Home Cerpen Thriller/Aksi Psiko
Psiko
Syafeza Sauli
18/1/2013 22:47:00
4,213
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

      Dia resah sendirian. Sebentar-sebentar matanya memandang ke arah syiling. Sekejap-sekejap pula matanya memandang ke hadapan. Pandangannya lama, tidak langsung berkelip-kelip. Suhu penghawa dingin mencecah angka 24 darjah selsius namun dia masih berpeluh-peluh. Nafasnya turun naik seakan tidak keruan. Jelas tergambar pada wajahnya yang dia sedang bimbangkan sesuatu. Apa yang dia bimbangkan dan kenapa? Tiada siapa berani menyoal. Mungkin mereka fikir yang dia patut diberi tempoh bertenang. Dia patut diberi masa untuk melupakan apa yang telah berlaku. Dia tidak sepatutnya terus-terusan ditekan. Dia menggenggam jari jemari dengan mencantumkan kedua-dua belah tangannya selepas itu.

     “Sudah saya katakan, dia tidak mahu percaya.” Ayat itu terpacul satu-persatu mengekori gerakan bibirnya. Dia kemudian tersenyum. Senyuman yang kelihatan agak pelik dan mungkin agak menakutkan. Satu jam! Dua jam! Detik berlalu dan dia masih di situ. Di atas kerusi kecil. Langsung tidak bergerak. Air kosong di hadapannya tidak diteguk. Tidak! Malah, dia tidak mengubah apa-apa posisi. Masih juga sama seperti tadi. Cuma, kali ini, hanya bibirnya sahaja bergerak. Tiada satu pun ayat yang keluar dari mulutnya. Padan muka! Kenapa mereka tidak mahu percaya? Kenapa menuduhnya menipu? Kenapa menganggapnya gila sehingga memaksa dia berjumpa dengan pakar psikoterapi? Dia tidak gila. Dia waras.
      “Kami memang sedang menunggu kehadiran Doktor. Dia tidak mahu bercakap.” Salah seorang dari mereka yang sedang memerhati bersuara sebaik sahaja ternampak akan kelibat seseorang. Seseorang yang memakai baju putih dengan cermin mata. Dia suka akan orang itu. Tuturnya lembut, menenangkan. Tak seperti mereka yang kasar. Dia senyum. Tapi, kali ini, senyumannya tulus. Senyumannya cantik. Terukir indah menampakkan lesung pipitnya yang agak dalam. Kemudian, seperti yang dia duga, lelaki tadi menarik kerusi di hadapannya. Duduk menghadapnya. Lama dia merenung lelaki berkenaan sebelum dia kembali resah. Dahinya berkerut. Kerutannya jelas sekali.
      “Sutera, awak masih dengar suara-suara tu lagi?” Kali ini, lelaki itu bersuara. Serentak, dia bangun dari kerusinya. Memandang tepat ke wajah doktor berkenaan.
      “Shhhh! Sudah saya katakan, jangan cakap di hadapan orang lain. Nanti mereka fikir saya gila.” Separuh berbisik namun masih kuat. Masih juga jelas.
      “Mereka tidak akan mendengar pada kita. Hanya kita berdua. Awak dan saya.” Masih bersuara dalam senyuman. Berusaha menenangkan.
     “Doktor jangan ingat saya bodoh. Doktor pandang sahaja cermin di bahagian kiri doktor tu. Cermin tu lutsinar. Mereka boleh mendengar dan melihat apa sahaja, doktor. Saya tahu. “ Nadanya sedikit ditegaskan. Lelaki tersebut tertawa. Menampakkan barisan gigi-giginya yang putih bersih. Sebersih-bersihnya.
      “Baiklah Sutera.. Saya berjanji tapi, ceritakan pada saya Sutera.. Apa lagi bisikan yang awak dengar? Awak suka bukan bercerita pada saya?” Dia mengangguk-angguk. Kemudian, tersengih. Menampakkan keriangan, persis seorang kanak-kanak yang baru mendapat coklat. Ya, sama sekali. Dia kemudiannya duduk kembali. Tunduk dan tersenyum-senyum.

        Tidak semua tahu tentangnya. Tidak semua mampu menduga apa yang telah berlaku padanya. Dia sama seperti orang lain. Mulut yang sama. Kening yang sama. Hidung yang sama. Dan, mata yang sama. Kecuali, parut berukuran 2 sentimeter pada bahagian kening kirinya. Itu yang berbeza. Bukan semua orang ada parut yang sama. Parut torehan belati tajam hadiah dari seorang bapa sempena hari jadinya. Mungkin kesilapan dia, meminta sesuatu di luar kemampuan keluarga. Meminta dihadiahkan anak patung yang berambut perang dan bermulut warna merah jambu. Memang salah dia! Itu pada raut wajah. Pada tubuh badan, kesan torehan yang sama ada di sana-sini. Kenangan dari seorang bapa.     
        “Sutera, apa lagi yang awak dengar?”Ya, bisikan itu. Bisikan itu sering mengganggunya sejak dia kecil. Bisikan yang kadangkala mendamaikan. Kadangkala menenangkan. Kadangkala membosankan.
-“Sutera, bapa kau nak sepak mak kau lagi”
-“Sutera, lari! Bapa kau bawakan besi panas untuk pukul kau.”
-“Sutera, jangan kawan dengan mereka! Mereka akan pukul kau.”
        Apa yang pasti, bisikan itu terus menjadi-jadi. Semakin dia membesar, semakin bisikan itu bertambah-tambah. Semakin galak lagi bisikan itu mengganggunya.
-“Sutera, Halina letakkan katak dalam beg kau”
-“Sutera, Ida bagitahu Cikgu Nur kau tak buat kerja sekolah."
-“Sutera, mereka berniat jahat pada kau.”
Dan.. Bermacam-macam lagi. Asyik Sutera, Sutera dan Sutera. Ahh, dia sendiri pun sudah bosan.
       “Sekarang sudah pukul berapa doktor?” Dia bersuara. Perlahan-lahan. Satu persatu. Namun, dalam keadaan ragu-ragu dan takut-takut. Lelaki itu menyedarinya. Bukankah dia sudah lama merawat pesakit yang bernama Sutera ini? Bukankah sejak remaja lagi Sutera sudah berulang-alik ke hospital miliknya?
        “Sudah 12.01 minit tengah malam, Sutera..”
        “Sudah lewat…” Tukasnya.
        “Kalau awak sudi bercakap, tentu takkan selewat ini bukan?” Pertanyaannya berbaur seloroh. Sutera menggeleng.
        "Sudahlah Doktor. Hentikan sahaja penyiasatan. Tutup kes bunuh tu. Atau..”
        “Atau apa Sutera? Awak dah jadi suspek utama mereka disebabkan masalah mental yang awak hadapi. Awak juga satu-satunya saksi kes bunuh ni. lagi satu, orang yang terbunuh tu, kedua-dua ibu bapa awak.” Sedikit tergugat kewibawaan lelaki berkenaan. Dia kalah pada emosi kali ini. Kenapa? Lelaki itu mungkin menaruh rasa yang istimewa pada dia. Lelaki itu takut tidak mampu merawat pesakit itu lagi. Lelaki itu takut untuk kehilangan dia. Lelaki itu benar-benar rasakan itu. Kasih sayang yang mendalam pada dia.
         “Jadi, doktor pun percaya yang saya pembunuh,begitu? Doktor pun dah percaya yang saya gila?” Dia memandang meja. Pandangannya seolah-olah benar-benar sudah menembusi meja berkenaan. Lelaki itu menghela nafas dalam-dalam.
         “Doktor…” Pandangannya beralih ke wajah lelaki itu kini.
         “Dia takkan lepaskan kita semua. Dia takkan benarkan identitinya terbongkar. Saya akan beritahu kebenaran dan kita semua pun akan mati di sini. Mereka akan bunuh doktor dan polis-polis yang sedang memerhati di sebalik cermin tu dengan kejam. Saya tak nak itu berlaku. Eloklah doktor pulang sahaja. Dia... Pembunuh tu.. Sedang memerhati.” Dia menuding jari telunjuk ke arah cermin di sisinya. Tak lama. Selepas itu,segera, dia bangun. Membelakangkan lelaki berkenaan. Memprotes tanda tidak bersetuju. Dia dengar bisikan itu lagi. Dia tahu apa akan berlaku kalau dia berdegil untuk terus beri keterangan. Dia tahu.. Pembunuh itu pun tahu apa yang terjadi dalam bilik kecil itu. Polis-polis yang sedang memerhati itu, mereka tidak sedar yang salah seorang dari mereka bukanlah ahli mereka. Pembunuh itu sedang menyamar. Ya, sedang menyamar dan tersenyum. Mungkin tanda amaran agar dia tidak mengambil langkah yang salah. Dia tahu.
           “Siapa dia? Suara tu? Bayangan dalam mimpi awak? Adakah awak cuba beritahu saya yang bisikan tu yang bunuh mama dan papa awak? Jadi, benar awak pembunuh?” Lelaki itu cuba menempelak. Kali ini, dia diam. Menoleh kembali.
           “Jadi doktor benar-benar nak tahu?”
           “Awak fikir saya sedang membuang masa sayakah Sutera?” Soalan yang dibalas dengan soalan kembali.
           “Baiklah. Serahkan pita rakaman tu. Ia tak selamat pada doktor. Esok pagi identiti pembunuh akan tersebar di mukasurat hadapan akhbar Berita Harian. Saya janji.” Sayu nada suaranya. Dia beranggapan lelaki itu bukan lagi orang yang sama. Lelaki itu sudah berubah. Tiada lagi sapaan lembut yang sama. Lelaki itu sudah percaya yang dia pembunuh. Lalu, apa gunanya lagi? Lelaki itu sudah lain sekarang.“Mana awak tahu ada pita rakaman dalam beg ni?” Lelaki itu benar-benar sudah lupa akan ceritanya. Sudah lupa bagaimana dia tahu segala-galanya. Sudah lupa siapa dirinya. Lantas, dia hanya senyum sahaja.

         Dia dihantar menemui lelaki itu ketika dia berumur 15 tahun. Dia dibelasah ketika menuduh seorang budak lelaki sekolah tinggi bersubahat dengan kecurian yang melibatkan akaun sekolah. Tak! Dia tidak menuduh. Dia membongkar. Ya, itu yang lebih tepat. Bukankah selepas itu juga, polis menemui bukti sama yang mengatakan lelaki itu bersalah? Itupun dengan bantuan dirinya.. ketika disoal dari mana dan mendapat tahu akan hal tersebut, dia membatu. Ah, bukankah berulang-ulang kali sudah dia katakan yang dia nampak semuanya dalam mimpi? Dia tahu semuanya yang mereka tidak tahu. Dia nampak apa yang mereka tak nampak. Dia maklum benar akan apa yang mereka sembunyikan. Segala-galanya. Ya, segala-galanya. Bagaimana? Dia sendiri tidak tahu bagaimana dan mengapa. Ya, kenapa dia? Yang pasti, dia tahu.Tapi, apa yang mengecewakan dia adalah dia disalahanggap. Dia dikatakan mengalami masalah gangguan jiwa. Lantas, perempuan kaya yang memegang pangkat Datin bersama suaminya itu membawanya berjumpa dengan lelaki itu. Ya, lelaki di hadapannya kini. Dah bertahun-tahun kini.

         Pendiam. Penakut. Tak pernah bercakap walaupun sepatah. Hanya memberi isyarat untuk menyatakan keinginan. Mendakwa mendengar bisikan-bisikan dan mimpi-mimpi pelik sehingga kadang-kadang menjerit bagaikan orang yang dirasuk. Sempurna sekali ciri-ciri yang digambarkan! Itu yang mereka katakan. Perempuan kaya itu mengambil dia sebagai anak angkat sewaktu usianya hampir mencecah angka baligh. Kanak-kanak perempuan yang ayu dan comel di matanya. Kanak-kanak yang pernah mengalami satu kejadian trauma di hadapan matanya apabila wanita yang digelarnya sebagai mak dibunuh di hadapan matanya sendiri. Dan, lelaki pembunuh itu pula menikam dirinya sendiri. Lelaki pembunuh itu bukan dia tidak kenal kenal! Kenal sekali. Itulah ayah.“Kenapa Sutera tak mahu bercakap ni? Mahu saya berikan ini?” Anak patung Barbie yang sedang kaku tersenyum dihulurkan ke arahnya, tanda pengenalan lelaki itu sebaik sahaja memasuki bilik yang berlabel “Pakar Psikoterapi”. Tak nakk!! Takut!! Jangan!! Nanti ayah marah lagi. Nanti ayah akan toreh wajahnya dengan pisau lagi. Itu yang dia fikirkan. Ayah dah mati tapi, dia masih belum sedar akan hal itu. Atau sengaja dia tidak mahu sedar. Akhbar Metro ada menyiarkan hal ini. “Penagih Bunuh Diri Selepas Tikam Isteri”, itu tajuk header akhbar. Ruangan berhalaman 13. Dia tidak lupa. Dia ingat. Tapi, dia masih takut. Dia juga ingat, betul-betul ingat, yang perempuan itu dibunuh sebab dia.

-“Sutera, suruh mak kau lari. Ayah kau nak minta duit”
-“Sutera, ayah kau bawa pisau.”
-“Sutera, pergi menyorok cepat. Mak kau akan mati. Ayah kau akan bunuh.”
  
      Bisikan itulah! Ya, bisikan itulah. Memang salah dia. Dia sepatutnya tidak terus meluru dan beritahu perempuan itu yang dia akan mati. Kalau tidak, perempuan itu pasti berusaha untuk melawan. Tapi, salah dia. Perempuan tu tak nak lari. Perempuan itu menyerahkan dirinya untuk dibunuh. Merelakan jenayah itu berlaku ke atas dirinya. Perempuan itu percaya pada bisikan dia. Ya..Dia nampak. Dia nampak perempuan tu menjerit. Dia nampak darah yang mengalir. Dia nampak bagaimana pisau tu dihunus. Dia tidak patut buka mulut. Sebab tu, dia tak mahu bercakap lagi. Dia serik. Itu kisah dulu. Kisah 10 tahun dahulu ketika ibu bapa kandungnya terbunuh di hadapan mata sebelum dihantar ke Rumah Anak-Anak Yatim Bakti.Tapi, kisah dulu mungkin berulang. Kali ini, mayat perempuan kaya menjadi mangsa. Mangsa bisikan diakah?

     Perempuan kaya itu dipanggil mama,ibu angkatnya. Mayat mama dan papa ditemui dalam keadaan ngeri di bahagian dapur pagi tadi. Muka mama dah tak nampak macam mama lagi dah. Kesan melecur dan terbakar. Muka mama disimbah asid. Dia tahu siapa yang buat. Dia tahu motif pembunuh. Dia tahu. Papa? Mayatnya ditemui atas tangga sebelum ke tingkas atas, tempat kamar tidur milik dia. Mayat lelaki berpangkat Datuk itu dikerat-kerat kepada beberapa bahagian. Tangan, kaki dan badan diasing-asingkan. Ditetak tanpa belas. itupun dia tahu. Mereka pun tahu. Sebab itu, mereka menahannya.“Si gila ni dah bunuh mak bapak dia. Itulah padahnya kalau ambil anak angkat tak kaji asal usul.” Sebelum dibawa ke balai itupun, dia dengar mereka bercakap sesama mereka. Dan itu sebabnya dia berada di sini. Di bilik kecil untuk disoal siasat.

Name : Sutera Kaseh Binti Awang Ahmad.
Type Of Mental Illness : Dissociative disorders.
Explanation : Suffer severe disturbances or changes in memory, consciousness, identity, and general awareness of herself and her surroundings.
Causes : Traumatic events, accidents, or disasters that may be experienced or witnessed by the individual.
Treatment : Psychotropic and Counseling

           Itu yang tercatat pada laporan perubatannya. Itu yang mereka sedang teliti berulang kali. Tiada motif! Pembunuhan dilakukan oleh orang gila. Kes selesai. Begitu pada tanggapan mereka. Mereka mengambil kesempatan atas kekurangan dia. Dia tidak gila. Betul pembunuhan mak dan ayah kandungnya berlaku di hadapan matanya dulu tapi, dia tabah. Dia sudah bersedia. Dia tidak mengalami trauma seperti yang mereka canag-canangkan. Dia sudah nampak segala-galanya melalui mimpi. Dia tidak bercakap dengan siapa-siapa sejak hari itu sebab dia tak mahu kejadian yang sama berulang. Dia tidak gila. Laporan perubatan itu salah. Bisikan-bisikan dan mimpi? Itu dia dapat sejak dia lahir. Anugerah yang hadir bersama malang dan mala petaka. Betul, tepat sekali. Atau, itu hanya tanggapannya?

**Untuk mengetahui kesudahan bagi cerita ini, dapatkan ANTOLOGI KELUARAN ILHAM yang bakal terbit tidak lama lagi di pasaran. Nantikan.**

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.