Home Cerpen Fantasi Lompat
Lompat
Oniichan
23/10/2013 01:24:30
2,286
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

                                                                    LOMPAT

Malam itu, seperti desiran angin, Zuri muncul tiba-tiba. Bajunya basah kuyup dan busuk. Sengihnya juga seperti kerang busuk.

"Celaka betul," katanya, masih lagi tersengih. "Termasuk dalam longkang di Scotland pulak. Nasib baik cepat lari."

Dia cepat-cepat masuk ke bilik air. Rumah pangsa dua bilik itu bergema dengan siulan Zuri di bilik air. Tanpa perabot yang menyemakkan dan peralatan eletrik selain daripada sebuah televisyen, rumah itu kelihatannya seperti tidak berpenghuni.

Aku mengenali Zuri tidaklah lama. Mungkin enam bulan lepas. Aku terjumpa dia terlantar tidak bermaya betul-betul di atas rel di Stesen Komuter Kajang. Ramai orang panik tetapi tidak berbuat apa-apa, hanya menunjuk-nunjuk ke arahnya. Ada juga yang kelilhatan sedang mendail sesuatu di telefon tetapi aku pun tidak tahu adakah mereka benar-benar cuba menelefon seseorang ataupun lakonan semata-mata. Bahkan aku pun tidak tahu jika dalam kes sebegini, kepada siapa aku patut telefon. Poliskah? Bombakah? Atau hospitalkah?

Jadi aku mengambil keputusan untuk turun dari platform dan menyelamatkannya. Sekurang-kurangnya aku tidaklah berdiam diri sahaja atau lebih teruk lagi, berlagak bodoh dengan mengambil gambar.

"Dik, bahaya. Komuter bila-bila masa saja boleh sampai. Baik kita tunggu polis saja," kata seorang pakcik india padaku. Mukanya memang asli mengambil berat, bukan sekadar ingin menunjukkan semangat 1Malaysia sahaja.

Aku tidak menghiraukan amaran pakcik itu. Masih belum ada tanda-tanda komuter akan sampai. Lagipun komuter bukannya laju sangat pun. Lainlah kalau bullet train yang aku terpaksa hadapi. Aku terus turun dan menuju ke arahnya.

"Beri aku air," kedengaran pemilik tubuh itu bersuara lemah. Aku mula pelik. Kelihatannya seperti mahu membunuh diri tetapi minta air pula. Aku meraba-raba beg galasku dan mengeluarkan air mineral botol besar yang telah kuminum separuh. Terus kuhulurkan padanya.

Ketika dia mula minum itulah aku dapat merasakan gegaran pada tempat aku berpijak. Komuter sudah dekat! Otakku membuat kesimpulan. Aku perlu lari segera dan naik ke platform jika tidak mahu berkecai dilanggar komuter. Namun entah mengapa- semangat apa yang meresapi aku pun aku tidak tahu- aku merasakan aku mesti menyelamatkan pemuda itu. Walaupun dia kelihatan tidak endah. Walaupun dia kelihatan lebih suka menikmati air mineral yang aku beri. Walaupun mungkin benar yang dia ingin membunuh diri.

"Cepat, lari!" tempikku sambil menarik tangannya apabila aku lihat kepala komuter sudah mula kelihatan. Orang ramai yang menyaksikan keberanian - atau kebodohan- aku mula bertempik sama. Masing-masih mempamerkan muka cemas dan ambil berat. Tetapi pada saat-saat akhir begitu pun, aku masih lagi menyampah kepada beberapa orang yang nampaknya lebih suka mengambil gambar video suasana tegang itu.

"Bertenang," jawabnya selamba. Habis air mineralku diminumnya. Dia mulai kelihatan segar namun masih payah untuk bangun. Akhirnya selepas digagahinya dan selepas hampir tercabut lenganku dibuatnya, akhirnya dia berjaya bangun. Namun apakan daya, komuter sudah berada betul-betul dekat dengan kami berdua.

Aku hanya memikirkan tentang kematian pada ketika itu. Penyesalan mula bersarang di hati kerana cuba berlagak hero dan cuba menyelamatkan seorang gila yang nampaknya memang tidak mahu diselamatkan, sebaliknya hanya mahu minum air percuma. Aku mula berserah dan memejamkan mata, kakiku kurasakan lembik, urat sarafku kurasakan bersimpul. Aku mula mengingatkan kenanganku ketika kecil dulu hingga sekarang kerana orang kata, sebelum kita mati, semua kenangan dari kecil hingga besar akan diimbas semula. Ajaibnya aku tidak ingat apa-apa ketika itu selain kebimbangan kerana lupa memadamkan history web browserku pada malam sebelumnya. Tentu memalukan apabila aku mati, seseorang membuka komputerku dan dapat melihat dari laman web yang aku lawati yang aku merupakan seorang peminat Gleedan High School Musical.

Ketika angin komuter itu mula dirasakan, ketika honnya dibunyikan hingga memekakkan telinga, ketika orang ramai menjerit kengerian dan ketika aku sudah bersedia dijemput kematian, ketika itu jugalah lelaki itu memaut lenganku dan perkara terakhir yang aku ingat ialah aku berada di dalam sebuah rumah.

"Terima kasih kerana selamatkan aku," ucapnya padaku walaupun apa yang aku rasakan, sebenarnya dia yang menyelamatkan aku.

"Di mana kita? Adakah kita sudah mati?" soalku padanya. Seingatku kami berdua hampir lumat digilis komuter. Dia hanya tersenyum. Walaupun senyuman di bibirnya yang kering itu lemah, matanya tetap bercahaya.

“Belum. Kita belum mati lagi,” jawabnya sambil menghulurkan semula bekas airku yang hampir kering.

Selepas kejadian itulah aku selalu datang kerumahnya. Aku memang tidak pernah mempunyai kawan baik. Dia juga mengakui yang dia tidak pandai berkawan. Aku memang sudah dapat mengagak hal itu kerana kadang-kadang sifatnya sangat lurus dan kata-katanya yang direct memang boleh menyakitkan hati. Tetapi kami akhirnya bersahabat baik dan rumahnya sentiasa menjadi tempatku menghabiskan masa.

Rumahnya tiada apa-apa yang istimewa. Tidak seperti rumah sewaku yang lengkap dengan perabot dan buku-buku yang memenuhi ruang, rumahnya kosong. Kadang-kadang jika kami bercakap dengan agak kuat, gema yang memantul boleh menyakitkan telinga. Hanya sebuah televisyen menjadi peneman di kala sunyi. Namun sebenarnya aku juga jarang membuka televisyen kecil itu. Menjejakkan kaki kerumahnya sudah memberikanku satu keseronokan.

Perasaan ketika dia pulang dari ‘melompat’ memang sangat mengujakan. Perasaan itu membunuh segala kebosanan ketika menunggunya pulang dan seperti satu ritual, aku akan terus kerumahnya setiap kali pulang dari kerja. Rumahku yang lengkap dengan perabot IKEA dan poster Bob Marley semakin kurasakan bosan untuk diduduki. Lagipun aku hanya keseorangan di rumah itu. Aku memang berhak untuk berasa bosan.

Di rumahnya, segala perasaan bosan, putus asa dan kecewa dengan kerja dan kehidupanku akan hilang sebaik sahaja dia pulang. Setiap kali dia pulang, sentiasa ada kejutan untukku. Mungkin dengan keadaannya yang basah kuyup atau luka-luka kecil atau mungkin juga dengan ceritanya yang sentiasa segar dan mengujakan.

Bukan dia tidak pernah mengajakku melompat bersamanya. Tetapi setelah melalui pengalaman ngeri di stesen komuter kajang tempohari, aku tidak rasa aku mampu melakukannya sekali lagi. Mungkin itu memang lahir dari sifatku sendiri yang tidak adventurous walaupun aku suka mendengar cerita-cerita pengalamannya. Seperti seorang yang hanya duduk terperap di rumah tetapi mendapat segala pengalaman pengembaraan hanya dengan menonton televisyen, begitulah yang dapat aku rasakan.

“Longkang di Scotland? Nasib baik tak jatuh dalam lubang najis di India!” kataku apabila kulihat dia sudah selesai mandi.

Itu juga salah satu sebabnya aku tidak mahu mengikutnya ‘melompat’. Dia tidak dapat mengawal tempat yang dia akan tujui. Cuma corak lompatannya memang sama setiap kali iaitu dia akan melompat dua kali. Sekali ketika pergi, yang dia sendiri tidak tahu di mana destinasinya. Sekali lagi ketika pulang, yang atas sebab yang aku tidak tahu, sentiasa berakhir di rumah ini. Coraknya sangat rawak sehinggakan dia boleh berada di mana-mana samada di Uruguay atau di stesen komuter Kajang.

Ada pernah sekali dia muncul dengan basah kuyup kerana dia telah melompat ke laut dalam. Ketika dia hampir mati dek kerana tekanan dan air laut yang memenuhi rongga hidungnya, dia muncul kembali di rumah ini. Ada juga pernah dia balik dengan kesan melecur di kaki dan aku bayangkan yang mungkin dia tersesat ke tempat yang lebih dramatik seperti gunung berapi dan sebagainya. Tetapi dia hanya tersengih dan mengatakan yang dia muncul tepat di tengah laluan orang yang melakukan ritual berjalan atas bara api di India.

Dan ketika dia berada di Stesen Komuter Kajang itu, tentu kamu tertanya-tanya kenapa dia terbaring lemah seolah-olah ingin membunuh diri. Aku hanya berkesempatan untuk bertanyakan hal itu baru-baru ini.

“Aku tersasar,” jawabnya selamba.

“Tersasar?” soalku. “Jadi kau memang boleh menentukan destinasi tempat tujuanmu?”

“Bukan begitu. Aku tersasar ketika balik. Lompatan pergi membawaku ke padang pasir Sahara.”

Mungkin itu sebabnya dia begitu dahaga ketika itu.

“Kalau mengikut hukum lompatanmu. Selepas kau ke padang pasir tersebut, kau hanya boleh balik ke rumah. Kenapa pula ke Stesen Komuter Kajang?” Aku masih tidak berpuas hati.

“Itu aku tidak tahu… mungkin aku terlalu letih ketika itu. Mungkin aku terlalu dahaga. Bukan setiap hari aku ke gurun padang pasir. Itu kali pertama.”

Aku hanya mengerutkan dahi cuba merungkaikan simpulan ceritanya. Walaupun tidak masuk akal, tapi memang ada benarnya. Lagipun, setelah aku mengenalinya, tiada apa lagi yang dapat kukatakan tentang ‘masuk akal’. Semua perkara yang berkaitan dirinya memang tidak masuk akal.

Setelah aku diam, dia menyambung kata-katanya, “Aku ketika itu sudah putus harapan. Sahara memang boleh membuatkan manusia hilang akal. Tiada apa di sana kecuali pasir di kaki, debu di mata dan matahari di kepala. Tapi aku terus berjalan untuk mencari sesuatu… sesuatu yang aku sendiri pun tidak tahu. Nampaknya tiada apa-apa di sana. Bahkan tiada harapan juga.”

“Jadi, kenapa kau tak terus ‘lompat’ balik?”

“Ya, setelah Sahara nampaknya berjaya meragut harapanku, perkara pertama yang aku ingin lakukan ialah balik ke sini. Tapi jelas sekali aku sudah kehilangan banyak air dan tenaga. Tanpa tenaga, aku memang tidak dapat melompat dengan sempurna.”

“…dan lompatan balikmu tersasar…”

“Ya. Tersasar. Dan ketika itulah aku menemuimu. Walaupun aku dapat rasakan yang perasaan putus asa sangat menebal antara kita ketika itu.”

“Tidak menghairankan. Kau tersesat ke Sahara. Sesiapun pasti ada sekelumit perasaan berputus asa.”

“Tidak. Aku tersesat ke Sahara dan aku berusaha balik. Sahara cuba merampas harapanku tetapi aku melawannya. Aku sebenarnya bercakap tentang kau.”

“Aku? Jadi kau kata aku sebenarnya yang berputus asa?”

“Ya, tiada orang waras yang ingin menyelamatkanku ketika itu. Kau sudah tahu keadaanku ketika itu, tetapi kau masih cuba meyelamatkan aku.Hanya orang yang tidak waras sahaja sanggup bersusah payah untuk perkara seperti begitu. Orang itu nampaknya adalah kau.”

“Jadi kau kata aku tak waras pula?” Aku masih tidak berpuas hati.

“Ya, orang tak waras yang sudah berputusa asa. Pernah dengar tentang suicide mission? Aku mula risau ketika itu kalau-kalau kau ingin membunuh diri.” .

Kata-katanya membuatkan otakku berpinar. Adakah benar aku ingin membunuh diri? Aku mengingati semula kejadian tidak lama dahulu. Memang benar, ketika itu aku sangat takutkan kematian, tetapi pada masa yang sama juga, kakiku melangkah seolah tidak pernah takut akan mati. Seolah-olah tidak ada apa yang aku kesalkan jika aku mati. Hanya kerisauan tentang history web browser! Bukan risaukan keadaan anak-anak seperti orang lain yang sudah lama berumahtangga lewat seusiaku. Juga bukan risaukan kerja dan kedudukan. Juga bukan risaukan teman wanita atau isteri. Aku tiada semua itu. Adakah hidupku begitu membosankan? Adakah sesiapa yang akan merinduiku jika aku mati?

“Kenapa tak buka TV?” kata Zuri melenyapkan lamunanku sambil meniarap di sebelah. Bau Peppermint Shampoo kuat menusuk hidungku menghilangkan bau busuk badannya sebelum mandi tadi.

“Tak ada program best. Dengar cerita kau lagi best,” jawabku tak sabar.

Setelah mulutnya menyumpah-nyumpah keadaan longkang di Scottland yang dikatakannya antara yang terbusuk di dunia, dia mula bercerita tentang pengembaraannya kali ini. Dan seperti biasa, aku menjadi pendengarnya yang paling setia sambil membayangkan alangkah seronoknya jika aku dapat pergi mengembara dan mengenali dunia sepertinya.

“Melangkah kaki mengenal dunia tak sama dengan mendegarnya dari cerita,” katanya mengakhiri cerita seolah dapat membaca apa yang bermain di fikiranku.

Sedikit terkejut, aku membalas secara spontan, “aku tak ada keberanian macam kau, Zuri.”

“Berani? Kau tahu apa yang paling ditakuti manusia?”

“Er… labah-labah?” Jawabku ragu-ragu.

“Perubahan,” jawabnya tanpa menghiraukan jawapanku. Kuagak memang dia tahu yang aku cuba berjenaka.

“Perubahan?”

“Ya. Perubahan. Manusia terlalu mengejar keselesaan hinggakan apabila mereka merasa sedikit selesa, mereka tidak mahu mencuba sesuatu yang baru lagi.”

Aku hanya diam. Mendengar hujahnya seperti menahan tikaman pisau yang tidak putus-putus menusuk di dada. Tepat dan melekat. Bagiku, jika dalam dunia ini ada seseorang yang mempunyai persamaan denganku dan pada masa yang sama, begitu banyak pertentangan, orang itu adalah dia. Setiap hari dilaluinya dengan menempuh perkara baru, aku pula terlalu takut untuk memulakan sesuatu, jadi aku memilih untuk berselindung disebalik cerita-ceritanya. Buat apa bersusah-payah berkelana sedangkan aku boleh mengenali dunia dengan mendengar ceritanya dan balik ke rumahku bertemankan kerusia empuk yang selesa dan secawan kopi yang berperisa?

Aku ingin terus mendengar dia bercerita. Ingin tahu kisah hidupnya. Tetapi malam-malam sebelumnya hanya diisi dengan kisah-kisah tempat yang dikunjunginya. Aku juga tidak pasti kenapa aku tidak pernah bertanyakan kisah hidupnya. Dari mana dia datang, apa sumber pendapatannya dan bagaimana dia dapat kebolehan untuk melompat. Keterujaanku untuk mendengar cerita-cerita pengembaraannya melebihi keinginanku untuk mengenalinya.

Dia juga tidak pernah bertanyakan apa-apa tentang diriku dan nampaknya kami memang lebih selesa begitu.

Tetapi malam itu, setelah kisahnya sesat di Scotland selesai, aku mengambil keputusan memberanikan diri untuk bertanya tentang dirinya. Dia terdiam. Dia kemudian merenungku seolah kecewa dengan soalanku. Aku pula terpaku di situ seperti orang bodoh yang terpinga-pinga setelah ditangkap mencuri sedangkan aku sendiri tidak tahu apa silapku. Kami dalam keadaan itu untuk beberapa ketika sebelum dia menghilang untuk masuk tidur.

Tidak lama selepas itu, Zuri tidak lagi muncul di rumah itu. Sebahagian dari aku mengatakan yang mungkin dia muncul ketika aku bekerja. Mungkin dia mengelak dari menemui aku. Sebahagian diriku yang lain pula begitu pasti yang dia tidak balik. Mungkin dia telah menjumpai destinasinya. Mungkin dia juga seperti aku, mula selesa dengan sesuatu tempat dan memilih untuk tinggal di situ.

Jadi aku meneruskan hidupku seperti biasa. Sebagaimana seorang sahabat yang sudah lama terpisah, kadang-kadang aku juga merinduinya dan bukan sekali aku menegur orang asing yang kelihatan seperti dia. Namun aku nampaknya terpaksa akur yang aku sudah tidak dapat berjumpanya lagi. Cukuplah dia kekal dalam memoriku sebagai sahabat yang mengajarku erti asa dan harapan. Manfaatkan hidup, kau tak perlu ada kebolehan melompat untuk menikmati keindahan dunia ini. Kata-katanya akan kuingat dan kudakap.

Kali terakhir aku pergi ke rumahnya, pintu rumahnya berkunci. Di balik tingkap yang pecah dapat aku lihat keadaan rumah itu yang gelap dan kosong.. Lantainya berhabuk dan TV kecil peneman ketika aku menunggunya juga tiada. Ketika berlaga bahu dengan makcik yang tinggal di rumah sebelah, aku bertanyakan tentang Zuri, penyewa rumah itu. Dia hanya tersenyum dan berkata yang rumah ini sudah dua tahun tidak berpenghuni.

Aku mengerutkan dahi. Mungkin makcik itu gila.

                                                                    -Tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.