Home Cerpen Islamik Cinta Tak Terlihat
Cinta Tak Terlihat
Aurian
7/5/2013 10:58:42
3,714
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Sudah berhari-hari Zulaika menangis tersedu-sedu. Pagi menangis, petang menangis, malam lagilah jangan cerita. Sudah hampir seminggu yang lalu dia terlihat gambar itu di laman Facebook. Dia sukar mempercayai apa yang dilihat mata hitamnya. Dia fikir dia tersalah lihat. Mungkin pelanduk dua serupa. Mungkin kembar seiras. Ataupun matanya sudah ‘kero’ akibat terlalu merindui Azman. Sampaikan orang lain pun di sangka Azman. Tetapi perbualan bersama ‘ibu mertua tak jadi’ menyedarkan Zulaika. Dia tidak bermimpi, tidak merapu. Matanya tidak ‘kero’. Dia tidak tersalah orang. Gambar yang dilihat di laman Facebook adalah Azman. Ya, gambar Azman berbaju songket hijau siap bersamping dan bertanjak. Di sebelah kiri pula seorang gadis berbaju songket sedondon. Zulaika keliru. Bukan kah lelaki itu yang selama ini dirindu mati matian. Bukan kah lelaki itu yang selama ini berjanji sumpah setia mahu sehidup semati bersamanya. Hanya sebulan yang lalu dia bergaduh dengan Azman hingga lelaki itu tidak menghiraukan panggilan telefon dan text mesej dari Zulaika. Hanya sebulan tidak berhubung, bukan lama. Secepat ini menemui peganti? Ibu Azman juga keliru, dia kenal Zulaika. Kata Azman, Zulaika kini hanya teman biasa. Terkejut juga ibu Azman menerima panggilan Zulaika dengan sedu sedan. Pening juga kepala ibu Azman dengan kerenah anak lelaki tunggalnya.

“Awak sanggup ke jadi isteri kedua?” itu pertanyaan Azman ketika dia menghubungi Zulaika ingin memohon kemaafan. Zulaika buntu. Kasih di hati pada Azman seluas lautan tetapi..

“Awak tak mampu..” keluh Zulaika. Fikirannya celaru. Kenapa Azman masih mahukan dirinya setelah dia bernikah dengan wanita lain.

“Awak jangan kata apa-apa pada isteri saya. Sekarang dia isteri saya. Saya wajib sayang dia, bertanggungjawab pada dia, terima dia seadanya, terima kekurangan dia. Jadi saya taknak dia terluka bila tau saya dengan awk...”

“Saya tau awak macam tu , untunglah saya kalau awak jadi suami saya..” Jawab Zulaika berbaur kecewa. Kata-kata Azman ditelan bagai duri.

“Awak jangan cakap macam ni. Awak buat saya serba salah”

“Memang betul pun, mungkin saya yang tak bernasib baik..” tangisan Zulaika makin kuat.

“Awak kita berhenti cakap o.k. Bila dengar awak nangis macam ni hati saya rasa, Ya Allah tak tahu nak cakap..” itu lah antara kata-kata terakhir Azman.

“Tak apa. Awak kahwin orang lain, saya pun akan kahwin orang lain. Saya nak orang macam awak” suara Zulaika separuh menjerit.

“Ya Allah saya tak baik mana..”

“Atau lebih baik dari awak...”

Kata-kata Zulaika mati di situ. Perbualan mereka habis di situ. Tetapi kesedihan Zulaika tidak terhenti. Berminggu-minggu dia meratap nasib diri. “Apa salah aku?, apa salah aku?” rungut di mulut keluh di hati. Bukan dia bergaduh besar dengan Azman. Malahan lelaki itu masih menyayangi dirinya. Zulaika tahu perhubungan mereka bukan main-main.

‘Saya memang nak pilih awak. Tetapi saya tahu saya bukan terbaik untuk awak.’

Ah! Kata-kata untuk membeli hati. Itulah perkataan yang terbaik untuk meninggalkan seseorang. Ayat untuk menutup salah diri.

‘Saya sebenarnya lagi sayangkan awak dari isteri saya. Ya Allah saya rasa bersalah pada isteri saya cakap macam ni..’

Apa ini?! Dasar lelaki! Sudah pasang dua, semuanya mahu disapu. Zalim sungguh. Apakah ini?. Bukan sahaja dia zalim pada Zulaika, malahan pada isterinya dan diri sendiri.. Apa yang sudah jadi? Zulaika keliru. Apa sebenarnya berlaku.? Dasar lelaki mulut manis, buaya darat!. Puas Zulaika menyumpah seranah dalam hati. Tapi cinta dalam hati masih sukar dipadam. Azman sudah jadi milik orang lain. Itu hakikat yang harus Zulaika telan.. Tetapi pokok persoalan yang utama, bagaimana mahu melupakan Azman. Bagaimana mahu melupakan segala kesedihan dan kerinduan.

Ini bukan kali pertama...

Zulaika memandang wajah manis di cermin. Apa kurangnya aku? Bukankah wajah ini dikata orang cantik. Adakah aku jahat sangat? Zulaika tahu dia seperti manusia lain yang punya kekurangan dan kelebihan. Tetapi kenapa mereka meninggalkan aku seolah-olah aku tidak punya kebaikan langsung?. Rasa rendah diri menerpa dalam hati Zulaika. Ini bukan kali pertama... Dulu Zaid meninggalkan dia setelah Zulaika terserempak lelaki itu di cafe bersama perempuan lain. Sebelum Zaid, Amir kekasih lama mengabaikan diri Zulaika hingga Zulaika rasa tersisih. Kekasih sebelum Amir juga terlalu cemburu, hanya kerana lambat mengangkat telepon sudah dituduh curang. Zulaika mengira-ngira jari. Sudah berapa banyak bekas kekasih yang dia ada.. ‘Ya Allah, bukan aku mahu begini.. Tetapi kenapa jadi begini?’Zulaika rasa kesal. Rasa malu dipermainkan lelaki setiap kali.

Hal berkaitan Azman langsung tak masuk akal. Tidak ada pergaduhan besar antara Zulaika dan Azman. Kenapa lelaki itu tega meninggalkan dirinya tanpa fikirkan hati Zulaika langsung? Apakah makna kata-kata manis yang bermain di bibir Azman. Kata-kata manis yang nista!. Zulaika membaling bantal ke dinding. Sudah berhari-hari dia tidak boleh tidur, tidak lalu makan. Hanya menggogoi sepanjang malam. Badan Zulaika sudah turun 3 kilo, cengkung. Selayaknya orang yang kecewa. Setiap kali bangun pagi rasa nyeri dan pedih di hati. Sangat sakit dan perit tidak tertanggung. Doa Zulaika dalam solat tidak lain, selain mohon ketabahan dan kesabaran.

Aku harus bangkit!

“Ustaz hari tu beritahu saya, saya harus sabar dan redha.. Tetapi hari-hari saya menangis. Sampai badan saya jadi kurus..” Kecewa yang teruk membawa Zulaika meminta nasihat seorang ustaz. Bukan pertama kali dia kecewa, umur Zulaika sudah mencecah 29 tahun. Tetapi hubungan dengan lelaki sentiasa putus tanpa sebab yang munasabah.

“Itu semua syaitan..” tiga baris perkataan yang keluar dari mulut ustaz Ali menyentakkan Zulaika. Dia beristifar. ‘Ya Allah aku ini seolah-olah meratap dan tidak redha dengan ketentuanMu’. Keluh Zulaika kesal. Sejak itu tangis Zulaika makin berkurang. Sekurang-kurangnya sekali sehari. Zulaika cuba menahan hati. Dia harus melawan bisikan syaitan. Kecewa, adalah sifat syaitan. Zulaika juga hampir putus asa. Benci sungguh dia pada orang laki-laki. Dasar penipu! cela Zulaika. Zulaika beristifar lagi. Ya Allah! putus asa dari rahmat Allah adalah dosa besar.. Hari-hari Zulaika penuhi dengan solat sunat dan zikir penenang hati. Kata-kata ustaz Ali jadi pegangan.

“Tiada jalan lain selain sabar..”

“Syaratnya kamu harus sabar dan redha. Jika kamu sabar dan redha, kamu akan dapat orang yang akhlak lebih baik dari dia..” Itu antara nasihat ustaz Ali.

Kini Zulaika sudah duduk di hadapan seorang Ustaz yang jauh lebih muda. Bukan ustaz Ali yang diminta nasihat sebelum ini. Tetapi seorang ustaz di pusat perubatan islam terkenal. Zulaika rasa mahu angkat punggung. Dalam hati menyumpah idea seorang teman yang mencadangkan berubat cara islam.

“Aku bukan sakit..” getus Zulaika dalam hati. Entah mengapa dia boleh sampai di sini. Kata-kata Maisarah berjaya mempengaruhi dia.

“Akak cuba berubat cara islam kak. Mana tahu sihir. Kawan saya pun sama. Berapa kali putus tunang, cinta sama cinta pun putus. Bila berubat cara islam sekarang dah kawin pun.” Kerana cadangan Maisarah inilah Zulaika berada di sini. Di sebuah pusat perubatan islam di kampung halaman.

Zulaika berat mulut mahu menceritakan masalah diri di hadapan ustaz yang jauh lebih muda. Keyakinan langsung tak ada bila melihat umur orang yang mahu diadu. Zulaika menarik nafas. Dia hanya cerita serba ringkas dalam keadaan langsung tak yakin.

Bacaan Ruqyah Syar’iyyah dibaca. Zulaika rasa terawang-awang....

“Ada sesuatu yang ikut akak..” terang ustaz. Dahi Zulaika bermanik peluh. Dia tahu, dia rasa perubahan diri pabila mendengar bacaan Ruqyah. Dia bukan yakin sangat. Tetapi dia rasa kepala berat. Dada Zulaika berdebar-debar. Perasaan yang sangat aneh.

“Boleh tangkap kak, Bila ditangkap baru boleh tahu apa dia. Mungkin saka, sihir atau lain-lain.”

Zulaika pulang dengan penuh tanda tanya. Antara percaya atau tidak percaya. Tetapi dia tetap akan datang lagi minggu hadapan. Dia harus teruskan perubatan ini. Bagi Zulaika ini satu usaha. Dia sedar mempercayai yang ghaib adalah salah satu rukun iman.

Sebaik-baik jin, adalah sejahat-jahat manusia... Benarkah?

Zulaika merenung botol didepan mata. Kosong pada mata kasar tapi itu bukan hakikat sebenar.

“Alhamdulillah akak, berjaya dah kita tangkap.. Syukur banyak-banyak..” ucap ustaz muda. Pembantu ustaz muda ini hanya seorang budak lelaki yang punya kelebihan melihat makhluk halus.

“Akak, ini jin perempuan..” Terang pembantu itu sambil merenung botol.

“Cantik tak?” soal Ustaz muda berseloroh,

“Boleh tahan la..” jawab pembantu yang jauh lebih muda itu.

Zulaika rasa geram. ‘Main-main pulak budak berdua ni’. Getus hati Zulaika.

“Akak tanya la apa nak tanya.” kedua anak muda itu menunggu kata Zulaika.

“Kenapa ikut saya?”

“Saja-saja kacau.” Kata si budak pembantu yang jadi pengantara.

“Siapa tuan kamu?” Soal ustaz muda.

“Tiada. Saja tumpang, dan saja-saja kacau.” Si pembantu menyampai.

Zulaika tidak puas hati. Tak mungkin saja-saja.

“Ada sekat jodoh saya?” Soal Zulaika dengan perasaan ingin tahu membuak-buak.

“Akak, dia kata. Dia akan kacau lelaki yang masuk dalam hati akak. Supaya lelaki tu benci akak, menyampah kat akak. Tak suka kat akak.” Kata-kata dari mulut si pembantu umpama panahan petir. Zulaika kaku. “Patutlah..” hanya itu yang terpacul.

“Kenapa?” suara Zulaika tertahan tahan.

“Dia kata saja-saja. Supaya akak tak dapat segalanya..”

“Ya Allah kenapa sampai begitu...” Air mata Zulaika hampir menitis. Apa dosa Zulaika hingga tega diperlakukan begini.

“Katanya sebab dia sukakan akak...”

Ayat itu sukar untuk Zulaika cerna dalam fikiran.

“Bukan kah dia perempuan juga?” soalan itu berkali-kali di luah pada ustaz muda. Ini aneh, sangat pelik.

“Akak, dia bukan faham. Jin bukan boleh bezakan lelaki ke perempuan. Dia bukan bijak. Dia macam manusia juga ada dengki, cemburu. Jadi sebab tu dia kacau semua lelaki akak suka. Dia anggap akak macam girlfriend dia lah...” Itu penerangan ustaz muda. Kedengaran mudah difahami. Tetapi makin cuba di fahami makin kusut. Makin tidak mengerti. Ya Allah besar sungguh kuasaMu. Tak terjangkau akal manusia segala rahsia alam dunia, apatah lagi alam akhirat.

Cinta tak terlihat.

Zulaika merenung text mesej di telepon bimbit. Mesej daripada Azman berulang kali dibaca. Mesej berbaur kata-kata rindu dan sayang.

‘Apa gunanya lagi Azman, kau bukan milik aku lagi. Itulah hakikat yang harus kau dan aku telan. Inilah takdir dan ketentuan. Kita tidak ada jodoh.’ Itu antara bait kata yang Zulaika hantar pada Azman. Zulaika tahu Azman menyesal. Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Isteri Azman sendiri sudahpun hamil. Silap Azman hanya satu, menipu. Tetapi Zulaika juga tahu kalau Azman tidak yakin pada Zulaika kerana bisikan si pecinta misteri.

“Bila dia dah berjaya pisahkan. Lelaki tu akan sayang akak balik..” Itulah yang dikatakan si pembantu muda. Zulaika faham maksudnya. Zulaika tahu kalau selepas berpisah, bekas teman lelaki akan sayang kembali padanya. Ini bukan pertama kali. Zaid pernah kembali merayu. Bekas kekasih sebelum Zaid pun pernah datang merayu Zulaika. Kalau dahulu Zulaika rasa pelik. Kenapa setelah hati Zulaika dirobek, baru rasa menyesal. Kenapa tidak berpuas hati dengan apa yang ada, apa yang telah mereka miliki. Kenapa masih mahukan Zulaika. Bukankah Zulaika ditinggalkan kerana tidak bagus di mata mereka. Tidak layak menjadi suri hidup mereka. Bagaimana Zulaika mahu menerima kembali. Zulaika ada maruah diri. Kalau sudah diludah jangan dijilat kembali. Hati Zulaika sudah tertutup mati... Kini Zulaika mengerti. Apa yang jadi punca. Terlerailah segala kekusutan hati. Kenapa Zulaika sering ditolak. Rupanya dia dicintai yang tak terlihat.

“Jin tu kata, dia suka kat akak sebab akak belum berpunya, akak cantik.” Zulaika hanya ketawa bila ustaz muda dan pembantu muda itu berseloroh. Tetapi dalam tawa itu ada luka. Zulaika juga diberitahu sudah sepuluh tahun peminat misteri itu tinggal dalam badan. Seawal Zulaika masih remaja, masih belum berpunya. Zulaika menginsafi diri, dahulu dia tidak menjaga aurat. Dia pernah terdengar kata-kata seorang ustaz di You Tube.

“Anak dara jangan keluar maghrib-maghrib pakai seluar pendek. Takut jin jatuh cinta...” kata-kata itu bukan omongan kosong. Aurat bukan sahaja untuk menutup dari pandangan nafsu manusia, tetapi juga makhluk lain dari jenis yang berkahwin dan beranak pinak.

Percayalah, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya....bahawa ; Selepas kesulitan pasti ada kemudahan (Al-Insyirah Ayat 6).

Hidup ini harus banyak sabar. Zulaika tahu dia di didik Allah dengan sifat sabar. Tak mengapalah, Zulaika akan maafkan semua yang berbuat salah pada dirinya. Orang-orang yang pernah dikasihi, yang pernah merobek hati. Bahkan si pecinta misteri. Benar setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Kini, di hadapan mata Zulaika seorang lelaki yang bergelar suami. Seperti kata Ustaz Ali, dia berakhlak lebih mulia dari mana-mana lelaki yang Zulaika kenal sebelum ini.. Kata ustaz muda yang merawat Zulaika, dia sopan orangnya, seperti berilmu agama. Benar, benar semuanya. Yang paling benar adalah janji Allah s.w.t. bagi orang-orang yang sabar.

Zulaika malahan sedar, walaupun dia lewat berkahwin, tetapi dia dihadiahkan seorang suami yang baik. Yang lebih baik dari mana-mana lelaki yang pernah Zulaika kenal. Azman, Zaid dan beberapa nama lagi yang menjadi lipatan sejarah. Hidup mereka tidaklah seindah mana. Zaid terperangkap dengan beban hutang, Azman pula tidak pedulikan keluarga. Zulaika pantas sedar kalau mereka yang sebelum ini dipuja melangit. Bukanlah lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami. Zulaika tahu Allah mengetuk pintu kesedaran Zulaika, bahawa bercinta dan berjanji setia bukanlah cara terbaik mendapat jodoh. Tetapi mintalah pada Nya. Hanya sekelip mata pertolongan Allah akan sampai jika Dia mahu..

“Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)

Zulaika hubungi ustaz muda. Walaupun punya muslihat, si pecinta misteri itu telah menghalang Zulaika daripada berkahwin dengan lelaki yang tidak baik.

“Akak ucaplah terima kasih pada dia nanti, kalau akak datang sini..” ucap ustaz muda setelah mendengar luahan Zulaika. Zulaika mengangguk. Dia akan melawat Ustaz muda jika pulang ke kampung. Mahu ucap terima kasih pada pecinta misteri yang terperangkap dalam botol itu.

Tetapi yang paling utama sekali dia harus ucap terima kasih pada Allah s.w.t kerana memberi izin pada si pecinta misteri mengganggu Zulaika. Sesungguhnya ujian ini menambah keimanan dan ketakwaan pada Nya. Ujian ini menambah kebergantungan Zulaika pada Pencipta. Dan kerana ujian ini Zulaika belajar erti sabar. Zulaika belajar erti syukur bila dikurniakan suami yang baik dan beriman atas kesabaran itu.

“Ya Rabb.. Syukur padaMu, Ampunkan aku jika aku mengeluh lagi meratap atas ujianMu. Jadikan aku orang yang lebih beriman. Terima kasih Ya Rabb...” Ucap Zulaika. Dia tersenyum, dia tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah itu dimana Allah s.w.t. telah menghalang dia dari berkahwin dengan lelaki yang salah. Dan dengan kesabaran Allah s.w.t gantikan dengan orang yang lebih baik.. Yakinlah dengan janji Allah bagi orang-orang yang sabar. Jika bukan di dunia, ganjaran syurga pasti di akhirat..

‘Sesungguhnya Ya ALLAH, kaulah pecinta yang tak terlihat. Yang melindungi hambaMu, Tetapi kami tidak sedar, selalu alpa dan jauh dariMu. Syukur atas cinta Mu yang teragung.’

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (hadis riwayat Muslim)



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.