Home Novel Cinta Sayangku Untukmu
Sayangku Untukmu
Siti Norshimah Binti Md Yasan
29/4/2016 16:59:21
10,292
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 12

BAB 12

Wardina setia menanti Fatimah di kolam renang. Entah mengapa pagi itu dia ingin bersarapan di situ. Yang nyata, dengan ketenangan air kolam itu dapat melupakan apa yang telah terjadi tempoh hari. Dia tidak menyangka sampai begitu sekali Farish mentafsir dirinya. Wardina merasakan dia bersalah dalam hal ini. Niatnya adalah baik. Menyatukan dua hati namun kini dirinya pula yang dipersalahkan.

Namun dia tidak sangka dalam erti kata dia ingin merapatkan hubungan Farish dan Najwa dia yang menjadi mangsa keadaan. Pertolongannya selama ini dibalas dengan tuba. Sungguh dia tidak sangka apa yang diharapkan selama ini bagaikan mimpi. Apa yang pasti Najwa sedikit pun tidak mempunyai hati kepada Farish. Farish pula dibayangi rasa kecewa yang amat sangat. Kesalahan Najwa pula kini berada di pundaknya. Berat dan menyakitkan.

Walau bagaimana pun Wardina berdoa agar apa yang Farish impikan akan menjadi satu realiti. Dia merasa kasihan dengan Farish yang masih menagih kasih kakaknya itu. Wardina berharap yang kakaknya itu akan dapat menerima kehadiran Farish. Dia juga tidak mahu Farish merasa kecewa kerana itulah dia memberikan harapan palsu untuk lelaki itu. Bukan niatnya untuk berbohong. Namun rasa simpati yang tertanam menjadikan dia berbuat demikian. Dia terpaksa.

Dia tahu seandainya dia tidak menyimpan harapan kosong kepada Farish sudah tentu Farish tidak berjaya seperti sekarang ini. Wardina mengeluh. Hidupnya kini bagaikan satu percaturan. Tidak tahu bagaimanakah dia mampu menempuh hidup untuk berhadapan dengan Farish. Dia merasa malu. Malu dengan apa yang telah berlaku dan apa yang telah dilakukan oleh Farish.

“Termenung jauh nampaknya. Teringatkan siapalah tu.” Wardina berpaling. Kelihatan Fatimah sedang menatang dulang berisikan air teh dan mee goreng sebagai hidangan pagi itu.

Wardina melemparkan sebuah senyuman walau pun hatinya sedang dibaluti rasa perit. Fatimah melabuhkan punggung di hadapan Wardina sambil menuang air. Dia tahu, Wardina mempunyai masalah. Wajah manis itu jarang menunjukkan wajah yang muram. Wardina selalu sahaja ceria dan suka bergurau. Dan hari ini, Wardina lebih suka menyendiri dan sering bermuram. Fatimah yakin masalah dihadapi oleh anak majikannya adalah masalah yang berkaitan dengan hati dan perasaan. Masakan anak gadis itu sering termenung.

“Apa yang difikirkan tu? Macam berat je masalah. Boleh Mak Timah tahu? Manalah tahu yang Mak Timah boleh tolong.” Pujuk Fatimah dengan penuh ikhlas.

Wardina diam. Hatinya masih lagi sedih. Dia tidak memandang kepada Fatimah sebaliknya dia lebih memandang kepada air kolan yang tenang. Ketenangan air kolam tidak sedikit pun menggambarkan perasaanya kini yang bergelora gara-gara peristiwa semalam.

“Itu pun kalau Nana nak berkongsi dengan Mak Timah. Yelah…Siapa Mak Timah ni nak tahu hal Nana. Anak majikan Mak Timah pulak tu.”

“Kenapa Mak Timah cakap macam tu? Nana tak pernah pun nak membezakan Mak Timah tau.” Nada Wardina seakan merajuk. Dia terus memandang kepada Fatimah.

“Merajuklah pulak. Anak dara. Ini mesti kes cinta. Nana selalunya tidak macam ni.” Ujar Fatimah sambil menghidangkan mee goreng kepada Wardina.

“Kenapa pulak Mak Timah cakap macam tu?”

“Yelah, selalunya Nana sentiasa ceria. Terutama sekali waktu pagi begini. Nana pernah berkata orang yang muram waktu pagi rezekinya lari. Sekarang apa dah jadi?” Fatimah memulangkan paku buah keras. Wardina senyap tiada menyambut kata-kata Fatimah.

Fatimah memandang kepada Wardina yang agak muram itu. Seolah ada sesuatu yang difikirkan oleh gadis itu.

“Apa yang menghantui fikiran Nana? Nana menangis ke? Mak Timah tengok mata Nana sembab. Ini mesti ada apa-apa.” Wardina ketawa. Bagikan ada kelucuan dengan kata-kata Fatimah itu.

“Mak Timah ada-ada je. Mana Mak Timah tahu? Ada tertulis dekat muka saya ni ke?”

“Mak Timah tahulah,”

“Sepatutnya Mak Timah kerja mata-mata sebab boleh scan orang. Nampaknya Mak Timah dah salah ambil jurusan kerja ni.” Ujar Wardina yang cuba untuk menutup rasa tidak senang di dalam hati.

Fatimah tersenyum. Dia sudah mengagak.

“Atau nampak sangat saya macam orang tengah mabuk bercinta? Mak Timah tanya saya macam lagak seorang pegawai polis yang soal siasat penjenayah. Mana satulah yang perlu saya jawab dulu ni Mak Timah…” Gurau Wardina sambil ketawa kecil.

Wardina merasa terhibur dengan orang gajiannya itu. Wardina mengakui dia merasa tenang disamping Fatimah. Segala rahsianya juga banyak diceritakan dengan Fatimah. Fatimah juga dianggap tempat dia merujuk masalah dan bermanja.

“Tidaklah. Mak Timah tengok sejak Nana balik dari rumah Pak Mat Nana asyik muram je. Termenung sana. Termenung sini. Hah, hari ini. Entah apa angin nak makan kat sini pulak.”

“Kalau Nana ada masalah cubalah cerita dengan Mak Timah. Mak Timah sudi mendengarnya. Manalah tahu kalau Mak Timah boleh membantu Nana.” Fatimah tidak mahu berputus asa.

Wardina menghadiah keluhan yang keras sebagai pembukaan kata. Dia tidak yakin perlukah dia berterus-terang dengan Fatimah. Dia tidak mahu dikatakan sebagai orang yang suka jaga tepi kain orang.

“Atau pun Nana teringatkan anak buah Pak Mat tu. Ala…. Siapa nama dia? Fadley? Fazley? Mak Timah pun dah tak ingat nama dia.”

“Fazley, Mak Timah. Ada pulak ke situ Mak Timah ni.”

“Yelah… mana tau kan.”

“Tak adalah. Mana ada Nana teringatkan dia. Sikit pun Nana tak pernah nak fikirkan tentang dia. Apa lagi nak ingatkan dia. Nana pun baru je kenal dia. Cuma……”

“Cuma apa Nana? Ada sesuatu yang berlaku ke? Atau pun Nana tak yakin dengan jodoh?”

“Bukan macam tu, Mak Timah.”

Wardina tidak tahu bagaimana untuk dia bercerita. Untuk membuka pekung di dada? Bukan semudah itu untuk dia mengalah. Dia tahu, soal hati dan jodoh adalah datang dariNYA. Kalau bercinta seribu tahun kalau sudah tiada jodoh tak boleh nak dipersoalkan.

“Jangan difikirkan sangat Nana. Andai kata kita fikirkan sangat, kelak akan memakan diri sendiri dan menyeksakan kita. Adalah lebih baik ianya datang dengan sendiri dan bukannnya dengan paksaan.” Wardina memandang ke arah Fatimah. Ada nada kejujuran di situ. Wardina mempamerkan senyuman buat wanita itu.

“Itulah yang merunsingkan Nana, Mak Timah. Nana sudah melakukan kesalahan yang amat besar.” Wardina mengangguk. Cuba untuk dia mengumpul ayat untuk bercerita.

“Nana cuba untuk menjadi orang tengah dalam merapatkan hubungan yang suci. Tapi Nana tidak pernah menyangka apa yang telah Nana lakukan akhirnya berakhir dengan jawapan yang amat memeritkan. Salah ke Mak Timah andainya Nana cuba untuk merapatkan hubungan demi menjalinkan silaturrahim? Apa dosa Nana Mak Timah sekiranya Nana dipersalahkan?” Ada manik-manik jernih yang jatuh di pipinya. Nana segera menyeka. Apabila dia terkenangkan, wajah Najwa dan Farish bersilih ganti.

“Nana, memang tidak salah untuk kita merapatkan hubungan demi menjalinkan hubungan yang suci. Namun Nana kena fikir, adakah berbaloi kita merapatkan hubungan yang pada kita keputusannya masih belum pasti?”

Wardina mengamati kata-kata Fatimah itu. Memang ada benarnya.

“Kita kena fikir adakah pihak yang ingin kita libatkan inginkan hubungan ini? Kerana itulah, Mak Timah pesan. Jodoh akan datang bila-bila masa sahaja. Cuma lambat dan cepat sahaja. Namun apa yang pasti jodoh tidak boleh dipaksa. Ianya datang dengan sendiri tanpa kita sedari.” Wardina senyap. Dia mengamati setiap kata-kata yang dilafazkan oleh Fatimah.

“Ianya berkaitan dengan hati dan perasaan. Dan apa yang paling penting, seandainya Nana yakin dengan jodoh yang datang, belajarlah untuk menyayanginya. Tak rugi kalau kita belajar menyayangi orang lain.”

“Maksud Mak Timah?”

Wardina berpaling kepada Fatimah. Ada tersirat di dalam kata-kata itu.

“Nanti bila masanya Nana akan faham semuanya. Kadang-kala orang yang bercinta bagai nak rak pun tak kahwin sebab apa? Sebab tak ada jodoh. Kadang-kala pula orang yang tidak pernah terlintas di fikiran kita itulah yang akan menjadi jodoh kita. Biarlah. Biarkan Kak Najwa kamu tu dengan jodohnya.”

“Nana kesiankan Kak Najwa.” Ada nada perlahan di hujung perbualan Wardina itu.

“Lambat-laun ia akan pasti tiba. Jodoh, ajal maut semuanya di tangan Tuhan. DIA yang menentukan.” Wardina tunduk. Seolah-olah ianya ditujukan kepada dirinya.

Wardina sedar, semenjak dia pulang dari rumah Pak Mat, Fazley tidak henti-henti menelefon atau memberikannya SMS. Namun semuanya dia tidak layan dan hanya berbual dengan perkara yang perlu sahaja.

“Bagaimana Mak Timah seandainya hati ini berat untuk insan asing dalam hidup kita?” Wardina cuba mencari jawapan dari bibir Fatimah.

“Kan Mak Timah dah kata. Kita boleh belajar menyayanginya.”

“Bagaimana untuk memujuk hati agar dapat belajar menyayangi sekiranya pintu masih lagi tertutup? Nana tak mahu terluka dikemudian hari. Bukankah erti sebuah perkahwinan bila hati menjadi satu?” Fatimah tersenyum dengan luahan perasan Wardina itu.

“Memang benar. Tapi…. Kadang-kala panas yang kita harapkan bukanlah sampai ke petang. Kedukaan akan datang bila-bila masa saja. Lihat sekarang. Ramai anak muda yang berkahwin atas dasar cinta itu adakalanya berakhir dengan penceraian. Pokok pangkalnya hati kita sendiri.”

“Adakalanya bila kita merangkak belajar mengasihi pastinya akan menjadi lautan kasih yang tiada bertepi. Nana jangan jadi seperti Mak Timah. Hidup Mak Timah sentiasa dengan kedukaan. Adakala Mak Timah fikir tidak semestinya insan yang menyukai dan menyintai kita sanggup hidup bersama kita.”

Wardina menjadi pendengar setia. Kata-kata itu bagaikan memanjat rasa semangat yang kian hilang semenjak kelmarin.

“Oleh itu, Nana harus bijak untuk menilai. Jangan yang jauh kita timang, yang dekat kita buang. Nana faham maksud Mak Timah bukan?” Wardina menggenggam erat tangan Mak Timah. Hatinnya bagaikan puas setelah mendengarkan nasihat dan panduan dari Fatimah.

“Nana suka dengan Fazley?” Wardina terkejut dengan pertanyaan Fatimah.

Wajah Fazley mula bermain di ruang matanya. Dia sebenarnya tidak tahu di manakah harus diletakkan Fazley dalam hidupnya. Perlukah dia menerima anak muda itu? Dia cuma kenal Fazley hanya beberapa hari masakan dia perlu menerima Fazley dalam hidupnya? Adakah ianya untuk sekadar sebagai seorang rakan atau menjadi teman hidup? Ah, masih jauh lagi untuk memikirkan tentang perkahwinan.

“Mak Timah ada saja nak sakat kita. Siapa cakap yang Nana suka dia? Entah-entah Mak Timah yang minat dengan dia tak?” Fatimah ketawa.

Wardina juga turut tersenyum. Tidak pernah terfikir difikirannya yang Fazley akan bertahta di hatinya.

“Manalah tahu, Nana dah berkenan dengan dia. Ala… apa nak malukan? Nana bukannya ada buah hati. Hah, apa lagi? Orang dah hulurkan salam perkenalan tu ambil jelah. Nanti Nana juga yang putih mata. Baik dah dapat jodoh sekarang, kalau melepas kena tunggu lagi. Jangan tunggu lama-lama. Orang lelaki ni kalau dah jemu dengan kita dia mulalah nak cari yang lain. Macam mana dengan Nana?”

“Susahlah nak cakap Mak Timah. Lagi pun Nana baru saja kenal dia. Latar belakangnya pun Nana tak tahu. Takkan Nana macam tu saja nak terima perkenalan dia? Buatnya dia tu kasanova tak ke haru saya nanti?”

“Hish! Jangan nak menilai orang macam tu sekali. Mula-mula kita berkenalan dulu, jadi kawan. Kalau ada jodoh, kita sendiri tak boleh nak tolak, sayang.”

“Nanti dululah Mak Timah. Nana nak kenal dia sebagai teman dahulu. Nana tidak mahu menyimpan perasaan terlalu awal. Manalah tahu dia dah ada buah hati. Nanti saya pulak yang merana.” Wardina cuba untuk bermain dengan perasaanya. Kata-kata Fatimah banyak yang memberi kesan di dalam hatinya.

“Mak Timah bukan apa, risau tengok Nana. Pergi keluar bandar pun kalau tak ada umi Nana pasti Nana tak akan keluar punya. Itu tandanya Nana tak ada teman istimewa. Sekarang nilah nak cari teman hidup.” Pujuk Fatimah. Dia tahu, Wardina tiada teman lelaki. Kalau tidak sudah tentu waktu begini dia sudah bersiap untuk temu janji.

“Amboi Mak Timah bukan main lagi. Sajalah tu nak usik Nana.”

“Nanti kalau lambat, rugi tau. Tapi Mak Timah puji dengan sikap Nana. Sebelum kita nak hidup bersama, kita kena kenal hati budinya.” Ucap Fatimah jujur.

Walaupun Wardina dari kalangan orang yang berada, namum Dato’ Karim dan Datin Sakinah masih menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anaknya. Wardina umpamanya, dia tidak pernah mengukur seseorang dari latar belakang dan dia senang berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Kalau bercinta tu janganlah pulak lama-lama sangat. Nanti putih mata pulak. Siapa yang rugi? Nana juga yang rugi. Kawan-kawan yang lain semua dah beranak-pinak Nana saja yang masih lagi mencari calon.” Fatimah masih lagi sempat mengusik.

Wardina menjamah mee goreng yang telah tersedia. Mee yang dirasakan seperti kosong. Tiada perasa. Mungkin kerana perasaannya yang kini sedang bercampur baur. Dia tidak tahu apakah yang perlu dikatakan lagi. Nampaknya semuanya risau dengan jodohku. Tapi.. macam mana nak buat kalau tak ada orang yang nak?

“Itu yang Timah cakap tadi. Belajarlah menyayangi orang lain. Manalah tahu dengan belajar sayang kita akan cinta dengannya. Izzahkan ada? Nana boleh tanya tentang Fazley pada dia. Dia dah kahwin ke belum? Dia ada makwe ke tidak? Dia kerja apa? Duduk dekat mana? Semuanya Nana boleh korek.”

“E…. tak naklah Mak Timah. Nanti apa pulak orang kata. Anak dara tak tahu malu.”

“Hanya satu yang Mak Timah ingin pesan dengan Nana. Jangan persiakan harapan orang lain kerana seandainya dianya terluka, satu hari nanti Nana akan teruk dari itu.” Nana akur. Dia kemudiannya mendiamkan diri. Dia mula berfikir. Berfikirkan tentang Farish, Najwa dan Fazley.

Perlukah dia meninggalkan harapannya untuk menyatukan Najwa dan Farish demi memenuhi harapan Fazley terhadap dirinya? Atau pun dia menerima sahaja salam perkenalan agar Farish dan Najwa akan bersatu? Wardina di dalam delima ketika ini. Dia tidak tahu apakah yang perlu dilakukan kini. Fatimah masih lagi setia menemani Wardina menjamu selera. Sesekali gurau senda dan tawa riang menyulami perbualan mereka. Wardina kini sudah memperolehi rasa semangat yang baru. Dia pasti yang dia tidak akan berpaling ke belakang. Kini apa yang perlu difikirkannya adalah buat dirinya sendiri. Segala yang berlaku akan menjadi landasan untuk dia teruskan perjuangan dan hala tuju dan bukannya dengan menyalahkan dirinya sendiri. Sudah tentu sesuatu yang berlaku ada hikmah disebaliknya.

“Oh ya, Mak Timah. Umi dan ayah mana?” Mata Wardina meliar. Biasanya waktu begini ibu dan ayahnya sudah turun untuk bersarapan.

“Nana tengok kereta Kak Najwa ada kat depan tu. Dia tak ada shooting ke hari ni?” Tanya Wardina yang mula merubah topik perbualan. Biarlah perbualan hati dan perasaan mati di situ saja.

“Kak Najwa kamu katanya pengembaraan petang nanti. Sekarang ni, tidur lagi le tu.”

Wardina menangguk.

“Umi Nana tadi ada turun bawah lepas solat subuh. Lepas tu naik atas balik. Katanya nak sarapan sama. Tak tahu pulak Mak Timah lambat pulak dia turun hari ni. Selalunya macam ni dia dah turun minum. Mungkin sekejap lagi agaknya.” Fatimah menuangkan teh ke cawan Wardina yang hampir habis. Berselera Wardina menikmati mee goreng hari itu.

“Hah, itu pun dia. Ayah Nana pun ada.” Fatimah bangkit memberi peluang kepada Dato’ Karim dan Datin Sakinah untuk duduk. Wardina melemparkan satu senyuman manis dan kucupan buat ibunya.

“Puas umi cari. Sampai ke dapur. Ingatkan Mak Timah lupa nak hidang. Rupa-rupanya dah menikamati hidangan di sini.”

“Selamat pagi umi, ayah.”

“Selamat pagi. Umi ingat Nana belum bangun. Yelah. Musim cuti sekolah ni. Masa untuk berehat. Masa untuk bangun lambat.” Wardina senyum.

“Apa pulak umi ni. Nana bukan macam kakak. Dia lainlah. Selagi matahari tak terpacak atas kepala dia, mesti dia tak bangun lagi.”

“Amboi, cakap orang bukan main lagi.”

“Yelah… Macam mana masa sekolah dulu, sampai sekarang perangai dia memang tak berubah. Nak kejutkan dia sembahyang subuh pun nak menjerit sebelah telinga dia. Itu pun dia buat tak tahu. Nana dah bangun tadi. Cuma lambat sikit turun bawah.”

“Nana buat apa lama-lama dalam bilik? Termenung ye.” Wardina tersenyum dengan usikan Datin Sakinah itu.

“Tak sangka pula ayah cikgu sekolah ni bercuti menghabiskan masanya dengan termenung. Ada apa-apa yang menarik ke?” Dato’ Karim mula bertanya. Wardina senyap. Dia tidak tahu mengapa pagi ini dia diserang bertubi-tubi.

“Apa ni ayah? Ingat pagi-pagi buat orang termenung je ke? Nana kat atas tengah siapkan jadual sekolah untuk penggal datang nanti. Tengah dok fikir macam mana nak pikat pelajar sekolah dengan pelajaran mereka.”

Dato’ Karim sekadar menjadi pendengar yang setia.

“Bila dah jadi cikgu ni baru Nana tahu betapa besarnya pengorbanan seorang guru untuk melihat anak murid berjaya. Tapi… seronok juga bila dah bersama-sama dengan mereka. Kadang-kala Nana pun dah jadi sebahagian dari mereka. Silap haribulan kita pun dah jadi macam budak.”

“Atau pun tengah fikir macam mana nak pikat anak teruna orang?” Serkap Dato’ Karim dalam nada gurauan.

“Ayah…..” Wardina menjeling manja ke arah Dato’ Karim. Datin Sakinah ketawa mendengarkan usikan itu. Serta-merta wajah Wardina merona merah. Tidak tahu dia di mana harus dia meletakkan mukannya.

“Zaman sekarang ni tak salah anak dara mengurat anak teruna. Dah ramai yang perigi mencari timba. Tapi… jangan melampau sangat. Yang Nana merah muka ni kenapa? Betul ke apa yang ayah cakap tadi?” Dato’ Karim mengajukan soalan kepada Wardina membuatkan Wardina merasa serba-salah.

“Apa pulak ni umi? Nana tak ada apa-apalah. Yang umi dengan ayah mengarut ni kenapa? Apa yang Nana dah buat?” Wardina sedikit membentak. Tidak puas hati yang dia sentiasa menjadi bahan usikan.

“Ini Mak Timah, saya dengar semalam ada orang tu dapat panggilan dari buah hati. Betul ke?” Tanya Datin Sakinah sambil berpaling ke arah Fatimah. Fatimah tersenyum.

“Memang betul datin. Siapa nama dia….. oh ya, Fazley. Lama juga mereka berborak semalam. Siap gelak lagi. Dengar kata Fazley tu anak buah Pak Mat. Baru balik dari luar negara. Beruntung juga kalau Nana dapat teman istimewa seperti Fazley. Tambahan pula Nana ni tiada lagi teman istimewa.” Sampuk Fatimah. Wardina diam seribu bahasa. Dia tidak tahu mengapakah nama Fazley sering kali meniti dibibir keluarganya sejak akhir-akhir ini.

“Tak nak ajak Fazley datang rumah makan malam ke Nana?” Tanya Datin Sakinah. Dia begitu berkenan dengan perilaku Fazley yang peramah serta menghormati orang tua. Pertemuan tempoh hari seperti tidak cukup untuk dia mengenali anak bujang itu.

“Janganlah buat macam ni, umi. Nana mana ada hubungan apa-apa dengan Fazley. Umi dengan Mak Timah je yang lebih-lebih.” Wardina menyambut dengan nada yang sedikit merajuk. Sikit-sikit Fazley, dah tak ada nama lain agaknya.

“Ye ke…”

“Lagi pun Nana baru saja kenal dia. Nantilah umi. Kalau ada jodoh takkan kemana. Sudahlah. Nana nak masuk. Nak pergi bandar sekejap.” Wardina beredar meninggalkan Dato’ Karim, Datin Sakinah dan Fatimah. Dia tidak mahu lebih lama di situ memandangkan dia sering kali menjadi bahan usikan.

“Ingat ye Nana, syarat yang ayah dah berikan pada Nana 2 tahun lalu. Jangan lupa tu. Masa dah nak sampai.” Senyum Dato’ Karim. Dan pada saat itu Wardina terkelu. Ah, dia terlupa dengan syarat ayahnya. Ah, tambah satu lagi masalah…..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.