Home Cerpen Seram/Misteri Kak Wok Si Hantu Lempuk Bertemu Jelmaan Raja Musang
Kak Wok Si Hantu Lempuk Bertemu Jelmaan Raja Musang
Diq Na
15/7/2020 15:19:01
2,983
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Aroma lempuk durian Musang King air tangan ibu Zaki semerbak ke serata dapur. Wok Maisara menyelak tudung saji. Bekas plastik berisi manisan tradisi itu diraba. Masih terasa panas.

            Wok Maisara tersenyum. Kenanganbersama arwah ibu datang tanpa diundang. Lempuk durian kegemaran ibu tersayang. Dia juga hantu lempuk. Dahulu, manisan itu memang wajib setiap kali musim durian. Ibu akan membuat sendiri. Bahan-bahannya mudah tetapi kaedah pembuatan agak renyah. Memakan masa juga memasaknya. Barulah tahan lama.

            Semenjak pemergian ibu, Wok Maisara jarang-jarang dapat menikmati lempuk. Dia sudah rasa sedikit tadi. Memang sama seperti yang dibuat arwah ibu. Tidak terlalu manis, menepati citarasa.

            Lempuk yang sudah dimasak semalaman lebih sedap rasanya. Hendak lagi sedap, simpan di dalam peti sejuk. Tahan sampai berbulan. Kalau yang bukan hantu lempuklah. Kalau si hantu lempuk sepertinya, seminggu pun belum tentu. Cuma ibu Zaki melarang dia makan banyak-banyak. Izat yang baru berusia dua bulan menyusu badan. Bimbang akan memudaratkan kesihatan bayi. Sebelum simpan di dalam peti sejuk nanti, dia akan jamah sedikit lagi.

            Wok Maisara menuju ke sudut dapur. Ada 10 biji durian Musang King yang sudah siap dikopek oleh Man Lampung. Dia pun menyusun ulas-ulas durian yang mendapat jolokan durian termahal dan paling sedap di Malaysia dengan cermat untuk disejuk beku. Tahun lepas pokok durian Musang King di dusun peninggalan itu baru belajar berbuah. Tahun ini buahnya lebat sekali. Durian kampung pun banyak. Cukuplah untuk dinikmati oleh mereka lima beradik selain dibuat tempoyak. Tidak sabar menanti kepulangan adik-adiknya hujung minggu akan datang.

            Tiba-tiba Wok Maisara terdengar rengekan anaknya di tengah rumah. Dia pantas menjenguk ke ruang tamu. Tiada susuk Man Lampung di situ.

            “Bang, tengokkan anak kejap.”

            Senyap tanpa sahut balas. Jangan-jangan Man Lampung tertidur. Wok Maisara mencongak-congak dalam kepala. Kalau tidak silap suaminya ada berborak perihal bola sepak dengan Zaki. Pasukan pilihan akan bertemu dalam satu perlawanan menjelang pagi nanti. Mereka siap bertaruh lagi, pasukan siapa yang kalah, dia kena belanja. Sahlah,mesti sudah tidur.

            Wok Maisara segera membasuh tangan. Ditinggalkan sahaja durian siap berkopek yang masih berbaki suku. Di ruang tamu rengekan Izat semakin kuat. Dia bergegas mendapatkan anaknya.

            Sebaik Wok Maisara meninggalkan dapur, muncul kepulan-kepulan asap, menyelinap di celahan pintu. Kemudian asap itu menyatu, membentuk makhluk berbulu setinggi manusia. Makhluk berbulu itu menuju ke meja makan.

            Di ruang tamu, Wok Maisara mendapati Izat tidur dengan lena. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan anak itu terjaga. Dia naik pelik. Kalau bukan Izat, siapa pula yang merengek tadi.

            Ah, mungkin cuma perasaan sahaja. Semenjak beranak kecil, dia selalu juga terdengar-dengar suara Izat walaupun anaknya sedang tidur. Kata ibu Zaki, perkara itu normal.

            Wok Maisara menapak ke bilik tidur. Memang betul Man Lampung sudah tidur. Siap berdengkur lagi. Dia kembali semula ke dapur untuk menyudahkan kerja. Durian Musang King perlu segera disejuk beku supaya tidak menjejaskan rasa.

            Alangkah terkejut Wok Maisara apabila melihat tudung saji jatuh ke lantai dan terbalik. Di atas meja penuh dengan palitan lumpur dan kotoran. Sementara bekas plastik berisi lempuk durian hilang. Anehnya pintu dan jendela terkatup rapat. Mata meliar di sekitar dapur. Dia bertambah terkejut apabila mendapati bekas plastik mengandungi durian Musang King turut hilang.

            “Bang, ada pencuri!”

            Pekikan Wok Maisara bergaung satu rumah.

 

            Empat biji pau panas inti durian Musang King terhidang di beranda. Dijodohkan bersama dua cawan teh O kurang manis.

            Eda bercadang untuk memperkenalkan pau raja buah di bawah jenama Wok Resepi WarisanFrozen pada musim durian tahun depan. Inti durian kampung dan durian Musang King gabungan idea dia dan bapanya. Beberapa sampel pau telah dicuba oleh pelanggan. Kesemuanya memberi respons positif.

            Sesuai dengan kedudukan durian sebagai raja buah, pau itu juga hanya boleh didapati ketika musimnya sahaja. Harap-harap pau itu mendapat sambutan hangat sewaktu di pasaran kelak.

            Eda terdengar tangisan. Dia berpaling ke ruang tamu. Televisyen terpasang tetapi batang tubuh Zaki tiada di situ.

            “Bang, tengokkan Elsa.”

            Tiada balasan. Tangisan Elsa terus memanjang.

            “Mana pergi laki aku ni? Selalunya pantang dengar anak berbunyi.” 

            Eda berkejar ke bilik tidur. Sebaik wanita tinggi lampai beredar, muncul gumpalan asap tebal di beranda. Kemudian keluar pula makhluk berbulu. Empat biji pau di dalam piring terus disauk. Sesudah itu, makhluk berbulu masuk semula ke gumpalan asap dan perlahan-lahan menghilang.

            Di dalam bilik, Eda mendapati Elsa tidur dengan nyenyak. Dia menggaru kepala.

            “Dah tu, siapa yang menangis tadi?”

            Mata melilau mencari Zaki. Si suami tertidur di kerusi panjang. Baru Eda teringat. Ada perlawanan bola menjelang pagi nanti. Selalunya peminat tegar Chelsea itu akan tidur dahulu dan bangun semula untuk menonton siaran langsung.

            Pau dan teh O yang terhidang perlu disimpan di dalam termos. Boleh dinikmati oleh Zaki sewaktu perlawanan nanti.

            Eda terperanjat besar apabila melihat piring kosong. Di lantai beranda pula terdapat kesan-kesan kotoran dan lumpur.

            “Siapa curi pau akuuu?”

            Suara Eda lantang di halaman rumah.

 

            Aroma cekodok durian Musang King menyucuk hidung. Madi tersengih. Lelaki juga handal di dapur. Tidak sabar untuk merasa cekodok buatan sendiri walaupun resepi dipinjam dari Google.

            “Air kopi dah siap?”

            “Dah bah.”

            “Dah bubuh gula?”

            “Dah, manis-manis buah macam mak buat.”

            “Kejutkan adik. Awal betul tidurnya.”

            “Penat, merayap rata mandi sungai bagai.”

            “Kejut lekas. Ni kalau Cef Wan rasa, mesti abah jadi cef jemputan rancangan masakan dia.”

            “Alah, resepi pun Google.”

            “Google aje. Tak tiru bulat-bulat.”

            Adam, anak sulung Madi masuk ke pondok. Seminit kemudian Adam dan Edry muncul. Edry, si bongsu yang baru menjengah sekolah rendah itu terpisat-pisat di hujung pangkin.

            “Abah goreng nugget?”

            “Bila masa abah goreng nugget.”

            “Along cakap abah goreng nugget dengan sosej.”

            “Mana ada western food dalam dusun tengah hutan ni nak oi. Cekodok durian Musang King ada.”

            “Along tipu!”

            Di hujung pangkin setentang, Adam ketawa mengekek-ngekek. Kalau tidak cakap begitu,bertuahlah si Edry  yang memang kaki tidur itu hendak bangun. Apatah lagi dengar cekodok.  

            “Jangan bergaduh depan rezeki. Ada yang tidur bawah pokok durian, seorang sepokok karang.”

            Buk! Buk! Buk! Bunyi durian gugur menenggelamkan suara cengkerik dan katak. Mereka yang baru hendak menjamah cokodok langsung berhenti. Mata Madi terarah ke pokok durian Musang King.

            “Banyak tu. Kena ambil cepat. Nanti dirembat orang. Biar dulu cekodoknya. Moh kita kutip durian.”  

            Madi dan anak-anaknya berkejar ke pokok durian. Selain durian kampung, empat pokok durian Musang King berbuah lebat musim ini. Penuh jugalah poket dengan hasil jualan nanti.

            Sebaik Madi tiga beranak meninggalkan pondok, kepulan-kepulan asap menyelubungi pondok mereka. Semakin lama semakin tebal asap yang muncul. Tidak lama kemudian menjelmalah makhluk berbulu. Sepiring cekodok terus disambar. Asap yang tebal menyerak semula.

            Di bawah pokok durian, Madi tiga beranak mundar-mandir mencari durian. Madi menyuluh di sekitar dusun peninggalan orang tuanya. Keadaan dusun yang terang memang tidak menyukarkan pencarian. Namun sudah dua kali memusing, sebiji durian pun tidak ditemui.  

            “Pelik, bunyi durian gugur tadi kan.” Madi bersuara.

            “Yalah. Tiga biji kalau tak silap.” Adam mencelah.

            “Edry pun dengar.” Si bongsu turut mengiakan.

            “Habis tu mana buahnya?” Madi tertanya-tanya.

            Mereka mengulangi pencarian. Selepas empat kali memusing, masih tidak juga ketemu dengan buah yang dicari.

            “Agaknya durian orang lain.” Adam meneka.

            “Keliling dusun kebun getah dengan kebun sawit. Dusun paling dekat pun Wak Mud punya. Nun balik bukit sana,” tegas Madi

            “Buah nyor kebun sebelah yang jatuh kot.” Si bongsu menyampuk.

            “Yalah bah, kan ada empat pokok nyor dekat sempadan kebun sawit sebelah.” Si sulung juga senada.

            “Dahlah. Jom balik. Dari tadi mengukur dusun, makin lapar perut,” ajak Madi.

            Tiga beranak itu pun menapak pulang. Tiba di pondok, ketiga-tiganya terlopong apabila mendapati cekodok Musang King hilang.

             “Hai, tak cukup durian, cekodok pun dirembat juga. Hantu mana punya kerja agaknya. Kalau aku tahu orangnya, siaplah.”

             Bebelan Madi terus memanjang. Nampaknya kejadian durian hilang berulang lagi. Musim kali ini semakin menjadi-jadi. Sebagai ketua kampung dia harus mengambil tindakan sewajarnya.

 

             “Stok tempoyak manis Musang King aku pun kena rembat. Yang peliknya barang lain tak hilang. Duit yang aku tinggalkan sikit dalam laci kaunter tak terusik.” Wak Mud berkongsi cerita.

             “Durian krek Musang King anak aku buat pun disapunya.” Pak Mus mencelah.

             “Durian krek? Macam mana rupanya? Suruhlah anak kau COD ke rumah aku.” Imam Ali bersuara.

             “Alah, kulitnya macam lempeng. Inti putih, dilipat-lipat, begitulah lebih kurang,” sambung Pak Mus.

             “Ooo…durian crepe tu Pak Mus. Bukannya lempeng. Mahal kalau jual. Kami pun ada cadangan nak buat tapi kos tinggi. Harga mahal karang tak ada orang beli,” jelas Wok Maisara.

             “Jadi bukanlah rumah kami aje yang kecurian.” Eda turut menyampuk.

             “Kamu berdua hilang apa?” tanya Wak Mud.

             “Saya hilang lempuk dengan buah durian Musang King. Si Eda hilang pau inti Musang King,” tegas Wok Maisara.

             “Sebab tu kami suruh Man Lampung dengan Zaki tunggu dusun lepas subuh tadi. Takut yang di dusun tu pun kena rembat. Nasib baiklah dusun kami sebelah-sebelah,” ulas Eda.

             “Lain macam selera pencuri ni. Apa yang bersangkut dengan Musang King semua selamat.” Mat Apam Balik turut serta.

             Topik kejadian curi semakin hangat. Beberapa orang kampung yang datang membeli sarapan pagi turut berkongsi cerita. Masing-masing melahirkan rasa kebimbangan tentang keselamatan keluarga.

             “Memang sah!”

             Madi yang sejak dari tadi mendiamkan diri bersuara sambil menepuk meja batu. Semua mata bertumpu ke arah ketua kampung Jambu Sebatang.

             “Ini bukan kerja manusia biasa tapi manusia jadian,” terang Madi.

             “Manusia jadian!” suara ramai hampir serentak.

             “Malam tadi cekodok Musang King aku pun kena kebas. Anak sulung aku yang memang hantu cerita hantu tunjukkan satu blog. Kejap, aku cari blog Jangan Kelip Jangan Klik tu…,” jelas Madi

             Jari-jemari Madi ligat menari di skrin telefon. Beberapa saat kemudian dia bangun. Mata meliar memandang wajah orang kampung yang sedang berkumpul di kedai runcit Wak Mud.

             “Sebuah perkampungan kecil di Pulau Pinang yang terkenal dengan durian Udang Merah (nama kampung dirahsiakan atas permintaan ketua kampung) digemparkan dengan kejadian curi. Bukan sahaja durian Udang Merah tetapi produk-produk makanan berasaskan durian berkenaan turut hilang.

             Seorang penduduk yang tidak mahu namanya disebut mendakwa kehilangan seperiuk bubur kacang Udang Merah yang baru dimasak ketika sedang menonton siaran Berita Wilayah. Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Abang Arjuna memberitahu, 100 batang aiskrim Malaysia perisa durian Udang Merah tempahan pelanggan hilang dari peti sejuk. Apa yang menghairankan aiskrim perisa lain tidak pula dicuri.

             Sementara ibu tunggal yang juga pengusaha dodol, mesra dengan panggilan Kak Mon Dodol kerugian beribu-ribu ringgit apabila lima kotak dodol Udang Merah yang akan dihantar ke Kuala Lumpur telah dicuri. Selain dodol, stok isi durian Udang Merah turut dilarikan pencuri. Beberapa orang kampung turut mangadu kehilangan buah durian Udang Merah.

            Menurut seorang lelaki, pencurinya bukan manusia biasa sebaliknya manusia jadian. Malek Nor berkata, kejadian serupa pernah berlaku ketika dia kecil. Waktu itu dia menetap di pantai timur kerana ayahnya seorang anggota polis.

            Pencuri itu dikatakan pengamal ilmu salah yang melanggar pantang. Akibatnya, seluruh badan dan muka ditumbuhi bulu. Oleh kerana malu, dia lari ke hutan. Dia juga penggemar durian. Setiap kali musim durian dia akan masuk ke kampung. Di mana ada durian sedap, di situlah dia akan memunculkan diri. Demikianlah penjelasan Malek Nor.”

             Madi berhenti. Dia memandang wajah anak buahnya seorang demi seorang. Semua kelihatan cuak.

            “Eee… tak beranilah aku tunggu durian malam hari,” luah seorang penduduk kampung.

            “Eda, telefon Zaki. Suruh dia dengan Man Lampung hati-hati,” arah Wok Maisara.

            Dalam pada orang kampung kecoh-kecoh membicarakan manusia jadian, kedengaran riuh rendah di belakang kedai. Seekor musang meluru keluar, memeranjatkan semua. Cik Miskiah muncul sambil memegang sebatang kayu.

            “Musang makan Musang King siap berkopek atas meja,” terang Cik Miskiah.

            “Jadi yang menceroboh rumah kerja si musanglah. Kaulah tuk empat, percaya sangat cerita dalam media sosial, berita palsu tu,” nasihat Tuk Ali.

             Perkarangan kedai Wak Mud gempar pula dengan cerita musang.

             “Kejap. Cuba fikir logik sikit. Kejadian di rumah saya contohnya. Takkan musang sekecil tadi boleh bawa lari berbekas-bekas lempuk dan durian Musang King?” pendapat Wok Maisara.

             “Betul. Mustahil musang buka peti sejuk ambil durian crepe anak aku.” Giliran Pak Mus pula.

             Semua orang terdiam.

             Sementara musang yang melarikan diri menyusup belukar, menuju ke hutan pinggir kampung.Tatkala tiba di satu tanah lapang, musang itu berhenti. Di sekitarnya penuh dengan kulit durian, bekas plastik, kotak dan kertas.

             Menjelang senja, musang itu perlahan-lahan berubah bentuk. Badannya semakin lama semakin membesar, bertukar menjadi separuh manusia separuh berbulu. Manusia jadian itu berdiri tegak memandang langit. Disusuli pula bunyi mengilai yang panjang lagi menyeramkan.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.