Home Cerpen Seram/Misteri Mawas
Mawas
Zhar Aruzi Hairi
20/12/2016 16:36:05
5,915
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

“Shoooooh..Shoooooh…...gi main tempat lain” Wan Usup menghalau sekumpulan budak-budak yang mengacau Awang. Beruk jantan yang berumur lima tahun itu lari memanjat ke atas pohon rambutan. Dahannya dibiarkan berjuntaian hingga ia terbuai-buai.Dia bermain pula di situ dengan menggentel dan memetik putik rambutan. Minah si beruk betina pula sibuk mengunyah kelapa tua yang dilempar Wan Usup tadi. Mujur budak-budak tadi tidak nampak dia di belakang reban ayam!.

“Huh!...Beruk ni bukan mainan!” jerkah Wan Usup lagi pada kumpulan budak-budak itu. Mereka berlarian sambil tertawa. Bukan apa, Wan Usup bimbang kerana sebelum ni pun Awang pernah menggigit kaki seorang budak lelaki yang mengacau dia. Budak itu mulanya mengacu-ngacu dahan kelapa sambil ketawa. Tidak semena-mena, Awang yang tidak ditambat ketika itu tiba-tiba mengamuk dan menggigit betis budak itu ketika dia cuba melarikan diri. Budak itu cedera parah dan Awang tidak pernah dilepas bebas lagi selepas kejadian itu.

“Tak pernah serik-serik budak-budak ni” getus Wan Usup. Matanya meliar mencari ke mana perginya beruk-beruk peliharaannya. Dia takut kalau-kalau ada yang terlepas dari tali yang diikat pada leher mereka.

“Harghh..harghhhh..” Jeritnya sebaik nampak Awang di dahan rambutan. Berdesup beruk itu turun dan berlari ke arah rumah kecil yang dibuat untuknya. Makhluk tu faham sangat arahan untuk dia balik ke sarang.



Jali membiarkan rambutnya yang panjang terbuai oleh angin petang. Sengaja tidak diikat ke belakang macam selalu. Tubuh kedingnya yang berotot pejal dingin dipupuk angin petang. Dia memang selalu tidak berbaju kalau membawa Kelubi mengait kelapa. Cuma kalau Pak Damin atau Haji Lutfi lalu, dia akan cepat-cepat mencapai baju pagoda di dalam raga motosikal. Takut benar dia kalau ditarbiah oleh kedua-dua orang lama itu.

“Haah! ..Hooh!...mu ambik hok tuo aja. Pulas cepat..Pulas..jange malas” Arahnya sambil memandang ke atas. Tali panjang yang berjuraian dari atas diikat pada pangkal pokok kelapa. Tangan-tangan kecil diatas pokok kelapa pula ligat bekerja memulas kelapa tua hingga jatuh. Sesekali beruk itu akan merengek menantikan arahan seterusnya dari Jali.

Kerja utama Jali adalah mengambil kelapa dengan beruknya. Selain bersawah padi, orang-orang kampung Anak Kupang juga mengusahakan tanaman kelapa. Ada yang menjual kelapa tua dan ada yang menghasilkan kelapa muda. Jali adalah antara orang muda yang sanggup untuk meneruskan kerja tradisi di kampungnya itu.

Orang kampung semuanya tahu kebolehan beruk Jali, Kelubi menurunkan kelapa. Seratus pokok kelapa pun boleh dikerjakan dalam setengah hari sahaja. Cepat sekali Jali dan Kelubi bekerja walaupun di bawah terik matahari. Kelubi juga kelihatan lebih sasa dari usianya yang baru menjangkau lima tahun. Dia diperolehi Jali dengan cara menjerat di belukar berdekatan kampung. Orang yang mula melatih dia memanjat kelapa pula adalah Wan Usup. Satu-satunya cikgu yang mengajar beruk di situ.


Seorang lelaki bermotosikal berhenti di tepi jalan. Dia melambai-lambai memanggil Jali. Setelah beberapa ketika, baru Jali perasan ada yang memanggil.

“Bakpo mu panggil aku Medan” Jali sampai dengan sebotol minuman di tangan. Diteguk air itu hingga menitis keluar dari mulut. Sempat juga dia menghilangkan dahaga.

“Aku nok sampaikan pesan ja. Orang kampung seberang dah mulo bising Jali. Mu bawak Kelubi ambil nyior sampai kampung diaorang. Lepah tu ambik harge muroh pulok. Rugi banyok tau budok-budok tu !!!” Hamdan bercerita bersungguh-sungguh.

“Buke aku nok gi sano. Pok Mail hok ajok aku. Aku bagi pun, hargo biaso ja”

“Mu jangan gi doh ke sana. Bahayo!” Pesan Hamdan. “ Puok tu tunggu maso ja nok hente mu”

Jali hanya mampu tersengih. Lensa matanya tertacap pada kelibat Kelubi yang masih tangkas bekerja.



Wan Usup menarik nafas panjang. Apa yang di dengarnya dari budak kampung Seberang tadi betul-betul memanaskan hatinya. Anak saudara itu harus diajar!

Motosikalnya ditanjak beberapa kali sebelum membingit seketika. Hala tujunya adalah ke rumah yang berada di hujung kampung. Rumah Jali!

Wan Usup melajakkan motosikalnya masuk hingga ke laman belakang rumah Jali. Dia boleh mengagak di mana pemuda itu berada.

Pemuda berambut panjang itu mulanya leka memberikan makanan kepada beruk peliharaannya. Tiba-tiba sahaja motosikal Wan Usup muncul entah dari mana. Orang tua itu pula turun dari motosikal dengan wajah menyinga.

“Bakpo Poksu tibo-tibo sampa sini. Telepon pun tidok!” Tegur Jali. Bekas makanan dilepaskan ke lantai. Dia tahu amarah itu Pak Sunya sudah tidak boleh ditahan-tahan.

“Sudoh! Sudoh la mu buat kerja gilo tu Jali. Buat kerjo-kerjo khurafat!.. Aku ko..Pok mu ko, tok pernoh buat lagu ni”

“Ambo buat gapo Poksu?”

“Mu bagi Kelubi tu makan gapo?”

“Err..”

“Bekas tu ado daging dan daroh kan..Mu bagi dio make benda tu..Kan” Jari telunjuk Wan Usup menunjuk kearah bekas makanan yang jatuh tadi. Titisan merah jelas kelihatan pada bekas itu dan tertumpah sedikit ke tanah.

Kelubi yang tadinya asyik mengunyah berdiri sambil menyingai siong dan giginya. Beruk itu tidak senang dengan kehadiran Wan Usup. Matanya tepat merenung kearah orang tua itu. Tubuh makhluk kecil itu bergerak ke kiri dan kanan dalam keadaan tidak selesa.

“Mu nampok tok, binatang ni doh jadi guano... Ilmu pujo semangat beruk tu baik mu tohok jauh-jauh. Syirik kalu mu menduakan tuhan tau.” Bebel Wan Usup. Jali terpaku di situ tanpa mampu berkata apa-apa.

“ Tempat ore lain cari make, mu jange usik. Puak kampung seberang tu tok pernoh pun date sini ambil upoh ambik nyior. Dia tahu ado saing di sini hok cari make samo denge dio… Blaja hormat ore sikit.” Sambungnya.

Jali malu untuk menjawab. Hatinya masih tebal untuk mengamalkan puja semangat pada Kelubi. Darah dan daging yang diberi makan pun untuk kebaikan beruk itu juga. Biarlah beruk kesayangannya itu lebih kuat dan pantas semasa mengambil kelapa. Ramailah nanti pekebun kelapa yang mencari khidmat dia dan kelubi.

“Mu dengar tak aku ghoyak gapo. Paham tak!!!” Tengking Wan Usup pada pemuda itu. Jali masih membisu.

Tatkala memusingkan badannya ke arah motosikal, Wan Usup merasa satu bebanan hinggap di belakangnya secara tiba-tiba. Satu cakaran yang menusuk menembusi ke daging belikatnya. Serentak dengan satu gigitan pula hinggap ke lehernya. Siong Kelubi hampir sahaja menembusi tenggorok Wan Usup.

“Kelubi..Doh..Doh…Doh..” Jerit Jali panik. Beruk itu meloncat ke arah pohon nangka berhampiran. Ia kemudiannya berdiri diatas dahan sambil menjilat sisa darah dari tubuh Wan Usup. Matanya masih membulat memandang tubuh lelaki tua yang masih terbaring kesakitan.

“ Beruk mu doh gilo daroh Jali..Bunuh dia sebelum dia bunuh mu” Bisik Wan Usup kesekian kalinya. Matanya tidak lekang dari memandang Kelubi yang masih merenung dari atas dahan pokok.



“ Nanti mu mari ambik nyior di ladang aku na.” Pak Tua Nayan bertemu Jali semata-mata mahu mendapatkan perkhidmatannya.

“Tok leh Pok Nayan, Banyok budak sano hok ado beruk kan. Maroh demo nanti” Dalih Jali. Dia masih teringat akan amaran Hamdan.

“Upoh puok dio mahal terlajok. Banyok mano pulok aku nok buleh kalu demo ambik upoh mahal. Mu toksoh runsing lo. Kalu demo bising ko mu, suroh puok dio tu jumpo aku.Ladang tu aku punyo, suko hati aku lo nok suruh sapo ambik nyior” Terang orang tu itu.

Jali mulai serba salah. Dia memang maklum, ladang kelapa Pak Tua Nayan adalah antara yang terbesar di kampung seberang. Lumayan upah yang dia akan dapat walaupun harga yang diletakkannya agak rendah.

Jali berfikir seketika sebelum membuat keputusan.



Jali tersenyum melihat Kelubi mengejar seekor tupai yang turun di tanahmengutip putik kelapa yang jatuh.Bedecit haiwan itu lari memanjat pohon berhampiran. Jali terus melaungkan lagu dikir anok tupai nyanyian Halim Yazid sambil bersiul. Sudah separuh dari keseluruhan pohon kelapa milik Pak Tua Nayan telah mereka ambil. Sebahagian lagi akan disambung esok kerana hari sudah melangkau senja.

“Senang hati nampok“ seorang lelaki berbadan tegap memegang leher motosikal Jali dan merampas kunci.

“Buleh banyok pitih ni. Sebab tu sena hati" Kawannya menokok. Mereka sama-sama tertawa.

Jali tidak senang dengan cara mereka bercakap dan memandang ke arahnya.

“masok kampung ore, biar beradat sikit. Jangan main redoh ja. Tanyo dulu budok-budok sini, buleh dok kalu nok ambik nyior di sini,,” Lelaki tadi menyeringai.

“Berapo pitih mu ado?” Lelaki kedua bertanya sambil melihat keliling Jali.

“ Pitih wat beli minyok muto ja hok ado..” Wang sepuluh ringgit diseluk keluar dari poket. Cepat-cepat lelaki kedua merampasnya.

“Pitih hasil nyior ni aku nok jugok” Tegas lelaki pertama. Jali mula berang.

“Mano buleh, Aku hok buat kerjo nih. Bakpo nok bagi ko mu nyo” Marah Jali. Dia sudah tidak takut apa yang mungkin berlaku.

“Gedebe kalu setaro ni Kamal” Lelaki kedua mengulas. Dia tersenyum.

“Budak kampung ni kan doh royak ko saing mu di kampung. Toksoh buat kerijo di sini kan. Bakpo mu tok ikut. Gedebe sangat ko” Marah lelaki yang bernama Kamal tu.

“Kalu nok tanyo gapo-gapo, gi jumpo Pok Nayan. Aku ambik upoh dari dio ja”

Lagi sakan ketawa Kamal. “Mu dengar tu Jaha!. Bengong jugok budok ni. Pok Nayan tu memang suko hok ambik upoh muroh. Sebab dio kedekut. Mu la hok caghi pasal sebab ambik upoh denge dio!!”

Kelubi yang dari tadi bermain-main di banir kelapa kini terdiam memandang ke arah tuannya.

“Mu hok buat onar di sini. Sekat rezki budok-budok sini!!!” Jerkah Jaha, rakan kamal.

“Aku ambil upoh ja. Sapo hok mari aku tulong belako!” Balas Jali dengan suara meninggi.

Satu das tumbukan menghenyak pipinya hingga dia terbaring. Darah menitis dari liang hidungnya.

“Gedebe la lagi” Jerit Kamal lagi. Dicekaknya leher baju Jali dan satu tamparan lagi dihala ke muka Jali. Bersemburan darah keluar. Dia belum berpuas hati. Satu tumbukan diulang ke rahang kanan pula.

“Berlagok mu belagok di kampong Oreghe..ha!!!” Balas Jaha dengan satu tendangan di perut. Jali terbaring dan mengaduh kesakitan.

Kelubi yang tadinya terdiam bingkas melompat apabila terlihat darah di tubuh tuannya. Jali menakung darah yang keluar dari hidungnya dan dilempar kearah mereka berdua. Berjejeran darahnya di rambut dan pakaian Kamal dan Jaha.

Kelubi yang tadinya tenang mula menggeram dengan bengis. Darah Jali jelas terbau pada kedua-dua lelaki itu. Bau seakan campuran daging dan darah yang selalu dijamu padanya.

Kamal dan rakannya saling berpaling apabila perasan beruk itu sedia untuk menyerang.

“Jago-jago beruk dio doh maroh tu!”


Kelubi melompat diatas belakang Kamal dan menggigit cuping telingannya. Menggelupur lelaki sasa itu menahan sakit dan menarik turun kelubi dari tubuhnya. Kuku Kelubi mencengkam keras kepala dan bahu lelaki itu. Kuku kaki dan tangannya ditusuk hingga ke dalam daging.

Kamal menjerit kesakitan dan menggapai rakannya meminta tolong. Siong Kelubi kini dibenam di pangkal leher Kamal.

Prapp!!!

Sebatang dahan kayu dilibas Jaha mengenai tubuh Kelubi. Tubuh beruk itu melayang ke tanah dengan tangan terkulai. Belum sempat kelubi mengangkat kepala. Satu lagi pukulan sampai ke kepalanya hingga terkulai.

“Mapuh Mu!!” Jerkah Jaha pada tubuh binatang yang menggelitik kesakitan.

Jali memerhati dengan linangan air mata. Dia nampak kesengsaraan Kelubi menahan sakit sebelum ajal.

“Mu ingat, jange maghi sini doh sampa bilo-bilo. Aku nampok mu lagi, aku hente” Kamal memberikan amaran sambil menahan kesakitan akibat lukan di telinga dan leher. Darah juga meleleh dari bajunya.

Jaha mencampakkan kunci motosikal Jali dan memapah Kamal ke arah kereta mereka yang dipakir tidak jauh dari situ.

Jali mengesot ke arah kelubi. Kakinya belum benar-benar bersedia untuk dia bangun. Rasa sakit menjalar ke seluruh tubuhnya. Hatinya tersentuh melihat kelubi yang mengelitik kesakitan dengan mata berkaca memandang ke arahnya.

Jasad Kelubi yang masih bernyawa diriba dan diusap lembut. Jali menyeluk poket dan mengeluarkan pisau belati kecil. Pangkal tapak tanggannya dihiris dan darah yang mengalir keluar dititiska ke mulut Kelubi. Mulut Jali terkumat-kamit membaca mentera.

Mata Kelubi perlahan-lahan terkatup rapat. Tangan dan kakinya longlai tidak bernyawa. Jali masih mengalunkan mentera dengan linangan air mata. Dia sebak kehilangan haiwan yang paling rapat dengan dirinya.

Jali merapatkan tubuh ke banir kelapa untuk berehat. Dia belum cukup kuat untuk bangkit. Tangannya mencapai botol air di raga motosikal. Air minuman itu ditogok sehingga puas sebelum disiram sedikit di kepala. Tubuhnya yang masih bisa-bisa kembali segar.



Grrrrhhh!!!!

Jali terkejut mendengar suara mengeram di sebelahnya. Sebaik berpaling, Kelubi sudah bangkit mendada dan merenung tajam ke arahnya. Cuma mata haiwan itu bertukar hitam sepenuhnya dengan renungan yang sangat menakutkan.

Kelubi melangkah ke kiri dengan gerak perlahan dan siongnya menyeringai. Jali masih berperasaan antara gembira dan takut. Gembira kerana Kelubi sudah bangkit, tetapi takut dengan kemungkinan lain yang mungkin terjadi.

Haishhh!!

Halau Jali sebaik perasan Kelubi cuba menjangkau kakinya selayak mahu mengambil makanan. Bintik-bintik halus peluh dari dahinya mula kelihatan. Jali yakin di hadapannya kini bukan Kelubi!

Jasad beruk itu telah bersatu dengan makhluk lain !!!!

“Mu nok gapo!” tanya Jali di sebalik kepakatan malam.

Makhluk di dalam tubuh Kelubi tidak bersuara. Sebaliknya menyeringai dengan semakin garang.

“Mu lapa..nok make aku ko?” Tanya Jali lagi. Kali ini dia mencapai kayu yang digunakan oleh Jaha untuk membunuh Kelubi tadi.

“Aku bunuh Mu sekali lagi!!” Jerit Jali sambil menghayun kayu itu ke arah Kelubi. Makhluk itu hanya tergerak ke belakang sedikit sebelum kembali berdiri gagah. Mukanya seakan mengejek tindakan Jali.

Terlintas dalam fikiran Jali pesanan Wan Usup “ Mu keno bunuh dio sebelum dio bunuh Mu..”

Kayu tadi dihala dan dihayun semula ke arah kepala kelubi.

Mudah sahaja Kelubi menyambut serangan itu dengan menahan dan menarik kayu itu dari tangan Jali. Kekuatan Kelubi kini sudah berganda dari sebelumnya. Jali dapat merasa tenaga seolah seorang lelaki dewasa yang sedang berhadapan dengannya. Kayu tadi dilempar Kelubi jauh ke dalam ladang kelapa.

Jali mula menggigil sebaik perasan yang tubuh Kelubi kini lebih besar dari selalu. Tubunya kini hampir menyamai saiz seekor orang hutan dewasa. Kukunya semakin panjang dan tajam. Dia juga faham yang haiwan itu sedang lapar. Dia juga tahu mawas itu bukan lawannya lagi.

Langkah Kelubi semakin merapat dengan Jali. Dari tadi mulunya sentiasa dingangakan dengan siong yang memutih tajam menghala ke atas. Angkuh.

Suasana ladang kelapa yang makin kelam mulai merungsingkan Jali. Dia tahu makhluk yang menghuni tubuh kelubi tidak akan mematuhi arahannya. Dan yang penting, dia juga faham yang jantungnya akan dirobek makhluk itu bila-bila masa. Hidangan itulah paling menyelerakan kerana mengambil jantung itu bersamaan meragut nyawa seorang manusia.

Rasa sesal mulai bersarang di minda Jali. Seorang demi seorang orang yang dia sayangi terlintas di fikirannya. Ada rasa hiba di sebalik ketakutan yang dialaminya sekarang. Sesalan yang sudah terlambat.

"Mu boleh ambik jantung aku denge syarat, Duo binatang hok bunuh kelubi dan hente aku harus terima balase yang samo..Harus matii.." ucap Jali sebelum tersedak. Serentak dengan itu mentera dibacakan lagi. Mawas itu berdiri memandang langit dan merengus kasar. Kemudian mereka bertentangan mata.

Serentak dengan itu, kuku tajam menembusi dada Jali. Darah memancut keluar dengan jantung yang masih berdegup ditarik keluar. Jali terbungkam menggelepar dengan dada berlubang. Matanya terbeliak dengan mulut ternganga luas. Azab siksa kematiannya memang tidak terperi!.



Kamal menongkat lehernya yang sakit dengan tangan. Lukanya dibalut hanya dibalut dengan kain yang dibasahkan dengan cecair basmi kuman. Walaupun bertubuh sasa, Kamal sebenar takut ke klinik. Hatinya masih tidak tenang dari tadi.

Gedegang!!!..

Ada benda besar yang meloncat keatas bumbung rumahnya. Mata semua yang ada terarah ke atap rumah.

"Apa tu bang?" Rosnah, isteri Kamal merangkul anaknya keluar dari buaian. Kanak-kanak itu menangis kerana terkejutkan bunyi tadi.

Kamal mencapai parang panjang yang terpampang di dinding. Dilibasnya parang pusaka itu ke kiri dan kanan sebelum menuju ke ruang tamu.

Bunyi beruk yang bersahut-sahutan jelas kedengaran. Derap langkah diatas bumbung pun jelas kedengaran hingga atap-atap yang dipijak boleh kelihatan berlekuk. Semua penghuni rumah dapat merasa gegaran kecil sebaik atap-atap dipijak.

"Astagfirullahhalazim.." Rosnah beristigfar sambil memeluk lagi dua orang anaknya yang sama-sama ketakutan.



Kamal melangkah keluar di pintu hadapan dengan parang panjang terhunus. Dia berjalan hingga ke halaman rumah.

"Kalu berani, Mu turun sekarang" Jerkah Kamal dengan kepala meliuk melihat keatas bumbung rumahnya.

"Iblis..mu segaja nok cari pasal dengan aku" sambungnya lagi. Bunyi kera yang saling bersahutan sahutan semakin jelas.

Dbukkkk!..

Suatu objek dilempar dari atas bumbung. Kamal melihat tulang tangan manusia dengan daging bersisa di tengah halamannya. Bulu tengkuknya meremang dengan rasa takut yang menyiarap hingga ke kepala.

Kamal melibas-libas angin selayak orang hilang akal. Rasa sakit akibat luka pada leher dan kepala hampir hilang begitu sahaja. Langkah-langkah silat yang pernah dituntutnya mula dibuka satu persatu. Kamal tahu apa yang mahu menyerangkan itu bukan main-main.

Hiarghh!!

Kamal membuka bunga silatnya sambil berteriak. Satu objek seakan kera melayang dari atap rumahnya ke pohon mempelam yang berhampiran. Sebaik disimbah cahaya lampu jalan, Kamal melihat dengan jelas seekor beruk bertaring panjang sedang menuruhi pohon mempelam itu. Dia menghunus parang tanda bersedia.

Makhluk itu pantas berlari ke arah Kamal sebaik kakinya mencecah tanah. Jeritan dan dengusan kasarnya jelas kedengaran. Cepat benar beruk itu berlari!

Kamal menghunus parang dan bersedia untuk menikam..

Zupppp!!

Parang itu menusuk masuk ke dada makhluk itu. Bergema bunyi haiwan itu menahan sakit. Gerakan haiwan itu yang tidak menentu menyebabkan parang terlucut dari tangan Kamal dan kekal melekat pada haiwan itu. Selepas berdegus beberapa ketika, mata haiwan itu kini bertentangan dengan Kamal.

Hati Kamal berdegup kencang. Belum pernah seumur hidupnya berhadapan dengan lawan seperti ini. Langkah demi langkah yang diaturnya mulai sumbang kerana gugup. Dia tidak menyangka makhluk itu masih mampu bertahan dengan parangnya masih tercacak di dada. Mata makhluk yang hitam itu tidak putus-putus merenung ke arah Kamal dengan riak marah. Sesekali ia menyeringai siongnya dengan lagak angkuh.

“Mungkin malam ini malam terakhir dalam hidup aku” terdetik ungkapan itu dalam hati Kamal. Tenaga yang dia ada semakin berkurangan untuk dia berhadapan dengan mawas itu.

Bunyi kera yang bersahut-sahutan masih belum habis. Kamal yakin apa yang berlaku ada kaitannya dengan apa yang dibuat terhadap Jali dan beruknya.Sudah terlambat untuk dia menyesali tindakannya itu.

Grrrrhhh…

Mawas itu mula menyerang lagi. Kamal hanya mencari ruang untuk mengelak. Dan kalau berpeluang, dia akan melarikan diri. Dia bimbang kalau tindakannya itu menyebabkan makhluk itu beralih untuk menyerang isteri dan anak-anaknya pula.

Tangan mawas itu pantas mencapai tenggorok Kamal sebelum dia sempat mengelak. Tubuhnya dibanting keatas sebelum dihenyak ke tanah. Lagak seperti aksi gusti sahaja gerakan dari makhluk puaka itu. Berderap bunyi tulang selangka Kamal yang patah riuk. Terbuntang biji matanya dengan mulut ternganga menahan sakit. Dia sudah tidak mampu bergerak pantas lagi.

Mawas itu berpusing-pusing mengelilingi Kamal yang kini terbaring dan hanya mampu mengesot. Darah mulai keluar dari mulut dan hidung lelaki itu. Lagaknya pula seakan meminta belas kerana tidak mampu lagi untuk berbuat apa-apa.

Arghhhh!!!!

Jeritan akhir Kamal kedengaran hingga ke hutan berhampiran. Rosnah yang tadinya menyorok di dalam bilik keluar bersama anak-anak untuk melihat apa yang terjadi pada suaminya.



Jaha masih cemas kerana peristiwa siang tadi. Kalau hal ungut mengugut ni, biasa bagi dia. Bergaduh pun masih boleh diterima. Tapi kalau membunuh, dia tak sanggup untuk sampai ke tahap itu.

Cerita kematian Jali sudah sampai ke telingannya tadi. Yang dihebohkan orang ramai adalah kerana kematiannya begitu menggerikan. Tangannya terputus dan hilang dari badan. Jantungnya pula dirobek dan dilarikan sesuatu. Apa yang berlaku betul-betul mengganggu fikiran Jaha.

Telefon Kamal juga tidak terjawab dari tadi. Puas dia menelefon dan menghantar mesej, namun satu pun tidak berjawab. Jarang sekali sahabatnya itu meninggalkan telefon dimana-mana. Sekurang-kurangnya dia akan membalas teks mesej sekiranya berhadapan hal penting.

“Bakpo mu mace kucing nok beranok nih?” Teguran Ayahnya mengejutkan Jaha. “Mu buat saloh gapo pulok ni”

“ Tak dok gapo-gapo Ayoh!” Jawab Jaha. Dia takut benar kalau Ayahnya dapat mengetahui perbuatan jahatnya.

“Ayoh nok gi mano?”

“Nok gi tempat oreng jumpo mayat tadi” Balas Ayahnya. Orang tua itu menuju ke arah motosikal yang diletakkan di halaman rumah.

“Ikut buleh”

“Cepat..”



Motosikal yang dibawa Haji Zain, bapa Jaha menyusuri lorong kecil di dalam ladang Kelapa itu. Dua tiga orang dipanggil oleh penghulu, termasuk Haji Zain untuk membantu pihak polis menyiasat ke kematian di ladang kelapa kampung mereka. Jaha melentok mengikut riak motosikal yang dipandu Ayahnya dengan kelajuan sederhana.

“Apa bendo tu Ayoh?” Tanya Jaha sebaik perasan ada sesuatu yang bergayut pada pokok kira-kira seratus meter dari mereka.

“Hah!..Aku doh kato, jange tegur bendo-bendo hok nampok dale hute ni..” Rungut Haji Zain. Dia pun mulai merasa kurang senang dengan penampakan di hadapannya. Bulu romanya mulai meriding. Mulutnya mulai membaca ayat-ayat al-quran yang dijadikan pendinding dari makhluk halus.

“berenti ayoh. Bahayo lalu bowoh benda tu” Jaha cuba mengingatkan Ayahnya.

“aku tau la”

Haji Zain memberhentikan motosikalnya kira-kira dua meter dari pokok yang dihuni makhluk tadi.

“Mawas tu, khijo sapo ni, buat bendo khurafat.?” rungut Haji Zain sebaik mengecam makhluk yang sedang menunggu mereka diatas pokok. Dia menongkat motosikal di birai jalan. Tasbihnya dikeluarkan dari poket.

“Mu tunggu tepi moto. Jange buat gapo-gapo” Pesannya pada Jaha yang masih melangut memandang keatas pokok.

Haji Zain melangkah betul-betul di bawah pokok. Tasbihnya dibilang mengikut jumlah zikir yang diucapkannya.

“Mu tunggu aku ko!” jelas kedengaran perbualan Haji Zain dengan mawas itu. Namun mata makhluk itu tertancap pada Jaha.

“Mu nok anok aku!”

Sepihan daging dicampak ke arah Haji Zain, sebelum mawas itu melompat ke pokok yang semakin hampir dengan Jaha. Nyaris sahaja mengenai tubuh Haji Zain.

Haji Zain membaca ayat Qursi dan tiga Qul sebagai pendinding. Dia dapat merasakan Jaha merupakan sasaran makhluk itu.

“Mu baco ayat Qursi tujuh kali Jaha” Jerit Haji Zain pada Jaha yang termanggu-manggu. Dia terkejut melihat makhluk yang menyeringaikan siong ke arahnya.

Huh!!!

Acah makhluk tersebut yang memanjat turun dari pohon. Bunyi kera yang bersahut-sahutan yang datangnya entah dari mana.

“Bendo ni mungkin ado kaitan dengan mayat Jali!” Fikir Jaha. Walaupun terkumat kamit membaca seperti yang diarahkan ayahnya, dia masih ketakutan. Ayahnya turut menghala pandangan ke arah makhluk itu dari jauh.

Makhluk itu menjerit marah apabila gerakannya untuk menghampiri jaha gagal. Seakan ada benda yang menahan dia dari menghampiri pemuda itu.

Grrrhhhh!!! Laungan mawas itu disahut oleh bunyi-bunyi kera yang boleh didengar hampir ke seluruh hutan. Kali ini bumbung hutan seakan bergegar kerana adanya makhluk-makhluk yang bergayutan dari pokok ke pokok. Semua yang datang menuju mawas yang sedang menanti untuk menyerang Jaha.

Haji Zain tidak tenteram sebaik mendengar bunyi-bunyian kera yang semakin banyak. Dia tahu serangan makhluk itu akan membuahkan hasil yang buruk. Bukan semuanya boleh dihalau dengan ayat-ayat ak-Quran. Dia tidak mahu anak lelakinya itu terkorban di hadapan matanya.

“Start moto Jaha..” Jeritnya segera.

Jaha memanjat motosikal dan segera menghidupkan enjin. Bergema bunyi motosikal yang dipulas throttle minyaknya itu berkali-kali.

“Cepat mu pergi caghi Wan Usup kampung sebelah. Mintok dio tulung.”jerkah Haji Zain.

“Ayoh mace mano pulok.”

“Aku tok gapo-gapo. Dion ok ko mu ja..” jawab Haji Zain.

Jaha menghalakan motosikal ke jalan besar. Mawas tadi turut pantas mengekorinya dari dalam hutan.



“Pok Wan..Pok Wan..” Jerit Jaha kearah kumpulan orang ramai yang berkumpul di rumah Jali. Masing-masing membuat persediaan untuk mengebumikan mayat lelaki malang itu.

Wan Usup keluar dari celah-celah orang ramai.

“Bakpo denge mu ni?” tanya dia.

“Ade kero hambat ambo… Pok Wan” Jawab Jaha termengah-mengah.

“Huh..!” Wan Usup nampak dari kejauhan seekor mawas sedang memandang tepat ke arah mereka.

“Jauh sangat sesat mu ni Jali. Sampa ado jelmaan ni” Luah Wan Usup. Dia dapat mengagak asal usul makhluk yang dilihat tadi.

“Mu pegi mandi. Dia ikut bau darah di badan mu tu?” Kata Wan Usup. “Jaga-jaga, jangan sampai benda tu masuk mandi sekali dengan mu”

Cepat-cepat Jaha menongkat motosikal dan berlari ke arah rumah Jali.


“Tok selesai kalu mu tunggu kat situ” Cabar Wan Usup pada mawas itu. Itu bukan lagi Kelubi yang menyerangnya dulu. Waktu itu, dia bersabar kerana mahu memberi peluang kepada Jali untuk bertaubat. Kalau Kelubi masih hidup, peluang untuk membuang makhluk itu lebih tinggi.

“ Mu jangan main-main dengan nyawa manusio. Aku tahu yang jadi pado Jali tu, mu yang buat..kan”

Mawas itu mengagguk-ngangguk kepala seakan faham.

“ Aku nok mu tinggalkan budok tu. Pegi jauh-jauh.. dio tok kacau mu pon”

Mawas itu tetap berkeras menunggu di situ. Matanya terarah ke rumah Jali,tempat Jaha mendapatkan perlindungan.



Jaha berjalan ke bilik air di belakang rumah untuk mandi. Kain tuala dipinjam dari tuan rumah sebentar tadi. Lampu dinyalakan sebelum dia masuk. Perasaan gementar masih lagi terasa. Tambahan pula berada di rumah yang menempatkan mayat Jali.

“Mu mari jugok rumoh aku!” Suara di hujung bilik air yang samar-samar kedengaran jelas di telinga Jaha.

Belum sempat dia berpaling untuk membuka pintu dan keluar, susuk berbulu sudah ada di pintu, menyeringai marah. Cuma kali ini hanya sebesar kelubi dengan mukanya berbulu seakan roman Jali. Kalau dilihat betul-betul seakan Jali telah bergabung dengan Kelubi.

Jaha terjatuh ke belakang kerana lantai di bilik air agak licin. Kedatangan makhluk itu secara tiba-tiba membuatkan dia berasa hampir pitam.

Darah kelihatan masih mengalir dari makhluk itu. Ia memijak kayu di dinding sebelum meniti birai kolah air untuk ke arah Jaha.

“Bakpo mu cari aku..” Tanya Jaha terketar-ketar.

“Mu hok ambik nyawo aku…” Makhluk itu terkekeh-kekeh. Hampir sahaja Jaha terkencing mendengarkan suara kera yang kasar dan menakutkan itu.

“Mu nok buat gapo?”..

“Hehh..he..he….”



“Mano Jaha?” Wan Usup bertanyakan mereka yang berada di situ.

“Tadi nampok dio gi belake rumoh” seorang pemuda memberitahu.

“Mu ikut aku” arah Wan Usup yang menuju ke arah yang ditunjukkan tadi.

“Jaha..Jaha..” Pintu bilik air diketuk Wan Usup. Tiada sebarang suara menyahut dari dalam.

“Mu bagi pecoh pintu ni” Arah dia kepada pemuda yang diajak tadi. Dengan sekali hentak sahaja pintu itu terbuka.

“Jaha!”


Jaha mengikut Wan Usup dari belakang. Cuma dia kini berjalan mengerekot seakan seekor beruk. Suara yang keluar pun hanya hilaian suara haiwan itu. Lagaknya seakan anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Dunia manusianya baru sahaja berakhir.


“Jaha! Bakpo mu panjat pokok tu. Turun !!!!!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.