.
Wajah Mansor berkerut
seribu. Dia tidak faham sebenarnya apa
yang berlaku. Apakah Dr. Rahim tersilap
membuat diagnosis terhadap Juita,
isterinya. Seperti gunung berapi meletup
dalam diri. Tidak salahkan
pendengarannya. Atau sudah pekakkah dia?
Tersilap dengarkah dia? Sukar untuk dia
mempercayainya. Hampir luruh jantungnya mendengar perkhabaran
itu. Sukar untuk dia mempercayainya. Selepas sahaja menerima panggilan telefon dari
Dr. Rahim yang juga merupakan kawan baiknya sewaktu di MRSM dahulu dia terus
bertemu doktor tersebut. Haruskah dia
menangis, ketawa, atau menyesal. Tiada
kata yang mampu keluar dari mulutnya mahu pun di kotak fikirannya. Semuanya bagaikan kosong. Dia tidak mampu berfikir lagi.
Bagaimana seorang perempuan yang
dikahwininya masih suci tetapi pernah menggugurkan kandungan.
Bagaimana iyanya terjadi? Dia
tercari-cari jawapannya. Sengaja dia
merahsiakan perkara itu dari Juita, isterinya.
Pelik. Di mana dia harus
mendapatkan jawapan untuk semua persoalan yang sedang berlegar di kotak
fikirannya. Mansor mengetap bibir. Dia memejamkan mata. Terbayang wajah Juita,
senyuman manis isterinya. Wanita itu
terlalu cantik sehingga hatinya terbuka untuk mengahwini Juita. Gadis manis yang ditemui sewaktu menghadiri
kursus di Johor Baharu lima tahu dahulu.
Mansor pulang ke rumah dengan
hati yang sebal, gelisah, kosong dan hambar.
Fikirannya bercelaru antara percaya dan merasa pelik dengan apa yang
terjadi. Tidak mungkin Dr.
Rahim berbohong? Mansor
melangkah masuk. Matanya tertumpu
pada gambar perkahwinan yang tergantung di ruang tamu. Bagaikan pinang dibelah dua, sama cantik,
sama padan. Perkahwinan yang sungguh
meriah kerana dia seorang ahli perniagaan yang berjaya. Juita, wanita yang amat dicintai dan
disayangi. Dia jatuh cinta pandang
pertama dengan isterinya itu. Lima tahun
mereka melayari bahtera rumah tangga tanpa ada sedikit pun bunga-bunga
pergaduhan atau persengketaan. Juita
seorang isteri yang baik dan pandai melayannya. Lima tahun berkahwin tanpa kehadiran cahaya mata tentulah
merisaukan, siapa yang tidak mahu mempunyai zuriat sendiri. Dia menyuruh Juita melakukan
pemeriksaan kesihatan, dia turut melakukan perkara yang sama.
Dia tiada masalah, cuma Juita.
Rahimnya lemah dan dinding rahimnya telah rosak teruk akibat kesan dari
pengguguran yang pernah dilakukan.
Bermakna Juita pernah menggugurkan kandungannya.
Bukan gugur sendiri. Kerap
melakukan D&C boleh menyebabkan dinding rahim luka dan lemah. Berita yang paling menyedihkan. Tidak mungkin Juita tidak mampu mengandung. Isterinya
tidak boleh mengandung? Sukar untuk dia mempercayainya. Dia tidak akan mempunyai anak dengan
Juita. Mansor mengeluh kesal.
Juita gelisah. Panggilan telefon dari mentuanya bagaikan
panggilan maut sahaja. Jika tidak hadir
apa pula kata orang tua itu nanti. Dia
juga bimbang dengan pemeriksaan yang telah dibuat tempohari. Sehingga kini dia masih belum mendapatkan
keputusannya. Hendak menelefon Dr. Rahim
dia merasa malu kerana Dr. Rahim sahabat baik suaminya. Entah apa keputusannya. Hatinya berdebar-debar menunggu keputusan
tersebut. Sejarah silam akan terbuka
juga. Juita mengeluh. Dadanya berat. Dia sebak.
Perkara yang selama ini dia tutup rapat sehingga baunya juga tidak mampu
keluar pasti akan ketahuan juga jika sudah ada lubang terbentuk di situ. Ah! Apa
alasan yang harus dia beri nanti jika
suaminya bertanya, dan emak mentuanya mengetahui perkara ini. Bagaikan dosa semalam mengejarnya kini.
"Mama tak kisah, berapa bayaran
dan bagaimana caranya untuk Juita mendapatkan anak dari rahim Juita sendiri. Lima tahun mama tunggu. Sudah cukup lama. Kawan-kawan mama semuanya sudah ada cucu,
mama ini sahaja yang masih menunggu dan menunggu.” Puan Maimun memandang wajah menantunya yang
cantik manis itu. Tidak mungkin
menantunya mandul. Atau pun anaknya yang
mandul. Pemeriksaan sudah dibuat. Keputusannya sahaja yang dia belum tahu
lagi. Dia tidak mahu menunggu lagi.
"Tapi, mama, anak ni kurniaan ILAHI kalau Juita sihat pun,
kalau ALLAH tak izinkan, bagaimana?” Juita gelisah. Puan Maimun mendekati menantunya. Satu-satunya menantu yang dia miliki kerana
Mansor adalah anak tunggalnya.
"Itu sebab mama kata, pergi buat
rawatan, dengan Dr. Hamid Harsat ke.
Cari doktor pakar sakit puan yang
terbaik di Malaysia. Bayaran tidak menjadi
soal.” Puan Maimun masih bertegas dengan
keputusannya. Juita terdiam tidak terkata apa-apa. Buat pemeriksaan lagi? Dia mengeluh. Suami dia normal, dia juga normal
sebenarnya. Dia pernah mengandung bukan
sekali tetapi berkali-kali. Juita
mengetap bibir. Jari jemari dirapatkan,
digenggam erat mencari kekuatan diri.
Suaminya sudah mula bertanya, emak mentua sudah mula berleter. Pening juga kepala dia memikirkannya. Apa
yang harus dia lakukan.
Bolehkah dia hamil lagi? Mampukah dia hamil kembali? Dr. Rahim tidak berkata apa-apa, hanya
menyuruh dia berserah pada ALLAH SWT. Dia
masih lagi ingat kata doktor yang telah melakukan pengguguran janinnya dahulu
bahawa dinding rahimnya telah rosak
kerana terlalu kerap melakukan pengguguran.
Bagaimana dia hendak menceritakan perkara itu pada suaminya. Tidak mungkin dia berterus-terang tentang
masa silamnya. Mereka tidak boleh
tahu. Tidak sama sekali. Hancur segala-galanya jika rahsiannya itu
terbongkar. Bercelaru fikirannya ketika itu. Kehendak suami dan kemahuan mentuanya.
Makanan yang terhidang tidak
diusik oleh Mansor. Wajah Juita yang
seperti orang bersalah ditenung lama.
Dia mengerutkan dahi. Juita
bagaikan orang kerisauan. Bagaikan ada
masalah yang sedang bersarang difikiran isterinya. Apakah isterinya sudah tahu tentang
keputusan pemeriksaan tempohari.
"Abang, kenapa tak makan?” Juita memandang wajah Mansor. Mata mereka bertembung. Cepat-cepat Juita duduk mengadap nasi yang
sudah di isi ke dalam pinggan. Dia
menyenduk lauk dan meletakkannya ke dalam pinggan. Mansor masih tidak menjamah
nasi yang terhidang, matanya masih memandang wajah Juita tidak berkelip.
"Abang dah dapat keputusan
pemeriksaan yang Juita buat dengan Dr.
Rahim. Abang tak tahu nak cakap
apa? Nak tanya apa? Sebab waktu kita berkahwin, Juita masih
suci? Tak mungkin Juita pernah
mengandung? Abang inginkan jawapan jujur
darimu, Juita,” wajah Mansor kusut. Bingung.
Juita tidak terkejut dengan kata-kata suaminya. Dia tidak tahu di mana dia harus memulakan
bicara. Kalau boleh dia tidak mahu
membuka pekung di dada. Biarlah
rahsia. Tetapi mampukah dia terus
merahsiakannya. Dr. Rahim sendiri sudah
mengesahkannya. Apa yang harus dia
cakaplah lagi. Bibirnya terketar-ketar. Tangannya menggigil ketakutan.
"Juita!” lengking suara Mansor
yang sudah hilang kesabarannya. Malu dia
dengan Dr. Rahim. Malu dia dengan
dirinya sendiri. Malu dia dengan
keluarganya. Apa pula kata mamanya nanti apabila mengetahui yang menantunya
tidak mungkin melahirkan cucu untuknya kerana rahim menantunya sudah rosak dan
tidak boleh dipulihkan lagi. Juita terkejut mendengar suara keras Mansor. Belum pernah suaminya bersikap garang
dengannya.
"Sampai bila awak nak tutup
rahsia dan kisah silam awak itu dari pengetahuan abang? Cuba awak cakap Juita? Apa sebenarnya yang telah terjadi? Bagaimana seorang yang suci boleh mengandung?” mata Mansor menjunam ke wajah Juita yang pucat
lesi. Mata isterinya mula berkaca. Setitis demi setitis air mata jatuh ke dalam
pinggan nasi. Mansor mengeluh.
"Awak ingat bila awak membisu
macam ni, masalah akan selesai. Semua
persoalan abang akan terjawab?
Berterus-terang Juita!”
Mansor menghentak meja. Dia benar-benar geram dengan sikap mendiam diri
Juita. Perutnya yang lapar tadi terasa
kenyang pula. Semuanya kerana sikap
membisu isterinya itu. Mansor mengetap
bibir, geram, marah, sakit hati bercampur baur sudah.
"Maafkan Juita, bang,” Juita menunduk, semakin laju air matanya
mengalir. Tidak mampu dibendung
lagi. Dia memang bersalah. Bersalah kerana telah menipu suaminya.
Bersalah kerana merahsiakan kisah silamnya.
"Apa sebenarnya yang berlaku
Juita, berterus-teranglah, jangan buat abang bingung sendiri,” Mansor mengeluh keras. Makanan yang terhidang terbiar sejuk
sendiri. Tiada siapa yang berselera
hendak menjamahnya. Masing-masing
berserabut dengan masalah yang mendatang.
Juita bingkas bangun. Dadanya berat, fikirannya kacau bilau. Di mana dia harus memulakan bicara. Tidak tergamak membuka aib sendiri. Biar pun perkara itu sudah lama berlalu, iya
bagaikan tali yang menyambung tidak mahu putus.
Juita berlari masuk ke dalam bilik.
Pintu bilik ditutup dengan kasar.
Dentumannya menggegarkan rumah banglo dua tingkat itu. Juita menyembam muka ke atas tilam.
Dia menangis semahu-mahunya. Perit
hatinya ketika itu. Terbuka kembali luka
lama yang sudah semakin hilang bekasnya.
"Awak menangis air mata darah
sekali pun Juita, abang tetap hendak tahu perkara yang sebenar!” Mansor
menarik tangan Juita bangun dari katil.
Juita menarik tangannya semula.
Air mata membasahi pipinya.
"Juita, mohon maaf dan ampun
dari abang. Juita manusia kotor,
bang. Juita malu hendak menceritakan
tentang hal diri Juita." Juita
teresak-esak. Mansor mengeluh. Bagaimana hendak bercerita kalau sudah
menangis bagaikan anak kecil kehilangan ibu.
Bagaimana hendak berbincang sedangkan esakan Juita lebih jelas dari
kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu. Akhirnya Mansor berlalu pergi meninggalkan
Juita sendirian. Malas untuk dia
bersembang atau bertanya dalam keadaan begitu.
Tiada penghujungnya nanti.
Juita menumbuk-numbuk bantal di
hadapannya. Sakit benar hatinya. Akhirnya perkara yang ingin dirahsiakan tidak lama lagi tidak akan menjadi rahsia
lagi. Keluarga mentuanya akan tahu,
suaminya sendiri akan tahu siapa dirinya yang sebenar. Dahulu dia memang jahat dan liar. Dia suka berpoya-poya mencari keseronokkan di
luar batasan sebagai seorang perempuan melayu dan beragama Islam. Dia merosakkan dirinya sendiri. Dia memang
bodoh kerana tunduk pada hawa nafsu.
Dia memang tolol kerana percaya pada kata-kata manis seorang lelaki biar
pun selalu dia mendengar kata-kata seorang lelaki yang merayu dan manis bagaikan pisau mengerat diri sendiri.
"Juita jangan bimbang, apa yang
terjadi Jo akan bertanggungjawab. Juita
adalah kekasih hati Jo sehingga akhir hayat, buat apa kita kahwin kalau semua
yang kita lakukan sudah lebih dari sepasang suami isteri. Kalau berkahwin takut bercerai. Kalau kita begini tiada sekatan, kita lepas
bebas. Jo enjoy, Juita pun suka, kan,” Johari memeluk Juita erat. Berkali-kali, berhari-hari,
berminggu-minggu, bertahun-tahun mereka lepas bebas tanpa ada rasa bersalah di
hati masing-masing.
"Jo, Juita mengandunglah,” Juita mula bimbang. Johari hanya tersenyum. Dia menarik tangan Juita, sejumlah wang
bertukar tangan. Juita serba-salah.
"Buat apa ada anak? Nanti kita tak bebas, terkongkong.
Tanggungjawab besar. Jo tak
sanggup. Juita sanggup ke?” Johari
tersengih. Juita mengerutkan dahi. Dia terlalu sayangkan Johari. Benar kata Johari, buat apa ada
anak? Tanggungjawab yang terpaksa
digalas amatlah besar. Dia belum
bersedia. Apa pula kata kawan-kawan
sekerja dia nanti melihat perutnya membesar sedangkan dia belum berkahwin
lagi. Keputusan harus diambil. Dia tidak mahu Johari meninggalkannya. Masa berlalu
hubungan mereka semakin hari semakin jauh terlanjur. Bukan sekali dia menggugurkan
kandungannya.
"Jo, ini kali ke empat Juita
terpaksa gugurkan kandungan, doktor bagi tahu kalau terlalu kerap, Juita
mungkin tak boleh hamil lagi,” Juita
menangis. Dia mula merasa bersalah. Seperti biasa Johari memujuk dengan kata-kata
manisnya dan nasihat muslihatnya. Juita
terus percaya dan yakin Johari akan setia di sisi.
"Kalau kita kahwin pun, Jo tak
nak anak. Jo nak kita hidup berdua
sahaja. Jo dan Juita. Tiada gangguan. Juita jangan bimbang. Kalau tak boleh mengandung lagi bagus. Bagus untuk kita bersama,” Johari memeluk Juita. Erat.
Juita layu.
Dr. Choo memandang wajah Juita.
Dia menggelengkan kepala. Puas dia menasihati
gadis di hadapannya itu. Silap haribulan
nyawa galang gantinya. Kenapa Juita
begitu degil.
"Saya rasa awak perempuan paling
bodoh dalam dunia, lima kali awak menggugurkan kandungan Juita, waktu kali
keempat saya sudah beritahu, rahim awak sudah rosak, awak faham tak maksud saya.” Dr. Choo mengeluh kesal.
"Ini kehendak teman lelaki saya
doktor. Kalau saya tak turut kehendak dia.
Dia akan tinggalkan saya,” Juita
menangis.
"Juita, lelaki yang baik, takkan
buat awak macam ni. Dia cuma teman
lelaki awak sahaja. Bukan suami
awak. Kenapa awak begitu bodoh mendengar
kata-katanya. Kenapa awak
begitu bodoh!” marah Dr. Choo.
Juita sudah lama menjadi pesakitnya.
Sebagai seorang manusia dia bersimpati juga. Sebagai perempuan dia juga boleh merasakan
apa yang sedang dialami oleh Juita.
"Apa perlu saya buat doktor?” Juita buntu.
Johari pula sudah semakin jarang pulang ke rumah. Bila ditanya ada sahaja jawapannya.
"Saya bukan apa, di masa hadapan
awak tidak boleh mengandung lagi. Rahim
awak sudah rosak, kecederaannya agak
teruk, saya cuma boleh bantu dengan
ubat-ubatan. Jika awak ditakdirkan berkahwin dan mempunyai
anak itu adalah satu keajaiban.
Kerosakan di rahim awak tidak boleh dipulihkan lagi. Sudah terlambat untuk awak menyesal
sekarang. Kenapa awak biarkan diri awak
hamil? Sudah tahu teman lelaki awak
tidak mahu anak?” Dr. Choo. Mendengus kasar.
"Entahlah doktor. Saya makan ubat perancang yang doktor bagi,
tetapi saya tetap hamil. Pelik. Seolah-olah ubat itu tidak mujarab pada saya.“ Juita menangis lagi. Setelah mengambil ubat dia terus pulang ke
rumah yang disewa bersama Johari.
Juita membuka pintu rumah. Dia terkejut.
Barang-barang dalam rumah semuanya telah tiada. Mulutnya ternganga. Dia berlari masuk ke dalam bilik. Sama juga.
Hanya tinggal pakaiannya sahaja di dalam beg. Juita terduduk di lantai. Siapa yang mengambil barang-barang di dalam
rumahnya itu. Juita mengeluarkan telefon
bimbitnya. Dia harus menelefon
Johari. Dia harus memberitahu Johari
tentang hal tersebut. Tidak mungkin ada
pencuri masuk kerana pintu rumah terkunci rapat sama seperti dia keluar
tadi. Juita terkedu, menyandar di
dinding bilik memandang kosong ruang bilik yang telah kosong itu.
Perutnya berkeroncong. Entah berapa puluh kali dia menelefon Johari namun talian tidak
berjawab. Air mata tidak berhenti
mengalir. Apakah Johari sudah
meninggalkan dirinya? Juita bingkas bangun. Badannya terasa lemah. Dia tidak mampu berjalan laju, terasa seluruh
anggota badannya bagaikan longgar di
sana sini, lemah longlai. Matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis. menangisi dirinya sendiri. Juita
menapak ke pintu. Dia melangkah
keluar. Sahlah kini Johari sudah
melarikan diri. Johari meninggalkan
dia. Johari telah menipunya. Juita tidak tahu dia harus ke mana? Dia bagaikan hilang arah. Kereta dipandu laju.
"Doktor!” Juita mendekati Dr. Choo yang sedang
menghampiri keretanya.
"Juita?” Dr. Choo memandang wajah kusut masai
pesakitnya itu. Badannya lemah terus rebah di hadapan doktor
muda itu. Matanya berpinar, gelap. Juita pengsan.
Juita mengesat air mata yang
mengalir. Dia memandang wajah suaminya
yang tidak berkutik merenungnya dengan pandangan tajam bagaikan hendak
menelannya. Mansor mengetap bibir. Sakit hatinya mendengar cerita dari isterinya itu.
"Bagaimana Juita masih suci
sewaktu kita baru berkahwin dulu?”
Menggigil seluruh tubuh Mansor.
Dia terlalu memilih. Cerewet
tidak kena tempat. Kononnya mahu mencari
yang terbaik untuk dijadikan isterinya.
Inilah jadinya. Pilih punya pilih
terpilih yang sudah ditebuk tupai, kalau
ditebuk sahaja tetapi masih ada bahagian yang boleh dimakan berbaloi
juga. Ini tidak busuk ke semuanya. Tidak boleh dibaik pulih.
"Dr. Choo, dia melakukan
pembedahan pada faraj Juita agar seperti
anak dara kembali. Dia ingin Juita membina hidup baru.”
Terang Juita. Mansor terdiam
tidak terkata. Dia menyandar di
sofa. Juita mendekati Mansor. Tangan Mansor diraih rapat ke dadanya.
"Maafkan Juita, bang. Ampunkan Juita. Juita tak mengharapkan apa-apa dari
abang. Juita sudah menerima
pembalasan dari segala dosa yang telah
Juita lakukan. Juita tidak akan
mempunyai anak sampai bila-bila. Juita
manusia yang berdosa, waktu muda Juita hidup bergelumang dengan noda dan dosa. Maafkan Juita kerana menipu abang dan
keluarga abang,” Juita memeluk lengan
suaminya dan menciumnya. Mansor memejamkan mata. Kenapa dia tidak marah sedangkan dalam
hatinya begitu menggelegak kemarahan yang tidak mampu terluah, baik dengan
perbuatan atau dengan kata-kata. Mungkin
dia terkejut mendengar cerita isterinya tadi.
"Ya, ALLAH… Jika ini ujian untukku, aku redha,” kata Mansor dengan linangan air mata. Terlalu marah sehingga tidak mahu dia
mengutuk Juita. Lima tahun mereka hidup
bahagia. Juita seorang isteri yang baik,
bertanggungjawab. Tiada cacat cela. Tidak bolehlah dia memaafkan isterinya
itu. Lima tahun yang bahagia akan
lenyapkah hanya kerana mendengar cerita Juita sejam yang lalu. Lima tahun terlalu lama jika hendak
dibandingkan dengan sejam. Dia tidak
boleh terburu-buru membuat keputusan. Ini bersabit soal mati hidup rumah tangganya. Kebahagian hidupnya. Kebahagian hidup Juita yang sudah jauh berubah. Dia duduk tegak memandang wajah Juita, isteri
yang amat disayangi sepenuh hati.
"ALLAH SWT Maha Pengampun, Rasulullah SAW juga memaafkan umatnya. Dosa Juita terlalu besar, kalau abang tidak
mempunyai pertimbangan yang seimbang sudah pasti Juita abang lepaskan. Tapi berbaloikah tindakan abang hanya kerana
cerita satu jam yang Juita sajikan pada abang tadi, dengan pengorbanan Juita
sebagai seorang isteri untuk abang selama lima tahun. Walaupun hati ini sakit, perit, tapi abang
tahu, Juita turut merasakan perkara yang sama.
Ku terima dikau seadanya Juita bt Halim…
Ku maafkan segala kesalahan yang kau lakukan padaku, demi kebahagian
yang telah kau berikan kepadaku selama
lima tahun. Tidak terpadam cintaku
padamu hanya kerana cerita sejammu itu.
Tidak bergoyah kepercayaanku kepadamu yang ku tanam di hatiku selama lima
tahun hanya kerana kata-katamu selama sejam itu. Perkara sudah berlaku, biarlah berlalu. Cerita baru kita sulam bagi membina cinta yang kukuh bahagia untuk
selama-lamanya.” Air mata Mansor
mengalir laju. Dia menarik Juita ke dalam pelukannya. Juita hampir meraung mendengarnya. Semakin erat dia memeluk suaminya. Ya, ALLAH, Engkau Berkuasa
atas segalanya... .
"Orang-orang yang mengerjakan kejahatan kemudian bertaubat
sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu, sesudah taubat yang disertai
dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-A’raf: 153).
P/s JANGAN LUPA MEMBACA KARYA SAYA SESALAN TIDAK TERUCAP DI ILHAM GRUP
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=246&idc=3028#.UV4wcDdJSj9