Dada Zarina berdebar-debar, semalaman dia tidak tidur.
Hatinya rawan dan gelisah. Dia takut jika Amir pulang. Dia tidak melihat Amir
sejak pergaduhan petang semalam. Entah di mana suaminya itu tidur, dia tidak
ambil pusing. Hatinya lebih tenang jika lelaki itu pergi. Semalam Zarina ingat
benar dia melawan Amir, botol kaca perhiasan pecah bertaburan, darah menitis di
lantai. Dia pasti Amir cedera. Kapal kecil di dalam botol kaca terhumban di
lantai. Zarina hanya biarkan, dia puas kapal itu sudah bebas. Suatu hari nanti
dia juga akan bebas dari lelaki itu.Zarina mengepal-ngepal kedua jari. Apa yang harus dia buat?
Dia bimbang jika Amir pulang membalas dendam. Maka dia bersedia. Dia letakkan
sebilah pisau di bawah bantal. Dia persiapkan kunci dan mangga baru. Pagi-pagi
lagi dia sudah bersiap mahu keluar berjumpa Sarah kawan baik yang paling
dipercayai. Mujur Sarah yang berkerja sebagai guru KAFA sentiasa punya waktu
untuknya.
“Kau ni mundar mandir, duduk la dulu minum air tu.” Tegas
Sarah apabila rimas melihat kelakuan Zarina.
“Apa aku nak buat Sarah? Aku takut!”
“Apa sebenarnya Amir buat pada kau?”
“Aku rasa dari awal lagi semua dah dirancang Sarah.
Perkahwinan aku satu perangkap.”
“Siapa yang perangkap kau, Amir? Ina aku tau kau selalu
gaduh dengan dia, tapi aku belum nampak kau lebam-lebam kena pukul.”
“Kau faham tak deraan emosi?. Dia kurung aku dalam rumah,
cemburu tak bertempat, dia kawal apa aku pakai, apa aku makan, bahkan semua
pergerakan aku dia jejak. Dekat rumah dia pasang kamera untuk intip pergerakan
aku.”
“Ish takkan macam tu sekali Ina?”
“Kau tak percaya datang rumah aku, aku tunjukkan bukti.”
Sarah terdiam, dia benar-benar tidak faham apa punca masalah rumahtangga Zarina
yang sebenar. Tetapi dia merasa ada yang tidak kena dengan sikap Amir. Dalam
hati dia kasihan dengan Zarina. Sejak zaman persekolahan dia mengenal Zarina.
Dia tahu Zarina datang dari keluarga yang bermasalah. Ayah Zarina berada di
penjara kerana pelbagai kesalahan jenayah. Zarina dibesarkan ibu dan neneknya.
Semasa di Universiti hubungan mereka terputus kerana masing-masing melanjutkan
pelajaran di tempat berbeza. Dia menyambung pelajaran di Al-Azhar Mesir.
Manakala Zarina menyambung pelajaran di Universiti tempatan. Kerana majlis reunion sekolah mereka bertemu kembali.
Kini dia kembali melihat Zarina yang dulu, tak banyak berubah. Sedangkan
dirinya sudah mengenakan tudung labuh, anak sudah tiga orang. Zarina masih
seperti dulu. Kelihatan sedih, cemas dan ketakutan. Tak jauh beza dari zaman
persekolahan. Jauh di sudut hati Sarah, dia simpati dengan nasib Zarina.
Sudahlah ayah tak berguna, dapat suami pula begini halnya.
“Aku mesti buat sesuatu!” Zarina mengepal tangan.
“Sudahlah, kalau tiada jalan penyelesaikan, perkahwinan kau
pun sudah membawa mudarat, kau boleh minta fasakh.” Terkeluar juga perkataan
itu dari bibir Sarah. Sebagai seorang yang punya pendidikan agama, dia segan
mahu cadangkan perkara yang di benci Allah itu. Tetapi terlepas juga dibibir.
“Kau ingat dia nak ceraikan aku? Jangan harap! Dia akan
bunuh aku kalau aku mintak cerai.”
“Kalau macam tu kau report polis saja. Ataupun kau keluar
dari rumah tu, pergi ke tempat selamat.”
“Bukan semudah tu Sarah, dia mesti akan buru aku sampai
lubang cacing. Kau lihat ni…” Zarina membuka beg tangan yang agak besar. Dia
keluarkan beberapa keratan akbar. Antaranya laporan penangkapan ayah kandung
Zarina. Ada satu keratan mengenai Zarina yang mengharumkan nama sekolah dalam
pertandingan pidato. Selain itu buku tahunan sekolah menengah mereka berdua. Gambar
Zarina di bulatkan. Beberapa keping gambar-gambar Zarina yang di ambil secara
sembunyi. Sarah berkerut dahi melihat semua itu, dia merenung Zarina tajam, mohon penjelasan.
“Aku jumpa dalam meja pejabat Amir, sebahagiannya tersorok
dalam almari. Ni, keratan akbar ayah aku, ni kan dah lama sejak zaman kita
sekolah. Mana dia dapat.? Sarah selama ni Amir mengintip aku, sejak sebelum
kami kawin. Dia memang gila!” Sarah hanya diam, hatinya berdebar. Dia mula rasa
takut melihat semua itu.
“A..pa tujuan dia?”
“Aku tak tahu, dia memang psycho!”
Sarah tersentap. “Kau kena cepat tinggalkan rumah tu. Kalau
kau nak minta tolong aku tumpang tidur kat sini ke, aku boleh tanya suami aku.
Ini dah kes berat. Aku risaukan keselamatan kau!”
“Terima kasih Sarah, kau lah sahabat aku dunia akhirat. Apa-apa
pun biar aku cuba selesaikan sendiri. Kalau perlu bantuan, aku minta tolong
kau.” Zarina memeluk Sarah. Hati sahabatnya sangat bimbang, dalam hati dia
berdoa Zarina akan selamat.
……………………………
Hampir petang Zarina baru sampai ke rumah. Dia kaget kerana
kereta Amir ada di depan rumah. Tetapi dia harus masuk juga, barang-barang
penting berada dalam rumah. Kunci mangga yang baru sudah dipotong. Amir pasti
marah dan membuat perhitungan dengan dirinya. Perlahan Zarina membuka pintu dan
melangkah masuk. Bau asap rokok menerjah lubang hidungnya. Memang Amir berada
di dalam rumah tetapi kelibatnya tidak kelihatan.
“Sayang dah balik?”
Zarina tersentap, dadanya berderau. Amir berdiri di pintu
dapur dengan rokok dan segelas air. Zarina pandang sekilas sebelum masuk ke
bilik dan mengunci pintu. Dia terus duduk di birai katil. Tidak lama kemudian
kedengaran pintu diketuk. Zarina makin kaget.
“Sayang buka pintu ni, abang minta maaf pasal semalam. Salah
abang…” Zarina hanya berdiam diri. Dia tidak percaya dengan kemaafan itu. Dia
tahu Amir berpura-pura baik dengannya untuk menutup perbuatan keji yang dia
lakukan. Dia tahu Amir boleh berubah watak sekelip mata. Pintu masih di ketuk
bertalu-talu tetapi perlahan. Zarina meraba-raba pisau di bawah bantal. Setelah
memastikan pisau itu berada di tempatnya, dia bangkit dan membuka pintu. Amir
berdiri di tegak di hadapannya. Lengkap dengan kemeja putih gading
bergaris dan seluar slack hitam, pakaian
pejabat. Pemuda tinggi hampir enam kaki itu merenung wajah Zarina dengan sayu.
Kemudian dia tersenyum sedikit mempamerkan lesung pipit di kanan dan kiri pipi
yang sedikit berjambang. Amir memang lelaki manis dan kacak. Dia muda empat
tahun dari Zarina. Tetapi bayangan lelaki itu sahaja membuat Zarina kecut
perut. Manis dan kacak, tetapi hati umpama syaitan!. Zarina menghindar apabila
Amir cuba menyentuh pipinya.
“Sayang sudahlah tu, kita berbincang baik-baik o.k. Nanti
kita jumpa pakar untuk selesaikan masalah ni…” Pujuk Amir, dia melangkah masuk
ke bilik. Zarina berundur ke belakang, sesekali dia mengerling pada bantal.
Kalau Amir macam-macam dia akan bertindak untuk mempertahankan dirinya. Zarina
berundur hingga terhenti di dinding, Amir membelai rambut Zarina kemudian
mencium rambut itu lembut. Tangan sasa pemuda itu membelai lengan Zarina.
“Abang sayang Ina sangat-sangat..” Zarina menarik nafas, dia
tidak akan mudah terpesona dengan penipuan dan pujukan palsu Amir. Amir
merapatkan wajahnya pada pipi Zarina, Zarina mengelak dan menolak lengan
suaminya.
“Aucchhh!” Amir menjerit kecil sambil memegang lengan yang
berbalut. Itu luka semalam.
“Keluar! Keluar!” Zarina menolak tubuh Amir keluar dari
bilik. Badannya menggigil. Dada berdegup kencang. Dia tahu, pada bila-bila masa
Amir akan berubah sikap. Dia harus lebih berhati-hati. Semalaman dia mengunci
pintu bilik. Mujur bilik tidur itu punya tandas di dalam.
………………..
Pagi itu selesai mandi dan bersiap, dengan perlahan Zarina
membuka pintu bilik. Dia mahu membeli tiket untuk pulang ke kampung. Dia juga
sudah mengemas semua kain baju.
“Sayang nak sarapan..?”
Suara Amir memanggil dari dapur. Zarina menarik nafas cuba menguatkan
hati. Dia harus berpura-pura seperti biasa. Kerana Amir juga sering
berpura-pura seperti tiada apa-apa berlaku antara mereka. Dia harus
berhati-hati supaya Amir tidak tahu rancangannya untuk melarikan diri. Zarina
mara ke dapur dan tersenyum pada Amir. Kelihatan Amir sedang meletak sepinggan
roti goreng bersalut telur atas meja. Bau harum roti itu semerbak membuatkan
perut Zarina lapar. Amir menggamit Zarina ke meja makan, menarik kerusi dan
mempersilakan isterinya duduk. Pantas dia mengambil seteko air kopi dari dapur
ke atas meja.
“Sayang, saya ambil cuti hari ni, boleh kita keluar, jumpa
doktor terapi yang abang cakap hari tu. Lepas tu kita boleh jalan-jalan
luangkan masa bersama.” Saran Amir sambil menuang air kopi pada cawan Zarina.
“Saya ada hal pagi ni..” perlahan Zarina menjawab tapi
tegas. Amir menggigit bibir.
“Sayang balik cepat tak? Abang tunggu sayang balik baru kita
pergi o.k” Amir mengharap. Matanya redup memandang Zarina penuh kasih sayang.
‘Sudah-sudahlah dengan lakonan kau!’ getus Zarina dalam
hati. Dia masih belum menjamah makanan. Dia hanya memerhati Amir mengambil sekeping
roti dan menghirup air kopi. Manalah tahu jika Amir cuba meracunnya. Sikap
lelaki itu sangat mencurigakan. Setelah melihat Amir mengunyah kepingan roti
itu dengan berselera, Zarina mencapai satu. Matanya memerhati lengan Amir yang
berbalut. ‘Mustahil dia hanya buat tak tahu mengenai luka yang aku buat tu.
Pasti ada rancangan untuk balas balik sakit dia tu pada aku!’ Gumam Zarina
curiga. Dia sempat makan dua keping roti dan menghirup air kopi sebelum
bergegas keluar. Amir pantas bangun dan menyusul Zarina. Dia berdiri depan
pintu.
“Sayang balik awal ya..” pesan itu penuh pengharapan. Zarina
tidak menjawab melainkan berlalu ke kereta.
Hampir tengah malam barulah Zarina pulang. Amir yang
menunggu sepanjang hari lantas bangun dari kerusi beranda mendapatkan Zarina.
Isteri yang ditunggu hanya berlalu masuk dan mengunci pintu bilik. Amir
mengeluh.
“Kau tak bagi aku duit aku jual budak ni!!”
“Abang jangan buat macam tu abang, tu anak kita!!”
“Bagi aku duit perempuan bodoh!!” bentak lelaki tua itu
sambil menyepak tubuh kurus isterinya. Zarina yang hanya berumur 12 tahun
menangis sekuat-kuatnya. Lengannya sakit direntap oleh ayah kandungnya sendiri.
Serasa mahu tercabut lengan diheret ke pintu.
“Abang! Lepaskan Ina bang”
“Diam bodoh!! Bagi aku duittt!!” pantas tangan kekar itu
merentap rambut isterinya dan dihentak ke dinding. Melantun tubuh kurus wanita
itu lalu terjatuh ke lantai. Darah mengalir dari dahi.
“Abang nak duit pergi cari sendiri, dasar jantan tak guna!!”
“Apa kau cakap berani kauu!” Serentak itu juga lengan Zarina
dilepas. Ayahnya melulu pada ibunya melepaskan tendangan bertubi-tubi.
Terdengar erangan ibunya kesakitan. Zarina mengensot ke dinding. Matanya
terbias ketakutan melihat kezaliman ayahnya. Dia melihat tubuh lembik ibunya
diasak bertubi-tubi. Akhirnya ibunya tidak bersuara lagi, hampir pengsan, hanya
nafas turun naik kelihatan. Zarina ketakutan. Terlintas di benaknya, jika
ibunya mati, apakah akan jadi pada nasibnya. Kaki yang menggigil dia gagahkan
untuk berdiri, kedua tangan yang kurus mengangkat pasu seramik besar yang ada
di tepi meja. Dia menghampiri ayahnya dari belakang.
“Mati kau!!! Mati kau!”
Serentak itu terdengar jeritan ayahnya sambil memegang
kepala yang berdarah. Zarina tak puas hati. Dia mencapai teko dan menghentak
lagi.
“Mati kau! Mati kau!” terdengar suara ayahnya mengerang
kesakitan.
“Zarina, sudah..” Ibunya yang lemah menggagahkan diri untuk
menghalang Zarina.
“Mati kau! Mati kau!”
“Sayang, sayang kenapa ni bangun… aduh!”
“Mati kau! Matiii!” jerit Zarina sambil memukul sekuat hati.
Amir mengelak dan cuba menenteramkan Zarina. “Sayang bangun lah, awak mimpi
tu!” sergah Amir. Zarina tercungap-cungap, nafasnya turun naik. Dia memerhatikan
sekeliling. Tiada ayah atau ibunya. Dia berada di bilik sendiri. Di hadapan
matanya adalah suaminya Amir. Melihat Zarina makin tenang Amir menghampiri.
“Apa awak buat kat sini!” sergah Zarina marah.
“Dah sayang mengigau , terjerit-jerit. Saya kan suami sayang.
Dah tenang, sambung tidur ya..” Amir memeluk Zarina kembali di pembaringan. Dia
mengesat peluh di dahi Zarina kemudian keluar dan kembali semula dengan segelas
air dan ubat.
“Awak nak racun saya ye?”
“Astagfirullah ini ubat awak sayang, nanti awak akan o.k.
Makan ni, tolong lah.” Zarina merenung Amir tajam. Dia rasa sangsi tetapi
ditelan juga ubat yang disua. ‘Aku mesti lari selepas ni!’ dia nekad kali ini
dia menurut kehendak Amir. Kerana lelaki itu dalam biliknya. Jika tidak diturut
Zarina khuatir dia akan dia apa-apakan. Perlahan-lahan Zarina rasa
terawang-awang. Tubuhnya longlai..
“Apa awak bagi kat saya…?”soalnya lemah. Kemudian dia lihat
Amir mengangkat tubuhnya dan dibaringkan ke katil. Perlahan dia menyentuh tubuh
Zarina membetulkan pakaian tidur jadi rapi.
‘Jangan sentuh saya’. Tetapi kata-kata itu tidak terkeluar
dari bibirnya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa selain membiarkan Amir berbuat
apa pun. Perlahan pemuda itu baring di sebelah Zarina, memeluk, mencium dahi
dan mengusap rambutnya. Selepas itu Zarina tidak ingat apa-apa lagi.
Perlahan Zarina membuka mata, dia merasakan Amir masih
disebelahnya.
“Sayang..” panggilan Amir itu membuatkan Zarina menoleh
ke sebelah. Dia terperanjat melihat Amir memegang pisau.
“Jangannnnn…..!!” jerit Zarina menerpa Amir.
“Sayang apa ni!!” Amir kaget, pisau terjatuh ke lantai.
Pantas Zarina mencapai pisau itu.
“Mati kau!! Mati kau!!” Kedengaran jeritan Amir bergema.
Darah menyimbah lantai. Zarina masih belum puas. Dia menikam bertubi-tubi.
“Mati kau! Mati kau! Sebelum kau bunuh aku, aku bunuh kau
duluuu!!!” jerit Zarina sekuat hati. Dia berhenti apabila Amir sudah diam.
Nafas Zarina tercungap-cungap. Dia puas, dia bebas. Mulut Amir dipenuhi darah
membuak. Dia sudah terbaring tidak bermaya, jari jemarinya yang penuh tompokan
darah cuba menggapai wajah Zarina.
“Ke..kenapa.. Ina, abang sayangkan Ina…” Air mata Amir
menitis bergabung dengan darah jatuh ke lantai. Zarina pantas bangun. “Penipu!
Penipuuu! Dasar jantan semua penipu!!” Zarina menjerit lantas keluar dari
bilik.
…………..
Sarah bergegas datang ke rumah Zarina setelah dihubungi
dengan cemas.Dia menerpa Zarina yang berlumuran darah.“Ya Allah, Zarina, kau tak apa-apa?”Sarah kaget melihat
Zarina.
“Amir, Amir kat dalam bilik..”
Pantas Sarah menerpa dalam bilik. Terkejut bukan kepalang
dia melihat mayat Amir terdampar di lantai. “Ya Allah kita kena hubungi
polis!!”
“Dia nak bunuh aku Sarah, dia nak bunuh aku!”
“Tak apa yang penting kena panggil polis dulu” pantas Sarah
berlari ke kereta.
………………………..
“Dia nak bunuh aku! Aku bunuh dia dulu sebelum dia bunuh
aku!! Hahahaha!”Ayat itu berulang kali disebut oleh Zarina, berulang-ulang kali
hingga hari Sarah jadi makin sedih.Dia akhirnya meninggalkan Zarina di bilik
berkunci itu dengan perasaan kesal dan bungkam.
“Puan Zarina sudah mengidap penyakit mental tahap kritikal
puan Sarah.Mahkamah sudah menetapkan dia harus di tahan di hospital mental.”Terang
peguam pembela Zarina yang dilantik mahkamah.
“Tetapi mungkinkah suami Zarina benar-benar mahu bunuh dia?”
“Itu tidak mungkin puan Sarah.Selama ini puan Zarina memang
sudah mendapatkan rawatan mental.Tetapi dia selalu mengelak untuk jumpa doktor.
Sudah pelbagai cara suami dia lakukan. Amir itu suami yang baik, dia sentiasa
sabar dan berharap puan Zarina akan sembuh. Tapi malangnya begini pula
jadinya.Rekod hospital pun dah menunjukkan, arwah suami Zarina kerap
mendapatkan rawatan di hospital kerana kecederaan yang pelbagai. Semuanya
berpunca dari sikap agresif puan Zarina. Dia sudah cuba membantu Zarina
pelbagai cara termasuk mengkaji punca puan Zarina sakit begini. Bahkan dia pasang
kamera di rumah untuk pantau kelakuan puan Zarina.”
Sarah tunduk, dia teringat segala
keraguan Zarina pada suaminya.Rupa-rupanya Zarina yang bermasalah.Dia kesal
tidak dapat mengagak masalah mental Zarina dari awal.Dia rasa kesal, tetapi
nasi sudah jadi bubur. Terbayang wajah Amir dengan senyuman manisnya. Memang
dia tidak mengenali Amir yang merupakan junior Zarina di Universiti. Tetapi dia
sendiri tidak mengenali siapa Zarina sebenarnya.Sepatutnya sedari dulu, sewaktu
Zarina kecil datang ke rumahnya menunjukkan bekas-bekas deraan, dia seharusnya
membantu.Tetapi apakah dayanya, dia pada masa itu hanyalah seorang anak kecil
yang tidak berdaya. Air mata Sarah menitis….
Jauhilah kejahatan kerana ia umpama mencapak benih menumbuhkan kejahatan yang baru...