Home Cerpen Seram/Misteri PARANORMAL
PARANORMAL
Ninie Othman
28/8/2016 16:49:05
4,598
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Syyhh…” Jeff mengarahkan rakan-rakannya supaya senyap. Masing-masing memasang telinga dan berdiri kaku. Siapa pula yang ada di situ selain mereka berempat?

“Siapa?” bisik Amri sambil memandang rakan-rakannya. Dia sudah berdebar-debar. Rasa mahu terkencing pun ada. Norman juga begitu.

Bunyi tapak kasut tiba-tiba berhenti. Kesunyian kembali menyelubungi suasana. Jason dan Jeff mengambil keputusan untuk memeriksa tangga. Mahu melihat sendiri siapa yang sedang mendaki tangga untuk ke tingkat mereka berada sekarang. Manakala Amri dan Norman hanya menanti berita dari mereka.

Jason dan Jeff berdiri betul-betul di atas tangga. Tiada sesiapapun di situ. Mungkin ada orang lain tetapi sudah ke tempat lain. Rumah agam ini besar dan banyak cabangnya. Jika terpisah pasti sesat.

Suara Norman yang tiba-tiba lantang berbunyi mengejutkan Jason dan Jeff. Keduanya segera berlari mendapatkan Norman dan Amri.

“Apahal? Apahal?” tanya Jason, kaget.

Norman terduduk di atas lantai sambil menundukkan wajahnya. Amri kelihatan bingung. Dia juga tidak tahu apa yang telah terjadi sehingga membuatkan Norman menjerit ketakutan sebentar tadi.

“Kau okey tak ni?” tanya Jeff. Dia menghampiri Norman dan menyentuh bahunya. Entah mengapa kawasan di sekitar Norman terasa dingin sekali.

“Ada benda yang tengah perhatikan kita,” Norman berbisik. Dia tidak berani mengangkat wajahnya kerana khuatir dengan apa yang dilihatnya.

Amri menelan liur.

“Kepala benda tu duk terjengul-jengul di bilik belakang kita…” sambung Norman dengan suara yang bergetar. Terus menundukkan kepalanya.

Jeff dan Jason pantas berpaling dan menghalakan kamera night vision mode ke bilik tersebut. Dari apa yang mereka lihat, tiada makhluk aneh yang menjengulkan kepalanya di situ. Mungkin Norman sedang bergurau.

Amri tidak berani menoleh. Dia hanya tercegat di hadapan Norman.

“Apa yang kau nampak lagi Man?” Amri bertanya perlahan.

“Lidahnya panjang, mulutnya ternganga sampai mencecah lantai…”

Amri menggigil. Dahsyat sungguh penjelasan Norman. Memang betul-betul menakutkan! Jeff dan Jason mengarahkan dia dan Norman bergerak bersama mereka. Mereka berempat berjalan menuju ke bilik yang dikatakan Norman.

“Kau dah gila? Bilik tu ada penghuni!” marah Norman sambil memegang lengan Jeff. Memang sengaja mencari nahas namanya!

“Sebab ada la, kita kena masuk…” Jeff tersenyum sinis. Dia memang degil. Serupa dengan Jason.

Jeff dan Jason sudah masuk ke bilik itu. Amri turut terpacak di luar bilik bersama Norman. Dia pun serbasalah mahu masuk selepas mendengar cerita Norman. Tetapi, menunggu di luar pun boleh tahan menyeramkan juga.

“Kita masuk la Man. Aku pun tak yakin berdiri kat sini lama-lama. Baik berempat dari berdua..”

Norman mengeluh dan akhirnya mengikut Amri masuk ke situ. Masuk sahaja ke situ, dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang berlegar-legar sambil memerhatikan mereka. Memerhati mereka dengan penuh dendam.

Jeff menghidupkan recorder dan mula memprovok.

“Sir Clifford, you’re a murderer. Kau dah bunuh family kau sendiri dan pekerja-pekerja kau. Can you show yourself?” sengaja dia menyeru mendiang Sir Clifford. Tidak dinafikan selepas berkata begitu, bulu romanya meremang-remang.

“Come and show yourself man!” Jason terus memprovoke.

Keadaan sunyi buat beberapa minit hingga kedengaran beberapa bisikan aneh dari ambang pintu bilik itu. Mereka berempat terdiam. Menajamkan pendengaran.

“Try dengar recorder,” suruh Jason.

Jeff mengulang dengar rakaman.

“Kami ada. Cuba lihat…”

Memang jelas sekali suara ‘mereka’ bercakap di dalam rakaman. Semakin tegak berdiri bulu roma Norman dan Amri. Lebih-lebih lagi Norman yang ternampak sendiri rupa makhluk tadi. Walaupun mukanya tidak jelas tetapi tetap menakutkan.

“Gilalah….” Jason teruja.

“Lihat kat mana?” Jeff menyoal. Dia menggerakkan kamera ke serata sudut.

“Here…..” suara itu berbisik lalu melintas di hadapan kamera Jeff. Kamera terlepas dari tangan Jeff dan baterinya tiba-tiba mati. Jeff tidak segera mengambil kamera. Dia terkebil-kebil bagai orang bodoh.

“Weh kau okey tak ni?” Jason melambai-lambai di depan wajah Jeff.

“Jeff! Weh…” Jason memanggil-manggil. Dia menepuk pipi Jeff berkali-kali. Jeff tetap kaku.

Norman dan Amri mendekati Jason dan berkata bahawa ada seseorang sedang berdiri di luar pintu. Menurut mereka berdua, seseorang itu berwajah Caucasian.

“Tolong cari kamera. Aku tak jumpa,” pinta Jason sambil terus menyuluh lantai. Kamera yang terjatuh tadi tidak dapat dikesan di mana-mana.

Amri dan Norman meraba-raba di dalam gelap. Sesekali mereka tersentuh sampah yang bersepah di atas lantai. Tidak lama kemudian, tangan Amri menyentuh sesuatu yang dingin. Lain macam sahaja teksturnya. Lembut dan sejuk macam ais.

Jeff menjerit hingga ke puncak suara. Jason automatik menghalakan kamera ke arah Jeff. Amri dan Norman segera berdiri dan memandang Jeff dari skrin kamera Jason. Jeff nampak pelik. Matanya terbeliak memandang ke arah mereka bertiga.

“Jeff, kau tak apa-apa ke bro?” Jason bertanya. Melihat rupa Jeff yang pelik, dia juga berasa gerun.

Jeff ketawa terkekeh-kekeh. Makin lama makin kuat tawanya. Seolah-olah sedang menonton filem komedi. Sesekali matanya bertukar putih. Jason, Amri dan Norman beranjak ke belakang. Jeff sudah kerasukan.

“Booh!” Jeff mengacah dengan mata putihnya.

Jason, Amri dan Norman berlari lintang-pukang. Mereka dapat mendengar dengan jelas bagaimana Jeff mengejar dari belakang. Hilai tawanya bergema memenuhi rumah agam itu. Selepas penat berlari, Jason memandu rakan-rakannya masuk ke dalam sebuah bilik dan bersembunyi di situ.

“Yuhuu…..” Jeff melangkah masuk ke situ. Senyumannya meleret dan penuh agenda.

Jason, Norman dan Amri bersembunyi di belakang almari. Mereka berpeluh-peluh. Kini Jeff sudah berada dalam satu ruangan dengan mereka. Mundar-mandir di depan almari.

“Korang nak tengok hantu kan? Tengoklah puas-puas hoi! HAHAHAH!”

Jason menghalakan kameranya ke luar almari secara perlahan-lahan. Dalam kekalutan itu dia masih tidak mahu membazirkan footage hebat itu. Footage itu wajib disiarkan di channel YouTube mereka kelak. Ia merupakan satu kerugian besar jika tidak dirakam.

“Kau buat apa ni?” tanya Norman.

“Merakam…” balas Jason.

“Kau gila? Kalau dia nampak macam mana?!” marahnya dalam berbisik. Jason memang degil!

Jeritan demi jeritan yang tiba-tiba bergema memeranjatkan mereka. Ia berselang-seli dengan hilai tawa seorang lelaki. Bunyi mengerang turut sama menghantui pagi itu.

“DIE! HAHAHAHAHA!!”

Suara seorang lelaki berbangsa Inggeris lantang kedengaran memecah kesunyian. Tiga sekawan itu tergamam. Adakah jeritan-jeritan tadi ialah suara-suara mangsa pembunuhan Sir Clifford yang telah dirasuk syaitan? Memang tidak salah lagi.

“I’m here.”

Jeff berdiri di sebelah Jason yang sedang merakam. Sekali lagi mereka berlari dari kegilaan itu. Mereka berlari menuruni anak tangga dan keluar dari rumah agam tersebut namun mereka kembali ke dalam rumah semula. Mereka panik.

Sir Clifford muncul dari balik kegelapan dengan pisau pemotong daging. Mukanya rabak di sana-sini. Baunya busuk dan mulutnya ternganga luas. Dia berjalan terhuyung-hayang kerana tulangnya sudah patah di seluruh tubuh. Menghasilkan bunyi yang amat menakutkan.

Jason, Amri dan Norman tidak dapat bergerak. Kaki mereka bagaikan dipaku ke bumi. Suara juga tersekat di kerongkong. Mereka tidak dapat bergerak dan bercakap. Sedangkan Sir Clifford semakin lama semakin hampir.


Jumaat – 7:00 pagi.

Jeff tersedar. Dia terbaring di atas tangga. Dengan kepala yang berat, dia melilau mencari rakan-rakannya. Di mana mereka bertiga sudah menghilang?

“Jay! Man! Am! Korang kat mana?” dia memanggil-manggil. Namun seorangpun tidak menyahut. Dia bingung.

Kamera yang tersadai di lantai tingkat bawah menarik perhatiannya. Dia cepat-cepat mengambilnya dan meneliti rakaman terakhir yang sempat dirakam oleh Jason. Rakaman tersebut terakam dari atas lantai. Mungkin ia terlepas dari pegangan Jason pagi tadi.

“Mampus!!!” teriaknya di dalam rakaman itu.

Ya ALLAH! Dia telah menyembelih rakan-rakannya. Jason, Amri dan Norman jatuh terjelepuk dan menggelepar kesakitan. Mereka memegang batang leher yang memancut darah. Terseksa sebelum ajal menjemput.

Kamera terlepas dari tangannya. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang sambil memandang tangannya sendiri. Tangan inilah yang telah menyembelih leher rakan-rakannya.

Tidak…. Tidak!!!

Beberapa saat kemudian, terasa sesuatu di tengkuknya. Dia tiba-tiba kaku, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Seluruh tubuhnya bagaikan terpasung ke bumi.

Satu suara berbisik ke telinga, mendominasi mindanya.

“GOOD BYE.”


*TAMAT*


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.