I
Bagai siang bila hilang cahaya matahari,
Bagai malam yang sunyi tanpa terangnya cahaya purnama.
Bila sahaja cahaya cinta kian suram, senyuman yang dulu
terukir juga tidak lagi sama. Perlahan-lahan kian pudar, pudar ditelan abad.
Makin lama, makin suram. Melalui jendela, seraut wajah wanita ditatap, diiring
keluar oleh seorang lelaki dari sebuah perut kereta Mercedes hitam. Langsir
dikuak, direnung langkah dari jauh. Bila sahaja tombol pintu dipulas, lambaian
mesra dengan senyuman paling manis dihadiahkan sebelum kereta tersebut pun
menderam laju.
Tubuh susut itu ditinggalkan. Kot pejabat dilemparkan ke
atas sofa. Beg berjenama diletakkan di atas meja. Sekilas, pandangan singgah
pada seseorang yang berdiri di jendela. Hanya sekilas, dan kemudian berlalu tanpa
sebarang perasaan. Ruang-ruang likup suram, angin berhembus terasa bahang.
Langkah terus diatur, menjejaki raut yang di luar tadinya. Tanpa sepatah kata,
masih lagi direnung wajah yang leka menghadap cermin solek berwarna coklat tua.
Lama. Aroma minyak wangi menusuk, memasuki rongga-rongga penafasan.
Langkah diatur lagi. Menapak ke ruang tamu dan menuju ke
pintu. Mercedes yang sama, menunggu di luar. Tidak berpaling walau sekilas,
raut yang dilihat terus berlalu. Tanpa lambaian, tanpa senyuman. Pintu dihempas.
Juga tidak dikunci. Tubuh susut itu menutupnya perlahan. Berlalu semula ke
kamar yang baru sahaja ditinggalkan. Menghampiri meja solek. Memandang refleksi diri. Fungsi kewujudan tidak lagi
ditemukan,semakin samar untuk dimengerti.
ii
Koyak lamunan dalam ilusi dangkal
Letak tafsiran dalam puisi bias
Laci dibuka perlahan. Gunting, sampul surat, setem lama dan
sebuah diari di dalamnya dipandang. Diari dikeluarkan. Helaian demi helaian
diselak. Wajah pucat, tanpa senyuman. Terperangkap dalam jasad, terpenjara
dalam rasa. Tulisan demi tulisan ditatap
“Abang kenapa berubah? Kenapa tak pedulikan saya lagi? Salah
apa saya? Saya rindukan abang. Kenapa buat saya macam ni? Kenapa?”
Diari ditutup. Refleksi wajah pada cermin ditatap lagi.
Rambut diramas perlahan. Gumpalan yang gugur pada tangan direnung. Melangkah ke
bakul sampah. Dibuang. Kemudian, tubuh susut itu menapak. Raut wanita yang
direnung dari luar jendela hampir tiap kelmarin-kelmarin memulas tombol pintu
kamar. Dengan senyuman yang tiba-tiba sahaja redup. Persekitaran umpama kosong.
Atmosfera terasa sesak. Melangkah raut tersebut ke katil dan merebahkan diri. Berlalu tanpa
sapaan. Tubuh dipaling ke kiri. Tubuh susut itu mengira setiap detik kaku. Jendela
dihampiri. Kelam. Malam kelam.
iii
Terpenjara dalam lamunan
Terperangkap dalam caturan takdir
Bukan mudah sembunyikan gundah dalam senyum. Raut wajah yang
diperhatikan saban ketika sepurnama dahulu tidak begitu. Munculnya dengan
senyuman. Matanya gemilang memancarkan kebahagiaan. Sepulangannya membawa
catatan cinta, kucupan jarang dilupakan. Dengan titipan tawa, bercerita dengan
penuh emosi. Tiba-tiba dalam sekelip mata, semuanya lenyap. Lenyap dalam
atmosfera bungkam.
Urat-urat hijau yang semakin timbul pada tubuh susut
diperhati. Terasa pelukan kejap dihadiahkan di belakang. Dia berpaling. Dalam
ilusi, dilihat raut wajah tersebut menghadiakan senyuman. Membisikkan
azimat-azimat cinta yang dinantikan saban ketika. Dalam ilusi cuma. Bayangan
tersebut kemudian lenyap. Susuk susut terbatuk-batuk kecil. Ditekup dengan
tangan. Bila terasa basah, dilihat lendir merah pada telapak tangan.
Segera melangkah ke bilik air. Semakin
payah untuk berdiri. Nafas terasa sesak. Payah untuk bergerak namun digagahkan.
Komplikasi makin nyata. Hanya detik dihitung, menanti tibanya saat penghujung,
tanpa raut tersebut di sisi. Kenangan dibina menghiasi tiap sunyi,
berlegar-legar menjadi ilusi bagai nyata.
iv
Tolehan terakhir terhenti terpaku,
Susuk Izrail menyapa pandangan,
Tubuh susut membaringkan dirinya perlahan, atas katil yang
sudah dirapikan cadarnya. Merenung ke atap dengan pandangan tembus. Nafas naik
sedikit demi sedikit. Cuba ditahan. Dilepaskan dengan perlahan-lahan. Semakin
lama semakin laju. Terasa sakit pada bahagian kaki, menuju ke pinggang, terus
tertarik ke atas. Mulut yang dirapatkan dibukakan sedikit. Tercungap-cungap
menarik nafas paling panjang. Sepanjang-panjangnya. Mulut terkumat-kamit,
mengucap kalimat paling agung. Mata terbelalak dalam kesakitan amat. Bila nafas
terakhir dilepaskan, jasad tertinggal dalam tampak yang tenang. Kaku ibarat
pemimpi yang mengulit lena.
v
Tamat ilusi dalam dunia maya
Memori terimbas tinggal dalam kenangan
Raut wajah yang kelmarin-kelmarin diperhatikan seperti
rutinnya, kembali setelah cahaya matahari bersembunyi. Mencari-cari kelibat
tubuh susut yang sering memerhatikan di balik tingkap, tapi tidak pada hari
itu. Menapak ke kamar. Dilihat tubuh susut terbaring kaku. Perlahanlahan
dihampiri. Dibelai rambut dalam elusan lembut. Teraba-raba tangan pada katil
sebelum menyentuh sesuatu. Kertas bersaiz A4 diambil dan ditatap.
“Mar, abang tak pernah abaikan Mar. Abang sayangkan Mar.
Kasih abang pada Mar tak pernah walau secuit pun beralih arah. Cuma, abang kena
redha yang abang tak boleh selama-lamanya hidup di samping Mar. Sebelum abang
pergi, abang nak tengok Mar bahagia, dan abang bahagia, bila cita-cita abang yang
satu ni,tercapai.
Mar, masa abang dah tiba. Ada sesuatu yang Mar tak tahu,
yang Mar tak sedar. Abang sakit. Sakit abang, tak perlu abang ceritakan. Cuma
abang nak Mar tahu, abang sayang Mar. Dalam sampul surat, abang sediakan
sedikit wang. Mungkin tak banyak. Tapi, abang harap cukup untuk majlis
perkahwinan Mar dengan dia nanti. Abang bahagia melihat senyuman Mar dengan
dia..”
Belum habis bacaan, air mata menitis setitik demi setitik.
Makin lama makin laju. Tubuh kaku digerak-gerakkan, tiada nafas. Tiada
perrgerakan. Bibir diketap, ketar menahan tangis. Dada jasad tersebut disentuh,
tiada degupan. Tiada degupan!
Raungan sekuat-kuatnya muncul dari tubuh longlai yang terjelepok
menerima hakikat maha pedih. Suami yang disayangi, bukan lagi di alam yang sama
kini.