Home Cerpen Keluarga Bisakah
Bisakah
Laila Qaisara
14/10/2015 18:41:40
2,178
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Julia melangkah perlahan keluar dari Rumah Solehah itu. Perasaannya bercampur baur. Kata-kata Puan Suraya bermain-main di cuping telinganya.

"Ingat Julia, ujian sebenarnya bermula bila awak keluar dari sini, bukannya selama awak di sini. Tempat ini adalah tempat untuk awak mempersiapkan diri untuk awak menghadapi cabaran di luar sana," Puan Suraya diam seketika. Julia hanya diam membisu. Namun telinganya mencerna setiap patah kata pengetua pusat pemulihan akhlak itu.

"Awak penghuni terbaik di sini. Saya tak mahu awak kecundang di luar sana. Saidina Ali pernah berpesan, beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."

"Baik puan. Insya Allah, saya akan ingat pesanan puan," janji Julia bersungguh-sungguh.

"Jangan hanya berjanji," tegas Puan Suraya. "Bila awak kembali ke sini, saya mahu awak datang sebagai pekerja atau sukarelawan. Bukan sebagai penghuni. Faham?"

Julia menarik nafas. Dalam. Perlahan dia menghembus nafasnya. Berulangkali dia melakukan tindakan itu. Dia yakin, itu salah satu cara untuknya mencari kekuatan, selain memohon kepada Yang Maha Esa.

"Yaa Allah, permudahkanlah urusanku," doanya dalam hati. Langkahnya diteruskan. Destinasinya, rumah keluarganya.

Rindu. Betapa dia rindu dengan keluarganya. Entah apalah rekasi ayah, kakak dan adiknya nanti apabila melihat kepulangannya nanti. Entah suka, entah benci. Julia mengeluh kecil. Namun langkahnya diteruskan juga.

"Assalamualaikum," ucapnya apabila dia telah sampai di hadapan rumahnya. Sunyi. Sepi. Seakan tiada orang. Mana semua orang pergi?

"Assalamualaikum," ucapnya lagi. Kali ini lebih kuat. Seketika kemudian, terdengar suara orang terbatuk-batuk dari dalam rumah. Julia membetulkan pakaiannya. Mahu kelihatan sempurna di hadapan keluarganya.

"Waalaikumsalam," terdengar suara dari dalam rumah, menjawab salam Julia. Kemudian, pintu rumah dibuka perlahan. Seorang lelaki keluar, berhenti apabila melihat kelibat Julia di halaman rumah.

"Ayah...," panggil Julia sayu. Terlalu rindu dia pada lelaki di hadapannya ini. Lantas langkahnya laju menghampiri tangga rumah.

"Berhenti!" Terencat langkahnya apabila mendengar suara keras Pak Othman. Lantas dia mendongak, memandang wajah itu. "Ayah, saya dah balik..."

"Kau siapa?" bentak Pak Othman. "Aku tak kenal kau!"

"Ayah...," air mata gadis itu mula mengalir. "Ini Julia, yah. Anak ayah."

"Aku tak ada anak nama Julia! Anak aku dah mati!" bentak Pak Othman lagi. "Aku tak ada anak yang menconteng arang ke muka aku. Tak ada! Kau pergi! Jangan datang sini lagi!"

"Ayah..."

"Kau tak faham bahasa ke? Pergi dari sini sebelum aku naik hantu!" suara Pak Othman sudah naik satu oktaf. Perlahan Julia berpusing, mahu melangkah pergi.

"Kalau aku nampak kau kat sini lagi, aku repot polis!"

Air mata Julia terus mengalir tanpa henti.

*****

"Ayah halau dia macam tu je?" tanya Syafika. Buntang matanya menfengar cerita Pak Othman. Bagaikan tidak percaya, adiknya sudah dibebaskan dari pusat pemulihan akhlak.

"Habis tu, kau nak aku buat apa?" tanya Pak Othman. "Kau nak aku sambut dia dengan mesra, jemput dia masuk rumah ni dengan tepak sirih di tangan? Begitu?"

"Tak adalah sampai macam tu sekali, ayah. Tapi Julia tu kan anak ayah. Jauh mana pun dia pergi, buruk mana pun lakunya kat luar sana tu, dia tetap anak ayah," nasihat Syafika lembut. "Lagipun, dia baru je keluar. Mana lagi dia nak pergi kalau bukan pada keluarga sendiri?"

"Aku tak ada anak macam tu!" bentk Pak Othman keras. "Aku tak ada anak yang menconteng arang ke muka aku. Melumur tahi ke rumah ni. Kau dah lupa macam mana kita dipulaukan sebab dia?"

"Saya tak pernah lupa, ayah," jawab Syafika. Nada suaranya masih lembut seperti tadi. "Tapi ayah juga kena ingat, baik buruk macam mana sekalipun, dia tetap anak ayah. Adik saya."

"Pak Othman bangun. "Kalau kau rasa nak bela biawak hidup tu macam dulu, kau pergilah cari dia! Entah kat mana dia sekarang ni. Kat lorong belakang tu rasanya. Ambil benda haram tu!"

Pak Othman terus melangkah ke bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Tergeleng Syafika melihat telatah ayahnya itu. Perlahan Syafika bangkit menuju ke biliknya. Sebuah album lama dikeluarkan dari rak buku. Dibeleknya perlahan. Tangannya terhenti apabila gambar Julia kelihatan. Syafika senyum. Rindu sungguh dia pada adiknya itu.

"Mana kau sekarang, Julia?"

*****

Terbatuk-batuk Julia seketika. Dia mengurut dadanya perlahan. Namun semangatnya untuk mrngalunkan ayat-ayat al-Quran masih belum luntur. Dia meneruskan bacaannya. Lama, dia tenggelam dalam lautan ayat-ayat cinta daripada Allah itu.

Dia sentiasa ingat pesanan Imam al-Ghazali yang disampaikan oleh Zarina, sukarelawan yang sering datang ke Rumah Solehah. "Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau terima, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, caeilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah pada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

"Sadaqallahul 'azim....," mushaf itu ditutup dan dijunjung perlahan. Kemudian dia menghela nafas halus. Penerimaan ayahnya tempoh hari masih segar di ingatannya.

"Kau siapa? Aku tak kenal kau!"

Air matanya menitis lagi. Entah untuk kali ke berapa. Kelopak matanya ditutup perlahan. Kenangan manis bersama keluarga tercinta diimbas kembali.

"Ayah, tu burung apa?"

"Burung murai, nak," jawab Pak Othman.

"Burung apa?"

"Burung murai."

"Burung apa?"

"Burung murai...," Pak Othman masih sabar melayan kerenah Julia. Ketika itu dia berusia enam tahun.

"Oooo....," panjang muncung Julia. "Kenapa burung tu namanya burung murai?"

"Sebab... dia banyak cakap, macam adik!" lantas Pak Othman mengeletek anak kecil iti. Terkekeh Julia ketawa menahan kegelian.

Tanpa sedar, Julia senyum.

"Inilah pertama kali kakak tengok kamu senyum sejak seminggu lalu, Julia," tegur Zarina yang baru pulang dari kedai. Cepat Julia membuka mata. Namun bibirnya masih mengukir senyuman. Cuma tidak semanis tadi.

"Lambat kakak balik."

"Kakak tunggu tuan kedai datang tadi. Itu yang lambat," tutur Zarina sambil mengeluarkan barang-barang yang baru dibelinya tadi.

Dahi Julia berkerut. "Tunggu tuan kedai? Buat apa, kak?"

"Tadi kakak tengok ada iklan jawatan kosong kat kedai tu. Kakak cuba tanyakan kat pekerja kedai tu. Tapi dia suruh kakak tunggu tuan kedai sebab dia pun tak tahu sangat. Jadi kakak tunggu la."

"Kerja kosong? Kakak nak cari kerja 'part-time' ke?"

"Eh, budak bertuah ni! Pukul kang!" sengaja Zarina membuntangkan matanya. "Kakak tanyakan untuk awak le, Julia oi. Esok pukul sepuluh, jumpa tuan kedai tu tau."

"Kakak carikan kerja untuk saya ke?" air mata Julia mula menitis kembali. "Susah-susah kakak je..."

"Kakak dah berjanji dengan Puan Suraya, kakak akan bantu awak. Macam kakak bantu bekas-bekas penghuni yang lain. Bila kakak dah berjanji, kakak akan tunaikan semampu kakak," Zarin senyum. "Dah, jangan nak buat drama Samarinda kat sini!"

Dalam tangisan, Julia gelak.

*****

"Julia! Sini kejap!" panggil Zaleha di kaunter sambil mengira wang di kaunter. Julia yang sedang mengira stok, bergegas ke kaunter apabila mendengar namanya dipanggil.

"Ada apa, bos?"

"Hesh, budak ni!" gerutu Zaleha. "Kan saya dah cakap, jangan panggil saya bos. Panggil je Kak Leha. Bos-bos ni, saya geli."

Julia gelak. "Sorry Kak Leha. Lupa."

Zaleha senyum. "Macam mana kerja? Seronok? Ke, penat?"

"Biasalah, Kak Leha. Kerja mana yang tak penat, kan?" senyum manis terukir di bibirnya. "Tapi saya tak kisah. Asalkan ia halal, cukuplah."

"Bagus," Zaleha membetulkan duduknya. "Macam ni la yang saya mahukan. Sekarang ni, orang dah tak fikir semua tu. Apa yang diorang tahu, nak hidup mewah, hidup senang. Halal haram belakang kira."

Senyum Julia mulai memudar. "Saya sambung kerja dulu la ek, Kak Leha."

"Eh, nak pergi mana tu? Saya tak habis lagi," Zaleha mengeluarkan sampul dari dalam laci. "Dah berapa lama awak kerja kat sini?"

Soalan Zaleha buat Julia termangu. Dia garu kepala. "Er, saya tak ingatlah, kak."

"Pulak...," Zaleha senget bibir. "Dah sebulan awak kerja kat sini. Tak ingat?"

Julia menggeleng perlahan. Zaleha senyum. "Ini gaji pertama awak. Gunakan dengan bijaksana. Jangan beli benda bukan-bukan," nasihatnya lembut.

Senyum manis Julia terukir kembali. Perlahan dia membelek sampul tebal yang berisi wang itu. "Gaji saya, Kak Leha?" tanya Julia seakan tidak percaya.

"Ye la. Gaji siapa lagi?" jawab Zaleha, geram. " Tak nak, tak apa. Saya ambil balik."

"Eh, tak!" laju Julia memeluk erat sampul itu. Wajahnya berseri-seri. Zaleha senyum. "Ni saya nak bagi nasihat. Dalam apa jua situasi, jangan lupakan ibu bapa. Bagi mereka sikit, sebelum belanja duit tu untuk benda lain."

"Baik, Kak Leha," Julia angguk.

"Dah ada rancangan nak buat apa dengan gaji pertama ni?" tanya Zaleha, sekadar ingin tahu. Julia senyum.

*****

Bunyi batuk Pak Othman yang semakin kuat menjadi halwa telinga Syafika sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah itu. Cepat dia masuk ke dalam rumah dan mencari bayangan lelaki itu di bilik.

"Ayah," sapanya perlahan. Dahi Pak Othman diraba perlahan. Tak berapa panas. "Ayah dah makan?"

"Belum. Asyik batuk dari tadi. Kalau makan nanti, mesti tersembur keluar balik," jawab Pak Othman perlahan. "Lagipun, ubat dah nak habis."

Terkedu Syafika mendengar kata-kata Pak Othman. Teringat dengan temujanji ayahnya itu dengan doktor beberapa minggu lalu.

"Penyakit ayah awak ni dah semakin serius. Kami terpaksa tambahkan dos ubatnya. Tapi ubat ini mahal sikit," beritahu doktor itu. Syafika diam, mencongak harga ubat yang perlu dibayarnya.

"Kakak?" panggil Pak Othman, mengembalikannya ke dunia realiti. "Ya, ayah?"

"Kita makan sekali ya? Dah lama kita tak makan bersama," pinta Pak Othman. Syafika senyum. "Saya solat dulu, ya?" melihat Pak Othman annguk, dia bangun ke biliknya.

Usai solat, dia menadah tangan, memohon doa. "Yaa Allah, aku tahu Kau takkan turunkan ujian ini jika kami tak mampu. Dan setiap ujian yang Kau turunkan, akan Kau beri jalannya. Aku mohon, berikanlah kami kekuatan dalam menghadapi ujianMu ini, Yaa Mujiib..."

Ketika dia meraup wajahnya usai berdoa, dia teringat surat-surat yang diterimanya sebentar tadi. Hairan juga dia, kerana selama ini dia jarang menerima surat. Kalau ada pun, hanya bil utiliti yang perlu dilangsaikan setiap bulan. Perlahan dia membelek surat yang diterimanya. Tulisan atas sampul itu menarik perhatiannya.

"Macam tulisan Adik," Syafika senyum. Bertambah lebar senyuman itu apabila membaca isi kandungan surat itu.

'Tak banyak yang Adik boleh bagi. Tapi Insya Allah, Adik akan bagi setiap bulan. Jangan bagitahu Ayah. Nanti dia tak nak guna pula.'

"Alhamdulilah..... Terima kasih, Julia...."

*****

Julia tekun menyusun barang-barang di dalam stor. Tiga pembekal yang tiba hampir serentak membuatkan mereka agak sibuk pagi itu. Namun dia gembira. Sekurang-kurangnya dengan kesibukan ini, fikirannya tidak terlalu memikirkan kisah silamnya. Kisah yang pahit dan hitam.

Di sebelah malam, dia selalu bertadarus bersama Zarina. Dia bersyukur, di saat keluarganya sendiri membuangnya, masih ada yang ingin membantunya. Jasa baik Zarina tidak akan mampu dibalasnya hingga akhir hayat.

Pada hujung minggu, dia sering mengikut Zarina melawat bekas-bekas penghuni Rumah Solehah yang pernah dia huni dahulu. Atas inisiatif Zarina dan Puan Suraya, bekas-bekas penghuni Rumah Solehah akan dibantu dan dipantau oleh Zarina dalam satu tempoh tertentu. Pemantauan hanya akan berakhir apabila mereka diyakini telah mampu berdikari.

"Kakak, adakah kakak akan tinggalkan saya macam mana kakak tinggalkan diorang?" tanya Julia pada suatu hari. Tumpuan Zarina pada tabletnya terganggu apabila mendengar soalan itu.

"Kenapa cakap macam tu?"

"Ye la, bila kakak dah yakin diorang mampu berdikari, kakak dah tak pedulikan diorang lagi dah," Julia menghela nafas halus. "Nanti mesti kakak buat benda yang sama dengan Julia."

Zarina senyum. "Kakak bukan tak pedulikan diorang. Cuma pemantauan tu dah kurang. Diorang pun nak kehidupan sendiri, ye tak?" tanyanya, cuba memancing perhatian Julia. Namun gadis itu masih diam membisu.

"Awak tak nak kakak buat macam tu juga kat awak ke?" tanya Zarina lagi. Perlahan Julia menggeleng. Sungguh, dia tidak mahu!

"Keluarga saya dah tinggalkan saya. Kakak saya dah anggap macam kakak sendiri. Keluarga sendiri. Janganlah tinggalkan saya, kakak..."

"Drama Samarinda dia dah mula dah..."

"Kakak!" bentak Julia manja. Zarina ketawa.

"Kakak takkan tinggalkan awak, dik. Sebab tu, kakak ada perancangan khas untuk awak," ujar Zarina sebaik tawanya reda. Dahi Julia berkerut. "Perancangan khas? Perancangan apa tu, kakak?"

"Julia!" suara lantang Zaleha mematikan lamunan Julia. "Ya, Kak Leha?"

"Datang sini! Ada orang nak jumpa!" suara Zaleha buat Julia hairan. Orang nak jumpa? Siapa?

"Julia!"

"Saya datang sekarang!" Sahut Julia spontan. Sambil dia melangkah, otaknya berputar ligat. Siapa yang tahu aku kerja di sini selaim daripada Zarina?

"Kak Leha," panggil Julia. Dia cuba memaniskan wajahnya walaupun jantungnya berdegup kencang. Eh, kenapa tiba-tiba pula ni?

"Awak kenal dia ni?" tanya Zaleha sambil jari telunjuk menghala ke seorang lelaki yang berdiri tidak jauh daripadanya. Julia tergamam saat lelaki itu berpusing menghadapnya.

"Julia..." panggil lelaki itu sepatah. Hampir ternganga gadis itu melihat kelibat lelaki itu di sini.

"Abang Hafiz..."

*****

"Dah lama Abang cari Julia," ujar Hafiz, memulakan perbualan. Julia hanya diam membisu. Dia menghirup perlahan air suam yang dipesannya. Dia benar-benar terkejut dengan kedatangan bekas tunangnya ini.

"Macam mana Abang tahu saya kerja kat sini?" tanya Julia tanpa perasaan. Dia memandang lelaki di hadapannya ini tanpa berkelip.

"Hari tu," Hafiz membetulkan duduknya. "Abang nampak Julia dengan kawan Julia kat bandar. Abang cuba panggil tapi Julia tak dengar agaknya.

Julia diam. Mindanya segera memutar kembali saat itu. Ketika itu dia menemani Zarina membeli sedikit keperluan untuk Rumah Solehah. Memang dia ada mendengar suara lelaki memanggilnya, namun dia buat tidak peduli.

"Bila Julia keluar?" tanya Hafiz, penuh berhati-hati. Julia dihadapannya ini dirasakan bukan lagi Julia yang dia kenal suatu ketika dahulu.

"Tiga bulan," jawab Julia pendek. Dia enggan memanjangkan cerita. Malas. Kalau diikutkan, dia enggan bertemu dengan lelaki ini. Kalau bukan sebab Zaleha yang seakan mendesak, dia takkan berada di sini.

"Oh," Hafiz berdehem seketika. "Kenapa Julia tak balik kampung?"

"Tak perlulah Abang tahu," Julia mendengus. "Abang nak apa sebenarnya datang cari Julia ni? Kalau tak ada urusan penting, Julia nak balik kedai. Banyak kerja yang Julia kena siapkan!" dia bingkas bangun.

"Julia...," panggilan Hafiz buat Julia menghentikan langkahnya. "Abang... Abang rindu." Julia ketawa sinis. Rindu?

"Betul, Julia. Abang betul-betul rindukan Julia. Selama tiga tahun ni, Abang hanya fikirkan Julia," luah Hafiz, jujur.

"Abang cakap apa ni?" tanya Julia, tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu.

"Abang yakin Julia akan kembali ke pangkal jalan. Abang yakin, sebab Abang sayangkan Julia...!"

"Cop. Abang kata Abang sayangkan saya?" potong Julia cepat. "Kalau betul Abang sayangkan saya, kenapa Abang tak tolomg saya masa saya ketagih dulu? Kenapa Abang tak cakap apa-apa masa mak Abang nak putuskan pertunangan kita dulu? Kenapa Abang tak pernah jenguk saya masa saya di Rumah Solehah?"

Tinggi suara Julia. Puas hatinya dapat meluahkan apa yang terpendam di dada, biarpun semua mata kini memandang ke arahnya.

"Abang... Abang....," tergagap-gagap Hafiz ingin menjawab pertanyaan Julia itu.

"Tiga tahun, Abang. Tiga tahun saya di Rumah Solehah. Sorang pun tak pernah jenguk saya. Waima keluarga saya sekalipun. Bukannya korang tak tahu pun Rumah Solehah tu kat mana. Tapi apa yang saya dapat? Dan sekarang, Abang nak cakap yang Abang rindukan saya? Gitu?"

Suasana hening seketika. Hafiz tunduk. Kalah dia dengan Julia yang sedang berdiri di hadapannya ini. Tidak disangka usahanya untuk kembali ke pangkuan gadis itu akan menjadi sesukar ini. Sungguh!

"Macam ni je la, Abang," suara Julia memecah kesunyian. "Apa kata Abang balik, kahwin je dengan sesiapa yang jadi pilihan hati mak Abang. Jangan cari saya lagi. Assalamualaikum."

Dan seiring dengan ucapan salam itu, Julia melangkah keluar dari restoran itu, meninggalkan Hafiz termangu sendirian. Apabila dirasakan langkahnya sudah agak jauh, dia mengesat air matanya.

Aku kena kuat!

*****

Deringan telefon bimbit yang memecah kesunyian tengah malam itu begitu mengganggu tidur Tina. Dia mendengus kasar. Siapa pula yang sibuk sangat malam-malam ni, rungut hatinya.

“Helo.”

“Tina, kau kat mana?” tanya Julia di hujung talian. Tina menghela nafas halus. Dia rupanya…

“Aku kat rumah ni. Baru nak tidur,” jawabnya, separuh berbohong. “Kau bergaduh dengan ayah kau lagi ke?”

“Ha…,” suara Julia separuh merengek.”Aku bergaduh lagi dengan ayah aku. Bosanlah macam ni. Aku terkongkong. Tak bebas! Aku nak tumpang kat rumah kau, boleh?”

“Boleh je,” jawab Tina sambil menguap. “Esok aku datang ambil kau la.”

“Ala, tak payah susah-susah,” ujar Julia. “Aku dah ada kat depan rumah kau ni.”

“Apa?” terus bangkit Tina dari pembaringan apabila mendengar kata-kata Julia. “Kau dah sampai? Cepatnya!”

“Aku dah tak tahan dah, Tina. Lagi lama aku tinggal dengan keluarga aku, lagi serabut kepala aku. Boleh jadi gila!”

“Oh, okey. Aku turun sekarang.”

Tidak sampai seminit, Tina sudah membuka pintu untuk Julia. Muka gadis itu keruh. Tiada senyyum yang terukir di wajahnya.

“Kau kenapa?” tanya Tina pelik.

“Ayah aku tu la. Dia suruh aku sambung belajar. Tapi aku tak nak. Aku nak kerja. Dapat gaji. Dapat duit. Boleh enjoy!” luah Julia geram. “Tapi ayah aku cakap, kalau aku lawan cakap, dia takkan mengaku aku anak dia.”

“Oh, aku ingatkan apalah tadi,” balas Tina perlahan. “Jadi kau nak kerjalah ni?”

“Boleh ke? Kau boleh tolong aku ke? Dapatkan kerja?” tanya Julia sedikit teruja. Matanya bercahaya.

“Boleh,” janji Tina. “Tapi sekarang ni jom kita tidur. Aku mengantuk!”

*****

Wajah Julia berseri-seri hari ini. Setelah sebulan bekerja di kedai bunga itu, hari ini dia menerima gaji pertamanya. Belum pernah dia memegang duit sebanyak itu selama ini. Dia gementar.

“Hah!” sergah Tina membuatkan Julia terkejut. Buntang matanya melihat ulah temannya yang terkekeh ketawa melihatnya terkejut.

“Leka lagi!” Tina melabuhkan duduknya di sebelah Julia. “Tahulah orang tu dah dapat gaji pertama…”

Kata-katanya mati apabila Julia menyerahkan beberapa keeping not biru kepadanya. “Apa ni?”

“Duit sewa bilik bulan ni,” jawab Julia datar.

“Eh, tak payahlah! Duit tu kau boleh simpan. Buat enjoy!” Tina ukir senyum manis. Kata-katanya itu buat Julia teringat sesuatu.

“Kau kata nak enjoy kat tempat baru kan? Kat mana?”

Senyum manis Tina masih belum hilang. “Nanti malam kau ikut aku. Nak?” Julia tidak menjawab, namun matanya bercahaya. Tahulah Tina, Julia teruja.

*****

“Seronoknya tempat ni!” jerit Julia nyaring, melawan hiruk pikuk di dalam kelab malam itu. Kepalanya digoyangkan mengikut irama lagu.

“Seronok kan? Lagi seronok kalau ambil ni!” Tina menghulurkan beberapa keping pil berwarna putih dan merah kepadanya. Tanpa ragu, Julia menyambut dan menelannya. Kepalanya digoyangkan lagi. Lama-kelamaan dia makin hanyut dalam dunia yang diciptanya sendiri.

“Belum tengah bulan, duit dah habis!” rungut Julia pada satu hari. Dia membelek beg duitnya. Hanya tinggal beberapa keping not hijau. “Gaji lambat lagi. Macam mana ni?”

“Relaks la,” Tina bersuara selamba. “Kau nak kerja lebih tak? Tapi senang. Kau boleh enjoy pada masa yang sama.”

“Kerja apa tu?” tanya Julia. Tina mengukir senyum, yang hanya dia yang memehaminya.

*****

Sudah lima bulan dia bekerja di kedai bunga itu. Sudah lima bulan juga dia bekerja secara sambilan. Ya, dia kini pengedar pil khayal di kelab itu. Dia semakin hanyut dalam dunianya sendiri. Wang yang diperolehinya semakin banyak. Namun semakin banyak juga yang dihabiskannya.

“Julia!” terdengar namanya dipanggil kuat oleh tuan kedai. Julia terpisat-pisat bangun. “Apalah yang dia bising ni….”

“Apa nak jadi dengan awak ni?” tuan kedai sudah mula membebel. “Setiap hari saya nampak awak tertidur masa kerja. Awak nak kerja kat sini ke tak ni? Kalau awak tak nak kerja…!”

“Saya boleh berhentilah!” potong Julia, membentak. Dia menghempaskan buku catatan di atas meja. Kemudian dia keluar dari kedai bunga itu.

“Ingat orang hadap sangat la nak kerja kat sini!”

Tuan kedai itu hanya menggelengkan kepala.

*****

“Julia, aku nak kenalkan kau dengan seseorang,” ujar Tina ketika mereka sedang asyik melayan alunan muzik di kelab malam itu. Ketika itu Julia baru sahaja selesai mengedarkan pil-pil khayal kepada pengunjung di kelab itu. Kelincahan Julia membuatkan dia cepat dikenali dan ini memudahkan kerjanya.

“Siapa?” Julia mengerutkan dahi. Pelik. Hampir semua pengunjung kelab ini dikenalinya. Siapa pula yang Tina maksudkan ni?

“Sayang! Sini!” jerit Tina sambil tangannya diangkat tinggi, menggamit perhatian seorang lelaki yang baru masuk ke kelab itu. Raut wajah lelaki itu cukup membuatkan kening Julia bercantum rapat.

“Sayang, kenalkan inilah kawan I yang I cakap tu. Julia, ini boyfriend aku, Azman,” ucap Tina mesra. Julia dan Azman bersalaman. Ada rasa kekok yang wujud antara mereka berdua.

“Korang berboraklah dulu. Aku nak pergi sana kejap,” sekelip mata, Tina sudah hilang dalam lautan manusia. Tinggalkan Julia dan Azman di situ.

“Tak sangka, tunang abang aku ada kat sini,” ujar Azman, memulakan bicara. “Orang kampung semuanya cari kau, tahu tak?”

Julia mendengus halus. “Dan kau, apa yang anak imam buat kat sini? Bukan sepatutnya kau ada kat rumah ke? Tahajud ke, mengaji ke .…”

“Kita sama je, Julia. Kau dan aku. Sama je,” Azman Meneguk minuman yang baru tiba. “Kau jaga perut kau, aku jaga perut aku. Senang.”

“Semudah itu?” Tanya Julia sambil menjeling ke arahnya. “Aku bukan baru kenal kau hari ni. Tak ada maknanya kau setuju tanpa kepentingan sendiri.”

“Julia, Julia…,” Azman menggeleng perlahan. “Kau tahu apa yang bermain di fikiran aku. Kenapalah kau kena bertunang dengan abang aku, bukannya aku?”

Kata-kata Azman membuatkan Julia cepat menoleh. Belum sempat dia menjawab kata-kata itu, Tina tiba-tiba muncul. “Hai! Seronok berbual?”

Julia hanya senyum sambil menikmati muzik yang dimainkan. Kata-kata Azman akhirnya luput ditelan waktu.

*****

“Apa?” hampir menjerit Julia saat mendengar permintaan Azman di hujung talian. Gila! Ini benar-benar gila! “Kau dah tak ada benda lain ke nak aku buat?”

“Kau ada pilihan lain ke, Julia? Tak ada!” Azman ketawa sinis. “Apa yang kau kena buat adalah tunaikan permintaan aku. Apa yang susah sangat?”

“Mengarut!” bentak Julia. “Kalau permintaan lain aku boleh pertimbangkan. Tapi ini…!”

“Kenapa, kau berat hati?” potong Azman cepat. Geram pula Julia dengannya. Kalau dah namanya lelaki…

“Bukan susah sangat pun permintaan aku tu. Tidur dengan aku, satu malam je. Kan senang!”

“Hoi mangkuk!” Julia menggerutu. Dia ingat benda tu senang? “Kenapa kau tak minta dengan Tina je? Kenapa kau kena minta dengan aku?”

“Sekarang ni aku tengah cakap dengan siapa? Dengan kau kan? Bukan dengan Tina, kan? Jadi aku minta dengan kau la, bukan Tina! Lagipun, dah selalu sangat aku dengan dia. Bosan juga kadang-kadang…”

Julia mendengus geram. “Kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Berzina tu berdosa besar tau! Kau ingat sikit aku ni siapa dengan kau! Aku ni tunang abang kau! Kau tu anak imam!”

“Sedar pun kau tu siapa!” bentak Azman di hujung talian. “Habis selama ni kau jadikan kelab tu sebagai rumah kedua kau, sampai kau lupakan ayah kau, bagus pulak!”

Kata-kata Azman buat Julia terdiam. Berfikir.

*****

“Tina!” jerit Julia sambil tangannya diangkat tinggi, cuba menggamit perhatian gadis itu yang sedang menari di tengah keriuhan di kelab itu. Tina angkat tangan, membalas panggilan Julia. Sebentar kemudian dia menghampiri gadis itu yang sendirian menikmati minuman.

“Kau kenapa? Stok tak cukup ke? Kalau tak cukup…,” Tina kalut mengambil sesuatu di dalam beg silangnya.

“Tak apa, stok aku banyak lagi,” potong Julia cepat. “Aku cuma nak cakap sikit dengan kau,” sambungnya perlahan.

“Apahal? Macam serius je,” Tina sempat melambai kepada beberapa orang pengunjung kelab itu yang baru tiba.

“Aku rasa…. Aku nak cuci tangan la.”

“What?” Tina terkejut. Tak ada angin, tak ada ribut… “Kenapa tiba-tiba je?”

“Well, aku saja je…,” takkan aku nak bagitahu kau yang boyfriend kau buat gila dengan aku kot? Getus Julia dalam hati.

“Kau nak taubat ke?” Tina ketawa sinis. “Ala, rileks la. Kita ni muda lagi. Nak taubat, bila tua nanti la.”

“Kalau sempat tua,” ujar Julia perlahan. “Kalau kita mati sebelum kita tua, macam mana?”

“Kau yakin ke yang kau takkan sempat tua nanti?”

“Kau yakin ke yang kau akan hidup esok?”

Tina terdiam. Namun hanya seketika. “Kau nak cuci tangan, silakan. Tapi, kau ingat kau boleh lepas macam tu je ke?”

Dahi Julia berkerut. “Maksud kau?”

“Aku…!”

“Polis!” laungan seorang pengunjung mengejutkan mereka. Suasana menjadi kecoh seketika. Julia hanya melihat kelibat Tina hanya sesaat sebelum dia hilang di celah-celah orang ramai.

“Tina!”

“Polis! Anda semua sudah dikepung!”

*****

"Jadi...," Zarina tidak tahu ingin berkata apa lagi. Dia tergamam mendengar cerita Julia. Cerita yang selama ini, tidak pernah diberitahu kepada sesiapa, walaupun ketika dia di dalam Rumah Solehah.

"Saya tak pernah beritahu sesiapa sebab ayahnya orang yang dihormati. Bukan ketua kampung, jauh sekali YB. Tapi dia sentiasa ada di saat orang lain memerlukan bantuan. Dan saya simpan rahsia itu erat-erat sampai sekarang. Kakak orang pertama yang tahu pasal ni." Julia tunduk. Memori bersama keluarga kembali menerjah minda.

"Pasal Hafiz...," kata-kata Zarina mengembalikannya kepada realiti. "Macam mana pulak awak boleh bertunang dengan dia?"

Julia senyum. "Kami ditunangkan sejak kecil. Ayah saya dan ayahnya buat perjanjian untuk satukan kami bila kami dah habis belajar. Kebetulan bila saya ditangkap, dia sedang bercuti semester."

"Dia belajar di mana?"

"Al Azhar, Mesir."

"Untungnya kamu."

Julia menggeleng. "Tidak, kakak. Dia yang srbenarnya rugi dapat saya. Dia punya segalanya, sedangkan saya... saya cuma insan yang hina. Jurang antara kami... terlalu banyak bezanya."

"Julia...," Zarina merangkul bahu gadis itu erat. "Siapa kita dulu tidak menentukan siapa kita sekarang, tapi apa yang kita buat harini menentukan apa yang akan jadi esok. Ya, memang dulu Julia seorang yang liar dan tersilap lsngkah akibat salah memilih kawan. Tapi awak dah sedar dan bertaubat atas kesilapan awak tu. Jangan biarkan kisah silam awak menghantui diri awak. Mumgkin orang lain akan menghentam awak atas apa yang awak buat dulu. Tapi awak lebih kenal siapa diri awak berbanding mereka."

Zarina mendekatkan bibirnya ke telinga Julia. "Jika sudah tiada bahu untuk bersandar, ingatlah masih kita masih ada dahi untuk bersujud."

Julia memandang Zarina dengan mata yang tidak berkelip.

*****

"Apa?" melengking suara Mak Asmah mendengar permintaan anaknya. "Kau nak jadikan budak penagih tu isteri kau?'

Hafiz diam. Tunduk mendengar setiap butir bicara emaknya. Langsung tidak diangkat muka untuk menjawab kata-kata itu.

"Dari dulu lagi aku memang tak suka kau ditunangkan dengan budak liar tu! Aku ingatkan bila dia dah masuk penjara, kamu semua sedar yang dia tu tak layak jadi menantu Imam Mustapha. Rupa-rupanya kamu semua masih tak sedar lagi!"

"Mak," barulah Hafiz mendapat keberanian bersuara. "Dia bukan masuk penjara. Dia cuma masuk Rumah Solehah je."

"Rumah Solehah tu kan pusat pemulihan akhlak! Sama juga macam penjara!" buntang mata Mak Asmah mendengar kata-kata Hafiz "Sama saja pusat pemulihan akhlak tu dengan penjara. Tempat orang-orang yang tak baik!"

"Tak sama, mak," balas Hafiz. "Julia pun dah tak macam dulu. Nampak dah matang. Saya pernah jumpa dia."

"Jumpa dia? Kat mana? Kat kelab? Kat hotel murah? Kat lorong belakang?" jerkah Mak Asmah. "Adik kamu, Azman, jumpa dia kat tempat-tempat macam tu la dulu!"

Hafiz menggeleng perlahan. "Mak, tak semestinya dia pernah pergi ke tempat-tempat macam tu, dia akan kembali ke sana. Lagipun, Azman kata dia jumpa Julia kat sana, dia pergi sana sekali ke? Apa pula yang dia buat kat sana?"

"Dia pergi jumpa kawan dia!" suara Mak Asmah sudah naik satu oktaf. "Lagipun, Azman tu kuat iman! Tak mudah tergoda! Bukan macam Julia tu! Baru kena cuit sikit dah hanyut! Macam tu ke kau nak buat isteri?"

"Assalamualaikum," terdengar suara Imam Mustapha dari luar rumah. Segera mereka menjawab salam tersebut. Samar-samar terlihat kelibat Imam Mustapha tunduk, mengambil capal yang dipakainya tadi untuk diletakkan di rak kasut.

"Apa yang bising sangat tu, Asmah? Dari jauh saya boleh dengar suara awak. Jelas pula tu," tegur Imam Mustapha sebaik kakinya melangkah masuk ke rumah. "Kecoh sangat, macam ibu ayam bertelur je."

"Anak awak ni!" kelantangan suara Mak Asmah masih belum berkurangan. "Dia cakap dia dah jumpa bekas tunang dia!"

"Hafiz jumpa Julia?" tanya Imam Mustapha sedikit teruja. "Dah lama abah tak jumpa dia. Sihat ke budak tu? Bila dia keluar?"

"Sihat, abah. Baru tiga bulan," jawab Hafiz ceria. Menambahkan lagi api kemarahan Mak Asmah. Wanita itu mendengus kuat.

"Malas aku nak cakap dengan kamu berdua ni! Anak-beranak sama je!" Mak Asmah bingkas bangun menuju ke bilik. Sengaja pintu dihempas kuat. Tanda protes!

"Abah...," Hafiz pandang wajah Imam Mustapha yang kelihatan selamba. Hairan dia melihat reaksi abahnya setenang itu. Siap senyum lagi!

"Gaya askar dia dah sampai dah...," Imam Mustapha gelak kecil. "Dia marahkan abah sebenarnya tu, sebab abah tak sokong dia. Hafiz jangan risau. Pandailah abah pujuk dia."

Hafiz hanya diam sambil menganggukkan kepala.

"Nanti ajaklah Julia datang rumah." pelawaan Imam Mustapha buat Hafiz buntu. Mahukah gadis itu?

*****

“Betul ke ayah nak pergi masjid ni? Ayah kan tak sihat,” tanya Syafika sekali lagi. Dia risau dengan keadaan kesihatan Pak Othman yang semakin teruk sejak akhir-akhir ini. Keadaan dirinya yang datang bulan tidak memungkinkannya menemani ayahnya ke masjid. Namun Pak Othman tetap berkeras. Dia teringat kisah seorang lelaki, Ibn Khafif yang menghidap sejenis penyakit. Apabila penyakit itu menyerang, dia tidak boleh bergerak langsung. Lalu apabila azan dikumandangkan, dia pun digendong orang ke masjid. Ada orang pernah berkata kepadanya : "Kalaulah tuan tidak memaksa-maksa diri tuan.”Lantas dia membalas : "Jika kamu mendengar 'hayya alassolah' tetapi kamu tidak nampak aku di saf, maka carilah aku di kubur!"

“Tapi Kakak tak boleh masuk masjid,” sayu suara Syafika menerjah gegendang telinga Pak Othman. Dia senyum memandang anak perempuannya itu.

“Tak apalah, Kakak. Ayah jalan kaki je,” ujar Pak Othman perlahan.

“Ayah ni… kan masjid tu jauh dari rumah ni. Takkan ayah nak jalan kaki?” Syafika mengeluh halus. “Macam ni je la. Kakak hantar Ayah sampai depan masjid. Nanti bila dah habis solat, Kakak ambil Ayah. Boleh?”

“Dah macam ambil budak balik sekolah je,” ujar Pak Othman separuh bergurau. Syafika senyum.

“Dulu, masa Kakak dengan Adik sekolah, Ayah selalu hantar dan ambil kitorang,” cerita Syafika tanpa menyedari perubahan air muka Pak Othman. “Apa salahnya sekarang ni Kakak pula yang buat macam tu. Bukannya selalu.”

Seperti yang dijanjikan, Syafika menghantar Pak Othman sehingga ke pintu masjid dengan menaiki motosikal. Janjinya, dia akan datang menjemput ayahnya itu pulang usai solat Isya’. Pak Othman akur dengan perancangan anaknya itu. Perlahan dia masuk ke dalam masjid.

Pak Othman sedar banyak mata yang memandang ke arahnya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke ruangan masjid itu. Pandangan mata itulah yang menjadi santapan matanya dan Syafika setiap kali mereka mengunjungi masjid itu sejak tiga tahun yang lalu. Dia sudah tidak kisah. Cuma apabila dia dan Imam Mustapha bertentang mata, segera dia menundukkan wajahnya. Perasaan malu masih menebal dalam dirinya, apatah lagi bila mengenangkan dia yang beria-ia mahu Julia ditunangkan dengan Hafiz ketika mereka masih remaja.

Pak Othman duduk di salah satu tiang dalam masjid itu, agak jauh dari orang ramai. Matanya tertutup seketika, sambil telinganya mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ustaz yang dijemput khas dari bandar.

“Adik, tolong susun selipar tu elok-elok ye. Takut nanti hilang pula bila bersepah macam ni,” tegur seorang jemaah wanita kepada kanak-kanak yang asyik bermain di luar masjid. Suara wanita itu menarik perhatian Pak Othman. Dia menoleh, melihat seorang wanita sedang mengusap mesra ubun-ubun kanak-kanak yang berada di situ. Spontan dia senyum. Kalaulah Julia yang berada di tempat gadis itu…

“Allahuakbar!” suara Pak Othman agak kuat sehingga menarik perhatian gadis itu. Segera dia menghampiri Pak Othman. “Pakcik tak apa-apa?”

“Oh, tak ada apa-apa,” Pak Othman cuba menenangkan keadaan. “Pakcik teringatkan anak pakcik. Agaknya dia sebaya kamu, nak.”

Gadis itu senyum. “Kalau rindu, sedekahkanlah Al Fatihah untuknya, pakcik. Moga dia sihat sejahtera.”

Pak Othman angguk. “Nama anak ni siapa?”

“Zarina.”

*****

Langkah kaki Julia seperti biasa malam itu. Namun tidak fikirannya. Menerawang, memikirkan peristiwa yang berlaku petang tadi. Peristiwa yang berlaku di kedai, semasa Zaleha keluar atas urusan penting.

“Terima kasih, datang lagi yea,” ucapnya mesra kepada semua pelanggan yang datang ke kedainya. Senyum manis diukir bagi menarik perhatian pelanggan untuk kembali membeli belah di sini. Julia bahagia. Walaupun gaji yang diperoleh tidak seberapa, namun ia adalah hasil titik peluhnya yang halal. Sekurang-kurangnya, dia tidak lagi kembali kepada Tina dan Azman.

“Hai, Julia!” suara Tina yang kuat dan lantang mematikan lamunan Julia. Haduh, panjang umur mereka ni. Baru saja disebut, getus hati Julia.

“Hai, Tina. Hai, Azman,” sapanya acuh tidak acuh. Reaksinya itu cepat dikesan oleh Tina. Lantas dia merangkul bahu Julia erat.

“Kau okey tak ni? Sihat tak?” tanya Tina prihatin. Julia senyum pahit.

“Aku sihat. Alhamdulilah.”

“Baguslah,” ujar Tina cepat. “Apapun, aku nak ucapkan terima kasih sebab kau tak buka cerita pun pasal kitorang masa kau kat dalam. So, bila kau nak mula kerja balik ni?”

“Mula kerja?” Julia kerut dahi. Sebentar kemudian dia mengerti. “Oh…. Tina, kan aku dah cakap yang aku nak cuci tangan.”

“Bila masa kau cakap?”

“Sebelum aku kena tangkap.’

Tina terdiam seketika. “Okey, itu sebelum kau kena tangkap. Masa tu, duit kau tengah banyak. Sekarang ni, takkan kau masih nak cuci tangan? Berapa sen sangat la kau dapat dengan kerja kat sini?”

“Sekurang-kurangnya kerja yang aku buat ni halal. Gaji aku halal. Aku tak merosakkan orang lain,” Julia bersuara tegas. Sesekali dia menjeling Azman yang setia mengikut Tina dari tadi.

“Haih, sejak bila pula kau prihatin pasal halal haram ni?” Tina bertanya sinis. “Tiga tahun kat dalam tu dah cukup untuk cuci otak kau tu? Sebab tu kau nekad nak cuci tangan?”

Julia tidak menjawab. Matanya memandang Tina dan Azman silih berganti. Satu keluhan berat dilepaskan. “Cakaplah apa kau nak cakap. Yang pasti, aku tetap dengan keputusan aku.”

“Whatever,” Tina sudah malas mahu memujuk Julia. “Tapi lepas ni kalau kau rasa sesak ke, perlukan duit ke, kau jangan cari aku!”

“Aduh!” pantas Julia menggosok kepalanya perlahan. Terlalu lama dia mengelamun sehinggakan dia terhantuk di dinding rumah. Nasib baik rumah sendiri. Dia memandang kiri kanan, tiada orang. Bagus! Tak adalah aku malu nanti, hehehe. Cepat-cepat dia membuka pintu pagar. Eh, tak kunci! Kemudian Julia perasan yang pintu rumahnya tidak ditutup.

“Kakak…,” kata-katanya terhenti apabila melihat sekujur tubuh yang sedang duduk di ruang tamu. Terkedu dia seketika. Lelaki itu yang menoleh apabila mendengar suaranya, turut tergamam.

“Maaf pakcik, ni je air yang ada…,” Zarina yang keluar dari dapur, menatang minuman untuk lelaki itu tersenyum melihat kelibat Julia di muka pintu. “Buat apa tercegat kat situ, Julia? Jom masuk. Awak tentu penatkan.”

“Zarina, dia ni…,” lelaki itu tidak meneruskan kata-katanya.

“Iya, pakcik. Dialah adik angkat saya. Yang tinggal dengan saya. Yang sentiasa bantu saya, yang selalu menangis setiap malam rindukan ayahnya. Kenapa, pakcik?”

“Julia….”

“Ayah….”

Lidah Zarina tiba-tiba kelu. Perlahan Julia melangkah ke hadapan, mendekati Pak Othman. “Ayah… masih bencikan saya ke?”

Pak Othman dia. Satu-persatu kata-kata Zarina singgah kembali ke lubuk mindanya. “Dia memang seorang yang rajin. Mengotakan kata-katanya masa mula-mula keluar dari Rumah Solehah dulu. Walaupun dibuang keluarga, dia tetap hantar wang belanja setiap bulan. Setiap malam, dalam tahajudnya, dia mendoakan keluarganya dapat menerimanya semula.”

“Ayah, kalau ayah masih bencikan saya…,” suara sayu Julia menyedarkan Pak Othman. “Saya redha…”

“Ayah mana yang tak sayangkan anaknya?” tanya Pak Othman datar. Tergamam Julia dan Zarina mendengarnya. Pak Othman mendepangkan tangannya sambil tersenyum nipis. Kolam air mata Julia bergenang tiba-tiba.

“Ayah!” Julia terus menerpa ke arah ayahnya dan sekejapan, dia sudah berada dalam dakapan itu. Pak Othman memeluk anaknya erat.

“Ayah rindu Adik….!”

Zarina berulang kali mengesat airmatanya. Bibirnya mengukir senyuman. Sesekali dia mengucapkan syukur, doa Julia dimakbulkan akhirnya.

*****

Syafika keluar dari bilik dengan wajah berseri-seri. Bibirnya sentiasa mengukir senyuman. Tambah lebar senyuman itu apabila melihat Pak Othman bersiul0siul keriangan di ruang tamu. Perlahan langkahnya diatur ke dapur.

“Jangan masuk! Adik tak siap masak lagi!” terdengar suara Julia kuat di dapur. Terkejut Syafika dibuatnya.

“Apa yang dibuatnya lama sangat kat dapur tu?” gerutu Syafika. Dia senget bibir.

“Adalah! Kakak pergi temankan Ayah dulu. Biar Adik selesaikan peperangan kat sini dulu!” kata-kata Julia buat Syafika tergelak kecil. Masuk dapur dikatakan berperang? Ada-ada sajalah adik aku sorang ni…

“Biarkanlah dia, Kakak. Dia dah lama sangat tak balik tu. Biarkanlah dia nak berperang ke apa ke,” ujar Pak Othman yang mendengar dari tadi. “Adik, jangan sampai meletup dapur tu!” laungnya.

“Beres!” laung Julia pula. Bertambah kuat tawa Syafika mendengarnya. Tergeleng-geleng kepalanya melihat gelagat dua beranak itu. Dia melabuhkan duduknya di samping ayahnya yang sedang membaca surat khabar.

“Seronok Kakak, Ayah. Akhirnya Ayah dah terima Adik semula,” ujar Syafika memulakan bicara. Dia senyum. Dan dia melihat senyum di bibir Pak Othman.

“Air dicincang tak akan putus, Kakak. Walau macam manapun, dia tetap anak Ayah,” Syafika angguk kepala perlahan mendengar kata-kata ayahnya.

“Baguslah kalau Ayah fikir macam tu,” Syafika menoleh seketika apabila mendengar derapan kaki Julia yang menghampiri. “La, yang dikatanya berperang kat dapur tu, buat cucur udang je?”

Julia tersengih sambil menatang seteko air dan sepinggan cucur udang. Diletakkan di hadapan Pak Othman. “Ayah….”

“Anak Ayah ni nak kahwin ke?” usik Pak Othman. Disambut tawa Syafika. Disusuli muncung panjang sedepa oleh Julia. Bertambah kuat tawa orang tua itu.

“Ayah, Adik serius ni,” Julia membetulkan duduknya. “Adik nak minta maaf sebab selama ni Adik banyak kecewakan Ayah. Adik tak dengar cakap Ayah, Adik banyak malukan Ayah di mata orang kampung….”

“Apa yang lepas tu biarlah lepas,” potong Pak Othman. “Apa yang penting sekarang ni Adik dah sedar dan dah berubah. Ayah harap lepas ni Adik tak kembali ke dunia hitam tu.”

Syafika senyum. Dia mengusap perlahan ubun-ubun Julia. “Adik Kakak dah matang dah. Dah boleh kahwin!”

“Ayah, tengok Kakak ni…,” Julia kembali memuncungkan mulutnya. Pak Othman geleng kepala sambil sambung baca surat khabar. Sebentar kemudian…

“Adik,” panggil Pak Othman. “Ni Azman, anak Imam Mustapha, kan?”

Julia bangkit, duduk di sebelah ayahnya. Dia melihat surat khabar yang ditunjukkan Pak Othman. “Ye la. Tapi kena…!” Julia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Reaksinya menarik perhatian Syafika. “Kenapa, Ayah?”

Pak Othman tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia menyerahkan surat khabar yang dipegangnya kepada Syafika. Anaknya it uterus menyambut surat khabar tersebut dan membaca berita itu dengan kuat. “Pasangan pengedar ditembak mati. Allah…… ni Azman!”

Julia diam. Rahsia Azman sebagai pengedar dadah terbongkar jua. Kata-kata Tina suatu ketika dulu bermain di fikirannya.

“Kita ni muda lagi. Nak taubat, bila tua nanti la.”

“Kalau sempat tua,” ujar Julia perlahan. “Kalau kita mati sebelum kita tua, macam mana?”

“Kau yakin ke yang kau takkan sempat tua nanti?”

“Kau yakin ke yang kau akan hidup esok?”

“Julia,” pangggilan Syafika menyedarkannya daripada lamunan. “Iya?”

“Adik nak pergi rumah Imam ke?” tanya Syafika. Julia senyum lalu menggeleng. Dia takut lebih banyak rahsia Azman yang terbongkar nanti. Biarlah dia tidak pergi. “Kalau Ayah nak pergi, tak apalah. Kakak boleh temankan, kan?”

“Ayah tak nak pergilah,” dahi Pak Othman berkerut. “Macam-macam Mak Asmah tu caci maki keluarga kita dulu, masa dia nak putuskan pertunangan Julia dan Hafiz. Hati ni masih sakit.”

“Ayah,” Julia pegang tangan Pak Othman erat. “Antara salah satu hak Muslim terhadap Muslim yang lain adalah apabila dia meninggal, kita hantarnya ke kubur. Ayah pergilah,” pujuknya lembut. Pak Othman terdiam lama. Kemudian barulah dia mengangguk. Julia senyum.

Sepeninggalan Pak Othman dan Syafika, Julia menghubungi Zarina dan menceritakan apa yang terjadi. “Betul ke apa yang saya buat ni, Kakak?”

“Julia, yakini apa saja tindakan yang dah awak buat. Sebab awak buat kerana diri, bukannya kerana orang lain. Lagipun, menyimpan aib orang lain tu bagus apa. kalau kita tutup aib orang lai, Insya Allah, Allah akan tutup aib kita,” Zarina memberikan pandangannya. “Lepas ni, dugaan awak akan jadi lebih hebat. Tapi ingatlah, kalau sudah tiada bahu untuk bersandar, kita sentiasa ada dahi untuk bersujud.”

“Baik kak,” jawab Julia dan kemudian dia menamatkan panggilan. Julia mengeluh halus dan memandang ke langit. Kata-kata Zarina tadi kembali bermain-main di telinganya.

Ya, aku harus kuat!

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.