Musim durian kembali lagi. Tahun ini buahnya menjadi termasuklah durian Musang King di dusun Haji Salleh.
Di mana ada durian, di situ ada pemungutnya. Termasuklah pemungut tidak berkebun yang giat mencari keuntungan atas titik peluh orang lain. Setiap kali buah luruh, kisah kecurian kedengaran lagi. Sasaran mereka sudah tentulah durian yang termahal di Malaysia, Musang King.
Fendi, anak bongsu Haji Salleh baru tamat pengajian. Dia diminta oleh ayahnya untuk menjaga dusun Musang King seluas tiga ekar. Meskipun terletak di pinggir kampung dan tidak jauh pula dari petempatan orang asli, Haji Salleh tetap bimbang buah durian dikebas orang.
Setiap malam Fendi akan tidur di dusun. Di situ ada pondok kayu, dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air. Selain upah, Fendi turut dijanjikan sebuah motosikal keluaran terbaharu yang menjadi kegilaan masa kini.
Petang itu Fendi tiba lewat kerana motosikal rosak. Sekitar jam 6.30 petang, Fendi dihantar oleh ayahnya dengan kereta. Kebiasaannya durian gugur dengan galak pada sebelah malam. Bersama kereta sorong dia meninjau dusun, mencari kalau-kalau ada yang gugur sebelah siang.
Kebetulan, petang itu banyak pula buahnya. Sudah satu olak Fendi memunggah hasil kutipan. Sedar tak sedar, hari senja. Suasana dusun kelam. Mujurlah tinggal selonggok lagi yang perlu dipunggah.
Di dusun bersebelahan, Ijam kelihatan terbongkok-bongkok di bawah pokok. Fendi berasa lega. Sekurang-kurangnya ada kawan. Dia mendekati pagar kawat sempadan dusun mereka. Dilihatnya ada selonggok buah durian kampung.
Boleh tahan juga. Durian kampung harganya murah tetapi mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan pengusaha tempoyak.
“Bang, ada rezeki lebih tahun ni bolehlah pinang si Tipah.” Fendi berselorah.
“Hmmm,” jawab Ijam.
“Farhan tak ikut?” Fendi bertanya.
“Tak.” Sekali lagi, ringkas jawapannya.
Mungkin berlaku krisis antara Ijam dan Tipah, Fendi membuat andaian sendiri. Begitulah selalunya. Kalau pasangan kekasih itu bergaduh, Ijam yang riuh mulutnya pasti kurang bercakap.
Hubungan duda anak satu dan janda kematian suami itu mendapat tentangan keluarga kerana Ijam hanya bekerja kampung. Entahlah, mentaliti Nyonya Mansor masih merentas zaman. Majistret, lawyer, doktor atau yang setaraf dengannya tetap menjadi menantu pilihan era gajet.
“Datanglah pondok malam ni. Boleh kita masak Maggi lagi.” Fendi mengubah hala perbualan.
“Tengoklah.” Balasan tetap juga ringkas.
Memang betullah ada krisis. Fendi tidak mahu menambahkan lagi kekusutan sedia ada. Ditinggalkan sahaja sepupunya itu yang sedang mencangkung sambil mengira hasil kutipan.
Kerja yang tertangguh diteruskan. Sebaik selesai dia berpaling ke dusun sebelah. Ijam tidak kelihatan melainkan selonggok durian. Barangkali sudah pulang ke pondok atau beralih ke sebalik bukit.
Fendi menolak kereta sorong yang sarat muatan. Hari sudah gelap. Dia bimbang terserempak atau terpijak binatang berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking. Kata orang-orang tua, kala senja sebegini hantu syaitan juga berkeliaran. Memikirkan hal itu meremang bulu tengkuk.
Sesampai di pondok, kotoran yang melekat pada buah contohnya daun, pasir dan tanah dibersihkan. Kemudian buah dimasukkan ke dalam raga. Diasingkan dua biji untuk makan sendiri.
Sudah dapat satu raga. Sebelah malam nanti tentu dapat dua atau tiga raga lagi. Fendi mencongak hitung kasar keuntungan yang bakal diperolehi penghujung musim nanti. Memang lumayan.
Susah-susah sangat, baik jadi usahawan Musang King. Tidak perlu memohon kerja, temuduga sana-sini tetapi belum tentu dapat. Tanah kosong pun ada. Kalau jual tempoyak Musang King, lagi berlipat ganda pendapatan. Angan-angan Mat Jenin betul. Fendi senyum sendiri.
“Tersengih-sengih, dah kenapa?”
Terasa bahu kirinya ditepuk orang. Berderau darah. Fendi berpaling ke sisi, Ijam rupanya. Ingatkan siapa tadi. Sepupunya itu terus duduk di atas pangkin kayu berdekatan beranda.
Bersuluhkan lampu beranda, Fendi perasan sesuatu. Sepupunya itu tampak berbeza. Rupa Ijam boleh dikatakan kacak juga. Kira-kira masuk kategori jejaka idaman Malaya. Cuma lelaki itu tidak cakna sangat soal penampilan. Selipar jepun, seluar sukan dan kemeja memang uniform rasmi setiap hari. Soal jenama tolak tepi. Baju berkedut bukan masalah besar baginya.
Mereka berbeza usia 10 tahun tetapi Ijam kelihatan seperti lelaki 40-an. Aneh, Ijam di hadapannya kelihatan kemas. Baju melayu selalunya lusuh tetapi malam ini nampak baru. Dia juga terbau minyak wangi. Wajah pula bersih tanpa jambang, tidak berserabut seperti selalu. Mungkin tadi gelap, dia tidak perasan.
“Dapat berapa biji tadi?”
“Aku baru sampai weh. Kau pun agak-agaklah. Takkan pakai baju melayu kutip buah durian.”
Darah Fendi menyirap. Betul juga. Pondok Ijam tiada bekalan elektrik dan air. Hanya ruangan seluas sebuah bilik bersambung dengan bahagian berdinding zink. Juga sebuah tong drum sebagai takungan air untuk keperluan mendesak. Mana mungkin Ijam balik rumah, mandi dan tukar pakaian dalam tempoh 10 minit. Kalau Ijam barusampai, siapa pula ‘Ijam’ yang dilihat senja tadi. Ah, sudah!
Tidak semena-mena lampu pondok padam. Masa-masa seram sebeginilah bekalan elektrik terputus. Fendi terus tarik Ijam masuk ke pondok. Dia memasang lampu ayam. Mujurlah bekalan minyak ada. Dalam suasana samar-samar itu, dia pun bercerita tentang apa yang dialami senja tadi.
“Eee… naik bulu roma. Takut pulak nak balik dusun. Aku tidur sinilah. Esok-esok baru kutip durian.”
Malam itu mereka tidak berani keluar pondok. Biar lantaklah berapa banyak pun durian yang gugur. Selain maggi, Fendi menjamu Ijam durian Musang King walaupun sepupunya itu penggemar tegar durian kampung. Menghairankan, Ijam makan penuh selera. Habis sebiji, dia buka sebiji lagi.
“Aku habiskan ya.”
“Suka hati kaulah. Harta bapak aku, harta kau jugak. Tapi dengan syarat. Hulur-hulurlah durian tembaga sebiji dua. Favourite aku tu.”
“Tak jadi hal. Esok aku bagi. Harta bapak aku, harta kau jugak.”
“Dah tentu bapak kita adik-beradik.”
Mereka ketawa. Hilang rasa seram yang membelenggu seketika tadi.
Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi ketika Fendi terjaga. Badannya panas dan berpeluh. Pondok masih samar-samar dengan cahaya lampu ayam. Nampaknya bekalan elektrik belum pulih lagi. Dia menggelisah tidak selesa.
Fendi memandang Ijam di sebelah. Sepupunya itu tidur lena. Siap berdengkur lagi. Dia bangun dan bersandar pada dinding.
Srettt… terdengar bunyi seretan di luar pondok. Fendi merapatkan telinga ke dinding.
Srettt… sekali lagi. Jantung Fendi berdegup kencang.
Bunyi apakah itu? Jangan-jangan ‘Ijam’ yang satu lagi sedang berkeliaran mengutip durian di luar sana.
Lampu berkelip-kelip. Kemudian terang-benderang. Fendi terdengar seperti benda jatuh bertaburan dan tergolek-golek. Dia bingkas baring, tarik gebar sampai ke dada dan tekup telinga dengan bantal. Panas pun panaslah. Yang penting dia tidak mahu mendengar apa-apa bunyi pun. Lampu yang terpasang dibiarkan sahaja.
Menjelang subuh Fendi dikejutkan dengan deringan jam loceng. Ijam tiada. Lapik tidur dan selimut terlipat kemas. Barang kali sudah pulang ke dusunnya. Usai bersolat, Fendi bersiap-siap untuk mengutip buah durian yang gugur sepanjang malam. Dia terkejut apabila mendapati pintu pondok masih berkunci. Eh, macam mana Ijam keluar?
Sewaktu membuka pintu, dia menerima kejutan kedua apabila melihat buah durian bertaburan. Dia terkejut kali yang ketiga apabila melihat tiga biji durian tembaga di atas pangkin. Ayahnya segera dihubungi.
Fendi dikejutkan dengan kejutan keempat apabila melihat ayah membonceng motosikal Ijam dan sepupunya itu tetap kelihatan serabut seperti biasa.
“Yang kutip buah senja semalam memang aku. Jiwa kacau masa tu sebab bergaduh denganTipah. Siap kutip, aku ambik kereta sorong. Lepas punggah buah aku terus balik. Lagi satu, durian tembaga tu bukan dari pokok aku. Buahnya masih 25 biji, sama macam kiraan terakhir petang semalam,” jelas Ijam.
“Bunyi yang kamu dengar rasanya memang pencuri. Kami jumpa kesan tayar kereta di simpang. Mungkin mereka terkejut sebab lampu tiba-tiba terpasang, raga terlepas durian habis bertaburan. Persoalannya, mana ada bekalan elektrik terputus malam tadi,” kata ayahnya.
Fendi demam selama seminggu selepas kejadian itu. Siapakah lelaki mirip Ijam yang bertamu di pondok durian? Tinggal tanda tanya.
Di mana Musang King berbuah, di situ ada misteri…