Home Cerpen Cinta Aku Dan Kamu
Aku Dan Kamu
Isha Idiaz
23/2/2013 18:48:02
6,881
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Cerpen : Aku dan Kamu

Oleh : Isha Idiaz

*****

AMIR menoleh sekali lagi ke arah gadis yang sedang tersenyum itu. Walaupun pandangannya terhalang dek botol-botol minyak wangi pelbagai jenama di atas rak itu, namun senyuman gadis itu mengingatkannya kepada seseorang. Otaknya bekerja keras mengingatkan milik siapa senyuman itu.

“Awak tengok siapa tu?” Tegur suatu suara di belakangnya. Amir terperanjat. Hampir sahaj tangannya merewai botol-botol minyak wangi di hadapannya itu. Tangannya secara automatis mengurut-urut dadanya yang terasa berdebar kencang.

Aisyah pula terjenguk-jenguk cuba mencari punca perhatian Amir tunangannya itu beralih daripada memandang wajahnya yang sememangnya cantik dan dirinya yang menjadi kegilaan lelaki itu. Bukannya mahu berbangga diri, namun itulah kenyataannya. Bukan sekali dua lelaki-lelaki di luar sana mengganggunya walaupun terang-terangan Amir berada di sampingnya. Dia sahaja yang malas melayan lelaki yang seperti itu. Untung Amir itu jenis yang tak cemburu buta. Jika tidak, kacau-bilaulah hidupnya.

Amir menguak ke belakang rambut depannya yang jatuh ke dahi. Setidaknya, dapatlah menutup rasa bersalah yang bertandang di hatinya saat itu. Mana tidaknya, tunang sudah ada di sebelah tapi mata ni masih menggatal nak pandang awek cun di luar sana.

‘Aish. Bukan pandang awek cunlah. Senyuman dia je yang aku pandang,’ bisik hati kecil Amir membela dirinya sendiri. Dahinya yang berkerut-kerut itu menambah rasa pelik di hati Aisyah.

“Ha, ni dah kenapa pula? Tadi berangan. Sekarang dah gaya orang tak betul dah awak ni. Betul ke awak ni tunang saya Encik Amir?”

Amir buat muka tak bersalah. Tetapi aura-aura yang keluar daripada Aisyah yang menyeramkan ala cerita bunuh-bunuh tu membuatkan dirinya cepat-cepat mengangkat kedua-dua tangan ke atas tanda menyerah kalah.

“Dengan awak, saya tak boleh nak tipu,” ujar Amir akhirnya.

Aisyah menarik muka masam.

“Ada hatilah tu nak menipu,” ujar Aisyah dalam nada sedih.

Dia memalingkan tubuhnya membelakangkan Amir. Merajuk kononnya.

“Alalala, sejak bila pandai merajuk ni?” Amir menghampiri Aisyah.

Diam. Tiada respon dari Aisyah.

“Saya tarik hidung tu nak?” ujar Amir lagi. Kali ini dia sudah berada betul-betul di hadapan Aisyah.

“Ke nak saya tampal-tampal stick note dekat dahi mintak maaf macam Ikram dalam cerita Hingga Hujung Nyawa tu?” Amir cuba menduga.

Pantas sahaja Aisyah ketawa.

“Gila ke apa?” ujar Aisyah dalam ketawa yang masih bersisa.

“Bukan gila. Saya nak setia dengan awak sampai hujung nyawa,” ujar Amir bersungguh-sungguh cuba meyakinkan Aisyah.

“Dah. Jangan nak over sangatlah ganti tempat Zain tu,” ujar Aisyah.

Amir juga akhirnya ketawa. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja otaknya teringatkan adegan yang paling dia benci di dalam drama itu bila melihat Aisyah merajuk. Mereka berdua meninggalkan kedai itu apabila sudah membuat pembayaran. Dalam diam-diam, Amir masih mencari gadis tadi. Sebetulnya, dia cuba mengingati, milik siapakah senyuman yang dilihatnya pada gadis itu.

*****

MASUK kali ini sudah berapa kali Amir membolak-balikkan tubuhnya di atas tilamnya yang empuk itu. Entah kenapa malam ini tilam empuk itu tidak berjaya menghanyutkan dia kea lam mimpi seperti malam-malam sebelumnya. Tilam yang empuk sudah dirasakan keras seperti papan. Akhirnya, Amir duduk dan bersandar di hujung kepala katil. Lampu tidur di sebelah katil dinyalakan. Kini, bilik berlatarkan warna coklat cair itu naik serinya bermandikan remang-remang cahaya lampu tidur yang bewarna kuning itu.

Sebuah keluhan dilepaskan. Sebaik sahaja dia menutupkan mata tadi, wajah gadis yang tersenyum itu bermain di mindanya. Dan setiap kali itu juga di rasakan dadanya berdebar kencang.

‘Aku mimpi kot ni,’ Amir bermonolog dalam hati. Namun di sudut hatinya yang lain, Amir mahu membuktikan telahannya tadi salah. Maka, ditampar pipinya sekuat hati.

“Aduh!”

Tahu dia tidak bermimpi, pantas Amir berbaring kembali di atas tilam empuknya tadi lalu dipejamkan matanya perlahan-lahan. Kali ini, dia mencuba teknik baru untuk menghilangkan wajah gadis yang sedang tersenyum itu.

Amir membayangkan dia kini sedang berada di sebuah air terjun yang sangat cantik. Di tepi air terjun itu, dia melihat keindahan alam sekitar yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau. Kedengaran juga bunyi burung-burung yang sedang menyanyi riang. Namun tiba-tiba, dia mendengar suara seseorang ketawa di belakangnya. Dia berpaling ke belakang dan…

Damn!” bentak Amir lalu langsung duduk di birai katil.

Tekniknya tadi tidak membuahkan hasil. Gadis itu masih menghantui dirinya. Sudahnya, malam itu Amir menghabiskan masa dengan menghadap kanvas putih yang ada di bilik kerjanya dengan melakar wajah gadis itu. Hampir jam empat pagi, akhirnya Amir mengukir senyuman puas di bibir. Semanis senyuman gadis yang dia lakar tadi.

Amir menguap. Letih. Itu yang dirasakan saat ini. Dilihat sekali lagi jam yang tergantung di bilik kerjanya. Jam empat sepuluh minit. Amir berkira-kira untuk tidur waktu-waktu begini. Kalau tidur, alamatnya bukan subuh gajah je. Subuh dinasour pun ada potensi di capainya.

Sudahnya, Amir kembali menuju ke bilik tidurnya. Duduk di birai katil. Memandang ke seluruh isi bilik. Meja solek masih di sudut tepi sebelah tingkap. Pencahayaan tu penting kalau nak bersolek, kata mama. Almari baju masih ditempat yang dahulu. Dan, matanya tertancap pada almari kecil yang menempatkan lampu tidurnya di kiri dan kanan katil bersaiz king itu. Telefon bimbitnya dicapai.

Amir tersenyum sendiri. ‘Setidaknya, ada juga benda yang boleh dibuat pagi-pagi ni.’ Sebuah pesanan ringkas dikirimkan ke nombor Aisyah.

Aisyah mucuk-mucuk, bangunlah! Tidur je!

Kemudian, Amir pula tersengih-sengih sendiri umpama kerang busuk sementara menanti balasan daripada Aisyah.

Telefon bimbitnya bergetar. Cepat-cepat Amir melihat pesanan ringkas yang masuk.

Amir bacin-bacin, tak ada kerja ke selain daripada kacau orang pagi-pagi buta macam ni? Pergi tidurlah! See you next morning!

Amir tersenyum lagi.

‘Eloklah tu, seorang busuk, seorang lagi bacin,’ bisik hati kecilnya riang.

*****

SEAWAL jam tujuh pagi Amir sudah terpacak di hadapan Aisyah. Aisyah berlari-lari anak menuruni tangga apabila Amir mengatakan dia sudah berada di hadapan rumah.

“Amir! Awak ni dah kenapa pagi ini agaknya!” Sempat Aisyah menjerit dari corong telefon. Amir pula hanya ketawa mendengar Aisyah memarahinya.

Sewaktu menuruni tangga, Puan Aina sempat melihat tangan kanan anak gadisnya itu memegang tas tangannya, tangan kiri pula memegang beberapa buah fail.

“Eh Aisyah, kenapa kelam kabut sangat ni?” tegur Puan Aina.

Puan Aina menggeleng-geleng beberapa kali melihat anaknya pagi itu. Tidak cukup dua tangan, Aisyah menggunakan giginya untuk membawa gugusan kunci.

“Ha, eloklah tu, kunci tu kalau tertelan segugus masuk dalam perut macam mana? Astaghfirullahalazim. Cubalah molek sikit perangai tu Aisyah. Awak tu dah tunang orang,” bebel Puan Aina lagi. Puan Aina membuntuti langkah Aisyah.

Aisyah singgah di meja makan di ruang tengah. Melihat kalau ada apa-apa yang boleh di sumbat ke dalam mulutnya selain daripada segugus kunci tadi. Kunci yang tadi di mulut, sudah di masukkan ke dalam tas tangannya. Takut juga kata-kata mamanya tadi diaminkan oleh Malaikat dan sungguh-sungguh dia tertelan kunci tu nanti macam mana? Tak ke naya?

Setelah meninjau makanan di atas meja makan itu, Aisyah cuma mengambil sekeping roti bakar dan digigit di mulutnya.

“Tak duduk dulu sarapan? Sungguhlah budak ni, tak senonoh perangai,” tegur Puan Aina.

“Tak sempatlah mama. Tu Amir tu dah ada dekat luar. Tak tahulah apa mimpinya pagi-pagi buta macam ni dah terpacak dekat depan tu,” bebel Aina.

Mana tidaknya, tidak pernah Amir datang jam tujuh pagi menjemputnya. Hari ini, angin apa entah buat si Amir ni datang awal. Selalunya dia yang terpacak depan pintu pagar ni menunggu Amir sambil memikirkan alasan kenapa terlambat ke pejabat. Tapi hari ini dia bakal menjadi tugu di hadapan pejabat menunggu pintu terbuka.

“Aisyah, saya dengar tu awak mengumpat pasal saya,” laung Amir dari luar. Dia sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat Aisyah yang kelam-kabut keluar dari rumah.

“Kamu berdua ni macam budak kecil. Yang seorang suka menyakat, yang seorang tak retilah nak beralah,” ujar Puan Aina.

Kadang-kadang, bila dilihatkan perangai anak dan bakal menantunya itu Puan Aina pening. Dia selalu tertanya-tanya, bersediakah mereka memikul tanggungjawab sebagai suami isteri kelak jika sudah diijabkabulkan.

Aisyah meletakkan fail yang dibawanya tadi di tempat duduk belakang. Pintu belakang ditutup. Tangan Puan Aina dicapai lalu dikucup. Pipi mamanya itu dicium. Kemudian Aisyah meloloskan diri ke dalam kereta Perdana milik Amir. Melihat Amir yang belum lagi memasukkan gear reverse,Aisyah tertanya-tanya.

‘Tadi nak sangat cepat. Sekarang orang dah masuk dalam kereta tak nak jalan pulak,’ getus hatinya.

Amir pula hanya tertawa melihat Aisyah.

“Kenapa?” Aisyah akhirnya bersuara.

“Tu,” ujar Amir sambil menunjukkan ke arah kaki Aisyah. Aisyah turut sama memandang ke arah kakinya.

“Awak nak pakai kasut cap semulajadi ke pejabat?”

Sempat Amir mengusik Aisyah dalam keadaan begitu. Merona merah wajah Aisyah. Namun dia sedaya mungkin berlagak sahaja. Aisyah turun dari kereta dan berlari-lari semula ke arah pintu rumahnya.

“Mama… Jangan tutup pintu dulu. Aisyah lupa ambil kasut!” laung Aisyah dari luar.

Amir menghamburkan sisa tawanya yang di tahan sejak tadi.

*****

NAH, betullah telahannya, hari ini dia dengan hormatnya telah menjadi tugu di hadapan pejabat ini. Semua gara-gara Amir. Puas juga dia dibahan oleh Amir sepanjang perjalanan tadi.

“Kasut cap semula jadilah, apalah,” dengus Aisyah perlahan.

Bila difikirkan kembali peristiwa pagi tadi, Aisyah tertawa. Dikeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya. Sebuah pesanan ringkas dikirimkan ke Amir.

Ada ubi, ada batas. Ada hari, boleh balas.

Amir tersenyum membaca pesanan itu. Hari ini dia juga tidak tahu kenapa dia mahu terus mengusik Aisyah. Maka, sebuah pesanan ringkas dihantar kembali ke Aisyah.

Ubi buat apa. Orang nak lunchKenny’s Rogers nanti. Orang tu makan jelah ubi.

“Amir!” Terkeluar jeritan itu dari mulut Aisyah.

Amir, kalau tidak menyakat dia satu hari tidak sah.

*****

KETUKAN di pintu biliknya membuatkan fokus Amir pada kerjanya terganggu seketika.

“Masuk!” Lantang suaranya menjerit dari dalam tanpa mengalih wajhanya dari dokumen yang berlambak di atas mejanya itu.

“Pagi Encik Amir,” tegur suatu suara yang sangat dikenalinya. Gadis kecil molek yang berdiri di hadapan meja Amir menanti respon dari majikannya itu.

Yes Shiela. Apa schedulehari ini?” soal Amir seperti selalu.

Shiela mengangguk walaupun dia tahu majikannya itu tidak melihatnya. Satu pejabat ini tahu kalau ada manusia yang hati beku macam ais dalam dunia ini, pasti Encik Amirlah orangnya. Dia yang sudah hampir lima tahun berkhidmat kepada majikannya itu malah sudah lali dengan sifatnya yang begitu. Jadi dia tidak pernah ambil pusing dengan kata-kata orang sekelilingnya mengenai majikannya itu. Dia juga tidak faham bagaimana Cik Aisyah boleh bertahan dengan Encik Amir.

“Ha, awak termenung apa pula tu Shiela?,” sergah Amir.

Shiela tersenyum sumbing apabila disergah begitu. Rasa mahu tercabut jantungnya. Cepat-cepat dia membuka planner dan membacakan jadual Encik Amir hari itu yang agak lapang dibandingkan semalam.

Setelah menerima arahan selanjutnya dari Amir, Shiela pantas meloloskan dirinya daripada bilik majikannya itu. Tetapi belum sempat pintu itu tertutup rapat, Shiela menjegulkan kepalanya di muka pintu kembali. Amir memandang wajah gadis itu dengan pandangan pelik.

“Ha, apa lagi?” soalnya serius.

I forgot to tell you Encik Amir. We got a new employee today. Untuk ganti tempat Kak Yah yang ambil cuti bersalin,” ujar Shiela dalam satu nafas.

Do you want to meet her?” soal Shiela untuk meminta kepastian.

Next time,” ujar Amir dan kembali menatap dokumen di hadapannya.

As you wish sir,” ujar Shiela seraya merapatkan kembali pintu bilik itu.

‘Suka hatilah Encik Amir oii. Yang penting aku dah beritahu. Kau nak jumpa ke tidak tu belakang kira. Tapi, kalau kau dah jumpa sekali nanti, mesti tiap-tiap hari kau nak jumpa budak tu.’ Shiela bermonolog dalam hati. Bibirnya mengukir senyum memikirkan reaksi Amir jika bertemu Alisya nanti.

“Apa hal kau senyum-senyum tu Shiela? Bos puji kau ke hari ini?” tegur rakan sekerjanya.

Shiela hanya menjawab pertanyaan itu dengan senyuman.

Wait and see,’ ujarnya dalam hati.

*****

ENAK ayam panggang depan mata, enak lagi menatap wajah gadis yang mengganggu tidur malamnya.

Gulp.

Amir menelan air liur yang terasa banyak pula merembes keluar saat ini.

“Tengok je ke? Tak nak makan?” Soalan Aisyah itu mematikan fokusnya menatap gadis itu.

“Awak tengok siapa tu Amir? Sampai nak terkeluar anak mata tu?” soal Aisyah lagi apabila dilihat Amir masih tetap seperti sebelumnya.

Cepat-cepat Amir melarikan matanya dan memandang Aisyah.

“Tengok awaklah Cik Aisyah yang kiut miut,” Amir berseloroh.

“Jaga awak kalau tengok perempuan lain,” Aisyah memberikan amaran.

‘Alah, sekarang ni pun tengok. Awak je tak tahu,’ bisik hati Amir.

Dan matanya menangkap susuk tubuh gadis yang duduk di sebelah gadis tadi. Rasanya matanya tidak rabun lagi.

‘Tak boleh jadi ni.’

*****

“AWAK pergi mana tadi?” soal Amir.

Lunch hour Encik Amir. Takkanlah saya pergi berenang pula,” Shiela sengaja berdolak-dalih. Padahal dia sudah tahu arah tuju perbicaraan dia dan Encik Amir sebentar lagi.

“Yalah. Saya tahu awak pergi makan. Takkan awak pergi berenang pula kalau dah masuk dalam Kenny’s Rogers tu,” ujar Amir tegas.

Shiela hampir tergelak mendengar kata-kata Encik Amir itu. Namun, dia tetap serius di hadapan majikannya itu.

“Awak keluar dengan siapa tadi?” ujar Encik Amir.

‘Hai Encik Amir, sejak pula nak ambil tahu aku keluar dengan siapa ni. Kenapa? Dah terpikat dengan budak tu ke?’ Kata-kata itu bergema dalam dirinya. Namun tidak pula keluar di mulut.

“Dengan office matelah,” ujar Shiela.

Besar mata Amir apabila mendengar kenyataan Shiela itu. Dalam pejabat ni ada perempuan secantik itu? Kenapa dia tidak tahu?

Melihat gelagat Encik Amir yang gaya terkejut besar dengan berita yang dibawanya itu, Shiela menghamburkan tawanya yang ditahan sejak tadi. Cepat-cepat dia menekup mulutnya apabila perasan keterlanjurannya itu.

“Dia budak baru tu Encik Amir,” jelas Shiela.

Amir melepaskan keluhan berat. Kenapalah dari pagi tadi dia tidak berjumpa terus dengan gadis itu. Kalau dia tahu budak baru tu gadis itu, pasti pagi-pagi tadi lagi dia sudah suruh Shiela mempertemu dia dan gadis itu.

“Panggil dia masuk,” ujar Amir tegas.

“Eh. Sekarang ke?” soal Shiela hairan.

Now Shiela. Now,” ujar Amir lagi.

Shiela keluar dari bilik itu dengan senyuma hingga ke telinga. Sekarang tiba masanya kita melihat sejauh mana ais membeku.

*****

“ASSALAMMUALIKUM Encik Amir.”

Kelembutan suara itu membuatkan dada Amir berdebar kencang. Perlahan-lahan Amir mengangkat wajahnya dari dokumen dan memandang wajah gadis di hadapannya itu. Sebaik sahaja matanya menangkap senyuman di bibir gadis itu, Amir langsung terpaku. Lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata.

“Waalaikummussalam. Du.. duduk,” ujar Amir tergagap-gagap sambil membetulkan posisinya. Badannya disandarkan di kerusi agar dia lebih tenang.

Gadis tinggi lampai itu berjalan menghampiri tempat duduk di hadapannya. Semakin hampir gadis itu dengannya, semakin berdebar hatinya. Cantik. Gadis itu sungguh cantik. Tidak ada solekan di wajahnya. Cuma bibirnya yang merah itu dioleskan sedikit gincu bibir barangkali. Gadis itu masih tersenyum seperti tadi.

“Siapa nama awak?” soal Amir tegas.

“Nama saya Alisya Syafarah,” ujar Alisya lembut.

Amir memegang kejap kerusinya. Dia hairan, kenapa setiap kali gadis itu menuturkan sesuatu hatinya seakan berbunga-bunga.

“Selamat datang ke syarikat kami Alisya. Do your best,” ujar Amir berupa kata-kata semangat sambil menjamah wajah di hadapannya itu.

“Terima kasih Encik Amir,” ujar Alisya sambil menundukkan kepalanya.

Dan suasana kembali sepi. Amir menatap wajah Alisya tanpa berkedip. Direnung setiap inci wajah gadis itu.

Alisya pula sudah tidak tega berada di bilik itu menghadap majikannya. Serba tidak kena rasanya. Senyumannya yang tadi mekar di bibir semakin hilang.

“Errr.. Encik, boleh saya pergi?” ujar Alisya sekaligus mematikan lamunan Amir.

Amir hanya menjawab pertanyaan Alisya dengan anggukan.

*****

PULANG dari pejabat, Amir tidak langsung pulang ke rumahnya. Dia singgah di rumah bakal mertuanya.

“Ha Amir, kenapa datang tak beritahu ni,” soal Puan Aina sambil menghidangkan minum petang hari itu.

“Saja je jenguk mak ni,” ujar Amir bersahaja. Epok-epok yang masih berasap itu ditiup perlahan-lahan sebelum dibawa masuk ke dalam mulut.

“Owh, mak ingat kamu bergaduh dengan Aisyah tadi,” ujar Puan Aina lega.

Amir tertawa mendengar kenyataan bakal ibu mertuanya itu. Air teh yang masih hangat itu dihurup perlahan.

“Ni mak, Amir ingat nak cepatkan perkahwinan kami,” ujar Amir memberikan cadangan.

“Nak cepatkan? Kenapa pula? Amir ada tengok Aisyah keluar dengan lelaki lain ke?” soal Puan Aina bertalu-talu.

Amir menggeleng. Bukan itu. Dia yang takut hatinya berpaling daripada Aisyah.

“Bukan mak. Lagi cepat lagi bagus. Lagi cepat mak dapat cucu,” Amir berseloroh.

Cepat sahaja jari-jemari Puan Aina mencubit lengan bakal menantunya itu. Amir mengadoi kesakitan.

“Kamu ini Amir. Ke situ pula dia,” ujar Puan Aina.

Bakal menantunya ini sama perangai loyar buruknya dengan anaknya si Aisyah itu. Eloklah mereka berdua berjumpa. Sehati sejiwa katanya.

“Yalah. Mak ikut kamu je Amir. Kalau kamu kata nak cepat, nampaknya tak tidur malamlah mak nak buat persiapan,” tambah Puan Aina lagi.

Amir hanya tersenyum. Sekarang mak Aisyah tidak menghalang niat baiknya. Hanya menunggu keputusan Aisyah sahaja. Kerana Aisyah memintanya masa untuk fokus pada kerjayanya. Namun, bila difikirkan hatinya yang goyah saat ini, baik dia segera bernikah dengan Aisyah. Nanti dia akan cuba memikirkan cara membuat Aisyah bersetuju.

*****

PAGI Ahad itu nyaman sekali. Aisyah berbaring sambil menyanyi-nyanyi kecil. Sebentar kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat Aisyah mengambil telefon bimbitnya di atas meja soleknya.

Setelah melihat pesanan yang diterimanya, Aisyah bergegas menukar pakaian dan memandu keretanya ke tempat yang dimaksudkan oleh pengirim pesanan ringkas tadi. Sepanjang perjalanan terbayang-bayang ayat yang tertulis di pesanan ringkas yang diterimanya tadi.

Aku nampak Amir dengan perempuan lain dekat tempat biasa kita.

Dan setelah Aisyah turun dari kereta, cepat-cepat dia berlari ke arah tempat yang dimaksudkan oleh sahabat karibnya. Cepat juga tangannya mendail nombor sahabatnya itu.

Hello. Dekat mana kau nampak dia?” soal Aisyah. Dadanya berombak menahan marah.

“Ada. Cuba kau tengok betul-betul dekat bawah tu,” ujar Fiza.

Aisyah memandang manusia di sekitarnya. Rasa seolah-olah semua orang berjalan pantas bersama waktu yang cepat berputar. Dan di tengah ribuan manusia, dia nampak seseorang di tengah pentas dengan senyuman.

Itu Amir.

‘Lelaki tak guna!’ jerit hati Aisyah. Langkahnya dipercepatkan mengarah ke pentas tersebut.

Dan tiba-tiba lagu Just The Way You Are nyanyian Bruno Mars berkumandang kuat di dalam pusat beli-belah itu.

Aisyah melihat Amir memegang kertas manila di hadapan pentas itu.

Her eyes make the stars look like they're not shinin'

Sambil mengangkat kad manila tertulis ayat itu, Amir menghalakan jarinya ke arah mata Aisyah. Aisyah keliru. Namun kakinya masih terus melangkah ke hadapan.

Her hair, her hair falls perfectly without her tryin'

Dan senyuman Amir semakin lebar kepadanya.

She's so beautiful

And I tell her everyday

Aisyah seolah-olah berada dalam mimpi. Benarkah lelaki di atas pentas itu Amir.

I know when I compliment her, she won't believe me

And it's so, it's so sad to think that she don't see what I see

But every time she asks me do I look okay?

I say

Kali ini, Amir meletakkan semua kad manila tadi di atas lantai pentas. Amir mengambil mikrofon dan melanjutkan nyanyian Bruno Mars tadi.

“When I see your face

There's not a thing that I would change

'Cause you're amazing

Just the way you are.”

Kali ini Aisyah betul-betul tidak mengerti. Langkah kakinya dihentikan. Dia hanya memerhati Amir dari jarak jauh.

“And when you smile

The whole world stops and stares for awhile

'Cause girl, you're amazing

Just the way you are.”

Amir pula menuruni tangga pentas itu dan berjalan menghampiri Aisyah. Orang ramai yang berkerumun di situ sejak tadi semakin bertambah.

“Her lips, her lips, I could kiss them all day if she'd let me

Her laugh her laugh, she hates but I think it's so sexy

She's so beautiful

And I tell her everyday.”

Semakin Amir dekat dengan dirinya, semakin riuh suara orang ramai bersorak riang. Aisyah tidak mampu berfikir saat ini. Dia memandang sekeliling dan kembali memandang Amir.

“Oh, you know, you know, you know I'd never ask you to change

If perfect's what you're searching for, then just stay the same

So don't even bother asking if you look okay

You know I'll say.”

Lagu Just The Way You Are kini berganti dengan lagu Marry You. Sorakan orang ramai semakin kuat. Ada yang tersenyum. Ada yang memegang tangan kekasih atau suami masing-masing.

“It's a beautiful night,

We're looking for something dumb to do.”

Dan orang ramai turut menyanyi bersama Amir.

“Hey baby,

I think I wanna marry you.”

Dan Amir mengeluarkan kotak berbentuk hati dari kocek seluarnya. Amir melutut di hadapan Aisyah. Sebentuk cincin sekarang berada di hadapannya.

Aisyah memandang Amir. Air mata menitis di pipi gebunya.

“Awak jahat,” ujar Aisyah dalam sendu.

Orang ramai yang menyaksikan lamaran Amir itu turut mengalirkan air mata. Ada yang senyum hingga ke telinga. Ada yang bertepuk tangan. Namun keadaan kembali sepi apabila semua menanti jawapan Aisyah.

Aisyah memandang mata Amir dalam-dalam. Mencari kejujuran dari sepasang mata milik Amir. Sebuah keluhan besar dilepaskan. Air matanya masih mengalir laju.

I’ll marry you,” ujar Aisyah dan diikuti oleh sorakan orang ramai yang ada di pusat beli-belah itu.

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.