Home Cerpen Cinta Rahsia
Rahsia
Laila Qaisara
20/7/2016 19:55:46
2,967
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Hari Isnin. Seperti hari-hari lain, Zafran sibuk dengan urusan kerjanya. Namun dia melakukannya dengan senang hati. Dengan nada gembira dia menjawab beberapa panggilan telefon, berjumpa klien dan memberi tunjuk ajar kepada staf bawahannya.

“Lepas ni, apa temujanji saya yea? Saya lupa pula,” tanya Zafran sambil tersengih. Dia garu kepala perlahan. Setiausahanya senyum lalu membelek diari di tangannya.

“Ada,” balasnya, menarik perhatian Zafran. “Tuan ada temujanji dengan wakil dari syarikat pengurusan acara yang baru kita lantik.”

“Syarikat yang baru? Apa jadi dengan syarikat yang lama, yang biasa bekerjasama dengan kita tu? Ada masalah ke? Perkhidmatan tak memuaskan ke macam mana?”

Perkhidmatan mereka memuaskan, Tuan. Tapi Tuan Besar mahu aspek keselamatan ditekankan lagi. Lebih-lebih lagi setelah banyak ancaman bom dilaporkan di kebanyakan negara. Tuan Besar mahu lebih berhati-hati.”

“Ayah, Ayah…,” Zafran geleng kepala berkali-kali. “Selalu macam tu. Terlalu ambil serius tentang sesuatu perkara.”

“Ancaman keselamatan tak boleh dibuat main-main, Tuan.”

“Betul juga tu,” Zafran angguk kepala. “Pukul berapa temujanji tu?”

“Pukul satu tengahari.”

“Temujanji makan tengahari rupanya. Bagus juga tu. Sambil menyelam minum air,” Zafran ketawa kecil sambil membelek jam tangan. “Alamak, dah lambat! Saya pergi dulu! Jangan lupa Whatsapp saya alamatnya! Bye!”

“Eh? Tapi…!” belum sempat setiausahanya berkata apa-apa, Zafran sudah hilang di sebalik pintu. Dia tersenyum sambil geleng kepala. Telefon di tangan dibelek perlahan.

Perjalanan ke kafe tersebut mengambil masa kira-kira 15 minit mengikut perkiraan GPS. Namun entah mengapa perjalanan itu terasa panjang bagi Zafran. Jantungnya berdegup kencang. Apa sebabnya, dia sendiri tidak pasti.

Jantungnya berdegup semakin kencang apabila memasuki kafe tersebut. Tangannya menggigil apabila menghampiri meja yang ditunjukkan pelayan. Zafran semakin resah. “apahal tiba-tiba tangan dah macam kena Parkinson ni?”

“Cik Suhaila Amin?” tanya Zafran, sedikit membongkok inginkan kepastian. Wanita itu yang sedang duduk membelakanginya segera menoleh, membuatkan Zafran spontan berdiri tegak. Namun sebentar kemudian…

“Kau?”

Wanita itu berdiri sambil melemparkan senyuman. “Zafran… kau rupanya yang nak berbisnes dengan aku. Kecil betul dunia ni.”

Zafran telan liur.

*****

"Erm, abang," terdengar suara lembut seorang gadis apabila Bob sedang ralit mencari buku di rak. Spontan matanya meliar mencari dari mana datangnya suara itu.

"Abang. Abang, sini la," berkerut dahi Bob apabila mendapati suara itu datang dari arah buku yang tersusun cantik di rak. Aih, takkan buku ni pandai bercakap kot?

"Abang!"

"Oh mak kau!" Terbang buku-buku yang dipegang Bob. Dia hanya mampu menggosok dada sambil beristighfar panjang. Gadis yang wajahnya terlihat di celah-celah rak tergelak kecil. Tingkah itu membuatkan Bob bertambah geram. "Ish, budak ni..."

"Abang ni nampak lebih sweet bila melatah. Comel!"

"Ah sudahlah kau! Banyak pulak ayat bersemut dia," Bob menggerutu. Buku-buku yang berterabur dikutip laju. "Kau nak apa?"

"Saya nak..... Saya nak.....," malu-malu gadis itu sambil gigit bibir. Bob pula yang rasa pelik melihat ulahnya. Dah macam sotong pula, lembik sebegitu. "Kau nak apa sebenarnya ni?"

"Saya nak nombor telefon abang. Boleh tak?" tanya gadis itu sambil senyum lebar. "Ala, boleh la, boleh la, boleh la...,"

Bob mendengus. "Telefon aku rosak. Aku tak pakai telefon sekarang ni. Kau nak nombor aku? Datang la minggu depan. Baru aku bagi."

"Minggu lepas pun abang cakap macam tu," gadis itu memuncungkan mulutnya. "Minggu lepas abang cakap datang minggu ni. Abang ni, kalau tak nak bagi nombor sekalipun, cakap la terus terang. Jangan bagi harapan palsu kat orang macam ni!"

Gadis itu terus berlalu tanpa menghiraukan Bob yang sedang berdiri di hadapannya. Bob mendengus kecil, namun kemudian dia geleng kepala lalu kembali ke meja belajar. Mata-mata yang melihat dan mulut-mulut yang berbisik tidak dipedulikan.

"Kesian budak tadi tu. Kena tipu dengan budak tak tahu jantina tu..."

"Dia bukan peduli pun perasaan orang lan. Kalau tak, takkanlah dia sanggup bercinta dengan kaum sejenis sendiri? Ye tak?"

"Orang macam dia tu, sanggup lakukan apa saja. Kalau tak, takkanlah dia sanggup rampas kekasih orang lain?"

Dum!

Masing-masing terkejut dengan tindakan Bob yang menghempas buku-buku di atas meja. Kemudian Bob bangun dari duduk lalu mengeliat perlahan. "Bisingnya belajar dalam ni. Diorang ni tahu je lebih, tapi tak faham. Peraturan pertama dalam perpustakaan ; jangan bising!"

Terkulat-kulat mereka yang mengatanya tadi apabila Bob mengemaskan buku-bukunya dan keluar dari situ. Langkah Bob semakin laju dan destinasinya cuma satu. Tasik. Setibanya di situ dia terus duduk dan menyambung aktivitinya, tanpa mempedulikan orang lain yang lalu lalang.

"Indahnya petang ni. Lebih indah kalau semua masalah boleh hilang macam tu je," terdengar suara lemah seorang gadis ketika Bob sedang khusyuk belajar. Bob menoleh seketika sebelum meneruskan kerjanya.

"Kau nak berdrama swasta sekalipun, tolong duduk dulu. Aku malas nak mendongak kepala. Sakitnya tuh di sini...!" sengaja Bob menyanyikan sepotong lirik lagu Indonesia itu. Gadis itu tergelak lalu melabuhkan duduknya di sebelah Bob.

"Bukan ke kau lebih selesa belajar di perpustakaan? Kenapa kat sini pilihan hati kau kali ni?" tanya gadis itu. Matanya mencari mata Bob yang sibuk menelaah nota.

"Banyak sangat langau dalam tu hari ni. Bising pula. Malas la. Tak fokus aku jadinya," jawab Bob perlahan. "Kau cari aku kat sana ke?"

Gadis itu mengeluh kecil. "Pasal kita ke?"

Bob meletakkan nota di atas rumput. "Kalau memang pasal kita pun, apa kita boleh buat? Kita tak boleh nak tutup mulut semua orang, Bunga. Biarlah orang nak cakap apa pun. Diorang bukan tahu pun cerita sebenar."

Gadis yang dipanggil Bunga itu tersenyum mendengar kata-kata Bob. "Betul tu. Kita ada kehidupan kita sendiri. Tak perlu takut dengan kata-kata atau pandangan orang lain. Kan?"

"Termasuk mamat poyo tu," sambung Bob. "Baru dengar cakap orang dah mintak putus hubungan dengan kau. Tanpa siasat, tanpa tanya. Menyampah pula aku dengan perangai dia tu."

Bunga hanya diam sambil pandangannya dibuang ke arah tasik.

*****

“Suhaila Amin,” panggilan itu membuatkan lamunannya terlerai. Satu persatu wajah di hadapannya dipandang sambil tersenyum. Namun senyumnya mati apabila wajah Faizah singgah di ruangan matanya.

Suhaila mengeluh kecil lalu meneruskan bicaranya. “Semua tugasan yang saya berikan tadi, tolong selesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan. Dan juga….”

“Cik Suhaila, kami tak terima apa-apa tugasan lagi pun dari tadi,” potong salah seorang staf yang turut sama dalam mesyuarat itu. Terkejut Suhaila mendengarnya. “Eh, belum lagi?”

“Belum, Cik Suhaila. Mesyuarat pun belum bermula lagi. Apa, Cik Suhaila ni berangan ke di siang hari?” seloroh seorang lagi stafnya. Bergema bilik mesyuarat itu dengan gelak tawa mereka. Suhaila ikut ketawa namun tidak Faizah.

Selesai mesyuarat, semua orang keluar dari blik itu kecuali Faizah. Ketika Suhaila sedang mengemaskan barang-barangnya, Faizah memegang lembut tangannya. “Apa yang kau serabutkan?”

“Apa yang aku serabutkan? Apa ni? Apa ni? Apa yang kau cuba katakan ni” Suhaila angkat kening sebelah. “Kau nak berdrama Samarinda sekalipun, tunggulah malam nanti. sekarang baru pukul tiga.”

“Bukan sekarang, Bob,” Faizah bersuara, tegas dan dalam. “Kau tahu apa yang aku cuba sampaikan. Kau juga tahu apa yang aku nak tahu.”

Suhaila mengeluh kasar. “As I told you before. Projek kali ni bukan projek yang mudah. Bukan macam projek yang biasa kita kendalikan. Kau tahu kenapa, Bunga.”

“Zafran, kan?” tanya Faizah. “Sebab tu aku tak nak terima projek ni pada mulanya. Tapi Cik Farah dan Cik Dhiya yang beria-ia. Sebab dia percayakan kita. Diorang cakap diorang yakin kita boleh uruskan projek ni, setelah projek-projek kita sebelum ni berjaya. Aku tak sanggup pula nak kata tidak.”

“Tu aku pun tahu. Lagipun, Bonda Latiffah yang berusaha untuk dapatkan projek ni,” Suhaila pandang mata Faizah dalam-dalam. “Jadi sekarang ni kau nak teruskan projek ni atau nak tarik diri? Atau nak minum teh tarik?”

“Dah kenapa masuk cerita teh tarik ni?” Faizah senyum senget. “Dah terlambat untuk tarik diri bila dah sampai tahap ni. Apa boleh buat? Kita teruskan sajalah.”

“Oh, sebab tu kau minta tolong aku untuk projek ni? Amboi-amboi dia…,” Suhaila ketawa kecil. “Ada udang di sebalik mi rupanya.”

“Kau dipilih sebab projek ni mementingkan aspek keselamatan. Kau memang pakar dalam bab tu. Cik Farah pula tu yang cadangkan nama kau. Jadi jangan nak perasan, ingat aku sayang kau lebih pula!”

Suhaila ketawa besar. “Aku baru nak cakap ‘aku pun sayang kau’. Spoil la. Dah la drama Samarinda lambat lagi.”

Pecah tawa Faizah mendengar kata-kata Suhaila itu. “Kau ni dah macam tak ada perkataan lain nak guna. Kenapa ‘Drama Samarinda’ juga itu juga yang jadi pilihan?”

“Suka hati aku la. Mulut aku,” masih tersisa tawa Suhaila sambil mengemaskan barang-barangnya. “Aku pergi dulu. Nak siapkan kerja-kerja aku. Sambil-sambil tu nak cari tah tarik. Taknak la dengar staf berbisik di belakang, kata aku tak buat kerja. Pergi dulu!”

Senyum Faizah masih lebar ketika Suhaila meninggalkan bilik mesyuarat itu. Namun sebaik kelibat Suhaila menghilang, senyuman Faizah terus memudar. Matanya mula berkaca, namun dibiarkan sahaja. Telefon pintar dibeleknya perlahan, mencari gambar yang tersimpan dalam galeri. Pencariannya terhenti apabila menemui gambar Zafran yang sedang tersenyum.

“Awak, saya rindukan awak. Sangat-sangat. Awak tahu tak?”

Air mata Faizah mengalir perlahan.

*****

"Awak!" panggil Faizah apabila kelibat Zafran terlihat di ruang matanya. Senyuman manis terukir di bibir. Matanya mengerling pada mangkuk tingkat di tangan lalu meneruskan langkahnya. "Awak sibuk ke?"

"Bolehlah," sedikitpun Zafran tidak memandang kepada gadis itu. Dia khusyuk dengan kertas-kertas yang berselerakan di hadapannya. Faizah kerut dahi. Tidak pernah dia berperangai sebegini, desis hatinya.

"Awak, saya ada bawakan makanan tengahari untuk awak. Awak lapar tak? Saya hidangkan untuk awak yea," Faizah terus membuka mangkuk tingkat yang dibawanya.

Zafran mendengus kecil. "Awak tak payah susah-susah. Saya boleh cari makanan sendiri. Awak buat semua ni, tak membazir ke?"

"Membazir apanya? Cara ini lebih jimat. Saya masakkan untuk awak. Jimat sikit duit tu. Kita ni belajar lagi, awak. Banyak nak pakai duit. Awak juga yang cakap dulu, masa mula-mula kita bercinta. Takkan dah lupa?"

Zafran mendengus lagi. Dilihat lauk yang terhidang di atas meja. Nampak sedap. "Bolehlah. Meh sini saya nak makan. Lapar ni."

Senyum manis Faizah kembali. Cepat-cepat dia mencedokkan nasi dan lauk untuk lelaki itu. Suka dia melihat Zafran sungguh berselera menikmati hidangannya. "Jangan makan laju sangat. Nanti tercekik pula."

"Rajin pula awak masak banyak-banyak macam ni. Awak tak belajar ke untuk peperiksaan nanti?" tanya Zafran sedikit hairan.

"Alah, semua orang ada 24 jam kan. Kena la pandai bahagikan masa," jawab Faizah. "Lagipun, bukan saya sorang yang masak. Kitorang masak ramai-ramai. Saya masak sambal, Amy masak nasi, Bob masak sayur...!"

Tersembur nasi di mulut Zafran apabila mendengar nama Bob tersebut. Faizah yang terkejut kemudian pantas menghulurkan air mineral kepadanya. "Kan dah cakap, makan tu jangan gelojoh sangat. Kan dah tersedak."

"Kau cakap siapa yang masak lauk ni?" nada suara Zafran tiba-tiba naik. Mengejutkan Faizah yang sedang menghulurkan tisu. "Bob la, siapa lagi?"

"Balik-balik Bob! Balik-balik Bob! Apa, dah tak ada orang lain ke kau nak buat kawan?" jerkah Zafran, menarik perhatian orang ramai di ruangan itu.

"Apa awak cakap ni?" mata Faizah sudah mula berkaca. "Bob tu kawan saya sejak saya masuk ke kolej ni lagi. Dia sentiasa ada dengan saya masa susah dan senang. Dia sentiasa bantu saya bila saya memerlukan. Dia sahabat saya! Sahabat sejati saya!"

"Kau anggap dia sahabat sejati, habis tu dia anggap kau apa? Kekasih?" merah mata Zafran memandang Faizah. "Kau ingat aku tak tahu niat sebenar Bob tu pada kau? Kau buta ke apa? Atau kau sebenarnya dah tahu tapi kau biarkan je sebab kau suka dan rela?"

"Awak!" air mata Faizahnsudah bercuxuran keluar. "Sampai hati awak cakap macam tu tentang saya. Awak tak percayakan saya? Saya sayangkan awak, tahu tak?"

Zafran hanya diam. Sesekali dia mendengus kuat.

"Setiap kali kita gaduh, tak ada topik lain yang jadi pilihan. Mesti pasal Bob. Awak tak penat ke, buruk sangka pada saya dan Bob? Bukannya awak tak kenal Bob tu. Bukannya awak tak pernah jumpa dia. Jadi apa masalahnya?"

"Argh!" Zafran menepis semua mangkuk tingkat di atas meja. Berdenting bunyinya apabila jatuh ke lantai. "Aku dah muak! Telinga aku dah penat, dah letih dengar orang dok mengata pasal korang! Sekali dua boleh aku hadap lagi. Tapi kalau dah tiap-tiap minggu dengar cerita baru, siapa yang boleh tahan?"

"Jadi awak percayakan diorang berbanding saya?" tanya Faizah kembali. "Awak percayakan diorang berbanding kekasih sendiri?"

"Habis tu kau nak suruh aku percayakan kau bila aku tengok sendiri gambar korang bercium dalam tandas? Gitu?"

Buntang mata Faizah mendengarnya. “Awak cakap apa?”

*****

Zafran merenung kembali gambar itu. Gambar dia bersama Faizah ketika mereka bercinta di zaman kolej. Dia senyum nipis apabila melihat wajah Faizah yang tersenyum lebar ketika dia berjaya menamatkan larian marathon. Gambar apabila Faizah menyertai pementasan drama. Gambar mereka ketika meniaga di bazar Ramadhan bersama rakan sekolej lain.

“Faizah, kau tahu, aku masih sayang kau macam dulu. Tapi, kau masih dengan dia. Kenapa? Kenapa kau kena hancurkan hati aku lagi?”

Senyuman Zafran mati apabila melihat gambar mereka di majlis konvokesyen dibelek perlahan. Gambar yang diambil secara curi oleh Zafran. Gambar Suhaila dan Faizah tersenyum gembira. Sejurus perbualan dengan Suhaila kembali terngiang di telinga.

“Aku tak sangka yang aku akan jumpa kau lagi, Bob,” ujar Zafran perlahan, setelah selesai perbincangan dengan Suhaila. “Tak sangka, kau masih macam dulu lagi. Seorang…!”

“Lesbian?” potong Suhaila laju. “Selepas beberapa tahun berlalu, kau masih anggap aku macam tu? Sayangnya…”

“Kau sepatutnya kesiankan diri kau sendiri. Setelah beberapa tahun pun masih tak berubah. Insaflah, Bob. Kau tu bukannya makin muda.”

“Kau cakap macam kau tu boleh baca bila ajal kau, kan?” Suhaila ketawa kecil. “Mulut pun masih busuk macam dulu. Siapa la yang malang jadi isteri kau ni. Atau, kau belum kahwin?”

“Aku bukan macam kau,” jawab Zafran selamba. “Walaupun sampai sekarang aku belum kahwin, aku masih ‘lurus’. Bukan ‘bengkok’ macam kau.”

Suhaila angkat kening. “Susah sebenarnya nak betulkan balik pemikiran kau ni, walaupun dah lama kita tinggalkan kolej,” keluhnya perlahan. “Salah aku juga dulu.”

“Apa dia? Aku tak dengar.”

“Tak ada apa-apa la,” Suhaila membetulkan duduknya. “Lagipun, kau nak ke dengar kata-kata aku? Bukannya kau nak percaya pun kan?”

“Apa-apa sajalah,” Zafran bangun dari duduknya. “Aku harap kita professional dalam projek ni. Antara kita hanya ada ini,” sambungnya sambil menunjukkan dokumen di tangannya. “Hanya ini antara kita.”

"Dan Faizah," sambung Suhaila. Bulat mata Zafran mendengarnya. "Faizah?"

"Ya. Dia pengurus projek ni. Aku bantu dia je," Suhaila bangun dan mencapai barang-barangnya. "Kami memang profesional. Tapi tak tahulah kalau kau. Mana tahu, kau simpan perasaan benci kat kami berdua."

Suhaila melangkah pergi dari situ. Zafran termangu sendiri. Benci? Bencikah aku pada mereka berdua?

"Satu lagi," Suhaila tiba-tiba muncul kembali, membuatkan Zafran terkejut besar. "Kau dah kenapa?"

Suhaila tersengih. "Maaf. Aku lupa nak cakap sesuatu. Benci tu, jangan dalam sangat. Nanti jadi cinta."

"Cinta?" Zafran ketawa sinis. "Cinta aku pada Faizah sudah lama mati, sejak aku tahu tentang hubungan terlarang korang."

"Really? Aku harap kau jujur la pada diri sendiri. Eyes never lie," Suhaila angkat kening. "Pergi dulu!"

Miauw!

Zafran terkejut. Lamunannya terlerai. Dia memandang kucing yang tiba-tiba melintas di hadapannya sambil tersenyum nipis. Kemudian dia memandang gambar itu sekali lagi dan akhirnya memandang bulan. Terang menyinari malam tanpa ada awan yang menghalang.

"Masih cintakah dia padaku?"

*****

"Bob, aku nak bincang sikit pasal bajet projek ni. Aku...!" kata-kata Faizah terhenti apabila melihat meja Suhaila kosong tidak berpenghuni. Faizah kerut dahi. "Mana hilang budak bertuah ni?"

Telefon di tangan cepat dibelek, mencari nombor Suhaila. Didail berkali-kali namun tiada jawapan. Faizah semakin hairan. Mana pula perginya Suhaila ni? Penting sangatkah urusan gadis tomboi itu sehinggakan dia tidak boleh jawab panggilannya?

"Nabil," panggil Faizah apabila lelaki itu berjalan melintasinya. "Mana ketua awak? Saya telefon dia banyak kali tapi dia tak angkat."

"Saya tak tahu, Cik Faizah," tertunduk-tunduk lelaki itu memohon maaf. "Tapi tadi, saya nampak Cik Suhaila jumpa Cik Farah dan Cik Dhiya. Lepas tu, diorang keluar dari ofis."

"Pukul berapa tu?"

"Dalam pukul sembilan macam tu," jawab Nabil perlahan. "Tapi Cik Dhiya ada kat bilik dia. Cik Faizah boleh jumpa dia kalau ada urusan penting."

"Tapi tadi awak kata...," Faizah mengeluh kecil. "Tak apalah. Awak boleh sambung kerja awak. Kalau ada apa-apa, saya cari awak. Terima kasih."

Faizah terus melangkah ke bilik Dhiya. Gadis itu sedang menjawab panggilan telefon ketika Faizah ketuk pintu. Namun Dhiya memberi isyarat tangan membenarkan Faizah masuk dan duduk.

"Ya, Faizah? Ada apa yang saya boleh bantu?"

"Bob... Suhaila dah pergi jumpa Encik Zafran, kan? Dia cakap nak pergi pagi ni sebab nak bincang pasal majlis makan malam tu," tanya Faizah.

"Oh, pasal tu," Dhiya angguk kecil. "Sebenarnya, pagi tadi kita ada kecemasan. Bonda Latiffah diserang sakit jantung di Singapura."

"Apa?" terkejut Faizah mendengarnya. "Bonda tak apa-apa kan?"

Dhiya senyum. "Insya Allah, keadaannya semakin pulih. Tapi dia mahu dirawat di Malaysia. Jadi Farah dan Suhaila ke sana untuk selesaikan segala urusan. Mereka ke sana dengan kapal terbang. Sebab tu awak tak dapat hubungi dia."

"Oh, begitu," Faizah tarik nafas dalam. "Tapi bagaimana dengan perjumpaan dengan Encik Zafran? Mereka sepatutnya berjumpa hari ni untuk majlis makan malam bersama kerabat diraja tu."

"Itu saya dah uruskan. Saya dah aturkan semula perjumpaan tu. Jadi dia akan jumpa awak di sini sekejap lagi. Bersiap sedialah apa yang patut."

Sekali lagi Faizah terkejut. "Saya? Sini?"

"Kenapa terkejut?" hairan pula Dhiya melihat reaksi Faizah. "Bukankah projek ni projek awak pada mulanya? Suhaila hanya membantu, kan? Jadi sepatutnya tak ada masalah."

"Tapi....," Faizah... Zafran... berdua....

"Cik Dhiya boleh teman saya jumpa dia tak?"

"Apa awak merepek ni?" Dhiya kerut dahi. "Tak banyak yang saya tahu pasal projek ni. Lagipun kejap lagi saya nak ke butik Bonda."

Faizah senget bibir. Macam mana ni...

"Awak boleh solat?" tanya Dhiya tiba-tiba. Terkebil-kebil mata Faizah memandangnya. "Boleh. Saya boleh solat. Kenapa, Cik Dhiya?"

"Kalau macam tu, awak ambil wuduk, solat dua rakaat. Minta dengan Allah. Ketenangan, kekuatan, petunjuk," nasihat Dhiya. "Saya tak tahu apakah ada kisah di antara awak dan Zafran. Apa yang saya tahu, awak seorang staf yang kompeten dan mampu menghadapi apa jua situasi. Saya percayakan awak. Jangan sia-siakan itu."

"Baik, Cik Dhiya. Saya minta diri dulu," Faizah terus keluar dari bilik Dhiya, menuju ke surau. Dia menunaikan solat sunat Dhuha. Kemudian, dia menadah tangan memohon keampunan pada Dia Yang Maha Esa.

"Allahu, perancanganMu adalah yang terhebat. Pastinya ada yang tersirat di sebalik apa yang berlaku hari ini. Aku mohon padaMu, berikanlah ku kekuatan untuk aku menghadapi dugaanMu. Aamiin."

Seakan mendapat semangat baru, Faizah melangkah ke biliknya dengan penuh yakin. Sementara menunggu Zafran, sempat dia menyiapkan beberapa tugasannya.

"Assalamualaikum,"

"Waalaikumsalam," jawab Faizah sambil mendongak. Senyum manis dilontarkan. "Selamat datang, Zafran Affan. Lama tak jumpa."

*****

"Makin selesa kau dengan Zafran sekarang ni," ulas Suhaila ketika mereka sama-sama menikmati makan tengahari. "Dah boleh berbincang dengan dia tanpa bantuan aku sebagai pihak ketiga. Rasanya aku dah boleh tarik diri dari projek ni."

"Kau jangan nak mengada, Bob. Kau bukan sekadar pembantu, kau orang penting dalam projek ni. Mana boleh aku benarkan kau tarik diri? Tarik pipi tu kang, baru tahu."

Suhaila ketawa kecil. "Aku ni tak la kejam sangat nak halang cinta yang baru berputik kembali. Tak nak la aku ni jadi tembok antara korang berdua."

"Merepeklah kau ni," jawab Faizah selamba. Dia geleng kepala perlahan.

"Tapi jujurlah dengan aku," nada suara Suhaila berubah serius. "Apa yang kau rasa bila jumpa dengan bekas kekasih kau balik?"

"Tak ada apa-apa la. Biasa je," balas Faizah sambil menikmati hidangannya. "Kita profesional, kan? Kita tak campur adukkan kerja dengan peribadi."

"Tolonglah, Bunga. Aku tahu kau masih simpan perasaan dengan lelaki tu, kan?" Suhaila angkat kening. "Aku bukannya baru kenal kau semalam. Mengaku jelah."

"Dah kenapa kau buat iklan Nando's kat sini?" Faizah senget bibir. "Kita bukan kat kolej lagi, Bob. Di mana kita boleh ikut hati dan perasaan kita."

"Sekarang pun boleh, kan? Asalkan kita tahu macam mana nak kawal hati dan perasaan kita."

Faizah geleng kepala. "Aku tak rasa macam tu."

"Jadi sekarang ni apa perancangan kau?"

"Sekarang ni...," Faizah tepuk tangan sekali. "Siapkan projek ni. Kemudian kita berdua akan bercuti! Tak sabar rasanya!"

"Amboi, kau yang terlebih teruja ni kenapa?" Suhaila angkat kening sebelah. "Aku tahu la kau dah lama tak bercuti. Dah la, aku nak ke tandas dulu. Kau tunggu kejap."

"Pergi je la, siapa larang...," Faizah senge bibir. Sepeninggalan Suhaila, dia mengambil kesempatan memeriksa beberapa emel yang diterima menerusi telefon pintar.

"Faizah?" panggilan itu membuatkan dia spontan mendongak. Sebentar kemudian wajahnya bercahaya. "Safwan! Buat apa kat sini? Bukan ke awak kat Bangkok?"

"Baru balik. Saja tak nak bagitahu. Suprise!" jawab Safwan ceria. Tergelak Faizah mendengarnya. "Memang suprise sangat!"

Safwan dan Faizah terus berbual mesra tanpa menyedari gelagat mereka diperhatikan seseorang. Cermin mata hitam dipakai kembali, dan dia memandu pergi meninggalkan kawasan tersebut.

Satu mesej diterima Faizah apabila mereka melangkah keluar dari restoran tersebut. Keluhan kecil yang keluar dari bibirnya menarik perhatian Suhaila. "Kenapa?"

"Zafran. Dia batalkan janji temu petang ni. Ada hal kecemasan katanya," kata Faizah perlahan. Suhaila senyum penuh makna.

****

Majlis makan malam yang dianjurkan syarikat milik ayah Zafran berlangsung dengan jayanya. Majlis yang dihadiri oleh kerabat diraja dan duta-duta dari pelbagai negara mendapat respon yang memberansangkan daripada mereka yang hadir. Rata-rata memuji tahap keselamatan yang begitu tinggi oleh Suhaila dan pasukannya.

“Tahniah,” puji Zafran. “Tak sia-sia pihak kami menukar syarikat pengurusan acara untuk majlis kali ni. Kerja kau memang mantap!”

“Bukan kerja aku seorang,” Suhaila merendah diri. “Bab keselamatan memang makanan aku. Tapi secara keseluruhannya ini semua kerjasama semua pihak. Terutamanya Faizah yang bertungkus lumus untuk menjayakan projek ni.”

Zafran berdehem sedikit apabila mendengar nama itu disebut. “tahap professional korang memang sangat tinggi kan? Aku dengan kau bukannya baik sangat masa kita kat kolej dulu. Tapi kau boleh bekerjasama dengan aku dengan baik. Aku tabik la dengan kau.”

“Tak payah nak puji sangat la,” Suhaila senyum senget. “Aku dengan kau tak baik pun bukan sebab lain. Sebab Faizah, kan? Kau cemburu sebab kau ingat aku ni lesbian kan?”

“No comment,” Zafran segera menghentikan perbualan apabila menyedari ayahnya sedang menghampiri mereka. “Ayah, semuanya okey. Don’t worry. Pandai syarikat yang ayah pilih.”

Tuan Affan angguk kecil. Pandangannya diarahkan kepada Suhaila yang berdiri di sebelah Zafran. “Bonda Latiffah macam mana? Sihat?”

“Alhamdulilah, Tuan Besar. Dia semakin sihat. Tapi doktor nasihatkan dia supaya banyakkan berehat,” jawab Suhaila, padat. “Anyway, dia kirim salam dengan Tuan Besar.”

“Waalaikumsalam,” jawab Tuan Affan. Kemudian dia tepuk perlahan bahu Zafran. “Good job, son. Papa bangga dengan kamu.”

Zafran masih tersengih ketika Tuan Affan berjalan meninggalkan mereka berdua. Ketika dia dan Suhaila bertentang mata, dia angkat kening. Suhaila kerut dahi.

“Jangan terlalu hanyut dengan pujian, Zafran. Pujian ni macam gula. Manis, tapi ada racun di dalamnya,” nasihat Suhaila sebelum menjawab panggilan telefon. Zafran buat tidak peduli.

“Eh, aku ada benda nak cakap dengan kau. Tapi bukan sekarang la,” ujar Suhaila setelah selesai menggunakan telefon. “Esok kau ada apa-apa tak?”

“Esok kan Ahad. Cuti la,” jawab Zafran selamba. “Apa punya soalan kau tanya aku ni?”

“Esok aku bagitahu kau apa halnya. Aku belanja kau makan tengah hari. Okey?”

“Apa yang rahsia sangat sampai nak kena cakap esok?”

“Adalah,” Suhaila senyum senget. “Kau datang tau! Kalau kau tak datang. Aku gegar rumah kau!”

Dan kerana kata-kata Suhaila itu, Zafran berada di sini. Menunggu kehadiran gadis tomboy itu. Entah mengapa, jantungnya berdegup kencang. Sama seperti ketika dia mula-mula bertemu semula dengan Suhaila dulu.

“Assalamualaikum,” suara seorang lelaki membuatkan Zafran segera menoleh. Sejenak dia tergamam. Lelaki ini…

“Awak Zafran, kan? Saya Safwan,” lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Lama kemudian baru Zafran menyambutnya dengan hati yang berdebar.

“Tunggu Suhaila ke?” tanya Safwan. Belum sempat Zafran menjawab, dia menyambung. “Tu la, tadi dia ada dengan saya. Lepas tu dia suruh saya masuk dulu cari awak. Entahlah dia tu. Kadang-kadang, tak boleh baca juga fikirannya.

Zafran telan liur. Permainan apa yang kau sedang lakukan ni, Bob? Datanglah cepat! Kau nak mainkan perasaan aku ke apa ni?

“Zafran! Dah lama sampai?” sapa Suhaila yang baru tiba. Dia duduk di sebelah Safwan. Zafran jelas tidak selesa. “Apa benda yang penting sangat tu, Bob? Cakap je la. Aku tak banyak masa ni.”

“Oh, aku lupa,” Suhaila mengeluarkan sampul surat dari dalam begnya. “Ini untuk kau. Bukalah. Jangan risau, bukannya bom.”

Ragu-ragu Zafran membukanya. Berkerut dahinya apabila mendapati isi kandungan sampul itu. Kad undangan perkahwinan. “Dengan ini kami ingin menjemput anda ke majlis perkahwinan Suhaila Amin dengan Safwan Roslan… Eh?”

Suhaila senyum lebar. Safwan gelak kecil. Zafran ketap gigi. Kurang asam punya Bob!

*****

Faizah ambil kertas kosong untuk kesekian kalinya. Lipatan demi lipatan dibuat dan dia bentuk untuk menjadi origami angsa yang sangat cantik. Setelah siap, diletakkan dan diambil kertas kosong lagi. Kemudian baru dia sedar sudah banyak kertas origami yang dilipatnya.

Faizah mengeluh kecil. “Selalunya kalau buat origami ni hati jadi senang. Jadi tenang. Tak la terfikir masalah orang-orang dewasa ni. Kenapa kali ni tak boleh pulak? Apakah aku dah jadi orang dewasa sampai origami ni dah tak sesuai untuk menenangkan fikiran?”

“Mungkin dah cukup dewasa untuk dewasa untuk kahwin kot,” terdengar suara seorang lelaki membuatkan dia menoleh cepat. Sejenak, dia tergamam. “Zafran!”

Lelaki itu duduk di sebelahnya lalu beberapa origami diambil dan dibelek perlahan. “Hurm, makin cantik lipatan awak. Memang selalu buat ke?”

Faizah masih diam tanpa menjawab soalan Zafran. Lelaki itu seakan mengerti. Dia mengambil kertas di tangannya lalu melipatnya menjadi seekor penguin. “Yang ni pun comel juga kan? senang pun senang. Saya ajar awak, nak tak?”

“Awak buat apa kat sini?” tanya Faizah.

“Cari jodoh,” jawab Zafran selamba. “Ada orang cakap jodoh saya kat sini. Tu yang saya cuba cari tu. mana tahu jumpa.”

Faizah mendengus kecil. “Rasanya tak ada pun yang tahu saya bercuti kat sini. Kecuali…”

“Bob?” potong Zafran. “Yep. Dia yang bagitahu. Dia juga bagitahu kenapa awak datang sini. Dia bagitahu saya segalanya, Faizah.”

Dahi gadis itu berkerut seribu. “Saya tak faham. Kenapa…?”

“Kenapa apa?”

“Tak, saya tak faham. Apa yang awak cuba buat ni? Saya… saya….”

“Awak takut saya mainkan perasaan awak? Gitu?” potong Zafran lagi. “Awak, kan saya dah cakap, Suhaila dah bagitahu saya segalanya. Segalanya, awak.”

“Maksud awak?”

“Dia sedar dialah punca perpisahan kita dulu. Dia rasa bersalah dan nak betulkan keadaan. Dia tahu saya ingat dia lesbian dan dia betulkan semua tu dengan berita perkahwinannya dengan Safwan.”

Mendengar nama lelaki itu, dia memandang Zafran tepat. “Jadi awak dah jumpa diorang?”

Zafran angguk. “Awak… saya minta maaf. Saya yang salah. Terlalu percayakan orang lain daripada kekasih sendiri. Saya minta maaf.”

Faizah diam. Tidak membalas kata-kata lelaki itu. Zafran tidak berputus asa, dia mengambil kertas kosong dan mula melipat. Faizah buat tidak tahu sehinggalah Zafran menghulurkan sesuatu. “Untuk awak.”

“Bentuk hati?” tanya Faizah spontan. Zafran angguk. “Ini hanya kertas berbentuk hati. Nanti saya bagi hati saya bila kita nikah nanti. Awak nak kahwin dengan saya tak?”

Memerah pipi Faizah mendengarnya. Zafran senyum. “Awak nak kahwin tak dengan saya?”

“Siapa nak kahwin dengan awak? Perasan.”

“Oh, tak nak kahwin dengan saya yea? Tak apa, saya cari perempuan lain. Meh sini hati tu. penat saya jaga.”

Zafran menghulurkan tangan untuk mengambil origami berbentuk hati itu namun cepat-cepat Faizah menyorokkannya. “Tak baik buruk siku.”

Zafran ketawa besar. Faham benar maksud di sebalik kata-kata itu. “Terima kasih sayang.”

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.