Bayu,
Ketahuilah betapa aku ingin ingin untuk meluahkan segala-galanya,
Ketahuilah betapa peritnya aku memikul segala kepedihan ini,
Mengapa dunia terlalu kejam?
Membiarkan aku sesat dalam mencari sebuah kepastian,
Wajarkah andai hati ini terus didustai?
Dan dibiarkan bertambah pilu?
Sedang aku hanyalah insan biasa,
Yang mendamba sebuah pengertian.
Nur Mawaddah meraup wajahnya beberapa kali. Sebentar
kemudian, seuntai tasbih kristal yang berada di atas meja berhampiran katil
dicapai. Nur Mawaddah tersenyum. Bibirnya kelihatan basah melagukan zikir Allah
yang lantas melemaskannya dalam sebuah keasyikan. Keasyikan yang ternyata
terlalu sukar untuk dimengerti, yang membawa kepada sebuah ketenangan yang nyata
tidak berkesudahan. Dan kini, keteguhan itulah jua yang memaksanya untuk terus
mengorak langkah tanpa berundur meskipun setapak. Mengapa tidak? Dia insan
lemah.. Dialah insan yang telah tewas dalam menghadapi sebuah mainan duniawi
yang ternyata, dirinya sendiri tidak mampu mengerti. Nur Mawaddah tersenyum
lagi. Kali ini, Nur Mawaddah berusaha menghafal Surah Al-Baqarah. Namun,
bicaranya tiba-tiba terhenti pada ayat ke-83. Bibirnya bergetar. Ada tangis
yang cuba ditahan. Ahh, dia tidak mampu! Titik-titik mutiara jernih mulai
bertakung memenuhi seluruh kelopak matanya.
“Dan berbuat baiklah kamu kepada
anak-anak yatim.”
Ada sendu yang bertaut di penghujung suaranya. Mama…terlalu
sukarkah untuk mama menerima kehadiran Nur dalam hidup mama? Mengapa mama tidak
pernah membenarkan Nur mengisi zarah-zarah kekosongan di segenap ruang
kehidupan mama? Hakikatnya Nur rindu… Rindu untuk merasai kehangatan pelukan
kasih seorang ibu.
“Ya Allah, betapa aku memerlukan pertolongan-Mu ketika ini.
Teguhkanlah jiwaku untuk menerima segala ujian-Mu ketika ini.” Nur Mawaddah
merintih perlahan. Sungguh…dia tidak mahu tergelincir ke dalam perangkap iblis
yang berusaha membuat dirinya tersungkur di sejadah kekesalan. Dan..perkara
itulah yang paling dia takuti. Nur memejamkan matanya. Rapat. Kata-kata mama
yang sempat didengarinya ketika melewati kamar mama tempoh hari kembali
terngiang-ngiang di cuping telinganya.
“Papa nak apa lagi? Kan mama dah bagitahu, mama dah tak
sanggup nak jaga Nur!” Mama membentak marah. Nada suara mama agak meninggi. Nur
mawaddah menjadi takut. Namun, di sebalik ketakutan itu, ada suatu perasaan
lain yang seolah-olah meresap lalu menghiris seluruh tangkai kalbunya. Alangkah
sakitnya!
“Mama cakap apa ni? Nur anak mama… Lagipun Nur kan…”
Kata-kata papa termati di situ. Papa kemudian tunduk. Membiarkan mama menghela
nafas panjang.
“Nur apa? Cacat? Buta? Itu bukan alasan untuk dia lari dari
tanggungjawab.” Kali ini, mama mendengus.
“Tanggungjawab apa lagi? Tak cukupkah dengan mama melayan Nur
macam orang gaji mama sendiri? Tak cukupkah?”
“Ya.. memang tak! Mama benci Nur sebab Nur buta. Nur tidak
sempurna. Mama rela tak ada anak daripada dikurniakan anak yang cacat macam
Nur. Nur berbeza daripada Hana.”
Nur Mawaddah terkesima. Sungguh.. Belum pernah dia menyangka
bahawa mama terlalu membencinya. Ya Allah.. salahkah andai Nur dilahirkan tidak
sempurna? Salahkah andai Nur cacat? Ya Allah, bantulah Nur. Nur perlukan
jawapan itu. Tolonglah..! Nur menangis sepuas-puas hati. Dia tidak sanggup
terus-menerus mendengar tohmahan daripada mama, namun langkahnya terasa begitu
berat untuk diatur meninggalkan kamar itu. Dia terduduk longlai. Entah bila,
Nur sendiri tidak sedar bila saatnya dia dipapah oleh Mak Mah menuju ke kamar.
Nur cuba mengukir senyuman. Sambungan dari petikan ayat Surah
Al-Baqarah kembali meniti di bibir mungilnya. Perlahan-lahan, memori tersebut
cuba dilontarkan jauh dari kotak fikirannya. Tapi kenapa? Kenapa setiap kali
dia mencuba, ada kesakitan yang bakal dia rasai? Dan yang pasti.. kesakitan itu
pasti bakal membuahkan air mata. Nur kemudian membuka telekung solatnya.
Persoalan demi persoalan kian mengasak-asak seluruh jiwanya. Bertalu-talu
menagih sebuah jawapan. Nur penat. Terlalu penat untuk memikirkan
segala-galanya. Nur Mawaddah sendiri tidak sedar, bila masanya dia terlelap.
***
“Lailahailallah.. Lailahailallah..
Lailahailallah”
Nur Mawaddah memandang sekeliling. Bunga-bunga di taman
tersebut seolah-olah sedang berbicara merdu melafazkan kalimah-kalimah agung
yang seterusnya menyentap seluruh jiwanya. Nur kagum.. Taman itu sungguh indah.
Terlalu indah untuk digambarkan. Ada satu jalan yang kemudiannya terbentang di
hadapannya dan seolah-olah mengundang Nur untuk berjalan di atasnya. Pada
bahagian kiri dan kanan, pohon-pohon melambai dan tanpa henti malaungkan
kalimah ‘Allahuakbar’ yang diselang-selikan dengan tasbih dan tahmid. Dan yang
anehnya, Nur Mawaddah mampu menyaksikan semua itu. Ya.. Nur tidak lagi buta!
“Ya Allah.. Alangkah besar kekuasaan-Mu.” Ada air mata yang
mengalir di pipinya kini. Terasa dia tidak layak untuk berada di situ
menyaksikan keagungan Allah Yang Maha Esa. Nur berjalan lagi. Di sana, dia
menemui sebuah kolam. Terpancur air jernih yang kelihatan persis
butiran-butiran mutiara di udara. Alangkah indahnya!
- “Assalamualaikum, Nur Mawaddah.”
Nur tersentak. Ada seorang lelaki berwajah mulus yang
tercegat di hadapannya kini. Berjubah dan berserban putih. Nur Mawaddah sedikit
terkesima.
- “Waalaikumussalam. Anta siapa? Mengapa anta di sini?”
- “ Ana hanyalah seorang hamba Allah dan akan kembali
pada-Nya jua. Anti telah dizalimi bukan? Adakah anti menyesal?”
- “Tidak… Ana yakin Allah akan mendatangkan rahmat buat
hamba-Nya yang bersabar.”
- “Alhamdulillah. Anti
tahu bukan, Nabi Muhammad S.A.W pernah dizalimi? Dan anti tahu bukan, alangkah
tabahnya baginda?”
- “Ya, ana tahu.. Dan demi Allah baginda adalah seorang
‘uswatul hasanah’ yang terlalu ana kagumi.”
- “Dan sesungguhnya baginda telah menjadi kecintaan kepada
sesiapa sahaja yang mengenalinya. Bahkan, Saidina Abu Bakar sendiri rela
dipatuk oleh seekor ular ketika menemani baginda bersembunyi di Gua Thur. Pada
saat itu, Rasulullah S.A.W sedang tidur di atas ribanya. Namun, oleh sebab
tidak mahu mengejutkan baginda, Saidina Abu Bakar telah menahan kasakitan
sehingga mengalir air mata di kedua-dua belah pipinya. Anti ingin mendengar
satu cerita?”
- ”Anta ceritakanlah.”
- “Pernah satu ketika, Rasulullah S.A.W. didatangi oleh
seorang lelaki. Namun, disebabkan baginda ketika itu, baginda sedang bersiap
untuk berperang, baginda telah memukul kudanya sehingga terkenalah pukulannya
pada tubuh lelaki tadi. Setelah itu, lelaki itu pergi menemui baginda dan
meminta pengadilan.
-“Lalu, apa terjadi?”
-“Maka, Rasulullah S.A.W menyuruh lelaki tersebut memukulnya.
Pada mulanya, baginda dihalang oleh cucunya, Hassan dan Hussin yang sanggup
menggantikan tempat baginda. Lalu baginda berkatalah bahawa bagindalah yang
berhak menerima hukuman tersebut dan bukannya mereka. Ditakdirkan baginda telah
memukul lelaki tersebut dalam keadaan tidak berbaju maka, lelaki tersebut juga
meminta baginda membuka baju. Pada saat itu, sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W.
berusaha menghalang baginda. Namun, setelah itu, lelaki tersebut menjatuhkan
rotannya seraya berkata,
“Sesungguhnya, wahai kekasih Allah, aku tidak berniat untuk
memukulmu, aku hanya ingin untuk menyentuh tubuhmu yang begitu mulia
ini.”Lantas, lelaki tersebut memeluk baginda dengan penuh kasih sayang.
Nur Mawaddah menangis
keharuan. Alangkah besarnya cinta mereka terhadap Rasulullah S.A.W. Ah, andai
sahaja dia bisa memiliki perasaan cinta yang begitu agung, lantas menjadi insan
yang dimuliakan darjatnya di sisi Allah S.W.T. Nur Mawaddah kemudian mengangkat
wajahnya. Ada satu cahaya kesedihan yang cukup sukar ditafsir barkaca di
sebalik pandangan tulus yang dihadiahkan kepadanya. Nur Mawaddah mengerutkan
keningnya. Hairan.. Dia? Kenapa dengan dia? Entah mengapa, perasaan kurang enak
kian lama kian menusuk ke kalbunya. Barangkali…
-“Anta siapa? Kenapa anta sedih. Marahkah anta pada ana?”
Senyap. Persoalan tersebut kemudiannya dibiarkan berlalu
ibarat desir-desir angin yang tanpa sedar semakin jauh meninggalkan susuk-susuk
tubuh mereka. Lelaki tersebut tunduk. Memandang sepatu. Kemudian, tanpa diduga,
melemparkan sebuah senyuman yang cukup menyenangkan. Menyerlahkan keindahan
raut wajah anugerah Allah kepada insan bergelar manusia.
-“Nur Mawaddah.. Kebahagiaan akan datang kepada anti kelak
seandainya anti tabah dan bersabar atas segala ujian yang muncul dalam hidup
anti. Anti jangan risau, Allah itu Maha Pengasih kepada setiap hamba-Nya yang
soleh dan solehah. Insya-Allah, anti salah seorang dari mereka.”
-“Tapi, anta siapa?”
-“Ana…Imran Jazimin.”
***
Nur tersentak. Ah, dia bermimpi rupa-rupanya. Jelas
terngiang-ngiang di cuping telinganya suara-suara asing berbicara mengenai
sesuatu. Namun, butir bicaranya cukup sukar untuk difahami. Dia di mana?
Serentak, dia tiba-tiba diserang perasaan takut.
“Bagaimana, doc?
Dia tidak apa-apa bukan?” Soalan papa,entah ditujukan kepada siapa menerjah
gegendang pendengarannya.
“Well, shall we talk
abaut it outside?” Tidak lama selepas itu, derap kaki seseorang berlalu
meningalkan ruangan tersebut semakin menghilang. Sekaligus, melenyapkan
kegusaran Nur Mawaddah.
“Mak Mah..”Lemah sahaja getar nada suaranya ketika itu.
Namun, cukup kuat untuk sampai ke pendengaran pembantu rumah yang hampir
menjangkau usia setengah abad tersebut. Mak Mah menghampiri Nur. Menggenggam
tangan Nur yang dirasakan cukup sejuk.
“Mak Mah tahu Nur di mana? Nur… Kenapa dengan Nur? Tadi
doktor kan Mak Mah?” Soalan yang bertalu-talu diajukan meskipun dia sebenarnya
tidak berminat menagih sebarang jawapan. Cukuplah dengan kehadiran perempuan
tersebut. Itu sudah cukup memadai baginya.
“Shh,rehat ya sayang? Nur kat bilik Nur. Mak Mah jumpa Nur
pengsan dalam telekung solat kat bilik Mak Mah. Semua orang risaukan Nur. Nur
baring dulu ya?” Nur mangangguk. Dia kembali merebahkan tubuhnya ke atas katil.
“What the hell! Look,
mama! She is just about to attract your attention,actually! She is nothing but
such of big trouble. Hana ada temujanji dengan kawan tau, mama?” Ah,Nur
cukup kenal dengan suara tersebut. Itu pasti Hana,seorang insan yang cukup
dicemburuinya. Adik yang sering mendapat perhatian dan kasih sayang mama.
'Hana, betapa akak terlalu teringin untuk diberikan peluang meskipun hanya
untuk sesaat untuk menatap wajahmu yang bisa menjadi permata di hati mama.
Tapi, andai sahaja akak bisa,' suara hati Nur merintih perlahan..
***
Papa menekan punat kunci tombol pintu dari dalam. Mama kaget.
Tidak mengerti maksud papa bertindak sedemikian. Ada seribu satu persoalan yang
menyerang benaknya kini. Sejak papa bertemu dengan Doktor Ezani yang ditugaskan
untuk memeriksa keadaan kesihatan Nur tempoh hari, sifat papa bertukar aneh.
Dan, keanehan itulah yang memaksa mama untuk bertanya namun, ternyata dia tidak
mempunyai sebarang kekuatan untuk berbuat sedemikian. Papa kemudiannya menarik
tangan mama. Mendesak mama supaya duduk di birai katil.
“Papa kenapa?” soal mama tiba-tiba. Kemudian mendengus kurang
senang.
“Selama ni kan mama, kita tak pernah ambil berat pasal Nur
kan, mama?” Mama mengukir senyuman paksa mendengar soalan yang meluncur dari
bibir papa. Baginya, tiada apa yang perlu dibincangkan mengenai isu tersebut.
“Soal apa” Tanya mama, acuh tak acuh. Mama kemudian mengerutkan
keningnya. Meminta pengertian.
“Nur sebenarnya boleh diubati. Peratus kemungkinan untuk Nur
kembali melihat semula adalah tinggi. Doctor
beritahu papa yang mereka boleh bantu Nur..” Terang papa bersungguh-sungguh.
Mama bangkit. Seolah-olah cuak mendengar penjelasan papa. Langkahnya pantas
sahaja dikorak menghampiri pintu.
“Mama,nanti! Nama Nur telah diletakkan sebagai satu-satunya
waris yang bakal mewarisi syarikat hartanah peninggalan arwah bapa saudara
papa. Sebaik sahaja Nur berkahwin, atau usianya menjangkau 21 tahun, Nur bakal
memiliki senua aset malah, dividen saham sepenuhnya.” Mama terpaku. Dia
memanggung kepalanya. Matanya dibutangkan tepat ke arah papa. Apa yang pasti,
mama cukup tersentak. Berita tersebut benar-benar menguji kekuatannya.
***
Nur Mawaddah membetulkan selendangnya. Jam satin berwarna
hitam di pergelangan tangan kanannya ditilik beberapa kali. ‘Ah, lewat
lagi,’desis hati Nur perlahan. Masa ternyata begitu pantas berlalu. Tidak lama
lagi dia bakal diiktiraf sebagai peneraju utama Syarikat Forerunner Holdings
Sdn. Bhd. Namun, bukan itu yang manjadi kerisauannya sekarang. Mama memintanya
supaya menerima lamaran Doktor Ezani. Sedang pada hakikatnya, perkara itu tidak
mungkin berlaku. Dia tidak mahu atau lebih tepat lagi, dia sedang menantikan
seseorang. Nur Mawaddah sedikit berlari-lari anak. Hari ini, dia diminta
malakukan sedikit pemeriksaan susulan setelah pembedahan dilakukan ke atas
kedua-dua belah matanya.
“Ops, maaf!” Ujar Nur Mawaddah sebaik sahaja menyedari dia
terlanggar seorang nurse perempuan yang sedang bertugas menolak kerusi roda
pesakit. Nur tunduk. Mengutip kunci kereta yang terjatuh dari genggamannya.
Suasana hospital kelihatan sedikit lengang ketika itu.
“Maaf, cik.." Sekali lagi, dia memohon maaf. Jururawat
muda tersebut tersenyum. Nur Mawaddah sedikit tersipu-sipu. Malu dengan
kecuaian diri sendiri.
“Tidak mengapa,,, Err, Encik Imran Jazimin tak apa-apa kan?”
Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan. Nur Mawaddah terkesima. Susuk tubuh
lelaki tersebut kemudiannya diperhatikan.
“Anta???”
# Untuk mengetahui kesudahan cerpen ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Orang Berdosa' yang sudah diterbitkan di pasaran.