Home Cerpen Seram/Misteri Pengantin Senja
Pengantin Senja
Zhar Aruzi Hairi
9/10/2016 10:41:24
5,149
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Pengantin Senja

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Petang hampir beralih ke senja. Angin selatan yang bertiup menyapa tubuh gadis yang masih termenung di bangku berhampiran. Disebelahnya diletakkan topi berwarna merah dengan logo sauh berwarna putih. Matanya merenung jauh ke arah jeti yang memanjang hingga ke dalam laut.

Beberapa bulan yang lalu,

“Kenapa abang tak nak balik lagi?” Zahira bersuara manja, bertanyakan kepada tunangnya Fikri yang duduk disebelahnya.

“Abang nak tengok sunset kat sini. Cantik kata orang” Jawab Fikri sambil membalas renungan Zahira. Kasihnya bertaut rapat kepada gadis hitam manis itu. Hatinya cair memandang senyuman tunangnya itu.

“Kat pantai tadi lagi cantik rasanya. Ada batu, pokok dan bot-bot nelayan kat situ” Ujar Zahira.

“Kat sini ada pemandangan yang tak ada kat mana-mana pantai” Kata Fikri lalu menyentuh hujung tudung Zahira. Manik yang ada dipintal-pintal sambil memandang wajah tunangnya.

“Apa yang special sangat dekat sini?” Zahira mulai berminat.

“Di sini ada sepasang pengantin yang hanya akan muncul pada waktu senja. Diaorang akan menikmati suasana itu dan kemudiannya hilang apabila tiba waktu malam. Hmmm…Romantik dan seram” Cerita Fikri.

“Macammana abang tahu. Tak pernah dengar pun?”

“Hal ni hanya orang tempatan je yang tahu. Tak ada orang nak hebohkan pun. Abang tahu pun dari tokey kedai makan di sini yang cerita. Masa tu, Abang dan kawan-kawan nak sewa bot di sini untuk memancing ke Pulau Tengah”

“Abang tak takut ke? Nak tengok benda-benda macam tu!”

“Tak ada apa yang nak ditakutkan. Belum ada yang mati sebab tengok hantu kat sini” Jawab Fikri sambil tersenyum. “Sekurang-kurangnya ada motivasi sikit kita yang dah nak kahwin ni. Pengantin senja ni dah buktikan untuk hidup dan mati bersama “

“Abang nak kita hidup dan mati bersama?”

“Tak salah kan. Abang memang tak sanggup hidup lagi kalau Ira dah tak ada” Ucap Fikri bersungguh-sungguh. Tangan kanannya mencapai dan menggenggam erat tangan kiri Zahira.

“Dah sejam Bang, bayang pengantin pun tak nampak” Zahira sudah mulai risau kerana hari semakin gelap.

“Diorang malu kat kita agaknya. Dah, Jom balik” Ajak Fikri.

Perempuan di kerusi tadi masih merenung ke laut. Kali ini tangan kirinya menyentuh topi yang diletakkan bersebelahan tadi.

“Ira datang sini nak tengok pengantin tu bang” Ucap gadis itu separuh berbisik.

“Kalau boleh, Ira nak mintak tolong diaorang sampaikan salam pada abang” sambungnya lagi, sebak. Cairan jernih mulai menakung di tubir matanya dan kemudiannya menitis melintasi pipi.

“Ira rindukan abang !!!”

“Selamat Tengahhari Puan” Pegawai polis bukan melayu yang mengetuk pintu tadi memulakan perbualan.“Saya mencari Cik Zahira”

“Sayalah Zahira” Zahira memperkenalkan diri dan membuka grill pintu.

“Saya Inspektor Ramaloo dan ini pembantu saya Konstable Jamali. Kami ke sini untuk minta puan kenalpasti satu objek” Inpektor Ramaloo mengeluarkan bungkusan plastik yang mengandungi sebuah topi berwarna merah dengan logo sauh.

“Puan kenal topi ini?”

“Ini macam topi tunang saya, Fikri” Akui Zahira. Dia mulai tidak keruan memikirkan sesuatu yang buruk mungkin berlaku kepada Fikri.

“Dalam beberapa jam sebelum ini, ada dia menghubungi Puan”

“Tak ada. Kami cuma berbual tengahhari semalam. Dia dalam perjalanan ke Pulau Tengah. Apa yang berlaku kepada Fikri tuan !!”

“Begini Puan. Sebenarnya kami mengesyakki tunang puan telah lemas semasa memancing di Pulau Tengah. Cuma pancing dan topi ini sahaja yang dijumpai di tempat kejadian.”

“Ya Allah!!!!” Zahira terduduk dan menangis. Dia kemudiannya ditenangkan oleh ibunya yang keluar,sebaik mendengar dia menjerit.

“Bahaya cik sorang-sorang kat kawasan jeti ini!!” satu suara menegur dari belakang.

Zahira menoleh dan melihat seorang lelaki memakai uniform biru laut. Lagaknya seolah seorang pekerja di pelantar minyak.

“Boleh saya temankan?” Tanya lelaki itu lagi.

Zahira hanya mendiamkan diri. Lelaki itu mengambil tempat duduk di atas tunggul kayu yang ada berhampiran.

“tunggu siapa Cik? “ soal lelaki itu lagi. Zahira mencapai topi yang diletakkan disebelah tadi dan dihenyak diatas paha.

“Tunggu pengantin tu kannn..” Lelaki itu membuat tekaan. Ungkapan itu membuatkan Zahira berpaling.

“Mana awak tahu ni?” soalnya marah.

”Kalau orang masih di sini, waktu sekarang ni. Tak ada tujuan lainlah.”

“Ya. Memang tu tujuan saya. Boleh nampak ke?. Sebelum ni saya pernah cuba. Tak nampak apa-apa” Balas Zahira. Amarahnya mulai reda. Sekurang-kurangnya dia ada teman berbual.

“Ramai yang nak tengok, tapi tak tahu caranya”

“Ada cara nak tengok ke?”

“Haa.. tu la saya cakap tadi. Ramai yang buang masa menunggu sahaja. Mula-mula Cik tengok matahari merah yagn mulai jatuh tu. Kemudian pejamkan mata. Buat kiraan sampai sepuluh, lepas tu buka mata perlahan-lahan. Cik kena buat sekarang”

Zahira pun melaksanakan saranan lelaki tadi. Apabila matanya dibuka perlahan-lahan, ternampaklah sosok lelaki dan perempuan berpegangan tangan di hujung jeti. Yang lelaki berkot lengkap dan yang perempuan bergaun pengantin labuh berwarna putih. Muka mereka tidak kelihatan kerana menghadap kearah matahari jatuh.

“Saya nampak diaorang la” Jerit Zahira ceria.

“Abang, saya nampak pengantin senja” Jeritnya lagi sambil mencium topi yang dipegang tadi.

Zahira memerhati dengan penuh minat. Kedua-dua mempelai di jeti itu tidak bergerak-gerak langsung. Kelibat mereka kelihatan jelas berlatarkan warna kemerahan matahari jatuh.

Selang beberapa minit, Zahira bangun menuju ke arah jeti.

“Cik nak ke mana?, jeti tu bahaya. Kayunya dah reput” Lelaki yagn menemaninya tadi bersuara.

“Aku nak jumpa pengantin tu!!!” Zahira yang tadinya berjalan menukar langkah berlari. Kakinya mulai memijak kayu-kayu yang dijadikan lantai jeti.

“kalau Cik nak mati, di sini bukan tempatnya” lelaki tadi melaung sambil berlari.

“Dan kalau Cik mati, belum tentu Cik dapat berjumpa dengan tunang cik”

Larian Zahira diatas jeti tiba-tiba terhenti. “Macammana awak tahu pasal tunang saya?”

“saya nampak Cik berdua masa mula-mula datang ke sini dulu”

“Macammana awak tahu dia dah tak ada?”

“Topi yang Cik pegang tu bukti dia dah tak ada” Balas lelaki itu. “Kalau Cik terus berlari, Laut akan menelan Cik. Sama macam pengantin tu”

“Aku nak mati ke, nak terjun laut ke. Buat apa saudara ambil kisah…Laut ni dah ambil tunang saya. Sekarang ni biar dia ambil saya pulak.” Luah Zahira dengan air mata yagn berderai. “saya dah tak nak hidup”

“sabar Cik. Kalau cik terjun pun, tak mungkin Cik dapat berjumpa dengan dia. Sia-sia nanti Cik ke neraka kerana bunuh diri. Cik tak akan bersama macam pengantin tu”

“Saudara nasihatkan orang macamlah faham sangat dengan apa yang saya alami sekarang ni. Kalau ikutkan, malam ni kami akan bernikah tau. Saya sangat-sangat rindukan dia.”

“Kalau cik sayangkan dia. Cik doakan banyak-banyak untuk dia”

Zahira melihat kedua-dua pengantin yang tadinya memerhatikan kearah laut mulai berpaling kepadanya. Kedua-duanya berwajah pucat kebiruan dengan mata yang kehitaman dan menakutkan. Perlahan-lahan kedua-duanya berjalan menuju kearah Zahira dan lelaki tersebut.

“Lari Cik, pengantin tu nak tarik kita ke dalam laut!!!!” jerit lelaki tadi. Serentak dengan itu Zahira meluaskan langkah lariannnya ke arah bertentangan. Rasa sedihnya kini bertukar menjadi takut.

Kedua-dua pengantin tadi meloloskan diri ke bawah jeti dan tenggelam di dalam laut. Kedua-duanya muncul kembali di permukaan air dengan renangan yang pantas. Tangan kedua –duanya digawang keatas untuk menarik kaki Zahira menerusi lubang-lubang antara kayu. Kesan cakaran kuku kelihatan pada kayu sebaik tangan dihulur untuk menarik kaki mangsa mereka ke dalam air.

Plomp!!!

Zahira terpijak kayu reput dan hampir hilang imbangan badan. Ada sesuatu yang mencengkam kasutnya dari dalam air. Dia meloloskan kaki dan membiarkan kasutnya dicengkam ke dalam air. Kasut yang sebelah lagi turut dicampak ke laut.

Lelaki yang bersamanya tadi sudah tidak kelihatan. Zahira tidak sempat lagi menoleh kemana-mana. Dia mahu segera memijak daratan. Topi yang dipengangnya tadi dicampak entah ke mana.

Arrrghhhh !!!!

Suara lolongan dari dalam air dengan kelibat yang hanya nampak kepala menandakan Zahira tidak lagi diburu. Setelah memusingkan kepala ke kiri dan kanan, perlahan-lahan kedua-dua pengantin hilang dari permukaan air.

Zahira pula berlari ke gerai berhampiran untuk meminta pertolongan.

“Tolong saya.. ada hantu !!!!” Jerit Zahira sebaik melihat beberapa orang lelaki di situ.Semua yang ada memandang ke arah Zahira.

“Cepat ke sini!!! Benda tu tak naik ke darat” laung lelaki berkopiah dari dalam gerai, seolah dapat meneka apa yang berlaku pada Zahira.Dia melambai tangan memanggil Zahira masuk ke kedainya.

Zahira terus duduk di salah satu kerusi di dalam gerai. Nafasnya berombak kencang.

“Nah! Baca Al-Fatihah dan minum air ni” Lelaki berkopiah tadi keluar dari dapur dan menyerahkan segelas air masak. Minuman itu dicapai dan mulutnya terkumat kamit membaca al Fatihah. Kemudiannya dia meneguk air di tangannya perlahan-lahan.

“Apa yang kamu buat sorang-sorang kat Jeti tu” Tanya lelaki berkopiah tadi. Beberapa lelaki yang datang berkerumun ke meja Zahira.

“Saya bukan seorang. Ada lagi seorang kawan tadi. Entah kemana dia lari" Ujar Zahira. Geruhnya mulai berkurangan. Mungkin air yang diteguknya tadi begitu mujarab.

“Lelaki ke?” Suatu suara bertanya.

“Ya. Pakai uniform macam abang tu. Rambut dia botak sikit” Sambung Zahira sambil jarinya menunjuk kearah seorang lelaki di situ.

“Lelaki tu berkulit cerah dan suara dia serak sikit”

“Eh..Pak Cik kenal ke? Saya kena berterima kasih dengan dia. Dia yang tolong saya tadi”

“Kalau nak berterima kasih dengan dia. Kamu kena ke kuburnya di hujung kampung” Jawab lelaki berkopiah tadi selamba.

“Saya tak faham la, Pak Cik. Baru tadi dia lari bersama saya” Zahira masih belum berpuas hati. “ Mustahil dia dah mati”

“Yang kamu jumpa tu…… Roh Borhan, anak Pak Cik. Roh dialah selama ini menyelamatkan orang dari menjadi mangsa puaka jeti tu. Sebab tu aku minta kamu tenangkan diri tadi”

“Pak Cik dah takutkan saya semula!!” Meremang semula bulu roma Zahira mengingatkan perbualan dia dengan Borhan senja tadi. Matanya pula tiba-tiba menjadi sangat mengantuk.

Perbualan mereka tamat setelah Zahira meminta kebenaran untuk tidur seketika. Dia terlalu letih untuk berbual. Pemilik kedai, Pak Abu dan isterinya menemani Zahira sambil mengemas kedai mereka. Mereka juga menyiapkan perkakasan untuk berniaga esok hari.

Sebuah kereta BMW berwarna hitam dan Volkswagen Passad berhenti di perkarangan gerai. Seorang lelaki dan perempuan separuh baya keluar dari kereta tersebut. Lelaki dan perempuan muda pula muncul dari kereta yang satu lagi. Zahira tersedar apabila mendengar bunyi pintu kereta ditutup.

“Mama, Papa !” jerit Zahirah, lantas berlari kearah ibu dan bapanya.

“Kamu dah kenapa, Adik. Lari ke sini senyap-senyap. Mujur kami dapat detect location handphone kamu bila kamu ‘on’kan tadi” Bebel Tuan Munawar. Marahnya pada Zahira meluap-luap, namun ditahan mengenangkan keadaan emosi anaknya itu.

“Dah la, Papanya pun. Dia dah ada kat depan mata kita ni. Emosi dia kan tak stabil lagi” Bingkas Hajah Kalsom menenangkan suaminya.

“Mana kereta Adik?” lelaki yang keluar dari kereta Volkwagen Passad tadi bertanya. Zahira menunjuk kearah sebuah kereta pesona berwarna biru yang dipakir berhampiran jeti.

“Bak kunci. Angah dan Kak Lin pergi ambik” lelaki tadi memberi arahan.

“Adik tak boleh bagi Angah dan Kak Lin ke sana. Bahaya!”

“Bahaya apanya?. Papa tak bagi kamu drive dalam keadaan macam ni” Tuan Munawar meningkah.

“sana ada hantu air,Papa” terang Zahira. Semua yang ada memandang kearahnya.

“Apa yang kamu merepek ni adik? Bagi ajelah kunci tu. Lepas ni, kita balik rumah ya, Dik” Hajah Kalsom memujuk.

“Apa yang anak tuan cakap tu betul. Kami yang berniaga kat sini pun tak berani nak ke jeti tu malam-malam. Jadi apa-apa nanti , susah” Pak Abu yang tadinya hanya memerhati bersuara.

“kalau dah macam tu. Esok saja kita ambil” Tuan Munawar memberi keputusan. Zahira beriringan ibunya berjalan memasuki kereta.

“Adik dah Ok ke?” Iskandar yang dipanggil Angah bertanya. Mereka bertiga pulang ke rumah dengan satu kereta.

“Adik Ok, Ngah. Apa yang jadi tadi buat adik tersedar la. Ingatkan hantu pengantin tu romantik, rupanya nak perangkap orang sahaja” Cerita Zahira.

“Adik nampak pengantin tu… Cantik tak” Kak Lin di kerusi belakang bertanya.

“Cantik sangat Kak…sampai nak terkeluar biji mata diaorang” ujar Zahira.

“Ish..seram la pulak”

“Siapa pengantin-pengantin tu? Adik tahu tak?”

“Adik pun baru tahu. Pak Abu yang cerita. Sebenarnya kedua-dua pengantin tu memang sudah berkahwin, kahwin lari. Akhirnya mereka tertangkap. Pihak perempuan tidak sukakan pengantin lelaki. Sebab dia hanya bekerja sebagai sebagai pembantu di kedai besi buruk mereka sahaja. Pengantin perempuan tu anak tokey kedai tu.”

“macammana diaorang boleh tersangkut kat sini pulak?” Kak Lin menyampuk.

“Pengantin lelaki kena belasah teruk selepas mereka tertangkap. Dia dikurung di dalam sangkar anjing milik tokey tersebut. Entah macam mana, pengantin perempuan yang dikurung di bilik dapat melepaskan diri. Dia pun ambil kesempatan lepaskan suami dia. Mereka berdua melarikan diri ke Bandar. Sewa pakaian kot dan gaun kahwin di salah satu butik terkenal kat Bandar tu. Lepas tu mereka ke sini berdua untuk membunuh diri bersama dengan pakaian kahwin tu”

“Wah! Boleh tahan jugak cerita ni. Antara dua darjat ni” Ulas Zulkarnain. Dia memperlahankan kereta untuk mendengar cerita Zahira.

“Angah bawak kereta elok-elok. Nanti kita pula yang ke laut” Tegur Kak Lin.

“Ada lagi tau. Masa diaorang terjun ke laut tu. Anak Pak Abu yang nama Borhan tu nampak. Apa lagi, dia pun terjun ke laut untuk selamatkan pasangan tu. Malangnya, pasangan tu memang tak mahu diselamatkan, lalu Borhan ditarik bersama lemas di kawasan jeti tu. Lepas tu, semua yang ke jeti itu akan ditarik untuk lemas bersama di dalam laut. Mujur jeti itu sudah ditutup, selepas tsunami dulu. Ada jeti baru yang dibina tidak jauh dari sini”

Mereka terdiam seketika selepas mendengar Zahira bercerita.

“Topi Fikri dah hilang masa adik lari tadi” luah Zahira dengan nada sedih.

“Adik kena lupakan dia. Adik jadi macam tadi pun sebab masih terkenang-kenangkan orang yang dah tak ada” Nasihat Kak Lin.

“Jasad dia sahaja yang tak ada Kak. Dalam hati ni, Fikri masih hidup. Kalau boleh Adik nak jadi macam hantu pengantin tu. Sehidup semati”

“Adik jangan buat gila. Yang pergi takkan kembali lagi tau. Doakan sahaja untuk tunang adik tu” Nasihat Kak Lin lagi.

“Sampai sekarang ni pun tak ada siapa yang faham perasaan Adik” ucap Zahira sambil mengesat air mata. Dia terus membisu.

Zulkarnain memberhentikan kereta tidak jauh dari jeti. Dia dan Kak Lin ke situ untuk membawa pulang kereta Zahira.

“Adik jangan keluar. Duduk je dalam kereta. Orang tak bagi ikut tadi, nak ikut jugak. Apa-apa jadi nanti kan susah.” Leter Zulkarnain kepada Zahira. Adiknya itu hanya membisu.

“Kak Lin bawak kereta ni. Angah je yang pandu kereta adik” Arahnya kepada Kak Lin.

Zahira merenung kearah jeti dan kawasan sekeliling. Matanya tertacap kepada sesuatu yang berada diatas kerusi yang dia duduk semalam.

“Adik nak keluar sekejap” Zahira membuka pintu kereta dan menghala ke arah pantai.

“Angah dah pesan jangan keluar dari kereta!!” jeritan Kak Lin langsung tak dipedulikan. Zulkarnain yang melihat segera keluar dari kereta Zahira dan mengekorinya.

“kenapa Dik!” Soal Zulkarnain sebaik melihat Zahira.

“Topi Fikri ni. Adik yakin Borhan yang letakkan di sini.”

“Adik ni fikir macam-macamlah. Entahkan topi ni tak kemana-mana semalam” Tingkah Zulkarnain sambil menarik tangan Zahira untuk ke kereta semula.

“Terima kasih, Borhan” ucap Zahira sambil memalingkan kepala.

Tiba-tiba angin bertiup kencang dari biasa. Topi yang ada ditangan Zahira melayang semula ke belakang. Dia meloloskan tangan dari pegangan Zulkarnain dan berlari mengejar topi Fikri. Topi itu jatuh betul-betul diatas kerusi, tempat Zahira mengambilnya tadi.

Suara garau Borhan mencecah cuping telinga Zahira. “ Saya dah sampaikan salam Cik kepada Fikri. Dia minta Cik teruskan hidup macam biasa. Perjalanan hidup dan cinta dia dengan Cik setakat ini sahaja, dan Cik masih lagi ada laluan hidup yang perlu ditempuhi. Dia juga minta Cik doakan dia selamat di sana..”

Zahira terdiam sambil memegang topi Fikri di tangan. Matanya cuba mencari empunya suara namun sia-sia.

“Adik, jom balik. Angah rasa seram semacam je ni!” Zulkarnain datang semula dan menarik tangannya untuk pulang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.