Lagu
perpisahan bergema terus mengalun mengusik hati Megat yang dari detik ke detik
kian gelisah.
“Kau masih tidak percayakan aku? Kau masih marah pada aku?
Cukup-cukuplah Embun, jangan biarkan aku begini. Aku merayu kau buang semua ego
kau itu.”
Sejak dari tadi Megat terus menerus merayu kepada kekasihnya
Embun. Dia cuba memenangi kembali hati wanita yang dicintainya itu. Dia tahu
jika Embun tidak memaafkannya maka, hubungan yang sudah terjalin sejak sekian
lama bakal menemui titik noktah. Embun
seorang wanita yang jiwanya tidak mudah rapuh dengan pujukan seorang lelaki.
Dia sudah banyak kali dikecewakan dan bila sekali lagi menerima nasib yang
serupa dia tidak mungkin dapat memaafkan. Embun masih duduk di sofa biru itu,
memalingkan wajahnya ke arah lain, tidak mahu matanya melihat wajah Megat yang
sebentar lagi mungkin bakal meninggalkannya jika dia terus-terusan bersikap
dingin sebegitu. Itu kata hati Embun, namun hakikatnya Megat tidak mudah mengalah.
Sekejap dia berdiri, kemudian dia duduk di sebelah Embun, selepas itu dia
melutut di atas lantai sangat hampir dengan kaki Embun. Dia merayu dan merayu,
memujuk hati sang kekasih yang mula hilang keyakinan pada dirinya. Megat
merasakan bahawa Embun punya ego. Ego yang sangat tinggi, tidak mudah untuk
ditundukkan ego tersebut. Megat tahu kesalahan yang dia lakukan bukan terlalu
besar, tetapi Embun yang sangat beremosi, langsung tidak mahu menerima
penjelasannya.
“Cuba kau katakan pada aku, apa lagi yang harus aku lakukan
untuk menyakinkan kau yang aku benar-benar mengaku akan kesalahan aku dan aku
janji tidak akan mengulangi lagi.” Megat cuba menyentuh tangan Embun
namun wanita itu pantas mengalihkan tangannya dari sentuhan Megat.
Riak
wajah Megat membeku. Dia berdiri dan berjalan beberapa langkah sebelum
menyalakan sebatang rokok. Selepas dua tiga hembusan, Megat kembali menghampiri
Embun dengan rokoknya terbiar di celah jari, namun langkahnya berhenti di depan
meja kopi. Dia memandang Embun penuh.“Kau tahu Embun, sebenarnya aku sudah
letih dan bosan dengan sikap kau ini. Kau seorang wanita yang lemah lembut di
luar tetapi keras di dalam. Hati kau itu seperti seketul batu yang tidak
mungkin pecah hanya dengan kata-kataku sahaja. Kau menghukum tanpa membiarkan
aku mempertahankan diri.”
Pandangan
Embun perlahan-lahan beralih ke arah Megat. Dia merenung wajah Megat seakan
cuba untuk melepaskan segala emosi yang terpendam di dalam hati.
“Kau beritahu aku Megat, wanita mana yang mampu bersabar
apabila melihat kecurangan di depan mata? Kau kata aku ego, tapi pernah kau
bertanya pada diri sendiri, lelaki jenis apakah kau itu yang begitu mudah
membeli kasih sayang dengan wang ringgit.”
Wajah
yang tadi kelihatan bengang kini menjadi hiba. Air mata Embun sudah tidak mampu
untuk ditahan lagi, kesedihan mulai perlahan-lahan membaluti tubuhnya.
“Aku akui aku berlaku curang, tetapi aku tidak berniat. Semua
itu berlaku tanpa aku sedari. Kau tahu perempuan-perempuan murahan itu memang
mudah dibeli dengan wang ringgit. Tapi kau tak seperti mereka Embun. Maafkan
aku.”
Embun
merenung jauh, dia teringatkan sesuatu. Dia teringat ketika mula-mula dia
mengenali Megat. Lelaki yang memiliki segala-galanya yang diidamkan wanita.
Megat hadir ibarat cahaya yang menerangkan kegelapan hidupnya yang suatu ketika
hilang arah selepas diperdaya oleh si kekasih
yang kononnya menjanjikan bahagia. Namun itu semua harapan palsu. Ketika
Embun hampir-hampir terjerumus ke dalam lembah kehinaan, Megat menjadi
penyelamatnya. Embun sebak, dia teringat saat-saat romantis bila bersama Megat,
bagaimana lelaki itu memberikan segala yang dia inginkan. Rumah, kereta malah
segala macam kemewahan yang diinginkannya dipenuhi oleh lelaki itu. Namun
lelaki seperti Megat memang tidak cukup dengan seorang wanita. Kadang-kala dia
berasakan kesetiaannya pada Megat seperti sia-sia. Sampai ke saat ini dia masih
tidak memiliki apa-apa ikatan sah disisi undang-undang dengan Megat. Pada
dasarnya Embun tidak ubah seperti anak patung yang disimpan Megat dengan rapi
bagi memenuhi keinginan diri. Adakalanya Embun berfikir adakah Megat
benar-benar cinta padanya? Adakah Megat benar-benar sayang padanya. Namun
semakin Embun memikirkan hal itu semakin dia berasa dirinya seperti seorang
pengemis yang bezanya tidak meminta wang tetapi cinta dan kasih sayang.
“Kita putuskan hubungan ini saja. Aku sudah tidak mahu berada
dalam sangkar peliharaan kau lagi. Kau pergilah, puaskan diri kau dengan nafsu
yang seringkali menipu kau Megat.” Embun melemparkan kata-kata yang
membuatkan Megat tersentak.
“Kau sudah fikir masak-masak?”
“Sudah. Cukup semua ini yang aku lalui.”
“Apa? Yang kau lalui? Kau lupa siapa yang memberikan semua
ini pada kau. Kau lupa kalau bukan kerana aku kau sudah menjadi wanita murahan
yang menjual diri di lorong-lorong kota. Aku tidak minta banyak dari kau, cuma
kasih sayang.” Megat bernada kesal.
“Kasih sayang? Selama ini bukankah kau dah mendapatkannya
dari aku. Cuma aku yang tak pernah merasainya dari kau!”
Embun meninggikan suara. Dia sudah tidak dapat menahan lagi gelora kemarahan di
jiwanya.
Megat
terdiam. Seakan terkesima dengan kata-kata Embun itu. Kekesalannya tadi mati
tiba-tiba. Dia menyedari yang selama ini dia hanya mahukan Embun memenuhi
keperluan nafsunya. Benar, dia pernah menjanjikan untuk memperisterikan Embun,
namun sehingga ke saat ini janji-janji itu tidak dapat ditunaikannya. Dia
sendiri tersepit antara memilih untuk membawa hubungan mereka ke satu tahap
yang baru atau terus leka bergelumang dosa. Embun, wanita yang dia sendiri
tidak tahu dari mana asal usulnya hadir tatkala dia kehilangan isteri
tersayang.
“Baiklah. Kalau ini yang kau mahukan, lebih baik kita
berpisah. Apa guna lagi aku merayu dan merayu pada kau Embun. Sebenarnya kau
yang tamak. Kau sedar kita tidak punya apa-apa hubungan yang halal, maka kau
sebolehnya cuba mengunci aku. Aku lelaki Embun, lelaki yang sentiasa dipenuhi
dengan hawa nafsu. Benar aku gunakan wang untuk membeli kasih sayang, tapi
dengan kau aku turut memberikan hati aku.”
Megat
menghampiri Embun yang sedang memeluk tubuh sendiri di sofa biru itu. Dia
melabuhkan punggungnya di sofa biru itu lalu
menatap wajah Embun sedalamnya.
“Kau tahu Embun, mengapa aku belum mahu memperisterikan kau?”
Embun
mengelengkan kepalanya, dia melihat wajah Megat, seraya dengan nada lembut
berkata“Mengapa?”
“Kerana aku terlalu berdosa. Berdosa pada kau, pada keluarga
ku, pada Tuhan.”
“Kerana itu aku mahu kita akhiri semua ini. Aku sedia menjadi
Isteri kau. Aku bukan mahu semua ini. Kemewahan ini semua aku tidak mahu.”
Embun memegang lengan Megat, matanya
terpaku pada wajah Megat. Sebaliknya lelaki itu tidak berkata apa-apa.
Megat
kemudian bangun dari sofa biru, bergerak perlahan-lahan menghampiri muka pintu
meninggalkan Embun sendiri membatu. Dia langsung tidak menoleh ke arah Embun.
Tiada kata-kata ucapan selamat tinggal darinya. Embun kelihatan kebingungan.
Tidak menduga kekasihnya akan pergi begitu saja. Penonton yang di bawah pentas
juga sedikit kehairanan, mereka tidak menduga penutup kisah ini sebegitu rupa,
namun kemudian seluruh hadirin bangun bersama senyuman di wajah lantas
memberikan tepukan tanda penghargaan. Maka malam itu berakhirlah pementasan
sebuah kisah cinta yang mana dua watak utamanya tidak menemui kebahagiaan.