Home Cerpen Fantasi Anak Gebeng
Anak Gebeng
Oniichan
12/3/2013 22:45:08
2,202
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Dia berjalan laju menyusuri celah-celah bangunan usang itu. Bukan berlari. Berjalan laju. Dia cuba berlari - oh, alangkah bagusnya jika dia dapat berlari - tetapi kesakitan yang dirasainya sudah cukup menyiksakan. Dia meraba-raba belakang seluarnya. Hangat dan basah. Darah merah pekat tidak berhenti-henti mengalir dari atas punggungnya menyerap ke seluar dan terus menitik seiring dengan langkahnya. Bukan salah orang lain. Itu salah dia. Dia mesti melupakan kesakitan yang mencucuk-cucuk ini dan terus meneruskan langkahnya. Langkah yang laju.

“Kau nak ke mana, monyet?” Kedengaran suara kanak-kanak yang tidak asing di telinganya bertanya. Dia tahu itu soalan yang tidak memerlukan jawapan. Dia juga tahu yang kanak-kanak itu tidak perlu dilayan kerana umur mereka hanya separuh umurnya. Tetapi entah kenapa, hatinya tetap berasa sakit. Sesakit punggungnya sekarang.

Kanak-kanak itu juga membalingnya batu. Tidak besar. Hanya batu kerikil kecil yang dia sendiri pun tidak tahu dikutip entah dari mana. Tapi dia sudah masak benar dengan episod itu. Bermula dengan ejekan, kemudian jika dia rajin, dia akan berbalas maki hamun dan sumpah seranah, diikuti dengan balingan batu kecil. Cuma hari ini dia tiada perasaan untuk memaki hamun. Dia juga tiada kuasa untuk menepis batu-batu kecil yang dilontarkan padanya. Dia perlu cepat. Darahnya semakin banyak mengalir. Jika terlambat, mungkin dia akan jatuh pengsan atau mati di tengah lorong kotor dan busuk ini dan mungkin hanya disedari 3-4 hari kemudian. Sebiji batu kecil berbucu tajam terkena dahinya. Setitik darah mengalir dari goresan luka itu. Dia tidak peduli. Dia hanya mengesat dahinya yang bercampur keringat dan darah itu dengan lengan bajunya.

“Pergi! Pergi!” Kedengaran satu suara sedang menghalau kanak-kanak itu daripada membaling batu ke arahnya. Dia kenal benar dengan suara itu. Tidak, dia sebenarnya langsung tidak mengenali tuan empunya suara itu. Kawankah, atau lawankah. Yang dia tahu, gadis itu sentiasa menutupi wajahnya dengan rambutnya yang panjang dan lurus. Susuk tubuhnya begitu jelek sekali. Dengan sesuatu seperti benjolan yang menonjol di atas belakangnya, dia terpaksa berjalan bongkok. Mungkin bagi mengimbangkan badan yang nyata sekali berat ke belakang. Dia begitu benci sekali melihatnya. Ah, mungkin perasaan yang sama dirasakan oleh kanak-kanak itu ketika melihatnya. Ironik.

Namun setiap kali dia dikacau kanak-kanak nakal, ketika itulah kelibat gadis itu kelihatan. Dan nampaknya kehadirannya sedikit sebanyak menakutkan kanak-kanak itu. Dengan wajah yang sentiasa tertutup seperti Sadako dari filem The Ring dan badan seperti Si Bongkok Dari Gua Hantu, sesiapapun yang melihat pasti akan lari ketakutan. Namun di sebalik mengucapkan terima kasih, dia hanya memandang gadis itu dengan pandangan kosong. Pandangan menjengkelkan.

Klinik Asyid tampak kosong hari ini. Itu menggembirakan hatinya. Dia terus menujuk ke bilik doktor apabila dilihatnya tiada orang yang sedang menunggu giliran. Pintu dibuka dan kelihatan Doktor Asyid sedang menekuni sesuatu di komputer.

“Magnum! Masuklah,” sapa Doktor Asyid sambil tersenyum. Dia terus masuk dan menerpa doktor muda itu. Melihat keadaannya, Doktor Asyid menggeleng-gelengkan kepala.

“Kamu potong lagi ke, Magnum?” soal Doktor Asyid walaupun dia sudah maklum dengan jawapannya. “Bahaya. Kan saya sudah beritahu, ekor kamu tidak boleh dipotong. Mungkin ia akan tidak kelihatan sementara, tetapi ia akan tumbuh semula.”

“Tapi saya benci ekor itu,” ulas Magnum pendek. Suaranya tersekat-sekat.

“Saya tahu. Tapi kamu patut bersyukur yang kamu diberikan tubuh badan yang sihat.” Doktor Asyid mengambil antiseptik di rak belakang bilik itu. “Meniarap atas katil ni. Buka sedikit seluar kamu.”

Dengan saki baki kekuatan yang dia ada, dia memanjat katil itu. Peluhnya membasahi baju. Nafasnya laju dan tidak menentu.

“Banyak darah yang keluar nampaknya. Kamu sudah lupa ke kali terakhir kamu potong ekor kamu, kamu pengsan di bilik ni?” bebel Doktor Asyid. Tangannya membersihkan belakang Magnum yang dipenuhi darah dan mula menyapu antiseptik.

Magnum tidak mempedulikan bebelan doktor itu. Dia hanya menyeringai menahan sakit. Setelah beberapa minit yang dirasakan paling lama dalam hidupnya, doktor itu menyudahkan kerjanya menyapu ubat dan membalut luka.

“Ok, sudah siap, kamu boleh bangun sekarang.”

Magnum bangun dan membetulkan seluarnya. Darah di seluarnya sudah mengering.

“Jadi, doktor sudah tahu penyakit saya ni?” soalnya.

“Ekor kamu ini bukan penyakit.” Doktor Asyid merapati Magnum dan menepuk-nepuk bahunya seolah-olah memujuk. “Ia hanya perubahan genetik akibat radiasi yang mungkin sahaja terdedah kepada kamu ketika dalam kandungan ibu kamu.”

Magnum memasamkan mukanya. Dia tidak ingin tahu apa sebab musababnya yang menyebabkan ekornya tumbuh. Dia hanya mahu mencari jalan membuang ekornya itu. Sekarang dia mulai sedar yang dia telah menemui jalan buntu. Doktor yang pernah memberi harapan padanya dulu sekarang nyata telah mengecewakannya. Sekarang dia hanya mempunyai satu pilihan. Menerima ekornya. Menerima dengan seadanya.

Dia masih lagi ingat ketika dia masih kecil, datuknya pernah mengatakan yang dia adalah istimewa. Mungkin yang dimaksudkan adalah istimewa di antara semua manusia. Atau mungkin sahaja istimewa di mata datuknya. Mungkin itu sebabnya datuknya memberinya nama Magnum. Kata datuk, Magnum adalah seorang penyiasat yang sangat istimewa pada waktu dahulu. Dia pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Cuma yang dia tahu, kalau istimewa di mata datuknya, tiada apa yang luar biasa. Semua anak, mahupun cucu bahkan sepupu sepapa sedarah sedaging sekalipun akan kelihatan istimewa di mata saudaranya sendiri. Tetapi dia tidak bertanya tentang hal itu kepada datuknya. Tidak ada apa-apa perubahan pun jika dia bertanya. Ekornya tetap sebegitu juga.

Ketika dia bergegas untuk pulang, Doktor Asyid membuka mulut bersuara, “kamu tahu, Magnum. Saya dengar yang ada juga orang lain yang sama err... kamu tahu... sama keadaannya... dengan kamu. Tetapi setakat ini hanya kamu yang datang berjumpa dengan saya. Saya dengar keadaan mereka yang lain lebih teruk dari kamu. Ada yang mempunyai sirip seperti ikan. Ada juga yang mempunyai sayap hodoh seperti burung unta.”

Magnum tidak tahu apakah tujuan doktor itu memberitahunya perkara itu. Adakah supaya dia lebih berasa selesa atau sekadar menyatakan yang keadaannya hanyalah remeh berbanding dengan keadaan mereka yang lain. Doktor, jika doktor mahu saya merasa selesa, minta maaf kerana saya tidak pernah merasa sedemikian. Dan jika doktor anggap masalah saya sebagai remeh, cubalah doktor ambil wayar getah sepanjang satu meter dan doktor lekatkan di belakang doktor pada setiap masa. Masa itu doktor akan tahu samada masalah ini remeh atau tidak. Tetapi sudah tentu dia tidak luahkan apa yang difikirkannya itu. Dengan berat hati, dia melangkah perlahan keluar dari Klinik Asyid. Sakitnya masih terasa.

Perjalanan pulang ke rumahnya nampaknya lebih lancar tanpa gangguan budak-budak nakal tadi. Tetapi dia tetap berjalan laju menyusuri lorong kusam dan berbau itu. Dia tidak mahu dilihat sesiapa. Dengan seluar yang berlumuran darah kering dan jalannya yang terhencot-hencot, perkara terakhir yang dia perlukan ialah bersoal jawab dengan manusia yang mungkin bertanya.

“Kamu sudah OK?”

Ah, seperti mahu tercabut jantungnya ditegur sebegitu. Itu gadis tadi. Gadis hodoh berbadan bongkok itu tiba-tiba sahaja keluar entah dari mana dan menegurnya. Dia serba salah. Hendak menjawab, tidak selesa rasanya. Hendak lari, tidak sopan pula.

“Er... saya ok. Baru balik dari klinik,” jawab Magnum.

Keadaan senyap seketika. Magnum mengharapkan yang gadis itu beredar atau setidaknya memberi peluang padanya untuk beredar, namun entah kenapa, gadis itu tidak berganjak.

“Jadi... kamu buang ekor kamu...” Magnum tidak tahu samada itu soalan atau penyataan, tetapi dia tetap menjawab ya.

“Saya tahu ia pasti akan tumbuh kembali. Tetapi sekurang-kurangnya saya akan kembali normal untuk seketika,” tambah Magnum mula rasa selesa dengan gadis itu.

“Normal? Jadi tadi kamu tidak normal?” soal gadis itu lagi.

Magnum memandang gadis itu dari atas ke bawah. Apa yang gadis ini tahu tentang normal. Tentang mahu diterima masyarakat. Dia sendiri pun tidak normal.

“Ya, walaupun sebentar cuma, sekurang-kurangnya saya merasakan diri ini diterima.” Magnum melangkah perlahan menuju ke bangku berdekatan. Kakinya perlukan rehat. Tanpa diminta, gadis pelik itu duduk disebelahnya.

“Saya rasa kita memang normal,” kata gadis itu.

‘Kita’? Adakah dia sebut perkataan ‘kita’ tadi? Magnum mencongak.

Sambung gadis itu lagi, “kita cuma mengharapkan yang kita sama dengan mereka yang lain. Sebenarnya kita adalah unik dan berbeza. Tetapi normal? Kita tetap normal.”

“Saya tidak faham...” ujar Magnum. Dahinya berkerut cuba memahami sesuatu.

“Begini, katakanlah dalam satu negara itu hanya ada seorang lelaki berkulit hitam. Selebihnya yang lain berkulit putih. Adakah itu bermakna lelaki berkulit hitam itu tidak normal? Sudah tentu tidak, bukan?”

“Erm... benar juga...”

“Begitu jugalah dengan keadaan kita sekarang. Keadaan kita yang tidak sama dengan orang lain tidak menjadikan kita tidak normal. Mereka yang mengatakan kita tidak normal hanyalah seorang racistyang menyedihkan!” Gadis itu mula bersemangat. Keadaannya sekarang sangat kontra dengan keadaanya yang dikenali Magnum sebagai seorang yang bongkok yang pelik.

“Kamu selalu menyebut ‘kita’. Hakikatnya kamu tidak mengenali saya,” Magnum mempertahankan diri.

Ketika itulah gadis itu meyelak rambutnya yang menutupi hampir keseluruhan mukanya dan kelihatan wajah comel seorang gadis yang sedang tersenyum. Dia bangun dan meluruskan badannya sambil melepaskan kain yang membaluti benjolan besar di belakangnya. Magnum memerhatikan keadaan itu dengan mata yang tidak berkelip kerana jika benarlah apa yang difikirkannya, sepasang sayap hitam muncul dari belakang gadis itu.

“Lihat, saya sudah katakan. Kita sama sahaja, bukan?” kata gadis itu bersahaja dan terus duduk kembali seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Magnum masih lagi terpaku dengan apa yang dilihatnya. Dia menjeling ke arah sayap hitam gadis itu. Sayap itu kelihatan bergerak-gerak. Itu sayap tulen. Sama tulen juga dengan ekornya.

Setelah menelan air liur, Magnum bersuara, “Jadi... kamu juga sama dengan saya?”

Gadis itu hanya mengangguk.

“Er... kamu... boleh terbang?”

Gadis itu senyum semula. “Malangnya struktur tulang saya dengan tulang burung tidak sama. Tulang burung lebih berongga manakala tulang saya nampaknya sama juga dengan tulang kamu. Padat dan berat.”

“Oh.” Hanya itu yang mampu Magnum ucapkan. Sebenarnya dia sudah kelu. Buat masa yang terlalu lama, dia sudah menjumpai manusia unik sepertinya. Manusia itu datang datang bentuk seorang gadis yang cantik dan bersayap! Mimpi apakah ini?

“Nampaknya kita terpaksa membayar harga kesilapan nenek moyang kita,” ujar Magnum setelah suasana menjadi sepi seketika.

“Ya. Kita membayarnya dengan darah dan daging kita. Secara harfiah,” sambut gadis itu.

“Datuk saya ada beritahu, pada zaman itu, ada juga sekumpulan manusia yang membantah pembinaan kilang radiasi celaka tu di sini, tetapi...”

“Mereka juga dianggap tidak normal, bukan?”

“Ya!” jawab Magnum teruja. “Kamu juga tahu kisah itu?”

“Sudah tentu,” pintas gadis itu. “Datuk saya juga menceritakan perkara yang sama. Dia juga menceritakan bagaimana sekumpulan minoriti yang membantah pembinaan kilang radiasi itu dipulaukan orang kerana dikatakan tidak mahu menerima kemajuan. Malah mereka juga dikatakan gila...”

“Jadi... inilah kemajuan yang mereka cari itu agaknya,” kata Magnum sambil menunjuk ke arah sayap hitam milik gadis itu.

Gadis itu hanya tersenyum hambar. “Seperti yang saya katakan tadi, kita terpaksa membayar ‘kemajuan’ mereka dengan darah daging kita...”

“Er... saya masih tidak tahu nama kamu. Apa nama kamu?”

“Nama saya Lola,” jawab si gadis.

“Lola... nama yang cantik. Nama saya Magnum.”

“Magnum. Saya Lola dan kamu Magnum. Lola dan Magnum.” Gadis itu seolah berfikir sesuatu. “Kamu tahu ada satu riwayat lama?”

“Buat masa sekarang, tiada.” Dan Magnum tidak menipu. Dia memang tidak dapat memikirkan apa-apa kecuali gadis disebelahnya sekarang.

“Laila dan Majnun! Saya Lola dan kamu Magnum. Lola dan Magnum. Laila dan Majnun. Agak mempunyai persamaan, bukan?”

Magnum hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Lola menambah, “Laila dan Majnun dianggap gila kerana manusia pada zamannya tidak dapat menerima sebuah cinta agung. Keadaan sekarang juga tidak jauh berbeza. Manusia mungkin tidak dapat menerima kita kerana kita dianggap tidak normal di mata mereka.”

“Laila dan Majnun...” ulang Magnum.

“Saya perlu balik dulu,” kata Lola tiba-tiba seolah-olah menyedarkan Magnum.

“Er... baiklah,” jawab Magnum. “Boleh kita jumpa lagi?”

“Sudah tentu!” jawab Lola. “Dan terima kasih.”

“Terima kasih? Untuk apa?”

“Kerana meyedarkan saya untuk menjadi diri saya yang sebenarnya.”

Magnum tersenyum kelat. Sepatutnya orang yang lebih layak berterima kasih adalah dia kerana sebelum ini, dia sentiasa menganggap yang dirinya tidak normal dan mempunyai kecacatan. Namun dia hanya diam dan memerhatikan gadis itu berlalu pergi.

Lewat petang itu, Magnum melangkah pulang dengan seyuman tersimpul di bibirnya. Dia tidak sabar untuk melihat ekornya tumbuh semula. Dia tidak sabar untuk menjadi normal.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.