Home Cerpen Keluarga SEKEPING MURUKU SEBUAH RINDU
SEKEPING MURUKU SEBUAH RINDU
Fida Rohani
22/10/2013 10:01:25
3,226
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Deepavali tiba lagi. Setiap tahun ia datang dan pergi. Setiap tahun juga ingatanku segera mengimbau sebuah memori kehidupan. Ketika itu juga rasa rindu kepada mendiang mertuaku muncul. Rindu pada kasih sayangnya. Rindu juga pada kerangupan murukunya!

Semilir angin petang bertiup menemani awan putih yang berarak tenang. Sejuk lembut bayu petang menerjah lembut pipiku. Sungguh tenang. Sungguh damai. Ditambah pula dengan keharuman melur dan santalia di halaman kami. Ia juga seharum kenangan kasihku bersama dia.

“Santalia ini wangi baunya. Begitu juga mawar dan melur, juga harum,” katanya ketika kerusi rodanya kutolak ke halaman. Dia lumpuh akibat terjatuh ketika membersihkan bilik mandi. Namun, semangatnya kuat. Dia tidak suka berbaring di tempat tidur. Dia kuatkan diri untuk bangun dan duduk di kerusi roda.

“Amma suka?”

“Memang saya suka sangat. Kalau boleh setiap pagi dan petang, saya ingin memetik dan mencium keharumannya. Bunga-bunga ni amat bermakna kepada kami kaum India yang beragama Hindu. Sayangnya kaki saya sudah tidak sekuat dulu untuk keluar ke halaman dan memetik kuntuman yang harum ini,” katanya berwajah kesal. Aku memetik sekuntum santalia dan ikut menciumnya. Kemudian kupetik pula sekuntum melor. Kedua-dua kuntum bunga itu aku letak di telapak tangan. Warnanya sama. Putih bersih. Namun harumnya berbeza. Semuanya kuasa ALLAH.

“Kalau macam tu, saya akan memetik bunga-bunga ini pagi dan petang untuk amma. Amma tak perlu keluar ke halaman. Amma tunggu saja di sini. Saya janji saya akan membawa bunga-bunga ini ke pangkuan amma setiap pagi dan petang,” kataku bersungguh-sungguh. Tangannya kugenggam dan kukucup berulang-kali.

Dia ketawa mengekek. Entah apa yang melucukan pada janji yang kuluahkan itu.

“Kenapa amma ketawa?”

“Awak memang menantu yang baik. Saya tak ada anak perempuan. Dulu saya marah kepada Tuhan kerana tak berikan saya anak perempuan. Dia berikan saya semua anak lelaki. Sekarang baru saya faham kenapa Dia buat begitu.”

“Kenapa ma?”

“Sebab Dia nak berikan saya menantu perempuan yang baik, mungkin lebih baik dari anak perempuan sendiri. Sebab itu saya tak nak awak panggil saya atta.Saya tak nak anggap awak sebagai menantu. Awak adalah anak perempuan saya yang sangat baik dan berjasa,” katanya sambil menarik tanganku dan meletakkan di atas kepalanya.

“Amma terlalu memuji saya. Malu saya..” kataku tersipu. Dia membelai rambutku. Kemudian dengan penuh kasih sayang juga mencium ubun-ubunku. Aku rasa aman dan gembira, seperti seorang anak kecil yang sedang mendapat hadiah. Sepertimana aku mengasihi ibuku, aku juga mengasihi dia. Kasih itu tidak pernah kubezakan.

Tidak lama, halaman yang semerbak dengan harumah kuntuman santalia, melur dan mawar itu bertukar kepada harum bau gorengan muruku dari rumah jiran. Serentak itu imbauan kenangan muncul semakin hampir.

“Deepavali tahun ni kita buat muruku banyak-banyak.”

“Nak buat apa amma?”

“Nak sedekah ke rumah anak yatim. Nak hantar ke kuil. Dan juga nak beri pada saudara mara dan kawan-kawan yang ada,” jawabnya dengan senyum.

Aku angguk. Anggukkan bukan anggukan kosong. Memang itu sebuah janji yang memang aku tunaikan. Daripada menguli, menggoreng dan membungkus, aku melakukannya dengan tulus. Hingga akhirnya muruku itu sampai ke tempat-tempat yang disenaraikan. Hanya satu tempat yang dilarang aku menghantarnya.

“Awak jangan hantar muruku itu ke kuil, biar Kannan yang menghantarnya.”

“Tapi kenapa amma?”

“Awak seorang muslim, tidak elok untuk ke sana. Nanti orang pandang serong. Fitnah manusia itu lebih dahysat dari tikaman pedang,” katanya bersungguh-sungguh. Aku merenungnya. Sesuatu yang tidak terfikir olehku. Sebenarnya kalau aku hantar kotak muruku itu ke kuil, aku hanya meletakkannya di pintu kuil. Penjaga kuil itu pun memang aku kenal. Rasanya tidak menjadi masalah. Aku ke kuil itu kerana menghantar kiriman. Aku hanya ingin membahagiakan hati seorang ibu. Itu sahaja niatnya.

Parima, biar saya yang hantar,” kata Kannan, anak saudara suamiku. Aku akur. Akhirnya kotak-kotak muruku itu bertukar tangan.

Ibu mertuaku, dia memang seorang yang pemurah. Suka memberi sedekah dan suka menolong orang. Dia amat disenangi oleh jiran dan teman. Dia juga seorang yang amat peka pada sebuah keharmonian. Dia akan sentiasa mengalah dan merendah diri. Dia juga seorang penganut agama Hindu yang taat. Namun, pemikirannya terhadap pegangan agama sangat terbuka. Sebab itu, dia tidak pernah menghalang atau marah ketika suamiku memeluk agama Islam.

“Agama itu milik masing-masing. Sebab itu kita kena saling menghormati. Kalau saya boleh hormati awak dan Islam, kenapa awak tak boleh hormati saya dan agama saya.” Itu yang selalu dikatakan kepada suamiku setiap kali dia diajak memeluk Islam.

Namun, dia sudah tiada ketika aku masih memerlukan kasih sayangnya.

Dia pergi pada malam yang hening di awal Januari 2010. Malam itu, tiba-tiba tidurku yang lena terganggu dek panggilan telefon dari adik iparku. “Kak, datang cepat. Amma tenat!”

Panggilan itu menyebabkan aku tidak ada masa untuk menyoal lagi. Kukejutkan suami dan anak-anak. Kami tidak boleh menunda masa. Kami tidak boleh berlengah-lengah. Sepanjang perjalanan kami tidak bercakap sepatahpun. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Aku tidak putus berdoa, agar ALLAH memberikan aku masa untuk bertemu dia sebelum ajalnya sampai.

Kami sampai, rumah sudah dipenuhi ramai saudara mara, sahabat dan jiran.

“Dia letih. Dia tak nak makan dan tak nak minum. Sejak pagi dia diam dan tidur saja. Bila dia celik, dia minta saya menelefon paripa,” kata Veemala sebelum sempat kami menyoal. Aku melihat ada resah dan bimbang pada wajah mereka yang ada di ruang itu.

“Amma..” bisik suamiku ke telinga ibunya.

Diam.

“Amma..saya datang. Maafkan kami kerana lambat..” bisikku pula.

Juga diam.

“Masanya mungkin sudah sampai.” Tiba-tiba seorang mak cik berbisik di hujung telingaku. Aku mendongak. Matanya kurenung tajam.

“Tidak. Dia tidak akan pergi. Masanya belum sampai,” kataku perlahan. Aku cuba menolak kemungkinan. Kalau boleh ingin menunda takdir yang telah ditetapkan.

Amma tetap diam. Lama kami menunggu.

“Kita bawa dia ke hospital,” bisikku kepada suami.

“Dia sudah pesan, dia nak mati di rumah,” bisik Komaladevi, birasku.

“Dia belum nak mati,” tingkahku, sedikti kasar. Sekali lagi aku cuba berbohong pada hati sedangkan mata sudah menyaksikan sebuah kesengsaraan yang hampir sampai ke penghujungnya.

Tiba-tiba mata amma bergerak-gerak. Tangannya juga. Aku mendekat, mencium pipinya beberapa kali. Ciuman itu membuatkan dia segera membuka mata.

“Bila Fida sampai?” tanyanya dengan lemah. Matanya merenungku dengan sekuntum senyum yang nipis terukir di bibir.

Veemala datang membawa semangkuk kanji. Dia menghulurkan kepadaku dan berbisik menyuruh aku yang menyuapnya.

“Tadi lagi ma..” jawabku sambil menerima mangkuk kanji dari tangan Veemala.

“Saya rasa masa saya dah nak sampai,” katanya perlahan. Suaranya seperti tersekat di celah kerongkong.

“Tidak. Amma cuma letih sebab tak makan. Mari saya suapkan kanji,” pujukku.

Dia menggeleng perlahan.

“Ma..makanlah sikit. Atau..minum susu..” pujuk suamiku pula.

“Tak apa. Saya tak lapar.”

“Amma, makanlah sikit. Jangan buat saya susah hati macam ni..” kataku, penuh harap.

Dia angguk. Kemudian dia ngangakan mulut dan aku menyuapnya dengan senang hati. Masuk suapan yang keempat, dia menolak tanganku dengan lembut. Aku tahu dia sudah tidak upaya dan tidak berselera menelannya. Lalu kanji yang ada di tanganku, segera kuletakkan ke tepi. Dia menarik tanganku dan meletakkan di dadanya. Matanya pejam.

“Fida..” Sebuah bisikan keluar dari bibirnya yang kering. Aku mendekatkan telingaku ke bibirnya. Dia mengucapkan sesuatu.

“Masa untuk saya sudah sampai. Appa sudah datang untuk jemput saya pergi. Awak jaga diri baik-baik. Jaga anak saya dan cucu-cucu saya. Hiduplah dengan aman.”

“Amma, jangan cakap macam tu. Tuhan belum nak pisahkan kita.”

Bibirnya menguntum senyum. Dia membuka matanya dan merenungku dengan mata kasihnya.

“Terima kasih kerana menjaga saya selama ini. Walaupun berlainan agama, awak tetap menjaga saya. Awak mandikan saya. Awak suapkan saya nasi. Awak belai dan manjakan saya. Awak tidak pernah jijik dengan keadaan saya. Saya senang dan gembira sekali dengan kasih sayang awak,” katanya perlahan. Seperti biasa dia akan meletakkan tangannya di atas kepalaku. Seperti seorang anak kecil yang mencari kasih sayang ibunya, aku mengelus-ngeluskan diri dalam pelukannya.

“Agama saya mengajar saya hidup berkasih-sayang. Ibu mertua dan ibu sendiri berada pada status yang sama. Berlainan agama bukan sebab untuk saya menukar status itu. Saya memang selalu berdoa, agar amma mengikut agama saya. Tetapi, agama saya tidak mengajar saya memaksanya. Semuanya kehendak DIA,” kataku, juga perlahan.

“Awak memang muslim yang baik. Tuhan telah berikan saya menantu yang baik. Saya puas merasai kasih sayang awak,” bisiknya lagi. Ketika itu dia pejamkan semula matanya. Tidak lama dia terlena. Aku membetulkan bantalnya. Kurenung tidurnya yang tenang.

Setengah jam kemudian, dia disahkan telah pergi. Tubuhnya mula sejuk dan kaku. Rupanya, itulah tidurnya yang panjang dan selama-lamanya! Dia pergi meninggalkan kami. Ruang itu menjadi haru biru dengan raungan sanak saudara.

Namun, ketika itu aku langsung tidak menangis. Aku hantar pemergiaannya dengan reda. Aku tahu dia juga sudah reda meninggalkan dunia ini selepas bertahun-tahun hidup dalam kesakitan.

“Saya berterima kasih kepada Tuhan kalau saya mati sekarang. Dah lama saya menyusahkan anak cucu. Kalau saya dilahirkan sekali lagi, saya harap Tuhan lahirkan saya sebagai anak awak. Saya belum puas merasai kasih sayang awak.” Itu yang selalu dikatakannya terutama selepas aku menukarkan lampinnya atau memandikannya.

Dia memang telah pergi dengan reda. Dan aku juga harus reda. Dari jauh aku melihat semua upacara untuk menghantarnya pulang ke kampung yang kekal abadi. Dia dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik sebelum dibawa ke tempat pembakaran mayat. Ketika kereta yang membawanya pergi, baharu aku rasa ingin menangis. Baharu aku rasa kehilangan..

Bau muruku semakin menusuk hidung. Bau itu semakin dekat denganku. Terasa seperti ia datang dari dapurku sendiri.

“Amma..saya rindukan amma..” rintihku dalam hati. Benar-benar aku merinduinya. Akhirnya, titik-titik air mata tidak mampu kutahan lagi. Aku menangis teresak-esak, melepaskan seluruh rasa melalui air mata...

“Mak cik, mak suruh hantar muruku ni.” Satu suara menerjah telinga.

Aku menoleh. Chandini, anak jiranku berdiri dengan sepiring muruku di tangannya. Aku segera mengambil piring dari tangan anak itu. Muruku itu kucium-cium. Ia seharum muruku mendiang mertuaku.

“Amma..” Esakanku bertambah.

“Mak cik rindukan paati?”

Dalam esakan aku mengangguk.

“Saya juga rindukan dia. Biasanya kalau Deepavali macam ni, dia akan berikan saya hadiah. Biasanya dialah orang yang paling sibuk..” suara Chandini sebak. Aku menarik anak itu ke dalam pelukanku. Kami bertangisan.

Ketika aku melepaskan Chandini dari pelukanku, aku seperti melihat mendiang mertuaku ada di hadapanku dengan senyum senang..

 

Glosari: Paripa- panggilan untuk bapa saudara yang sulung.

             Parima- panggilan untuk isteri kepada pak cik yang sulung.

             Atta- panggilan menantu kepada mak mertua. 

            Paati- panggilan untuk nenek

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.