Home Cerpen Cinta Calon Suri No. 2
Calon Suri No. 2
Zhar Aruzi Hairi
12/12/2016 13:22:44
5,458
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Restoran di depan mata nampak sunyi. Cuma sesekali kelibat seorang dua pelayan lalu sambil menatang dulang minuman. Dari jauh kelihatan dua deretan meja yang dihias dengan alas meja merah dan bunga ros sekumtum di dalam pasu hiasan lutsinar. Setiap meja juga diletakkan satu brocure, sehelai kertas beserta pen. Nampak seakan ada satu majlis khas.

Nuha hanya memerhati dari luar cermin. Sempat juga dia membetulkan tudung dengan melihat biasan wajahnya di dinding kaca. Muncung atas tudungnya ditegakkan sedikit ke atas. Make up dan bajunya masih didapati sempurna. Cuma hatinya masih lagi berdebar-debar!.

Sampai saat ini pun dia masih berbelah bagi. Tapi, Inilah satu-satunya tindakan dia boleh ambil setelah jodoh yang dinanti-nantikan tak kunjung tiba. Nak dikata memilih, tak juga. Kat emak dan ayahnya pun dah dikongsikan, minta mereka carikan calon. Pada kawan-kawan pun sama..di office ke, di facebook ke,…semua dah dapat hint dia nak cari calon. Tapi respon , semuanya masih sepi. Tapi Umur dia makin meningkat !.

“Biar malu sekarang, daripada tua nanti hidup sorang-sorang!!” Tegas Nuha dalam hati.



“Hah! Tak masuk lagi” Jerit Hanan yang muncul entah dari mana. Hampir saja Nuha melatah. BFF ni tak berapa boleh diharap, tapi selalu ada bersama.

“Hey! Jangan takutkan orang boleh tak. Dah la tengah nervous ni. … Ingatkan tak datang tadi!” Getusnya.

“Aku dah janjikan. hujan ke, ribut ke, tsunami ke..Aku gerenti akan tetap terpacak kat sini” Jawab Hanan dengan muka poyonya.

“Orang ke traffic light kau ni?” Tegur Nuha melihatkan pakaian sedondon Hanan yang berwarna warni.

“Biar la. Dah taste aku macam ni...Jom gi daftar dulu” Nuha menggeleng tapi tersenyum.

Lantak kau la Hanan!

“Ah..segan la pulak rasanya” Terkeluar juga ungkapan itu sebaik Nuha memegang gagang pintu.

Come on..kau jugak yang selalu merungutkan..Tak ada orang nak la..sumpahan keturunan la.. Nah! Kita dah sampai ke tempat untuk selesaikan masalah kau ni” Bentak Hanan. Meluat juga dia dengan sikap Nuha yang selalu berubah pendirian. Dia menolak daun pintu.

“Kau join sekali kan?”

“Iyaa.Borang pun aku dah isi, yuran pun dah bayar...tapi aku join untuk test market je tau…Cari pengalaman!” Hanan mencebik.

Tangan Nuha ditarik memasuki restoran.



“ Datang untuk speed dating kan?” Pelayan berbaju hitam di kaunter depan bertanya. Kedua-duanya hanya tersenyum. Pelayan itu menghalakan ibu jari menunjukkan arah ke kaunter pendaftaran di meja bertentangan. Kelihatan dua petugas ada di situ. Mereka berdua melangkah kea rah yang ditunjukkan.

“Dah faham senario yang akan berlaku masa event nanti” Tanya perempuan bertudung di meja pendaftaran.

“Ada baca dalam web, tapi masih tak berapa faham” Jawab Hanan.

“Senang jer sebenarnya. Sekejap lagi kitaorang akan bagi briefing. Cuma cik kena ingat, Setiap orang ada masa dua minit untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dari pihak lelaki. Dengar bunyi loceng jer kena tukar tempat duduk.” Pesannya lagi. Mereka mengangguk faham. Sambil menunggu, mereka berlegar-legar sekitar restoran.

Nuha dan Hanan mengambil jus oren yang disediakan. Tekak yang kering perlu dibasahkan juga. Selesa sikit untuk mereka berbual nanti. Mata Nuha meliar memerhati calon yang datang. Rata-rata nampaknya dari kaum ibu. Hampir 70 peratus. Yang lelaki hanya beberapa orang sahaja. Malu agaknya!.

Mungkin betul kata orang. Orang perempuan sekarang lebih ramai dari orang lelaki.

Hanan dari tadi cuba bermain mata dengan lelaki berkumis nipis yang hanya memakai kemeja berkolar bulat. Nampak agak selekeh tapi memakai jam tangan Gucci. Dia kelihatan takut-takut apabila perasan reaksi Hanan. Maklumlah, roman muka Hanan yang cute tu masih ada ciri-ciri seorang psiko.

“Target aku nak dapat nombo mamat baju merah tu jer” Tunjuk Hanan pada Nuha. Nuha yang malas untuk melayan hanya tersenyum mengejek.



Nuha dan Hanan segera ke tempat yang disediakan tadi apabila dipanggil untuk briefing. Semua peserta pun turut ke situ. Briefing dibuat selama lima minit.


“Dah faham semua. Kalau ada soalan tanya sekarang. Nanti masa event berjalan, kami dah tak layan” Tanya fasilitator perempuan yang ditugaskan memberi penerangan.

“Boleh selfie tak masa event nanti?” Tanya perempuan yang memakai blouse merah. Dressing dan make up seakan mahu ke red carpet.

“Kami tak benarkan selfie. Privacy peserta lain kena jaga. Kalau nak gambar boleh didownloaddi website nanti. Apa-apa catatan boleh dibuat atas kertas yang kita sediakan. Ada lagi soalan?”

Masing-masing diam dan menunggu.

“Ok. Kita mulakan sesi pertama sekarang” Umum penganjur.



Nuha berhadapan dengan lelaki gempal yang memakai cermin mata. Sekali pandang nampak macam mamat nerd!

“Hai. Saya Amran. Umur 28 tahun. Kerja sebagai programmer” Lelaki itu memperkenalkan diri. Nuha kekwat. Pertama kali dia bertentang mata dengan lelaki macam tu. Lelaki yang banyak tersengih dari bercakap.

“Hai. Saya Nuha, Nur Nuhanis. Umur 27 Tahun. Kerani” Dia membalas. Patah perkataannya itu tidak terbalas.

Suasana sunyi seakan malaikat lalu.

Lelaki di hadapannya hanya tersenyum dengan pandangan mata yang tajam. Tiada sebarang perbualan.Nuha turut mati untuk berkata-kata. Masa dua minit itu dirasakan terlalu lama.

“Macammana saya nak contact awak?” Terpancul ayat dari Amran sebaik dia perasan masa sudah hampir tamat. Nuha cepat-cepat bangun walau loceng belum dibunyikan. Dia sempat menjeling Hanan sedang bergelak sakan dengan jejaka yang dia harapkan tadi. Macam di kedai mamak sahaja lagak BFFnya itu.

“Kita rehat sekejap!” pihak pengajur memberhentikan masa setelah habis lapan sessi. Ada peserta yang kelihatan sudah stress. Ada yang mahu ke tandas.



Nuha mencuit Hanan yang masih bercerita walau masa rehat diberikan.

“Woi, jom ikut aku” Pinta Nuha. Jejaka di hadapan Hanan hanya tersenyum.

“Nanti kita sembang lagi ya Jamal” Pesan Hanan sebelum mengekor Nuha ke tandas.

“Kau ni dah kenapa? Aku baru je nak mesra dengan mamat tu”

“Berani sangat la kau! Entah-entah tu pembunuh bersiri baru kau tahu” Ugut Nuha.

“Oh..kalau dia pembunuh bersiri. Biarlah dia merobek hati ini hingga ke Jannah..” Balas Hanan penuh drama.

“kau ni, dah makin mengada-ngada ek!”



Nuha sudah semakin rimas. Semakin lama dia makin menyampah dengan perangai lelaki-lelaki yang ditemuinya. Ada yang miang, ada yang psiko dan ada yang entah apa-apa. Semuanya langsung tidak menarik perhatiannya. Kini, tinggal seorang sahaja lagi peserta yang dia perlu jumpa.

“Saya Khad, Khaidir. Kerja sendiri” Lelaki terakhir ini nampak lebih bertamadun. Pakaiannya kemas dengan rambut tersisir rapi. Masih bersantun semasa berbual.

“Saya Nuha” Nuha memusingkan biodatanya itu dibaca oleh Khad. Malas dia mahu berbahasa lagi. Biar lelaki tu membaca terus dari kertas itu.

“Dah letih ke”

“Hmm…”

“Dah jumpa orang yang awak suka?”. Geleng.

“Nanti awak kena list down tau pilihan awak, Macam yang fasilitator tu cakap masa briefing” Khad berbicara jujur.

“Tak kuasa saya nak layan. Tak ada yang saya minat la. Buang masa saya je” Nuha berterus terang.

“Saya pun awak tak suka?”. Nuha mengangguk. Khad tersenyum.

“Kenapa senyum?” Nuha terasa diperlaku sebegitu.

“Saja”

“Awak nak cakap yang saya ni fussy sangat kan?”

“Tak. Saya tak cakap apa pun. Takkan kita nak habiskan sessi ni dengan bertengkar kot!”

“Habis..kenapa senyum?”

“Saya senyum sebab saya pun sama macam awak. Still tak jumpa perempuan yang saya minat pun dari tadi, kecuali..”

“Kecuali apa?”

“Kecuali kalau awak masukkan nama saya dalam list tu. Saya pula masukkan nama awak.Thenselesai masalah kita. Kan...”

“Kenapa saya nak kena buat macam tu pulak?”

“Sebab kalau awak tak ada calon. Awak kena join eventyang akan datang pulak…sampai awak jumpa jodoh..Awak dah bayar kan?”

“Saya nak cancelkan sahaja. Mana boleh paksa-paksa orang?”

Cancel tu boleh. Tapi payment awak takkan dipulangkan. Rugi kan. Lagipun awak kena bagi sebab yang kukuh untuk tidak ikut lagi sessi akan datang”

“Ah..leceh la”

Nuha bangun selepas mencatat sesuatu pada kertas di hadapannya.

“Siapa yang paling awak tak suka?” Dia sempat bertanya.

“Kena jawab ke?”.

Nuha mengangguk nakal.

“Awek yang pakai blouse warna warni, yang banyak cakap tu”

“Cik Hanan tu…Dah agak dah!”



Suasana di pejabat mulai riuh setelah En. Daud memberitahu Puan Laila yang dia tidak masuk pejabat sebelah petang. Semua yang ada kini santai sambil bekerja. Masing-masing mula ambil kesempatan. Masa nilah nak buka katalong atau nak edarkan sample. Ada yang dah mula main game. Puan Laila sempat lagi membuka booth tudung di kaunter hadapan.

Nuha hanya memerhati. Dia sudah masak dengan perangai hikpokrit rakan-rakan sepejabat. Makin lama boss tak ada, makin naik lemak mereka semua. Kalau diikutkan hati, mahu saja dirakam di dalam telefon pintar dan dihantar kepada En. Daud. Bila mengenangkan rakan-rakan sepejabat yang sama-sama berkongsi susah dan senang, dia pasrah. Bukan selalu pun!.

“Kau baca mesej ni?” Hanan menghampiri Nuha dengan telefon bimbit di tangan.

“Dia ajak kau keluar?” Balas Nuha sebaik membaca. “Mamat yang mana ni?”

Hanan menggerakkan jari telunjukknya kearah gambar profil pengirim. “Kenal tak!”

“Eh, Tu kan mamat yang kau minat tu kan. Tahniah!. Hari tu kau kata main-main jer”

“He..he…entahlah..Aku rasa macam nak menjadi jer dengan mamat ni. Kau pulak, apa perkembangan”

“Ada juga sorang mamat tu tanya khabar. Tapi setakat tu je kot. Dia pun macam main-main jer”

“Sabarlah. Kalau jodoh tu..tak kemana”



Teet..teet..

Nuha mengambil telefon bimbitnya dan membaca.

“Kat mana?” Mesej itu datangnya dari khad.

“Ofis. Kan waktu bekerja sekarang”

“Saya belanja dinner boleh ?, malam ni”

“Kat mana?”

“Awak pilih tempat.”

“Saya bawa kawan boleh?”

“Boleh, Tapi bersyarat”

“Apa syaratnya?”

“Kawan awak tu kena pekak dan buta”

“Kenapa sampai macam tu?” Nuha mulai tersenyum.

“First, saya taknak tertarik kat dia. Second, saya taknak dia dengar dan kongsi berbual dengan kita”

“Kira dating la ni!”

“Nak kata macam tu pun..boleh!. Jadi tak”

“Huh..Jadi la.” Jawab Nuha dengan senyum simpul.



Khad berdiri di sisi meja sebaik Nuha sampai. Dia tersenyum.

“Kata sorang?” Tingkahnya sambil mengerling pada Nuha.

“Sorang la ni!”

“Tu, budak yang pakai kain langsir tu, siapa?. Dari tadi mengeling ke sini” Khad menunjuk ke arah Hanan yang duduk berseorangan di meja hujung.

“Hu..hu..Dia nak ikut sangat tadi. Tapi saya janji dia takkan kacau kita”

“Dah bawak tu, ajak la dia join sekali. Kesian pulak!”

“Eh! awak Ok ke dia join sekali? Kalau ikutkan, kawan saya tu hampir-hampir dapat status OKU. Perangai dia memang macam kat event hari tu.”

“Ajak je la. BFF awak juga kan” ujar Khad.

Nuha melambai tangan memanggil Hanan.



“Aduh!!!” Hanan menjerit sebaik mencapai gelas fresh oren keduanya yang dihantar pelayan. Kakinya terasa dipijak. Nuha menjeling tajam.

Buruk sungguh perangai housematenya tu! Makan tak berkira-kira kalau orang belanja.

“Kenapa ?” Khad tertanya-tanya. Nuha masih sempat menyiku perut Hanan.

“Tak de apa-apa. Tersepak tiang” Hanan berhelah. Dia tahu Nuha tengah berapi sekarang.

“ Khad kerja apa?” Pertanyaan Hanan membuatkan mata Nuha berkalih kepada Khad.

“Kerja sendiri”

“ Banyak jenis kerja sendiri ni. Buat consultant ke, meniaga ke..”

“ Saya buat home dekor dan mengajar tuisyen “

“Padanlah kalau awak couple dengan Nuha, dia pun kerani jer” Jawapan Hanan membuat Nuha hampir tersedak.

“Tak kisahlah kerja apa pun. Janji halal kan” Khad tesenyum sambil menyuap chicken chop ke mulut.



“Sebenarnya saya ajak awak ke sini, ada hajat sebenarnya” Ucap Khad sebaik mereka semua menghabiskan makanan. Hanan hanya mendiamkan diri kali ini.

“Hajat apa?”

“Saya nak masuk meminang awak !”

“Hah!” Hanan hampir menjerit tapi cepat-cepat dia menutup mulut. Matanya membulat menanti jawapan Nuha.

“ Kita pun belum benar-benar kenal pun. Cepat sangat ni” Ujar Nuha yang masih terkejut. Mujur juga Khad memberitahu. Kalau dia datang meminang tiba-tiba, lagi haru biru.

“Saya memang nak cepat. Masa yang saya ada suntuk sangat!”

“Kenapa..Khad ada penyakit ke? Ke nak ke oversea?” Teka Hanan. Mulutnya sudah tidak boleh ditahan-tahan. Nuha membulatkan mata lagi.

“ Permintaan keluarga. Diaorang mahu saya segera bernikah”

“Cuma satu lagi saya kena tanya. Sanggup tak awak bermadu?”

“Hah? Apa?” Kali ini Hanan meninggi suara. Pantang bagi dia kalau lelaki yang beristeri bermain kayu tiga. Nuha terdiam seketika.

“Lelaki macam ni la yang banyak merosakkan rumahtangga. Bini dah ada di rumah, sanggup cari lain” Kali ini Nuha membiarkan sahaja Hanan meletup. Mulut kawannya tu memang tak berlesen. Sejujurnya, dia sendiri terkejut dengan pengakuan Khad.

“Saya tak paksa” Khad cuba berbahasa. Marah tidak, terkejut pun tidak. Dia masih selamba seperti tadi.

“Kalau dah kerja tu cukup-cukup makan, jaga bini kat rumah sudahlah. Jangan pandai-pandai nak kacau anak dara orang. Dah la Nuha.. Jom kita balik. Nasib baik aku join. Kalau tak kau dah kena guna-guna dengan laki orang ni agaknya..” Marah Hanan sambil bangun dari kerusi. Nuha tidak mampu berkata apa-apa. Dia mengekor sahaja sebaik tangan ditarik Hanan.

Khad masih tercegat di meja sambil tersenyum!.


“Melampau sangat, mentang-mentang la kau bujang. Berani sungguh dia ajak” Hanan masih belum berpuas hati. “Aku rasa dia sengaja join speed dating tu untuk mencari mangsa. Mujur aku langsung tak tertarik kat dia”

“Sudahlah tu. Kan kita dah sampai rumah ni!” Bentak Nuha. Jelas tergambar kekecewaan di wajahnya.

“Nasib kau la Nuha. Ada orang minat pun laki orang!” Ujar Hanan melihatkan Nuha memasuki bilik.



Teet..teet..

Nuha melihat mesej Whatapps yang masuk sambil mengesat air mata.

“Saya minta maaf!” ungkapan dari Khad.

Dia bercadang tidak mahu membalas. Luka hatinya tadi masih terasa.

Apabila mengenangkan lelaki itu mungkin akan mencari mangsa lain. Nuha berubah hati. Lelaki ini perlu diajar. Dia akan Layan apa mesejnya dulu. Kemudian dia akan simpan semua mesej yang masuk, Kalau perlu, nanti dia akan mengungut untuk diviralkan di internet.

“ Tak perlu minta maaf pun. Kuota lelaki kan empat” Balas Nuha mengumpan.

“Terima kasih sebab faham. Saya tak memaksa”

“Berapa ramai yang awak dah try?”

“Tak ada. Saya tanya awak sorang jer” Nuha mencebik. Dia yakin lelaki itu berbohong.

“Sebab apa saya?. Sebab saya yang paling mudah ke?”

“sebab hati saya yakin awak sahaja yang boleh tolong saya”

“Ni kes nak anak la ni. Isteri tak boleh nak beranak. Macam tu!.. Dah pergi jumpa doktor ke?” Tekaan Nuha semakin kasar, Dia dapat merasa Khad cuba mengumpan perasaannya.

“ Sebenarnya…” Tulisan panjang dari Khad belum sempat dihabiskan. Nuha terus menyambung.

“Saya dah faham sangat perangai lelaki macam awak ni. Ego. Tak cukup dengan yang satu.... Sepatutnya saya dah buat report dekat pengajur speed dating tu, biar dia haramkan awak dari join sampai bila-bila. Nanti saya akan viralkan muka awak di media sosial dan cerita semua hal awak...... Saya akan buat kalau awak still macam ni lagi. Faham tak!!!!” Tegas Nuha dengan menaip di skrin. Hatinya berasa puas kerana terluah apa yang terbuku dihatinya.

“Saya minta maaf..” Ayat terakhir dari Khad sebelum talian internetnya benar-benar diputuskan.

Nuha tersenyum puas.



Fail di hadapannya dilihat berbalam-balam. Pandangan matanya pula sekejap cerah, sekejap gelap. Jalannya pula terhoyong hayang. Nuha berasa mahu pitam.

“Kenapa kau Nuha?” Pertanyaan dari Hanan antara dengar atau tidak sahaja di telingannya.

“Kau rasa nak pitam ker? ” Itu sahaja perkataan yang muncul dari bibir Hanan. Tuala basah digunakan untuk mengelap muka kawannya itu.

“Apa dah jadi dengan kau ni?” Soal Hanan lagi.

“Tak tahu la. Sejak dua tiga hari ni, aku macam tak sedap hati sangat”

“jangan-jangan si Khad tu dah bomohkan kau”

“Kau ni. sikit-sikit fikirkan bomoh” Tingkah Nuha. “Aku cuma rasa tak sihat la”

“Aku bukan apa. Cuma rasanya dia mungkin berdendam dengan kita pasal bocorkan rahsia dia”

Nuha membetulkan duduk.

“Mulanya aku pun sangsi dengan dia. Tapi bila fikir balik..kenapa dia cakap terus terang. Baik dia sembunyikan hal ni sampai bila-bila..kan”

“Lain orang..lain caranya. Yang penting..dia tu suami orang”

“Tapi aku rasa bersalah pulak buat macam tu..entah-entah dia memang jujur” Tingkah Nuha. Dia bangun pula dan bersandar pada sofa.

“Taklah..aku yakin Khad tu penipu!!”

“Apa kata esok kita serbu rumah dia?. Jumpa isteri dia. Dapatkan penjelasan. Nak ?”

“kau ni macam-macam la..”



Kereta yang dipandu Hanan berhenti di sebuah bungalow dua tingkat. Nuha menggunakan aplikasi Waze untuk mencari arah. Alamat rumah Khad diperolehinya dari agensi speed dating tempoh hari.

“Betul ke rumah ni?” Hanan masih ragu-ragu. Nuha menjongket bahu.

“Kita tanya dulu” Nuha keluar dan menekan loceng di luar pintu pagar. Seorang perempuan setengah baya keluar ke muka pintu.

“Cik berdua cari siapa?” Tanyanya.

“Ini rumah En. Khaidir”

“Ya. Boleh saya tahu Cik berdua ni siapa?”

“Saya Nuha dan kawan saya Hanan. Kami nak jumpa En. Khaidir”. Perempuan itu mengambil telefon bimbitnya dan bercakap dengan seseorang.

“Tuan kata dia akan balik nanti. Dia minta cik berdua tolong tunggu dalam masa setengah jam. Nanti dia balik”

“Tuan!” Ujar Hanan berbisik. Hairan juga dia kenapa Khad digelar begitu.



Mereka berdua dibawa masuk ke ruang tamu. Hiasan dalaman dengan cirri-ciri klasik dan moden memukau mata mereka. Perempuan tadi mempersilakan mereka duduk di sofa.

“Cik berdua duduk nanti saya buatkan air”

“Kak Ani, siapa yang datang? “ Suatu suara lemah datang dari salah satu bilik.

“Kawan Tuan, Puan” Jerit Kak Ani dalam langkahnya ke dapur.



Seorang perempuan muda berbaju kebaya merah dan berkain batik, keluar dari bilik dengan menyorong kerusi roda. Mukanya sedikit pucat tanpa solekan.

“Maaf, Akak tak sempat nak melayan kamu berdua di pintu depan tadi” Ujarnya sebaik bersalaman. Mukanya tampak cengkung dengan bibir mata yang agak kebiruan.

“Nama Akak Mastura. Isteri Khad. Kejap lagi balik la Khad tu. Jumpa client, katanya kena buat presentation design”

Nuha dan Hanan hanya mampu tersenyum. Keadaan Kak Mastura membuat mereka berasa serba salah.

“Cantik rumah akak” Puji Hanan.

“ Rumah ni Khad yang dekor. Syarikat lama dia yang hadiahkan selepas dia berhenti kerja”

“Khad tu dulu kerja apa Kak?” Nuha terasa ingin tahu.

“Dia dulu jurutera senior syarikat minyak. Sampai sekarang orang masih panggil dia masuk kerja, tapi dia tak nak”

“Kenapa Kak?”

“Dia nak temankan Akak di rumah. Sebab tu dia buat business interior design sikit-sikit, minat dia. Sambil tu, dia mengajar budak-budak kat sini matematik tambahan. Hilanglah sikit bosan dia menjaga Akak”

“Maaf bertanya. Akak sakit apa?” Sapa Hanan.

“Kanser darah dik. Dah tahap empat. Kalau macam ni, dah kira tak lama dah boleh bernafas. Seksa juga dik, nak harung semua ni. Tapi Akak berharap kat sana nanti lebih baik..”

Nuha merenung perempuan di hadapannya dengan rasa simpati. Kalau dia sihat pasti dia diantara perempuan yang tercantik dia pernah jumpa. Tambahan pula baik dan berbudi bahasa. Memang sepadan sangat dengan Khad.


Hati Nuha dan Hanan terasa sebak melihat perempuan itu menuang air mereka dan menghidangkan kudapan yang dibawa pembantu rumahnya. Terketar-ketar dia menahan berat teko air. Hendak dibantu, takut Kak Mastura terasa.

“Saya ke dalam dulu puan Mastura” pinta Kak Ani. Puannya itu hanya mengangguk.


“Kamu ke sini sebab calon madu tu kan?” Kak Mastura bertanya. Dia mencapai botol air mineral di dalam dulang.

“Ya kak. Kami nak tahu cerita sebenar”

“Khad tu degil orangnya. Masa Akak mula-mula sakit dulu dah pesan kat dia supaya carikan calon isteri. Dia tak nak. Dah lapan tahun kami macam ni….. Memang akak sayangkan dia sangat-sangat. Jujur Akak cakap, kalau boleh akak tak nak berkongsi kasih dengan sapa-sapa. Tapi bila fikirkan balik, Akak tak boleh pentingkan diri. Kalau dibiarkan, suami akak tu mungkin membujang sampai tua. Akak yakin sangat, kalau akak pergi dan dia takkan kahwin-kahwin lagi”

“Bertuah Akak dapat suami macam tu” Puji Hanan.

“Dik..Kami berdua berkawan dari kecil, bersekolah, di university…sampailah kami berkahwin. Akak kenal sangat dia tu. Kalau Akak tak mulakan…sampai ke sudah la dia membujang nanti….Sebab tu Akak kena buat semua sebelum Akak tak ada..Akak sebenarnya yang daftarkan dia dalam speed dating tu. Paksa dia pergi. Paksa dia mesej kamu…. Cuma dia tu memang berat sangat nak buat”

“Besar pengorbanan Akak ni!!” Puji Hanan lagi. Nuha masih berdiam. Satu persatu ayat dari Kak Masturan dihadam.

“Khad lagi besar pengorbanannya. Dia jaga Akak sepenuh jiwa. Sikit pun kasihnya tak berubah. Layanannya sama macam masa Akak sihat dulu…. Cuma Akak harap siapa yang gantikan Akak nanti..dapat jaga dia baik-baik.” Titisan jernih mengalir di tubir mata Kak Mastura.

Hanan memandang ke arah Nuha. Mata rakannya itu sudah berkaca.


“Khad tu pemalu sebenarnya. Kadangkala lurus bendul. Kita yang perempuan ni kena banyak sabar dengan feel dia. Tapi.. kasih sayang dia memang sepenuh hati.” Jelas Kak Mastura. “Dia buat Akak rasa macam perempuan yang paling bertuah sekali”

“Sanggup ke Nuha jadi pengganti Akak?” Kak Mastura memandang tepat pada Nuha yang mengelap lelehan air di tubir mata. Hanan pula kelu untuk berkata-kata.

“Saya rasa bersalah sangat dengan Khad, Akak. Sebelum ni, saya ada cakap perkataan yang tak patut saya ucapkan.”

“Kamu tak salah. Kamu tak tahu apa-apa pun. Cuma meneka. Sebab tu kamu bertindak macam tu. Khad pun satu, tak berterus terang awal-awal.” senyum sahaja Kak Mastura. Nuha bangun

memeluk Kak Mastura. Air mata keluar dari tubir mata mereka berdua sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

“Janji dengan Akak, jaga Khad baik-baik tau. Bagi dia anak yang comel-comel. Dia suka sangat kat budak budak… Tolong sayangi dia sepenuh hati. Bagi dia apa yang Kak tak mampu nak bagi” Bisik Kak Mastura ke telinga Nuha dengan nada sebak.

Nuha tidak mampu untuk menjawab. Dia hanya memeluk tubuh Kak Mastura lebih kuat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.