Home Cerpen Seram/Misteri Ini Lif Aku!
Ini Lif Aku!
3/5/2016 17:28:13
3,253
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Ini lif aku!” tiba-tiba Nuqman disergah dari belakang. Dia yang baru hendak melangkah memasuki lif terhenti. Dia menoleh, seorang budak lelaki berwajah pucat dalam lingkungan umur 10 tahun sedang berdiri sambil memandangnya tajam.

‘Apahal pula budak ni?’ desis Nuqman. Dahinya berkerut memandang budak itu. Pelik!

Budak itu masih di situ. Tegak berdiri.

“Dik, abang nak cepat ni. Tak ada masa nak layan kau,” kata Nuqman seraya menekan kembali butang di dinding bila lif tadi sudah tertutup.

“Huh! Kau tengok…” dia menoleh tetapi budak lelaki itu sudah pun pergi.

‘Mana budak tadi pergi?’ Nuqman tercari-cari. Melilau matanya, manalah tahu budak tu menyorok ke? Tetapi tetap juga tidak kelihatan.

‘Tinggg…’ bunyi pintu lif terbuka mengejutkan Nuqman. Dia melangkah masuk lalu butang G ditekan. Semasa pintu lif perlahan-lahan tertutup, Nuqman seperti nampak kelibat seseorang bergegas mahu masuk tetapi tak sempat. Dia didalam juga sudah menekan-menakan butang open, tetap juga pintu lif tertutup.

“Aku dah cakap, ini lif aku!” hampir luruh jantungnya bila disergah.

Budak tadi! Seingat dia tadi, hanya dia seorang saja dalam lif itu. Bila pula budak kecil ni masuk?

Tiba-tiba lif bergoncang kuat. Nuqman berpaut pada dinding lif. Terhuyung-hayang dibuatnya. Lampu lif juga sekejap terpasang, sekejap terpadam. Jeritan ‘ini lif aku’ juga semakin kuat kedengaran. Nuqman terjelepuk jatuh tangannya menekup telinga.

Laju Nuqman berlari keluar bila pintu lif terbuka. Hampi-hampir saja dia berlanggar dengan seseorang, nasib sempat mengelak!

Budak lelaki itu tersenyum sinis dan pintu lif kembali tertutup.

Sampai sahajadi pejabat, Nuqman terus duduk melepaskan lelah. Termenung dia sejenak, apa sebenarnya berlaku di dalam lif tadi?

‘Buk…’ tersentak dia dengan bunyi itu. Anak mata dilarikan melirik ke arah bunyi tersebut. Kelihatan Saiful yang berdiri di tepi rak sedang membetulkan topi keledarnya yang jatuh.

“Oi, Saiful!” tegur Nuqman.

“Hoi Saiful! Baru sampai ke?” jerit Nuqman lagi. Kali ini lebih kuat.

Terpinga-pinga Nuqman bila Saiful terus berlalu tanpa menyapa dirinya terlebih dahulu. ‘Dia boleh buat derk je!’ gerutuh hati Nuqman.

“Mira, si Saiful tu apasal hah? Aku tegur dia buat tak reti je.” Rasa tidak puas hati itu diluahkan pada Mira, gadis penyambut tetamu.

“Oi, kau dengar tak ni?” sambil menepuk kauntar pertanyaan itu. Mira hanya melihat sekilas dan dia terus berlalu bersama fail-fail yang dipeluk di dadanya.

“Ah! Apahal semua orang tak layan aku ni?!” Nuqman naik angin, kakinya menendang kaunter.

“Argh! Sakit kaki aku!”

Nuqman pulang dengan hati yang bengkak! Sakit betul hatinya bila dia tidak dilayan. Apa mereka ingat dia tunggul di dalam pejabat tu?

‘Ah lif ni pun, lembab betul!’ getus hatinya. Sakit hati di pejabat tadi masih belum lagi reda sekarang sudah sakit hati dengan lif yang lambat terbuka itu.

“Ini lif aku!” jerit sesorang dari belakang. Nuqman terperanjat.

‘Apa lagi lah budak ni nak?’ desis hatinya bila dia menoleh, tampang budak kecil yang bersama dengan dia pagi tadi jelas di depan mata.

“Eh budak, ini lif aku juga!” berang dia rasa dengan budak lelaki itu. Tangan dihimpun di dada, mata di kecilkan dan dihala memandang budak tadi. ‘Geram betul lah!.’ Nuqman berpaling dan terus melangkah masuk kedalam lif tanpa menghiraukan budak lelaki tadi. Dari kerlingan matanya dia nampak budak lelaki itu melangkah masuk mengekori dirinya. ‘Lantak kau lah budak’

“Bang, nak ikut saya balik rumah saya tak?” senyuman sinis di hadiahkan buat Nuqman. Berkerut dahi Nuqman, ‘baik pulak budak ni’, Nuqman masih malas melayan karenah budak itu. Tak betul agaknya. Tiba-tiba marah, ni baik pula.

Bila pintu lif di tingkat 9 terbuka, langkah Nuqman terhalang bila budak lelaki tadi menarik tangannya. Terasa melayang seluruh tubuh dengan sentuhan tangan sejuk budak lelaki itu. Terasa dirinya ditarik ke atas. Di sebalik pintu lif yang terbuka dia dapat melihat dengan jelas lautan api yang semakin marak merebak dan cuba menyambar dirinya dan budak kecil itu.

Bagaikan sebuah filem, dia boleh melihat segala kejadian itu. Dia melihat dirinya dan budak kecil itu berpelukan apabila lif yang mereka naiki tersangkut di tingkat 9. Nuqman cuba membuka pintu lif, tetapi tidak berjaya. Bahang panas membantutkan usahanya. Budak lelaki itu duduk memeluk lutut dan menangis.

Nuqman mengambil lajak di ruangan yang terbatas itu, dia cuba menendang pintu lif, berharap mereka akan terselamat! Dia tidak mahu mati di situ! Bajunya sudah di basahi peluh, usahanya tetap tidak berjaya. Nuqman melihat dirinya dan budak lelaki itu perlahan-lahan hilang nafas bila asap semakin memenuhi ruangan itu dan api semakin galak menjamah tubuh mereka!

‘Aku dah mati?’ hatinya berkata-kata sendiri. Cemas!

“Abang masih tak percaya?” teguran itu menariknya kembali ke dunia asal. Di sekelilingnya masih sama. Dia berada di dalam lif yang pintunya masih terbuka dan nombor 9 jelas terpampang di dinding itu.

Nuqman tercari-cari budak lelaki yang bersamanya tadi. Berpusing-puasing dia di dalam lif itu. Pintu lif pula tertutup kembali. Nuqman cemas. Apakah bayang yang dia tengok tadi akan terjadi pada dirinya? Jarinya pantas di alih menekan butang ‘G’ bila berkali-kali butang open ditekan tetapi pintu lif masih tidak terbuka. Lif meluncur laju hingga ke bawah.

Bila pintu terbuka Nuqman berlari laju. Kemana? Dia juga tak pasti. Apa yang dia tahu, dia mahu lari dari banyangan tadi. Di kejauhan dia ternampak Saiful sedang berjalan bersama seorang rakan serumahnya. Nuqman menghampiri mereka. Nuqman tak jadi hendak menegur bila dia terdengar perbualan mereka. Berkerut dahinya.

“Aku macam tak percaya bila kau cakap Nuqman dah meninggal, rasa baru je aku jumpa dia.” Ujar Amri. Sedih.

“Aku pun tak percaya. Tapi bila tengok sendiri mayat dia yang rentung tu… Allah, tak sanggup aku nak cerita. Dia tu rakan serumah aku Am, sebilik lagi.” Lirih Saiful berkata. Manakan tidak, dia dan Nuqman sangat rapat dari zaman sekolah lagi. Sungguh dia tak sangka Nuqman akan menemui ajalnya dengan cara begitu. Rentung di dalam lif yang terbakar!

“Wei korang! Apa kau orang cakap ni? Aku hidup lagi lah!” Nuqman berlari dan berdiri tegak di hadapan mereka berdua bagi menghalang mereka dari meneruskan perjalanan. Tetapi Nuqman terkejut bila dirinya ditembusi oleh mereka berdua. Terpinga-pinga dia di situ. Dia melihat-lihat dirinya. ‘Apa dah jadi dengan aku ni?’

“Sekarang, abang percayakan saya tak?” budak lelaki itu berdiri tegak di hadapannya sambil menghulurkan tangan ke arah Nuqman.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.