******
“KRENG
KRENG KRENG!!”bunyi bising yang datang daripada bilik
sebelah itu membuat Syaza terjaga lagi daripada tidurnya malam ini.
“Aish! Bising betul la Encik Mimpi ni!” Syaza merengus
keras. Bantal yang tadinya dibuat alas kepala kini sudah dipekup ke telinga.
Di bilik sebelah, seorang jejaka sedang sibuk mereka
sebuah lagu baru dengan gitar akustik kesayangannya itu.
“One, Two, Three, Four,” rendah suara Syazwan
menuturkan kepada dirinya sendiri. Jari jemarinya memetik lagi gitar yang
dipangku kemas di atas ribanya. Matanya tidak lepas memandang not muzik yang
diletakkan di atas meja.
Dan
sekali lagi bunyi gitar yang bising itu membuat Syaza terjaga. Kali ini Syaza
benar-benar marah. Langkah kakinya pantas menuju ke dinding yang memisahkan
antara biliknya dan bilik jirannya di sebelah.
Syazwan
pula kini sudah mula melagukan lagu Putus Di Twittar. Lagu itu merupakan lagu
ciptaannya sendiri iaitu sebuah kesinambungan daripada lagu Cinta Muka Buku
nyanyian Najwa Latif yang kini menjadi siulan para remaja.
“Dulu
kita berkenalan hanya dengan muka buku,
Ku
hantar pesan cinta tiap hari padamu,
Ohho,
indahnya saat itu..”
Syaza
mengetap giginya. Jejaka yang menyewa di sebelah biliknya ini benar-benar telah
mendera jiwanya. Setiap jam dua belas tengah malam, dia akan memetik gitarnya
dan menyanyikan bermacam-macam lagu. Mendengar lelaki itu menyanyi bagaikan
menjemput Encik Mimpi yang ngeri ke dalam tidurnya. Malam ini sahaja sudah dua kali
dia terjaga akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan jejaka itu. Dia tidak
kira. Hari ini dia harus membuat perhitungan dengan jejaka itu. Pantas tangan
Syaza mengepal buku lima dan ditumbuk ke arah dinding yang memisahkan bilik
mereka.
“Tapi bila ku katakan nak follow Twittermu
Kau
cuba mengelak dengan alasan seribu
Ohho,
curiga rasa hatiku..”
Syazwan
masih menyanyi bait-bait ini tatkala dindingnya ditumbuk keras oleh Syaza yang
menggila.
“Hoi
orang sebelah! Tidurlah wei! Kau tak
tahu ke pukul berapa dah ni!” jerit Syaza daripada biliknya. Terasa mahu
tercabut anak tekaknya apabila terpaksa melawan kekuatan bunyi gitar daripada
jejaka yang dia gelar sebagai Encik Mimpi itu.
Syazwan
yang mendengar lolongan daripada Syaza tadi pantas berhenti memetik gitarnya.
‘Oh,
ada orang rupanya bilik sebelah ni,’ ujar Syazwan dalam hati. Dia
tersengih-sengih sendiri. Selama ini, dia fikir tiada orang yang menyewa di
sebelah biliknya ini memandangkan dia tidak pernah sekalipun terserempak dengan
manusia yang tinggal di bilik itu sepanjang dia menyewa di sini.
“Ha,
reti pun kau nak senyap! Tiap-tiap malam nak bagi aku mimpi ngeri sebab dengar
suara kau yang sumbang tu! Cinta Muka
Bukulah, Cinta Twitterlah! Sudah-sudahlah
tu Encik Mimpi!” bebel Syaza lagi apabila bilik di sebelah sudah sunyi sepi.
Kakinya
saja dihentakkan kuat ke lantai sewaktu melangkah kembali ke katilnya supaya
Encik Mimpi itu tahu dia sedang memprotes.
‘Geram
betul aku dengan Encik Mimpi ni,’ getus Syaza dalam hati.
Syazwan
hanya tertawa apabila mendengar gadis di sebelah biliknya itu memarahinya. Geli
hatinya apabila gadis itu memanggilnya Encik Mimpi. Teringat pula kata-kata
gadis itu tadi. Apa benar suaranya sumbang?
“Test test,” ujar Syazwan perlahan.
“Ok
je suara aku ni. Sedap jeaku dengar,” komen Syazwan sendiri.
Dia sudah terkekeh-kekeh ketawa. Biarlah apa orang nak kata tentang suaranya
itu. Sumbang ke, merdu ke, dia tidak kisah. Yang dia tahu hanya satu. Dia
bersyukur kerana dia masih diberi nikmat untuk bersuara.
Simpati juga dia kepada gadis itu. Pasti sudah lama gadis
itu merana berjiran dengannya. Tiap-tiap hari gadis itu terpaksa mendengar dia
terpekik terlolong menyanyi lagu-lagu yang direka olehnya. Bukan dia sengaja
mendera pendengaran gadis itu. Sungguh, dia tidak tahu ada manusia yang
menghuni di bilik itu. Jika tahu, sudah pasti dia tidak akan menyanyikan
lagu-lagu catchyseperti itu. Pasti
dia akan mendodoikan gadis itu dengan lagu-lagu lullabynya.
‘Eheh,
lebih-lebih pulak aku ni,’ kutuk Syazwan dalam hatinya.
Gitar
yang tadinya di tangan sudah disandarkan di tepi katilnya. Buku The Details of Modern
Architecture (Volume 1) karangan Edward R. Ford. yang diletakkan di meja tepi
katilnya itudicapai lalu diselak ke muka surat yang sudah ditandakan
dengan penanda buku.
Namun tumpuan Syazwan bukan di muka surat itu. Bukan juga di Muka Buku. Apatah lagi di Twitter. Fikirannya kini menerawang
mengingati peristiwa yang berlaku tadi. Kini, Syazwan tersenyum lagi entah buat
kali yang ke berapa.
Angau namanya!
*****
“KAU apasal mata macam panda
Syaza?” tegur Lily yang sedari tadi melihat mata Syaza layu dan dilingkari oleh
lingkaran gelap di bawah mata. Eheh, macam iklan dalam televisyen pula.
Syaza mengeluarkan
cermin kecil di dalam beg sandangnya yang memang sentiasa dibawa ke mana-mana.
Melihat sendiri kondisi matanya seperti yang dikatakan oleh Lily tadi.
Memang benar. Mata
panda. Lingkaran gelap telah menghiasi matanya yang tidak berapa nak bulat itu
hari ini. Matanya juga kelihatan sedikit sembab.
“Study kuat sangatlah tu malam tadi,” sampuk Lisa pula.
Syaza mengeluh. Cermin
kecil itu dimasukkan semula ke beg sandangnya.
“Ini bukan sebab aku study kuat sangat,” Syaza membela
dirinya.
“Dah tu sebab apa? Kau
nangis?” soal Lily prihatin. Lily dan Lisa memandang antara satu sama lain
silih berganti sementara menanti penjelasan yang lebih lanjut daripada Syaza.
“Ini semua gara-gara
Encik Mimpi tulah!” tutur Syaza geram. Giginya sudah menggigit bibir bawahnya
menahan geram.
Serentak itu, Lily dan
Lisa menghamburkan tawa mereka.
“It’s not fun ok. I’m telling you guys the truth. Mata panda ni jadi
sebab dialah!” suara Syaza bergetar
memberi amaran dan menerangkan situasi yang dialami olehnya kepada dua orang
sahabat baiknya itu.
Dalam tawa yang masih
bersisa, Lily dan Lisa masing-masing memegang perut mereka.
“Encik Mimpi lagi?
Semalam dia nyanyi lagu apa pulak untuk kau?” ujar Lily dengan ketawa yang
hampir reda. Di fikirannya, dia mula membayangkan bagaimana sahabat baiknya itu
menekup telinganya dengan bantal apabila Encik Mimpi mula membuat marathon
menyanyi setiap malam.
“Tajuk apa entah
semalam dia nyanyi. Yang aku dengar dia ada sebut Cinta Muka Buku dengan Twitter.
Adalah tu dia mengubah lirik lagu Najwa Latif tu jadi lagu dia,” terang Syaza
sambil otaknya cuba mengingat kembali peristiwa malam tadi.
“Kira okeylah tu Syaza, tiap-tiap malam dia
dodoikan kau sebelum kau tidur,” celah Lisa pula. Bibirnya sudah menguntum
senyum.
“Okey apanya? Aku
elok-elok tengah mimpi naik kuda dengan Putera Raja tiba-tiba bila dengar suara
dia je, Putera Raja tu terus tolak
aku daripada kuda,” ujar Syaza dalam nada tidak puas hati. Pandangannya dibuang
ke taman universiti yang dihiasi dengan bunga-bunga yang cantik. Tenangkan
hati.
Sekali lagi Lily dan
Lisa ketawa. Sungguh parah sekali situasi yang dialami oleh Syaza sekarang ini.
Seharusnya, jika ada orang yang dodoikan kita sebelum tidur, makin nyenyaklah
kita tidur. Dalam situasi Syaza pula, setiap kali dia mendengar suara Encik
Mimpi, setiap kali itulah mimpi indahnya menjadi mimpi ngeri.
Bukan sekali dua Syaza
menceritakan bagaimana mimpi indahnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila
mendengar suara Encik Mimpi kepada mereka. Malah, hampir setiap hari Syaza akan
memberitahu mereka hal itu. Mereka juga tidak jemu mendengar cerita Syaza.
Melalui Syazalah mereka mengenali seorang jejaka yang diberi nama Encik Mimpi
oleh Syaza.
“Dia tu kreatiflah.
Banyak juga idea dia menukar lirik-lirik yang sedia ada tu,” komen Lily lagi.
“Betul tu Lily. Kau
takkanlah tak teringin nak tahu siapa Encik Mimpi tu Syaza?” soal Lisa pula.
Syaza memandang wajah
sahabat baiknya itu satu persatu. Bibirnya mengukir senyum. Apabila melihat
Syaza tersenyum, Lily dan Lisa turut tersenyum. Ada peluanglah mereka nak
berkenalan dengan Encik Mimpi itu nampaknya.
“Aku ni tak adalah nak
cakap aku tak nak kenal dengan Encik Mimpi tu,” sengaja dia berjeda di situ.
Lily dan Lisa sudah
teruja mendengar respon yang diberikan oleh Syaza.
“Tapi, aku lebih rela
tak kenal dengan orang macam tu! Dia perosak mimpi indah aku tiap-tiap hari!”
ujar Syaza ringkas dan padat.
Beg sandang yang
diletakkan di atas meja itu dicapai, lantas Syaza meninggalkan Lily dan Lisa
yang terpinga-pinga dengan tindakannya yang drastik itu.
Melihat kelibat Syaza yang sudah hilang di
celah-celah puluhan manusia di kampus itu, Lily dan Lisa juga mula meninggalkan
kawasan taman universiti untuk mencari jejak Syaza yang membawa diri entah ke
mana.
Mereka kecewa juga sebenarnya. Identiti Encik
Mimpi itu masih menjadi tanda tanya di dalam otak mereka hingga kini.
*****
RAMBUT lurusnya yang separas bahu itu disisir rapi. Kemeja T
berkolar warna jingga itu disarungkan ke badan. Haruman Polo Black disembur ke
badan. Hari ini kuliahnya di awal pagi. Kerana itulah, Syazwan sudah
bersiap-siap awal pagi begini.
Tangannya pantas menuangkan air panas ke
dalam mugnya yang sudah berisi serbuk
Milo 3in1 yang diimport khas daripada
Malaysia. Maklumlah, mana nak dapat Milo macam tu di bumi Dominician Republic ini. Air di dalam gelas itu dikacau rata agar serbuk
Milo tadi sebati dengan air.
Sedang dia membancuh air untuk sarapan
paginya itu, fikirannya tiba-tiba teringat jiran sebelah biliknya itu. Oh ya!
Dia tidak bermain gitar dan menyanyikan lagu malam tadi. Pasti jirannya itu
dapat tidur dengan lena tanpa gangguan darinya. Mimpi indah mungkin malam tadi.
Syazwan tergelak sendiri. Kepalanya
digeleng-gelengkan beberapa kali. Entah sejak bila pula dia prihatin terhadap
jiran sebelah biliknya itu, dia juga tidak tahu. Mungkin sejak dia dimarahi
tempoh hari.
Air milo panas yang
masih berasap itu dihirup perlahan. Asap-asap putih halus berterbangan di udara
setiap kali Syazwan meniup air di dalam mug
itu.
‘Jiran sebelah, apa
khabar dirimu?’ bisik hatinya.
Sebuah buku nota kecil
dikeluarkan daripada beg kuliahnya. Sebatang pen kini di dalam gengaman. Dia
mahu menulis sebuah lagu untuk jiran sebelah rumahnya itu. Lagu yang boleh
melenakan gadis itu. Supaya dia tidak lagi menjadi Encik Mimpi yang ngeri
kepada gadis itu. Dia mahu menjadi Encik Mimpi yang indah buat gadis itu. Ya,
dia sangat memaksudkannya.
“Tidurlah Sayang,”
bisik Syazwan perlahan.
Nafas lega dilepaskan. Matanya
melihat sekilas lirik lagu yang sudah siap ditulis. Bibirnya mengukir senyum. Berpuas
hati dengan lirik spontan yang berjaya dihasilkan untuk jiran sebelah biliknya
itu.
Air milo yang masih
bersisa dihabiskan. Mug yang sudah
kosong itu dibawa ke dapur untuk dicuci sebelum dia ke kuliah. Sebelum
melangkah keluar daripada bilik itu, tangannya sempat mencapai gitar yang
disandarkan di kepala katil. Dia harus mencari melodi untuk menyanyikan lagu
Tidurlah Sayang yang dicipta khas buat gadis di bilik sebelah itu malam ini.
Pantas tangannya
menutup daun pintu dan mengunci pintu bilik sewanya. Bilik di sebelah dipandang
sekilas.
‘Tidurlah,’ bisik hati
kecil Syazwan sebelum dia berlalu meninggalkan bangunan itu menuju ke
universiti dengan siulan kecil.
*****
“BAIK betul angin kau hari ni
Syaza?” tegur Lisa yang sedari tadi melihat Syaza tersenyum-senyum seorang
diri.
“Hai, angin aku baik
pun kau orang tak suka ke?” soalnya kembali kepada Lisa. Buku The Practical Book of Architecture karangan Charles Matlack Price yang dibacanya sebentar tadi ditutup.
“Tak adalah tak suka. Cuma pelik,” celah Lily yang masih
tidak mengalihkan pandangannya daripada nota kuliah yang sedang ditatapnya itu.
“Apa yang nak dipelikkan. Kalau angin aku baik tu
maksudnya aku mimpi bestlah malam
tadi,” selamba sahaja jawapan yang diberikan oleh Syaza.
Lily yang sedari tadi tekun membaca mengalih
pandangannya. Tepat memandang wajah Syaza yang duduk di sebelah. Begitu juga
dengan Lisa.
“Encik Mimpi tu dah pindah rumah ke?” serentak mereka
berdua bertanya.
“Hehe,” ujar Syaza dengan senyuman lebar di bibir.
“Kau biar betul Syaza?” soal Lisa lagi.
Syaza memandang Lisa dan Lily silih berganti. Jelas
tergambar riak ingin tahu dan kecewa pada kedua-dua wajah sahabat baiknya ini.
“Aku tak tahulah dia dah pindah ke tak. Tapi yang aku tahu,
semalam aku tak ada pula dengar dia nyanyi sambil main gitar akustik dia tu,”
terang Syaza panjang lebar.
Lisa
dan Lily sama-sama melepaskan keluhan berat. Sungguhlah Syaza ni boleh buat
mereka lemah jantung. Mereka ingat Encik Mimpi itu sudah berpindah. Jika itu
yang mahu disampaikan oleh Syaza, menyesal tak sudahlah mereka berdua kerana
tidak dapat berkenalan dengan Encik Mimpi itu.
“Yang
kau orang nak mengeluh tu kenapa? Okeylah tu dia dah tak kacau tidur aku. Lena
aku tidur. Tak adalah datang mimpi ngeri,” komen Syaza apabila melihat wajah
dua sahabatnya itu sudah mencuka mengalahkan cuka dapur.
“Kau
seorang je yang tak suka dengar Encik
Mimpi tu dodoikan kau. Kalau akulahkan, tiap-tiap hari ada orang dodoikan aku
sebelum tidur, alamatnya, memang tak bangun-bangunlah aku sampai esok pagi.
Lena je tidur,” ujar Lily mengutarakan pendapatnya.
“Aku
pun sama macam kau Lily. Dapat seorang macam Encik Mimpi tu, bahagia je rasa. Ini baru sehari kau tak dengar
bolehlah kau cakap besar Syaza. Nanti, kalau dah dua tiga hari tak dengar suara
dia sure kau rindu punya,” Lisa pula
menambah perisa kepada perbualan mereka bertiga.
Syaza
tidak tahu kenapalah sahabatnya berdua ini tidak memahami situasinya. Penyokong
besar Encik Mimpi nampaknya. Walhal, bukan mereka pernah dengar pun Encik Mimpi
tu menyanyi atau bermain gitar.
Seorang
jejaka yang sedari tadi duduk di meja sebelah hanya mencuri dengar perbualan tiga
gadis itu. Mendengar satu-persatu ayat yang dituturkan oleh setiap daripada
mereka. Hanya satu yang menarik perhatiannya. Encik Mimpi. Nama itu
disebut-sebut oleh tiga gadis itu sejak awal perbualan mereka lagi.
Encik
Mimpi merupakan gelaran yang diberikan oleh jiran sebelah biliknya kepada
dirinya tempoh hari. Kerana itu dia menguping untuk mendengar apakah benar dia
yang dimaksudkan oleh ketiga-tiga gadis itu. Sepertinya, memang dialah orang
itu.
Tidak betah duduk di situ,
Syazwan bangun dan meninggalkan meja itu. Sewaktu melintasi meja yang ditempati
oleh tiga sahabat itu, sempat dia melihat sekilas gadis yang bernama Syaza
itu.
Mungkinkah
gadis yang dipanggil Syaza ini adalah jiran sebelah biliknya? Hanya itu yang
bermain-main di dalam fikirannya.
*****
SEDAR tidak sedar hari sudah
lewat petang. Selesai sahaja kuliah, Syaza mengambil keputusan untuk terus
pulang ke bilik berehat. Maklumlah, sehari suntuk dia bertungkus-lumus mencari
ilmu.
Sepanjang
perjalanan pulang ke bilik sewanya, dia tidak perasan dia telah diekori oleh
seorang pemuda. Pemuda itu mengikutinya dalam jarak yang agak jauh agar tidak
terlalu ketara kelihatan dia mengekori gadis itu.
Syazwan
hampir pasti gadis bernama Syaza itu adalah gadis yang menyewa di sebelah
biliknya apabila gadis itu memasuki bangunan kedai bertingkat di kawasan tempat
dia menyewa.
Dilihat
susuk tubuh gadis yang kecil molek itu berjalan sambil menghayunkan beg
sandangnya ke depan dan ke belakang. Kedengaran juga gadis itu menyanyi kecil
lagu Cinta Muka Buku.
‘Sedap
juga suaranya,’ bisik hati Syazwan. Bibirnya mengukir senyum
Dan
akhirnya gadis kecil molek berbaju kuning cair itu dengan selendang warna
senada hilang dari penglihatannya apabila dia meloloskan diri ke dalam bilik di
sebelah bilik sewanya.
"Sah!
Dia jiran sebelah bilik aku!"
*****
JAM sudah menunjukkan pukul dua
belas tengah malam. Syaza masih belum tidur lagi. Dia hanya berbaring malas di
atas katilnya. Bukan dia tidak cuba untuk melelapkan matanya. Namun mata ini
yang tidak mahu lelap. Degil sungguh matanya hari ini.
‘Encik Mimpi ni betul-betul dah pindah bilik ke?’ soalan itu
tiba-tiba bermain di fikiran Syaza.
Sunyi pula rasanya setelah
hampir seminggu dia tidak mendengar alunan suara Encik Mimpi ini dan petikan
gitar akustiknya. Ini sudah pasti kerana salahnya. Mungkin Encik Mimpi terasa
hati dengan kata-katanya pada malam itu lantas tidak mahu lagi menyanyikan lagu
untuknya seperti selalu.
‘Eh, sejak bila pula Encik
Mimpi menyanyikan lagu untuknya? Bukankah selama ini Encik Mimpi hanya menyanyi
mungkin kerana minatnya,’ soal Syaza kepada dirinya.
‘Dan sejak pula dia yang
sangat anti dengan Encik Mimpi yang selalu membawa mimpi ngeri dalam tidurnya
itu sekarang merindui suara lelaki itu?’ soal Syaza lagi kepada dirinya.
“Haishhhh!” akhirnya Syaza menjerit sedikit kuat. Meluahkan
kekusutan yang melanda otaknya. Tangannya menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal dan akhirnya telah mengusutkan rambut lurusnya separas bahu itu.
Syazwan
yang mendengar jeritan kecil Syaza di bilik sebelah cuba memasang telinga.
Dapat ditangkap bunyi derap kaki gadis itu seolah-olah menghampiri dinding yang
memisahkan bilik mereka.
Syazwan
tertawa kecil. Pasti gadis itu memikirkan dirnya. Sebenarnya, sengaja dia tidak
menyanyi mahupun memetik gitar akustiknya untuk menduga sejauh mana Syaza
membenci suaranya yang dikatakan sumbang itu. Nyata, baru seminggu dia
mendiamkan diri, gadis itu sudah merindui suaranya. Mungkin juga merindui mimpi
ngeri yang selalu menemani tidurnya.
Syaza
yang bagai kucing kehilangan arah itu akhirnya bersandar di dinding yang
memisahkan biliknya dan Encik Mimpi. Berharap agar rasa risau dan segala tekaan
yang bermain di mindanya mengenai perpindahan Encik Mimpi sebentar tadi hilang.
Entah kenapa dia begini dia juga kurang
pasti.
Syazwan yang sedari
tadi hanya mendengar bunyi-bunyi daripada bilik sebelah akhirnya mencapai
gitarnya dan duduk bersandar di dinding yang memisahkan biliknya dan bilik
jiran sebelah biliknya. Dia amat pasti gadis itu juga sedang bersandar di
dinding itu kerana tadi dia mendengar keluhan gadis itu betul-betul di sebalik
dinding itu.
Dengan
perlahan, tangannya memetik gitar akustiknya memainkan irama indah yang dicipta
khas buat jiran sebelah biliknya itu.
Mendengar
bunyi gitar daripada biilik sebelah membuat hati Syaza melonjak gembira.
Serta-merta senyuman terukir di bibirnya.
“Encik
Mimpi masih wujud rupanya,” ujar Syaza perlahan. Namun suaranya itu masih dapat
didengari oleh Encik Mimpi di sebelah sekaligus membuahkan sekuntum senyuman di
bibir merah milik jejaka itu.
Dan
kini berlagulah sebuah lagu tenang untuknya. Sebuah melodi terindah yang
ditujukan khas buatnya oleh Encik Mimpi. Dia mendengar bait-bait ayat yang
diucapkan oleh Encik Mimpi dengan teliti.
“Tidurlah, gadisku sayang,
Tidurlah pejamkan matamu,
Tidurlah hilangkan semua resahmu,
Tidurlah…”
Mendengarkan bait pertama benar-benar membuat
jiwanya tenang. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya.
“Tidurlah
gadis ku manja,
Tidurlah ku belai rambutmu,
Tidurlah di sini menemanimu,
Tidurlah…”
Tenang. Itu yang dirasakannya kini, Petikan
gitar akustik itu dan alunan suara Encik Mimpi yang lembut itu benar-benar
membuai perasaannya saat ini. Syaza terkesima.
“Izinkan aku,
Merinduimu
sepanjang malamku,
Izinkan aku,
Untuk menjagamu…”
Dan kini tanpa sedar dia sudah terbuai dengan
lirik yang ditulis oleh Encik Mimpi itu. Lirik itu benar-benar menyentuh
hatinya.
“Dalam mimpimu,
Akukan menyanyikan laguku,
Nanti kau selalukan tersenyum…”
Syaza memeluk kedua-dua kakinya. Dagunya
ditupang pada lututnya. Mendengar lagu nyanyian Encik Mimpi itu sepenuh
hatinya. Seminggu dia tidak mendengar suara itu.
“Tidurlah, gadisku sayang,
Tidurlah pejamkan matamu,
Tidurlah hilangkan semua resahmu,
Tidurlah…”
“Tidurlah gadis ku manja,
Tidurlah ku belai rambutmu,
Tidurlah di sini menemanimu,
Tidurlah…”
Di bilik sebelah, Syazwan menyanyi dengan
penuh perasaan. Tangannya masih menari-nari di gitar akustik itu memainkan not
not lagu Tidurlah Sayangku itu.
“Izinkan aku,
Merinduimu sepanjang malamku,
Izinkan aku,
Ada disisimu…”
“Setiap malammu,
Ku pastikan semuanya terindah,
Nanti kau selalukan tersenyum…”
Walaupun mereka tidak
pernah bersua muka, namun kini mereka seolah-oleh berkongsi rasa yang sama. Kedua-duanya
kini sedang tersenyum.
“Biarkan aku mengukir namamu,
Dalam mimpi ku ingin kau hadir,
Segalanyakan ku pastikan,
Rindumu…”
“Tidurlah, tidurlah, tidurlah, tidurlah…
Tidurlah, tidurlah, tidurlah, tidurlah…
Tidurlah, sayangku…”
Tanpa sedar, manik
jernih jatuh daripada tubir mata Syaza setelah lagu itu selesai dinyanyikan
oleh Encik Mimpi. Entah mengapa dia sangat terharu mendengar lagu itu.
Sejujurnya, dia jatuh cinta dengan lagu itu. Mungkin juga dia jatuh cinta
dengan tuan punya suara itu.
Dan tiba-tiba sehelai
kertas masuk melalui celah di bawah pintu. Syaza agak terperanjat lalu segera mencapai
kertas itu. Senyumannya terukir sebaik sahaja membaca ayat yang tertulis di
kertas itu.
Tidurlah sayangku..
Izinkan aku menemani mimpi malammu..
-Encik Mimpi-
Pantas dia membuka pintu biliknya setelah
menyarungkan selendang menutupi rambutnya. Dan diluar, di pintu bilik sebelah,
dia melihat seorang jejaka sedang bersandar di pintu bilik itu. Itukah gerangan
Encik Mimpi?
Syazwan berpaling menoleh ke arah Syaza.
Sesusuk tubuh kecil molek itu kini berdiri di hadapannya.
‘Ya, dia gadis itu. Syaza namanya. Dia kini
pemilik hatiku,’ bisik Syazwan dalam hati.
Tiada kata yang diucapkan antara mereka.
Hanya senyuman menzahirkan apa yang mereka rasa.
Ya, kini mereka bahagia!
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
Penghargaan :
Lirik Cinta Putus di Twitter – Hak Milik Encik Mimpi
Lirik Tidurlah Sayangku – Hak Milik Encik Mimpi
*****