Home Cerpen Cinta Pepohon Rhu Menjadi Saksi
Pepohon Rhu Menjadi Saksi
Oniichan
3/12/2013 20:59:12
2,018
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta
"Aku benci hidup aku! Aku benci sekolah! Aku benci Cikgu Rita! Aku benci Cikgu Hisyam! Aku benci semua orang!” Jika kata-kata itu dizahirkannya sudah tentu semua orang akan tahu perasaannya selama ini. Tetapi hakikatnya, suara itu hanyalah satu gema yang menyakitkan di dalam hatinya.

Eisya mengetap bibirnya setelah melihat apa yang berlaku tadi. Cikgu Rita seolah-olah tahu apa yang bermain di dalam hatinya dan Cikgu Rita seolah-olah sengaja mencetuskan kemarahannya.

“Jika cikgu ingin membuat saya marah, tahniah cikgu. Cikgu sudah berjaya. Malangnya marah saya sentiasa diiringi air mata. Apalah sangat marah saya yang tidak seberapa berbanding kesedihan yang tidak tertanggung ini…” hanya hatinya yang mampu meratap sebelum dia mengambil keputusan untuk beredar dari situ.

Tanpa menoleh lagi, dia terus berlari-lari anak sambil mengesat air matanya yang berjurai. Dia memilih untuk merentas padang sekolah menuju rimbunan pohon rhu di hujung pagar. Di situlah tempat dia selalu bersendiri apabila hatinya dilanda keresahan. Seluar sukan hitamnya mula kelihatan berbintik putih apabila bebunga kemuncup mulai hinggap. Dari jauh kedengaran bandsekolah mereka sayup-sayup membawa lagu ‘Sungai Lui’ dan itu hanya menambahkan sebak di hatinya.

Cikgu Rita hanya tersenyum sinis melihat Eisya yang berlari meninggalkan rakan-rakannya yang lain. Terpampang satu kepuasan pada wajahnya apabila melihat anak gadis itu mengalirkan air mata. Dia menjeling ke arah Cikgu Hisyam yang kelihatan serba salah.

“Eisya, tunggu!” Cikgu Hisyam nampaknya tidak suka dengan keadaan itu. Setelah menjeling marah ke arah Cikgu Rita, dia terus mengejar Eisya walaupun terpaksa meninggalkan guru perempuan itu yang mula berubah air mukanya.

Eisya tidak menghiraukan panggilan gurunya itu. Dia terus berlari dengan lebih pantas untuk menuju ke tempat kegemarannya. Rimbunan pohon itu seolah melambai-lambai menunggu kehadirannya. Lelah yang dikutipnya ketika berlari tadi seolah-olah terus lenyap apabila dia mula menyandarkan dirinya pada salah satu pohon tersebut. Dia terus memejamkan matanya yang masih basah dan cuba mengosongkan fikirannya namun ternyata tidak berjaya.

Dia masih lagi tidak dapat melupakan peristiwa tadi seolah-olah kejadian tadi adalah satu rakaman yang diulang-ulang di dalam otaknya. Dia cuba menepis tetapi tidak berjaya. Dia cuba bersikap tabah tetapi air matanya berjurai juga.

“Kenapa kamu tinggalkan sesi latihan dengan terburu-buru tadi?” soal Cikgu Hisyam tercungap-cungap. Eisya tersentak. Dia langsung tidak menyedari kehadiran guru itu tetapi dia hanya diam tidak berkata-kata. Dadanya mula dilanda ombak debaran. Kenapa Cikgu Hisyam mengikutnya hingga ke sini? Adakah untuk meminta maaf? Adakah untuk menambahkan sakit hatinya?

Eisya mula mengesat air matanya tetapi dia yakin, dia tidak dapat menyembunyikan matanya yang sembap dan pipinya yang masih lembap. Setelah menarik nafas panjang dan cuba berbunyi senormal yang mungkin, dia mula membuka mulutnya.

“Saya rasa tidak sedap badan.” Pendek sahaja jawapannya tetapi dia pastikan matanya tidak bertentangan dengan Cikgu Hisyam.

Cikgu Hisyam tersenyum lembut. Dia mengeluarkan sekeping sapu tangan putih dari kocek seluarnya dan dan cuba mengesat sisa air mata di pipi Eisya yang masih berbaki. Melihat reaksi Eisya yang mengelak daripadanya, Cikgu Hisyam terus memberikan sapu tangannya lantas disambut oleh anak gadis 17 tahun itu.

“Tadi saya tengok kamu baik-baik sahaja? Adakah kerana apa yang dilakukan oleh Cikgu Rita tadi?” tebak Cikgu Hisyam.

Eisya memilih untuk diam. Dia tahu yang guru itu sudah maklum tentang keadaannya. Dia tidak perlu meneka. Dan soalan itu seolah sengaja menayangkan kembali aksi mereka berdua sebentar tadi.

“Kami memang akan berkahwin pada hujung tahun ini, Eisya,” sambung Cikgu Hisyam.

Esiya hanya mengetap bibirnya sambil cuba menahan air matanya yang bertakung kembali mengalir. Hakikatnya dia terlalu lemah untuk menanggung kesedihan ini seorang diri. Dedaun rhu yang yang seperti jarum itu seolah-olah menusuk terus ke dalam hatinya, tajam dan menikam.

“Jadi saya harap kamu dapat maafkan kelakuan Cikgu Rita dan saya tadi.”

Antara sebak dan sendu, Eisya menggagahkan dirinya untuk bersuara. “Jadi pengumuman tadi juga dirancang oleh cikgu?”

“Saya tidak tahu berkenaan hal tadi. Saya sedang memberi latihan kepada band sekolah kita ketika dipanggil oleh Cikgu Rita untuk turun ke padang.”

“Tentu cikgu seronok, bukan? Dapat berpakat dengan Cikgu Rita untuk menyakitkan hati saya?” Eisya tidak dapat menahan lagi air matanya. Seperti empangan yang menunggu masa untuk pecah, begitulah jua dengan air matanya yang tidak berhenti mengalir. Kenapalah hati ini begitu rapuh? Kenapalah perasaan ini begitu lemah? Eisya tidak peduli lagi untuk mengesat air matanya. Biarlah dia mengalir. Biarlah Cikgu Hisyam tahu. Biarlah semua orang tahu.

“Kamu jangan fikir yang bukan-bukan, Eisya. Saya tidak akan melakukan sesuatu untuk menyakiti hati kamu. Saya hairan juga pada mulanya kenapa Cikgu Rita beria-ria ingin mengumumkan pertunangan kami pada sesi latihan olahraga petang ini. Sekarang barulah saya tahu kenapa…”

“Kenapa?” soal Eisya pantas.

“Kerana dia cemburukan kamu.”

“Cemburukan saya?”

Cikgu Hisyam mengangguk-anggukkan kepalanya dan bibirnya tidak lekang dari melontarkan senyuman mesra. “Mugkin kamu tidak berniat untuk mempamerkan perasaan kamu, tetapi sebenarnya Cikgu Rita dapat merasakan yang kamu menyukai cikgu. Kelakar, bukan?”

Eisya seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Adakah surat tanpa nama yang ditulis olehnya sudah dapat dikesan penulisnya oleh Cikgu Hisyam dan Cikgu Hisyam memberitahu perkara itu pada Cikgu Rita? Ah, kalau perkara itu benar, tentu memalukan sekali. Surat itu mengandungi segala luahan hatinya kepada Cikgu Hisyam dan walaupun surat itu tidak bernama, dia rasa puas kerana dapat menulis sesuatu kepada guru kesayangannya itu.

Cikgu Hisyam menyambung. “Dia pernah memberitahu saya tentang hal ini dan saya sudah tentu tidak mempercayainya. Tetapi apabila melihat kamu lari tadi, barulah saya tahu yang kata-kata Cikgu Rita itu ada benarnya. Saya rasa sebenarnya kamu keliru, Eisya.”

Muka Eisya dirasakan panas sekali. Dia menundukkan mukanya dan cuba berlindung di balik pohon rhu di situ. Jadi adakah perhatiannya selama ini kepada Cikgu Kamal dapat dihidu oleh semua orang? Malunya dia hanya dia yang tahu.

Setelah agak lama membatukan diri, akhirnya Eisya mula berani bersuara. “Saya tidak keliru, cikgu.”

Cikgu Hisyam kelihatan terkejut. “Maksud kamu?”

“Cikgu Rita tidak salah. Saya memang menyukai cikgu.”

Dia tidak tahu dari mana datangnya keberanian yang meresapinya sekarang tetapi mulutnya lancar sekali menucapkan kata-kata keramat itu. Dia juga tidak tahu samada Cikgu Hisyam sudah tahu yang dialah penulis surat cinta itu tempohari tetapi sekarang dia sudah tidak kisah lagi.

“Cinta? Jadi benarlah apa yang dikatakan oleh Cikgu Rita.” Cikgu Hisyam merenung wajah mulus anak gadis itu. Eisya hanya mengangguk perlahan.

Cikgu Hisyam nampaknya tidak kaget malah kelihatan tenang sahaja seolah-olah semua ini sudah dapat diagaknya. Dia menyambung, “Kamu tahu, Eisya, saya sebenarnya tujukan lagu ‘Sungai Lui’ yang dimainkan oleh kumpulan muzik sekolah kita kepada kamu.”

“Untuk saya?” soal Eisya pantas.

“Ya, untuk kamu. Selepas apa yang diberitahu oleh Cikgu Rita kepada saya, saya fikir lagu itu sangat sesuai untuk kamu. Lagu itu dicadangkan oleh pemain gitar sekolah kita. Dia seorang yang berbakat tetapi pendiam.”

Eisya cuba mengingati siapakah pemain gitar sekolah mereka tetapi tiada satu pun yang berjaya diingatinya. Biasanya hanya penyanyi utama yang menjadi tumpuan pelajar sekolah jika ada persembahan ketika hari guru. Dia cuba berfikir lagi tetapi Cikgu Hisyam terus bersuara.

“Perjalanan hidup kamu masih panjang lagi Eisya. Nikmati zaman remaja kamu sebaiknya. Pelbagai perkara dalam hidup ini yang boleh dinikmati selain cinta monyet yang tidak menjanjikan apa-apa. Terlalu luas dunia ini untuk ditempuhi kamu. Kenapa mesti dihadkan pengembaraan kamu kepada perasaan cinta yang sebentar cuma? Waktu remaja adalah waktu yang tepat untuk memupuk persahabatan, minat, hobi… err.. tentu kamu mempunyai sesuatu hobi atau kegemaran?”

Hati Eisya melonjak kegembiraan apabila Cikgu Hisyam langsung tidak menyentuh tentang surat cinta yang ditulisnya dulu. Hati yang tadinya sedih mula berbunga gembira. Matanya yang tadi kelihatan sembap mula bercahaya semula seolah-olah tidak pernah mengalirkan air mata sebagaimana jiwa remaja dalam dirinya yang pantas berubah-ubah. Dia cepat-cepat menjawab, “Saya suka membaca buku.”

“Benarkah? Bagus sekali. Boleh saya tahu buku apa?”

“Biasanya buku cinta. Tetapi saya juga menggemari karya Ramlah Awang Marshad.”

“Oh, kebetulan pula. Saya juga sukakan karya beliau,” Cikgu Hisyam kemudian terdiam. Dia seolah sedang terfikirkan sesuatu.

“Kamu sudah baca karya beliau yang bertajuk ‘Bagaikan Maharani’? soal Cikgu Hisyam bersama senyum yang tidak putus dari bibirnya.

“Belum lagilah, cikgu. Saya baru bercadang untuk membelinya hujung bulan ini,” jawab Eisya. Dia mula merasakan satu resapan perasaan yang begitu mesra sekali. Kali ini, dia tidak lagi meminati guru itu sebagaimana sebelumnya, tetapi menghormatinya sebagai seorang abang.

“Sayang sekali. Saya paling sukakan novel itu.” Cikgu Hisyam memandang jam di tangannya dan mendongak ke langit. Cuaca petang itu sangat baik sekali dan bunyi cengkerik pada waktu petang itu sangat mendamaikan suasana.

“Mungkin kita boleh berbual tentang buku itu jika kamu sudah habis membacanya,” kata Cikgu Hisyam lagi. “Baiklah, kamu jangan fikirkan sangat tentang hal ini. Saya harap kamu tidak berkecil hati dengan Cikgu Rita tadi. Saya tetap akan menjadi kawan kamu, OK?”

“Err… baiklah,” jawab Eisya tersekat-sekat seperti ada sesuatu di kerongkongnya. Mukanya yang tunduk memandang rumput dikakinya mula kemerahan menahan malu. Apabila diangkat mukanya, dilihatnya Cikgu Hisyam sudah bersedia untuk beredar. Dia ingin sekali mengucapkan sesuatu sebelum guru muda itu beredar paling tidakpun ucapan terima kasih kerana memujuknya tetapi suaranya dirasakannya begitu payah untuk diluahkan.

“Oh, ya. Boleh kita jumpa lagi di sini? Mungkin untuk berbual kosong atau bertukar-tukar buku?” kata Cikgu Hisyam tiba-tiba mengejutkan Eisya.

“Sudah tentu!” jawab Eisya gembira. Hatinya berbunga girang dan jantungnya seolah-olah melonjak kegembiraan.

“Baiklah. Kita akan jumpa pada Rabu ini pukul empat.”

“Hari Rabu pukul empat,” ulang Eisya masih lagi tersengih seperti kerang busuk.

“Ya, Rabu pukul empat.” Kali ini Cikgu Hisyam pula yang tersengih. “Saya rasa tidak salah untuk berjumpa di sini kerana tempat ini tidak terselindung dan boleh dilihat sesiapa. Jangan lupa bawa buku ‘Tamborin Terakhir’, saya mahu ulang baca buku itu dan buku saya pula sudah hilang.”

“Baiklah.”

Setelah beberapa langkah Cikgu Hisyam melangkah pergi, Eisya mula membelakangi pokok yang disandarkan dan melompat kegembiraan. Mahu saja dia menjerit ‘yahoo’ sekuat hatinya tetapi ditahannya risau didengar Cikgu Hisyam.

Ketika dia melompat sendirian, kelihatan Cikgu Hisyam berhenti berjalan setelah beberapa langkah dan berkata padanya, “Kamu tahu tak, Eisya.”

Kelam kabut Eisya menghentikan lompatannya dan membetulkan bajunya sebelum menjengah memandang guru itu. Sakit jantung dibuatnya.

“Tahu apa, cikgu?” soal Eisya masih lagi membetulkan hujung bajunya.

Cikgu Hisyam menggaru-garu kepalanya. Setelah teragak-agak untuk beberapa lama, akhirnya dia bersuara, “Sebenarnya saya ada menerima sepucuk surat cinta baru-baru ini. Surat itu tidak bernama. Tetapi saya perhatikan tulisan surat itu seperti tulisan kamu…”

Jantung Eisya mula berdebar-debar. Dia mula membuka mulutnya untuk berkata sesuatu tetapi nampaknya bukan itu tujuan sebenar Cikgu Hisyam.

Cikgu Hisyam menyambung, “Saya tidak kisah kalau surat itu kamu yang tulis atau sesiapa sahaja, namun harapan saya kepada kamu, jika ingin menulis surat kepada seseorang, tulislah menggunakan tatabahasa yang baik dan ejaan yang penuh. Sakit kepala saya untuk memahami perkataan SMS yang digunakan oleh penulis surat itu. Saya tidak mengatakan kamu yang menulisnya tetapi sekadar harapan saya secara umum. Lagipun jika kita membiasakan diri menulis dengan baik, bukankah itu bagus untuk peperiksaan kita nanti?”

Eisya tersenyum kelat. Perasaan lega dan malu seiring dirasakannya. Lega kerana Cikgu Hisyam tidak kisah tentang surat itu manakala malu pula kerana orang yang dimaksudkan oleh Cikgu Hisyam memang adalah dia.

“Saya janji, cikgu. Saya tidak akan menulis dalam bahasa SMS lagi.”

“Jadi, benarlah kamu…”

“Walaubagaimanapun, bukan saya yang menulis surat itu,” pintasnya segera. Hampir-hampir dia membuka rahsianya sendiri tadi.

Cikgu Hisyam senyum lagi. “Baiklah ‘kamu-yang-tidak-menulis-surat-itu’, saya harap kamu akan memperbaiki penulisan kamu,” kata Cikgu Hisyam sambil tersenyum nakal sebelum melangkah pergi dan kali ini, dia tidak berpatah balik lagi.

                                                                ***

Kelas yang dilalui oleh Eisya dirasakan begitu membosankan sekali. Baginya sekarang, semua perkara dirasakannya tidak penting kecuali menunggu masa untuk berjumpa Cikgu Hisyam. Namun begitu, dia tetap cuba sedaya upaya untuk menumpukan perhatian di dalam kelas walaupun hatinya meruntun kegelisahan.

Pada masa yang sama, dia juga terfikir-fikir, siapakah pelajar yang mencadangkan lagu ‘Sungai Lui’ untuk ditujukan kepadanya tempohari. Tentu dia boleh sahaja bertanyakan rakan karibnya Fizzah tentang perkara itu. Fizzah tahu semua perkara tentang sekolah mereka. Fizzah tahu siapakah pelajar yang diminati Nora, penolong ketua pelajar mereka, dan Fizzah tahu pada pukul berapakah Cikgu Rahim curi-curi keluar kawasan sekolah untuk hisap rokok. Jadi apatah lagi perkara kecil seperti nama pemain gitar bandsekolah mereka. Dia yakin Fizzah tahu itu.

Tetapi masalah utamanya ialah, walaupun Fizzah adalah seorang yang serba tahu, Fizzah juga terkenal dengan mulutnya yang becok. Jadi untuk bertanyakan Fizzah tentang pelajar itu adalah seperti membuat pengumuman meyatakan cintanya pada pemain gitar sekolah pada semua orang. Ya, begitulah kehebatan mulut Fizzah yang tidak dapat ditandingi mana-mana pelajar.

Jadi dia mengambil langkah untuk mendiamkan diri. Sesekali dia akan menjeling ke arah Haikal yang berada di hujung kelas sambil termenung. Kadang-kadang ingin sekali dia mengenali pelajar misteri itu. Dia tidak banyak berkata-kata membuatkannya tidak berapa dikenali oleh pelajar-pelajar namun Eisya sangat tertarik pada peribadinya yang dirasakannya begitu dingin sekali di luarnya tetapi hangat dan ramah di dalam. Mungkin suatu hari nanti dia akan memberanikan diri untuk menegur Haikal, fikirnya.

Ketika loceng menandakan waktu rehat telah bermula pagi itu, Eisya masih lagi cuba menyiapkan jawapan terakhir menyebabkan dia ditinggalkan rakan-rakannya untuk ke kantin.

“Tunggulah dulu,” katanya sambil mengemas-ngemas mejanya sebelum bergegas menuju pintu kelas dengan tergopoh-gapah. Dia tidak melihat siapa di depannya.

“Aduh,” jerit Eisya apabila bahunya terlanggar seseorang. Kelihatan seorang pelajar lelaki terkejut apabila dilanggar Eisya. Beberapa buku yang dipegangnya bertaburan.

“Maafkan saya,” kata pelajar lelaki itu walaupun jelas sekali itu adalah salah Eisya. Dia mula membongkokkan diri untuk mengutip bukunya yang jatuh.

Eisya tidak dapat melepaskan pandangannya dari melihat salah satu buku yang jatuh itu. ‘Bagaikan Maharani’. Buku itulah yang menjadi kesukaan Cikgu Hisyam. Dia ingin mengenali siapakah empunya buku itu lantas diambilnya buku itu dan diserahkan kepada tuannya.

“Haikal…” katanya seolah terkejut dengan susuk tubuh yang berada di depannya. Haikal pula kelihatan serba-salah dan mengambil buku itu dengan pantas dan menyelitkannya disamping buku-buku lain.

“Sebenarnya saya yang salah,” kata Eisya memecah kejanggalan yang dirasakan mereka. Muka mereka berdua mula kemerahan. Mereka hanya diam membatu di situ tidak berkata apa-apa. Pelik. Dari dulu Eisya ingin sekali menegur pelajar yang bernama Haikal ini namun apabila peluang yang ada sudah mula menjengah, lidahnya kelu untuk berkata-kata. Haikal pula kelihatan resah dan mulutnya bergerak-gerak seolah-olah ingin mengatakan sesuatu tetapi nampaknya tidak kesampaian.

Setelah beberapa kali teragak-agak, akhirnya mereka meneruskan perjalanan masing-masing.

                                                                 ***

Akhirnya hari yang ditunggu oleh Eisya telah tiba. Hari Rabu. Hari aktiviti kokurikulum pelajar. Dan setelah menjaringkan beberapa jaringan bola jaring, Eisya melihat jam di tangannya sudah pukul 4 petang. Hatinya mula resah. Cikgu Rita masih tidak mahu memberhentikan permainan bagi memberi peluang kepada pemain untuk rehat. Dia mula hilang tumpuan apabila mengingatkan yang Cikgu Hisyam mungkin sudah menunggunya dengan kecewa.

“Tumpukan perhatian!” sergah Cikgu Rita padanya apabila sebiji bola melantun ke kepalanya di sambut dengan ketawa rakan sepasukannya.

“Nampaknya fikiran Miss Eisya kita ni sudah melayang ke tempat lain. Take five, everybody.Kita rehat sekarang,” kata Cikgu Rita lagi.

Setelah mendengar kata-kata Cikgu Rita itu, tanpa berlengah lagi, Eisya segera meninggalkan rakannya yang mula berehat dan menuju ke arah pohon rhu tempat dia dan Cikgu Hisyam berjanji untuk berjumpa. Apabila melalui padang hijau dan melepasi beberapa orang pemain hoki yang juga sedang berehat, Eisya memandang ke arah bangunan tempat latihan band sekolah mereka. Pelik, tidak ada bunyi muzik hari ini. Tidak berlatihkah mereka hari ini, fikirnya.

Setelah sampai di tempat yang dituju. Matanya melilau mencari kelibat Cikgu Hisyam tetapi tidak kelihatan. Hanya pohon rhu yang menjadi penunggu setia di situ. Dia menarik nafas panjang dan dengan satu keluhan berat, terpaksa menerima hakikat yang Cikgu Hisyam tidak sudi berjumpanya. Mungkin itu sebabnya Cikgu Rita keberatan memberi peluang padanya untuk rehat. Siapa tahu. Mungkin ini semua hanyalah rancangan Cikgu Hisyam dan Cikgu Rita. Mungkin mereka berdua sedang mengetawakannya sekarang ini.

Tanpa membuang masa, dia mengambil keputusan untuk beredar dari situ. Tiba-tiba dari belakang sebuah pohon rhu yang agak besar terpacul seorang kelibat yang sangat dikenalinya.

“Haikal? Apa yang kamu buat di sini?” Eisya seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Bagaimana Haikal boleh berada di sini? Adakah Haikal juga bersekongkol mahu mengenakannya? Namun dari reaksi Haikal, nyata dia juga tidak faham dengan apa yang berlaku.

“Eisya? Err… saya sebenarnya sedang menunggu Cikgu Hisyam.”

Tersentak Eisya apabila mendengar kata-kata Haikal itu. Dia yang sebenarnya menunggu Cikgu Hisyam, bukannya Haikal. Sepatunya dia yang berkata sedemikian.

“Sebenarnya saya yang…” dia membatalkan niatnya untuk meneruskan kata-kata sebaliknya bertanya, “Jadi, apa urusan kamu dengan Cikgu Hisyam?”

Haikal kelihatan ragu-ragu untuk bercerita namun setelah didesak Eisya akhirnya dia membuka mulut.

“Sebenarnya saya menunggu kamu…”

“Saya? Kenapa?”

“Kerana ini,” jawab Haikal sambil menghulurkan buku yang cukup dikenali oleh Eisya. Buku ‘Bagaikan Maharani’ karya Ramlah Awang Marshad yang ingin sekali dibacanya.

“Cikgu Hisyam menyarankan saya membacanya dan meminjamkan saya bukunya. Setelah selesai dan memulangkan padanya, dia beri saya semula buku ini tetapi kali ini katanya supaya saya memberikan pada kamu pula kerana kamu ingin sekali membaca buku ini.”

Benar, dia ingin sekali membaca buku itu. Tetapi dia memang bercadang untuk membeli buku itu sendiri. Kenapa Cikgu Hisyam bersusah payah meminjamkannya bukunya? Namun apabila dilihatnya tangan Haikal yang masih lagi menghulurkan buku itu, dia segera menyambut buku itu.

“Terima kasih,” katanya pendek pada Haikal sebelum membelek buku itu secara rambang.

Ketika itulah sehelai kertas yang berlipat rapi terjatuh dari halaman buku tersebut. Eisya segera mengutip kertas itu dan dahinya berkerut apabila membaca surat itu yang ditujukan padanya. Dia memandang surat itu dan wajah Haikal bersilih ganti namun Haikal tidak menunjukkan riak muka yang mencurigakan. Malah wajahnya masih kelihatan merah kerana malu-malu.

“Kamu tidak tahu tentang surat ini?” tanya Eisya.

“Sudah tentu saya tidak tahu.” jawab Haikal.

Setelah yakin dengan jawapan Haikal, Eisya segera membaca isi kandungan surat itu.

Eisya,

Maafkan saya kerana tidak dapat berjumpa kamu di sini lagi. Tidak elok untuk seorang guru seperti saya kelihatan berdua bersama anak murid perempuannya. Namun, tentu kamu masih ingat kata-kata saya yang kita tetap berkawan.

Eisya,

Sebagaimana Cikgu Rita mengetahui kamu menyukai saya, saya juga mengetahui Haikal menyukai kamu. Saya selalu melihat dia memerhatikan kamu ketika berlatih muzik pada waktu petang. Walaupun dia seorang yang pendiam, dia adalah seorang pemain gitar yang berbakat. Jadi saya harap kamu dan dia dapat berkawan. Ingat, cinta monyet tidak menjanjikan apa-apa tetapi persahabatan sejati menjanjikan seribu satu pengalaman berharga.

Eisya seolah tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Jadi Haikallah pemain gitar band sekolah mereka selama ini dan dialah yang tujukan lagi ‘Sungai Lui’ untuknya. Malah lebih mengejutkannya lagi, Haikal mempunyai perasaan terhadapnya.

“Jadi kamu tidak benar-benar tidak tahu tentang surat ini?” tanya Eisya lagi setelah dilipatnya surat itu baik-baik dan dimasukkan kedalam kocek bajunya. Dia cuba berlagak senormal yang mungkin.

Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya, kemudian bertanya, “Apa yang ditulis dalam surat itu? Siapa yang menulisnya?”

Eisya menarik nafas lega, kemudian berkata, “Tidak ada apa-apa. Hanya surat daripada Cikgu Hisyam menyuruh saya menjaga buku ini baik-baik.”

“Oh, saya ingatkan surat cinta daripada Cikgu Hisyam tadi.”

Eisya menjegilkan matanya pada Haikal. “Apa kamu kata?”

Haikal tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapat. Nampaknya dia sudah mula dapat membiasakan diri.

“Jadi, kamu sudah membaca buku ini. Apa pendapat kamu?” tanya Eisya.

“Saya sebenarnya lebih menyukai buku berbentuk biagrafi. Jadi agak pelik juga apabila saya susah untuk melepaskan buku ini apabila mula membacanya. Fast paced, orang kata.”

“Benarkah?” soal Eisya seperti tidak percaya.

“Benar,” jawab Haikal sambil tersenyum. “Jadi saya habiskan membacanya pada waktu rehat pagi tadi. Lagipun saya bukannya suka berbual-bual kosong pada waktu rehat.”

“Tetapi sekarang ini saya lihat kamu agak ramah juga,” duga Eisya.

Haikal kelihatan serba-salah semula.

“Entahlah. Saya juga tidak tahu. Mungkin kerana saya rasa selesa mengenali kamu. Mungkin juga kerana kita dipertemukan dengan cara sama iaitu melalui Cikgu Hisyam,” jawab Haikal.

“Nampaknya Cikgu Hisyam telah mengenakan kita,” kata Eisya.

Mereka tersengih sesama sendiri apabila mengenangkan Cikgu Hisyam dan menyambung perkenalan mereka. Eisya nampaknya cukup gembira mengenali Haikal yang pada pandangannya tidaklah terlalu pendiam apabila sudah cukup dikenali. Perbualan mereka mula berlanjutan dan Eisya sendiri tidak menyangka yang kesedihannya terhadap sikap Cikgu Rita tempohari sebenarnya mempunyai rahmat yang tersembunyi. Sekarang dia mengenali seorang rakan yang cukup baik sekali dan mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.

Jadi, mahukah kamu jika saya menceritakannya kesudahan novel ‘Bagaikan Maharani’ ini? tanya Haikal cuba berjenaka.

“Jangan!” kata Eisya sambil menutup telingannya dan ketawa mereka berdua mula berderai seiring dengan hiruk pikuk pelajar yang mula menyambung latihan sukan mereka.

Angin yang berhembus pada petang itu sangat mendamaikan walaupun cuaca bulan Mei agak panas pada tahun ini dan pada petang itu juga, pepohon rhu di situ telah menjadi saksi terjalinnya persahabatan antara dua insan yang saling tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

-Tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.