Kerusi
“Jauh
lagi ke tempatnya?” Adib memulakan bicara. Dahinya berpeluh-peluh. Mungkin
kerana kepedasan tomyam berapi yang dipesannya. Mungkin kerana keadaan di gerai
tomyam yang disinggahinya itu agak panas malam ini. Atau mungkin kerana takut,
ngeri dan bermacam perasaan lagi bila mengenangkan perkara-perkara yang berlaku
ke atas dirinya semenjak akhir-akhir ini. Semuanya bermula dengan kerusi antik
yang dibeli enam bulan lalu. Ya, kerusi itulah punca segala-galanya.
“Dah
tak jauh dah,” jawab Zadi acuh tak acuh. Mi sup rusuk kambing yang dipesannya
itu dihirup dengan penuh bernafsu. Terangkat-angkat keningnya. Mulutnya
dimuncungkan. Berdesip-desip bunyinya apabila sup itu dihirup. “Bukan aku yang
memandai-mandai tapi tok bomoh yang suruh kita ke sana malam ni. Malam ni bulan
penuh. Sesuai nak tolak bala. Apatah lagi nak tolak kerusi jahanam kau tu.”
“Kau
macam tak percaya dengan cerita aku.”
“Bukan
tak percaya, tapi perkara kecil sangat. Lagipun kau sendiri yang cari nahas.”
“Kecil
kau kata?” Adib mula meninggikan suara. Pelanggan di kedai Pak Soh yang semakin
ramai mula memandang ke arah mereka berdua. “Kalau benda kecil, takkanlah aku
nak ajak kau jumpa bomoh gila tu dua hari lepas. Nak cari pengeras dan pelepas
pun dah satu hal. Kau ingat aku saja main-main nak buat cerita?”
Zadi
diam. Kepalanya ditundukkan. Sup di dalam mangkuk sudah semakin sedikit. Namun
dia masih cuba menghirup. Kalau tidak kerana Adib yang membelanjanya makan
malam ni dan dua malam lepas, mungkin dia akan menjawab, membalas dengan maki
hamun. Tapi biarlah, perut perlu diutamakan. Fikirnya sambil meludah sesuatu.
Mungkin bunga cengkih atau lada hitam.
Adib
menolak mangkuk tomyam berapinya ke tepi. Seleranya hilang. Gelas kopi janggut
yang dipesannya ditarik rapat ke dada. Diambilnya sudu teh dan dikacau
perlahan-lahan. Otaknya sedikit demi sedikit mengingati kisah enam bulan yang
lalu. Kisah bagaimana dia memerlukan sebuah kerusi untuk bermalas-malas di
depan televisyen rumah sewa bujangnya. Dari sebuah pencarian kerusi biasa,
hinggalah kepada yang berjenama dan empuk seterusnya membawa kepada kerusi
antik. Ya, itulah kali pertama dia mengenali kerusi antik dan itulah kali
pertama dia merasakan betapa dia sangat memerlukan kerusi itu.
“Oo
yang ni tak mau juai oo..” Kata-kata Ah Pek penjual kerusi antik itu masih
terngiang-ngiang di terlinganya. Setelah berhari-hari mencari sebuah kerusi
yang sesuai. Itulah kerusi pertama yang dirasakannya sempurna untuknya.
Rekabentuknya sederhana menarik. Warna merah keemasannya sudah kehitaman dan
pudar. Rangka kayunya kelihatan seperti sudah dicat semula dengan warna hitam.
Bagi rakannya Zadi, kerusi itu kelihatan terlalu hodoh. Tidak selesa, tidak
melambangkan status malah tidak membawa apa-apa makna. Tetapi tidak bagi Adib.
Dia merasakan satu perasaan yang sulit dimengertikan.
“Kau
apa tahu pasal seni, Dee.” Itulah kata-kata Adib bila rakannya Zadi cuba
mempertikaikan keputusannya untuk membeli kerusi tersebut.
“Kau
gila ke Dib, sudahlah hodoh, buruk, mahal pulak tu.” Kata Zadi, memprotes.
“Mana
kau tahu mahal, dia belum cakap nak jual. Entah-entah dia nak bagi aku free.” jawab Adib cuba berjenaka.
“Kalau
dia cakap tak mahu jual, maknanya sebab mahal la tu.”
“Kita
cuba la mintak beli. Aku sanggup beli walau berapa sekalipun harga yang dia
letak.”
“Sah
memang kau dah gila, Dib. Banyak lagi kerusi yang best-best kita boleh cari. Kalau dekat Ikea berlambak. Macam-macam
kita boleh pilih. Kerusi ni yang kau nak sangat kenapa?” Zadi masih tak berpuas
hati.
“Ini
barang antik, Dee. Bukan jenis yang pasang sendiri kat Ikea nun. Kau tak dengar
ke apa Ah Pek tuan kedai ni cakap? Dia cakap kerusi ni milik Hanifah Harum.
Penulis terkenal tahun 50-an dulu yang mati kena sembelih tu. Haa.. Ah Pek tu
cakap, dengan kerusi inilah Hanifah Harum tu duduk untuk menulis. Dia takkan
menulis jika tidak berada di kerusi ni.”
“Cerita
Hanifah Harum tu memang aku ada pernah dengar, tak tahu pulak aku cerita tu
betul ke tidak. Macam cerita kedai kopi je bunyinya,” ujar Zadi sambil
membelek-belek barang lain yang terdapat di kedai Ah Pek itu. Acuh tak acuh.
Adib
hanya tersenyum tawar bila mengingatkan kembali perbualannya dengan Zadi suatu
ketika dulu. Dia tahu cerita Hanifah Harum itu memang susah dipercayai oleh
sesiapapun. Tapi dia memang mempercayainya. Bukan kerana dia memang mempercayai
cerita-cerita kedai kopi yang dibawa dari mulut ke mulut. Tidak. Bahkan dia
memang tidak menyukai cerita-cerita yang berbaur urband legendbaik cerita hantu mahupun cerita misteri. Tapi kali
ini lain. Dia sendiri yang mengalaminya. Pengalaman enam bulan bersama kerusi
celaka itu cukup membuatkan dia merana. Kerana kerusi itulah dia lupakan
segala-galanya. Lupa kawan, lupa saudara. Bahkan perkahwinan dengan tunangnya
yang sepatutnya berlangsung tiga bulan lepas juga diabaikannya. Kerusi itu
memang membuatkan dia gila. Ingatannya kembali enam bulan lepas ketika dia cuba
membeli kerusi Hanifah Harum itu.
“Lu
penulis ke?” tanya Ah Pek padanya ketika dia bersungguh-sungguh meminta supaya
dijualkan kerusi itu.
“Tak
lah Ah Pek. Aku memang suka kerusi ni. Itu sahaja.” jawab Adib.
“Oo
gua ingatkan lu penulis. Sebab ramai penulis yang cari kerusi ini. Tapi gua tak
juai kepada penulis. Nanti ada yang mati. Kalau lu bukan penulis, boleh la gua
juai. Tapi mahai sikit lor.” terang Ah Pek tersebut sambil tersenyum senget.
Mungkin kerana suka dengan perkataan mahal yang dia yakin Adib tak kisah. Ya,
memang Adib tak kisah walau berapa pun harganya. Ah, takkan sampai tiga empat
ribu. Fikir Adib. Tapi yang dia kisah sangat-sangat adalah penyataan ‘nanti ada
yang mati’. Itu memang dia kisah. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk
memiliki kerusi tersebut. Malah semakin membara.
“Kenapa
takut ada orang mati pulak? Kerusi ni ada penunggu ke? Cekik orang ke?” Tanya
Adib separuh bergurau. Namun dahinya tetap dikerutkan dan matanya tetap dijegil
bagi meminta jawapan yang bukan separuh gurauan.
Maka
bermulalah cerita Ah Pek itu kepadanya bagaimana kerusi itu mempunyai
semangatnya yang tersendiri dan menimbulkan idea-idea yang menarik kepada
Hanifah Harum sehinggakan Hanifah Harum berjaya menghasilkan beratus-ratus
novel hantu yang bestseller dan
sentiasa diulangcetak. Kejayaannya yang luarbiasa mengundang ramai kawan dan
lawan. Semuanya kelihatan sempurna. Buku yang diminati ramai. Pendapatan yang
lumayan. Rumah yang tersergam indah dan keluarga yang bahagia. Namun semuanya
berubah apabila dia membuat kenyataan yang dia hanya mendapat idea yang menarik
apabila dia duduk di kerusi kegemarannya. Sebuah kerusi biasa yang berwarna merah
yang dibelinya dari jualan lambak ketika melawat tanah jawa suatu ketika
dahulu.
Bermula
dari itulah kehidupannya mula porak peranda. Rumahnya sentiasa dicerobohi.
Suaminya hilang tanpa kesan. Peti suratnya sentiasa dipenuhi dengan surat
ugutan dan ancaman. Semua perkara berlegar tentang kerusi itu. Kerusi yang
didakwanya dapat memberi idea untuk menulis kisah-kisah hantu yang menarik.
Rumahnya yang dicerobohi tidak ada apa-apa yang hilang. Hanya beberapa kerusi
merah di bilik bacaan yang hilang. Surat ugutan juga meminta dia menjual kerusi
tersebut. Bahkan ada yang mendakwa penculik suaminya dan meminta untuk menukar
kerusi tersebut dengan nyawa suaminya.
Tapi
mengikut cerita Ah Pek itu lagi, semuanya tidak dipedulikan oleh Hanifah Harum.
Baginya, hidupnya adalah untuk menulis. Selagi kerusi itu bersamanya, apa yang
penting baginya adalah terus menulis. Menulis dan terus menulis. Hinggalah saat
dia mati disembelih dipercayai dilakukan oleh penulis lain yang iri hati
dengannya. Ajaib sekali, kerusi itu tidak dicuri. Bahkan tidak diusik. Hanya
Hanifah Harum yang terdongak ke siling dengan mata yang terbeliak dan mulut
yang ternganga menyandar di kerusi itu dengan tangan yang masih mendepa ke
depan menyentuh kekunci mesin taip. Dia sudah tidak bernyawa. Hanya darah yang
masih menitik ke lantai membentuk satu lopak darah yang sederhana besar apabila
pihak polis menjumpai mayatnya. Tubuhnya yang kaku dipenuhi darah dari lehernya
yang terkelar dalam.
“Sebelas
ringgit,” kata pelayan gerai tomyam itu kepada Adib dan terus mematikan
lamunannya. Dia pun tidak sedar bilakah Zadi memanggil pelayan tersebut.
Mentang-mentang aku yang bayar. Dengusnya dalam hati sambil menghulur sekeping
not sepuluh dan sekeping not seringgit pada pelayan tersebut.
“Cepatlah.
Kata nak buat projek tu malam ni.
Kata tok bomoh, kena buat tepat pukul 12 malam.” Kata Zadi tergesa-gesa.
Perutnya diusap-usap sambil melangkah keluar menuju ke kereta. Adib hanya
mengikut dari belakang.
Dalam
kereta, kedua-duanya lebih banyak mendiamkan diri. Hanya Zadi yang kedengaran
sekali-sekala menyanyi kecil mengikut rentak lagu terkini di radio sambil
tangannya memegang stereng kereta. Kereta dipandunya agak laju membelah
kesunyian malam.
“Kalau
tak kerana bomoh tu yang suruh tanam. Mahu je aku bakar kerusi ni,” kata Adib
memecah kesunyian. Mungkin kerana bosan dengan suara nyanyian Zadi. Kepalanya
di toleh ke belakang. Melihat kerusi yang pernah menjadi kesayangannya di
tempat duduk belakang,
“Tak
boleh lah macam tu. Dah memang syaratnya kena tanam. Kau dah lupa ke apa tok
bomoh tu cakap, kalau dibakar, semangat yang ada kat kerusi tu akan marah dan
membuat kacau,” ujar Zadi separuh memberi amaran walaupun dia tahu Adib sudah
sedia maklum tentang hal itu.
Adib
hanya mengangguk lemah. Dia memang mengetahui hal tersebut. Dia hanya cuba
untuk berbual. Namun sekarang dia sudah tiada minat untuk meneruskan perbualan.
Fikirannya lebih tertumpu pada masa lalu. Masa selepas dia membeli kerusi itu
dengan harga yang agak mahal. Selepas sesi tawar menawar yang agak tegang,
seribu lapan ratus ringgit melayang bagi mendapatkan kerusi tersebut. Namun
hatinya puas. Dia tersenyum lebar bila mengangkut kerusi itu keluar dari kedai
Ah Pek dan dimasukkkan kedalam kereta Zadi. Dan kereta itu jugalah yang menjadi
mangsa untuk membawa kerusi ini ke rumahnya. Dia tersenyum bila memikirkan
betapa susahnya dia dan Zadi mengangkat kerusi itu untuk dibawa naik ke flet
tingkat empat yang disewanya. Dia tinggal berseorangan, jadi hanya rakan
sekerjanya, Zadi yang banyak menolongnya dia jika ada masalah yang timbul.
Dia
masih ingat lagi bagaimana malam-malam minggu pertama dia dan kerusi itu
dirasakan sungguh bermakna. Perasaan bagaimana kerusi itu pernah diduduki oleh
orang kenamaan cukup mengujakan. Seorang yang terkenal. Seorang yang dipuja
masyarakat melayu yang memang meminati cerita-cerita hantu. Seorang yang mati
dibunuh. Mati dibunuh? Di kerusi ini? Ah, dia tidak peduli. Dia bukannya budak
kecil yang takutkan hantu. Hantu hanyalah momokan orang-orang tua supaya anak-anak
tidak keluar malam.
Dan
sangkaannya memang betul. Tidak ada hantu yang keluar dari kerusi itu. Tidak
ada makhluk menakutkan yang merangkak keluar. Tidak ada suara yang kedengaran.
Kerusi itu juga tidak bergerak sendiri seperti yang dtakut-takutkan oleh Zadi.
Malah dia berasa satu perasaan sayang yang luar biasa terhadap kerusi tersebut.
Setiap hari apabila balik dari kerja, dia akan terus duduk di kerusi tersebut
menonton televisyen. Memang itulah tujuannya membeli sebuah kerusi. Untuk
bermalas-malas di depan televisyen.
Dan
dia memang berpuas hati dengan pilihannya. Kerusi itu dirasakan cukup selesa
untuk menonton televisyen. Pinggangnya tidak pernah sakit walaupun dia telah
duduk berjam-jam di depan televisyen. Bermula dari waktu petang setelah sampai
ke rumah dari tempat kerja hinggalah ke tengah malam. Punggungnya sentiasa
melekat di kerusi itu. Tidak bergerak-gerak menikmati keasyikan tayangan demi
tayangan dalam kotak televisyennya itu. Dia hanya beredar apabila perut sudah
lapar benar ataupun untuk membuang air. Seusai membuang air ataupun selepas
perut sudah diisi dengan ala kadar, dia kembali ke kerusi, menikmati keempukan
kerusi yang dirasakan begitu lembut di punggungnya sambil menyambung menonton
tayangan di televisyen.
Ya,
begitulah jadualnya setiap hari. Perkara lain tidak lagi dirasakan
menyeronokkan. Malah tidak lagi dirasakan penting. Mungkin sebab itulah
hubungan dengan tunangnya semakin renggang. Dia tidak lagi suka diganggu
apabila dia sedang menonton televisyen. Panggilan telefon tidak lagi berjawab.
Ajakan tunangnya untuk keluar pada hujung minggu tidak lagi dihiraukan. Tidak
seronok. Tidak penting. Yang penting hanyalah kerusi dan televisyen
kesayangannya. Masuk bulan ke tiga, tunangnya minta untuk di lepaskan. Dia
rela. Malah dia gembira. Tiada lagi ajakan-ajakan dihujung minggu. Tiada lagi
bunyi-bunyi telefon. Tiada lagi gangguan.
Dan
dia boleh duduk di kerusi itu sambil menonton sepuas-puasnya. Tiada tayangan
yang dirasakannya tidak menarik. Semuanya menarik. Filem hollywood, drama
tamil, drama cina, soap opera,
hindustan, mexico, melayu, cerita hantu, cerita sedih dan cerita apa pun,
semuanya ditontonnya. Malah rancangan berbentuk majalah yang tidak disukainya
dahulu pun terasa begitu seronok untuk ditonton. Apatah lagi rancangan
kanak-kanak. Terkekeh-kekeh dia ketawa seiring dengan aksi kanak-kanak dan puppetyang melompat-lompat di kaca tv.
Pendek kata, semua rancangan dia akan tonton termasuklah iklannya sekali.
Pada
awalnya dia akan berhenti menonton menjelang tengah malam. Dia akan tidur di
biliknya dan bekerja seperti biasa keesokannya. Kemudian tidak lama selepas
itu, dia mula merasakan tarikan yang susah dimengertikan. Susah untuknya
berhenti menonton. Setiap rancangan dia rasakan begitu rugi untuk dilepaskan.
Jadi dia akan menonton hingga ke dinihari. Kadang-kadang dia akan tertidur di
kerusinya itu. Kadang-kadang dia tidak tidur terus. Apabila dirasakan sudah
terlalu lambat untuk ke tempat kerja, barulah dia akan terkocoh-kocoh untuk
mandi sambil membayangkan rancangan-rancangan televisyen yang bakal ditontonnya
apabila balik kerja petang nanti.
Kawannya
Zadi juga terkejut dengan perubahan pada dirinya. Dia makin tidak terurus.
Apabila ditanya, sibuk selalu menjadi alasannya. Rambutnya yang tebal kelihatan
begitu kusut masai. Bajunya tidak bergosok. Kulitnya pun kelihatan melekit dan
berdaki. Mungkin akibat mandi yang tidak sempurna. Dan yang paling
menghairankan Zadi ialah dia sekarang seolah-olah menjadi pakar rancangan
televisyen. Tanyalah apa-apapun, dia pasti akan memberikan jawapan. Dia
seolah-olah menjadi sebuah intisari rancangan yang hidup. Dia juga tidak segan
silu untuk memberikan komen tentang rancangan-rancangan televisyen yang
ditontonnya. Hero tidak cukup kacak lah. Jalan cerita tidak cukup bagus lah. Iklan terlalu panjang
lah. Dan bermacam-macam komen lagi yang mana Zadi rasakan terlalu pelik.
Tapi
perkara tersebut tidak lama. Adib mula merasakan kerugian yang amat sangat jika
masa siangnya dihabiskan dengan bekerja. Alangkah bagus sekiranya masa yang
terluang selama 9 jam untuk bekerja itu dimanfaatkan untuk menonton televisyen
sambil duduk di kerusi kesayangannya. Dan itulah yang dia lakukan. Walaupun
mendapat nasihat yang tak putus dari Zadi dan nasihat dari bosnya supaya
berjumpa pakar jiwa atau sekurangnya penasihat kaunseling, dia nekad untuk
meletak jawatan. Maka bermulalah kehidupannya sebagai penonton televisyen
sepenuh masa. Hanya kerusi itulah peneman setia dikala dia sibuk menancapkan
matanya ke kaca tv.
Dia
merasakan dirinya di puncak dunia. Dia sanggup hidup begini selama-lamanya.
Hanya bertemankan sebuah kerusi antik dan satu set televisyen. Namun dia
merasakan dunianya begitu luas. Begitu bermakna. Dia cukup bahagia sekali.
Tetapi
pada hari itu dia lupa. Pada hari Rabu bulan keenam dia memiliki kerusi itu.
Dia bukan sawan, bukan gila, bukan mabuk. Tapi dia lupa. Dia hanya dapat tahu
apabila Zadi memberitahunya. Itupun Zadi dapat tahu dari cerita jiran-jirannya.
Dia lupa bagaimana pada hari Rabu bulan keenam itu, pintu rumahnya diketuk oleh
sekumpulan pendakwah tabligh untuk mengajaknya mendengar ceramah di masjid. Dia
juga lupa bagaimana pada hari itu, pintu rumahnya tidak tertutup.
Dan
pada hari itu jugalah dia lupa bagaimana kumpulan pendakwah tabligh itu
terkejut besar apabila menjenguk ke dalam rumahnya melihat pemandangan yang
begitu mengerikan. Seorang pemuda berjambang yang kurus kering sedang duduk
tegak di atas sebuah kerusi antik dikelilingi sampah-sampah dari mee segera,
tikus dan lipas di dalam rumah yang gelap dan panas. Matanya merah dan
terbeliak sedang merenung kaca televisyen yang kosong. Bekalan elektrik dalam
rumah itu nampaknya sudah lama dipotong. Kelihatan dia sedang ketawa
terkekeh-kekeh dengan bunyinya yang begitu menyeramkan seolah-olah sedang
begitu asyik menonton televisyen. Tidak, dia bukan gila. Dia cuma lupa. Dia
lupa bilakah bekalan elektrik dipotong, dia lupa bilakah televisyennya tidak
lagi mengeluarkan gambar-gambar dan tayangan. Yang dia ingat, setiap hari
dilalui dengan ceria dan gembira menikmati rancangan di televisyen sambil duduk
di kerusi kesayangannya.
“Ok
kita dah nak sampai,” kata Zadi memecah lamunan Adib. Kereta yang dipandunya
dibelok ke kiri melalui satu lorong kecil yang bersimpang siur dan bebonggol.
----------------------------------------
Terima kasih kepada pembaca budiman.
Cerpen ini telah terpilih untuk diterbitkan sebagai himpunan cerpen di bawah Projek Ilham Grup Buku Karangkraf. Pembaca budiman boleh mendapatkan mendapatkan buku tersebut untuk mengetahui kisah selanjutnya.