Home Cerpen Seram/Misteri Batik Yang Pulang
Batik Yang Pulang
Diq Na
15/4/2021 09:53:56
4,815
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            “Nampak baju batik saya?”

            “Kata nak beli sabun aje. Pergi gitu dahlah. Yang nak berbaju batik kenapanya? Kedai mana awak nak pergi ni. Jangan main-main bang.”

            Pandangan Khadijah menajam ke arah suaminya. Tangan kanan memegang senduk. Tangan kiri mencekak pinggang. Di atas dapur, gulai lemak sardin sedang menggelegak.

            “Awak ni, mudah sangat menyimpang ke lain. Memanglah nak ke kedai pakai macam gini. Masalahnya masa saya buka almari tadi, baju batik tu tak ada. Esok nak pakai menyambut YB.”

            “Baju batik biru ke? Kan awak pakai pergi kenduri kahwin anak Mail semalam. Saya basuhlah. Yang berjemur kat ampai tu apa.”

            “Itu yang lama. Ni baju batik yang saya kirim dengan karim masa dia balik Kelantan bulan lepas. Dua helai sekali tu.”

            Ah, sudah! Khadijah terus meneguk liur. Nampaknya kejadian pakaian hilang sesudah banjir surut berulang lagi.

            “Awak pergilah beli sabun dulu. Saya nak basuh kain sementara ada air. Dengar cerita malam karang bekalan air terputus lagi. Dah siap masak nanti saya cari. Ada tu, terselit kat mana-mana.”

            “Cari Jah. Saya nak pakai nanti.”

            Selesai menyediakan santapan tengah hari, Khadijah naik ke rumah atas. Dia pantas memeriksa almari pakaian. Memang betul dua helai baju batik yang sebelum ini tergantung di dalamnya tiada. Ini merupakan kejadian kali ketiga. Ke mana dan siapa yang mengambilnya terus menjadi misteri. Lebih misteri lagi kejadian itu hanya berlaku di musim banjir sahaja.

            Empat tahun lepas, Khadijah kehilangan tiga helai kain batik basahan. Waktu itu dia tidak ambil pusing sangat. Mungkin dihanyutkan air. Banjir tahun lepas tiga pasang baju kurung batik pula lesap.

            Hal itu tetap didiamkan. Apalah sangat baju kurung batik yang lusuh itu. Dia pun memang bercadang untuk meletakkannya di dalam gendong kain kerana sudah agak ketat.

            Banjir besar kali ini baju batik Jaafar pula. Mustahil rumah diceroboh kerana keadaannya berkunci rapat sama seperti waktu mereka berpindah ke balai raya.

            Khadijah masih tidak berpuas hati. Dia menyelongkar lagi. Pakaian baru dan pakaian harian yang tersusun kemas diselak satu-persatu. Tetap gagal menemui apa yang dicari. Dia beralih pula ke tingkat  besi bersebelahan. Tiada baju batik milik suaminya. Memang sahlah hilang.

            Dia membelek pakaian sendiri. Setelah diteliti, semua ada. Nampaknya citarasa orang yang mengambil tinggi juga. Baju batik buatan Kelantan itu boleh tahan mahal kerana coraknya eksklusif. Hanya satu corak untuk satu baju.

            Khadijah merapikan semula almari pakaian. Dalam kepala mula berkira-kira. Apa jawapan yang harus diberikan andai ditanya perihal baju batik itu. Hendak diberitahu atau tidak kejadian yang berlaku sebelum ini?

            Dalam pada sibuk-sibuk mengemas dan mencari jawapan, Khadijah mendengar namanya dilaung. Jawapan yang dicari terus tergantung.

            “Awak buatkan sup tulang malam ni. Ayam dengan ikan pun ada. Bukan nak menidakkan rezeki orang bagi tapi tekak dah tak larat menelan sardin dengan telur. Simpanlah dulu stok bantuan banjir tu.”

            Sebaik meletakkan barang basah ke dalam singki, Jaafar bergegas keluar semula.

            “Hah, nak ke mana cepat-cepat ni. Kot ya pun ada hal, makanlah dulu. Saya dah siap masak.”

            “Alah, balik karanglah. Saya nak ke balai raya. Tuk Empat Jak telefon tadi. Ada kotak bantuan banjir sampai.”

            “Kalau beras, tepung, gula dengan sardin lagi, awak hantar ke rumah Safiah.”

            “Hantar ke rumah Safiah?”

            “Yalah. Tengok dapur kita. Beras setinggi berdiri. Tepung separas pinggang. Gula mencecah lutut. Sardin bertingkat-tingkat. Telur ayam bersarang sampai ke atap. Berapa lama nak habis tu. Kita empat beranak aje. Tak palah, Safiah tu adik awak. Baik masa banjir, lepas banjir, anak-beranak datang tolong. Awak juga yang gaduh tadi. Dah jemu makan lauk bantuan banjir.”

            “Yalah, kalau dapat barang sama saya bagi Safiah.”

            Motosikal yang ditunggang Jaafar memecut meninggalkan halaman. Khadijah lega. Suaminya tidak bertanya tentang baju batik yang hilang. Barangkali terlupa.

            Khadijah masuk ke dalam stor untuk mengambil periuk. Dua kilogram tulang memerlukan periuk yang besar juga. Sukalah Jaja dan Iman nanti. Sup tulang bersama bihun memang kegemaran mereka.

            Mata melilau mencari periuk cap buaya pusaka arwah ibunya. Dia mendapati rak paling atas kosong. Di situlah tempat dia menyusun periuk tiga beradik itu. Dada terus meruap.

            “Tak ambil baju, periuk aku habis dirembat. Eee… siapa punya kerja ni.”

            Lewat petang, Khadijah berkunjung ke rumah Wan Hajar. Saja-sajalah datang melawat jiran tetangga selepas musibah. Sama-sama susah, sama-sama berkongsi masalah. Rumahnya terletak di seberang paya. Kedudukan rumah itu agak tinggi tetapi setiap kali banjir melanda air mencecah juga bahagian dapur rumah.

            Wanita lewat 60-an itu tinggal bersendirian sejak kematian suami setahun yang lalu. Namun dia mempunyi anak yang tinggal di kampung sebelah. Banjir baru-baru ini, ke rumah anaknya dia berpindah. Rumah sudah bersih kerana air ampuh tidaklah seteruk rumah orang lain.

            Entah mengapa, mulut Khadijah ringan bercerita perihal pakaian dan periuk yang hilang. Bagai manapun Wan Hajar tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut.

            “Orang belakang paya tu yang ambil.”

            “Orang belakang paya. Siapa?”

            “Belakang paya sempadan hutan tulah. Ada kampung di situ.”

            “Kampung? Mana ada orang duduk situ. Hutan berdengung, semak-samun.”

            “Ada. Ramai. Kita aje yang tak nampak.”

            Khadijah naik cuak. Mulut terlopong. Kepalanya sudah dapat menangkap maksud Wan Hajar.

            “Orang dunia lain ya. Bunian? Mana wan tahu?”

            “Aku pun macam kau. Dah tiga kali banjir, kain baju hilang. Arwah Aki Leh ada jumpa kawan yang pandai bab menilik dan mencari barang hilang. Katanya orang belakang paya yang pinjam. Banyak rumah kat kampung tu yang tenggelam air. Mereka tak da berkain baju nak pakai.”

            Logik juga. Kalau mereka dari alam berbeza, tidak mustahil tiada sebarang jejak yang ditinggalkan.

            “Mereka pulangkan semula?”

            “Tak. Biarlah mereka nak pinjam selama mana. Banyak lagi yang lain. Yang tak pernah aku pakai langsung pun berlambak-lambak.”

            “Saya kalau setakat kain baju periuk belanga tak kesahlah sangat. Nak beli pun mudah. Yang bersimpan saja pun banyak. Cuma saya ralat baju batik Jaafar. Tak senang duduk dia. Dari pagi sampailah ke petang, tak sudah-sudah mencari.”

            “Apa kata balik karang jenguk sana. Laung orang kat situ, suruh pulangkan baju batik laki kau.”

            “Nak ke mereka pulangkan semula.”

            “Cubalah dulu. Tak cuba mana tahu.”

            “Yang orang belakang paya tu beria-ia pinjam baju batik Jaafar sampai dua helai, apa kat sana ada YB, VIP, datuk datin, tan sri puan sri segala bagai ke.”

            “Yalah gamaknya.”

            Khadijah pergi ke belakang paya seperti yang disaran oleh Wan Hajar. Sebaik enjin motosikal dimatikan, suasana sunyi sepi. Kedudukannya yang agak tersorok dan jauh dari rumah orang kampung menambahkan lagi rasa seram.

            Nun di atas bukit, kelihatan tanah merah yang gondol. Daripada seram, perasaan bertukar kepada sakit hati. Entah-entah diteroka secara haram. Patutlah air cepat naik. Banjir diburukkan lagi dengan pembetung di jalan kampung yang senak dan tidak mampu menampung limpahan air dari sungai kecil apabila hujan lebat.

            Sudah bertahun-tahun mereka memohon agar pembetung itu digantikan dengan yang lebih besar namun tiada sebarang tindakan sampai ke hari ini. Maka terpaksalah mereka menghadap banjir kilat setiap kali tiba musim tengkujuh. Rupa-rupanya penerokaan hutan secara berleluasa itu tidak hanya menyulitkan orang kampung, mereka di alam sana pun terkesan sama.

            “Kalau nak guna barang-barang aku, gunalah. Tapi baju batik Jaafar tu, kalau dah siap pakai, pulangkanlah semula.”

            Khadijah berdiplomasi sambil mata meliar ke kiri dan kanan. Tipulah kalau dia tidak takut. Apabila memikirkan baju batik Jaafar dan YB yang akan datang melawat kampung, dia kebalkan hati.

            “Daripada kau orang pinjam sana sini kan, lagi baik cari jalan nak selesaikan masalah kita. Banjir baru-baru ni dah ada tanda-tanda pembetung jalan tu rosak. Alang-alang retak, pecahkan terus.”

            Khadijah meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Angin petang menderu secara tiba-tiba. Sekitar kawasan itu bagaikan dilanda ribut. Dia mendengar bunyi dahan patah. Dadanya ikut berderau. Dia terus hidup enjin motosikal dan berlalu pergi.

 

            “Jah ooo Jah…!”

            Khadijah yang sedang menyediakan sarapan terus terganggu. Apa pula masalahnya kali ini. Semenjak Jaafar kehilangan baju batik, angin memang kurang baik. Jangan-jangan ada lagi barang yang hilang.

            “Jah oi… cepatlah."

            Nada suara Jaafar bertambah keras. Khadijah segera meninggalkan kerja-kerja di dapur.

            “Terjerit-jerit pagi buta ni, sekampung boleh dengar. Ada barang awak yang hilang lagi ke?”

            “Dah kenapanya segala punjut kain baju, periuk belanga berlambak depan rumah. Baju batik saya yang hilang pun ada. Lambat lagi kita nak pindah. Rumah bantuan banjir tiang tinggi puncak kasih idaman awak, borang permohonan pun kosong lagi. Entah dapat ke tidak. Kita ni orang kluster kayap. Kaya tidak, miskin pun tidak. Tak payahlah berangan sangat.”

            Khadijah memanjangkan leher ke beranda. Bukan sahaja baju batik Jaafar dan periuk cap buaya tiga beradik, baju kurung batik serta kain batik basahan yang hilang musim banjir lepas pun ada terlonggok di situ.

            “Dah, bawalah masuk. Saya nak cepat. Tuk Empat Jak dengan AJK kampung dah menunggu kat jalan pembetung sana.”

            “Hai, awal betul. Kata YB datang tengah hari. Ada makan nasi bagai.”

            “Lah, awak tak tahu lagi ke. Sekampung dah heboh pasal pembetung jalan kampung kita tu kena sabotaj. Bukan setakat terbongkar, simen dan batu pun dipecahkan sekali.”

            Khadijah ternganga. Dia teringatkan petang semalam. Pakaian dan periuk dipulangkan semula. Jalan kampung terbongkar. Pembetung habis pecah. Adakah ini bermakna orang belakang paya itu mendengar permintaan dan rungutannya? Merekakah yang mensabotaj kampung?

            Khadijah menjenguk kawasan yang terbongkar. Jalan itu langsung tidak boleh dilalui.

            Nampaknya mereka terpaksa menggunakan jalan jauh buat sementara waktu. Setelah melihat dengan mata kepala sendiri, dia amat yakin bahawa orang belakang payalah pensabotajnya. Bukan sikit-sikit dan bukan juga kerja yang mampu dibuat dalam satu malam.

            Di kalangan orang kampung pun, ramai yang percaya ia bukan kerja manusia biasa. Selain rumah Wan Hajar, ada beberapa buah rumah lagi yang terletak berdekatan sungai kecil itu. Namun kesemuanya menafikan ada mendengar sebarang aktiviti menolak tanah. Hatta bunyi enjin sekalipun tidak kedengaran.

            Di jalan kampung, sebuah kereta mewah muncul. Seorang lelaki lingkungan setengah abad keluar dari perut kereta. Gara-gara kejadian itu, YB kawasan mereka menganjakkan masa lawatan.

            “Kau jangan tanya aku kalau-kalau orang belakang paya tu ada buldozer bagai.”

            Khadijah hanya tersengih-sengih kerana memang persoalan itu yang ingin diajukan kepada Wan Hajar.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.