Home Cerpen Alternatif BANGKITLAH KEMBALI BERJUANG
BANGKITLAH KEMBALI BERJUANG
Aurian
13/6/2015 11:03:27
2,436
Kategori: Cerpen
Genre: Alternatif
Bangkitlah dari kegelapan,

Bangkitlah dari kehinaan,

Bangkitlah dari kehancuran,

Kerana luka itu bukan kamu seorang yang rasa…

Aku merenung Johan menuang dadah di atas lapisan timah nipis. Pemetik api dihidupkan, serbuk yang dipanaskan meruap menjadi gas, kemudian disedut dengan corong kertas buatan sendiri. Dalam dan penuh nikmat. Kemudian dibalas pula dengan rokok. Dia menghisap dadah cara ‘ces’ atau bahasa canggihnya ‘chasing the dragon.’ Straw ‘fit’ kosong belang merah putih tergolek di tepi. Aku mengerling sekeliling ruang bilik yang bersepah. Straw berisi heroin, tembakau, rokok, gunting, kertas, lilin, mancis dan rokok daun berterabur di lantai. Nafas kelegaan kuhembus, aku tidak nampak jarum suntikan. Sekurang-kurangnya dia terhindar risiko dijangkiti HIV melalui jarum tercemar. Lengannya juga tidak dipenuhi bekas suntikan menghitam dan menjijikkan.

“Nasib baik kau tak pakai jarum…” ujarku.

“Ah, aku pernah pakai dulu. Aku berhenti bila kawan aku mati sebab urat kelengkangnya pecah. Tak berani aku guna jarum lagi…” Johan sedut ‘ces’ bersahaja. Aku ternganga. Mata kuyunya menangkap cengang di mataku.

“Kawan aku tu memang kaki suntik. Mula-mula dekat lengan, bila rosak dekat kaki pula. Bila urat lain semua dah rosak, urat kelangkang sajalah yang tinggal. Dia akhirnya mati bila urat kelengkangnya rosak juga, pecah!” Johan menggeleng kepala. Aku telan air liur, tanganku menekup telinga. Reaksi spontan kerana kengerian dan nyeri. Mukaku pucat.

“Kalau kau pegi ‘port’ kau akan nampak penagih yang dah teruk sangat, macam mayat hidup, keperluan dadah pun ikut belas kasihan kawan-kawan bagi. Dah tak boleh buat apa, terlantar tunggu mati je.” Johan sambung cerita… Aku picit kepala. Mataku menyorot wajahnya yang putih bersih, dia sebenarnya kacak, sungguh. Rupa menariknya tenggelam dalam rambut yang kusut masai. Tulang pipi menonjol jelas, begitu juga temulang tubuhnya yang ceding. Kulit kering, pucat dengan mata kuyu tidak bermaya. Dia Johan, sepupuku. Percayakah kamu, pemandangan yang aku lihat ini bukan luar biasa. Sudah kutonton puluhan tahun dulu, seawal usiaku lapan tahun!

Semasa aku masih kecil, pakcikku Salleh selalu datang bermalam di rumah. Dia sering meminta aku ke kedai, belikan rokok untuknya. Setakat melihat peralatan ‘ces’ atau ‘dam’ aku sudah biasa. Bila masuk ke biliknya, sering kulihat dia melayur heroin bercampur sedikit air dan perahan limau dalam sudu hingga larut, kemudian disedut ke dalam tabung jarum. Disuntik pada urat lengan. Aku sudah muak, jelak dan bosan. Jika orang melihat aku, seorang gadis yang terdidik baik. Tiada siapapun dapat membayangkan lembayung kelam yang menyelubungi hidupku. Aku hidup dipanggang bara yang tidak membakar, tetapi aku menggelupur pedih. Mataku sarat kecewa melihat orang yang bernama keluarga, hancur relai di depan mataku… Ironinya aku tidak hidup di awang-awangan. Aku membesar menjadi seorang gadis yang realistik. Jelas dengan tujuan hidup dan berjaga dari sesat dalam percaturan dunia. Aku syukur, jalan sukar yang kutempuh membuka mataku pada muka celaka dunia…

“Memang la ‘ces’ kurang risiko dari jarum Jo, tapi kesan jangka panjang ada. Pakcik aku pun mula-mula ambil jarum, lepas tu beralih pada ‘ces’. Penagih tegar sampai tua tak kahwin-kahwin. Sekarang dia dah berhenti hisap tapi kepala macam sasau sikit. Senang cakap tak berapa siuman…”

“Aku tau benda ni rosakkan badan aku dari dalam,” suara Jo tenggelam dalam keluhan.

“Jo, pakcik aku sekarang terlantar sakit dekat hospital. Tak ada siapa sudi jaga. Dia tak ada anak, hidup bergelumung dadah sampai tua. Sekarang dia sakit semua adik beradik susah…”

“Tu la… aku ni perempuan mana la yang sudi nakkan aku…”

“Jo, pakcik aku terlantar tak boleh jalan sebab elastin kaki dia dah kering. Kaki dia lemah sampai tak boleh berdiri. Doktor cakap heroin yang dia hisap selama bertahun ni lah yang lemahkan kaki dia. Benda yang kau hisap tu…”

“Aku tahu…” Johan angguk lemah. Aku mengetap bibir. Bunyi motosikal di luar rumah membantutkan perbualan kami. Johan bangun menjenguk ke tingkap.

“Kawan aku datang…” dia memberi isyarat. Aku mengeluh dan keluar dari biliknya. Bilik yang sukar ditembusi sesiapa kecuali aku. Kerana aku dan Johan sebaya dan rapat sedari kecil. Bila menginjak remaja hubungan kami mula renggang. Aku fikir Johan segan kerana kami makin membesar. Rupanya dia sudah terperangkap dalam dunia khayalan. Kini setelah dewasa barulah Johan bertentang muka denganku, membuka seluasnya pintu rahsia, sudi bawa berbincang. Aku menjenguk Johan di luar. Sebentar kemudian dia masuk dan rakannya beredar.

“Tokan ke kawan kau?” aku bertanya, sedikit buruk sangka.

“Taklah, macam aku juga, dia tolong aku ambil ‘barang’… ”

Aku menghembus keluhan sambil menggeleng kepala. Rakan Johan tadi punya rupa menarik, pakaiannya kemas, tidak kurus kering seperti Johan. Sukar dipercayai dia menagih juga.

“Tapi dia nampak sihat?”

“Baru keluar Pusat…” Johan berlalu masuk ke bilik.

“Baru keluar Pusat, baru sihat, dah menagih balik…” sungutku sendiri. Ini bukan pertama kali aku melihat lelaki yang sempurna fizikal hancur kerana dadah. Pakcikku Salleh yang berwajah iras ibuku juga tegap dan segak… Bukan perkara aneh jika melihat penagih yang berupa kacak, dengan pakaian compang-camping terbaring di tepi kaki lima… Cubalah pergi ke pusat pemulihan, tenunglah wajah-wajah mereka. Bolehkah kamu bayangkan rupa seorang penagih pada wajah-wajah itu? Aku retoris.

Aku ketuk pintu bilik Johan, cuba menyambung perbincangan yang terbantut. Johan buka pintu dengan wajah mamai. Bila pintu itu berkunci aku tahu dia tidak mahu diganggu. Matanya makin kuyu, jauh tenggelam dalam dunia ciptaan sendiri.

“Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih pada kau, sebab masa ayah aku sakit dulu, kau banyak tolong…” Aku akhirnya ke pokok bicara. Arwah ayahku yang mengidap kanser paru-paru terlantar berbulan-bulan di rumah pusaka ini. Ya, kerana asap pembunuh juga, ayahku penagih rokok tegar. Aku hampir putus asa menjaga ayah, tetapi Johan menasihatiku supaya bersabar. Aku keluar bekerja seawal pagi hingga petang mencari nafkah bagi menampung kos rawatan ayah. Semasa ketiadaanku, Johanlah yang mengurusi ayahku. Ibuku pula sudah lama bercerai dengan ayah. Dikala saudara mara lain tidak sanggup, hanya penagih dadah inilah yang membantuku dengan ikhlas, mengenepikan loya dan jijik najis busuk yang menggelodak anak tekak. Ironi bukan?

“Tak ada apalah, aku tak mahu kau menyesal macam aku. Masa arwah mak aku sakit dulu, aku tak jaga.”

“Masa mak kau sakit, kau masih budak kecil Jo…”

“Kekesalannya tetap sama, aku tak sempat berbakti pada dia…”

“Yelah aku faham... terima kasih nasihat dan tolong aku. Kalau bukan kau, siapa lagi yang sanggup tolong basuh kencing berak arwah ayah. Tolong angkat dia bawa ke hospital…”

“Aku ni jahat, aku ni banyak buat jahat. Itu sajalah kebaikan yang mampu aku buat… Apa lagi…” dia menepuk dada kemudian tunduk sendu… Aku diserkup sebak serta merta. Aku tutup pintu perlahan-lahan, aku tahu dia mahu tidur, kesan dadahnya sudah menjalar ke urat saraf. Aku tahu dia sudah lali, mati rasa dengan cercaan, hinaan keluarga dan masyarakat.

“Kau tengok semua barang dalam rumah ni. Tepak sirih, dulang, bekas lilin tembaga, semua lesap dijual Jo!” bentak makcikku melepas kecewa di suatu hari. Aku diam sahaja, Benar… rumah ini rumah pusaka yang lenyap sentuhan pusakanya. Barangan antik, sayang… Dahulu, arwah ayahku juga berang apabila koleksi kesayangannya berupa keris dan wang siling lama, aksesori klasik, hinggakan wang kertas zaman jepun bergambar pokok pisang lesap dikebas pakcikku Salleh. Sayang, itu sajalah kenang-kenangan dari ayah. Johan atau pakcikku mungkin menjualnya serendah RM10 hanya untuk sekelumit heroin. Aku ingat lagi semasa usiaku 12 tahun, aku mengumpul duit raya sebanyak RM200 untuk membeli sebuah Walkman. Pakcikku Salleh menawar diri membelikan. Dia dengan gelojoh mencapai duit ditanganku dengan mata penuh helah. Selepas itu dia langsung hilang berbulan-bulan. Aku menangis teresak-esak. Bayangkan betapa kecewanya anak kecil yang berpanas berhujan mengumpul duit raya. Kemudian dicuri depan batang hidungnya ini! Itu baru sedikit, harta benda adik-beradik sendiri seperti motosikal dan barang kemas acapkali dikebas dan digadai. Sebesar mana kelukaan yang harus kami tanggung. Sekeras mana mulut mencemuh, jika mereka kembali kami tetap terima juga. Atas nama keluarga…

Esok paginya, aku mengetuk pintu bilik Johan.

“Jo aku dah nak balik KL. Nanti raya aku datang lagi…”

Johan angguk. Kulihat wajahnya segar sedikit hari ini. Tetapi masih di posisi semalam, menghadap alatan menghisap dadah. Aku mengeluh lantas menghampirinya. Aku menarik nafas panjang, kurenung wajah Johan dalam-dalam… Hati itu punya mulia, yang terpasung dalam dunia khayal hina dina. Johan seolah mendengar suara batinku yang merintih…

“Kau tahu? aku ni sebenarnya sakit…”

Aku angguk.

“Kau tahu, apa ubat penyakit aku ni?”

Aku kaku, mataku tidak berkelip menatapnya, tagih jawapan yang aku sendiri kurang pasti.

“Ubat penyakit aku ni cuma MATI.”

Aku tertegun, lidahku kelu. Aku mencari-cari patah kata balas, tapi gagal. Aku bangun longlai, melangkah lemah meninggalkan dia... Aku tahu dia sudah acap kali keluar masuk pusat pemulihan. Tetapi tetap menagih. Aku tahu dia bebas dengan jaminan parol, beberapa bulan sekali wajib lapor diri ke balai polis. Dia selalu culas walau tahu risiko dikenakan hukuman lebih berat. Bukan dia sahaja, ramai penagih lain mengulang tabiat buruk walau sudah dirawat berkali-kali. Johan dan ramai lagi sepertinya masih gagal ketemu jalan keluar... Apalah makna bantuan dan sokongan, tanpa kekuatan dirinya sendiri. Aku melangkah longlai keluar dari rumah pusaka nenekku itu. Air mataku bergenang, perkataan terakhir Johan terngiang-ngiang. Mati… Aku menggeleng kepala… Bangkitlah, kembali berjuang Johan. Walau bukan untuk dirimu tetapi untuk kami yang mencintaimu… yang bernama keluarga. Titis yang berderai dari tubir mataku penuh berharap, bibirku mengucap doa… Bangkitlah wahai kamu yang senasib dengan Johan, bangkitlah jika bukan untuk dirimu, tetapi untuk Tuhan, untuk kami yang mencintai.

Kerana luka itu bukan kamu seorang yang rasa…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.