Home Cerpen Cinta Warkah Cinta
Warkah Cinta
Siti Norshimah Binti Md Yasan
5/4/2016 19:33:00
4,192
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Warkah Cinta

Anak teruna seberang titi,

Hendak pergi ke Tanah Jawa,

Hidup kini kian bererti,

Kehadiran adinda pengubat jiwa.

Suria melipat surat yang baru diterimanya petang tadi. Sebelum dia menyelak buku makroekonomi dia terpandangkan sampul surat berwarna ungu yang tertera namanya. Suria mengerut dahi seribu. Tanpa pengirim dan dan tanpa kata-kata hanya pantun yang menghiasi isi kandungan surat itu.

Pada mulanya dia berkali-kali membaca nama penerima yang tertera di atas sampul surat itu. Yelah… mana tahu kalau ada orang yang tersalah hantar kepadanya. Namun akhirnya dia membuka setelah nama dan binti adalah namanya. Suria binti Ahmad 6 Atas 2 tertera di sampul surat itu. Siapa lagi kalau bukan dia. Suria menggarukan kepala yang tidak gatal. ‘Siapa pulak yang nak mempermainkan aku ni?’ Mata Suria kemudiannya terus kepada nama pengirim. HANG TUAH? Sudah, siapa pulak Hang Tuah di zaman serba canggih ni? Zaman sains dan teknologi. Ini mesti Hang Tuah moden. Kalau tidak takkan dia hantar surat dengan menggunakan komputer?

Mata Suria masih lagi menatap surat yang baru diterimanya. Kalau surat ini ditulis dengan tangan boleh juga dia membandingkan dengan tulisan pelajar dikelasnya. Ini bertaip dengan menggunakan komputer, siap dengan tulisan roman lagi. Suria mengeluh perlahan. Berserabut fikirannya dengan kehadiran surat itu.

“Wah! Mengeluh nampak. Kenapa? Banyak sangat ke kerja sekolah yang kau nak kena buat?” Tanya Wadina tiba-tiba. Suria memandang kepada sahabatnya di katil sebelah. Tanpa menjawab pertanyaan dari Wardina, Suria menyerahkan surat yang diterimanya. Wardina pula tanpa meminta izin terus membaca dan ternyata mengundang rasa terkejut sahabatnya itu.

“Bila masa pulak kau ada secret admire ni Su?”

“Banyakkan kau punya secret admire. Aku tengah runsing siapa yang bagi surat ni kau pulak yang buat lawak antarabangsa kat sini.”

“Yelah…. Setahu aku kau ni bukanlah minah cintan. Minah ulat buku adalah. Nak kata kau ni pelajar popular sekolah lagilah jauh. Ni, jantan mana pulak yang dok syok dengan kau ni?” Surat itu ditilik oleh Wardina berkali-kali.

“Itulah yang aku peningkan sekarang ni. Agak-agaknya kau tahu tak siapa yang bagi surat ni kat aku?” Tanya Suria.

“Manalah aku tahu. Kalau aku tahu baik aku beritahu dengan kau. Sebab kau tak tahu jadi aku pun tak tahu. Entah-entah engkau tahu tak? Eh, apa yang aku cakap ni?”

Suria mencapai surat dari tangan Wardina dan terus menyemadikan di dalam buku. Dia menongkat dagu dan cuba untuk berfikir. Namun dia akhirnya kalah. Malaslah nak ingat semua ni.

“Dahlah Dina. Buat apa kita nak pusing kepala dengan semua ni. Kita buat bodoh jelah. Nanti kita juga yang pening kepala. Sedangkan Hang Tuah kita ni bertepuk riang.”

“Yelah kan, dah ada buah hati macam kau ni.”

“Hish! Kau ni. Ke situ pulak.” Suria buntu dan tidak tahu apakah yang perlu dilakukan ketika ini. Nak buat bodoh? Buatnya dapat surat kali kedua? Peninglah!

“Takkan kau tak nak tahu siapa yang berikan surat tu? Kalau aku, akan aku cari sampai ke lubang cacing. Tak kiralah apa saja caranya.” Ujar Wardina sambil mencebikkan bibirnya.

“Buat masa sekarang ni aku nak tumpukan perhatian pada STPM yang bakal aku duduki. Aku tak nak gagal sebab makhluk yang bernama Hang Tuah ni.”

“Takkan sikit pun kau tak nak ambil tahu?” Pujuk Wardina seakan memberikan ruang kepada Suria untuk menyiasat.

“Dah, jangan nak pujuk aku pulak. Ni, kalau aku siasat siapa Hang Tuah di zaman mellinium sudah pasti aku akan gagal STPM nanti. Silap haribulan impian aku nak jadi cikgu terkubur macam tu je.”

“Baiklah…. Kita tunggu dan lihat. Aku takut kau yang tidak tidur malam sebab terkenangkan Hang Tuah.” Sindir Wardina sambil tersenyum. Suria tidak mengiakan sebaliknya dia terus kembali ke katil dan menyimpan kembali buku mikroekonomi itu.

Suria melangkah laju saat dia sudah terlambat untuk ke perpustakaan. Tangan kanan acapkali menjadi santapan matanya.

“Aduh! Matilah aku. Mesti Wardina membebel. Dahlah mulut minah tu tak boleh nak kunci.” Bebel Suria berseorangan. Dengan laju dia menuruni anak tangga. Namun setiba di anak tangga terakhir dia terlanggar seseorang dan menyebabkan dia jatuh terduduk. Habis semua buku yang dibawanya bertaburan.

“La… kau Su. Apa yang kelam-kabut sangat ni?” Suria mendongakkan kepala. La…. Syahrin rupanya.

“Sorrylah Syahrin. Aku dah lambat nak ke perpustakaan. Wardina tunggu aku kat sana. Bising pulak dia kalau lambat. Kau bukan tak tahu dengan mulut minah tu.” Syahrin cuba untuk membantu namun ditegah oleh Suria.

“Aku boleh bangun sendiri.” Syahrin mengalah dan kemudiannya membantu Suria mengutip buku-buku Suria yang bertaburan.

Syahrin kemudiannya menghulurkan buku-buku itu dengan sepucuk surat.

“Ini surat awak.”

“Surat?” Berkerut kening Suria apabila Syahrin menyerahkan sepucuk surat yang begitu dikenalinya. Sudah! Hang Tuah ni mesti dah selitkan surat tu masa rehat tadi. Dengan perlahan Suria mencapai surat dari tangan Syahrin. Berubah wajah Suria apabil menyambut surat itu. Mesti mamat ni fikirkan yang bukan-bukan.

“Untunglah…. Dapat surat.”

“Kalaulah saya tahu Syahrin. Masalahnya saya tak tahu siapa dia.”

“Habis tu awak dapat surat ni awak buang ke awak baca?” hish! Mamat ni. Banyak sangat tanyalah pulak.

“Dah amanah. Saya baca sajalah.” Syahrin tersenyum dengan penjelasan Suria itu.

“Boleh saya tahu apa isinya?”

“Dan amanah ini saya tak boleh kongsi dengan orang lain. Tambah lagi spesis yang sama dengan pengirim surat ni.” Syahrin mengangguk dan senyumannya penuh dengan makna.

“So…. Lelakilah penulisnya. Okey, dah tahu.” Syahrin berlalu dengan senyuman yang masih tidak lepas dari bibirnya.

“Aduh! Bodohnya aku.” Suria menutup mukanya dengan buku. Malunya usah dicerita. Gerenti dia bercerita dengan semua orang. Ah, lelaki ada masa pun suka bergossip juga. Apa? Ingat perempuan saja ke yang suka bergossip? Erm… silap hari bulan lelaki yang lebih dahsyat lagi.

Suria merenung kepada surat di tangan kanannya. Dia memandang sekeliling. Tiada orang. Nak baca ke tidak? Kalau nak baca diperpustakaan bukannya boleh percaya dengan si Wardina tu. Ada saja yang diusiknya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membacanya di situ juga. Namun bukan kerana dia takut diusik oleh Wardina namun hatinya bagaikan melonjak untuk mengetahui isi surat itu. Ternyata surat itu diselitkan serangkap pantun. Erm…. Seperti biasa.

Cantik menarik si rama-rama,

Hinggap sebentar di atas perdu,

Wajah dinda bagaikan purnama,

Hamba ibarat pungguk merindu.

E…. dah gila agaknya Hang Tuah ni. Apalah istimewa sangat aku ni sampai jadi macam ni. Kalaulah tahu siapa Hang Tuah ni, mahu cilikan mulut dia. Menyusahkan orang betul. Tak pasal-pasal nak tambahkan masalah yang sedia ada. Sudahlah periksa nak dekat. Silap haribulan ada pulak yang tulis nama Hang Tuah sepuluh muka! Arghhh!!!! Mengapa perkara ini harus terjadi?

Hari-hari berlalu seperti biasa. Walau pun dia tidak mahu mengetahui siapakah Hang Tuah yang telah memberikannya surat namun di dalam kelas dia menjadi pemerhati. Pelajar lelaki di dalam kelas bukannya ramai sangat. Cuma empat orang sahaja. Tetapi dengan empat orang itu sudah cukup membuatkan dia pening kepala. Kehadiran surat dari ‘Laksamana Hang Tuah’ itu benar-benar membuatkan dia keliru.

Siapakah Hang Tuah? Adakah datang dari kelasnya sediri atau pun dari kelas lain? Suria mula bermain dengan teka-teki. Firdaus? Tidak mungkin. Dia budak geografi. Tak mungkin dia yang tulis pantun tu. Syahrin? Lagilah terkeluar dari senarai. Dia dah ada affair dengan si Halina. Takkan dia nak main kayu tiga pulak. Nasir? Budak rock tu? Mana ada dia suka dengan jiwang-jiwang ni. Nazli? Ustaz 6 Atas 2? Tak mungkin. Mana dia nak campakkan si Dayang adik angkatnya tu? Ah…. Pening kepala. Baru 4 orang. Kalau 40 orang mahu botak kepala nak fikirkan.

“Eh, Su. Kenapa dengan kau sejak tadi aku tengok bukan main lagi kau tenung anak muda dalam kelas ni. Kenapa? Kau nak tahu siapa yang berikan kau surat tu? Kau punya Hang Tuah?”

Suria senyap. Dia tidak bersuara. Kemudian dia seperti malu sendiri. Kalaulah budak lelaki tahu yang dia menjadi pemerhati mahu sahaja dia melompat dari tingkap sekolah. Sebab memang dia bukan jenis seperti itu. Tambahan pula dengan Syahrin. Jejaka itulah yang mengetahui yang dia telah menerima sepucuk surat dari lelaki! Dan Wardina tidak tahu semua itu.

“Bukan ke kau kata yang kau tak nak tahu siapa Hang Tuah tu? Sekarang ni nampaknya kau dah pandai nak pandang anak teruna orang.” Usik Wardina. Wardina kemudiannya juga menjadi pemerhati seperti Suria.

“Kesian kau Su. Orang bagi kau surat kau tak tahu siapa pengirimnya.”

“Hish! Kau ni janganlah cakap kuat sangat. Kalau dia orang tahu malu aku.” Suria tidak senang dengan usikan Wardina itu. Dia mencubit lengan Wardina. Seolah-olah tidak mahu orang lain tahu yang dia sedang mencari siapakah sebenarnya Hang Tuah.

“Susah sangat kau pergi tanyalah dengan dia orang tu. Tak pun kau jerit depan kelas tanya sesiapa yang ada bagi kau surat.” Berbular biji mata Suria mendengarnya. Oh! Tidak! Dia bukan sampai terdesak sangat untuk membuat semua itu.

“Gila kau? Tak nak aku buat kerja gila tu.” Geleng Suria.

“Kalau kau nak suruh aku jerit aku tak kisah. Aku boleh tolong kau.”

“Kau jangan nak buat perangai gila-gila kau kat sini boleh tak?”

“Lebih baik kau gila sekarang ni dari kau gila esok hari. Tak nak sahabat yang aku sayang menjadi gila. Tak nak…. Tak nak…. ” Geleng Wardina pantas.

“Aku binggung betullah. Sampai sekarang aku masih belum tahu siapa Hang Tuah yang berani kacau hidup aku. Agak-agak kaulah…. Mungkin datang dari kelas lain tak?” Tanya Suria yang cuba mendapatkan pendapat dari sahabatnya itu.

“Entah-entah ada orang yang nak mempermainkan kau tak? Manalah tahu kan? Kau kan best student. Mesti ada yang dengki dengan kau. Saja je dia nak tengok kau gagal.”

“Entah-entah engkau tak Dina?”

“Oi! Kau gila?! Aku ni kan kawan kau. Tak pernah terfikir aku nak buat lagu tu. Dari aku buat kerja yang sia-sia ni baik aku baca buku banyak faedahnya.” Suria ketawa. Saja dia nak mengenakan rakannya itu.

“Susah aku nak cakap, Dina. Semalam dia berikan aku surat lagi. E…. kalau aku tahu siapa Hang Tuah tu nahas aku berikan dia penumbuk sulung. Dia lebam biji mata dia.”

“Itu kata kau. Entah-entah bila kau dah bertentang mata dengan dia lidah kelu tak terkata. Silap haribulan engkau pula yang dah jatuh cinta.” Usik Wardina dalam tawa.

Suria turut ketawa. Walau pun dia tidak menyenangi akan kedatangan warkah ungu itu, namun dia tetap ingin taku siapakah milik disebalik pengirim surat itu.

“Betul ke kau nak siasat?” Pertanyaan dari Wardina itu membuatkan Suria tersentak. Siasat? Perkataan itu terus meluncur dari bibir Wardina.

“Entahlah. Bila nak kenangkan sekarang ni memang aku nak tahu siapa orangnya. Tapi bila aku kenangkan masa depan aku malas pulak aku nak ambil peduli. Nanti Hang Tuah kemana, STPM pun kemana. Silap hari bulan aku yang tersungkur dia senang-senang berjaya dalam hidup.”

“Aku rasa esok lusa mesti dia penat berikan surat untuk kau. Kau lupakan jelah. Memang aku mula-mula ingat nak siasat juga, tetapi bila kenangkan bebudak lelaki dalam kelas ni ‘ramai’ sangat aku rasa tak ada adventure langsung. Dahlah tu, jangan fikirkan sangat. Nanti kau juga yang sakit.”

Memang ada benarnya kata-kata Wardina itu. Mana tahu esok lusa dia tidak akan dapat warkah itu lagi. Sudah tentu dia akan kering idea untuk mencipta pantun. Namun persoalanya, adakah Hang Tuah itu adalah benar-benar seorang lelaki? Mungkin dia sekadar nak sabotaj aku?

Suria memerhati novel terbaru dari satu ke rak yang lain. Rambang matanya untuk memilih novel terbaru di pasaran. Namun begitu dia sedar ada sesuatu yang perlu dikejar. Ye! Pelajaran. Namun begitu kalau satu novel apa salahnya, kan?

Sedang dia memerhatikan novel-novel di rak buku dia terpandangkan Firdaus yang sedang membeli stationary di rak…. Sampul surat? Tiba-tiba Suria bertukar menjadi seorang pemerhati dari jauh. Mengintai bagus ni. Dengan perlahan dia beralih ke rak lain. Dia ingin melihat apakah sampul surat yang akan dicapai oleh Firdaus. Unggu? Biar benar! Takkan Firdaus? Suria menggigit bibirnya. Cuba mencari jalan untuk dia mencungkil rahsia dari dari rakan sekelasnya. Dengan perlahan dia mendekati ke arah Firdaus.

“Assalamualaikum.” Ternyata Firdaus terkejut apabila disergah sebegitu. Suria tersenggeh menampakkan barisan giginya yang putih. Habislah kau Firdaus. Aku akan gali sampai kau tak boleh jumpa jalan keluar.

“Kau buat kat sini?” Tegur Firdaus. Wajahnya ternyata berubah. Habislah kau, Firdaus.

“Aku cari buku. Yang kau kat sini pulak buat apa?”

“Tak ada apa. Cuma cari barang sekolah. Eh, aku pergi dulu ye.” Namun belum sempat Firdaus berlalu dia di halang oleh Suria.

“Kalau aku nak nak tahu sesuatu boleh tak?” Saat itu wajah Suria benar-benar serius. Tiada sekelumit senyuman dari bibirnya.

“Apa dia?”

“Sampul surat tu untuk siapa?”

“Er…”

“Untuk aku eh,”

“Hish! Mana ada. Kalau kau tak ada maknanya aku nak hantar surat. Baik aku terus jumpa kau je. Terus terang. Lagi bagus. Lagi pun kita kan sekelas. Mana aci nak bercinta satu kelas. Tak ada feelling langsung. Hari-hari mengadap muka yang sama.”

Suria malu sendiri. Mahu sahaja dia menyorok di belakang rak itu.

“Habis kalau bukan aku punya siapa punya pulak?”

“Engkau ni memang perasan eh. Yang kau nak tahu beria-ia ni kenapa? Mesti kau nak canangkan kat satu kelas, kan?” Kali ini Firdaus bertindak berani.

“Mana ada? Okey, kalau kau tak tak beritahu….”

“Yelah…yelah…. Aku beritahu dengan kau. Tapi aku minta dengan kau jangan beritahu dengan orang lain tau.” Ujar Firdaus.

Suria mengangkat tangan. “Aku janji.”

“Yang sebenarnya aku nak berikan surat dengan Rugayah. Budak 6 atas 1. Dah lama aku minat dengan dia. Aku nak beritahu dengan dia aku segan. Jadi itu yang aku nak tulis surat pada dia.”

“Fir, kalau aku cakap dengan kau jangan marah ye.”

Firdaus mengerut dahinya. Tidak faham dengan apa yang cuba ingin disampaikan oleh Suria.

“Kau ni pengecutlah Fir.”

“Maksud kau?”

“Kalau kau tulis surat pada dia kau tak akan tahu apa perasaan dia terhadap kau. Baik kau terus terang je dengan dia. Mana tahu dia perasaan sama dengan kau. Kalau kau tulis surat kau juga yang akan tertanya-tanya reaksi dia nanti.” Firdaus terdiam saat Suria berkata-kata. Ada kebenarannya.

“Aku nasihatkan baik kau bersemuka dengan dia. Kesian dia. Baik kau terus terang. Ada baiknya. Dia terima atau tidak itu belakang cerita. Yang pasti kau beritahu dengan dia. Aku janji bila kau kau bersemuka dengan dia dan beritahu hal yang sebenar mesti hati kau yang berat tu akan menjadi ringan. Kau percayalah dengan cakap aku ni.”

“Aku takut kalau dia tak terima aku. Mana tahu aku beritahu dengan dia penampar sulung hinggap kat pipi aku yang handsome ni. Malu aku nanti.”

“Ala….kalau macam tu kau dah tahulah jawapan dia. Terang-terang dia tak suka dengan kau. Apa lagi kau pasanglah kaki cari yang lain. Kalau kita tak cuba kita tak tahu. Aku yakin kau boleh lakukan. Pergilah kau berjumpa dengan dia. Kalau dia suka dengan kau? Menang loteri kau nanti.” Firdaus melemparkan senyuman buat Suria. Ada benarnya dengan kata-kata Suria itu. Erm…. Kalau tak cuba tak tahu kan?

“Terima kasih, Su. Kalau bukan nasihat kau dah tentu aku buat kerja bodoh dengan berikan dia surat.”

Good Luck, Fir. Aku doakan kau berjaya.” Suria berlalu dengan hati yang sedikit kecewa. Benarkah Firdaus dan Rugayah? Atau dia cuba untuk menutup rasa malunya? Sekali lagi Suria menjadi seorang pemikir. Hish! Kalau macam ni mahu botak kepala dibuatnya. Hish! Payah betul.

Semenjak peristiwa itu Suria cuba untuk menepis nama Firdaus dari list nama-nama wanted untuk nama samaran Hang Tuah. Ini kerana semenjak peristiwa itu dia sudah dapat melihat perubahan dari Firdaus yang sering bersama-sama dengan Rugayah. Dan kini yakin Firdaus bukanlah pengirim surat itu.

Suria memandang ke belakang di saat dia mendengarkan bebelan dari Nazli. Beberapa orang pelajar yang mendengarkan bebelan itu menjadi penyibuk mengetahui akan yang telah terjadi.

“Kenapa dengan kau ni, Nazli? Aku tengok muka kau dari tadi macam tempoyak basi je. Masam betul.” Tegur Nasir. Nazli melepaskan keluhan perlahan. Suria masih lagi menjadi pemerhati.

“Tu… si Dayang. Dia punya berani ada ke patut dia cakap dengan mak aku yang dia nak kahwin dengan aku. Buat malu aku je.” Luah Nazli.

“Habis mak kau cakap apa?”

“Dia gelakkan akulah. Budak tu siang malam suka buat aku susah. Nak makan ubat pun nak tanya aku dulu. Dia bukannya budak umur 4 tahun sampai aku nak suapkan dia. Kalau nak ikutkan hati aku memang aku malas nak layan. Bila mengenangkan dia baik dengan mak aku dah macam kena cucuk hidung pulak.”

“Kau terus-terang jelah dengan dia. Kalau kau tak cakap macam mana dia nak tahu.”

“Puas aku cakap dengan dia. Aku anggap dia macam adik aku sendiri. Tapi dia tak dengar. Aku dah kata aku dah ada buah hati, tapi dia gelakkan aku pulak. Ada patut dia kata ‘belum kahwin….ada saya kisah?’” Ajuk Nazli.

“Itulah…. Dari dulu aku dah cakap. Buat susah je ambik adik angkat ni. Tapi kau tak nak dengar. Sekarang siapa yang susah? Jangan kata aku tak beritahu dengan kau. Itulah… adik angkat…. Adik angkat sekarang dah terangkat.” Nazli menggelengkan kepala. Dia sudah buntu untuk melepaskan diri dari Dayang yang sering kali mengekorinya. Menyesal pula dia berjanji untuk menjadikan Dayang sebagai adik angkatnya.

Suria mendengarkan perbualan Nazli dan Nasir sambil dia berfikir. Dia mula menyusul kemungkinan. Nazli? Mungkinkah dia? Nafasnya terhenti dan bagaikan sesak saat Nazli membuat pengakuan bila mengatakan dia sudah ada buah hati. Tapi…. Ah! Tapi lagi. Suria kemudiannya memandang ke arah Syahrin yang wajahnya kelihatan sugul. Mungkinkah dia bergaduh dengan Halina? Semenjak dua tiga hari ini Syahrin bagaikan tiada semangat. Dia bagaikan gelisah. Perubahan itu juga terjadi kepada Halina. Susah juga jadi orang yang bercinta ni ye. Kalau gaduh muka macam tempoyak basi je. Hish! Kenapa pulak dengan akau ni? Buat andaian yang bukan-bukan. Arhg!!! Tolong!!!!

Suria menggarukan kepala yang tidak gatal. Dia menghempaskan badan di atas katil sambil mencapai buku Sejarah 2. Dalam erti kata dia ingin menyelak untuk mengulangkaji tiba-tiba sepucuk surat jatuh ke badannya. Warkah ungu lagi. Suria hanyar sekadar memandang. Hatinya mula berbelah bagi. Nak baca ke tidak ni?

Akhirnya Suria tekad. Dia membuka surat itu dan seperti biasa hanya ada serangkap pantun.

Salam diutus di hari lebaran,

Budi tersemai di bawa mati,

Hati teruna penuh debaran,

Melihat adinda pujaan hati.

Namun kali ini bukan setakat serangkap pantun. Tetapi dua!

Bunga disunting penuh cermat,

Untuk adinda ingin kusemat,

Kata adinda kupanjatkan azimat,

Buat penawar dan kata semangat.

Ah! Hang Tuah ni memang sudah gila barangkali. Makin lama makin menjadi pula. Suria hampir mengalirkan air mata. Siapakah yang cuba untuk mempermainkan hidupnya? Mahu sahaja dia menjerit. Geram, marah semuanya bercampur. Kalau ingin diikutkan hati mahu sahaja dia mengetuk setiap meja sahabatnya di dalam kelas siapakah yang memberikan surat itu. Tidak! Sudah pasti tiada siapa yang mengaku.

Wardina masuk ke dalam dorm sambil memerhatikan Suria yang sedang jauh mengelamun. Dia menggelengkan kepala. Apalah nak jadi dengan kawan aku sorang ni. Asyik termenung je sejak akhir-akhir ni. Mesti gara-gara Hang Tuah yang buatkan minah ni termenung macam nak tembus dinding dibuatnya.

“Oi! Teringatkan hero Hang Tuah ke?” Sergah Wardina.

“Engkau ni Dina, kalau bercakap tu berlapiklah sikit. Boleh tak?” Suria sedikit terasa akan pertanyaan Wardina itu tadi.

“Aku tengok kau sekarang ni dah lainlah Su. Asyik termenung panjang ke aku tengok. Nampak gayanya kau dah jatuh hati dengan Hang Tuah tu.” Serkap Wardina lagi.

“Gila kau. Kenal tidak, jumpa tidak mana boleh aku jatuh cinta dengan dia? kau tu jangan nak buat cerita lain pulak ye.” Suria cuba untuk menolak perasaannya. Masakan mahu dia mengaku akan hatinya sendiri.

“Yelah…. Dari pantun yang dia beri kau terpaut hati dengan dia. Apa yang dia kata pada kau hari tu? Syahdu tu. Kalau aku pun cair dengarnya.” Ujar Wardina.

“Tapi aku tak puas hatilah. Selagi aku tidak tahu siapakah Hang Tuah yang sebenarnya. Budak lelaki di dalam kelas kita bukannya ramai sangat. Cuma ada 4 orang saja. Itu pun aku tak boleh nak agak. Bijak betul Hang Tuah ni simpan rahsia.”

“Ala dia pun takut nak buka pekung di dada. Mungkin dia segan akan dikata atau pun dia takut kau marah dia. Bukan ke hari tu kalau nak jumpa dengan dia nak bagi penumbuk sulung kat dia. Tapi… best juga ada secret admireni.” Usik Wardina. Serta-merta wajah Suria bertukar mendung.

“Best apa? Tak tidur malam adalah. Dok tanya siapa Hang Tuah di zaman moden ni.”

“Aku takut bukan menumpuk sulung yang kau nak bagi kat dia, silap haribulan kau berikan dia flying kiss kat Hang Tuah kau tu.” Kian galak Wardina mengusik sahabatnya.

“Agaknya sampai bilalah dia nak tulis surat kat kau, kan. Aku tengok dia tak jemu nak berikan kau sampul ungu tu. Makin lama makin kerap pulak aku tengok. Aku rasalah dia pun memang betul-betul suka kat kau.”

Suria mengangguk perlahan. Dalam diam dia mengiakan kata-kata Wardina itu. Apa? Jatuh hati? Hello pleaselah…. Tapi….. Suria sedar sejak akhir-akhir ini dia sering menantikan surat itu.

“Entalah Dina. Biarlah dia. Aku yakin lama-kelamaan berhentilah dia tu.”

“ Aku bukan apa, aku takut silap haribulan dia hantar surat peminangan kat kau pulak nanti.” Mendengarkan kata-kata Wardina itu Suria menghinggapkan satu cubitan bisa di lengan Wardina.

“Agak-agaklah kau ni.”

“Agak-agak engkaulah… siapa agaknya Hang Tuah tu ye?” Nah! Soalan maut Wardina tujukan kepada Suria.

“Entahlah aku. Lagi aku fikirkan lagi buntu otak kepala aku. Kau ada idea tak?” Tanya Suria pula kepada Wardina. Saja untuk dia bertanyakan jika tahu siapakah yang menghantarkan surat kepadanya.

“Kalau aku tahu tak adalah aku tanya dengan kau.”

“Nak kata Syahrin aku rasa tak mungkin. Bukankah dia dah ada buah hati? Si Halina tu mana nak letak?”

“Aku rasa itu hanya sementara. Sebab gossip yang aku dengar dia dengan Halina tengah perang besar. Aku tengok si Syahrin tu asyik termenung je.” Ujar Wardina.

“Atau pun Nazli?” Serkap Suria meminta pendapat dari Wardina.

“Mungkin.”

“Tapi rasa tak mungkin. Sebab apa, si Dayang tu bukan main lagi control dia. Ada ke patut nak makan ubat pun dia sanggup jumpa dengan Nazli?”

“Itu ada potensi nak berikan kau surat.” Fikir Wardina.

“Macam mana pulak dengan Nasir budak kepala rock tu?” Perbincangan mereka bertambah hangat. Suria dengan penuh harapan dapat mengetahui siapakah Hang Tuah sebelum dia mengakhiri persekolahan di sini. Sudah pasti bila rahsia tidak dapat dirungkai rahsia akan kekal menjadi rahsia.

“Dia aku tengok sekarang ni dah tak ada nyanyi lagu XPDC atau Search, tapi dah pandai layan lagu Anuar Zain. Itu yang aku sikit keliru. Macam mana dia boleh berubah sekarang ni aku pun tak tahu. Kalau tidak orang yang berikan semangat, kan? Yang pasti kepala gila-gila dia dah hilang entah ke mana.”

Suria setia mendengarnya.

“Susah tau nak dengar dia menyanyi lagu yang terkeluar anak tekak. Entah-entah dia tak?” Teka Wardina.

“Takkan sampai macam tu sekali? Ini yang buat aku pening kepala. Mereka semua ni nak sabotaj supaya aku gagal dalam peperiksaan ke?” Suria sudah mula putus asa.

“Tinggal seorang lagi. Si Firdaus. Aku tengok dia bukan main ceria lagi sekarang ni. Bila aku tanya dia tak menjawab. Dia kata dia dah ada jumpa mata air. Sebab itu aku syak dengan dia.” berbular biji mata Suria mendengar kata-kata Wardina itu.

“Kau jangan nak buat cerita pulak. Si Firdaus tu tengah bercinta dengan si Gayah budak 6 Atas 1.”

“Ye ke? Macam mana aku boleh tak tahu. Wah! Aku ingat aku yang ekspress, tapi kau lagi advanced dari aku. Kau boleh tahu sebelum dari aku.”

“Ala… aku malas nak hebohkan. Nanti dia kata aku yang bawa mulut pulak. Sebab itu aku tak kisah yang dia berubah. Sebab aku pasti bukan dia yang hantar.” Ujar Suria penuh yakin.

“Hish! Pelik juga dengan kes kau ni Suria. Apa kata kita report je kat balai polis. Biar dia siasat siapa yang punya angkara.” Cadang Wardina sambil menganggukkan kepala.

“Dah! Kau jangan nak mengada-ada. Banyak lagi kes yang dia orang nak fikirkan. Setakat surat sekeping tu buat dia orang gelak je tau.”

Meladak tawa Wardina bila Suria berkata begitu.

“Aku dah surrender nak tahu siapa Hang Tuah ni. Tapi…”

“Tapi apa?” Wardina merapatkan dirinya seolah ingin tahu.

“Aku dah jatuh hatilah.” Sebenarnya dia merasa malu untuk meluahkan namun dia tidak boleh menipu dirinya.

“Dengan Hang Tuah? Kau biar betul. Entah-entah dia saja nak kenakan kau tak? Kau pula yang terhegeh-hegeh kat dia. Aku rasa kau ni kena bawa berubat. Mana tahu nanti kau jawab STPM kau tulis nama Hang Tuah sampai 10 muka surat. Suria, aku rasa kau lupakan saja Hang Tuah tu. Kalau dah jodoh tu tak kemana.”

Suria termenung dan memikirkan akan kata-kata Wardina itu tadi. Memang dia ingin melupakannya. Namun setiap kali ingin melupakannya setiap kali itulah warkah berwarna ungu ditatap.

STPM bakal menjelang tidak lama lagi. Suria mengambil keputusan untuk belajar bersama dengan Wardina demi ingin melupakan pengirim misteri itu. Namun ia tidak lama berkekalan. Warkah ungu itu datang lagi.

Tumpang teduh di tepi perigi,

Menanti sahabat untuk bersua,

Walau ke mana adinda pergi,

Bawalah hati ini menyusur jua.

Argh!!!! Sudah sah! Tak lama lagi boleh masuk hospital jiwa aku dibuatnya. Mahu sahaja Suria menjerit. Tapi tidak terluah. Sudah berkali dia bertanyakan kepada rakan pelajar lelaki di dalam kelasnya. Namun tiada siapa yang mengaku. Ialah siapa yang nak mengaku. Nak control macho konon. Tak gentleman langsung. Suria melipat semula surat itu dan segera ingin melupakan warkah itu. Dia mesti bangkit agar tidak kecundang di medan peperiksaan.

Peperiksaan STPM berlangsung dengan lancar. Ingatan kepada Hang Tuah berjaya ditepis. Suria menghela nafas lega setelah kertas Pengajiam Am 2 yang juga kerta terakhir kini telah selesai. Dia bersama dengan Wardina meninggalkan dewan peperiksaan sambil bersalaman dengan rakan-rakan yang lain. Di dalam diam Suria menyimpan harapan agar hari ini segala pertanyaan akan terjawab. Namun hampa, bukan sahaja jawapan malahan juga warkah yang selalu singgah di halaman bukunya juga tiada. Dia tahu Hang Tuah yang selama ini menjadi pengirim misteri akan kekal sebagai satu rahsia.

Akhirnya Suria berlalu dengan harapan dan angan yang kosong yang pastinya dia sendiri tiada jawapannya. Suria masih lagi berpaling ke arah Sekolah Dato’ Bentara Dalam sebagai lambaian terakhir. Mungkin ini kali terakhir dia akan menjejaki kaki di sekolah ini. Perjalanannya masih jauh lagi. Banyak lagi yang perlu dirterokai. Sudah pasti warkah ungu itu tidak akan kelihatan lagi.

SEPULUH tahun sudah berlalu. Kini, Suria sudah pun menjadi seorang pendidik. Dan berita terkini adalah dia sudah disunting orang. Ya, Suria sudah menjadi tunangan orang dan akan bergelar isteri tidak lama lagi. Walau pun tidak pernah bercinta, namun Suria sedar bahawa percaturan jodoh dari keluarga memberikan keistimewaan yang tersendiri. Berkat dan restu dari orang tua Suria tekad untuk belajar dan menyayangi dan menyintai tunangnya itu. Biar pun dia tidak pernah berjumpa, namun dia yakin akan jodoh yang diaturkan oleh keluarga.

Minggu hadapan dia akan menghadiri majlis alumni bagi kelas tingkatan 6 Dato’ Bentara Dalam bagi tahun 1997. Debarannya kian terasa kerana sudah tentu dia akan disuakan dengan soalan dan pertanyaan yang bakal menyesakkan jiwanya. Bila nak kahwinlah, siapa nama tunanglah….

Pintu bilik diketuk berkali-kali. Suria membuka pintu dan ternyata wajah ibunya menghiasi ruang mata. Halimah menghulurkan sepucuk surat yang ternyata membuatkan dia terkejut.

“Ini ada orang berikan kamu surat.” Suria menyambut surat tanpa alamat itu. Getaran hatinya muka bertandang. Surat yang selama ini hampir dilupakan. Surat ungu yang pernah membuatkan dia tidak tidur malam. Suria membuka surat dan sekali lagi dia terkejut akan surat itu dipenuhi dengan tulisan tangan dan bukannya bertaip seperti selalu.

Duduk berdua di pohon jati,

Duduk bersama penuh cerita,

Kasih adik disimpul mati,

Seiring bersama dimahligai cinta.

Kalau cinta berikan tanda,

Untuk pengubat hati yang sedih,

Terima kasih wahai adinda,

Terima kanda mengikat kasih.

Tatapan buat adindaku sayang….

Buat pertama kali maaf kiranya terlalu lama menantikan warkah yang tidak seberapa ini dan terlalu lama merahsiakan akan hal yang sebenarnya. Hati hamba sudah tertawan sejak pertama kali bertemu. Semakin kerap hamba ingin mengenali adida semakin kerap juga dugaan yang mendatang. Sesungguhnya setiap dugaan yang datang sudah pasti ada hikmah disebaliknya. Hamba tahu, segala apa yang berlaku akan menjadi baik keesokkan harinya.

Disaat kasih putus di tengah jalan, adinda menjadi penyambungnya walau pun adinda diam seribu bahasa. Dari jauh hamba tahu yang adinda sering menantikan surat dari hamba. Hamba tahu yang adinda rindukan hamba.

Hamba cuba untuk mendiamkan diri, namun dengan sepuluh musim yang kini sudah berlalu dan hamba percaya kepada jodoh yang telah ditentukan. Dan kini… er… abang mengambil langkah drastik dengan menyunting adinda. Kalau sudah jodoh tidak kemana. Abang gembira saat adinda setuju dengan lamaran abang. Er… er… sayang, maaf sekali lagi kalau selama ini membuatkan sayang menanti terlalu lama. Yang pasti selepas ini abang akan selalu disampingmu…. Dan rahsia kini bakal berakhir tidak lama lagi. Dan yang pasti untuk pertemuan kita nanti abang akan berada di sisi sayang. Percayalah…. Dan abang akan pastikan yang sayang akan menjadi milik abang.

Yang Benar,

Hang Tuah@abang

Suria berlalu meninggalkan kamarnya dan lantas mendapatkan ibunya. Sampai sahaja di ruang tamu dia cuba mencari kelibat yang akan menjadi jawapan kepada teka-tekinya selama ini. Namun dia hampa.

“Mana dia mak?” Suria masih lagi mencari.

“Siapa? Tunang kamu? Dah balik dah. Dia kata jumpa minggu depan.” Pesan Mak Limah.

“Mak…. Dari hari tu tak nak berikan nama tunang Su. Mak saja nak berpakat dengan bakal menantu mak tu kan? Berapa rasuah yang dia berikan kat mak? Mak… cakaplah…”

“Tak boleh. Amanah orang. Yang pasti bakal menantu mak tu baik budi pekertinya. Mak yakin dia boleh bahagiakan anak mak ni.”

“Mak ni orang tanya yang lain dia jawab yang lain pulak.”

“Sabar ye sayang. Sabar tu kan separuh dari iman.” Pujuk Mak Limah yang membuatkan Suria terkedu dan mula pening semula!

Suasana malam itu kelihatan meriah dengan pertemuan semula bekas-bekas pelajar Sekolah Menengah Dato’ Bentara Dalam. Suria cuba mencari kelibat sahabat yang mungkin dia kenali. Sudah sepuluh tahun tidak bersua dan cuma telefon penyambung silaturrahim namun ada yang dia gagal untuk mengenali sahabat sekelasnya sendiri.

Dia cuba untuk mencari sahabatnya, Wardina. Namun gagal. Mungkin Wardina belum sampai agaknya. Telahan Suria. Tiba-tiba Suria tersentak apabila mendengarkan suara yang memberi salam. Dia berpaling.

“La… Syahrin. Awak rupanya. Ingatkan siapa.” Syahrin tersenyum dengan sambutan Suria itu.

“Awak kenal lagi dengan saya, ye. Awak cari siapa?”

“Dina…. Dah lama sangat tak berjumpa dengan dia. Awak seorang je ke? Halina mana?” Syahrin menunding jari kea rah satu sudut. Kelihatan Halina sedang sarat mengandung.

“Tahniah! Bila nak bersalin?”

“Itu kena tanya suaminya lah.” Suria mengerut dahi tanpa tidak faham.

“Dia mengandung, tapi bukan mengandungkan anak saya.”

“Jadi… awak dengan dia….” Syahrin menggelengkan kepala.

“Habis awak datang dengan siapa?”

“Dengan tunang.” Suria mengangguk.

“Mana tunang awak tu?” Syahrin tersenyum dan cuba melihat reaksi Suria.

“Ada kat sayalah.”

“Saya tak faham.”

“Bukankah saya katakan untuk pertemuan ini saya akan berada di sisi?” Suria memandang tepat kepada anak mata Syahrin. Cuba untuk mencari kebenaranya.

Kalau cinta berikan tanda,

Untuk pengubat hati yang sedih,

Terima kasih wahai adinda,

Terima kanda mengikat kasih.

Air mata Suria bagaikan ingin tumpah. Dia tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Tak mungkin!

“Abang minta maaf kalau selama ini abang cuma menjadikan surat sebagai orang ketiga abang dalam mencari cinta Su. Abang takut sebenarnya. Takut dengan bayang-bayang cinta monyet abang dan juga mencari cinta suci abang.”

“Sepuluh tahun abang pendamkan semuanya. Puas abang cari Su. Akhirnya abang berjumpa dengan Su bila abang dapat tahu yang bakal mak mertua abang ni rakan baik semasa mengerjakan haji. Bagaikan bulan jatuh di riba bila umi suruh menyunting Su. Memang itu yang abang nantikan. Abang ingin menebus segalanya untuk Su.”

“Kenapa buat saya macam ni? Buat saya tertanya, buat saya tak tidur malam. Buat saya termenung sana sini.”

“Jadi selama ini Su pun dah jatuh cinta dengan abanglah.” Senyuman manis yang dilemparkan oleh Syahrin itu membuatkan airmata Suria akhirnya tumpah. Kini segala teki-tekinya sudah terjawab.

“Ingat masa kita berlanggar masa Su nak ke perpustakaan? Masa tu saja je abang bagi dengan tangan nak tengok apa reaksi Su. Ternyata abang tak bertepuk sebelah tangan bila Su sanggup baca surat abang.”

Suria menyeka air matanya. Kalau tidak kerana hatinya sudah terikat dengan ‘Hang Tuah’ sudah tentu Syahrin sudah terkena penumbuk sulungnya. Ye! Memang dia sudah lama menyintai ‘Hang Tuah’ ops! Syahrin di dalam diam.

“Saat cincin tersarung di jari manis mu sayang abang berjanji dan saat tibanya ijabnya kita nanti abang akan menjaga sayang dengan sepenuh hati abang sepanjang hayat yang ada. Dan untuk untuk itu abang nak berikan kad jemputan kita ni. Abang nak jemput semua yang ada ke majlis kita.” Suria menganga.

“Dah! Jangan macam tu sekali. Mak Su mesti tak beritahu yang kita nikah bulan depan.” Bulan depan?

Saat itu wajah Wardina menerjah di ruang matanya. Namun dia bagaikan batu dan tidak reaksi.

Akhirnya dia tersentak apabila Wardina memeluknya.

“Wei! Ko datang dengan siapa?” Pertanyaan itu bagaikan tidak didengar.

“Wei! Aku tanya dengan kau ni. Kau datang dengan siapa?”

“Er… tunang.”

“Syahrin?” Nada itu membuatkan Syahrin cuma tersenyum.

Wardina bagaikan tidak percaya. Tidak berkelip matanya memandang kepada Syahrin.

“Nah, kad jemputan kami.” Belum lagi Suria berkata apa Syahrin telah pun menyerahkan kad jemputan kepada Wardina.

Wardina membuka kad jemputan itu dan sekali lagi Wardina terkejut.

“Kau Hang Tuah?”

“Yup. Akulah hero Malaya Suria. I really love her.”

Dan Suria…. Dia masih tidak percaya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.