Home Cerpen Seram/Misteri KAK WOK KEMBALI Kisah Seram Sejuk Sehari Semalam
KAK WOK KEMBALI Kisah Seram Sejuk Sehari Semalam
Diq Na
13/4/2020 20:25:57
396
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Perkarangan rumah pengantin kelihatan sibuk dan riuh rendah dengan suara orang kampung. Masing-masing ada tugas dan tanggung jawab yang perlu dibereskan.

            Di hujung halaman sebelah kanan, tersergam indah sebuah pelamin besar. Shirah dan beberapa orang pembantu tekun menghias pelamin tersebut. Hari ini dan esok, dia menggantung tempoh persaraan sebagai mak andam demi hari bahagia sahabat karibnya.

            Di hujung halaman sebelah kiri pula, Ali Saad dan kugirannya Slumber sibuk menyusun peralatan muzik di atas pentas kecil. Sesekali terdengar gurauan sesama mereka menghangatkan lagi suasana petang yang damai.

            Esok akan berlangsung majlis perkahwinan bertemakan ala kampung di Kampung Jambu Sebatang. Dua pasang pengantin akan disandingkan serentak. Dua ekor kerbau telah disembelih bagi meraikan para jemputan termasuklah tetamu VIP. Di bangsal memasak, kerja-kerja menyiang daging baru selesai. Sementara aroma sup tulang harum semerbak membuatkan sesiapa sahaja yang terhidu terasa lapar.

            Pada sebelah malam, kemeriahan kenduri kian memuncak apabila rombongan kedua-dua pengantin lelaki tiba. Majlis akad nikah akan berlangsung bila-bila masa sahaja.

            Zaki sudah bersedia di tengah ruang tamu. Dia tampak kacak bersama baju melayu rona putih bersamping songket bunga emas. Eda pula anggun berbusana kurung moden rona yang sama. Kedua-duanya menanti detik disatukan dengan penuh debaran.

            Lafaz pertama tidak berjaya disempurnakan oleh Zaki. Majlis terhenti seketika, memberi ruang kepada pengantin lelaki bertenang. Lafaz kedua berjaya. Maka sahlah Zaki dan Eda sebagai pasangan suami isteri. Mat Apam Balik menitiskan air mata kesyukuran. Penat lelah membesarkan lima orang anak bersendirian terbalas. Malam ini dia menerima menantu sulung. Wajah arwah isteri melintas lalu di ingatan. Kalaulah Senah masih ada…

            Selesai pasangan pertama, giliran pasangan kedua pula. Man Lampung nyata resah meskipun pernah melaluinya tiga dekad dahulu. Terasa ada peluh mengalir di badan biarpun kipas berputar pada kelajuan maksimun. Dia berasa pengalaman kedua ini lebih mendebarkan. Sementara Wok Maisara tenang-tenang sahaja, jelita di sebalik kebaya warna krim sedondon dengan baju melayu yang disarung Man Lampung.

            Lafaz pertama gagal. Lafaz kedua juga gagal. Lafaz ketiga tergagap-gagap. Lafaz keempat suara langsung tersekat. Kini bukan sahaja bakal pengantin yang resah, seisi rumah dibadai ribut gelisah.

            Di satu sudut rumah Imam Ali dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia bergegas turun ke tanah mencari sahabatnya Ustaz Ahmad.

            “Ya, aku pun rasa perkara yang sama. Memang ada gangguan dalam majlis ni.”

            “Kita kena ikhtiarkan sesuatu. Kalau tak sampai ke sudah Man Lampung dan Wok tak nikah.”

            “Kau naik semula minta mereka tangguhkan sekejap majlis akad nikah. Kita kena pagar rumah dulu. Mudah-mudahan semuanya lancar nanti.”

            Ustaz Ahmad dan Imam Ali mengelilingi rumah Mat Apam Balik. Setiap kali tiba di sudut rumah, mereka pun berhenti. Mulut Ustaz Ahmad terkumat-kamit membacakan ayat-ayat suci Al Quran. Sebaik selesai, majlis akad nikah bersambung semula. Barulah Man Lampung berjaya menyempurnakan lafaz akad nikah. Semua yang hadir menarik nafas lega. Tiada yang lebih gembira selain Wok Maisara. Malam ini dia bergelar isteri semula.

            Namun gangguan-gangguan itu tidak berakhir begitu sahaja. Di bangsal memasak, kaum wanita kecoh apabila daging yang direbus tidak empuk. Malahan sup tulang yang sudah dimasak berjam-jam, daging pada tulangnya masih belum longkah.

            “Kalau diikutkan usia kerbau, muda lagi. Tak payah rebus lama nak matikan air daging. Macam mana ni? Dua ekor kerbau tu. Bukan sikit-sikit,” Mak Besah menyatakan kerisauan.

            “Apa pendapat kau Ali, Ahmad? Seumur hidup aku jadi kepala tukang masak kenduri, tak pernah lagi jadi perkara sebegini. Tapi aku pernah dengar cerita orang tua-tua dulu, kejadian macam ni memang ada berlaku,” luah Pak Mus.

            “Aku kalau bab masak-memasak tak arif sangat. Setakat gulai lemak daging seperiuk tu bolehlah. Ini berkawah-kawah punya cerita.  Ahmad, kau pula macam mana?” Iman Ali bertanya kepada sahabat seperguruannya.

            “Aku rasa elok kalau kita tangguhkan dulu kerja masak-memasak malam ni. Mus, Besah… kau orang berdua tukang masak berpengalaman kan. Buatlah apa cara sekalipun asalkan daging-daging ni tahan sampai subuh esok.”

            Pak Mus dan Mak Besah mengangguk faham. Mereka berjanji akan melakukan yang terbaik agar majlis kenduri berjalan dengan baik.

            Di depan rumah, suara serak basah Ali Saad mendayu-dayu mengalunkan lagu Gerimis Mengundang karya berhantu kumpulan Slam. Lantaran wajahnya juga persis Zamani Slam maka ramailah anak dara yang ralit mendengar. Tidak kurang juga kaum ibu, ada yang menyimpan angan-angan untuk bermenantukan penyanyi kugiran Slumber itu yang semakin meletup-letup di YouTube. Video nyanyiannya juga mendapat tontonan tinggi.

 

            Madi mengatur langkah penuh hati-hati berbekalkan cahaya lampu suluh di telefon bimbit. Gara-gara terlalu seronok berbual kisah silam dengan Azlan, sahabat lama zaman persekolahan, masing-masing tidak sedar waktu sudah menginjak jam 2.30 pagi.

            Azlan seorang anggota bomba. Tuntutan tugas tanpa mengira masa menyebab sahabatnya itu jarang dapat pulang. Dia bercuti lama demi memenuhi undangan perkahwinan dan bertemu sanak-saudara di kampung.

            Rumah orang tua Azlan terletak tidak jauh dari rumah Mat Apam Balik. Madi memilih jalan pintas dengan melalui kebun pisang milik bapa Azlan sebelum menempuh dusun buah Mat Apam Balik. Dia berjalan kaki kerana motosikalnya diparkir di tepi halaman rumah Mat Apam Balik.

            Sebaik kaki memijak kawasan dusun, Madi terdengar paluan kompang. Dia kehairanan. Takkanlah Wahid dan anak-anak buahnya masih berlatih kompang dinihari sebegini. Sedangkan Ali Saad dan kugiran Slumber pun berhenti main muzik jam 1.30 pagi. Sekarang bukan waktu yang sesuai. Sebagai ketua kampung, Madi perlu menegur mereka supaya tidak mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang lain.

            Kalau tidak silap, Wahid bersama anak buahnya berlatih silat dan kompang di pondok kecil tidak jauh dari pokok durian Musang King. Madi pantas menukar haluan.

 

            Mat Apam Balik tiba-tiba terjaga. Tekaknya terasa haus. Dia bingkas bangun. Di tengah rumah, sanak-saudara jauh dan dekat sedang tidur. Suasana tidak ubah seperti hari raya. Dia berjalan perlahan-lahan ke dapur kerana tidak mahu membangunkan sesiapa.

            Selesai minum air, dia membuka pintu dapur lalu menjenguk ke luar rumah. Periuk dan kawah yang berisi daging serta bahan-bahan masakan untuk esok tertutup kemas. Pak Mus dan Mak Besah suami isteri menjalankan amanah yang diberi dengan penuh tanggung jawab. Hati gusar apabila memikirkan masalah yang dihadapi tetapi Ustaz Ahmad dan Imam Ali memberi jaminan bahawa esok semuanya akan baik-baik sahaja.

            Tatkala hendak menutup pintu, Mat Apam Balik terpandang cahaya lampu di dusun. Darah terus menyirap. Jangan-jangan itulah orang yang cuba membuat kacau di majlis pernikahan anak dan anak saudaranya. Entah apa lagi onar yang mahu dilakukan.

            Mat Apam Balik terus keluar. Dia mencapai sepuntung kayu api di bangsal memasak lalu menuju ke tanah dusunnya.

            “Siaplah kau. Jangan ingat aku cuma tahu buat apam balik aje. Aku pernah belajar silat okey, anak murid terbaik lagi. Sekali aku ketis, mencium tanahlah karang. Kau tunggu situ, aku datang ni.”

            Mat Apam Balik melangkah penuh berani. Sebagai seorang bapa, dia akan tentang habis-habisan sebarang cubaan mengganggu majlis perkahwinan yang dirancang penuh teliti berbulan-bulan lamanya. Dia terhendap-hendap dari satu pokok ke pokok yang lain. Semakin dia mendekati kelibat yang berlegaran di kebun, semakin tinggi semangat pendekarnya. Kelibat itu kelihatan menuju ke pondok kecil di tengah dusun.

            Mat Apam Balik merasakan peluang untuk menumpaskan musuh terbuka luas. Dia meluru lalu menerkam.

            “Aduhhh!”

            Telefon bimbit jatuh ke tanah. Mat Apam Balik pantas mengambilnya lalu meyuluh wajah ‘musuh’ yang terbaring.

            “Laaa… tok empat rupanya.” 

            “Kau apa hal Bang Mat. Kot ya pun nak ajak bersilat, esok kan boleh. Bersilatlah betul-betul depan pengantin. Alah, nasib baik tak patah pinggang. Kau jangan main-main. Buatnya aku cedera, siapa nak sambut dato-dato dan datin-datin jemputan VIP kita nanti.”

            “Maaflah Madi. Ingatkan orang nak buat jahat tadi. Aku tengah sesak ni. Kat rumah tu, berkawah-kawah daging rebus tak empuk. Buatnya tak empuk sampai ke sudah, kenduri nasi tak berlauklah kita nanti. Kau pun satu hal. Yang merayap-rayap dalam dusun aku bukan piantannya dah kenapa?”

            “Kau baru rebus daging tak empuk Bang Mat. Yang aku ni siap dengar orang main kompang lagi. Aku ingatkan si Wahid dengan bebudak tu berlatih kompang lagi. Tengok-tengok pondok ni gelap aje.”

            “Berlatih kompang apanya. Adalah  dua tiga lepuk, lepas tu semua pakat tercongok depan pentas, tengok si Ali Saad menyanyi. Habis hilang fokus belaka. Esok sambung latihan semula. Tapi kompang dan segala alat muzik Wahid memang simpan dalam ni. Dia malas nak angkut pergi balik.”

            “Habis, siapa yang main kompang tadi? Hantu-hantu berkompang biasanya muncul masa duduk asrama aje. Dah tua gini pun masih jumpa hantu kompang lagi. Alahai, tak balik juga aku karang.”

            “Betul ke Madi? Aku tak dengar apa-apa pun.”

            “Betullah. Bab-bab seram sejuk ni ingat boleh dibuat gurau ke?”

            “Sudahlah kita. Mula-mula Man Lampung sangkut baca nikah, lepas tu rebus daging tak empuk. Ni bunyi kompang. Esok-esok entah apa lagi.”

            Ketika Mat Apam Balik dan Madi sibuk berbual dalam gelap, terdengar atap pondok seperti dipijak sesuatu. Kedua-duanya saling merapati. Ada kelibat putih setinggi bayi muncul di atas atap. Madi pun menyuluh ke arah kelibat putih itu. Matanya berkilau. Kelibat putih itu terus terjun dari atap. Mereka menjerit ketakutan.

            “Miauuu…”

            Rupa-rupanya kelibat putih itu Putat, kucing jantan kesayangan anak-anak Mat Apam Balik. Kucing itu menggeselkan badan ke kaki tuannya sambil mengiau lagi.

            “Buat saspens aje. Tak da kerja lainlah tu. Mesti skodeng Che Yah kucing sebelah.”

            Mat Apam Balik mengangkat kucing berbulu putih gebu itu. Tiba-tiba…

            Puk! Puk! Puk!

            Tidak silap lagi. Memang bunyi kompang. Tanpa lengah-lengah, Mat Apam Balik dan Madi berlari pulang bagaikan tidak cukup tanah.

 

            Keesokan hari, misteri demi misteri terus membelenggu majlis perkahwinan. Daging yang direbus tetap juga tidak empuk. Lebih menggemparkan lagi, nasi yang ditanak turut mentah. Mat Apam Balik seperti orang hilang akal. Hari semakin tinggi. Tetamu jemputan akan hadir bila-bila masa.

            “Kalau mengikut cara orang lama, kena pindah tempat memasak. Kalau tak sampai bila-bilalah lauk dan nasi tak masak.” Pak Mus selaku kepala tukang masak mengemukakan pendapat.

            “Apa kata kita masak di balai raya. Dah siap baru punggah bawa balik.” Madi pula mencelah dengan ideanya.

            “Ikutlah, janji selesai. Kita mengejar masa. Tetamu jemputan pun bukan orang biasa-biasa. Yang dapat nama buruk nanti kampung kita juga,” balas Imam Ali sambil memandang Ustaz Ahmad.

            Maka beramai-ramailah orang Kampung Jambu Sebatang memunggah kawah dan periuk ke balai raya berdekatan. Anehnya, apabila lauk-pauk dan nasi yang dimasak di situ, semuanya menjadi belaka. Tiada sebarang masalah yang timbul. Walaupun terlewat sedikit tetapi tidak mencacatkan perjalanan majlis perkahwinan. Malahan semua tetamu yang hadir memuji keenakan rendang daging, kari, ayam masak merah dan nasi minyak air tangan Pak Mus dan Mak Besah suami isteri.

            Sehari kemudian, nama Kampung Jambu Sebatang panas lagi di alam maya dan media sosial. Semuanya gara-gara gangguan di majlis akad nikah, kompang berbunyi sendiri, daging tidak empuk, nasi minyak mentah dan beberapa lagi kejadian aneh. Man Lampung, Wok Maisara, Zaki dan Eda menjadi tumpuan. Pak Mus dan Mak Besah juga mencuri perhatian ramai. Namun apabila ditanya apa yang menyebabkan misteri itu berlaku, semua menggeleng tidak tahu.

            Ada teori yang menyatakan siri-siri keanehan yang berlaku disebabkan oleh individu yang cemburu dan mahu menghuru-harakan majlis perkahwinan tersebut. Wok Maisara janda sebutan ramai sementara Man Lampung pula duda hangat dambaan wanita. Walau bagaimanapun teori itu hanyalah teori yang gagal dibuktikan.

            Dua lagi individu yang dicari sudah tentulah Ustaz Ahmad dan Imam Ali. Namun kedua-duanya kekal dengan pendirian untuk mengunci mulut.  

 

             

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.