hampir hilang imbangan badan. Ada sesuatu yang mencengkam kasutnya dari dalam
air. Dia meloloskan kaki dan membiarkan kasutnya dicengkam ke dalam air. Kasut
yang sebelah lagi turut dicampak ke laut.
Lelaki yang bersamanya tadi sudah
tidak kelihatan. Zahira tidak sempat lagi menoleh kemana-mana. Dia mahu segera
memijak daratan. Topi yang dipengangnya tadi dicampak entah ke mana.
Arrrghhhh !!!!
Suara lolongan dari dalam air
dengan kelibat yang hanya nampak kepala menandakan Zahira tidak lagi diburu. Setelah
memusingkan kepala ke kiri dan kanan, perlahan-lahan kedua-dua pengantin hilang
dari permukaan air.
Zahira pula berlari ke gerai
berhampiran untuk meminta pertolongan.
“Tolong saya.. ada hantu !!!!”
Jerit Zahira sebaik melihat beberapa orang lelaki di situ.Semua yang ada
memandang ke arah Zahira.
“Cepat ke sini!!! Benda tu tak
naik ke darat” laung lelaki berkopiah dari dalam gerai, seolah dapat meneka apa
yang berlaku pada Zahira.Dia melambai tangan memanggil Zahira masuk ke
kedainya.
Zahira terus duduk di salah satu
kerusi di dalam gerai. Nafasnya berombak kencang.
“Nah! Baca Al-Fatihah dan minum
air ni” Lelaki berkopiah tadi keluar dari dapur dan menyerahkan segelas air
masak. Minuman itu dicapai dan mulutnya terkumat kamit membaca al Fatihah.
Kemudiannya dia meneguk air di tangannya perlahan-lahan.
“Apa yang kamu buat sorang-sorang
kat Jeti tu” Tanya lelaki berkopiah tadi. Beberapa lelaki yang datang
berkerumun ke meja Zahira.
“Saya bukan seorang. Ada lagi
seorang kawan tadi. Entah kemana dia lari" Ujar Zahira. Geruhnya mulai berkurangan.
Mungkin air yang diteguknya tadi begitu mujarab.
“Lelaki ke?” Suatu suara
bertanya.
“Ya. Pakai uniform macam abang
tu. Rambut dia botak sikit” Sambung Zahira sambil jarinya menunjuk kearah
seorang lelaki di situ.
“Lelaki tu berkulit cerah dan suara
dia serak sikit”
“Eh..Pak Cik kenal ke? Saya kena
berterima kasih dengan dia. Dia yang tolong saya tadi”
“Kalau nak berterima kasih dengan
dia. Kamu kena ke kuburnya di hujung kampung” Jawab lelaki berkopiah tadi
selamba.
“Saya tak faham la, Pak Cik. Baru
tadi dia lari bersama saya” Zahira masih belum berpuas hati. “ Mustahil dia dah
mati”
“Yang kamu jumpa tu…… Roh Borhan,
anak Pak Cik. Roh dialah selama ini menyelamatkan orang dari menjadi mangsa
puaka jeti tu. Sebab tu aku minta kamu tenangkan diri tadi”
“Pak Cik dah takutkan saya
semula!!” Meremang semula bulu roma Zahira mengingatkan perbualan dia dengan
Borhan senja tadi. Matanya pula tiba-tiba menjadi sangat mengantuk.
Perbualan mereka tamat setelah
Zahira meminta kebenaran untuk tidur seketika. Dia terlalu letih untuk berbual.
Pemilik kedai, Pak Abu dan isterinya menemani Zahira sambil mengemas kedai
mereka. Mereka juga menyiapkan perkakasan untuk berniaga esok hari.
Sebuah kereta BMW berwarna hitam
dan Volkswagen Passad berhenti di perkarangan gerai. Seorang lelaki dan
perempuan separuh baya keluar dari kereta tersebut. Lelaki dan perempuan muda
pula muncul dari kereta yang satu lagi. Zahira tersedar apabila mendengar bunyi
pintu kereta ditutup.
“Mama, Papa !” jerit Zahirah,
lantas berlari kearah ibu dan bapanya.
“Kamu dah kenapa, Adik. Lari ke
sini senyap-senyap. Mujur kami dapat detect
location handphone kamu bila kamu ‘on’kan tadi” Bebel Tuan Munawar. Marahnya
pada Zahira meluap-luap, namun ditahan mengenangkan keadaan emosi anaknya itu.
“Dah la, Papanya pun. Dia dah ada
kat depan mata kita ni. Emosi dia kan tak stabil lagi” Bingkas Hajah Kalsom
menenangkan suaminya.
“Mana kereta Adik?” lelaki yang
keluar dari kereta Volkwagen Passad tadi bertanya. Zahira menunjuk kearah
sebuah kereta pesona berwarna biru yang dipakir berhampiran jeti.
“Bak kunci. Angah dan Kak Lin
pergi ambik” lelaki tadi memberi arahan.
“Adik tak boleh bagi Angah dan
Kak Lin ke sana. Bahaya!”
“Bahaya apanya?. Papa tak bagi
kamu drive dalam keadaan macam ni” Tuan Munawar meningkah.
“sana ada hantu air,Papa” terang
Zahira. Semua yang ada memandang kearahnya.
“Apa yang kamu merepek ni adik?
Bagi ajelah kunci tu. Lepas ni, kita balik rumah ya, Dik” Hajah Kalsom memujuk.
“Apa yang anak tuan cakap tu
betul. Kami yang berniaga kat sini pun tak berani nak ke jeti tu malam-malam.
Jadi apa-apa nanti , susah” Pak Abu yang tadinya hanya memerhati bersuara.
“kalau dah macam tu. Esok saja
kita ambil” Tuan Munawar memberi keputusan. Zahira beriringan ibunya berjalan
memasuki kereta.
“Adik dah Ok ke?” Iskandar yang
dipanggil Angah bertanya. Mereka bertiga pulang ke rumah dengan satu kereta.
“Adik Ok, Ngah. Apa yang jadi
tadi buat adik tersedar la. Ingatkan hantu pengantin tu romantik, rupanya nak
perangkap orang sahaja” Cerita Zahira.
“Adik nampak pengantin tu… Cantik
tak” Kak Lin di kerusi belakang bertanya.
“Cantik sangat Kak…sampai nak
terkeluar biji mata diaorang” ujar Zahira.
“Ish..seram la pulak”
“Siapa pengantin-pengantin tu?
Adik tahu tak?”
“Adik pun baru tahu. Pak Abu yang
cerita. Sebenarnya kedua-dua pengantin tu memang sudah berkahwin, kahwin lari.
Akhirnya mereka tertangkap. Pihak perempuan tidak sukakan pengantin lelaki.
Sebab dia hanya bekerja sebagai sebagai pembantu di kedai besi buruk mereka
sahaja. Pengantin perempuan tu anak tokey kedai tu.”
“macammana diaorang boleh
tersangkut kat sini pulak?” Kak Lin menyampuk.
“Pengantin lelaki kena belasah
teruk selepas mereka tertangkap. Dia dikurung di dalam sangkar anjing milik
tokey tersebut. Entah macam mana, pengantin perempuan yang dikurung di bilik
dapat melepaskan diri. Dia pun ambil kesempatan lepaskan suami dia. Mereka
berdua melarikan diri ke Bandar. Sewa pakaian kot dan gaun kahwin di salah satu
butik terkenal kat Bandar tu. Lepas tu mereka ke sini berdua untuk membunuh
diri bersama dengan pakaian kahwin tu”
“Wah! Boleh tahan jugak cerita
ni. Antara dua darjat ni” Ulas Zulkarnain. Dia memperlahankan kereta untuk
mendengar cerita Zahira.
“Angah bawak kereta elok-elok.
Nanti kita pula yang ke laut” Tegur Kak Lin.
“Ada lagi tau. Masa diaorang
terjun ke laut tu. Anak Pak Abu yang nama Borhan tu nampak. Apa lagi, dia pun
terjun ke laut untuk selamatkan pasangan tu. Malangnya, pasangan tu memang tak
mahu diselamatkan, lalu Borhan ditarik bersama lemas di kawasan jeti tu. Lepas
tu, semua yang ke jeti itu akan ditarik untuk lemas bersama di dalam laut.
Mujur jeti itu sudah ditutup, selepas tsunami dulu. Ada jeti baru yang dibina
tidak jauh dari sini”
Mereka terdiam seketika selepas
mendengar Zahira bercerita.
“Topi Fikri dah hilang masa adik
lari tadi” luah Zahira dengan nada sedih.
“Adik kena lupakan dia. Adik jadi
macam tadi pun sebab masih terkenang-kenangkan orang yang dah tak ada” Nasihat
Kak Lin.
“Jasad dia sahaja yang tak ada
Kak. Dalam hati ni, Fikri masih hidup. Kalau boleh Adik nak jadi macam hantu
pengantin tu. Sehidup semati”
“Adik jangan buat gila. Yang
pergi takkan kembali lagi tau. Doakan sahaja untuk tunang adik tu” Nasihat Kak
Lin lagi.
“Sampai sekarang ni pun tak ada
siapa yang faham perasaan Adik” ucap Zahira sambil mengesat air mata. Dia terus
membisu.
Zulkarnain memberhentikan kereta
tidak jauh dari jeti. Dia dan Kak Lin ke situ untuk membawa pulang kereta
Zahira.
“Adik jangan keluar. Duduk je
dalam kereta. Orang tak bagi ikut tadi, nak ikut jugak. Apa-apa jadi nanti kan
susah.” Leter Zulkarnain kepada Zahira. Adiknya itu hanya membisu.
“Kak Lin bawak kereta ni. Angah
je yang pandu kereta adik” Arahnya kepada Kak Lin.
Zahira merenung kearah jeti dan
kawasan sekeliling. Matanya tertacap kepada sesuatu yang berada diatas kerusi
yang dia duduk semalam.
“Adik nak keluar sekejap” Zahira
membuka pintu kereta dan menghala ke arah pantai.
“Angah dah pesan jangan keluar
dari kereta!!” jeritan Kak Lin langsung tak dipedulikan. Zulkarnain yang
melihat segera keluar dari kereta Zahira dan mengekorinya.
“kenapa Dik!” Soal Zulkarnain
sebaik melihat Zahira.
“Topi Fikri ni. Adik yakin Borhan
yang letakkan di sini.”
“Adik ni fikir macam-macamlah.
Entahkan topi ni tak kemana-mana semalam” Tingkah Zulkarnain sambil menarik
tangan Zahira untuk ke kereta semula.
“Terima kasih, Borhan” ucap
Zahira sambil memalingkan kepala.
Tiba-tiba angin bertiup kencang
dari biasa. Topi yang ada ditangan Zahira melayang semula ke belakang. Dia
meloloskan tangan dari pegangan Zulkarnain dan berlari mengejar topi Fikri.
Topi itu jatuh betul-betul diatas kerusi, tempat Zahira mengambilnya tadi.
Suara garau Borhan mencecah
cuping telinga Zahira. “ Saya dah sampaikan salam Cik kepada Fikri. Dia minta Cik teruskan hidup macam biasa. Perjalanan hidup dan cinta dia dengan Cik setakat ini sahaja, dan Cik masih lagi ada laluan hidup yang perlu ditempuhi. Dia juga minta Cik doakan dia selamat di sana..”
Zahira terdiam sambil memegang
topi Fikri di tangan. Matanya cuba mencari empunya suara namun sia-sia.
“Adik, jom balik. Angah rasa seram
semacam je ni!” Zulkarnain datang semula dan menarik tangannya untuk pulang.