Home Cerpen Lucu Puan AJK, Sila Jawab!
Puan AJK, Sila Jawab!
Diq Na
6/4/2020 14:57:49
4,181
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

            Junaidah meneliti meja makan. Lemang tempahan khas daripada adik bongsu bersama rendang daging siap dipotong, tersusun cantik. Tidak ketinggalan laksam air tangan ibu. Paling istimewa pastilah nasi beriani kari kambing warisan nenek. Menu pilihan untuk dijamu para tetamu kemas terhidang.

            Aroma semerbak menguasai ruang tamu. Junaidah tersenyum. Pasti teman-temannya nanti berpuas hati menikmati keenakan juadah yang disediakan. Biar sampai bila-bila pun, majlis anjurannya ini mekar dalam ingatan mereka.

            Sudah seminggu dia berhempas-pulas dan bersengkang mata. Majlis Jamuan Semarak Kasih menjadi aktiviti wajib Persatuan Wanita Bukit Astana. Mengeratkan silaturahim sesama ahli persatuan menjadi tunjang utama penganjuran. Namun tidak kurang juga yang menjadikannya medan menonjolkan  lagak dan gaya.

            Tahun lepas Junaidah tersenarai tetapi majlis terbantut dek kekangan kewangan. Tahun ini dia menduduki kerusi AJK. Tidak boleh mengelak lagi. Sengaja dia pilih pertengahan tahun. Boleh lihat dahulu apa yang orang lain buat. Dapat kumpul idea.

            “Kenapa tak siap lagi? Tetamu dah nak sampai.”

            Junaidah lihat dua orang anaknya masih bergelimpangan di depan televisyen, ralit menonton sitkom. Set sofa merah hati belian semasa jualan murah tahun lepas menjadi tempat larangan hari ini. Dia tidak mahu sofa itu kotor. Alang-alang sempurna, biar semuanya lancar tanpa sebarang cela.

            Kedua-dua anaknya lambat memberi respons. Hendak bangun pun malas-malas. Termasuklah si ayah. Isu lambakan hiburan pernah dibincangkan oleh ahli persatuan. Anak-anak dewasa ini kalau tidak bercinta dengan telefon pintar, bertemu janji dengan drama dan filem yang sesetengahnya tidak membina minda langsung.

            Sitkom yang ditayangkan ketika ini kalau tidak silap Junaidah sudah dimainkan berulang kali. Dia pun hampir hafal skripnya. 

            “Cepatlah anak. Abahnya pun, bersemangatlah sikit. Saya dah pegang jawatan penting, bukan ahli biasa lagi.”

            Puan Junaidah, awak cuma pegang jawatan AJK. Bukannya naib presiden. Jauh sekali presiden tetapi semua kerja awak yang buat. Semua aktiviti persatuan awak kena ambil bahagian. Aktif dalam kegiatan kemasyarakatan tiada halangan. Cuma berpada-padalah. Hati Imran berbisik, sedikit terusik. Hendak diluahkan terasa pahit.

            “Bang!”

            “Saya dengar. Sudah anak-anak. Jom bersiap. Majlis Jamuan Semarak Kasih kita dah nak mula.”

            “Dani…Durah!

            “Ya mak!”

            Sahutan mereka hampir serentak. Ibu naik suara perkara normal tetapi apabila nadanya bergaung serumah sampai ke laman, menyebut nama bagai, itu tandanya ‘siren amaran’ berbunyi. Kedua-duanya bingkas bangkit, bercempera ke bilik. Imran pula sebaliknya. Apabila teringatkan  baju melayu merah jambu, automatik longlai anggota badan.

            Dia pernah bertanya, mengapa merah jambu? Kata Junaidah persatuan mereka sudah sebulat suara, tuan rumah dan rumah temanya merah jambu. Setiap majlis akan dimuat naik dalam laman sosial. Nampak seia dan sekata. Niat yang murni sudah melencong maksudnya. Sepakatlah sangat. Walhal dia juga mendengar desas-desus di kalangan mereka ada yang berpuak-puak, talam dua muka dan cantas-mencantas demi kepentingan peribadi.

             Itu baru baju. Belum masuk bab langsir tingkap, langsir pintu dan alas meja. Memang sekodi kain yang sama. Nasib baik Junaidah pandai menjahit, jimat belanja. Mujur juga tidak menggunakan kain yang serupa di setiap majlis. Kumpulan boria jawabnya.

            “Takkan hilang macho awak kalau pakai merah jambu. Masih kacak macam muda-muda dulu.”

            “Carilah merah jambu yang pekat sikit. Ini jambu sangat warnanya. Segan saya. Entah nak ke tidak si Dani pakai.”

            “Sekarang orang dah tak kesah. Ramai yang pilih merah jambu sebagai tema raya. Trend terkini. Ini kehendak ahli, ikut sajalah. Dah tak ada kain warna merah jambu pekat. Yang ada pun sama warna dengan langsir kita. Awak nak ke jadi langsir bergerak nanti.”

            Teringat perang pendapat mereka. Sambil memandang baju melayu yang tergantung, mukanya berkerut. Ikutkan sahaja Imran. Mana tahu sesi pemilihan akan datang, Junaidah terpilih jadi presiden pula. Awak sebagai suami tumpang bangga.

            “Sepuluh minit sebelum majlis semua mesti berkumpul di ruang tamu.”

            Junaidah mengeluarkan arahan. Beberapa saat kemudian, dia terjengul di muka pintu bilik. Gilirannya pula untuk bersiap. Imran yang sudah selesai menyalin pakaian melihat cermin. Busana masih belum lengkap. Butang baju melayu mana? Mata meliar di permukaan meja solek. Tidak kelihatan apa yang dicarinya.

            “Kotak butang baju melayu saya mana? Selalu ada atas meja solek.” Dia memandang si isteri.

            Junaidah tarik laci meja solek. Di situlah tempat letaknya.

            “Masya-Allah, merah jambu juga. Warna lain tak boleh?”

            Lirikan mata Junaidah menajam. Reaksi itu sekali gus memberi jawapan kepada pertanyaan suaminya.

            “Yalah, saya pakai.”

            “Kalau dah siap, tolong tengokkan budak-budak tu. Saya nak buat taklimat ringkas untuk semua.”

            “Taklimat apa lagi? Macam-macamlah awak ni.”

            Imran malas bertegang urat. Majlis ini penting bagi Junaidah demi membuktikan kredibilitinya sebagai pemimpin pelapis. Dibiarkan sahaja isterinya menang.   

            “Abahnya tolong layan suami ahli persatuan yang hadir. Ramai yang bawa suami sekali. Durah, berborak-boraklah dengan kawan perempuan. Hampir semua yang datang bawa anak-anak mereka. Danish jangan nakal-nakal ya. Yang sebaya dengan Danish pun ada. Main sama-sama.”

            Pesanan itu mengisi minit-minit terakhir sebelum jarum jam menunjukkan angka 12 tengahhari. Mereka empat beranak sudah sedia menanti kehadiran para tetamu. Junaidah membuat pemeriksaan kali terakhir. Setiap inci rumah tidak terlepas daripada pandangan. Dia tidak mahu ada kecacatan.

            Berpuas hati dengan kesempurnaan kerja-kerjanya, Junaidah kerling jam melekap di dinding. Sudah 10 minit melepasi waktu namun belum ada seorang pun tetamu yang muncul. Mana Rahiza dan Muna? Mana ahli persatuan yang lain?

            Gelora resah mengocak jiwa Junaidah. Masakan mereka terlupa. Dia diboikot? Rasanya tidak. Dia bukan jenis yang suka mengumpat, bermusuh atau berdengki. Layanannya pada mereka sama rata.

            Mungkin mereka berjanji untuk berkumpul di mana-mana dan hadir segerombolan. Fikir yang positif. Masih awal lagi. Boleh jadi ada yang lambat tiba. Bukan semua yang menepati masa. Junaidah sudah lali dengan kerenah mereka. 

            Masa berputaran. Minit demi minit terbuang membuatkan seisi rumah gelisah. Dani paling ketara. Berpeluh-peluh di sebalik baju melayu merah jambu yang mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

            Dalam pada dia memikirkan kemungkinan yang bertimpa-timpa menghempap kepala, Junaidah mencuri pandang ke arah jam sekali lagi. Sudah sejam berlalu. Dia mencari wajah suaminya pula. Jelas raut itu ditawan kebimbangan.

            “Bila tetamu mak nak datang ni?” Akhirnya Dani meluahkan apa yang terbuku.

            “Cubalah telefon Mak Cik Rahiza kawan mak tu. Makcik Muna ke. Jangan-jangan mereka terlupa tak.” Puteri sulung pula mencelah.

            Betul juga. Selalunya Rahiza dan Muna akan tiba serentak. Muna mesti tumpang kereta Rahiza. Dia cuma pandai bawa motosikal sahaja. Itupun setakat jemput dan hantar anak-anak ke sekolah. Talian WhatsApp persatuan mereka sunyi sepi sejak pagi tadi. Memang itu perjanjian mereka. Hujung minggu aktiviti bersama keluarga. Melainkan ada pemberitahuan penting barulah talian berbunyi.

            Tak boleh jadi! Junaidah capai telefon bimbitnya.

            “Pukul berapa datang? Dah lambat ni… ya ke… kau biar betul Rahiza… makanan semua dah siap… nanti aku semak diari.”

            Panggilan telefon dimatikan. Junaidah berpaling. Muka cemas bercampur pucat lesi. Mendengar perbualan si isteri, Imran mencongak sebab-musabab.

            Ada satu paling kuat singgah di fikiran. Dia jeling menu berlambakan di atas meja. Janganlah apa yang menakluki dasar otaknya benar.

            Tanpa lengah, Junaidah capai diari hitam di atas meja tulis. Budaya menulis diari sudah lama luput dalam hidupnya tetapi dipraktikkan semula semenjak memegang jawatan penting dalam persatuan. Dia teliti lembaran bertarikh hari ini.

            “Macam mana ni?” Junaidah pandang wajah ahli keluarganya.

            “Macam mana apa?” Imran tertanya-tanya.

            “Jamuan kita sebelah petang. Dah tukar masa tiga hari lepas. Aduh!”  Junaidah menjawab dengan suara yang cemas.

            Imran tepuk dahi. Telahannya benar. Mujurlah tidak seburuk yang disangka.

           “Itulah awak. Lain kali apa-apa pun yang kita buat, niat kena betul dulu.” Imran membebel.

           Hendak marah pun tiada guna. Bukannya budak-budak tetapi emak budak. Mujurlah berubah masa sahaja. Kalau dibuatnya bertukar tarikh sekali, macam mana? Puan AJK, jawablah!

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.