Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Intai-Intai Cinta
Intai-Intai Cinta
Siti Norshimah Binti Md Yasan
11/3/2016 23:04:18
6,218
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Aku mengerdipkan mata. Bukan sekali, bukan dua kali tetapi banyak kali. Tak terkira rasanya dengan jari. Kemudiannya aku tersenyum. Senyuman ku kalau boleh nak cecah ke telinga. Aku memandangnya dengan degupan jantung ku yang macam dipumping dan rasanya bagaikan nak keluar dari badan. Ah….. comelnya dia. Senyuman dan angan ku tidak ku hiraukan mata-mata nakal yang memandang. Oh, dialah lelaki dambaan ku. Wajah itulah yang sentiasa di ruang mata ku. Tidak kira siang, malam dan tidur ku. Ah, lantaklah aku nak pandang pun. Aku bukannya kacau dia. Lagi pun aku pandang pun bukan aku pandang dia depan-depan. 50 meter, okey. Itu pun dah cukup dekat bagi ku.

Aku Senyum dan senyum lagi. Kalaulah dia pandang aku, alangkah bahagianya aku. Tapi itu semua mimpi je. Mimpi yang mungkin tidak akan menjadi satu kenyataan. Sebab kita orang ni sudahlah jarang jumpa, bukan kata nak borak, nak tegur pun tidak. Kesiannya aku.

“Kau tengok apa tu?” Badan ku terdorong ke depan bila disergah ganas oleh Aisyah.

“Aduh, potong stim betullah kau ni. Baru aku nak jeling-jeling manja dengan buah hati aku, kau dah kacau daun.” Aku tidak memandang kepada Aisyah, sebaliknya aku masih memandang buah hati ku. Hari ini dia memang kacak dengan berkemeja merah hati. Eleh…. Buah hati aku ni kalau pakai baju terbalik pun nampak kacak.

“Setakat jauh macam ni, jangan kata nak bermanjalah. Dia tu silap hari bulan padang kau pun tidak tau.” Ulas Aisyah.

Aku memandang kepada Aisyah geram. Hai, dia ni. bukan nak bagi semangat, boleh pulak dia kutuk aku kaw-kaw. Sentap aku sekejap dengan kata-kata berani Aisyah itu. Aku menjeling kepada Aisyah. Tanda tidak puas hati. Yelah, sakit hati tau.

“Kau jangan lupa. Kita ni cleaner je. Bukan kerja tingg-tinggi. Dia tu bos besar kita tau. Gaji kita pun dia yang bagi. Kau jangan buat hal pulak. Kalau kau cari pasal, naya kau kena pecat aku tak jamin. Nak makan pasir?” Aku geleng laju.

Aku mencebikkan bibir. Hilang semua senyuman manis ku yang ala ratu cantik dunia. Ini semuanya pasal Aisyah. Tak boleh nak tengok orang senang. Ada je yang tak puas hati dengan kita.

“Aku tahulah Aisyah. Tapi, salah ke aku minat dengan dia?” Bidas aku. Geram pulak aku dengan Aisyah yang buat muka tak salah.

“Minat tu memanglah tak salah. Tapi, jangan sampai rosakan fikiran kau! beringat sikit.”

“Tapi…..”

“Sudah-sudahlah tu. Kalau dia tahu, mesti dia malu. Yang kau ni pun satu. Banyak-banyak lelaki dengan dia juga yang kau minat.”

“Ala…. Setiap orang citarasa lain-lain.”

“Kau minat dengan dia sebab kau suka dengan dia ke sebab dia kaya?” Lidah aku terkunci. Soalan maut buatkan aku mati kata. Tapi aku jujur. Aku minat sebab dia. Bukan sebab lain.

“Aku tak pernah terfikir semua tu. Aku memang suka dengan dia. Kalau dia miskin pun aku suka dengan dia. Kau ni pun, sebagai seroang sahabat patutnya kau sokong aku. Bukan nak kutuk aku.”

“Sebab kau kawan akulah aku bagi kau nasihat. Kita ni tak setaraf dengan dia tu. Kita macam ibarat perigi, dia tu bagaikan kolam renang.” Hah? Peribahasa mana pulak minah ni kutip. Tak pernah dengar pun.

“Apa tu?”

“Yelah, kita dengan dia berbeza latar belakang dan dia tu berharta. Kita ni apa ada?”

“Ah, kau ni. Memang eloklah bahasa melayu kau gagal. Ibarat enggang dan pipitlah.”

“Oh, ye ke. Aku mana tahu. Ala, dahlah tu. Jangan nak layan sangat perasaan kau tu. Nanti makan diri baru kau tahu.”

Aku mengeluh perlahan. Dia ni memang nak kena mangkuk dengan aku. Sedih tau kalau orang tak nak sokong kita ni. lebih-lebih lagi dengan kawan baik sendiri. Frust menonggeng dibuatnya. Mak…. Tolong anak mak ni!

“Ah, malaslah nak layan kau yang tak ada feeling ini. Aku masuk pantry dan siap sedia solat zohor ada untungnya.” Rajuk ku. Biar dia rasa bersalah. Tapi aku tengok muka Aisyah macam orang tak buat salah pulak.

“Ha, itu yang seeloknya. Kalau kau pandang dia macam nak tembus dinding pun bukannya dapat faedah pun. Ada baiknya kau doa banyak-banyak ye, cik Reisya sayang.” Usik Aisyah.

Aku meninggalkan Aisyah sendirian. Ada masa aku sedih juga dengan kata-kata Aisyah tadi. Terus hilang semangat aku nak tatap buah hati ku. Aku berpaling. Bukan nak tengok buah hati, tapi aku nak tengok Aisyah. Yelah, mana tahu kalau-kalau dia bermain mata dengan buah hati ku. Tapi… aku tengok Aisyah buat tak tahu je. Erm…. Patutlah, aku lupa yang kawan aku ni dah kahwin anak satu. Kalau dia main cinta juga, mahu kena ketuk dia dengan laki dia. Silap haribulan dia dikatakan sebagai perempuan gatal pulak. Ah, lantaklah. Melayan minah ni, satu kerja pun aku tak jalan. Buat semak otak fikiran adalah.

Setelah aku mengemas semua barang cucian, aku terus sahaja menuju ke pantry. Oh, aku hampir terlupa yang aku kena buat air untuk Cik Rina. Dari tadi dia minta buatkan air milo ais. Tapi aku boleh layan perasaan sendiri. Mesti Cik Rina dah tunggu lama. Kesian dia. Aku bingkas menuju ke cabinet dan membuat air milo ais untuk Cik Rina.

Setelah selesai membuat air, aku terus sahaja keluar dari bilik pantry sebab aku tak nak Cik Rina tunggu lama. Namun, seraya aku keluar dari bilik pantry, aku telah terlanggar seseorang. Habis semua milo ais itu tumpah terkena bajunya. Aku mendongak ke atas. Oh, Tidak! Jejaka tambatan hati ku. Jangan kata orang yang aku langgar adalah Encik Daniel, buah hati ku. Mati aku! Aku pejam mata erat. Bibirku kemam erat. Takut wei! Bagaikan air liur ku tersekat di anak tekak.

“Mata awak ni letak kat lutut ke sampai saya yang besar ni awak nak langgar?” Keras nada yang keluar dari mulut Encik Daniel. Walau pun keras, namun sayup rasanya pada cuping teling ku. Rasa macam lemah lembut je suara dia. Dah sah! Aku ni dah memang angau. Sampaikan orang marah pun aku rasa macam seronok.

“Maafkan saya, Encik Daniel.” Aku tunduk. Tak sanggup aku nak nak pandang mata dia. Nanti kalau jatuh cinta, siapa yang susah? Jatuh cinta? Aku memang dah lama jatuh cinta dengan dia. Rasanya macam nak pukul je diri sendiri sebab cuai.

“Maaf? Apa? Dengan maaf awak tu boleh nak reverse balik sebelum awak tumpahkan air?”

Aku angguk.

“Apa?”

“Tak…” Aku geleng pantas. Debaran ku kian kencang. Dah macam motor bot dah aku rasa, speed dia kalau ada abang polis dah tentu aku kena saman.

Aku memandang kepada Encik Daniel. Tak banyak sikit je. cukup dengan ekoran mataku. Memang aku tengok dia marah benar dengan ku. Sebab aku yang tumpahkan air milo kat baju dia. Ala, kalau sesiapa pun memang akan marah. Tapi aku tak sengaja. Aku tak perasan dia nak masuk ke pantry. Kalau aku tahu dia nak lalu mesti aku elak. Takkan aku aku nak minta kena marah free je. Kalau macam tu, bodohlah aku.

“Awak tahu tak yang saya akan ada meeting sekejap lagi?”

Meeting?” Habislah aku.

“Awak ni buat kerja ke atau awak makan gaji buta?”

“Mestilah gaji saya buta encik. Kalau dia celik, dia tinggalkan saya susah pulak saya nanti.”

E…. rasanya macam seronok sangat masa tu. Dapat berborak dengan buah hati pengarang jantung. Borak? Ah, what ever. Apa pun setiap perbualan antara dua orang itu adalah berborak, kan? Walau pun aku tahu dia tengah marah pada ku. Dia bercakap sikit pun tak pandang aku. Kalau diberi pilihan dah tentu dia nak lemparkan aku keluar dari pejabat.

“Ha, menjawab. Siapa nama awak?”

Aku tersenyum. Senyuman ku sama semasa aku memandang dia tadi. Terbuntang mata Encik Daniel bila dia tengok aku tersenyum sendiri.

“Apa senyum-senyum?” Kedengaran suara Encik Daniel masih lagi tinggi. Mungkin dia geram tengok aku yang tersenyum memandang dia.

“Sebab Encik Daniel sudi nak berkenalan dengan saya.” Sekali lagi terbuntang mata Encik Daniel bila dia dengar akan kata-kata ku. Merah padam muka Encik Daniel saat itu bila aku pandang dia. Mesti terkejut yang aku berani nak bercakap dengan dia. Encik Daniel memandang terus kepadaku. Haish! Berani betul minah ni.

“Awak nak saya pecat awak ke?” Cepat aku menggelengkan kepala. Encik Daniel tersenyum sinis. Tahu kau takut. Pandai pulak kunci mulut tu. Kalau tidak, ada saja nak menjawab.

“Saya janji saya tak buat lagi.” Terus hilang mood aku bila dia kata nak pecat aku. Tahulah awak tu bos besar. Kita ni anak bilis. Tapi aku pun ada perasaan juga okey!

“Sekarang ni awak nak suruh saya buat apa? Macam mana dengan meeting saya? Takkan saya nak masuk meeting dengan keadaan saya macam ni?”

Aku cuba untuk mengelap bajunya, namun tangannya pantas menepis. Aku jadi kalut saat itu. Amboi mak ai! Garangnya mamat ni? macam singa jantan pulak.

“Tak apa, saya basuh baju Encik Daniel. Nanti saya gosok balik.”

“Apa? Awak ingat semua tu boleh buat satu minit ke?” Aku menggeleng kepala. Rasa bersalah mula bertandang di dalam hati ku. Sebab aku dia jadi susah. Sebab aku juga dia rasa tak selesa.

“Tak apa, saya ganti encik meeting.” Argh!!!! Mahu jadi gila Encik Daniel mendengarkan kata-kata ku. Ingat ni meeting jual pinggan mangkuk agaknya. Hati Daniel melaung sekuat hati. Kenapalah boleh layan minah senget ni,

“Ah, malaslah saya nak layan awak yang gila ni.” Aku tengok buah hati aku tinggalkan aku macma tu je. Aku pandang Encik Daniel tanpa tanpa kerdip. Hai, kenapalah dia tu marah pun tetap nampak kacak. Memang kenalah dia dengan aku. Sama padan dan sama cantik. E… wah. Layankan sajalah perasaan tu Reisya oi!

Usai solat zohor, aku duduk sahaja di dalam pantry. Malas pula aku nak keluar makan tengah-tengah bulan ni. Dalam fikiran ku melayang rasa bersalah yang amat sangat kerana aku terlanggar Encik Daniel tadi. Macam mana agaknya dia dalam bilik meeting tu. Aku yakin yang dia mesti teringatkan aku. Insan yang telah menumpahkan air atas baju dia.

Petang itu, sebelum jam menunjukkan ke angka 5 petang, aku aku meneruskan kerja-kerja terakhir ku. Semua sampah perlu dikutip dan semua sudut mesti disapu. Sedang aku menyapu, aku sempat juga memandang buah hati ku dari luar. Aku lihat dia sudah menukar bajunya. Sekarang dia sudah pun menukarkan bajunya kepada t-shirt berwarna merah. Aduh! Jatuh cinta lah pulak. Saat aku nak melebih-lebih akan jelingan ku, boleh pulak dia pandang tepat kat mata ku. Terus ke anak mata. Sedar dengan adegan itu, aku segera tunduk. Aku berdoa yang dia tak perasankan aku. Tapi….. sedar-sedar pintu biliknya dibuka.

“Awak buat apa tu?”

“Kira sampah, Encik Daniel.” Kira sampah? Aduh! Apa yang aku melalut ni? aku menggarukan kepala.

“Apa kata awak kira sampah ni dekat tempat lain boleh tak?”

“Saya yang menurut perintah, Encik.” Aku terus mencapai penyapu dan ingin berlalu dari situ. Tapi, langkah ku mula terhenti.

“Itu dah kenapa pulak?” Aku tengok Encik Daniel sudah bercekak pinggang. Haish! Dah macam pak tiri je aku tengok. Kalau tambah eksesori tali pinggang kat tangan kiri dah sah jadi pak tiri. Tangan kiri? Aku tahulah…. Dia kan buah hati aku. Dia tu kidal. Mesti semuanya dengan kanan kiri. Kecuali makan!

“Encik…. Encik…”

“Apa dia?”

“Dah makan?”

“Bukan masalah awak.”

“Dah solat?”

“Jaga kubur sendiri.”

“Tapi kalau encik mati nanti, encik tak boleh nak jalan sendiri ke kubur encik.”

Tergamam Encik Daniel mendengarkan keberanian suara ku.

“Awak buat kerja awak sendiri. Pasal saya awak tak perlu risau. Jangan nak fikirkan sangat. Biarkan saya dengan diri saya.”

“Tak boleh encik. Kita ni hidup kena ingat-mengingati. Barulah berkat hidup kita.” Wah, dah macam tokoh falsafah pulak aku cakap macam tu. Encik Daniel? Aku tengok dia dah macam ayam berak kapur.

Encik Daniel masuk semula ke dalam biliknya. Menyesal pula dia rasa keluar dari bilik itu. Melayankan minah yang suka menjawab membuatkan dia selalu sahaja hilang kata. Panas hatinya tak boleh nak dikata.

“Reisya,” Aku berpaling. Cik Rina tersenyum memandang kepadaku.

“Cik Rina, maaflah kalau ganggu Cik Rina.”

“Tak, saya yang patut cakap macam tu. Kenapa? Awak kena marah dengan Encik Daniel ye.”

“Biasalah Cik Rina. Orang macam saya ni memang selalu saja kena marah. Tak apa, saya dah biasa. Tapi memang betul apa yang saya cakap. Kita mati, mana boleh nak masuk lubang kubur sendiri.” Aku cuba mengadu.

Aku tengok Cik Rina bukan main gelak lagi. Aku apa lagi? Tumpang sekaki le.

“Awak ni buat lawaklah Reisya. Berani betul awak cakap macam tu dengan Encik Daniel.” Aku tersipu malu bila Cik Rina puji aku melambung tinggi sampai ke langit. Kemudiannya aku mencebikan bibir. Bukan untuk Cik Rina, tetapi untuk buah hati pengarang jantung ku.

“Okeylah Cik Rina, saya kena pergi dulu.” Aku mula minta izin sebab waktu balik dah dekat. Kalau lambat, mahu kena penyek aku dalam train nanti. Cik Rina kemudiannya tersenyum memandang ku sambil menggelengkan kepala. Rina begitu senang dengan Reisya. Reisya seorang gadis yang jujur dan berani. Kalau tidak, takkan Daniel boleh membisu tadi.

Aku mengunci pintu loker dan kemudiannya aku bergegas ke pintu lif untuk pulang. Punat di pintu lif ku tekan berkali-kali. Buka sahaja pintu lif, aku terus menerpa masuk namun aku dapatkan yang aku terlanggar seseorang.

“Awak lagi. Apalah malang nasib saya hari ni. Asyik terkena dengan awak.” Wajah Encik Daniel kelihatan macam nak telan orang je. Tapi…. Aku senyum sampai ke telinga. Senyum tu kan satu sedekah. Boleh dapat pahala. Tak payah bayar lagi.

“Awak jangan buat muka tak bersalah kat sini boleh tak? Semak je saya tengok.” Aku tengok wajah Encik Daniel dah merona merah. Marah betul dia dekat aku.

“Malang buat encik, jodoh buat saya.” Ah, macam aku nak pukul je mulut comel ku yang memang tak ada insuran. Mesti dia ingat aku nak menggatal dengan dia.

Oleh sebab aku kalut tengok Encik Daniel, sampaikan aku tak sedar ada wanita cantik di sebelahnya. Pulak tu, siap paut lengan Encik Daniel dengan manja lagi. Yang tak bestnya dia siap jelling tak puas hati dengan aku. Hai, macamlah aku yang langgar dia. O…. okey. Baru aku teringat. Inilah dia teman wanita kesayangan Encik Daniel. Model ternama yang sedang meningkat naik tapi lagak diva dan egonya pun makin dipam-pam juga. Eleh…. Jeling orang macam tak puas hati mesti cemburu dengan kita le tu.

“Kenapa ni sayang?” Aku dengar suara Cik Yasmin macam tak cukup makan je.

“Entahlah. Perempuan ni, dari tadi tak habis-habis nak cari pasal je.”

“Tak payah layanlah sayang dengan dia ni. Nanti berjangkit pulak kuman dia kat kita. Dahlah pengotor. Comot pulak tu.” Hai, minah tak cukup kain ni. Ada pulak yang kena dengan aku. Macamlah dia tahu yang kuman miskin macam aku ni boleh berjangkit dengan dia. Tapi jangan lupa, ada masa kita pun boleh di bawah juga. Geli pulak aku dengar statement yang tak matang tu.

Okey, fine! Aku malas nak layan dan gaduh dengan orang macam Cik Yasmin tu akhirnya aku mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka dengan menuruni anak tangga. Dah lambat kot aku nak naik tren. Rasa macam lambat je aku nak tunggu lif. Sebelum aku melangkah jauh, sempat juga aku berpaling. Boleh pula perempuan tu jelir lidah pada aku. Hai. Macam budak kecik pulak. Apa? Dia ingat dia bagus sangat? Ah, lantaklah. Malas nak layan.

HARI gaji seMalaysia. Tak sabarnya aku nak ke bandar. Bukan nak membeli sangat pun, saja nak mencuci mata. Hanya nak release tension je. Hai, aku ni macamlah kerja nak fikir untuk berjuta-juta lemon. Ah, peduli apa aku. Gaji aku duit aku. Apa yang penting adalah kita enjoy!

Aku menyusuri dari kedai ke kedai dengan perasaan gembira. Sesekali dapat berjalan indah rasanya. Bila penat berjalan, aku duduk di hujung tembok sambil melepaskan lelah.

“Hei perempuan tua! Mata kau letak mana? Kalau dah rasa tak larat jalan duduk rumah je. Jangan nak menyusahkan orang boleh tak?” Nyaring betul suara itu sampaikan aku pun boleh dengar. Aku berpaling dan tersirap darah aku bila melihatkan…. Perempuan diva tu ada kat sini? Semaklah dia ni. Kat mana ada aku, kat situlah dia ada. Dah macam tak ada tempat lain nak terserempak. Pulak tu, sempoi je dia marah orang tengah jalan. Dia ni betul ke tidak?

Aku memandang sahaja perempuan yang berlagak diva itu dengan kecil besar mata ku. Mahu tidak, teruk betul dia marahkan orang tua tu. Agak-agaklah dia ni. Kat tempat awam kot. Ini tak boleh jadi. Kesian pulak aku tengok wanita tua tu.

“Cik Yasmin,” Aku menegur. Terkejut dia bila aku menegur. Mungkin dia tidak sangka yang aku ada kat situ. Jangan ingat ini jalan raya dia sampai nak marahkan orang macam tu sekali. Memang pantang aku kalau orang tak hormatkan orang tua.

“Eh, kau. Budak pengotor tu. Apa yang kau buat kat sini?”

“Berjalan. Takkan saya nak berjoget kat sini pulak.” Aku nampak yang Cik Yasmin tampak gelisah. Dah kenapa pula dia ni? Biasanya bukan main lagi kutuk-kutuk aku. Takkan nampak aku dah jadi bisu pulak.

“Makcik tak ada apa-apa ke?” Kemudiannya pandangan ku beralih kepada wanita yang sudah melebihi separuh abad itu.

“Makcik okey. Salah makcik. Makcik yang tak nampakkan dia tadi.”

“Ha, kau dengar tu. Orang tua ni tak ada apa, kau pulak yang melebih pulak.”

“Yelah, kalau dia salah pun janganlah sampai kau tengking dia. Hormatlah sikit dengan orang tua.”

Aku tengok Cik Yasmin tersenyum sinis. Hish! Geram pulak aku tengok dia ni.

“Dan Cik Yasmin jangan lupa yang di satu hati nanti yang Cik Yasmin akan tua juga. Mata Cik Yasmin akan jadi kabur dan telinga Cik Yasmin akan menjadi tuli. Kita tidak boleh menongkat langit selamanya, Cik Yasmin.” Perlahan sahaja aku bersuara tapi aku yakin Cik Yasmin akan sentap punya. Ada masa aku geram juga dengan dia ni.

“Kau….” Ha, aku dah kata. Dia dah angkat tangan nak bagi sedas kat pipi mulus aku. Tetapi belum sempat dia nak berikan penampar, aku terdengar akan namanya dipanggil.

“Sayang, kenapa ni?” Aku nampak wajah Cik Yasmi berubah. Lelaki yang berada disampingnya bukanlah Encik Daniel. Siapa lelaki tu? Hatiku penuh dengan tanda tanya.

“Sayang, jom kita pergi. sorrylah kalau lambat. Kata nak tengok wayang.” Lelaki itu menarik tangan Cik Yasmin manja. Amboi…. Sakannya dia. Tengok wayang dengan lelaki lain. Dalam diam dah pasang lain. Itu yang kita nampak. Yang kita tak nampak? Hish! Jangan dok fikirkan yang bukan-bukan Reisya. Nanti jatuh fitnah susah nak minta maaf. Bersangka baiklah ye. Tetapi…. Kesianlah buah hati aku. Dalam diam makwe dia curang dengan dia. Haish! Geramlah pulak aku dengan minah lagak diva ni. Buat malu kaum sejenis je.

Aku memandang kepada pasangan itu dengan rasa tidak puas hati. Bukannya nak minta maaf, boleh pulak dia pergi macam tu je. Rasa mendidih pulak rasanya hati ni. Dia ingat dia besar sangat kot. Aku kemudiannya beralih pandangan ku kepada wanita tadi.

“Makcik okey?” Aku bertanya kepada wanita itu. Kesian pulak aku tengok dia.

“Makcik tak ada apa-apa. Terima kasihlah nak sebab tolong makcik. Kalau tak ada anak, tak tahulah makcik.” Aku tersenyum.

“Dah tanggung jawab saya, makcik. Nak saya hantar makcik pergi mana-mana tak? Kalau nak saya boleh hantarkan.”

“Tak apalah, nak. Lagi pun makcik tengah tunggu anak ni.”

“O….”

“Biarkan je makcik kat sini. Mana tahu buah hati anak tengah tunggu.” Aku gelak. Buah hati? Hai, makcik. Bila masa pulak aku aku ada buah hati.

“Makcik, siapalah yang nakkan saya ni. Saya ni bukannya cantik sangat pun.”

“Biar tak cantik, nak. Asal hati kita cantik. Makcik nak ucapkan banyak-banyak terima kasih. Untung siapa dapat anak ni.” Aku senyum je bila dipuji macam tu.

“Baiklah makcik. Kalau makcik tak ada apa-apa, saya pergi dulu. Jalan elok-elok ye makcik.”

Aku meninggalkan wanita itu dengan hati yang amat berat sekali. Menyesal pula rasanya tidak tunggu anak makcik itu datang. Di dalam hati aku hanya berdoa agar tiada apa-apa berlaku kepada wanita itu.

Semenjak dari peristiwa itu, aku banyak termenung jauh. Bila aku pandang Encik Daniel, hati aku mula rasa gelisah. Rasa gelisah mula menyelinap di seluruh jiwa ku. Rasa kasihan ku kepada Encik Daniel membuak-buak. Tambah lagi dengan pertembungan aku dengan Cik Yasmin tempoh hari. Lagilah hati ku rasa tak tenang. Rasa marah ku kepada Cik Yasmin meluap-luap. Kesian Encik Daniel. Kena tipu dengan Cik Yasmin hidup-hidup. Kalau nak diikutkan hati aku yang tengah marah, mahu sahaja aku beritahu akan hal sebenarnya kepada Encik Daniel. Tapi… aku mana ada bukti. Silap hari bulan dia hinggap selipar kat mulut aku. Lepas tu mesti dia kata aku ni pandai nak bawa cerita.

Hai, serba-salah pulak aku dibuatnya. Aku nak bercerita dengan siapa pun aku tak tahu. Aku tak nak cerita kalau tak ada bukti. Aku tak nak dikatakan suka melagakan orang.

“Kau ni dah kenapa, Reisya. Aku tengok kau sekarang ni asyik termenung je. Kalau kau ada masalah, ceritalah kat aku.” Aku pandang Aisyah sekilas. Kemudiannya aku mengeluh perlahan.

“Aku rasa angau kau ni dah teruklah, Reisya. Sudah-sudahlah tu. Kita ni tak setaraf dengan dia tu.” Dah kenapa pulak minah ni? tiba-tiba datang lepas tu kata aku angau.

“Engkau ni, bagilah salam dulu boleh tak? Main sergah macam tu je. Aku tengah runsing, kau sibuk menempel kat sini.”

“Aku bukan apa, aku tak nak kau kecewa nanti. Kau pun tahu yang Encik Daniel tu dah ada buah hati.”

“Itu aku tahu. Kau tak cakap pun aku tahu.”

“Habis tu? Yang kau termenung panjang tu kenapa?”

“Apa maksud kau?”

“Hari tu aku ada terserempak dengan Cik Yasmin.”

“Maksud kau buah hati Encik Daniel kita?”

“Yelah, siapa lagi.”

“Apa yang jadi? Cer cite cer cite.”

“Aku terserempak dengan dia masa dia marahkan seorang makcik. Masalahnya kecik je. Makcik tu terlanggar dia tapi dia punya marah macam nak gugur Malaysia ni.”

“Macam tu teruk?” Beria-ia Aisyah mendengarkan cerita dariku.

“Itu baru sikit. Ada lagi yang kau tak tahu.”

“Apa dia? Kalau kau tak cerita macam mana aku nak tahu.” Aisyah bagaikan tidak sabar untuk mengetahui berita yang bakal aku sampaikan.

“Tapi….” Hai, hati aku macam berat je nak cerita selanjutnya. Aku bukan apa, malas nak buka aibnya

“Tapi apa?”

“Tak apalah, malas aku nak cerita. Kita simpan esok-esok boleh tak?”

“Kau ni, ceritalah.” Desak Aisyah.

“Tak apalah. Biarlah rahsia tu aku yang simpan.” Aku mula berbelah bagi nak cerita. Buatnya aku cerita dan dia sampaikan kepada orang lain aku juga yang berdosa. Lepas tu pula mesti Encik Daniel malu punya.

“Kau saja kan tak nak cerita kat aku. Ceritalah apa yang dah jadi.”

“Dahlah, aku nak masuk bilik Cik Rina ambil sampah. Nanti kita sambung cerita lagi.”

Aku tinggalkan Aisyah dalam keadaan terpinga-pinga. Kesian pulak aku tengok Aisyah yang ternanti-nanti akan cerita yang bakal nak aku sampaikan. Tapi aku tak sampai hati nak cerita. Mungkin aku perlu bercerita tentang kecurangan Cik Yasmin, namun Aisyah bukanlah orang yang tepat.

Semenjak dari peristiwa itu juga, aku dapat rasakan yang Cik Yasmin sering kali mengelak dari ku. Nampak sangat dia takut,kan? Ala biasalah, kalau orang dah buat salah selalu saja rasa takut. Tapi aku berlagak selamba je. Lagi pun aku tak ada buat salah pun.

“Hai, Reisya. Saya tengok awak ni sejak akhir-akhir ni diam je. Macam orang ada masalah je.” Amboi, sejak bila pulak Cik Rina ni suka perhatikan aku. Macam tahu je yang aku ni ada masalah.

“Tak ada apalah Cik Rina. Saya okey je. Cik Rina tu yang fikir bukan-bukan.” Aku cuba menutup rasa gelisahku. Aku tak nak Cik Rina tahu yang aku ada masalah. Biarlah aku yang menanggungnya seorang.

“Mustahil. Awak kalau ada masalah, cakap je dengan saya.” Pelawa Cik Rina kepada ku. Memang aku amat menghargainya, tetapi aku tetap tidak akan menceritakan apa yang terjadi.

“Betul, saya tak ada apa-apa.”

“Reisya jangan nak tipu saya. Sekilas air saya tahu ada yang tak kena.”

“Nampak sangat ke Cik Rina?”

Cik Rina angguk perlahan. Aduh! Takkan nak cerita kot?

“Awak suka dengan Encik Daniel kan?” Wa…. Ini yang paling aku tak suka. Macam mana dia tahu? Ah, ini mesti Aisyah yang punya kerja. Mesti dia cerita pada Cik Rina. Malulah aku aku macam ni. Mana aku nak sorokkan muka comel aku ni. Cik Rina ni memang nak kenakan aku agaknya. Aku dah hilang kata selain blushing original aku terus merah menghiasi wajah ku.

“Cik Rina ni, kesitu pulak dia. Encik Daniel dah ada buah hatilah Cik Rina. Manalah dia nak pandang saya ni.”

Cik Rina tersenyum memandang kepadaku.

“Ala….. makwe je pun. Bukannya isteri.” Ujar Cik Rina.

Aku memandang ke kiri dan kanan. Kemudiannya ke belakang. Yelah, mana tahu buah hati pengarang jantung aku ada kat situ. Mahu aku malu tahap gaban. Cik Rina ni pun satu. Tak boleh nak cover langsung.

“Kalau tak nak mengaku tak apalah.” Dalam keadaan serba salah aku tinggalkan Cik Rina dan terus menuju ke pantry.

Aku masuk ke dalam bilik pantry sambil menyanyi kecil. Terkejut aku bila melihatkan Encik Daniel yang sedang memanaskan air. Alamak, apa pulak dia buat dalam ni? biasanya setiausaha dia yang buatkan air. Tak pernah-pernah dia buat air sendiri. Hatiku mula tertanya-tanya. Nak tegur ke tidak ni? Kalau tegur nanti dia kata aku ni gatal. Kalau aku tak tegur pulak dia kata aku ni sombong. Nasib baiklah kau tu bos. Terpaksa jugalah aku menegur.

“Encik air nak buat air ke?” Encik air? Eh, apa pulak aku cakap ni? Entah kenapa aku boleh tersasul pulak. Aku memukul lembut bibirku yang tak bertamadun. Gagap pula aku nak bercakap dengan dia.

Debaran hati aku dah tak boleh nak cerita. Dak duk dak duk dah macam gong yang berbunyi. Ternyata Encik Daniel terkejut melihat aku kat situ dan tiba-tiba menegur dia.

“Saya nak buat air nescafe. Tak apa, saya boleh buat sendiri.” Aku dah agak dah. Mesti dia tak nak aku buatkan air untuk dia.

“Kalau Encik Daniel nak air saya boleh buatkan untuk encik. Encik duduk dulu sementara saya buatkan.”

“Saya nak buat sendiri.” Aku dengar suara Encik Daniel mula menekan.

“Biar saya buat. Lagi pun saya buat air sedap tau.” Bukan main lagi aku memuji diri sendiri.

“Awak ni memang tak faham bahasa ke? saya kata saya nak buat sendiri, saya nak buat sendirilah.” Tegas sahaja nada Encik Daniel kepada ku.

“Hai, tolong pun kena marah juga ke?”

“Dah awak tak faham bahasa. Nak saya cakap bahasa Itali ke?” Wajah Encik Daniel aku nampak macam tertekan sangat. Dah kena dengan dia ni? Nak marah tak tentu pasal.

“Encik Daniel, kalau ada masalah sebesar mana pun marah tu bukan jalan penyelesaianya.” Perlahan sahaja aku bersuara. Orang tengah marah aku tak boleh nak tinggikan suara. Nanti bertambah marah pulak dia.

“Encik Daniel ada masalah nak kongsi?”

Encik Daniel diam bila aku bertanya.

“Kalau Encik Daniel ada masalah nak kongsi, saya sedia dengar.”

“Awak siapa nak saya kongsikan masalah saya?”

“Ada masa kita kena kongsi masalah kita, Encik Daniel. Kalau tidak dengan orang yang kita kenal mungkin dengan orang yang kita tak kenal.”

“Jangan campur urusan saya boleh tak? Sebelum awak nak jaga tepi kain orang, jaga dulu kain awak sendiri.”

“Bukan niat saya nak campur urusan Encik Daniel. Tapi, saya ikhlas nak tolong Encik Daniel.”

“Simpan saja pertolongan awak tu. Please jangan ganggu saya.”

“Saya minta maaf kalau saya ni menggangu Encik Daniel. Saya pergi buat kerja lainlah. Kalau tak ada kerja, saya buat-buat ada kerja.”

Sedih hatiku bila Encik Daniel marah aku macam tu sekali. Kalau tak nak terima pertolongan cubalah cakap elok-elok. Aku sempat pandang kepada Encik Daniel. Betapa aku tengok wajahnya sedih dan sugul. Aku pasti ada sesuatu yang menggangu fikirannya.

Aku kemudianya berlalu meninggalkan Encik Daniel sendirian bagi menenangkan hatinya. Orang tengah marah, kalau disimbah dengan api, makin maraklah api kemarahan tu. Sebelum aku meninggalkan bilik pantry, aku sempat memandang Encik Daniel sekali lagi. Nampak sangat dia tengah runsing. Bukan aku tak nak tolong. Dia sendiri yang menolak. Takkan aku nak paksa pulak.

Aku melangkah kemas untuk menuju ke pintu lif. Al-maklumlah, waktu balik. Tambah pulak masa sesak macam ni. Kenalah aku bergerak pantas. Namun belum sempat aku nak melangkah ke pintu lif, aku nampak Cik Yasmin melangkah pantas menuju ke arahku. Makin lama makin dekat. Makin lama makin dekat. Wah, nampak sangat marahnya tu.

Entah mengapa makin dekat dia menuju ke arahku, hatinya pula rasa macam tak tentu arah. Jantungku bagaikan terhenti bila aku tengok dia pandang aku macam aku ni buat masalah pada dia. Aku dapat rasakan ada sesuatu perkara yang tak ingin akan berlaku.

Pang! Perit aku rasakan saat itu. Tamparan dari Cik Yasmin membuatkan aku terkejut. Dah kenapa dengan minah ni? Tampar anak dara orang sesuka hati.

“Kau memang jenis orang yang busuk hati, kan!” Jerit Cik Yasmin pada ku. Aku memandang ke segenap sudut. Ramai orang memandang kepada ku. Rasa malu mula menebal. Aku tidak tahu mana aku nak sorokkan muka ku saat itu.

“Apa ni Cik Yasmin? Saya tak faham.” Ada manik jernih yang bakal kutitiskan.

“Awak tak faham ke awak buat-buat tak faham?”

“Saya memang tak faham. Apa salah saya dengan Cik Yasmin?”

“Kau dengar sini ye. Sedar diri tu sendiri. Kau cuma perempuan miskin yang busuk hati. Kau jangan ingat aku tak tahu apa yang kau dah buat. Aku belum habis perhitungan dengan kau.”

“Memang saya miskin dan saya sedar semua tu. Tapi saya memang tak tahu apa salah saya.” Aku cuba mempertahankan diri. Bukan apa, ini dah melihatkan maruah aku. Takkan aku nak mengalah macam tu saja walau pun aku tak tahu apa yang dah berlaku.

“Sudah, kau jangan berdolak-dalik dengan aku. Kau dengar sini. Aku tak puas hati lagi dengan kau. Kalau terjadi apa-apa, kaulah orang pertama yang aku cari.”

Cik Yasmin meninggalkan aku dengan terpinga-pinga. Aku sendiri tak faham kenapa dia boleh berikan ‘sedas’ kat pipi comel ku. Aku menggosokkan pipi yang sudah merah. Sakit….. air mata ku tidak boleh ditahan. Akhirnya mengalirkan air mata. Hangat ku rasakan. Tidak pernah aku dimalukan sebegini.

“Awak okey ke?” Aku tergamam. Suara itu memang aku kenal. Suara buah hati pengarang jantung ku, Encik Daniel. Suaranya benar-benar dibelakang ku.

Aku berpaling perlahan. Sebelum itu aku sempat juga menyeka air mata yang tumpah di pipi. Aku tak nak dia tengok muka ku yang sedih macam ni. Dia ni, apa pulak dia buat kat sini? Nak tambah satu lagi hadiah kat pipi aku ke? cukuplah dengan rasa perit yang aku terima dari Cik Yasmin tadi. Ini, dengan kudrat lelaki mahu aku pengsan kat sini. Tapi kalau dia nak tampar aku, tak adalah dia tanya aku okey ke tidak. Baik dia terus attack aku.

“Saya okey.” Jawab aku perlahan. Aku tunduk dan tak sanggup aku nak bertentang mata dengan dia.

“Awak ikut saya.” Hah? Terus sahaja aku pandang wajahnya.

Ikut? Kat mana?

“Nak pergi mana?”

“Saya kata ikut, ikut jelah. Jangan banyak soal.”

“Tapi pergi mana?” Aku tanya lagi. Yelah, tak puas hati kalau dia tak beritahu mana dia nak bawa aku.

“Ada orang nak berjumpa dengan awak.”

“Siapa?”

“Awak akan tahu kalau awak ikut saya.”

“Tapi….”

“Kalau awak tak ikut, matilah saya.” Mati? O…. tidak. Mendengarkan perkataan itu, hatiku dah tak keruan. Ini dah kes mengugut orang.

“Cepatlah!” Aku terus mengekori Encik Daniel dari belakang tanpa sebarang soalan.

“Sebelum tu awak kena ikut saya pergi butik dulu. Tukar baju tu.” Ujar Encik Daniel kepadaku. Aku memandang keadaan diriku. Hai, teruk sangat ke aku ni?

“Tak payahlah Encik Daniel. Baju yang saya pakai ni pun bukannya menjolok mata pun. Ini pun dah cukup baik.”

“Tapi….”

“Apa salahnya saya pakai baju kurung. Saya tak sukalah dengan baju yang mahal-mahal. Gatal.”

“Hish awak ni.” Aku tersenyum bila aku tengok Encik Daniel mengeluh. Hish! Kenapalah dia mengeluh pun nampak comel. Nampaknya tak tidur malamlah aku terbayangkan wajahnya.

“Saya nak jadi diri saya. Bukan orang lain. Cepatlah Encik Daniel. Dah pukul berapa ni? Nanti lambat pulak saya balik rumah.”

“Okey, kalau macam tu saya bawa awak pergi grooming.”

Grooming? Bahasa apa pulak tu?”

“Susah betullah dengan awak ni.”

“Yelah, mana tahu bahasa yang Encik Daniel guna. Saya ni SPM pun cukup makan.”

“Erm… patutlah.”

“Apa?”

“Tak… grooming tu maksudnya make up. Nak make-up awaklah.” Aku menggeleng pantas.

“Tak nak juga. Habis awak nak apa?”

“Tak payahlah Encik Daniel. Buang masa ke semua tu. Saya akan bersolek. Tapi untuk bakal suami saya je. Sebab dia yang lebih berhak.” Sekali lagi aku patahkan kata-kata Encik Daniel. Memang tak bersuara selepas tu. Bukan niatku. Aku cuma cakap dari hatiku sendiri.

Mungkin sebab dia tak nak bergaduh denganku, Encik Daniel terus mengajakku berlalu dari situ. Aku pun tak banyak cakap terus je mengekori dari belakang. Aku memandang kepada Encik Daniel yang tenang dalam pemanduannya. Sudah, kemana pulak dia nak bawa aku ni? Tidak lama kemudian, dia membelok ke perkarangan rumah bangle 3 tingkat. Wah, ini dah kira bahaya. Menyesal pulak aku ikut dia tadi.

“Jemput masuk.” Pelawa Encik Daniel. Tak nak aku. Mati hidup semula aku tak nak masuk ke rumah dia. Sudahlah rumah bujang. Tak kenal pulak tu.

“Masuklah. Jangan takut. Keluarga saya tengah tunggu awak.” Keluarga?

Aku menggeleng kepala. Tak nak! Aku mana kenal keluarga dia. Yang dia ni pun satu. Ajak datang rumah kenapa pulak?

“Tak apalah. Awak take time. Saya masuk dulu. Lepas ni saya datang semula.” Aku hanya memandang kepada Encik Daniel dengan seribu pertanyaan. Dia selamba masuk ke rumah sambil tinggalkan aku sendirian. Kalau aku kena culik macam mana?

Namun tidak lama kemudian, aku terpandangkan seorang wanita menghampiriku. Macam kenal je. Eh, itu bukan Cik Rina ke?

“Eh, Cik Rina. Apa yang Cik Rina buat kat sini?”

“Saya tinggal kat sini.” Terbuntang mataku mendengarkan kata-kara Cik Rina itu. Jadi…. Selama ni Cik Rina dengan Encik Daniel….

“Encik Daniel tu adik sayalah. Kenapa? Awak terkejut?”

“Kenapa Cik Rina tak nak beritahu dengan saya awal-awal?” Rasanya macam nak balik je masa tu juga. Malu tau. Sudahlah dia tahu yang aku minat gila dengan Encik Daniel.

“Dah, tak payah nak malu sangat. Jom masuk.” Cik Rina menarik tanganku perlahan. Memang aku takut masa tu. Mana pernah aku jejakkan kaki ke dalam rumah besar seperti itu. Rumahku yang flat tu pun aku rasa dah cukup besar, apa lagi dengan rumah bangle. Saujana mana memandang.

Saat aku melangkah masuk ke dalam rumah itu, aku terkejut dengan kehadiran Cik Yasmin di ruang tamu. Pulak dah, ini drama apa pulak yang nak buat ni? Ternyata Cik Yasmin terkejut dengan kedatanganku ke rumah itu. Sekarang ni memang aku tak faham. Apa peranan aku kat sini sebenarnya.

Aku melabuhkan punggung di sebelah Cik Yasmin. Namun dengan perlahan Cik Yasmin menjarakkan dirinya. Sedih pula rasanya saat itu. Hina sangatkah aku. Fikiranku melayang. Mungkin dia saja nak balas dendam dengan aku. Sebab itu dia ajak datang rumah dan bagi aku sakit hati. Tapi, aku masih tak faham dengan tamparan hebat yang telah diberikannya tadi.

Pandanganku kemudiannya berkalih kepada Encik Daniel yang turun dari tingkat atas. Aduh! Handsomenya dia. Aku rasa kalau dia pakai baju melayu, lagi kacak.

“Sayang… kenapa perempuan ni ada sekali. Sayang tahukan kan sebab mulut dia kita bergaduh. Halau dia dari rumah ni.” Jelingan dari Cik Yasmin benar-benar buat aku serba salah.

“Kenapa Min kata yang dia buat kita bergaduh?”

“Sebab dia kata yang Min ada lelaki lain. Semua tu bohong.”

Aku betul-betul terkejut. Bila masa pulak aku kata dia ada lelaki lain. Setahu aku, tak adalah mulut aku ni gatal nak cerita sana sini.

“Bila masa pulak saya cerita? Saya tak pernah cerita dengan orang lain walau pun dengan Encik Daniel sendiri.”

Encik Daniel pandang aku tepat. Aku menggarukan kepala. Demi nak pertahankan diri terus aku buka cerita.

“Jadi? Awak tahu semuanya. Kenapa awak tak cerita dengan saya?”

“Saya tak nak Encik Daniel kecewa. Lagi pun Encik Daniel mana nak berborak dengan saya. Saya nak tolong Encik Daniel pun Encik Daniel marah saya balik.” Statement aku memang tak menahan. Aku pulang paku buah keras kat dia.

“Perempuan, kau jangan nak tipu. Aku tahu kau yang beritahu semuanya. Sebab kau saja yang ada masa tu.”

“Betul. Saya tak cakap apa-apa. Bukan saya.”

“Jangan nak bohong. Habis? Kalau buat kau yang bawa mulut siapa lagi? Aku?”

“Saya!” terus pandangan mataku kepada empunya suara. Aku seperti pernah mendengar suara itu. Tapi di mana ye?

“Mungkin Reisya dengan Yasmin tidak kenal akan saya. Tapi saya kenal awak berdua. Saya kenal pun melalui anak saya.”

“Yasmin, buah hati anak saya. Awak tahu tak sayalah wanita yang awak pernah herdik dulu. Depan mata saya juga awak bersama-sama dengan lelaki lain.”

Aku terus memandang kepada Cik Yasmin. Betapa wajah Cik Yasmin berubah 360 darjah. Nampak sangat cuaknya. Kemudian aku bari perasan itulah wanita yang telah diherdik oleh Yasmin dahulu.

“Dan Reisyalah yang menolong saya.” Terkulat-kulat aku mendengarkannya. Sekarang, persoalannya siapakah wanita itu?

“Kalau awak nak tahu sayalah ibu kepada Daniel.” Hah? Aku memandang kepada Cik Yasmin sekali lagi. Pucat seluruh wajahnya bila mendengarkan kebenaran itu.

“Saya minta maaf… makcik… er…. Datin… er… puan sri….” Aku nak gelak tapi aku kasihan. Memang gagap Cik Yasmin ketika itu. Semuanya keluar dari mulut dia.

“Mula-mula saya tak percaya bila Daniel kata nak meminang awak, Yasmin. Saya selidik lagi dan memang saya tak silap. Awaklah yang saya jumpa dulu. Awak tengking saya dan kemudia yang paling membuatkan hati saya sakit bila awak bermain kayu tiga di belakang anak saya.”

“Mama….”

“Sekarang saya nak dengar dari mulut awak sendiri. Apakah awak ada hubungan dengan lelaki lain selain anak saya?”

Cik Yasmin tunduk. Bergetar seluruh tubuhnya bila dia soal oleh Datin Sri Sofiah.

“Sekarang awak jawab dengan jujur.”

Cik Yasmin mengangguk. Akhirnya pecah juga tembelang Cik Yasmin. Apa yang penting bukan dari mulutku. Encik Daniel kelihatan tidak senang bila Cik Yasmin disergah sebegitu.

“Mama…”

“Daniel, dia bukannlah perempuan yang elok dibuat isteri. Dia menduakan kamu dan dia tidak menghormati orang tua. Kalau sekarang dia sudah curang dengan Daniel apa lagi kalau dah kahwin. Maafkan mama. Kalau dialah yang Daniel pilih, mama takut Daniel akan merana.”

Aku tengok wajah Cik Yasmin merah padam.

“Sayang….” Air mata Cik Yasmin kini mengalir. Dia segera menghampiri Encik Daniel.

“Aku nak dengar dari mulut kau sendiri, Yasmin. Apa betul apa yang mama aku cakap? Kau ada lelaki lain selain dari aku?”

“Maafkan aku, Daniel. Aku janji aku tak akan buat lagi.”

“Cukup Yasmin! Aku kata cukup! Selama ini aku hanya pekakkan telinga bila orang mula bercakap yang bukan-bukan tentang kau. Sekarang aku sedar, selama ini kasih sayang yang kau berikan adalah palsu! Dan dengan mama pun kau sanggup nak kurang ajar. Maafkan aku, Yasmin. Mulai saat ini dan ketika ini, aku tak nak ada apa-apa hubungan pun dengan kau!”

“Tapi….”

“Tak perlu kau merayu, Yasmin. Keputusan aku adalah muktamad.” Cik Yasmin bagaikan orang gila bila Encik Daniel mahu memutuskan hubungan dengan Cik Yasmin. Aku merasa serba salah bila melihatkan peristiwa itu. Sedih pula aku dengan apa yang telah berlaku. Namun, nasi dah jadi bubur. Kalau Cik Yasmin tidak bermain kayu tiga dengan Encik Daniel dan tidak mengherdik mama Daniel sudah tentu perkara ini tak akan terjadi.

Fine! Kalau itu yang kau nak. Lepas ini kau jangan nak cari aku lagi.”

“Dan aku akan pastikan perkara itu tidak akan terjadi.”

Cik Yasmin kemudiannya berlalu meninggalkan keluarga itu. Ternyata wajah Encik Daniel sugul. Kesiannya dia. Namun di wajahnya juga terselit rasa kelegaan yang mungkin selama ini dipendamkannya.

“Reisya…” Aku tersentak bila namaku dipanggil.

“Encik Daniel,”

“Saya minta maaf dengan apa yang sudah Yasmin lakukan kepada awak.”

Aku mengangguk.

“Tapi… saya masih tak faham kenapa saya berada di sini?” Aku bersuara setelah sekian lama aku berdiam diri. Aku pun nak tahu apakah fungsi aku kat sini.

“Makcik nak ucapkan banyak terima kasih pada Reisya. Dan makcik nak tahu yang bukan salah Reisya dengan apa yang terjadi sekarang ini.”

Aku tersenyum.

“Tapi, kesian saya tengok Cik Yasmin tadi.”

“Mungkin itu yang terbaik buat dirinya. Biar dia sedar dengan apa yang telah dia buat.”

“Tapi…”

“Makcik tahu yang Reisya anak yang baik. Reisya akan dengar kata orang tua. Oh ya, lupa pulak makcik. Tadi, makcik ada pergi rumah Reisya.”

Aku memandang ke kiri dan kanan. Yelah, mana tahu kalau ada kamera tersembunyi. Kalau kena prank tak ke aku yang dapat malu.

“Kami pergi rumah Reisya tadi. Merisik Reisya.” Terbuntang mata aku bila mendengarkan kata-kata Datin Sri Sofiah.

Aku menggelengkan kepala.

“Kenapa Reisya?”

“Encik Daniel masih bersedih, datin sri. Saya tahu yang Encik Daniel masih sayangkan Cik Yasmin. Saya tak layak, datin sri. Saya cuma tukang cuci pejabat sahaja. Lagi pun Encik Daniel tak suka dengan saya.” Tuturku.

“Tapi awak sayang dan cintakan Encik Daniel, kan?” Terus lidah aku kelu bila Cik Rina cuba untuk perangkap aku. Sesungguhnya aku memang malu nak jawab soalan itu sebab aku memang suka, sayang dan cintakan Encik Daniel.

“Jangan nak malu, Reisya. Makcik tahu segalanya. Daniel, hargailah insan yang sayang dan mencintai kita kerana ianya adalah indah. Mama tahu, mungkin berat untuk Daniel. Ada caranya untuk kita tahu apakah keputusan yang kita buat adalah tepat atau pun tidak. Daniel faham maksud mama?”

Encik Daniel memandang kepada Datin Sri Sofiah dan aku masih lagi terpinga-pinga dan masih terkejut dengan apa yang telah berlaku. Masa itu aku nak pandang kepada Encik Daniel pun aku segan. Aku nak senyum pun aku rasa macam kaku je bibir ku.

Air mata ku mengalir saat aku mendengarkan akan akad nikah ku disusuli dengan perkataan keramat ‘sah’. Aku kini sah menjadi isteri kepada Muhamad Daniel dengan sekali lafaz sahaja. Ekoran matatu ku mengiringi Encik Daniel yang datang menghampiri ku untuk upacara pembatalan air sembahyang. Dia kemudiannya menyarungkan cincin dijari manis ku. Aku mencapai tangannya dan aku mengucup lembut tangan yang bergelar suami itu. Aku terkesima bila dia mengucup lembut ke ubun-ubunku.

“Assalamualaikum, isteri ku.” Bagaikan terbang jasad ku ketika itu bila dengarkan suara lembut milik Encik Daniel. Suaranya begitu romantis sekali. Ya, suara yang aku idamkan selama itu. Seyuman manis dari Encik Daniel yang paling aku nantikan.

“Terima kasih kerana sudi menjadi rusuk abang. Izinkan abang menyayangi dan menyintai Reisya.” Aku mati dengan kata-kata. Debaran hatiku kian kencang. Nafas ku bagaikan terhenti. Terasa dunia ku gelap dan aku rebah dipangkuan Encik Daniel.

Aku membuka mata perlahan. Wajah pertama yang aku pandang adalah wajah buah hati ku kalau bukan Encik Daniel. Dia masih lagi kacak dengan baju melayu berwarna putih gading itu. Aku tak mimpi kan?

“Kenapa sayang pengsan? Tak makan pagi tadi ea…”

“Saya tak mimpi, kan?” aku tengok dia tersenyum dan menggeleng. Kemudiannya dia mencubit manja pipi ku.

“Buat abang panik je tau.”

Aku membulatkan mata. Aku memang tak ada niat nak buat dia rasa susah hati.

“Kenapa? Nampak macam blur je.” Ya! Memang aku tengah blur. Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku kepada diri ku. Betul ke Encik Daniel a.k.a buah hati pengarang jatung ku kini menjadi suami aku yang sah?

“Macam mana…”

“Hai, yang tadi abang pegang tangan tok imam apa cer? Rasanya tak salah pulak abang sebut nama penuh Reisya. Abang yakin, dengan restu keluarga dan petunjuk dari Allah abang yakin yang abang mengambil keputusan yang tepat untuk terima Reisya sebagai suri hidup abang.”

“Maafkan saya kalau buatkan Encik Daniel susah hati.” Aku tunduk.

“Ha, ini yang abang marah.”

“Kenapa?”

“Cukup-cukuplah panggil Encik Daniel tu. Panggil abang sekarang.”

“Abang?”

“Yelah, abang.”

“Saya tak mimpi?”

“Taklah sayang. Isteri abang tak mimpi.” Terus dia genggam tangan ku dan mengucup lembut.

“In sha allah…. Abang akan cuba menyayangi dan menyintai Reisya seperti mana Reisya sayang dan cintakan abang.” Aku memandang ke anak matanya. Sinar matanya memberikan aku jawapan. Ya, aku tidak bermimpi. Aku bersyukur dengan kebahagiaan yang telah diberikan kepada ku. Kini, aku yakin dengan ketentuan Allah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.