Home Cerpen Umum Labah Labah
Labah Labah
Aurian
15/4/2013 15:18:34
4,382
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Nuri masuk ke bilik air untuk menggosok gigi. Terpisat-pisat dia mengadap cermin menggosok mata yang berurat merah. Berus dan buih-buih berperasa pudina masih memenuhi mulutnya. Dia menjenguk di bawah pangkin kayu panjang di tepi cermin dan singki. Atas pangkin itu penuh dengan sabun, shampoo dan berus gigi. Labah-labah itu duduk diam tidak bergerak. Badannya keperangan hitam berbulu halus. Kakinya berbelang hitam dan putih. Menunggu dan terus menunggu tanpa jemu. Paip air dipulas dan berlumba-lumba air keluar dari mulut paip. Nuri menadah air ditapak tangan, hirup ke dalam mulut dan berkumur. Percikan air tempias ke sarang si labah-labah, pantas labah-labah bergerak makin ke bawah pangkin, menyembunyi. Menyelamatkan diri. Selesai memberus gigi Nuri mencuci muka pula, labah-labahnya sudah dilupakan. Selesai semuanya Nuri menjenguk lagi, dia mencari-cari, mana labah-labahnya?.. Oh di situ sedang bersembunyi, maaf ya lelabah, air tempias padamu. Agaknya umpama hujan membasahi rumahnya. Hari ini Nuri lihat labah-labahnya berperut kempis, kasihan kamu.. sudah berapa hari kamu tak makan. Nuri pernah membaca info sains, menurut info jika seharian atau berhari-hari tidak ada serangga yang terperangkap di sarangnya, selagi itulah labah-labah akan menahan kelaparan. Ah kasihan kau lelabah, pastu kau kebuluran. Bagaimana kau boleh tahan lapar begitu lama, kagum aku kepada ketabahanmu sang labah.

Tiga hari lepas Nuri lihat sang labah ada habuannya. Ada agas kecil terlekat di sarangnya. Sang labah bergerak pantas dan kelihatan gembira. Dengan dua tangan panjang hadapannya dia menggulung-gulung agas dengan getah dari tangannya. Hingga jadi boncot seperti mayat. Nuri rasa gembira, ada rezeki si labah, tetapi kasihan juga dengan agas. Apa nak buat; hukum alam memang begitu, kena membunuh untuk terus hidup. Agaknya labah-labah nampak Nuri perhatikannya. Dia takut Nuri mahu mencuri makanannya, lantas dia lari ke dalam membawa agasnya ditangan. Duduk diam memeluk agas. Bagaimana dia makan? Dikunyah kah?, digigitkah? Nuri tidak nampak, giginya terlalu kecil. Kalau ada kanta pembesar pasti sudah diintipnya. Entah gila apa Nuri membela si labah-labah, eh, dibela kah?, kalau dibela pasti Nuri akan bagi makan. Bukan Nuri tidak mahu bagi makan, dia tidak tahu bagaimana mahu beri. Hari itu dia tangkap seekor agas di dapur. Agas itu mati dikepit dijarinya, seboleh-boleh mahu dilekatkan di sarang labah-labah. Tetapi sukar mahu lekat, labah-labah itu pula lari ketakutan melihat jari Nuri yang macam raksaksa. Sudah berhari-hari Nuri tunggu, tidak dimakan juga si agas. Si labah tidak tahu, kerana agas tidak bergerak, dia tidak tahu itu boleh dimakankah?. Kalau mahu dilekat agas yang hidup bagaimana, terbanglah nanti tidak dapat dilekat. Nuri sudah tidak ada cara, tidak tahu lagi bagaimana mahu bantu labah-labah dapat makanan. Mujur labah-labah balik ke sarang setelah lihat tangan gergasi Nuri. Kalau dia ketakutan pasti dia lari tidak mahu balik lagi. Nuri rasa kecewa, tidak dapat membantu si labah.

Ini bukan pertama kali dia gagal. Dulu dia ada bela ikan laga warna biru, hijau, merah, putih. Semua warna yang ada dibelinya. Mati ikannya kerana air hujan yang diberi tidak cukup bersih. Orang kata air hujan sekarang ada kimia dari asap nitrogen. Asap kenderaan, asap kilang, macam-macam bahan kimia di udara melekat dalam air hujan. Mahu beri air paip lagilah tidak boleh, ada kalsium dan kimia rawatan air. Nuri kecewa, dulu ada dibela kucing, kucing jantan itu hilang dicuri orang agaknya. Kalau dibela dan dijaga baik-baik oleh orang itu tidak mengapa. Nuri takut ditangkap orang kaum pendatang dibuat sup. Nuri tidak sanggup mengenangkan kucingnya dilibas ke dinding atau ke batu sampai lembik. Kemudian dibakar hidup-hidup sebelum bulunya disiat. Dipotong-potong dan digoreng. Nuri menekup muka, menggigil, kasihan si Hitam kalau nasibnya begitu. Marah benar Nuri pada kaum pendatang, kucing itu binatang bertaring dan memburu dengan taring dan kukunya, mana boleh dimakan. Zalim, sangat zalim. Mahu sahaja dia ke hujung kampung menyerbu rumah orang pendatang itu dan ditanya. Tapi mereka mahu mengakukah?. Lebih buruk kalau mereka tidak faham apa yang Nuri tanyakan. Bukan Nuri mahu menuduh kaum pendatang. Tapi sejak mereka beramai-ramai datang ke sini bekerja kilang, kucing dan anjing liar makin berkurangan. Bukan Nuri tidak pernah terlihat orang pendatang berkejaran mengejar kucing macam mengejar ayam. Bahkan pernah melihat mereka membawa karung penuh dengan kucing. Anjing mati kena langgar pun dipanggangnya. Mahu dimarah atau ditegur takut bergaduh pula. Kaum pendatang terkenal keras kepala. Berapa kali jiran-jiran merugut kucingnya hilang. Yang dituju orang pendatanglah, kucing orang pun mahu dikebasnya. Mana ada manusia lain di tanah Malaysia ini makan kucing dan anjing. Ah, Nuri mengeluh, hanya doa untuk si Hitam, kucing jantan kesayangannya, yang mulutnya bising macam murai. Matanya tajam macam helang. Harap-harap selamat dan tidak menderita bernasib malang.

Marah juga Nuri pada kaum bukan bumiputra. Sesetengah mereka makan Musang, tenggiling, monyet, ular, dan entah apa-apa lagi yang pelik-pelik dimakannya. Katanya boleh jadi pandai. Boleh elak penyakit. Mengarut semua itu. Nuri yang cuma makan ayam, daging lembu dan ikan juga boleh pandai. Dapat juga masuk universiti. Tak pernah dia masuk hospital sakit teruk. Lagi dia marah budak-budak melayu semua pakat-pakat tangkap tenggiling dan musang. Mahu jual pada mereka. Sudah ada pasaran, berlumba-lumbalah orang yang tak makan pun tangkap juga sebab duit. Hari-hari Perhilitan tangkap orang seludup binatang eksotik. Bukankah sudah cakap binatang itu dilindungi. Banyak lagi benda lain boleh dimakan. Kalau sudah pupus baru tahu, anak cucu tak pernah nampak tenggiling, nampak musang. Cuma boleh tengok gambar. Nuri tak mahu anak cucunya senasib dengannya. Pernah nampak burung Dodo hanya dalam gambar hitam putih. Macam itik tapi tak sama. Macam mana sudah pupus berpuluh tahun sudah.

Oh, teringat dulu adiknya pernah bawa balik anak burung hantu. Terjumpa masa panjat pokok tangkap ayam hutan. Besarnya, belum tumbuh habis bulu sudah sebesar ayam jantan muda. Berdirinya menggigil lagi tapi cakarnya sudah sebesar cakar ayam jantan matang. Walhal badannya masih botak, belum cantik seperti yang selalu dilihat atas pokok. Hebat sungguh senjata haiwan pemangsa ini. Agaknya ibunya besar mana?. Nuri pernah lihat di atas pokok, nampak besar tapi tidak tahu besar mana kalau depan mata. Nuri tidak pandai dengan jarak. Bunyinya pula mendesir macam bunyi ular. Kucing dengar lari lintang pukang. Ditanya adiknya mahu bagi makan apa?. Katanya dedak. Gila apa ibunya bagi makan tikus. Mahu kau tangkap tikus?. Disumbat juga dedak bulat-bulat dicampur air biar melekat. Malam masa tidur terdengar anak burung hantu dua ekor panggil ibunya. Bunyinya sayu mendayu-dayu, sangat kasihan. Bila didengar seakan mahu menangis. Tidak tergambar sedih bunyinya. Nuri kejut adik, suruh dia mendengar.

“Sedih kak aku dengar dia bunyi panggil ibunya. Macam nak nangis…” Nuri tersenyum, adiknya sudah mengerti. Esok disuruh masuk hutan, pulangkan anak burung itu pada ibunya. Harap ibunya tidak putus asa mencari dan menunggu.

Ingat pula dia pada Kuning anak kucing yang dikutipnya tepi jalan. Belum besar mana lagi, sudah mati termakan rumput beracun yang diracun pakcik depan rumah. Manjanya bukan main. Habis tangan dan kaki Nuri digigit manja. Berlari ke sana ke mari ketitiran. Dia tidak ada kawan, masih kecil tidak beribu dan beradik. Bermain seorang ke sana ke mari. Dimana Nuri di rumah dia akan bermain dengan Nuri, tidur di atas ribanya. Tidur di celah kakinya. Bijaknya kalah kucing lain, bila dimarah bising masa orang tengah makan, tahu senyap. Bila dimarah tak kasi masuk, tahu duduk diam depan pintu tak berani masuk. Bijaknya buat Nuri lagi sayang. Dua minggu Nuri menangis tidak henti-henti. Masih terngiang-ngiang dia mendengar Kuning menangis kesakitan. Nuri tidak tahu apa yang perlu dibuat. Dia tidak tahu apa sakitnya Kuning. Dua tiga hari dia lemah, tidak mahu makan. Badannya panas. Hari terakhir Nuri lihat dia dibawah kerusi, mengiau menangis minta tolong Nuri, satu malam Nuri tidak dapat tidur dan menangis. Muka kuning kembang, Nuri panik. Badan Kuning sudah senget, dia bangun sekejap kemudian duduk lemah lagi. Menjerit dia dengan sayu dan Nuri masih tidak tahu buat apa. Kelihatan sangat seksa si Kuning. Pagi itu dia lihat penyeksaan Kuning sudah berakhir, dia sudah mati dengan mulut berbuih bawah kerusi. Barulah Nuri tahu Kuning termakan racun. Marah dia pada Pak Mat yang meracun rumput, dia ke rumah pak Mat mengadu. Pak Mat kata kalau kucing termakan racun minumkan air kelapa sebagai penawar. Mana Nuri tahu Kuning keracunan. Jangankan kelapa, pergi ke klinik haiwan pun Nuri sanggup, tapi malam-malam mana ada klinik haiwan buka. Nuri kecewa lagi, dia salahkan dirinya tidak pandai menjaga haiwan. Semuanya mati dan paling dia tidak tahan kesedihan yang dia rasa. Tidak tergadai lagi. Berhari-hari menggogoi menangis, Kuning kawannya, teman masa sunyinya. Nuri salahkan dirinya. Sekarang dia tidak mahu membela apa-apa lagi. Yang dia ada cuma labah-labah. Harap-harap labah-labahnya tidak mati sedih…

Pintu bilik air diketuk berkali-kali, makin lama makin kencang. Nuri terkejut. Murni di belah pintu sudah lama menunggu. Apa dibuat Nuri lama-lama senyap dalam bilik air. Nuri diam membisu, takkan mahu kata dia tengok labah-labah. Maunya kena marah. Suatu hari Murni marah Nuri tidak mahu basuh cawan atas meja. Bukan Nuri tidak mahu basuh, tapi… Nuri diam, disuruh lagi, Nuri kata tunggu semua semut yang makan air manis dalam cawan turun dulu. Tak mahu dia lemaskan semut dalam air sabun. Murni tersentap dengan jawapan Nuri. Dia terus bawa cawan ke dapur dan dibasuhnya. Nuri menggigit bibir, ah habislah mati semut. Murni kata Nuri gila. Nuri diam, agaknya betul dia gila, tak tahu kenapa dia ada perasaan pada semut, orang lain tidak. Ah semutkan makhluk bernyawa juga. Semut kan setiakawan, berdisiplin, dan rajin kerja. Minggu lepas Siti menggapai penyapu merobohkan sarang labah-labah di siling rumah. Nuri baru bangun tidur dan terdengar suara Siti.

“Ah, ada tuan rupanya..”, rujuknya pada labah-labah yang berjatuhan dari sarang. Nuri pantas ke ruang tamu. Rupa-rupanya labah-labah di siling lagi besar, sebesar ibu jari. Berjatuhan empat lima ekor ke lantai. Habis sarangnya dirobohkan Siti. Umpama traktor gergasi merobohkan rumah. Berlari ketitiran menyelamatkan diri. Nasib baik Siti baik hati, tidak dibunuhnya satu persatu. Dibiar lari masuk bawah kerusi.

“Kasihan rumahnya roboh..” ucap Nuri simpati, mana mahu labah-labah pergi membawa diri. “Memanglah kasihan. Tapi tak elok orang tengok rumah bersarang labah-labah. Nanti orang kata anak dara pemalas, rumah bersawang rawang”. Tegas Siti. Nuri terdiam tidak berkata apa. Dia diam kalah sentiasa. Kasihan, kasihan, dunia ini memang tak punya simpati. Tapi makhluknya sentiasa tabah dan bangun kendiri.

Pagi ini Nuri ke bilik air lagi, senyum sendiri dia melihat labah-labahnya ada lagi. Nasib baik kau tidak dijumpa Siti, tidak dijumpa Murni. Selamatlah kau mencari rezeki dan berlindung di sini. Eh, hari ini ada benda pelik berlaku. Badannya sudah berwarna lain sedikit. Warnanya lebih pekat. Oh terlihat Nuri kulit kelongsong kempis terumbai-umbai melekat di sarang. Kau bersalin kulit rupanya, sekarang sudah besar sedikit. Sudah makankah kau?.. Tak terlihat kau menggulung boncot. Kasihan kau si kecil, kau tidak terlihat, tidak terkenang, tidak terendah. Entah suka atau tidak diberi perhatian si Nuri. Entah tahu atau tidak ada yang mengenangnya selain Penciptanya. Tentu Tuhan mengenangnya sentiasa, sudah dibikin mestilah disayang. Seperti Nuri sayang pada papan-papan kecil yang dibuat model rumah. Yang dilakar-lakar hingga tidak tidur. Yang bertahun-tahun dipelajari untuk membuatnya. Hari-hari dia ke kelas melawan peluh dan terik mentari. Ke hulu ke hilir mencari ilmu, mereka rumah, melukis, membuat model. Mana tahu satu hari bila sudah keluar universiti. Sudah dapat segulung ijazah. Sudah diupah orang untuk reka rumah dan bangunan. Sudah boleh di panggil arkitek, yang dicita-citakannya dari kecil. Sudah dipuji-puji cantiknya ilham dia reka rumah dan bangunan. Ah, sayangnya Nuri pada model rekaannya. Macam itu juga sayang labah-labah pada rumah rekaannya, ciptaannya, buatan tangannya. Labah-labah juga arkitek sepertinya.

Mestilah Tuhan juga sayangkan Nuri, sayangkan Hitam, sayangkan Kuning, sayangkan ikan laga, sayangkan labah-labah, musang, tenggiling, burung hantu yang diciptanya. Tapi sayangkah kita pada ciptaan tuhan ini?. Sedang Nuri mengira-ngira, asap memasuki tingkap kecil bilik air. Baunya tengik menyesakkan nafas. Labah-labah pun ketakutan, ke sana ke mari tidak tenang. Nuri pantas keluar dari bilik air. Mengikut dari mana asap datang. Terkejut dia melihat julangan api di dapur. Nuri menjerit panik, “Apiii!!!!!”. Siti dan Murni keluar dari bilik terkocoh-kocoh.

“Ahh!! Gulai akuu!!”, jerit Murni. Dia sudah lupa tadinya dia panaskan gulai. Sudah terlalu panas hingga kering, menyambar ke kain buruk di sebelah, menyambar pula ke surat khabar alas lantai, menyambar pula ke tikar getah. Siti ambil tuala basah cuba memadam api, tapi gagal. Mereka bertiga sudah ketakutan. Nuri masuk ke bilik ambil beg tangannya, ambil barang penting. Ambil model rumahnya. Ambil baju sikit. Murni dan Siti juga buat benda yang sama. Baru mahu masuk lagi ambil baju, api sudah sampai ruang tamu. Jiran-jiran sudah datang berkerumun nampak asap. Nuri mahu masuk lagi ambil apa yang disayang. Dia mahu ambil labah-labah juga. Dia dihalang, mana boleh nak ke bilik air. Kena lalu dapur. Sudah dihalang api. Nuri menangis, Siti menangis, Murni lagi tinggi laungan tangis rasa bersalah. Api jadi, sebab silapnya. Nuri hanya mampu memandang rumahnya dijilat api. Bomba datang lama lagi. Habislah barang-barangnya dalam rumah. Baju, buku, TV, kerusi dan meja. Barang-barang belajar mereka. Selamat yang penting sempat diselamat. Tapi itu semua barang tidak bernyawa. Bagaimana labah-labahnya, semutnya, sempat larikah mereka?, Nuri menangis lagi sekuat-kuat hatinya. Jiran-Jiran sibuk menyiram air membantu. Api tak hairan juga, marak lagi. Nuri kecewa lagi, dia gagal berkali-kali selamatkan makhluk Allah yang ditengok, dibela, disayangnya hari-hari. Macam Hitam, macam Kuning, macam ikan Laga. Agaknya beginilah sedih labah-labah rasa bila rumahnya dirobohkan. Menangis dia melihat tempat berlindung sudah hancur. Sudah tinggal jadi abu. Larilah selamatkan diri dengan sedih dan meminta belas. Kalau sudah roboh dibina lagi dangan bersusah-susah. Tapi sedihnya masih ada. Nuri memandang rumahnya dijilat api. Nasib yang kecil macam semut, labah-labah, pada makhluk yang besar sedikit. Si kecil tak daya melawan si besar macam tenggiling, macam musang waima manusia yang lebih berkuasa. Tapi nasib manusia yang besar ini tetap pada yang lebih besar di atas. Nuri memandang langit, cuba melihat Tuhan dan kekuasaannya. Memandang model rumah yang sempat diselamatkannya. Model rumah yang diharap bakal dibina satu hari nanti. Dia menangis dan terus menangis……..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.