RAHSIA
CINTA JULIA
AKU
merenggangkan bukaan daun pintu. Perlahan-lahan aku mengintai dari rekahan
pintu kayu yang renggang. Aku mendapati lelaki itu duduk membaca akhbar di
hadapan meja tulis yang besar. Sejak pulang dari kerja jam lima petang tadi,
dia cenderung duduk di bilik kerjanya itu. Begitulah rutin hariannya pulang
dari kerja dia akan memerap diri di situ tidak mahu diganggu hingga waktu makan
malam tiba.
“Abang Imran!” Aku menyeru lembut.
“Makanan
dah Jue sajikan.”
Musim
dingin baru bermula. Langit begitu cepat menjadi gelap. Memang kebiasaan Abang
Imran akan makan malam jam tujuh.
Semasa
mula-mula datang ke daerah Chambesy ini aku terasa amat asing dengan cuaca dan
suasana di sini. Aku datang ketika awal musim dingin tahun lepas. Kak Jiha sedang
menunggu kelahiran putera sulungnya
Rayyan Haiqal. Dia amat perlukan seseorang untuk menjaga bayinya,
meskipun mereka sudah punya pembantu rumah. Namun Abang Imran sukar mempercayai
orang asing untuk menjaga bayi yang bakal lahir.
Aku
sudah lama menganggur. Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, aku bekerja
sementara di sebuah kilang kertas. Apabila keputusan SPM keluar, aku mendapat
keputusan yang kurang memberangsangkan. Lalu aku terus bekerja di kilang kertas
itu selama tiga tahun. Hingga akhirnya kilang itu mengalami kerugian dan ramai
pekerja terpaksa diberhentikan, termasuklah aku. Sejak berhenti aku sukar
mendapat kerja baru.
Abang
Imran pulang ke kampung ingin menjemput ibunya, Mak Tua. Namun ibunya yang juga
sepupu kepada emakku sibuk enggan mengikut anak lelaki itu.
“Hisy,
jauh sangat rumah kau tu, Im. Kalau kau duduk Kuala Lumpur, mak nak lah pergi.
Tapi kau duduk luar negeri. Mak takut naik kapalterbang.”
“Habis
siapa yang akan tolong jaga Jiha dan baby kami nanti, mak?”
Mak
Tua memandang wajah aku dan emak. Petang itu kami bertandang ke rumah keluarga
Abang Imran kerana ingin mendengar khabar tentang Kak Jiha. Aku benar-benar
tidak sangka apabila Mak Tua mencadangkan supaya aku mengikut Abang Imran ke
Geneva.
“Kau
pun dah lama menganggur kan?” katanya sambil tersengih lebar.
“Tapi...
Jue tak pandai jaga orang lepas pantang. Jue bukan biasa dengan baby pun.” Aku
sekadar memberi alasan.
Sebenarnya
hatiku melonjak. Aku memang teringin ke luar negara. Ehhh... siapa yang tak
mahu? Nak pulak kalau pergi secara percuma.
“Eh,
kau bagi ke Jue pergi ke sana? Boleh juga Jue cari pengalaman baru kat tempat
orang.” Kata Mak Tua.
“Aku
tak kisah, We. Lampu hijau aku bagi kat dia kalau dia nak kerja. Dah lama
‘makan anggur’ kat rumah. Nak aku kahwinkan tak ada calonnya. Kalau ada yang
masuk meminang, aku terima je. Tapi tak ada pulak yang masuk melamar.” Panjang
lebar jawapan emak.
Abang
Imran yang mendengar celoteh emak tersengih sahaja.
“Kalau
macam tu, biar Imran uruskan dokumen perjalanan Jue esok.” Kata Abang Imran
dengan pantas. Dia gembira urusan mencari penjaga bayinya dapat diselesaikan
segera. Menurutnya, dia cukup bimbang meninggalkan Kak Jiha sendirian di rumah
mereka di Chambesy, biarpun di sana isterinya itu ditemani seorang pembantu
rumah dari Indonesia.
“Eh!
Kenapa Jue termenung lagi tu? Tadi panggil abang makan.” Teguran Abang Imran
mengejutkan aku dari lamunan.
Aku
terus bergerak meninggalkan bilik kerjanya menghala ke ruang makan. Rumah milik
Abang Imran di Chambesy agak besar. Dia seorang pegawai eksekutif di Pejabat Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu beribu pejabat di Geneva. Sudah hampir sepuluh tahun dia
bertugas di sini. Kala itu dia belum pun berkahwin dengan Kak Jiha.
Aku tinggal di salah satu bilik di rumah ini.
Sejak Rayyan Haiqal lahir hingga ke hari ini dia tidur bersamaku. Aku sendiri
takjub kerana dapat menjaga Rayan Haiqal seperti anakku sendiri walaupun aku
tiada pengalaman. Namun aku menjaga dia dengan penuh kasih sayang dan simpati
yang melaut. Anak itu kehilangan ibu.
Rasa
simpatiku pada Rayyan begitu besar. Aku tidak sampai hati untuk meninggalkan
dia. Abang Imran pernah berbicara denganku dari hati ke hati.
“Jue
sanggup jaga Rayyan? Abang nak tanya, sampai bila Jue sanggup jaga dia?”
“Jue
sanggup bang. Jue akan jaga Rayyan sampai bila-bila.”
“Abang rasa tak adil pada Jue kalau Jue terus
jaga Rayyan. Takkanlah Jue nak terus jaga Rayyan sampai besar?”
“Bukanlah
sampai besar. Jue akan jaga dia sampai abang kahwin lagi.”
Abang
Imran tersenyum kecil.
“Kahwin
lagi? Entahlah Jue.” Abang Imran mengeluh.
“Kenapa
entah? Kak Jiha dah tak ada. Abang patut cari pengganti.”
“Pengganti
senang cari Jue. Tapi takkan sama dengan Kak Jiha kamu.”
Memang
lah tak sama, bisik hatiku.
Begitu
besar cintanya pada Kak Jiha. Aku jadi cemburu. Apakah di dunia ini ada seorang
lelaki yang akan mencintaiku seperti itu? Walaupun aku sudah tiada kelak,
suamiku akan terus setia sehingga kami bertemu kembali di Jannah. Aku pernah
mendengar orang berkata, jangan diharap kesetiaan dari seorang lelaki. Lelaki
tidak akan pernah setia. Tapi aku melihat sendiri kesetiaan lelaki di hadapanku
ini. Dia tidak segera berkahwin biarpun sudah hampir setahun isterinya pergi.
“Suatu
hari nanti mungkin abang akan jatuh cinta lagi,” kataku cuba menduga hati dan
perasaannya.
Dia
tertawa pendek.
“Ada
ke perempuan yang mahu pada duda dengan anak satu?”
Aku
diam dan menggigit bibirku dengan kuat. Ada... bisik hati kecilku sahaja.
“Mungkin
Jue yang akan jatuh cinta. Bukannya abang.” Teka Abang Imran sambil tertawa
kecil.
Benar bang! Jue yang dah jatuh cinta. Jue jatuh
cinta pada abang, seorang lelaki yang amat Jue kagumi. Rasa hormatku pada dia
telah bertukar menjadi cinta. Mungkin kerana duniaku hanya di rumah ini.
Walaupun duduk di luar negara, tetapi aku jarang keluar dari rumah yang kudiami
sejak setahun lalu. Aku tidak dapat bebas ke mana-mana. Lagipun aku tidak kenal
sesiapa di sini melainkan Abang Imran.
Kak
Jiha seorang wanita yang baik, penyayang dan lemah lembut orangnya. Aku menyayangi
dia seperti kakak kandungku sendiri. Aku sanjung budi dan tunjuk ajarnya selama
aku berada di rumah ini.
Namun
kini abang Imran bersendirian ke mana-mana jua. Aku tahu, dia masih mencintai Kak Jiha walaupun wanita itu sudah tiada.
Saban petang kulihat dia duduk termenung dan merenung bingkai gambar Kak Jiha
di sudut meja.
Rayyan
baru berusia enam bulan ketika ibunya kembali kepada Tuhan. Kini anak itu sudah
hampir setahun umurnya. Dia amat rapat
dan akrab denganku. Malah kami tidak dapat dipisahkan. Aku merenung wajah Rayyan
yang sedang nyenyak tidur. Kemudian aku meniarap di atas katil sambil mencapai
diari yang menjadi temanku, apabila bersendirian.
Malam
ini terasa begitu dingin dan sepi. Di luar angin bersiul gemersik, di
celah-celah ranting yang telah botak. Dari tingkap cermin yang langsir dikuak,
aku nampak derai salji mulai berguguran ke bumi. Patutlah sejuknya terasa kian
mencengkam. Aku bergerak ke arah alat pemanas lalu menaikkan sedikit suhunya.
Kemudian aku menyelimuti Rayyan dengan sehelai lagi selimut agar dia tidak
kedinginan.
Aku
kembali ke katil dan menulis di perut diari yang kosong.
28
Mac 2013.
Musim dingin datang
menyapa dan rinduku pada kampung halaman tidak akan pernah padam. Sudah setahun,
aku tidak pulang bertemu keluarga. Abang Imran enggan kembali ke Malaysia. Dia
sering memberi alasan sibuk dengan tugas. Aku tahu dia terbang hampir separuh
dari dunia ini kerana tugas, namun dia tidak pernah menjejaki Malaysia.
Aku memang tidak cukup berani untuk pulang
sendiri. Aku datang dahulu dengan Abang Imran.
Lelaki itu merajuk panjang dengan
keluarganya apabila tiada seorang pun saudara mara yang datang ke sini kala
dikhabarkan berita pemergian Kak Jiha.
Aku
turut merasai kehilangannya, sungguh-sungguh. Semasa dia baru pergi, aku kekok
kala berhadapan dengan Abang Imran tanpa kehadiran Kak Jiha. Aku bukannya biasa
sangat dengan Abang Imran. Lebih-lebih lagi jarak usia kami hampir lima belas
tahun. Umur abang Imran tiga puluh lima tahun dan aku baru menyambut lahir
lahir yang ke dua puluh. Dia kahwin lambat, awal 30an baru bertemu jodoh dengan
Kak Jiha. Sayangnya, isteri Abang Imran meninggal dunia pula setelah berkahwin
beberapa tahun.
Aku
sangat menghormati Abang Imran, sebagai seorang saudara dan majikan. Aku sedar
siapa diriku di sisinya. Dia tidak pernah ‘melihat’ aku lebih dari seorang
saudara. Namun hatiku yang degil ini mulai jatuh pada dia! Aku tak ingat sejak
bila... tapi aku tidak boleh lagi memandangnya tanpa debaran di dada. Setiap
kali mata bertentang mata dengannya, jantungku pasti berdegup kencang.
***
LA
LA LA... Kau dah jatuh cinta! Hatiku mengejek diri sendiri. Tapi cintaku
padanya cinta yang penuh rahsia. Tiada sesiapa yang akan tahu, melainkan
diariku ini.
Aku
menulis segala rahsia hatiku di sini. Aku tidak punya teman, tidak punya
saudara di sini. Aku benar-benar bersendirian. Tidak mungkin aku akan berbicara
dengan Rayyan yang belum pandai bercakap. Dia hanya tahu menangis dan bercakap
bahasanya yang tidak kufahami ulas butirnya. Bahasa bayi. Kadang-kadang
terdengar lucu sekali.
Tiba-tiba
Rayyan mengintai wajahku dari celah-celah penghadang katilnya. Matanya yang
bulat kelihatan bersinar ceria.
“Mmmaammmaaa...”
serunya sambil tertawa manja.
Aku
memandang ke arah Rayyan. Dia panggil mama sebentar tadi? Aneh! Aku tidak
pernah mengajarnya perkataan itu, meskipun aku selalu berceloteh kala
membedakkan tubuhnya selepas mandi. Aku juga selalu berceloteh kala memberi dia
susu. Memang ajaib, apabila dia menyebut perkataan pertamanya. Mama!
Apakah
aku salah dengar? Tidak. Memang jelas dia memanggil aku mama.
“Mama!”
panggil Rayyan lagi dari arah katilnya. Dia berusaha untuk berdiri sambil
memegang penghadang katil.
“Mama!”
panggilnya lagi sambil ketawa lucu. Butiran kata-katanya semakin jelas kini.
“Rayyan!
Ni bukan mama kau sayang! Panggil Acik! Acik!” seruku lagi tapi dia tetap menyebut
perkataan ‘mama’ berulang kali. Apabila aku tidak menghiraukannya dia mulai
meraung.
“Suka
hati kaulah. Nak panggil mama pun mama lah. Tapi jangan panggil mama depan ayah
kau ya?” Kataku sambil mengambil dan mendukungnya. Entah dia faham ataupun
tidak kata-kataku itu. Dia ketawa apabila aku mendukungnya. Kedua-dua tangannya
memeluk leherku dan kepalanya mendarat di atas dada.
“Hisy,
manja sangat ni. Nak susu ya? Nanti acik buat ya...” aku tetap membahasakan
diriku ‘acik’.
“Mama...
cucu...” kata Rayyan lagi.
Tergenang
airmataku. Tetap dia memanggil aku mama. Dan perkataan susu menjadi cucu. Lucu
sekali. Dalam linangan airmata akhirnya aku ketawa.
Rayyan
asyik menghisap susu botolnya. Aku merelus rambutnya yang hitam dan lebat.
Rambut itu persis rambut Abang Imran. Rayyan pasti akan menjadi seorang pemuda
yang kacak suatu hari nanti, teka hatiku.
Kala
itu terdengar pintu bilik tidurku diketuk. Aku meninggalkan Rayyan untuk
membuka pintu. Pembantu rumah Abang Imran, Bik Suli ada di luar pintu.
“Pak
Imran pulang,” beritahu Bik Suli.
“Eh,
awal pulak dia balik petang ni.” Kataku sambil spontan mata beralih ke jam
dinding. Belum sampai jam lima petang.
“Pulang
bersama teman-teman sekantor. Katanya mahu merayakan hari lahirnya, Rayyan.”
“Ya
Allah! Lupa saya hari ni hari jadi Rayyan.”
“Nanti
saya siapkan dia dan bawa dia keluar ya, Bik.”
Bik
Suli mengangguk. Katanya Imran ingin mengadakan sedikit jamuan kecik. Kek
harijadi juga sudah dibelikannya bersama dua kotak pizza. Aku terus mendapatkan
Rayyan. Sudah habis sebotol susu dikerjakannya. Lalu aku membuka baju dan
lampinnya dan menggantikan yang baru. Kemudian kubawa dia keluar agar dapat
bertemu dengan bapanya yang baru pulang.
Di
ruang tamu terdengar suara perbualan. Aku melangkah masuk ke ruang itu.
Hidungku terhidu bau makanan. Bik Suli kelihatan baru datang dari dapur,
menatang dulang minuman.
“Hei!
Anak papa!” Seru Imran kala melihat aku datang sambil mendukung Rayyan.
Di
ruang tamu ada beberapa orang teman-teman Abang Imran. Aku perasan ada seorang
perempuan di ruang itu. Dia kelihatan duduk dengan tertib di sofa tunggal.
Matanya memandangku tidak berkelip. Wajahnya cantik dan manis. Pakaiannya juga
melambangkan seorang wanita yang berkerjaya dan moden. Aku dipagut cemburu kata
mata kami saling berlaga.
Abang
Imran mengambil Rayyan dari dukunganku. Dengan wajah ceria Abang Imran
memperkenalkan Rayyan Haiqal pada teman-teman. Aku rasa diriku tidak diperlukan
di ruang itu, lalu kuatur langkah menghala ke dapur. Melihat aku beredar pergi,
Rayyan terus melalak.
“Mama!!!
Mammaaa!!” jerit Rayyan sambil melonjak-lonjak dari atas dukung bapanya.
Dahi
Abang Imran berkerut. Dia terkejut mendengar ungkapan perkataan ‘mama’ yang
terbit dari bibir anaknya. Dia tidak sangka Rayyan sudah pandai bercakap
perkataan mama. Abang Imran memandang ke arahku. Aku melarikan mataku. Dalam
hati secuit sedikit rasa kesal, malu dan geram. Bukan aku yang mengajar anaknya
memanggil perkataan itu! Bukan! Hatiku membentak.
“No... no... Tu bukan mama kau sayang!
Ni... mama... ni!” Abang Imran menunjuk pada Rayyan wanita anggun yang duduk
tenang di sofa. Wanita itu menghulur tangannya ke arah Rayyan, namun anak itu
memeluk leher bapanya sambil terus memandang ke arahku. Matanya kelihatan
berkaca-kaca sebelum airmata mengalir ke pipi.
“Mama!”
seru Rayyan enggan menerima pelukan wanita yang menjadi teman Abang Imran.
***
“Kenapa
Jue ajar Rayyan panggil Jue mama?” tanya Abang Imran.
Wajahnya
begitu seriuus. Dia menyimpan rasa marah padaku. Aku tahu. Setelah
teman-temannya pulang dia terus memanggil aku masuk ke bilik kerjanya.
“Jue
takk pernah ajar...”
“Agh!
Takkanlah Rayyan pandai sendiri panggil mama kalau Jue tak ajar? Jangan nak
memperbodohkan abang Jue. Apa maksud Jue ajar Rayyan macam tu?”
Aku
diam. Memang aku tidak berniat hendak mengambil tempat Kak Jiha. Tidak. Aku
rasa amat terhina. Aku sedar kedudukan di sini. Aku hanya pengasuh. Aku tidak
layak berada di samping dia, sebagai isterinya. Aku tahu. Airmataku
hampir-hampir jatuh di pipi, tetapi aku menahannya dengan sebaik. Jangan
menangis! Bentak hatiku. Jangan menangis di hadapan dia. Itu hanya akan membuat
Abang Imran fikir aku ada hati padanya. Walaupun hakikatnya memang aku sudah
lama jatuh cinta padanya.
“Jue
nak balik Malaysia.” Kataku tanpa berfikir panjang.
“Nampaknya
abang dah ada pengganti Kak Jiha. Biarlah Jue balik sebab Rayyan akan dapat emak
baru.”
Abang
Imran bersetuju dengan mudah.
“Okey,
abang akan uruskan kepulangan Jue secepat mungkin.”
Seminggu
kemudian dia memberikan aku tiket penerbangan pulang. Sejak malam sambutan hari
lahir Rayyan, anak itu tidak lagi tidur
bersamaku. Walaupun dia melalak ingin tidur bersamaku seperti biasa
tetapi Abang Imran berkeras membawa Rayyan tidur sebilik dengannya. Aku tidak
membantah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Terserah. Rayyan itu anak lelakinya.
Aku hanya pengasuh yang tidak diperlukan lagi.
Aku
memberanikan diri pulang sendirian. Abang Imran menghantarku ke Geneva Airport.
Berkali-kali dia berpesan supaya aku menghubunginya apabila sudah tiba di
Malaysia. Ternyata dia bimbang jua melepaskan aku pulang sendirian. Sebenarnya
untuk pulang ke Malaysia tidaklah sesusah yang aku sangka. Penerbanganku
berhenti sebentar di Abu Dhabi. Di lapangan terbang Abu Dhabi aku bertemu
dengan ramai orang-orang Malaysia yang baru pulang dari Umrah, transit di situ.
Beberapa
hari setelah tiba di kampung, aku menyedari diariku tertinggal di Geneva. Pasti
diari itu berada di dalam laci di dalam kamar tidurku. Entah bagaiman diari itu
boleh tertinggal aku pun tidak mengerti. Seingatku semua barang-barang penting
sudah aku masukkan ke dalam beg pakaian sebelum keberangkatan pulang.
Oh!
Tuhan... semoga diari itu tidak ditemui oleh sesiapa, terutama sekali Abang
Imran. Di dalam diari itu aku mencurahkan semua rahsia hatiku. Malunya aku
Tuhan sahaja yang tahu sekiranya diari itu dibaca oleh dia. Oh! Tuhan...
lindungi hambaMu dari rasa malu dan aib.
Meskipun
Abang Imran meminta aku menghubunginya dan memberitahu bahawa aku sudah selamat
sampai di tanahair, tetapi aku enggan berbuat demikian. Aku tidak akan
menghubungi lelaki itu. Tidak. Aku merasakan bahawa dia tidak punya hati dan
rasa, dengan mudah melepaskan aku pulang sendirian.
Saban
malam airmataku menetes sedih apabila teringatkan Rayyan. Aku benar-benar rindu
pada anak itu. Aku terkenang suara dan aksinya yang manja. Aku tersedu kala
teringat Rayyan menangis saat aku mahu meninggalkannya. Entah bagaimana keadaan
dia sekarang? Apakah dia sedang berbahagia bersama wanita yang bakal menjadi
ibu tirinya?
Seminggu
kemudian
“Jue!
Imran nak cakap dengan kau ni!” teriak Emak.
Aku
sedikit terkejut dan menyangka Abang Imran akan menghubungiku. Niat di hati
hendak membisu seribu bahasa tidak menjadi apabila emak berkata; “Rayyan demam
lepas kau balik kampung. Kata Imran, dia asyik panggil kau saja.”
Aku
terus melonjak bangun, berjalan menghala ke telefon di sudut ruang. Emak hanya
menggelengkan kepala apabila melihat aku menerkam telefon yang baru
ditinggalkannya.
“Jue!
Kenapa tak contact abang langsung?”
“Jue
sibuk. Jue tengah cari kerja...” aku sekadar memberi alasan.
“Abang
ada kat KL ni.”
“Kat
KL?” terkejut aku mendengar
kata-katanya.
“Ingatkan
abang dah tak nak jejak kaki ke Malaysia lagi. Kan abang merajuk dengan orang
di sini?”
“Siapa
yang merajuk? Abang tak merajuk. Jue yang merajuk agaknya!”
“Ehhh...
Jue pulak yang dikatakan merajuk,” aku setengah membentak.
Abang
Imran hanya tertawa kecil dan berkata; “Rayyan rindukan Jue. Sampai demam-demam
dia. Terpaksalah abang bawak dia balik sini jumpa Jue.”
Hmmmm....
aku mengeluh. Rayyan yang rindukan aku, bukan bapanya. Dia pasti sedang
menyulam bahagia dengan wanita anggun itu. Siapalah aku nak cemburu. Aku diam
sahaja kemudian meletakkan telefon setelah mengucapkan selama malam.
Keesokan
harinya, Abang Imran pulang ke kampung. Tanpa sempat ke rumah ibunya dia terus
singgah di rumahku terlebih dahulu. Rayyan menghulur tangannya ke arahku minta
didukung. Aku memeluk dan menciumnya bertalu-talu sambil diperhati oleh Abang
Imran dan emak. Mereka tersenyum sahaja melihat aksi manja Rayyan yang memeluk
leherku dengan erat.
“Berapa
lama cuti ni Imran?” tanya emak ingin tahu.
“Lama
juga, ambil cuti panjang sikit. Dah lama tak balik kampung. Rayyan pun belum
pernah lagi jumpa dengan neneknya.”
Emak
mengangguk.
“Saya...
saya nak kahwin, Mak De.”
“Ehhh,
eloklah. Memang dah lama kau tu menduda.
Kahwinlah Imran. Anak kau ni ada orang yang akan menjaganya.”
Imran
diam, menundukkan wajahnya seperti malu pula. Aku menjeling sekilas ke arahnya,
kemudian membawa Rayyan turun ke tanah. Malas aku hendak mendengar cerita
tentang bakal isteri Abang Imran. Mestilah dia pulang untuk meminta restu
daripada emaknya untuk berkahwin lagi.
“Mamaaaa!” ucap Rayyan sambil jari kecilnya
menuding ke arah bunga raya yang sedang kembang. Aku membawa Rayyan mendekati
rimbunan bunga raya yang terletak di sudut halaman.
“Cantik
kan? Bunga!” aku mengajar Rayyan bercakap.
“Munga.”
“Bukan
munga. Bunga.”
“Munga.”
Aku
tertawa mendengar kata-katanya yang pelat. Lucu benar mendengar sebutannya itu.
Memang comel sangat. Geram aku jadinya. Lalu aku cium pipinya yang montel.
Tidak dinafikan aku sangat sayangkan dia.
“Mama...”
“Bukan
mama. Ni acik!”
“Mama...”
“Acikkkk!!!”
Aku merenung mata bulat bundar Rayyan. Dia tertawa dan terus menyeru nama mama.
“Biarlah
dia terus panggil Jue, mama!” aku mendengar suara Abang Imran yang berada di
belakangku. Aku tidak sedar bilakah dia turun ke halaman dan mengikut aku dan
Rayyan dari belakang dalam keadaan senyap.
“Buat
apa? Kan abang tak suka dia panggil Jue mama. Kan abang dah ada pengganti?”
“Jue,”
seru Abang Imran dengan suara yang lembut.
“Abang
baru sedar yang abang sama juga macam Rayyan, tak boleh hidup tanpa Jue. Lepas
Jue balik Malaysia, abang terasa sangat Jue tak ada. Abang sayangkan Jue.”
Bibirku
mencebik tanpa sedar.
“Abang
jumpa diari Jue ya? Abang dah baca diari Jue, sebab tu lah abang cakap gitu.”
“Diari?
Tak ada,” jawab Abang Imran dengan wajah terpinga-pinga.
“Jangan
nak tipulah. Kan abang dah ada calon? Jue ni hanya menyibuk je. Tak layak
mencintai abang.”
“Jue,
abang ikhlas. Memang mulanya abang tak sedar perasaan abang pada Jue. Tapi bila
Jue tak ada abang terasa sangat. Abang nak Jue ikut abang balik Chambesy,
sebagai isteri abang.”
Aku
diam kelu lidahku. Kulihat emak tersenyum dari arah berenda, memerhati kami
bertiga.