Home Cerpen Alternatif Jambatan
Jambatan
Zhar Aruzi Hairi
31/8/2016 22:21:28
3,514
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif

Jambatan

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Cuaca panas membahang. Ayam-ayam yang sedang mencari makanan pun berlindung di bawah rimbunan redup pepohon. Sesekali ayam-ayam itu akan berlarian mengejar buah mempelam lembik yang baru gugur. Di situ juga mereka bertingkah sesama sendiri merebut rezeki.

Azri merakam semua yang berlaku didepannya dengan lensa mata.

"Tak jauh beza rupanya manusia dengan ayam ni. Rezeki yang datang, bukan untuk dikongsi, tapi dimonopoli. Yang lemah hanya mampu memerhati. Yang kuat pulak hanya memenuhkan temborok sendiri....ptuiiiih!!!!" Ludahnya mengejutkan ayam-ayam itu yang kemudiannya berselerakan lari.

Terkekeh-kekeh Azri tertawa melihatkan aksi ayam-ayam tadi. Dicapainya pula batu dibawah kaki dan digenggam kemas. Sebaik ayam-ayam tu berkerumun semula untuk mematuk mempelam yang gugur tadi. Dia segera melontar batu yang dipegang tadi. Bertempiaran ayam- ayam itu sekali lagi untuk menyelamatkan diri.

Sekali lagi, Azri terkekeh-kekeh ketawa sehingga merambu air mata.Entah apa yang dia rasa lucu sangat.

"Apa kena kamu ni.ayam tu tak buat apa-apa salah pada kamu pun. Yang kamu baling-baling tu kenapa?." Mak Esah menegur dari belakang. Hampir-hampir putus urat jantung Azri kerana terkejutkan Emaknya.

"Mak ni, buat orang terkejut je"

"Kamu tu, dah takde kerja sangat ke. Sampai ayam pun dah jadi mainan."

Azri tersipu-sipu. Kata-kata emaknya itu memang kena dengan tingkahnya tadi.

"Orang ada kerja la. Tunggu Hakim datang ambil kat sini."


Bunyi motosikal Hakim dengan ekzos buluhnya memecah kesunyian pagi. Membingit dan menyakitkan telinga. Terkocoh-kocoh Azri bangun menuju ke muka pintu. Mak Esah menurut dari belakang.

"Dah sampai pun malaun yang satu lagi ni. Motor tu dah macam bunyi motorbot. Bila kamu nak campak ke laut ni?" Perli Mak Esah. Hakim hanya tersengih. Derhaka pulak nanti kalau dia melawan cakap orang tua ni nanti.

"Mulut Mak kau macam puaka" bisik Hakim ke telinga Azri. Itu pun setelah ,Mak Esah berlalu ke dapur.

"Ko cakap baik-baik pasal mak aku. Hormat sikit. Memang mulut dia tak berlesen. Tapi dia tetap Mak aku tau."

"Ala bro, aku lepas cakap jer. Yang ko ni emo macam orang datang bulan dah kenapa?."

"Ko tu, dah la lambat. Dah sampai sini, bising la pulak. Panas tau aku tunggu lama- lama kat sini."

"Aku bukan sengaja Ri. Masa on the way tadi aku tersempak dengan Wak Mahat kayuh basikal bawak bendera banyak-banyak. Aku follow la."

Hakim menjolok jari telunjuknya ke dalam hidung dan menggerudi keluar sesuatu. Dipicit-picitnya bahan yang keluar itu sebelum dicampak ke tanah. Azri yang melihat pun merasa geli geleman di kerongkongnya.

"Orang tua tu buat apa dengan bendera-bendera tu?"

"Dia pasang kat jambatan kayu kat belakang surau lama tu."

"Laa.. bukan ada orang lalu sangat pun kat jambatan tu. Memang sah nyanyok dah orang tua tu."

" tu la.. aku ingat nak projek malam ni. Kebas bendera-bendera tu. Pastu pasang kat moto ni ngan kat depan rumah aku.Kau nak ikut?"

"Takkan nak kebas bendera orang tua tu. Kang tak pasal-pasal dia repot kat Tok Empat."

"Jangan la kebas semua sekali. Tinggal la sikit untuk Wak Mahat tu."

"Kalau dia perasan macam mana?"

"Eleh..benda macam tu pun kau tak tau nak kowtim. Cakap la angin tiup, masuk sungai."

"Kau ni, bab-bab macam ni memang otak kau pikap."

"Dah..jom kita ke rumah Uzair. Merajuk pulak mamat degree tu kalau kita tak jenguk dia balik cuti."

"Jom"

Bunyi motosikal Hakim membingit lagi. Sebaik memberhentikan motosikal, Uzair yang berkain pelikat sudah tercongok di atas tangga.

“ Boleh tak hang adjust balik bunyi moto hang tu. Nyaris-nyaris pak aku nak pergi hospital tau, dengak bunyi moto hang” Bebel Uzair.

Seorang pemuda berjambang turut bersamanya di tangga.

“Relax la bro. Kita . Awal-awal lagi dah panas. Kita salam dulu” Hakim menghulurkan tangan. Uzair menyambut sambil tersenyum. Hilang sekejap marahnya tadi.

“Kenalkan, kawan aku dari Syria. Abbas” Uzair memperkenalkan pemuda di sebelahnya tadi. Hakim dan Azri bersalaman dengannya. Pemuda dari Syria itu masih lagi merenung kearah motosikal Hakim.

“Hang ni awat? Jom masuk rumah dulu. Kita breakfast.ramai-ramai” Uzair menepuk belakang Abbas.

Dari tadi Hakim hanya menjamah kuih popia dan air kopi yang dihidang. Dia malu untuk meminta nasi lemak dari Uzair yang masih memegang senduk. Lagipun, Fatehah, adiknya uzair ada bersama menghidang makanan untuk mereka. Azri dan Abbas sudah menghabiskan separuh pinggan nasi lemak.

“What are you do Abbas?” satu soalan keluar dari mulut Hakim. Uzair dan Azri hampir-hampir menyemburkan makanan di dalam mulut. Merah muka Azri menahan ketawa. Uzair yang tidak tahan, gelak mengekek dan tersandar hingga ke dinding.

“Kau ulang balik soalan tadi?....ha..ha..ha..” Balas Uzair yang menyambung ketawa. Fatehah dan Mak Jah turut tersenyum. Abbas pun hanya tersenyum.

“Saya seorang guru dan wakil sukarelawan untuk Syria.”jawab Abbas dengan fasih. Terkulat-kulat si Hakim menahan malu.

“Boleh cakap melayu rupanya” Azri membuka mulut. Hakim sudah tidak berani bersuara kerana malu.

“Abbas ni selalu ikut kami kalau balik kampung. Giliran aku pulak bawa dia tengok kampung kita ni. Dia suka sangat suasana kat kampung” Jelas Uzair. Abbas mengangguk.

“Malam nanti boleh la ikut kami pergi memancing ikan” Cadang Azri.

“Boleh jugak tu. Aku pun dah lama tak mancing” Balas Uzair.

Azri menjinjing batang pancing sambil tangan kanannya memaut bahu Hakim. Bunyi motosikal hakim pun sudah tidak segarang siang tadi. Mungkin dia sempat menukar ekzos.

Abbas membonceng bersama Uzair yang menunggang motosikal ayahnya. Teruja sungguh dia melihat pemandangan di kampung.

“Aku dah hilang semua ni” Tuturnya pada Uzair. “Tentera kami dah rampas semuanya”

“Sebab tu aku ajak kau ke sini. Sekurang-kurangnya lepas sikit rindu kau pada kampung halaman”

“Tak sama Uzair. Tempat aku membesar jauh berbeza dengan sini. Tapi sikap orang di sini tak jauh dengan orang-orang kampungku di sana”

“Manusia ni sama sahaja la. Di mana pun kita berada,”

“Kat mana kita nak start dulu?” Uzair melaung kepada Azri.

“Ikut je” Jawab Hakim memecut motosikalnya. Bergegar enjin motosikal Pak Deraman mengikut gerak motosikal Hakim.

Motosikal Hakim diberhentikan betul-betul di hadapan jambatan. Uzair memakir bersebelahan. Walaupun malam, cahaya lampu di kiri dan kanan jambatan sudah cukup memberikan cahaya untuk mereka memancing.

“Cantik!” puji Abbas sebaik melihat deretan bendera Malaysia yang dipasang sepanjang jambatan. Dipasang berselang seli dengan bendera negeri Perak.

“Merdeka sungguh kita tahun ni!” Uzair turut berbangga.

“Tiap-tiap tahun macam ni la. Wak Mahat yang punya kerja” Jelas Hakim. Mata kail ditangannya dilayangkan ke tengah sungai. Azri masih sibuk memasang umpan.

“Abbas tak nak mancing jugak ke. Pakai yang ni dulu” Uzair mempelawa.

“No. Thanks. Aku nak nikmati dulu suasana merdeka di sini dulu. Negara aku belum tentu ‘Merdeka’ macam kat sini” Jawab Abbas. Dia memaut kayu pemegang tangan di jambatan itu dengan kedua-dua tangan. Matanya menjengah sejauh mata memandang. Tiba-tiba matanya berair.

“ Kau tersentuh sangat ni Abbas” Uzair berbisik.

“Aku teringatkan jambatan di kampung aku dulu” Abbas memulakan cerita.

“Apa hal dengan jambatan kampung kau?” Azri tertarik untuk mendengar. Pancingnya disandarkan ke kayu jambatan.

“Aku dulu macam kamu juga. Seronok ke sana sini. Lepas kerja jumpa dan bersembang dengan kawan-kawan. Masa tu kami memang anti kerajaan dan selalu bersembang tentangnya senyap-senyap. Banyak yang kami tidak puas hati sebenarnya. Kami cuba bersikap rasional dengan berdiam diri dan membuat hal masing-masing, namun semangat kebangkitan kami tidak boleh dihalang. Selepas peristiwa kanak-kanak dibunuh dan diseksa kerana menulis di dinding tu, kami bersatu untuk bangkit. Itulah permulaan kesengsaraan kami.” Abbas memandang seorang demi seorang.

“Kami mahukan kerajaan yang lebih adil dan saksama.Ada diantara kami yang ditindas dan dibunuh senyap-senyap. Kamu semua tahu kan, pihak mana yang aku maksudkan…….Dan sekarang ni kawan-kawan di sana, seorang pun aku tak jumpa. Entahkan hidup, entahkan tidak. Bukan kawan sahaja, saudara mara pun entah ke mana. Aku dapat rasakan sekarang ni seolah-olah aku sebatang kara. Semua bangunan dan rumah di kampung kami, rosak dan hancur dibom oleh tentera dan pasukan penentang. Yang aku sempat lihat adalah tinggalan jambatan yang menghubung kampung kami. Yang lainnya, bak kata pepatah kamu. Padang jarak, padang tekukur”

“Aku teringatkan jambatan itu kerana sebelum itu kami punyai dua jambatan. Macam kampung kamu ni. Jambatan pertama dibuat dari kayu dengan usia puluhan tahun. Jabatan kedua dibuat selepas pihak kerajaan bersetuju untuk jadikan kampung kami sebahagian dari tempat lawatan pelancong. Jadi kami berbangga sangat dengan jambatan batu yang mempunyai pintu gerbang ke kampung kami.”

“Yang hendak aku kisahkan jambatan pertama. Selepas beberapa bulan menggunakan jambatan kedua, kami mulai culas untuk menjaga jambatan pertama kami. Malas sungguh kami untuk membaiki dan memelihara jambatan tersebut seperti sebelum ini. Lama kelamaan jambatan tersebut mulai mereput dan rosak”

“Pada saat itu aku dan kawan-kawan mulai terfikir untuk menguburkan jambatan tersebut. Caranya adalah semasa menyambut tahun baru 2011, kami beramai-ramai berpakat mengadakan pesta di atas jambatan tersebut. Sepanjang panjang jambatan itu kami berkumpul dan berseronok sementara menanti jam 12.00 malam” Abbas berhenti sebentar sebelum menyambung cerita. Tekaknya memang berasa dahaga, tapi ditahan-tahan sahaja.

“Lepas tu, tepat jam 12.00 malam 1 januari 2011, kami memulakan upacara membakar jambatan tersebut. Masa tu kami seronok sangat menyimbah petrol dan ada kawan-kawan aku yang cedera terkena api. Tapi kami terus menunggu hingga jambatan itu rentung dan dibawa arus sungai. Keesokan harinya orang-orang tua di kampung kami berkumpul melihat sisa-sisa jambatan yang masih tinggal. Puan Uzla yang tinggal berhampiran jambatan itu menangis teresak-esak sebab arwah suaminya yang sebelum ini dipertanggungjawabkan menjaga jambatan itu. Setelah kematiannya, tiada orang lagi yang sanggup untuk memegang jawatan tersebut. Musnahnya jambatan itu, maka musnahlah sebahagian cerita sejarah kami”

Uzair bangun sebaik merasa pancingnya ditarik ikan. Yang lainnya hanya melihat. Apabila disetap, hanya kail yang sampai. Uzair meletakkan jorannya untuk mendengar sambungan cerita Abbas.

“Hebat ikan di sini, mencuri umpan yang masih di kail” Hakim melihat ke sungai.”Cerita kau dah habis ke belum Abbas?”

Abbas menarik nafas. Suaranya berbunyi sebak “ Kamu semua kena dengar sampai habis.”

“ Tentera mula melancarkan serangan kepada kami pada bulan Mac, mungkin lebih awal. Kawan-kawan aku semuanya bersemangat patriotik dalam menentang kerajaan Basyar Al-Assad.Memang banyak kezaliman yang dilakukan oleh pihak kerajaan terhadap kami sebelum ini. Cuma apabila kami mula bangkit, pihak tentera mula membunuh rakyat sendiri.”

“Berbalik kepada jambatan kampung kami tadi, jambatan tu laluan alternatif untuk kami lari menyelamatkan diri sebenarnya. Bila askar menyerang kampung kami, Mereka mula merampas jambatan kedua di kampung kami dan membuat sekatan di situ.”

Abbas sempat melangut ke langit sebelum menyambung cerita. Suaranya masih sebak.

" Apabila jambatan kedua ke kampung kami ditawan, bermulalah episod duka kami. Para lelaki ditawan dan dibunuh, dan kaum perempuan menjadi habuan hawa nafsu tentera. Kami diperhambakan di kampung sendiri. Masa itulah kami terfikir andai jambatan lama masih ada, mungkin sempat kami mencari jalan menyelamatkan diri ke kawasan lain. Hampir semua kawan-kawan aku terbunuh. Cuma aku yang terlepas sebab menyambung pengajian di luar negara."

"Aku juga masih jauh untuk menyebut perkataan merdeka."

"Nak teruskan dengan plan kita ke?"Azri berbisik ke telinga Hakim. Uzair sempat mencuri dengar.

"Apa yang korang dah plan ni?" Sergah Uzair.

Hakim mengusap kepala dengan muka serba salah.

"Kami cadang nak kebas bendera kat sini. Pasang kat moto dan kat rumah" Hakim berterus terang.

"Korang bukan ada niat nak memancing!. Patut la ikan payah dapat." Abbas sempat memerli.

Hakim memegang batang bendera yang dekat dengan tangannya. Mukanya dipalingkan kepada Azri.

" Tiba-tiba pulak aku rasa bersalah. Benda-benda kecil macam ni pun nak berkira." Ujarnya, Sedikit insaf.

"Kalau Abbas belum boleh merdeka, aku pun sama. Selagi tak hilang sikap buruk dalam diri aku, aku malu nak sebut merdeka."

"Kau dah macam ahli falsafah ni. Macam dah betul-betul insaf." Perli Azri.

"Tak guna kalau negara dah bebas tapi akal kita masih di takuk lama. Jambatan ni dah banyak kali rosak, dah banyak kali jugak orang baiki. Sampai sekarang masih berkhidmat untuk kita. Macam tu la jugak dengan semangat merdeka, kalau dah hilang tu, kita kembalikan semula. Kalau dah tak rasa tu, kita imbas sejarah semula. Belajar dari kesilapan. Belajar dari orang lama. Aku pun bukan bagus mana, tapi yang pasti, aku tetap sayangkan negara aku" Tegas Uzair.

"Dah macam kelas motivasi dah ni. Jaga negara kamu sebelum jadi macam negara aku. Jangan bodohkan diri sampai negara kamu tergadai nanti." Sambung Abbas.



"Kenapa aku rasa patriotik sangat malam ni…. ha?"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.