Home Cerpen Seram/Misteri Geng Teropong Hendap Diterjah Keranda Terbang
Geng Teropong Hendap Diterjah Keranda Terbang
Diq Na
27/10/2023 12:20:40
1,540
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Musalmah menatang kotak bersalut plastik hitam. Melihat akan nama penerima dan bentuk kotak, dia seakan dapat menebak isi kandungan. Dia sekadar menggelengkan kepala mengenangkan kegilaan anak bujangnya. Gasaklah, janji bukan guna duit dia.

            Kotak itu diletakkan di atas meja kopi, bersebelahan dengan bungkusan-bungkusan barang milik Lidya.      Kalau si bongsu kesayangan pastilah tudung, baju atau skirt. Rutin harian Musalmah kurang lengkap andai tangan tidak menyambut barang pembelian dalam talian.

            Sekarang tengah bulan, kuranglah sedikit. Cuba kalau hujung bulan membawa ke awal bulan, memang penuh setengah ruang tamu. Bayangkan, dua lagi anak perempuan yang mencari rezeki di ibu kota turut menggunakan alamat kampung dengan alasan takut barang hilang. Mereka lebih rela pulang hujung minggu mengambil hak masing-masing daripada membiarkannya dirembat penyangak kota raya.

            Di luar rumah, deruan motosikal laksana luruan ribut memberi petanda yang Husaini sudah balik kerja. Anak lelaki tunggal itu terus menerpa ke meja kopi. Musalmah mengagak pasti anaknya itu berselisih dengan van penghantar barang. Sebab itulah terpaan macam orang tidak cukup 24 jam sehari. Dijeling ke kotak yang sudah terbuka. Tepat bagai dijangka.

            “Teropong yang ke seratus kan?”

            Husaini membalas sindiran dengan sengihan. Dia sudah terbiasa. Di waktu ini mata hanya terarah ke teropong yang dipegang.

            “Besar betul yang baru sampai ni. Kalau tengok pipit, entah-entah nampak geruda tak?”

            “Ini bukan biasa-biasa punya. Namanya World Concuer Binocular.”

            “Cakap Melayunya?”

            “Teropong penakluk dunia.”

            “Ini kalau makhluk asing pun boleh nampak.”

            “Mak jangan sebut yang bukan-bukan. Bayangkan kalau makhluk asing tu perasan, diculiknya Husaini bawa balik ke planet dia, tak kenal bumi dah. Menangis mak nanti.”

            “Dah kamu gila sangat nak meneropong sana-sini, memang patutlah mendapat sesekali.”

            Husaini deras menuju ke muka pintu. Ibunya itu, lagi dilayan segala pertanyaan, lagi banyak soalan nanti. Dia berdiri tegak di ambang pintu dan terus mencuba teropong barunya. Luas, cantik dan terang permandangan. Memang tidak rugi keluar modal lebih untuk mendapatkan koleksi terkini keluaran jenama antarabangsa yang terkenal itu.

            “Nampak anak bulannya? Puasa esok?”

            Jamaludin yang masih lekang berkopiah terus menegur tatkala terlihat Husaini tercegat bak tiang lampu jalan bersama sebuah teropong. Lewat ini, aktiviti yang menjadi kemestian sang anak waktu senggang mula menimbulkan kegusaran di hati tuanya. Pelbagai cerita kurang enak tentang Husaini, Rafi dan teropong mereka mulai tersebar.

            “Abah kalau tak sokong minat saya, tak apa. Cuma janganlah lencong jauh sangat, kecil hati saya ni.”

            “Ada ke cakap tak sokong, tak ada kan. Abah ni, menentang pun tidak, menggalakkan pun tidak juga. Ikutlah minat kamu. Cuma sekarang heboh sekampung yang kamu dan Rafi bukan setakat meneropong, dibantainya mengendap sekali. Ini parah nak oi!”

            “Mana ada kami buat kerja-kerja tak senonoh tu.”

            “Habis yang kamu berdua tercongok atas busut jantan seberang rumah Cik Dian sambil meneropong tu apa ke jadahnya. Bukan sekali dua dia nampak. Dia mengadu dengan Tok Teh. Sebagai ketua kampung yang bertanggung jawab, dipanjangkan aduan ke abah. Jangan cari penyakit. Cik Dian tu handal bersilat. Dannya hilang sabar, patah riuk nanti.”

            “Perasan. Bila masa kami mengendap. Lainlah kalau Asdiana ada balik. Harus juga menebeng situ. Sebenarnya kami mengintip kawasan lereng belakang rumah dia yang dah semakin gondol tu. Entah-entah kebun haram. Itupun sebab Abang Jak, tanah sebelah yang suruh. Kalau terbukti haram, boleh buat aduan. Tak percaya, tanya Abang Ajak.”

            “Betul ni?”

            “Ya. Kalau tak yakin lagi, moh pergi. Boleh cuba sekali teropong baru ni. Silap-silap, cacing merayap pun boleh tengok.”

            “Tak kuasalah. Karang elok-elok nama anak aje yang naik dah dengan bapaknya sekali tersabit sama. Bukan tak tahu Cik Dian tu macam mana. Kaki, tangan dengan mulut sama laju.”

            “Tahu pun abah. Buat-buat tak dengar aje sudah.”

            Husaini mengemas semula koleksi terbaharunya. Tidak sabar hendak memanjangkan kehebatan si penakluk dunia kepada Rafi. Dengan adanya teropong kuasa pembesaran tinggi, makin panjanglah langkah nanti.

            “Sekarang ni, Cik Dian ke, kebun haram ke, tolak tepi dulu. Ulang tanya sekali lagi. Teropong besar gedabak ni, kamu beli sebab nak jadi spy ke? Jangan macam-macam. Kalau silap spy, bersepai hidup.” Musalmah masih belum berpuas hati dengan penerangan Husaini seketika tadi.

            “Ini sebenarnya untuk tengok Komet Hijau,” terang Husaini.

             “Komet Hijau?” Jamaludin dan Musalmah bersuara hampir serentak.

            “Ya, Komet Hijau yang muncul 50000 tahun dulu akan melintasi bumi tengah malam esok,” sambung Husaini.

            “Zaman mak muda-muda dulu ada Komet Halley. Teringin juga nak tengok tapi manalah ada peluang beli benda-benda mahal macam ni. Jangan kata teropong, kanta pembesar pelajaran Sains tu pun tak mampu nak beli.” Musalmah mengimbas masa lampau.

            “Entah nampak ke tidak. Mat saleh luar negara sana pun guna teleskop. Setakat teropong gedabak ni hujung ekor komet pun belum tentu, berangan lebih. Sekarang ni tak kesahlah Komet Hijau ke, Komet Halley ke, kopi hitam pekat saya mana Sal? Selalunya lepas sembahyang dah ada tertonggok atas meja,” sambung Jamaludin seraya menguis longgokan barangan dengan harapan dapat menemui minuman kegemarannya itu.

            Musalmah mengucap panjang. Jangan kata bancuhan kopi, airnya juga masih belum dijerang. Itulah tugasan dapur yang sepatutnya dilakukan sebaik Jamaludin menunaikan solat asar. Gara-gara teropong yang dikatakan mampu menguasai dunia, semua tergendala. Oleh kerana terlalu ralit dengan teropong luar kebiasaan itu, dia langsung terlupa.

 

            Hawa malam sedikit hangat tidak merencatkan rancangan Husaini dan Rafi untuk melihat Komet Hijau yang sedang dinanti-nanti di seluruh dunia. Seawal senja mereka mendaki tanah berbukit di belakang dusun milik bapa saudara Rafi. Malahan Rafi turut meminta kebenaran untuk menumpang tidur di pondok kecil yang terletak di kaki bukit.

            Cakerawala malam gemilang dengan percikan bintang diharap mampu memberikan sinar kepada mereka untuk melihat Komet Hijau yang dihajati. Walaupun peluang tidak tinggi bak kata ayah Husaini dek kerana mereka hanya menggunakan teropong biasa, dapat menyaksikan lintasan yang samar-samar pun sudah memadai.

            Setidak-tidaknya ada juga bahan terkini untuk dikongsi di laman sosial Grup Teropong Terjah yang diasaskan oleh mereka. Ramai ahli grup yang teruja untuk menyaksikan kemunculan komet yang julung-julung kali di era moden. Ada di kalangan mereka yang memiliki teleskop juga berjanji untuk untuk berkongsi hasil yang diperolehi.

            “Aku nak sambar jugalah.”

            Rafi yang sudah berulang kali mencuba sang penakluk dunia itu mengakui kehebatannya. Aroma mi segera dibawa angin malam mengundang rasa lapar. Dia kembali ke tapak di mana Husaini menyediakan makan malam.

            Selain unggun api, set meja dan kerusi mudah alih, seteko kopi panas turut tersedia. Sementara menanti detik jangkaan kemunculan Komet Hijau, lebih baik dipenuhi tuntutan selera dahulu.

            Sesekali, mereka ditegur oleh bunyian pelik tetapi diabaikan. Ada ketika bauan harum datang, semuanya dibiarkan sahaja.

            Bukan sehari dua mereka terlibat dengan aktiviti berkhemah dan kegiatan-kegiatan malam. Segala ilmu dan petua daripada yang arif lagi pakar juga sudah dihadam. Mudah cerita, apa yang mereka lakukan bukanlah dengan dada yang kosong.

            “Aku geram betullah dengan Cik Dian tu. Kalau ikutkan hati, nak aje pergi serang rumah dia.”

            Husaini memulakan perbualan yang terjeda seketika selepas satu bau yang memualkan hinggap di rongga hidu. Baik Husaini mahupun Rafi, hidung keduanya kembang kempis menangkis bau kurang menyenangkan itu. Sudahlah mereka sedang menikmati rezeki.

            “Cakap pasal Cik Dian kan, semalam sambil-sambil nak ke kedai Pak Meran, aku teroponglah tebing runtuh belakang rumah dia. Sekali kereta Asdiana lalu. Asmira pun ada sama.”

            “Beranilah kau bertenggek atas busut jantan masa tengah kecoh ni. Sekali kantoi, keluar jurus harimau berantai Cik Dian, berterabur gigi. Jangan cari nahas Fie. Biar lantaklah tebing tu nak runtuh.”

            “Aku dah jumpa port lainlah. Lagi bagus dan damai suasananya. Nanti aku tunjukkan.”

            “Asdiana cuti ke? Macam ada hal penting aje tiba-tiba balik kampung. Dengan sepupunya lagi, pelik ni. Entah-entah nak beritahu mak dia ada orang datang meminang tak?”

            “Taklah, Asdiana dah berhenti kerja. Pak Meran yang panjangkan info sebab Asdiana ada singgah kedai. Asmira tu betullah cuti dua tiga hari sebab nak melawat emak saudaranya. Cik Dian kan pernah mengasuh dia.”

            “Berhenti? Tempat kerja bagus, gaji pun boleh tahan. Sayanglah.”

            “Ada pegawai atasan buat hal. Sibuk-sibuk ajak dia jadi bini nombor dua. Malas nak serabutkan kepala, berhenti!”

            Satu jeritan nyaring bergema. Perbualan langsung mati. Mereka berbalas pandang. Kemudian mata keduanya meliar ke kawasan dusun. Agak lama juga mereka mendiamkan diri sambil mengawasi keadaan sekitar namun tiada sebarang ancaman atau sesuatu yang mencurigakan muncul.

            Ada lakaran gelisah di wajah namun tidak seorang pun mahu membuka mulut. Husaini memberi isyarat mata. Rafi pula membalas dengan isyarat tangan tanda faham. Mereka terus menghabiskan mi segera di dalam mangkuk ayan masing-masing.

            “Kalau macam tu, habis kerja petang esok kita pergi port baru. Kita teropong apa yang mereka buat.”

            “Setuju. Alang-alang mak cik bawang tu kata kita mengendap dia, baik luruskan terus.”

            “Ha ha ha.”

            Husaini dan Rafi sama-sama ketawa. Rasa takut tetap ada tetapi mereka tidak mahu terlalu memikirkan pelbagai gangguan yang muncul. Tanpa diduga, Rafi mengesan satu cahaya yang bergerak dari hujung langit sebelah kanan. Dia terus bangun dan menjerit.

            “Komet Hijau, Komet Hijau!”

            Husaini segera berpaling. Pergerakan cahaya itu tidak terlalu laju, tidak juga perlahan.

            “Bukanlah. Sekarang baru pukul berapa. Lagipun kalau komet, bukan macam tu pergerakannya.”

            Keadaan menjadi semakin pelik apabila cahaya itu memusing-musing dan berlegaran tanpa arah tujuan. Hal itu menguatkan lagi tanggapan Husaini bahawa itu bukanlah Komet Hijau.

            “Jangan-jangan UFO. Cepat Fie, ambil video. Bahan panas ni.”

            Rafi segera merakam cahaya yang mundar-mandir itu di dalam telefon bimbit. Sementara Husaini mengambil sebuah lagi teropong yang bersaiz lebih kecil untuk mengesahkan telahannya.

            “Hus, aku rasa cahaya tu macam menghala ke kita.”

            “Betullah, kejap aku fokus lagi. Nampak macam papan panjang berkilau. Ada benda yang duduk atas papan tu. Fie, keranda terbanglah. Siap dengan penunggang dan pemboncengnya sekali. Lari Fie, benda tu memang tuju ke sini!”

            Belum sempat menuruni bukit, keranda terbang bercahaya itu meluncur laju di atas kepala Husaini dan Rafi. Mereka menjerit panik. Selain dua makhluk berkain putih, ia juga meninggalkan bau yang teramat busuk. Suasana bertambah tegang apabila keranda terbang bercahaya itu membelok dan kembali semula diiringi pekikan yang kuat.

            Husaini dan Rafi berlari turun menuju ke jalan kampung. Bunyi nyaring yang kedengaran di belakang mereka menunjukkan bahawa keranda terbang dan makhluk yang menaikinya masih mengekori rapat.

            Nun jauh ada kelihatan cahaya dan suara. Husaini dan Rafi menambah kelajuan larian kerana beberapa meter di hadapan terdapat surau kampung mereka. Ini peluang baik untuk menyelamatkan diri.

            “Tolong, tolong!”

            Husaini dan Rafi segera menarik perhatian orang kampung yang berada di perkarangan surau. Mereka berdua termengah-mengah memegang dada sebaik tiba di situ.

            “Ada… ada, ada benda kejar kami.”

            Rafi cuba menerangkan situasi yang menimpa dia dan Husaini dengan suara yang tersekat-sekat. Orang kampung saling bertikam pandang kerana cerita Rafi masih tergantung.

            “Tak nampak apa-apa pun. Benda apa yang mengejar?” Pak Meran bertanya lanjut sambil memanjangkan leher, menyorot jalan kampung yang gelap.

            “Abah tahu, mesti kena kejar dengan komet kan. Itulah, banyak lagi benda boleh ditilik, yang sibuk sangat dengan komet tu buat apa.” Jamaludin menyindir.

            “Kalau komet, kami tahan dan naik terus ke bulan bah.” Husaini mencelah.

            “Dah tu, benda apa yang menyebabkan kamu berdua lari terus ke surau?” Jamaludin menyoal.

            “Keranda terbang. Ada penunggang dan pembonceng bagai. Sepasang agaknya,” jelas Rafi.

            “Keranda terbang!” Seisi kampung pun terkejut.   

            “Rambut dah dua warna, baru sekarang aku tahu yang makhluk alam sana pun berpasang-pasang ya. Sekarang kau orang faham macam mana perasaan aku. Mengendap ni bukan setakat manusia, bukan manusia pun tak berkenan. Aku baru bercadang-cadang nak buat menantu. Anak dan anak saudara aku kosong lagi. Daripada menginding, baik disambut cara baik masuk ke rumah. Kalau penakut macam ni, tak jadilah gayanya.” Giliran Cik Dian pula memerli.

            Orang kampung gelak besar. Ada yang percaya, ada juga yang tidak yakin dengan cerita Husaini dan Rafi. Segelintir pula menasihati mereka supaya tidak terlalu taksub dengan teropong, dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat.

            Bagi Husaini dan Rafi, sindiran, gelak dan nasihat itu bukanlah apa-apa sangat jika dibandingkan senyum sinis Asdiana dan Asmira di belakang Cik Dian. Kalaulah keranda terbang bercahaya tadi berpatah balik, mereka lebih rela tumpang dan berlalu pergi daripada terus dihempap rasa malu.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.