Home Cerpen Seram/Misteri Kau Yang Bergolek-golek...
Kau Yang Bergolek-golek...
Diq Na
24/8/2020 20:39:14
3,322
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Opek, tutup pintu reban!”

            Suara emak bergaung di segenap rumah. Opek mendengus. Mengapa pula dia yang kena tutup reban ayam. Selalunya tugasan itu Opie yang buat. Bukankah ayam-ayam itu haiwan peliharaan lagi kesayangan adik bongsunya.

            “Ayam-ayam atas pokok nangka jangan lupa.”

            “Opie mana? Kan kerja dia. Tak balik merayap lagilah tu.”

            Opek menyambung bebelan tetapi nada suara hanya dia sahaja yang boleh dengar. Kalau tidak puas hati atau marah, jangan sampai satu dunia tahu. Opie itu anak kesayangan emak. Walau kadang-kadang perkara yang dilakukan Opie itu memang salah, emak tetap akan menangkan dia.

            “Opie kan ada perkhemahan pengakap.”

            Di dapur, suara emak kedengaran lagi. Opek memandang siling. Ya tak ya juga. Dialah yang menghantar adik bongsu itu ke sekolah pagi tadi kerana ayah ada mensyuarat di balai raya.

            Mahu tidak mahu, Opek terpaksa juga ambil alih tugas. Dia segera menyidai tuala mandi yang lembap dan terus menuju ke dapur.

            “Mengapa tak cakap awal-awal. Opek dah siap mandi. Lekatlah segala hama ayam tu karang. Kejap lagi masuk maghrib.”

            “Mak lupa. Alah, sekejap aje. Tutup pintu reban bukannya tangkap ayam sereban. Tak dan hama-hama tu merayap ke badan kau. Ayam-ayam bertenggek atas pokok, halau masuk reban. Tak masuk nanti makan dek musang. Mak dah janji dengan Pak Long Hairi, dua hari lagi nak tangkap jual.”

            Opek malas hendak berbalah. Lebih-lebih lagi hari sudah senja. Bukan susah sangat pun. Pastikan semua ayam berada di dalam reban dan tutup pintu. Cuma dia tidak di maklumkan awal-awal. Itu yang panas hati. Dia buka pintu dapur, sarung selipar dan bergerak ke reban ayam.

            Sesampainya di kawasan reban ayam,Opek mendongak ke dahan-dahan pokok nangka bersebelahan. Memang terdapat beberapa ekor ayam di situ.

            Satu, dua, tiga, empat, lima…

            Jari telunjuk menunjuk ke arah ayam-ayam yang bertengger. Mulut terkumat-kamit membilang tetapi tiada suara yang kedengaran. Ayam-ayam muda itu seibu. Dua ekor jantan dan tiga ekor betina. Kesemuanya ada nama tetapi Opek tidak pasti yang mana satu Jenal, Jabit, Jenab, Joyah dan Jijah. Warna bulu pun sama.

            Kesemuanya enggan tidur di dalam reban kerana bergaduh dengan Komeng, ayam jantan kebanggaan Opie. Kena iring masuk setiap petang. Mungkin Komeng dengki dengan Jenal dan Jabit. Sebab itulah emak mahu menjualnya. Selesai masalah.

            Lumayan juga hasil jualan nanti. Seronoklah Opie. Emak cuma ambil suku daripada duit untuk membeli makanan ayam. Yang selebihnya nanti masuk ke poket Opie. Upah untuk anak bongsunya yang memang suka membela ayam. Bolehlah dia menginding-nginding nanti. Dia mesti tuntut upah dua hari mengambil alih tugasan.

            Opek mencapai galah buluh sederhana panjang yang tersandar di tepi reban. Dia pantas menjolok seekor demi seekor ayam yang berada di dahan pohon nangka berkenaan.

            “Hoi, turun masuk reban cepat. Tuan kau tak da. Kalau dengan dia bolehlah nak bermanja-mana. Dengan aku jangan. Buat perangai degil, aku pepah dengan batang buluh ni nanti.”

            Kesemuanya melayah turun. Lalu gemparlah di atas tanah.

            “Apa yang riuh-riuh sangat ni. Ingat hantu ke. Macam tak pernah tengok aku. Reban bertingkat-tingkat ni, akulah tukangnya. Masuk lekas.”

            Kelima-limanya menuju ke pintu reban. Belumpun sempat melangkah masuk, Komeng meluru keluar. Habis kesemuanya lari bertempiaran.

            “Kau ni Komeng, ayam hantu betullah. Sekali lagi kau buat macam tu, aku balun. Tengoklah.”

            Dua tiga kali percubaan masuk ke reban selepas itu juga gagal. Komeng tetap enggan membenarkan kesemuanya tidur sereban. Opek hilang sabar.

            “Kau jangan nak naikkan darah aku Komeng. Kau tu, kecil besar kecil besar aje aku tengok. Batang buluh ni dah lama nak rasa ayam. Berterabur bulu tu karang.”

            Opek berdiri tegak di depan reban. Tangan kanan menggenggam erat galah buluh. Tangan kiri pula mencekak pingggang. Dalam kepala menyusun strategi, kalau terjengul saja si Komeng, memang selamatlah ayam jantan itu.

            Mujurlah Komeng tidak buat hal lagi. Lantaran hari juga semakin kelam. Kata orang, rabun ayam. Tatkala semua ayam masuk ke reban, Opek cepat-cepat katup pintu.

            Beres. Dia mengibas kedua telapak  tangan seraya memerhati sekeliling. Suasana di sekitar kawasan belakang rumahnya itu semakin samar-samar. Dia terasa sunyi dan terasing. Kemudian dia ternampak ada kepulan asap yang menyerak di celahan dahan dan dedaunan pohon buah-buahan. Rasa seram sejuk menyerang dalam diri.

            Opek berkalih pandang ke tempat emaknya selalu membakar pelepah dan sabut kelapa. Tidak kelihatan api mahupun bara di situ.

            Rasa-rasanya emak tidak memerun petang tadi kerana menghadiri kelas mengaji Al Quran di surau. Jadi, dari mana datangnya asap-asap itu?

            Opek memandang ke kebun pisang milik Tuk Ipin jiran sebelah. Baru dia teringat yang Tuk Ipin suami isteri ada menyapu dedaun kering dan membuang pelepah pisang tua. Barangkali mereka yang memerun dan asap-asap itu sampai ke belakang rumahnya.

            Opek tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Hari juga sudah malam. Galah buluh disandarkan bersebelahan reban. Hati seakan terdorong untuk mendongak semula ke dahan nangka. Betullah kata hati, dia terlihat ada sesuatu yang bertengger di dahan yang sama. Darah menyirap kembali.

            “Laaa… ada lagi kesannya. Ayam manalah yang degil sangat ni. Lantaklah ayam. Kalau kena kacau dek benda nanti jangan salahkan aku. Nah, kau!”

            Opek segera mencapai galah lalu menjolok ayam yang enggan masuk ke reban itu.

            BUK!

            Kedengaran bunyi sesuatu jatuh berdebuk ke atas tanah. Ketika itu barulah Opek perasan, ‘ayam’ yang dijoloknya tadi bukan ayam. Benda itu berbentuk bujur seperti telur ayam warna kehitaman. Dada berdebar-debar. Benda apa pula yang jatuh?

            Dia mendekatinya perlahan-lahan. Tak disangka-sangka, benda itu mula bergolek. Semakin lama semakin laju, menyusup kelam malam penghujung senja.

            Opek tidak menunggu lagi. dia terus lempar galah buluh dan buka langkah seribu kembali ke rumah. Emak yang sedang menyusun lauk-pauk di atas meja terkejut melihat dia menerjah masuk dengan muka pucat lesi. Begitu juga ayah yang bertuala, baru keluar dari bilik mandi.

            “Dah kenapanya?” Emak bertanya.

            “Ada benda jatuh dari pokok nangka… bergolek-golek,” terang Opek.

            “Emmm… buah nangka jatuhlah tu,” sampuk ayah.

            “Bukan. Kalau nangka mesti jatuh terus tergolek-golek. Ini tak, dah jatuh tak bergerak-gerak kemudian baru bergolek. Benda tu hitam-hitam,” tambah Opek lagi.

            “Benda hitam bergolek-golek?” Ayah dan emak bersuara hampir serentak.

            Opek pun menceritakan apa yang dialaminya. Ayah segera menutup pintu sebaik cerita habis.

            “Dah malam ni. Jangan disebut benda yang mengarut. Ambil air sembahyang, sembahyang maghrib cepat,” arah ayah kepada semua.

            Opek sukar melelapkan mata malam itu. Di luar rumah, dia seperti terdengar ada benda yang bergolek-golek berhampiran bilik. Ada kalanya kedengaran di atas atap rumah. Mungkinkah benda yang bergolek-golek itu mengikutnya pulang?

            Sepanjang malam Opek kerkelubung kain gebar. Tidak cukup sehelai gebar, dia turut menekup telinga dengan bantal kerana tidak mahu mendengar bunyi-bunyian yang menyeramkan.

 

            Pagi itu, Opek menyambung tidur seusai solat subuh. Mata masih mengantuk kerana malam tadi entah pukul berapa dia terlelap. Namun lelap terganggu apabila terdengar namanya dilaung berulang kali di luar rumah. Dia pun membuka tingkap.

            “Tidur sampai hari tinggi, rezeki payah masuk, jodoh pun lambat nanti,” omel emak.

            “Mengantuklah mak. Hujung-hujung minggu tak kerja, apa salahnya bangun lambat sikit.” Opek memberi alasan.

            “Tak da kira lainlah tu. Mesti tengok cerita hantu sampai ke pagi. Tak sudah-sudahlah kau dengan cerita hantu. Tu pasal otak terbayang benda yang pelik-pelik.” Emak menyambung omelan.

            “Dah, jangan banyak songeh. Keluar cepat. Ada benda nak tunjuk. Kami tunggu dekat reban sana,” perintah ayah.

            Opek menguap. Kalau diikutkan mata, memang malas namun terpaksa juga meninggalkan katil. Atau tak pasal-pasal kena mendengar ceramah kaunseling pula.

            Opek mengatur langkah ke belakang rumah. Dia ternampak orang tuanya sedang berbual-bual di tepi parit kecil bersempadan dengan tanah Tuk Ipin. Nak besarkan parit agaknya? Tanpa lengah dia mendapatkan mereka.

            Sebaik Opek tiba, ayah pun turun  ke dalam parit lalu mencapai tampuk nangka. Buah nangka itu kemudiannya dibawa naik ke atas. Ulat nangka menggeletik keluar dari bahagian yang buruk.

            “Kan betul. Nilah benda yang jatuh bergolek-golek malam tadi,” jelas ayah.

            “Anak jantan apa kau ni. Dengan buah nangka pun takut. Tulah, banyak sangat tengok VCD. Sampaikan nangka busuk bergolek pun kau sangka hantu.” Emak mencelah.

           “Takkanlah. Pokoknya jauh kat sana. Mustahil bergolek sampai ke sini.” Opek tetap tidak berpuas hati.

           “Ini mesti kerja cik bab si kerbau pendek. Kau bukan tak tahu macam mana tabiatnya,” tokok emak.

           “Kerbau pendek tu ingat nangka elok gamaknya. Nak dibawa baliklah konon-konon. Dah suku jalan, sekali nangka busuk,” sambung ayah pula.

           Kedua orang tuanya gelak sakan di tepi parit. Opek bagaimanapun tetap tidak percaya dengan teori itu.

           “Misteri selesai. Jomlah balik sarapan maknya. Terbau sampai ke sini nasi lemak daun pisang awak,” ajak ayah.

           “Petang karang jangan dah gelap baru nak tutup reban. Entah apa lagi yang kau jumpa nanti. Opie malam baru balik. Ayah kawannya nak belanja KFC lepas penutup perkhemahan,” pesan emak sebelum kembali ke rumah.

           Sambil-sambil berjalan, orang tuanya menyambung gelak lagi. Opek duduk mencangkung lantas merenung nangka busuk. Dia mengambil sehelai daun kering dan menguis ulat-ulat yang keluar.

           “Patutlah orang cakap, siapa yang tergedik-gedik ni macam ulat nangka.  Memang sama pun.”

           Pandangan Opek menjelajah ke sekitar. Selain nangka, pelbagai buah-buahan tempatan turut ditanam oleh orang tuanya. Bila tiba musim buah memang tak payah membeli. Mata memusat semula ke buah nangka.

           “Dengan mak ayah aku bolehlah. Dengan aku jangan nak kelentong ya nangka busuk. Aku tahu bukan kau yang bergolek-golek senja semalam.”

           Opek pun menolak nangka busuk itu. Maka bergolek-goleklah masuk semula ke dalam parit.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.