Home Cerpen Cinta Hati Aku Pada Dia!
Hati Aku Pada Dia!
Zhar Aruzi Hairi
12/11/2016 11:28:30
5,494
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Hati Aku Pada Dia!


Oleh : Zhar Aruzi Hairi



Azrina merenung gerigi atas selnya buat kali terakhir. Bantal dan tilamnya sudah dilipat kemas awal-awal lagi. Lantai selnya pun sudah dilap bersih. Siapa yang menghuni sel ini selepas ini pasti merasa lebih selesa.

Dia mendongak keatas memandang siling. Panorama yang sekian lama menemaninya di sel itu setiap kali dia mahu tidur. Di situlah kan terbitnya bayangan wajah ibu dan ayahnya sebelum dia tidur. Setiap rekahan, warna pudar cat dan tompokan lumut yang ada dapat diingat dengan jelas. Mungkin dia akan merindui semua ini.

“Dah ke?” Pegawai yang ditugaskan menemaninya bertanya.

“Kita ke surau sekejap boleh, Puan?” Pintanya. Pegawai itu membelek jam ditangan sebelum mengangguk. Mereka berjalan beriringan ke arah surau.

“Jangan lupakan kami Reen..” laungan dari sel paling hujung kedengaran. Dia menoleh ke belakang sambil berjalan. Hanya lambaian tangan keluar dari jeriji besi yang kelihatan. Dia tersenyum. Itu pasti suara Rahila!. Teman di sel yang paling rapat dengannya. Matanya kembali berkaca.Sebak.

Sepanjang perjalanan juga dia mendengar suara-suara mengucapkan tahniah dan selamat tinggal kepadanya. Dia hanya boleh menoleh dan tersenyum. Hatinya masih kabut untuk berdepan dunia luar kerana dunia di dalam jeriji besi ini hampir serasi dengannya.

“Izinkan saya solat dhuha dan buat sujud syukur puan.” Pinta Azrina setibanya di pintu surau.

Pegawai tadi mengangguk sekali lagi.

Ini kali terakhir dia menjejak kaki ke surau penjara. Tempat dia menimba dan memperbaiki pengetahuan agamanya. Tempat dia mengisafi kesalahan diri dan mendekatkan diri kepada yagn maha Esa. Dia rasa kerdil sangat kalau berada di sini. Bila-bila masa sahaja Allah boleh merampas apa yang dikurniakan olehnya.

Usai solat dan sujud syukurnya, Azrina bersedia untuk berhadapan dengan peluang kedua dalam hidupnya!



Berkeriut bunyi pintu besi dibuka oleh pengawal yang bertugas. Azrina keluar dengan sepersalinan baju kurung berwarna biru muda. Tudung berwarna jingga yang diberikan ibunya disarung di kepala. Beg plastik dengan segala macam barangan yang dipulangkan pihak penjara dijinjing bersama. Luas benar rasanya dunia di luar sana!!

Teragak-agak dia memijak lantai di koridor pejalan kaki. Langkahnya perlahan-lahan seakan bertatih. Dia sudah boleh kembali ke dunia lamanya. Cahaya matahari pagi menyilaukan matanya. Kereta yang bertali arus di jalanraya mengingatkan dia semua memori lama. Sembilan tahun di dalam penjara, banyak betul perubahan yang berlaku!

“Reen..Sini!!” satu jeritan kedengaran dari arah kanan. Azrina memusingkan kepala mencari arah datangnya suara.

“Sini la…” Mak Miah berjalan sambil melambai tangan ke arahnya. Bibirnya menguntum senyum.

Azrina melajukan langkah ke arah Maknya dan mereka berdakapan.

“Syukurlah, kau dah dibebaskan Nak” Ujar Mak Miah teresak-esak. Azrina turut sama berjuaraian air mata.

“Dah..dah jom kita balik” Mak Miah memimpin tangan Azrian ke arah kereta. Seorang lelaki cina berbadan gempal menunggu di situ.

“Mak datang dengan Ah Fatt” Tanya Azrina memandang kearah lelaki cina tadi.

“Dia aje yang boleh tolong bawak Mak. Orang lain semua sibuk”

“Lu sama jugak macam dulu. Tatak kurus , tatak gemuk” Ah Fatt menyapa, sambil tersengih.

“Terima kasih Ah Fatt, Tolong bawa Mak datang”

“Aiyaa.. Kita satu kampung Ma. Kalau Mak Miah mintak tolong, Wa mesti tolong. Eh lu, kalau mau kerija, latang ke kilang. Gua mesti kasi lu kerja. Lu apa pun kerja boley buat”

“Terima kasih je Ah Fatt. Reen nak duduk rumah dulu jaga Mak”

“Kalau Lu rasa nak kerja, latang tau” ulang Ah Fatt lagi sebelum masuk ke tempat duduk pemandu.

Mak Miah dan Azrina pula masuk di bahagian belakang.



Kokokan ayam dan hembusan angin kampung menyambut kepulangannya.

Azrina berdiri lama di halaman rumah. Lensa matanya merakam semua objek yang ada yang silih berganti dengan memori dia bersama Mak dan Ayahnya. Matanay berkaca sebaik terpandang pangkin kesayangan ayahnya yang sudah uzur dimakan usia. Tempat kegemaran ayahnya untuk melelapkan mata atau bersantai minum kopi dan berborak bersama rakan-rakannya.

“Ayah!! Maafkan Reen” Dia teringatkan kegagalannya untuk hadir semasa pengkebumian ayahnya kerana dia masih di penjara.

“Jom masuk. Mak dah lambat nak masak ni!” Mak Miah mematikan memori Azrina. Dia tahu jika dibiarkan pasti emosi anaknya itu makin melarat.

“Yang sudah tu, sudahlah. Jangan dikenang Reen” bisik emaknya yang menarik tanganya masuk ke dalam rumah.

Biliknya yang dahulu dihias rapi kini kelihatan suram. Kertas yang ditampal di dinding sudah kekuningan. Cuma keadaannya masih bersih kerana emaknya masih menyapu dan menukar cadarnya setiap beberapa minggu. Gambar-gambar yang diletakkan di dinding dan diatas meja direnungnya satu persatu.

Sebaik tertacap pada gambar perkahwinannya dahulu. Dia terduduk seketika. Gambar dia tersenyum manis di sisi Izlan dengan baju merah hati sendondon itu meruntun jiwanya. Itulah saat paling bahagia dalam hidupnya. Saat diangkat dari seorang gadis menjadi seorang isteri. Cuma bahagianya hanya beberapa bulan sahaja.

Azrian merebahkan punggung di atas katil. Dia duduk menghadap ke arah cermin soleknya. Wajahnya benar-benar berubah. Kalau dahulu wajah bujur sirih itu tegang tanpa sebarang kedut. Kini sudah ada kedutan di hujung alis matanya. Kulitnya juga semakin kusam. Tidak secerah dulu. Urat-urat di belakang tangan dan lengannya sudah mulai timbul. Sudah tua aku rupanya!



Matanya beralih kepada potret keluarganya semasa majlis kahwin tersebut. Semua yang ada di dalam foto itu menguntum senyuman. Satu persatu wajah yang ada dibeleknya sehingga kepada Datin Mariam yang berbaju kuning sedondon. Wajah ibu mertuanya itu dipandang dengan rasa benci!

“Sebab kaulah aku merengkok dalam penjara tu” Kini terbayang di tangannya pisau yang dikeluarkan dari dada Puan Mariam. Pisau pemotong daging itu tercacak betul-betul di pangkal jantung ibu mertuanya. Dia rebah dalam dakapannya dengan berlumuran darah. Dan dia bertindak membaringkan jasad ibu mertuanya itu dan menarik keluar pisau tersebut.

“Mak Long bunuh Mama!” Itulah jeritan pertama yang kedengaran. Adik Iparnya Lisa berlari memanggil ahli keluarga Izlan yang lain untuk menyaksikan pembunuhan itu.

“Apa yang Reen dan buat ni???” Suara Izlan bagaikan halilintar di telinganya. Suaminya itu turun berkain pelikat sahaja dari bilik sesudah mandi.

“Bagi pisau tu kat Abang. Reen dah gila ke!!!!” Kata-kata yang keluar dari bibir Izlan tidak mempu dijawabnya. Pisau ditangannya segera dirampas Izlan. Dia tergamam segalanya berlaku terlalu pantas. Jerit dan tangis di rumah itu masih terngiang-nging di gegendang telingannya.

Selepas ditahan di dalam lokap, barulah dia mampu untuk mengingat apa yang berlaku. Satu persatu peristiwa yang diingatinya dikongsikan dengan pegawai penyiasat. Dari maklumat peribadinya hinggalah ke hubungan dengan Datin Mariam yang selalu berantakan.

“Puan dituduh di bawah syeksen 304 kerana membunuh tanpa niat dan dijatuhi hukuman penjara dua belas tahun” Ungkapan dari Tuan Hakim yang masih jelas di kotak fikirannya. Dia juga teringatkan reaksi Datuk Bahrom yang menunding jari dan melontarkan surat khabar kearahnya.

“Betina tu patut mati!!!” itu antara ayat bapa mertuanya yang masih ternging-ngiang di telingnya. Hari itu juga Izlan melafazkan talak satu kepadanya.

Dan ketika itulah, dunia dia mulai gelap gelita!!



“Mak tak berniaga?” Tanya Azrina sebaik selesai solat subuh. Dia yang masih bertelekung mencapai surah Yassin.

“Mak dah lama tak berniaga. Dah tak larat mak nak usung nasi lemah dan kuih muih tu ke gerai”

“Duit belanja Mak macammana?”

“Rezeki Allah Reen. Lagipun kebun sawit arwah ayah kamu tu dah lama keluarkan hasil” Azrina mengangguk faham. Cuma dia malas untuk mengaku yang dia teringin sangat untuk merasa nasi lemak hasil tangan ibunya itu.

“Kalau kamu nak nasi lemak, ada bawah saji atas meja.” Mak Miah awal-awal lagi dapat membaca niat anaknya itu.



Sudah dua minggu dia di rumah. Azrina langsung tak ke mana-mana. Sekadar menolong ibunya di dapur atau mengemas rumah. Fobia bagi dirinya untuk berhadapan dengan orang kampung. Pasti ada berbagai tanggapan terhadap dirinya yang merupakan bekas banduan.

“Reen nak ke kedai Mak?” Tanya dia memberanikan diri.

“Kamu tak takut ke orang mengata kamu?” Mak Miah menyuarakan kebimbangannya.

“Entahlah Mak. Reen dah tak fikir. Kalau terperuk dalam rumah sampai tua pun. Belum tentu orang akan berhenti bercakap”

“Suka hati kaulah. Hati-hati bawak moto tu. Belikan Mak sekali udang kering. Ingat nak buat cucur badak petang ni” Pesan Mak Miah.

“Nak beli apa?” Suara lelaki menegur Azrina dari belakang.

“Eh..Im!… Beli barang dapur sikit” Sapa Azrina sebaik melihat wajah yang dikenalinya.

Imran menghampirinya. “Bila kau keluar?”

“Minggu lepas. Kau buat apa kat sini?”

“Meniaga la. Ni kan kedai aku”

“Pak Leh?”

“Pak Leh dah tak ada. Anaknya Muin jual kedai ni kat aku”

“dasyat juga kau. Anak hantu kampung pun dah boleh beli kedai” Puji Azrina.

“Ada la sikit-sikit. Kongsi dengan ayah aku”

Bunyi berdehem kedengaran dari dalam kedai. Seorang wanita keluar mendukung seorang kanak-kanak lelaki.

“Laila?” Tegur Azrina. “Kau nikah dengan Im!”

Laila mendakapnya erat.

“Kau balik tak cakap” Omel sahabat lamanya tu. Marah dan sebak.

“Im ni…kau biar betul” Azrian masih belum puas hati. “ Bukan ke dia ni makhluk yang kau paling benci dalam kampung ni”

Laila menyerahkan anaknya kepada Imran. Kanak-kanak lelaki itu didukung ke dalam kedai.

“Sebab tu orang kata jangan benci orang tu lebih-lebih. Last-last jadi teman sekatil !”

Azrina tertawa mendengar pengakuan Laila. “Yang ke berapa tu?” soalnya merujuk kepada budak tadi.

“Yang nombor lima”

“Biar betul kau!”

“Im sihat..aku pun sihat..jadi produktif la kami”. Mereka sama-sama ketawa.

“Kau macammana sekarang. Apa plan?”

“Sekarang ni aku ingat nak jaga mak aku dulu. Dah banyak masa aku buang di penjara tu sampai dia tak ada orang nak tengok pun. Cuma sikit-sikit aku nak menjahit baju kat rumah. Dalam sana aku ambik kursus menjahit”

“Baguslah Reen. Nanti aku hebohkan satu kampung yang kau boleh menjahit. Free marketing tau” Laila tersengih.



Sebuah kereta BMW berhenti di hadapan rumah Mak Miah. Seorang kanak-kanak perempuan berlari keluar dari pintu belakang kereta. Tangannya mengusung satu piala. Seorang lelaki menurut dari belakang. Mak Miah berhenti dari menyapu daun-daun untuk menyambut mereka.

“Ain menang hadiah Nek..Ni ha..” budak perempuan bertocang itu menyua pialanya kepada Mak Miah.

“Hebat cucu nenek” sambut Mak Miah. Dibeleknya piala itu.

“Menang apa ni?”

“Nombor dua acara seratus meter Mak” Izlan menghulur salam dan mencium tangan Mak Miah. “Bangga sangat dia”

“Abah, Ain keluarkan beg ya” Pinta budak perempuan yang masih mengusung piala tadi.

“Hmmm..” Izlan mengiyakan.

“Mak sihat”

“Alhamdullillah”

Mata Izlan terpandang selipar baru yang berada di bawah tangga.

“siapa datang rumah Mak?”

Mak Miah terdiam dengan senyum tawar.

“Reen dah balik!” Teka Izlan dengan nada berdebar. Mak Miah meninggalkan dia di tepi pangkin tanpa menjawab.



“Kenapa Mak tak cakap yang Reen dah keluar?” Tanya Izlan.

“Kamu berdua bukan ada apa-apa dah. Sengaja aku tak beritahu kamu. Biar si Reen tu tenangkan diri dulu. Kalau kamu ada hari tu, lagi berserabut jadinya nanti”

“Lama kami tak jumpa Mak. Dia macammana?. Ada dia sebut nama Lan tak?”

“Reen macam dulu jugak. Cuma dah banyak berubah sangat. Sembahyang tak tinggal. Memasak pun dah cekap. Rajin betul dia mengemas rumah. Tak macam dulu…tapi tak ada pulak dia sebut nama kamu”

“Marah lagi la dia tu kat saya.. Mak”

“Kamu ni…jumpa dia dulu. Baru kamu tahu dia macammana”

“Lan malu Mak. Banyak dosa Lan kat dia. Dengan Ain pulak nanti entah macam mana?”

“Rehatlah dulu. Belum apa-apa dah pikir macam-macam. Naik ke bilik kamu tidur dulu. KL dengan sini bukan dekat. Reen balik sekejap lagi Mak nak masak. Nak makan nanti Mak kejutkan kamu”

“Baiklah Mak” Izlan akur. Dia keluar mengambil bagasi dan barang yang dibawa dari kereta.



Reen memberhentikan motosikal di pertengahan jalan masuk ke rumahnya. Kelibat kanak-kanak perempuan yang mengejar ayah di bawah rumah menarik perhatiannya. Kereta BMW yang dipakir bersebelahan pankin turut menimbulkan tandatanya.

“Adik anak sapa?” Tanya Reen yang menyorong masuk motosikal ke bawah rumah.

“Anak Papalah. Kakak cari siapa?” Jawab anak itu,petah.

“Ni kan rumah kakak”

“Tak pernah nampak pun sebelum ni. Selalunya Nenek tinggal sorang jer..” ujar budak itu yang kembali mengejar ayam. Reen membawa masuk bungkusan barang yang dibelinya tadi.

“Nenek?”



“Anak siapa yang main bawah rumah tu Mak. Comel la!”

“Si Ain tu anak buah kamu.”

“Anak siapa?”

“Anak Izlan” jawab Mak Miah bersahaja. Tangannya masih ligat memotong bawang.

Azrina terdiam seketika. Dia mengambil bungkusan yang dibawanya tadi dan mengasing-asingkan di rak. Akalnya buntu apabila memikirkan bekas suaminya itu.

“Buat apa dia ke sini? Isteri dia tak marah ke?” Selepas beberapa ketika berdiam, Azrina menghambur juga apa yang terbuku dihatinya.

“Mak si Ain tu meninggal sewaktu melahirkan dia. Si Izlanlah yang membesarkan budak tu seorang diri. Kamu jangan tanya yang bukan-bukan dengan budak tu”

“Taulah orang. Mak pulak dah jadi nenek?”

“Bekas menantu aku tu, kira macam anak aku juga lah. Aku yang tengok-tengokkan budak tu kalau Izlan ke outstation. Memang cucu aku tu. Harapkan kamu, sampai ke tua aku tak bercucu”

“Mak tahu kan yang Dato’ Ikhmal tu betul-betul bencikan Reen. Bagi pulak dia cucu dia tinggal dengan Mak”

“Dato’ Ikhmal dah tak ada Reen. Ikhmal tu dah tak ada sapa-sapa kat sini. Adik-adik dia semua dah berhijrah ke UK dan Australia. Tinggal dia sahaja yang menguruskan syarikat peninggalan Dato’ Ikhmal. Aku ni dah jadi waris terdekat yang dia ada” Cerita Mak Miah.

“Dia la yang sara Mak selama ni. Patutlah Mak dah tak berniaga. Kalau Reen tahu dia datang, baik Reen tumpang tidur di rumah Laila tadi”

“Kamu ni. Orang tu dah bertahun tunggu kamu. Nak biarkan dia macam tu je. Sekurang-kurangnya kamu dengar dulu apa dia nak cakap. Buang sikit sikap degil kamu tu!!”

“Mak tu senang la cakap. Bukan Mak yang hadap semua bala ni. Reen yang kena tanggung. Reen yang separuh mati dalam penjara tu Mak. Kena maki, kena seranah, kena cerai. Kasih sayang kami dah mati Mak. Dah tak wujud!!!” Azrina mengesat air matanya dan menghayun laju langkah ke biliknya.

“Tak habis-habis lagi ke kau nak hukum aku!!!” jerit Azrina dalam tangis.



“Papa, bangun makan!” Ain menarik ibu kaki Izlan hingga dia tersentak bangun.

“Sakit tau!” jeritnya. Ain berlari ke meja makan.

“Nenek panggil makan!”

Izlan ke meja makan dengan kepala yang berpinar. Tidurnya terganggu tadi.

Peningnya hilang sebaik melihat seraut wajah yang dirinduinya selama ini.

“Buat apa tenung orang macam tu!” Luah Azrina. Dia menyeduk nasi untuk semua.

“Reen ok?”

“Hmm…”

“Lama tak makan masakan Reen ….”

“Mak..Reen naik ke bilik kejap. Tak rasa lapar la pulak!” Ujar Reen sebaik menyusun semua pinggan di meja.

“Reen..”

“Kita bertiga makan dulu. Usah dipedulikan si Reen tu. Hatinya tak tenteram lagi tu” Tingkah Mak Miah. Dia tahu hati anaknya itu masih belum terubat.



Derap kaki larian Ain kedengaran jelas dari dalam bilik. Maklumlah rumah kayu. Budak perempuan tu memang tak betah untuk duduk diam. Ada sahaja aktiviti yang dibuatnya. Cuma gajet tak pernah ada ditangannya. Dia lebih seronok dengan objek fizikal di depan mata. Makan pun tak memilih apa. Berselera benar dia menghabiskan kangkung goreng belacan tadi. Ain membesar dengan didikan yang baik.

Tapi Izlan!

Dia sendiri sudah tidak tahu untuk berperasaan dengan bekas suaminya itu. Ternyata dia terhutang budi dengan lelaki yang sanggup untuk menjaga Maknya selama ini. Niat Izlan pun masih samar-samar untuk dibaca. Sebetulnya rasa kasihnya pada lelaki itu sudah mati sebaik talak dilafazkan pada hari dia dihukum.

Kenapa masih dia yang menghantui hidup aku!



Suatu ketika dahulu..

Lampu di hadapan selnya dinyalakan. Seorang perempuan bertudung labuh menjenguk dari luar jeriji.

“Kamu tak sembahnyang subuh?” soal wanita itu.

“Uzur ustazah” alasan yang paling kukuh diberikan.

“Hmm…tak pernah nampak kamu ke surau pun”

“Sembahyang di sel ni jer Ustazah”

“Kalau kamu ada masaalah, kongsi dengan Ustazah. Bab solat ni jangan main-main. Soal hidup mati kita nanti” Nasihat Ustazah Ramlah. Dia berlalu beberapa langkah.

“saya rasa tuhan tak adil dengan saya Ustazah. Semua yang saya ada dirampasnya dan saya dicampak ke sini. Saya tak bahagia dan saya bencikan dia!!!!!”

“Astafirullahhalazimmm” Ustazah Ramlah beristigfar. Wajah Azrina dipandang penuh kasih sayang.

“Ustazah nak tanya satu benda sahaja. Kalau sebelum ni kamu pernah bahagia, kamu pernah senang, ada tak kamu bersyukur dan taat pada tuntutan agama. Kamu solat , jaga puasa, dan bayar zakat!!!!”

“Tak pernah Ustazah” Akui Azrina.

“Sekarang kamu sudah di sini, masih bernyawa lagi. masih diberi peluang lagi. cari bahagia tu di sini dengan solat dan buat semua perintah Allah. Kamu di sini tak terikat dengan apa-apa. Tak payah ke tempat kerja, jaga anak, memasak, kemas rumah, layan suami..tak payah. Banyak masa kamu terluang di sini. Belajar kenal Allah balik, cari bahagia kamu. Takkan dengan ujian sebesar ini pun kamu nak mengalah!!”

Azrina terdiam. Banyak betulnya nasihat kaunselor dan guru agama tu.

“Bahagia tu anugerah Allah. Semua orang berhak mendapatnya. Kamu juga boleh mendapatkannya kalau diizinkannya.”



Azrina mencapai kain telekung untuk bersolat Asar. Usai harapannya untuk memunajatkan gundahnya kepad yang Maha Esa.

“mungkinkah doa aku selama ini termakbul?” ungkapnya sebaik teringatkan doanya setiap kali selepas solat. Antara isinya “ Ya Allah, Kau peliharalah ibuku sebagaimana dia memeliharaku dan kau tunjukkanlah kebenaran yang sebenarnya dalam tuduhan yang dilemparkan kepadaku selama ini.”

“Ada hikmahnya lelaki yang pernah bertahta di hati aku tu ada di sini. Mungkinkah dia akan bertahta lagi di hati ini?” Fikirnya positif. Geruh yang lama cuba dibuang jauh-jauh.



“Reen, kau hantar kopi ni kat Izlan di pangkin tu. Mak minta dia tolong alihkan pasu bunga kat depan tadi? Dah dahaga agaknya dia tu.”

“Seganlah Mak. Mak pergi la..”

“Apa yang nak disegankan. Kamu berdua kan pernah jadi laki bini. Bawak keledek goreng tu sekali”. Azrina mencebik.



“Kopi ni awak” ucap Azrina sebelum berpaling.

“Awak sibuk sangat ke sampai tak ada masa untuk berbual dengan saya” Langkahnya terhenti sebaik mendengar ungkapan dari Izlan.

“Kita kan dah tak ada apa-apa?”

“Saya minta maaf untuk semua yang berlaku pada awak?”

“Tak perlu minta maaf. Awak tak salah pun”

“Saya tak bela awak sikit pun. Saya tak siasat pun kejadian sebenar”

“Kejadian sebenar! Maksud awak. Awak dah tahu apa yang berlaku sebenarnya” Azrina menjeling.

“Ya. Awak tak membunuh Mama. Kaki dia yang tersadung pada kerusi dan jatuh. Pisau ditangannya tertikam sendiri kan?. Mungkin Mama berniat nak tikam Reen. Agaknya”

“Macammana awak tahu?”

“Ni!” Izlan menghulurkan telefon bimbitnya. Rakaman peristiwa yang berlaku semasa perbunuhan itu terakam dengan jelas.



Azrina duduk berhampiran Izlan meneliti rakaman tersebut.

“Kenapa tak diserahkan pada Polis dulu?” Tanyanya kepad Izlan.

“Papa yang simpan rakaman itu selama ini. Waktu dia sakit teruk dulu baru dia tunjukkan rakaman ini. Dia cuba lindungi Mama dari mendapat malu. Bagi Mama meninggal dengan tanggapan yang baik….Dan Papa minta ampun banyak-banyak pada Reen atas dosanya ini. Irina dan Irfan pun minta maaf sama.”

“Reen dah ampunkan semua orang selama ini. Yang jadi biarlah jadi sejarah. Tak guna dikenang lagi”

“Reen maafkan Abang ya. Terima Abang semula macam dulu” Izlan menghulurkan tangannya mencari jari jemari Azrina. Dia mahu mengusap jari jemari yang pernah dibelainya satu ketika dulu. Azrina pantas menarik tangan sebaik merasakan jarinya bersentuhan.

“Mudah bagi Awak. Berat bagi saya tau..!!” Azrina bangun dan berlari masuk ke dalam rumah.



“Alaa Papa. Kata tiga hari nak duduk rumah nenek. Ni baru dua hari dah nak balik” Rengek Ain menjinjing begnya. “Ain belum puas main dengan ayam”

“Papa ada hal di pejabat. Lain kali kita datang lagi ya. Papa janji!”

“Papa selalu macam ni la” anak perempuan kecil itu menyelit ke dalam perut kereta.

Mak Miah memasukkan barang-barang kirimannya ke dalam plastic. Pisang setandan, cempedak sebiji dan sebungkus ubi keledek. Semuanya diusung Izlan ke dalam bonet kereta.

“Betul kamu nak balik petang ni?”

“Betul Mak. Ada urusan pejabat nak saya selesaikan. Urgent!”

“Urusan pejabat ke urusan hati kamu tu” Izlan tersenyum diperli.

“Bagi Mak pujuk dia dulu. Dah lembut hati nanti. Kamu pulak yang cuba ambik hati dia balik”

“Boleh ke dia terima Izlan Mak?”

“Insha Allah. Mak nampak gambar nikah kamu berdua dulu dia gantung semula di bilik. Ada harapanlah tu”

“Ish Mak ni. Boleh percaya ke?”

“Aku mak dia. Aku tahulah. Jaga Ain baik-baik. Cerita kat dia betul-betul Reen tu siapa”

Izlan mengangguk penuh harapan. Keyakinannya kini kembali menggunung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.