Home Cerpen Umum Mata Hati Merdeka
Mata Hati Merdeka
Zhar Aruzi Hairi
16/9/2017 21:52:43
3,313
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Nyanyian lagu tamil yang berentak rancak itu menjadi halwa telinga di kedai gunting. Tangan si tukang gunting rancak bekerja mengikut irama lagu. Dua tiga orang pelanggan masih memenuhi ruang tempat menunggu.


Ahmad Husni menyisir rambutnya ke kanan. Kemudian ditariknya dari belahan rambut itu ke kiri. Satu garis tegak di bahagian kiri rambutnya kelihatan hingga kulit kepala. Ada yang kehairanan melihat lagaknya menyisir rambut tanpa memandang cermin.


“Amacam. Mau lagi pendek?” Maniam dengan gunting di tangan bertanya. Dia hanya menggeleng kepala.


“Dah kemas ni. Kalau rambut macam ni, masuk perbarisan pun aku sanggup” Seloroh Ahmad Husni sambil menyarung songkok ke kepala. Dia meraba-raba tongkatnya yang diletakkan di tepi kerusi tempat bergunting tadi.


“Berapa?”


“Tak payah bayar Mat.Promosi Merdeka.” Maniam cepat-cepat memintas.


“Kau tu berniaga Maniam. Seringgit pun ada harga”


“Tapi tiada yang lebih berharga dari persahabatan kita kan..” Ayat yang penuh bermakna dari Maniam membuat dia terdiam.Secara senyap-senyap, jarinya sempat menyepit note merah dicelah kerusi tempat bergunting tadi.


“Jom Johan. Atuk nak balik!” Telinga Ahmad Husni dapat menangkap bunyi permainan video yang dimainkan cucunya di telefon bimbit. Budak itu begitu asyik dengan permainan video di telefon hingga lupa yang datuknya sudah selesai bergunting. Kelam kabut dia menyambut tangan dan memimpin atuknya keluar.


“Hoi! Tunggu dulu Mat”Laung Maniam sebelum sempat dia melangkah jauh. Dia berhenti sebentar.


“Ambik duit kau ni.Susah tau kalau aku terjumpa duit di celah-celah kerusi aku tu…entah berapa puluh ringgit  dah yang aku jumpa…Ish... Kau tak pernah pun terhutang dengan aku apa-apa. Jasa kau pada aku dulu masa buka kedai ni, belum tentu aku boleh balas kesemuanya”


Ahmad Husni hanya mampu tersenyum. Dia pun sudah mati kata-kata.


Lelaki India itu kembali semula ke kedainya sebaik ada pelanggan lain masuk. Ahmad Husni berdengkot-dengkot menyusun langkah mengikut cucunya ke motosikal yang dipakir di hadapan kedai gunting itu. Kaki palsunya di bahagian kanan terasa kebas kerana duduk lama semasa bergunting lagi.


Dia tersenyum sambil membayangkan muka Maniam yang bermisai tebal itu. Wajah semasa muda belia masih terlekat kukuh di mindanya. Cuma sekarang ini dia hanya mampu berimiginasi.Mungkin rambut dan misai sahabatnya itu sudah mulai memutih.

 


“Keropok, kuih baulu,kuih samprit…”


Suara yang sangat dikenalinya menerjah corong telinga Ahmad Husni.


“Johan, Kau panggil si Jais tu. Kata kat dia, atuk nak baulu sebungkus”


Johan melaungkan namaJais tiga kali sebelum budak lelaki itu muncul beriringan dengan seorang kanak-kanak lelaki.


“Nak beli apa?” Tanya Jais dengan senyuman.


“Awal kau berniaga hari ni? Datang dengan siapa?”


“Pak Maddd!! Lama tak jumpa..Jais berniaga dengan adik hari ni” Budak lelaki buta itu berlari ke arah suara yang di dengarinya. Lelaki tua itu dipeluk di bahagian pinggang. Lelaki tua itu turut terhibur dengan lagak itu.


“Kamu ni…rajin betul cari duit”


“ kalau tak tolong diri sendiri, siapa yang nak tolong? Pak Mad jugak yang ajarkan macam tu”


“Dah..dah.. Bagikan aku baulu sepeket”


Satu paket kuih baulu diserahkan ke tangannya.


“Berapa?”


“Percuma untuk Pak Mad,sempena hari Merdeka”


“Kau ni berniaga Jais.Mana mau cari untungnya kalau asyik bagi percuma macam ni”


Budak lelaki buta itu tertawa.


“Dulu, Pak Mat yangsuruh saya cuba berniaga. Sekarang ni dah ada untung sikit. Bagi percuma sepeket dua pun tak apa. Cuma..kalau dah percuma, Pak Mat kena la promosi kuih saya kat orang lain pulak”


Ahmad Husni tersenyum.Dia faham sangat teknik pemasaran budak buta ini.


“Ye lah...Memang selalu aku promote barang jualan kamu..”


 

Suara orang memberi salam kedengaran. Diikuti dengan bunyi tapak kaki orang berlari ke pintu.Kemudian bunyi tapak kaki itu menghampiri Ahmad Husni dan berhenti.


“Siapa datang?”


“Entah…Tapi orang tu nak jumpa Atuk.” Petah sahaja suara kecil itu menjawab.


“Aah…. Kamu ke dapur.Minta Mak kamu buatkan air. Ada tetamu datang”


Ahmad Husni meraut mukanya. Dia sering menerima tamu yang tak diundang. Rakan-rakan lama, mahupun saudara mara. Nada suara mereka sahaja yang dijadikan panduan untuk mengenali siapa yang datang.


Menjadi seorang yang hilang deria penglihatan menjadikan hidupnya agak sulit. Sebagai seorang yang sempurna deria dahulunya, dia sangat-sangat terasa kehilangan nikmat deria yang satu ini. Selain itu, kehilangan kaki kirinya turut membuatkan langkahnya terasa tempang. Bertatih juga Ahmad Husni bertahun-tahun untuk menerima hakikat dirinya yang kini bergelar orang kurang upaya.


“Assalamualaikum, Pak Mad”


Dia menyambut salam dan tangan yang dihulur. Memorinya gagal menangkap gerangan suara lelaki mana yang duduk di hadapannya sekarang.


“Siapa ni?”


“Saya Izhar, Anak arwah Sulaiman. Sahabat lama Pak Mad”


Sebaik nama Sulaiman disebut dia terdiam seketika. Mata dan kaki kirinya seakan terasa sakitnya.Semua yang berlaku ketika itu seakan dimainkan semula di mindanya.

 


“ Leman, hati-hati lalu kat kawasan tu. Tunggu arahan Sarjan, baru kita jalan”


Ahmad Husni bersuara.Senjata M-16 dibidikkan meliar ke arah semak samun. Sulaiman sudah mulai melangkah ke kawasan yang dikatakan sarang musuh.


“Kita yang di depan Mad, apa-apa yang jadi kita yang bagi laporan. Kita ke depan dulu. Baru jelas apa yang ada kat sana”


“Kena ingat Leman, ini kawasan mereka. Senang-senang nanti kita masuk perangkap!”


“Ish…Kita lagi cerdik dari Komunis tu…Jom”


Sebelum sempat melangkah jauh, Mata Ahmad Husni sempat menangkap jalur kecil melintang dihadapa mereka.


“Jerangkap samar!!”


Tubuh Sulaiman yang menerpa ke hadapan ditolak ke tepi. Saat itu juga letupan kuat berlaku. Dunia dia terus gelap dari saat itu. Dua turut kehilangan kaki kiri.



“ Ya Allah!!” Ayat itu membawa dia ke alam nyata semula. Peluh menitis di dahinya walau hatinya kembali tenang.


“Innalillahiwainnailaihirajiun…Maaf, Pakcik baru tahu hal ni” Sambung Ahmad Husni.


“Tak apa Pak Mad. Saya ke sini pun atas urusan wasiat dari arwah”


Satu kotak kecil diletakkan di hadapan Ahmad Husni.


“Kotak ni Arwah pesan suruh serahkan pada Pak Mad kalau dia meninggal. Dalam ni semua gambar-gambar semasa Pak Mad dan Arwah sama-sama dalam tentera dulu. Arwah nak Pak Mad simpan dan tengok nanti”


“Hmmm…Setakat simpan tu boleh la. Untuk tengok gambar-gambar tu mustahil sangat” Senyum Ahmad Husni meleret.


“Ada satu lagi wasiat yang kena saya sampaikan. Mata ayah telah diambil sebelum dia meninggal dahulu.Dia wasiatkan mata tu diserahkan kepada Pak Mad. Kos pembedahan nanti, kami sekeluarga akan tanggung. Ayah rasa bersalah sangat terhadap apa yang telah terjadi kepada Pak Mad..”


Wasiat kedua ini membuatkan Ahmad Husni terdiam seketika.Dia tidak menyangka sampai begitu sekali permohonan maaf sahabatnya itu. Itu adalah antara perkara yang sangat-sangat diinginkannya. Kebolehan untuk melihat semula seperti dahulu.Tidak terbayang dalam dirinya perkara-perkara yang mahu dilihatnya selepas ini.Hidupnya akan menjadi lebih mudah.


“ Pak Cik tak tahu nak cakap macam mana. Cuma terima kasih sebab sampaikan wasiat Ayah kamu kepada Pakcik. Semua yang berlaku tu dah tersurat. Pakcik terima dengan seikhlas hati.Tak pernah pun Pakcik simpan apa-apa. Hmmm…Dah selalu sangat Pakcik ulang ayat ni bila kami berdua bersembang…”


“Terima kasih Pak Mad!”

 


“ Pakcik dah sedia!” suara doktor tergiang di telinga Ahmad Husni. Dia hanya mengangguk.


“Kami akan buka balutan sekarang”


Ahmad Husni tergamam seketika apabila tubuhnya tiba-tiba dipeluk erat. Esak tangisan kedengaran di bahunya.Tangan kanannya pula mengusap lembut rambut remaja lelaki yang memeluknya.


“Jais memang nak tengok Tok Mad dulu…sebelum tengok dunia luar. Terima kasih Tok Mad!”


Jais melonggarkan pelukannya. Jelas di hadapannya tubuh lelaki tua yang sanggup memberikan mata yang didermakan kepadanya kepada budak itu. Pembedahan itu berjaya memulihkan indera penglihatan budak lelaki itu.


“Tok Mad nak Jais berjaya. Kalau waktu buta pun Jais dah bersungguh-sungguh. Dah celik ni, Jais boleh usaha lebih lagi”


“Pak Mad tak mahu celik ke? Bagi mata ni kat Jais”


“Pak Mad memang mahu sangat nampak macam dulu. Tapi dengan upaya yang ada sekarang ni, apa sangat yang mampu Pak Mad buat. Setakat yang dulu tuhan bagi tu, pun dah cukup.Sekarang ni dengan keluarga yang boleh jaga Tok Mad elok-elok, baik Tok Mad bagi mata tu pada yang muda macam kamu. Lagi jauh jalan yang kamu nak lalu”


“Pak Mad tahu tak esok kita sambut merdeka. Tapi, Jais dah rasa merdeka sekarang ni. Jais dah dapat tengok semua yang dulunya Jais setakat boleh rasa sahaja”


Ahmad Husni bangun sekejap. Dia merasa lenguh di bahagian kaki. Lagipun ada benda yang hendak disuarakannya.


“Merdeka tu macam kamu beroleh mata ni.. Bebas. Sebebas yang kamu mahu untuk melihat apa sahaja. Tapi mata tu kamu kena jaga betul-betul. Tengok perkara yang elok-elok. Jumpa doktor mata kalau ada masalah. Guna mata tu untuk tuntut ilmu sampai berjaya. Jaga mata tu jangan sampai kamu buta kembali…ingat tu. Macam juga merdeka. Kita memang sudah merdeka, tapi pengisiannya bagaimana?. Kekalkah kita merdeka sampai bila-bila?...Kami wariskan Merdeka pada kamu selaku generasi baru, untuk kamu jaga keluhurannya sampai bila-bila.”


Jais dan semua yang ada terkesima seketika. Apa yang diluahkan oleh Ahmad Husni melekat di fikiran mereka. Suara orang lama, seakan amanat yang harus dipegang sampai bila-bila.


“ Ingat pesan Tok Mad tau…Tahu tak sebab apa Tok Mad teringat nak bagi mata kat Jais?” kata Ahmad Husni. Bebanan amanatnya tadi mahu dilonggarkan sedikit.


“Tak tahu Tok Mad”


“Sebab Jais selalu bagi baulu free kat Tok Mad!” Seloroh Ahmad Husni.


Dia merasa tubuhnya dipaut erat sekali lagi!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.