Home Cerpen Seram/Misteri Pada Malam Bulan Bertanduk Rusa
Pada Malam Bulan Bertanduk Rusa
Diq Na
28/7/2022 10:23:15
2,212
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Hari masih membahang. Izat menyanyi-nyanyi kecil kala melewati jalan kampung. Bersandarkan cuaca cantik sepanjang hari, peluang untuk melihat Supermoon malam nanti sangat cerah.

            Sesekali dia berselisih dengan kenderaan orang kampung. Dia menunggang motosikal dengan lebih berhati-hati. Pada waktu sekarang, budak-budak kampung sudah mula keluar rumah.

            Umpama terlepas dari kandang, berlumba motosikal menjadi kebiasaan. Ada juga yang berpeleseran dengan basikal. Niaya kalau terlanggar anak orang. Mana yang mementingkan kesihatan, berjoging satu kemestian. Pendek kata jalan memang sibuk dengan aktiviti warga desa.

            Tatkala melewati dusun buah peninggalan arwah datuknya, dia terpandang susuk tubuh kurus kering sedang merayau-rayau. Dia membrek. Diperhatikan sahaja budak lelaki itu dari jauh.

            Ketika Nazim berada di bawah pokok durian Musang King yang sedang berbuah lebat, dia mulai curiga. Jangan-jangan anak jiran berselang dua buah rumah itu hendak mencuri buah duriannya.

            “Hoi… nak rembat ya!”

            Dia menyergah. Nazim terkejut tetapi kemudian tersenyum. Tanpa sebarang reaksi takut atau bersalah, budak lelaki itu menghampirinya.

            “Kalau nak rembat, tunggulah gugur dulu. Kau ingat buahnya boleh diperam ke. Agak-agaklah nak buat duit pun.”

            “Durian kami dah seminggu gugur.”

            “Eloklah durian kau gugur dulu. Nanti bolehlah aku berlagak pasal durian ada lagi. Tak, sekarang aku tengah tanya kau. Yang merayau-rayau dekat sini, kau nak rembat durian ya?”

            “Taklah, Orang tengah cari barang hilang.”

            “Ya ke? Rumah kau hujung sana. Kalau hilang, tak bersabit langsung dengan kebun aku ni. Tak percayalah.”

            “Tak percaya sudah, namamu Dollah…”

            “Ewah, reti bebudak zaman TikTok ni menyebut gitu ya.”

            Boleh tahan juga loyar buruk si Nazim. Memang anak jirannya itu suka sangat menjawab. Kalau tidak mengenangkan kakaknya Asmalia yang ayu manja itu, tentu dia serang balas.   

            “Aku dah kira buah durian dalam kebun ni. Ada lebih kurang 1000 biji. Kejap lagi nak keluar main bola, aku kira dulu sambil lalu. Misal kata tak cukup, tahulah aku ke mana lepasnya.”

            “Garang betullah. Dengar-dengar angin nak jadi abang ipar. Kalau macam ni tak ada harapanlah.”  

            “Kalau aku meminang pun, abah kau yang kasi jawapan. Dah, balik lekas. Ingat ya, kalau hilang siaplah kau.”

            Selepas memberi amaran, Izat meneruskan perjalanan pulang. Walaupun belum pernah didengar perihal yang buruk tentang Nazim, dia tetap menyimpan curiga. Kalau tiada yang berbunyi bukan bermaksud tidak pernah berlaku. Dia ketika sebaya Nazim pun nakal juga.

            Cuba sebut dusun orang kampung ini satu persatu. Semuanya dia pernah terjah. Cuma perbuatannya itu tidak pernah ketahuan. Pandai buat, pandailah selindung.

            Sesampai di rumah, dia meletakkan kudap-kudapan yang dibeli di sudut meja makan. Bau bubur kacang durian nan semerbak memancing selera. Perut berlagu kelaparan. Ayahnya kelihatan berselera menyuap bubur yang masih berasap. Berjodoh pula dengan kopi O kegemaran.

            “Kamu ni nak tengok gerhana bulan macam nak buat pesta makan-makan. Bulan naik aje pun, bukannya kamu yang nak naik ke bulan.” Ibu menyindir sambil menarik kerusi, menemani ayah minum petang.

            “Dulu-dulu Bulan Biru Berdarah, tahun lepas Bulan Bunga Berdarah. Malam ni bulan apa yang berdarah?” Ayahnya bertanya.

            “Malam ni Bulan Tanduk Rusa, tak ada yang berdarah.” Izat menjawab dengan selamba sambil mencedok bubur kacang durian.

            Dapur hening. Suara ketiga-tiga beranak itu seakan tenggelam di dalam kuah bubur yang pekat manis lagi bersantan. Namun sesekali keheningannya dipecahkan oleh jeritan, gelak ketawa dan deruman motosikal dari jalan kampung. Petanda aktiviti santai sudah bermula.

            “Orang dulu-dulu percaya hantu setan akan berkeliaran bila gerhana bulan. Ada juga yang kata banyak kejadian buruk akan berlaku.” Ibunya kembali bersuara setelah bubur kacang di dalam mangkuk kehabisan.

            Izat memang sedia maklum dan tidak ambil pusing sangat. Bukanlah juga niatnya untuk memperlekehkan kepercayaan nenek moyang mereka. Dia sekadar menghayati keajaiban fenomena alam, itu sahaja.

            “Lagi satu, perempuan mengandung jangan tengok bulan tengah gerhana. Nanti lahir anak hitam. Macam Abang Murad sepupu kamu tulah. Masa Mak Ngah Kinah mengandungkan dia dulu, berlaku gerhana bulan. Puas atuk dengan wan larang tapi dia buat tak kesah aje. Tup-tup bila keluar, kulit malap tak macam adik-beradik yang lain.” Si ayah menyambung perbualan.

            Kalau kes Abang Murad, datuk sebelah bapa sepupunya itu memang berkulit gelap. Tidak mustahil kalau Abang Murad mewarisinya walaupun kedua orang tua berkulit kuning langsat.

            Izat segera menghabiskan bubur kacang kerana dia tahu sekejap lagi akan keluar soalan tentang jodoh. Begitulah selalunya. Bila hendak kahwin? Siapa calonnya? Orang mana? Macam-macam lagilah.

            Sebelum pintu soalan dibuka, baik dia angkat kaki seberapa segera. Ayah dan ibunya hanya memandang sebaik dia meletakkan mangkuk yang siap dibasuh di rak pinggan. Selamat…

            Usai solat maghrib dia menanti di pangkin kegemaran yang terletak di belakang rumah. Benarlah pesanan sesetengah orang, jangan bermain janji dengan cuaca. Jika elok sebelah siang belum tentu membawa ke malam. Dia mula menyedari perubahan cuaca itu sewaktu pulang dari padang bola.

            Langit malam gelap tanpa bintang. Keadaan yang sedikit berangin mencambahkan benih kecewa. Ditambah lagi suara guruh sayup-sayup bersahutan, kekecewaan berganda.

            Dia mencari-cari bulan di celahan awan namun tiada. Selain bunyi cengkerik, suara katak turut menyelit seolah-olah memanggil hujan. Peka sungguh sang katak meskipun guruh berteriak nun jauh.

            “Kau jangan mengada-ngada katak. Malam lain usah kata nak berbunyi, nak berkoir sampai hujan pun aku tak kesah. Malam ni jangan. Siaplah kau kalau hujan betul-betul turun.”

            Dia mencapai sebungkus Twisties perisa kari. Hati yang sedang panas harus diredakan segera. Mudah-mudahan dengan mengunyah kudap-kudapan rangup itu, segalanya kembali normal. Harapan untuk melihat Supermoon yang dikenali sebagai Bulan Tanduk rusa masih tinggi.  

            Selepas kecewa gagal melihat Supermoon tahun 2016, Bulan Biru Berdarah beberapa tahun kemudian, disusuli Bulan Bunga Berdarah kerana terpaksa kerja lebih masa dan Bulan Strawberi yang mengambang bulan lepas, dia benar-benar berharap dapat menatap Supermoon pada malam ini. Sebaik bungkusan Twisties terbuka angin malam menerpa muka.

            Dia bagaikan terdengar bisikan halus menyeru namanya. Alam di sekeliling diamati. Langit masih tidak berubah. Tiada bulan, tiada juga bintang. Suara katak mahupun cengkerik tidak kedengaran. Sunyi sesunyi-sunyinya.

            Ah, mungkin sekadar mainan perasaan. Dia buat tidak endah dan mula menyuap kudap-kudapan kegemaran ramai itu ke dalam mulut.

            Izattt…

            Namanya diseru lagi. Kali ini lebih jelas dan suara yang lembut itu terasa amat dekat. Dia berpaling ke dapur. Barangkali ibunya yang memanggil. Dia bingkas menapak ke pintu dapur. Mungkin putus barang dapur dan minta dibelikan segera. Boleh jadi juga ada hal penting yang ingin diberitahu.

            “Ada apa mak?”

            Izat terus bertanya sebaik terpacak di ambang pintu dapur yang terbuka. Si ibu yang sedang mencuci pinggan terus terganggu. Sementara ayah yang menyuap nasi tercengang-cengang.

            “Ada apa, apa?” Ibunya menyoal.

            “Mak panggil Izat kan? Dua kali dengar. Ada apanya?” Giliran Izat mengaju soalan.

            “Eh, bila masa mak panggil! Dari tadi sinilah mak berdiri menyental mangkuk-mangkuk berminyak. Ada ke saya memanggil budak ni abahnya? Tak da kan?” Ibunya bertegas.

            Ayah menjawab pertanyaan dengan gelengan dan menyambung suapan nasi. Izat garu kepala. Betul sangatlah dia mendengar suara memanggilnya. Malas hendak berpandir-pandir, dia kembali ke pangkin. Mungkin Supermoon sudah menunjukkan diri. Rugi kalau terlepas peluang keemasan itu.

            Dia mendongak ke langit. Bayang-bayang bulan kelihatan malu-malu di sebalik awan hitam. Hati berbunga-bunga. Walaupun tidak sehebat Supermoon 2016, terubat juga kecewa seandainya dia berkesempatan melihat walaupun seketika.

            Izattt…

            Seruan itu kembali lagi. Disusuli serbuan angin malam. Mata menjelajah ke sekitar. Tidak semena-mena ada kelibat putih berjurai-jurai merentas pandangan. Jantung mengepam dada dengan keras.

            Bungkusan Twisties terlepas lalu isinya bertaburan. Tanpa banyak fikir dia berlari pulang. Hempasan pintu dapur yang kuat menarik perhatian kedua orang tuanya. Mereka kehairanan melihat dia masuk dengan wajah pucat lesi.

            “Tadi sekali. Ni sekali lagi. Dah kenapanya?”

            Soalan ayah gagal dijawab meskipun dia terlalu ingin bercerita. Suaranya tersekat di kerongkong. Sehinggalah beberapa minit kemudian, setelah habis segelas air diteguk, barulah dia mampu berkata-kata.

            “Kan abah dengan mak dah cakap, malam bulan gerhana banyak hantu setan keluar. Ambil mudah lagi larangan orang tua. Seronok jumpa penunggu bulan?” Ayah menyindir seraya ketawa.

            “Masa isi borang U dulu, kenapa tak ambil bidang sains angkasa. Habis belajar boleh kerja dekat Agensi Angkasa Malaysia sana. Tak ada masalah nak tengok bulan, nak teropong bintang. Ini tak, pilih bidang enjin-enjin. Bila keluar, buka kedai gunting rambut. Jauh betul beloknya.” Ibu mula membebel.

            Kemudian kedua orang tuanya gelak berjemaah. Izat tidak kuasa hendak bertikam lidah. Malam ini, seperti juga malam siri-siri gerhana bulan yang lalu, dia terlepas peluang lagi. Hailah nasib…

            Menjelang pagi, sebaik celik sahaja mata, badan terasa amat berat. Dalam kepala, Izat mula berkira-kira untuk bercuti. Apa susah. Dia kerja sendiri. Dialah bos, dia jugalah kuli. Kalau betul-betul malas bekerja hari ini, sekejap lagi dia akan menelefon Jijoe, pembantu kedainya.

            Keriuhan di belakang rumah menarik perhatian. Apa yang sedang berlaku? Jangan-jangan pak batik masuk reban lagi. Tak boleh jadi. Kena ambil tahu juga.

            Di belakang rumah, Nazim yang berbaju sekolah sedang memegang sesuatu. Anak jiran yang banyak cakap itu segera menanding apa yang dipegang sebaik ternampaknya.

            “Inilah barang yang hilang petang semalam,” terang Nazim.

            Dia mengamati dengan teliti. Layang-layang rupanya. Warna layang-layang itu putih dan juraian ekornya pula berkilat-kilat. Ingatan jatuh ke kejadian yang berlaku malam tadi.

            Adakah benda yang mengacaunya layang-layang si Nazim? Kalau dilihat pada rupa dan bentuk, seakan-akan sama.   

            “Agaknya bila tali layang-layang putus, tersangkut dekat pokok-pokok kelapa tinggi belakang ni. Sebab tu masa cari semalam kamu tak perasan.” Ayah bersuara lantas mengerling ke arahnya.

            “Sudahlah, bawa balik cepat. Karang lambat ke sekolah.” Ibu juga mengilas pandang padanya ketika berkata-kata.

            Kemudian mereka bertukar jelingan sambil gelak-gelak. Nazim yang tidak tahu hujung pangkal turut tergelak sama. Dia segera menangkap maksud jelingan itu dan terus masuk bilik untuk mengambil tuala. Dalam hati, tak jadilah tutup kedai. Sakit-sakit pun dia lebih rela pergi kerja.

 

            Seperti biasa, Izat bersantai-santai di pangkin. Malam ini bulan terbit dengan cantik sekali. Kalaulah malam ini adalah semalam. Dalam hati mula menyumpah layang-layang Nazim. Jangan sampai dia melihatnya sekali lagi. Akan dicincang lumat, tengoklah.

            Cengkerik dan katak berbalas berbunyi. Entah mengapa dia naik radang tatkala terdengar suara katak. Dia berpendapat, nyanyian katak yang sumbang itu sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada cuaca kurang elok malam semalam. Mulutnya mula menceceh yang bukan-bukan.

            “Bisinglah, bisinglah. Jangan sampai aku cari seekor-seekor buat umpan kail.”

            Izattt…

            Seruan itu muncul lagi. Rumpun-rumpun pisang tidak jauh dari pangkin mula bergerak-gerak. Semakin lama gerakan semakin liar. Suara katak bertambah meriah. Tanpa diduga, seekor katak hijau pisang setinggi budak kecil usia setahun melompat keluar. Mata haiwan amfibia itu kelihatan merah menyala.

            Dia terpaku. Rupa katak itu sangat bengis dan menakutkan, melompat-lompat mendekatinya. Berbaki beberapa meter, dia menjerit dan terus pengsan.

            Keesokan hari, kisah kemunculan katak jadian panas serata kampung. Telefon dibanjiri WhatsApp namun tidak satu pun dibalas. Bagaimana hendak dijawab pertanyaan orang kampung sedangkan dia sendiri bingung memikirkan kejadian mistik malam tadi.

            Orang tua Nazim antara yang datang melawat. Sumpah! Walau ditabur wang sejuta, dia takkan keluar. Demi menyelamatkan diri, dia pura-pura tidur.

            “Puteri katak agaknya.” Ayah Nazim meneka.

            “Kalau puteri mestilah kecil comel.” Ayahnya membalas.

            “Raja kataklah kut. Mungkin si anak malu nak jumpa calon suami, disuruh bapak tengok sendiri bakal menantunya.” Ibu Nazim menambah.

            “Kalau marahkan bulan tak mengambang, janganlah katak memanggil hujan yang dipersalahkan,” simpul ibunya.

            Deraian ketawa menggegar ruang tamu. Di dalam bilik, dia merasakan kepala tiba-tiba berdenyut. Nasib, nasib… 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.