Home Cerpen Thriller/Aksi Hari-Hari Terakhir Seorang Pembunuh Upahan.
Hari-Hari Terakhir Seorang Pembunuh Upahan.
illifadli
9/11/2016 02:21:18
4,158
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG PEMBUNUH UPAHAN


Jangan bimbang hari ini saya tidak membunuh. Saya cuma memerhati sasaran saya. Sedang berdiri berhampiran pintu tren LRT ini, itulah dia. Seorang lelaki berambut kerinting, berkulit coklat gelap memakai jaket denim berwarna biru. Citarasanya pada fesyen sangat hambar. Jaket itu mungkin dibeli secara bundle dari pasar malam, mungkin. Lelaki ini pada zahirnya kelihatan naif. Tapi jangan mudah tertipu. Dia bukan seperti penumpang lain. Dia punya misi. Menyeluk saku. Itulah misinya. Dia licik dan tidak mudah tertangkap. Tetapi malang, semalam dia telah menyeluk kocek seluar seorang lelaki yang menyedari dompetnya hilang ketika mahu membayar di kaunter sebuah pasar raya.

Malang, kerana lelaki pencopet itu telah menempah maut. Dompet yang dicuri itu bukan milik sebarangan orang. Ia milik saya, seorang pembunuh upahan. Ya saya seorang pembunuh upahan. Pekerjaan ini sudah saya lakukan sejak lima tahun lepas. Tapi saya tidak membunuh tanpa sebab. Sasaran saya cuma golongan Penyeluk Saku, Pencuri, Perompak, Peragut, Pembunuh dan Perogol yang tidak dapat dikesan oleh undang-undang. Mahu tahu kenapa saya boleh terjebak dalam perilaku yang dipenuhi dosa ini? Nanti saya ceritakan. Tapi sebelum itu biar saya uruskan lelaki berambut kerinting itu dulu.

Tentu anda mahu tahu bagaimana saya menyedari yang lelaki berambut kerinting itu telah mencopet dompet saya kan? Mari saya jelaskan. Semalam saya naik LRT dari stesen IOI Puchong ke stesen Tesco Puchong. Memang niat saya mahu membeli sesuatu di pasar raya Tesco setelah menyelesaikan urusan perbincangan dengan seorang klien. Ketika di dalam LRT saya sudah perasan gerak laku lelaki berambut kerinting itu yang agak mencurigakan. Ketika keluar dari LRT lelaki itu telah melanggar bahu saya dan tanpa rasa bersalah tidak mahu meminta maaf. Mungkin pada ketika itu dia telah menyeluk kocek seluar saya, mungkin.

Untuk menguatkan lagi telahan saya, rakaman cctv di stesen LRT Tesco Puchong telah mendedahkan segalanya. Dan hari ini saya bernasib baik bertemu dengan lelaki itu lagi setelah dari pagi menghabiskan masa di dalam tren LRT dari satu stesen ke satu stesen tapi nasib baik itu sudah pasti tidak berpihak padanya.

Next Station Pasar Seni

Lelaki berambut kerinting itu keluar dari tren LRT. Saya mengekorinya dari belakang. Tiga meter. Jarak antara saya dan dia. Di hadapan lelaki berambut kerinting itu ada seorang perempuan berambut paras bahu memegang fail berwarna merah jambu.

Kini kami akan menuruni tangga. Memang dasar pencopet. Lelaki berambut kerinting itu sengaja melanggar perempuan itu tadi sehingga isi failnya bertaburan di atas laluan pejalan kaki. Kini saya berdiri di depan perempuan yang sedang terduduk di laluan pejalan kaki manakala lelaki berambut kerinting itu telah mengatur langkah pantas ke seberang jalan memasuki kawasan Pasar Seni.

“Cik tak apa-apa?” tanya saya pada perempuan itu.

“Tak. Tapi semua kertas-kertas ini penting. Bodoh ar lelaki tu main langgar je.” Jawab perempuan itu dengan nada sedikit marah.

Mungkin perempuan itu masih belum sedar. Tetapi dompet di dalam beg tangannya pasti sudah tiada.

“Saya rasa lelaki tu penyeluk saku. Cuba cik check dalam beg tangan tu ada apa-apa yang hilang?” tanya saya lagi.

Perempuan itu mencari-cari sesuatu di dalam beg tangannya manakala saya membantu mengutip semua kertas-kertas yang bertaburan. Mujur tiada angin yang terlalu kuat untuk menerbangkan kertas-kertas itu.

“Oh shit!Dompet saya dah hilang! Sial ar lelaki tu, babi!” perempuan itu mengeluarkan kata-kata makian.

Saya tidak berkata apa-apa. Bahkan saya memahami perasaan perempuan itu. Kehilangan beg duit memang sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Encik boleh tolong saya? Pinjamkan saya telefon boleh?” tanya perempuan itu pada saya.

Tanpa ragu-ragu saya menghulurkan telefon pintar HTC padanya. Nampaknya nasib lelaki berambut kerinting itu memang baik. Dapat melarikan diri dari saya bahkan sempat lagi mencopet dompet perempuan itu.

“Terima kasih.” Perempuan itu menghulurkan kembali telefon pintar kepada saya usai menggunakannya.

“Ada apa-apa lagi yang mahu saya bantu?”

“Tak. It’s okay, saya dah minta rakan saya datang jumpa saya.”

“Ok. Jaga diri. Hati-hati.” Pesan saya padanya.

Saya berjalan ke arah lampu isyarat manakala perempuan itu berjalan ke arah pondok bas. Sementara lampu isyarat masih tidak membenarkan saya melintas jalan, mata saya kembali menangkap ke arah perempuan itu. Kelihatan wajahnya muram. Saya harap dia tidak menangis. Saya harap.

***************

“Tujuh ribu pendahuluan. Selesai kerja aku bagi baki lapan ribu tu.”

Saya tidak mengiyakan kata-kata lelaki yang berada di hadapan saya. Bunyi bising kipas siling di restoran Nasi Kandar Old Town ini sedikit menganggu saya. Kipas siling itu mungkin sudah terlalu lama mungkin.

“So orang itu akan setuju tak?” tanya lelaki itu lagi.

“60 peratus dari jumlah bayaran. Kalau tak batalkan.” Ujar saya.

“Ok. Ok aku ikut kata kau.”

Lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya. Envelope berwarna coklat. Kelihatan tebal dari biasa. Itu sudah pasti berisi duit. Kemudian satu lagi envelope berwarna putih diletakkan di atas meja.

“Dalam tu ada tujuh ribu. Kejap lagi kau ikut aku pergi bank kat hujung tu aku bagi kau lagi dua ribu. 60 peratus kan?”

Saya mengambil kedua-dua envelope itu dan memasukkan ke dalam tote bag yang berada di kerusi sebelah.

“Tapi kau memang kenal dengan pembunuh upahan ni ke? Kalau kau songlap duit itu macam mana?” tanya dia lagi.

Tuan punya restoran ini melihat saya dari kaunter bayaran sambil tersenyum. Saya tak pasti apa yang difikirkannya. Kemudian saya bangun dari kerusi dan bersedia untuk mengatur langkah menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Lelaki itu mengekori saya dari belakang.

**************

Saya berada di dalam kereta di dalam kawasan Pasar Borong Selangor. Saya memegang envelope berwarna putih yang saya perolehi dari seorang lelaki di PJ Old Town pagi tadi. Dalam envelope itu ada maklumat berkaitan sasaran terbaharu saya.

“Pastikan dia dibunuh dan jangan tinggalkan kesan.”

Saya teringat pada kata-kata lelaki yang saya temui pagi tadi. Saya buka envelope putih itu dan ada sekeping kertas bersaiz A4 yang mempunyai maklumat berkaitan sasaran saya.

IDHAM BIN MOKHTAR

UMUR 22 TAHUN

PENGANGGUR + PENYELUK SAKU

KETINGGIAN SEDERHANA

BERKULIT COKLAT

BERAMBUT KERINTING

SERING DI LIHAT DI FLAT MERAH JAMBU SEBELAH SHELL TAMAN MEDAN PJ

LIHAT BELAKANG KERTAS ADA GAMBAR.

Itu maklumat yang saya baca di kertas A4 itu. Kemudian saya lihat di bahagian belakang kertas itu. Ada gambar berwarna yang dicetak menggunakan printer. Saya tersenyum. Sasaran saya untuk kali ini adalah seseorang yang memang sedang saya cari. Ingat lagi pada lelaki yang mencopet dompet saya dua hari lepas? Ya, dia adalah sasaran saya yang dikehendaki untuk dihapuskan oleh klien saya.

“Bagus. Menepati kriteria.”

***************

“Tolong bang, jangan apa-apakan saya bang. Ok kalau pasal dompet abang tu nanti saya pulangkan. Ada dekat rumah saya tu. Jom kita pergi rumah saya. Tolong ar bang saya merayu ni!”

Saya memandu di lebuhraya menuju ke Ipoh, baharu melepasi Ulu Bernam. Lelaki berambut kerinting itu berada di tempat duduk belakang Toyota Wish ini. Kakinya telah saya ikat. Begitu juga tangannya diikat ke belakang. Tadi matanya saya tutup namun apabila memasuki lebuhraya saya tanggalkan kain yang menutupi matanya. Biar dia lebih jelas pada destinasinya.

Bagaimana lelaki itu boleh berada dalam kereta Toyota Wish yang saya sewa ini? Sejam yang lalu saya mengekori lelaki itu di kawasan flat di Taman Medan. Ketika dia berjalan menuju ke sebuah restoran saya memanggilnya dari dalam kereta.

“Dik, boleh tumpang tanya? Mana Sekolah Kebangsaan PJ ya? Adik tahu?”

Lelaki ittu menjawab, “SKPJ? Abang kena keluar dari sini ikut jalan besar tu.”

“Adik boleh tolong tunjukkan? Abang baharu datang dari Ipoh. Tak tahu jalan sini. Abang bagi upah.”

Saya hulurkan sekeping wang dengan not lima puluh ringgit. Tanpa banyak cerita lelaki itu masuk ke dalam kereta. Nampak tak? Orang yang bila nampak duit, gelap mata memang tak banyak fikir bahkan dia tak perasan pada wajah saya. Oh mungkin memang dia tak perasan.

“Tolong ar bang! Jangan bunuh saya! Tolong bang saya ada mak lagi!”

Lelaki berambut kerinting itu menjerit merayu.

“Nama kau Idham bin Mokhtar kan? Kau tahu kenapa aku nak bunuh kau?”

“Mana saya tahu! Tolong ar bang saya merayu ni. Kesian pada mak saya. Dia dekat rumah seorang-seorang.”

“Kalau kau ada mak kenapa kau buat kerja kotor curi dompet orang?” tanya saya lagi.

“Demi Allah bang! Saya buat tu semua bersebab. Tiga bulan lepas saya kerja. Lepas mak sakit saya berhenti kerja. Seluk saku ni saya buat part time je bang. Kadang-kadang.”

“Dalam dompet aku yang kau copet tu ada empat ratus dua puluh dua ringgit kan? Duit sebanyak tu tak cukup untuk belanja seminggu ke? Sampai kau curi dompet budak perempuan dekat stesen LRT Pasar Seni tu?”

Dia terdiam. Saya melihat cermin pandang belakang. Lelaki itu tidak memberi reaksi balas pada kata-kata saya itu tadi.

“Duit tu bapak tiri saya dah kebas. Bapak tiri saya mat pet. Kerja malas cuma tahu hisap dadah. Tak pernah balik rumah. Tapi bila balik dia minta duit dari mak saya. Sebab dialah mak saya jatuh sakit.”

Intonasi suaranya berbeza kali ini. Tidak menjerit-jerit seperti sebelum ini. Kali ini agak tenang.

“Perempuan yang saya curi dompet dia itu bukan perempuan baik pun.” Sambung lelaki itu lagi.

“Maksud kau?” tanya saya.

“Perempuan tu ada skandal dengan pensyarah dia. Dah lama dah.”

“Mana kau tahu?”

“Dulu saya pernah belajar di kolej tempat dia belajar sekarang. Sebelum saya berhenti.”

“Tadi kau cakap dulu kau kerja. Sekarang kau cakap dulu kau pernah belajar. Kau nak kencing aku ke?” saya menoleh ke belakang melihat lelaki itu.

“Saya sempat belajar dua semester. Diploma Pemasaran. Lepas mak kahwin baharu, saya berhenti belajar. Saya boikot. Kemudian saya kerja dekat hotel Pearl Point. Tak sampai setahun, hidup mak saya kucar kacir. Suami dia tu rupanya penagih dadah. Masa kahwin dia cakap pada mak dia kerja sebagai supervisor dekat pasar raya. Rupanya dia dah tahu mak saya ni janda ada duit sebab itu dia pikat. Saya memang dah agak dari awal tapi mak saya tak percaya.”

“Pasal perempuan tu. Macam mana kau tahu dia ada skandal dengan pensyarah dia?”

“Saya ada rakam aksi tak senonoh dorang berdua dalam kereta. Saya ugut pensyarah tu. Saya cakap nak bagitahu pada isteri dia. Tiap-tiap minggu saya akan pergi ke kolej paudia seratus ringgit.”

“Perempuan tu? Dia tahu apa-apa?” saya semakin ingin tahu.

“Tak. Dia itu baharu dua semester dekat situ. Dia tak kenal saya. Masa saya belajar dekat kolej tu dia belum masuk lagi. Abang tahu kenapa saya curi dompet dia hari tu?”

“Kau rasa aku perlu tahu?”

“Perlu. Saya sebenarnya nak ambil gambar dia dalam dompet tu. Saya nak berikan pada isteri pensyarah yang ada skandal dengan budak perempuan tu. Patutnya malam ini saya nak jumpa dengan isteri pensyarah tu, saya nak bagi semua bukti.”

“Bukti? Untuk apa? Dia bayar kau ke?”

“Pensyarah tu dah bayar saya. Lima belas ribu lum sum. Tapi saya rasa bersalah sebab isteri dia masih tak tahu suaminya curang. Jadi saya rasa patut semua bukti kelakuan dia saya serahkan. Saya dah buat keputusan lepas ini saya tak mahu ambil tahu hal dorang lagi. Tapi belum sempat saya ambil duit itu dalam bank, dah jadi macam ini.”

“Hahahaha! Rugi ar kau macam itu. Tak sempat merasa duit tu akan kena bunuh.” Saya menyindir.

“Sekejap. Saya nak dibunuh bukan sebab curi dompet abang kan?”

“Itu salah satu sebab. Tapi ada orang yang upah aku untuk bunuh kau. Mungkin kau pernah curi dompet dia.”

“Siapa?”

“Aku tak kenal. Kerja aku tak pernah ditemukan dengan klien. Aku cuma berjumpa dengan wakil dia. Lagipun semua orang yang jumpa aku tak fikir aku ni pembunuh. Mereka fikir aku ejen si pembunuh upahan.”

“Ah, saya tahu. Ini kerja pensyarah tu. Celaka!” lelaki itu menjerit tidak puas hati.

“Aku tak tahu. Dah aku tak mahu dengar cerita kau lagi.”

“Orang yang jumpa abang tu ada bagi nombor telefon? Cuba abang tanya dia siapa yang nak saya mati tu.”

“Itu bukan hal aku.”

“Anggap ini permintaan terakhir saya boleh?” lelaki itu seperti cuba merayu.

Saya tidak membalas kata-katanya. Pemanduan saya begitu lancar. Lebih kurang sejam lagi saya akan sampai ke destinasi tujuan. Tapi ada sesuatu pada lelaki berambut kerinting itu yang buat saya sedikit teragak-agak. Tidak. Saya bukan teragak-agak mahu membunuhnya kerana itu memang tugas saya. Tapi ceritanya tadi. Saya fikir mungkin ada benarnya.

“014-2345674. Itu Nombor pensyarah yang saya ugut itu. Abang cuba call. Tanya sendiri.”

Lebih kurang dua puluh minit berlalu sebelum saya memutuskan untuk menelefon nombor yang diberikan oleh lelaki berambut kerinting itu. Wajahnya kelihatan gusar tetapi ada riak ketenangan. Saya tak pernah melihat seorang yang bakal mati setenang itu.

“Hello”

“Hello. Siapa itu. Kalau tak mahu cakap jangan call.”

“Wakil encik minta saya call encik terus. Katanya kalau urusan dah selesai maklumkan pada encik.”

“Urusan? What urusan apa? Kamu merepek apa ni?”

“Lelaki berambut kerinting. Wakil encik berikan saya maklumat itu.”

“Bodoh punya Kamal. Dia bagi nombor telefon saya pada kamu? Eh dengar sini, saya dah bayar dan saya tak mahu tahu apa-apa. Jangan call saya. Satu lagi kalau polis cari saya kamu siaplah. Delete nombor saya. Faham!”

Panggilan telefon diputuskan. Kata-kata lelaki berambut kerinting itu memang benar. Mungkin saya harus beri peluang pada lelaki berambut kerinting itu. Tapi suka saya ingatkan, saya ini pembunuh upahan yang berprinsip. Tidak ambil duit jika tidak buat kerja.

“Bila kau akan jumpa isteri pensyarah itu?”

“Malam ini. Sekarang abang percayakan saya kan.”

Saya terdiam.

Kami tidak berkata apa-apa melebihi tempoh satu jam. Saya fokus pada pemanduan dan lelaki berambut kerinting itu merenung jauh ke cermin kereta. Saya sudah memasuki bandar Ipoh. Misi harus saya sempurnakan.

“Saya nak buat satu perjanjian dengan abang. Boleh?”

“Perjanjian? Bukan kau patut ingat pada Tuhan pada waktu-waktu sekarang ini?”

“Tapi tak salah kalau abang dengar dulu kan?”

Saya memandang cermin pandang belakang. Lelaki berambut kerinting itu sedang tersenyum. Gila apa sudah mahu dibunuh masih tersenyum.

“Perjanjian apa? Cakaplah.”

“Sebelum tu saya nak tanya. Abang ni jenis yang bunuh semua jenis manusia ke atau ada kriteria tertentu?”

“Tak. Aku cuma bunuh orang yang buat enam jenis jenayah.”

Lelaki itu ketawa mendengar kata-kata saya. Kemudian dia menyambung tanya.

“Contoh?”

“Penyeluk Saku, Pencuri, Perompak, Peragut, Pembunuh dan Perogol”

“Ada jugak pembunuh upahan yang macam itu ya.”

“Jadi perjanjian apa yang kau nak buat?”

“Maknanya saya bukan tergolong dalam enam jenis manusia yang abang cakap tadi kan?”

“Kau dah curi dompet aku. Jadi kau tergolong sekali.”

“Tapi yang upah abang tu mahu saya dibunuh sebab saya tahu skandal dia. Sebab tu dia nak bunuh saya. Sekarang biar saya upah abang untuk bunuh seseorang yang betul-betul memenuhi kriteria abang. Boleh?”

“Kau gila? Kau nak bayar pakai apa? Jangan buat lawak.”

“Abang ambil duit yang saya dapat dari pensyarah tu.”

“Dalam dompet saya ada kad bank ada nombor pin belakang gambar mak saya. Lepas abang bunuh saya, abang ambil kad bank tu keluarkan duit tu.”

“Kau nak aku bunuh siapa?”

“Abang bunuh bapak tiri saya. Dia tu selain menagih dia juga meragut, seluk saku, curi.”

“Aku tak kenal bapak tiri kau. Lagipun tujuan aku memang nak bunuh kau.”

“Saya ada gambar dia. Tapi tak salah kalau saya pula upah abang kan?”

“Jadi kau sedia dibunuh? Mak kau? Kalau suami dia mati siapa nak jaga dia?”

“Bapak tiri saya tu memang tak pernah jaga mak saya. Kalau dia hidup pun akan tambah susah lagi. Jadi abang setuju ke tak?”

“Tadi kau suruh aku jangan bunuh kau sebab kesiankan mak kau. Jadi kau rela biar mak kau hidup bersendiri?”

“Arwah bapak saya cakap, suatu hari kita akan tahu bila tiba masanya untuk kita pergi. Rasanya masa saya dah tiba. Ya, saya sedih dengan keadaan mak saya sekarang. Tapi dah terlambat.”

“Kau sedih tapi kau jadi pencopet, duit tu kau bagi mak kau makan. Itu namanya kesian?”

“Saya tak buat makan duit tu. Kalau abang nak tahu semua duit hasil kejam haram tu saya buat bayar hutang along. Bapak tiri saya berhutang dan along cari kami setiap minggu untuk mintak duit!”

Saya terkejut dengan kata-katanya. Tapi boleh jadi dia menipu.

“Kalau abang tak mahu percaya. Hak abang. Tapi abang setuju dengan tawaran saya tak?”

“Kalau abang setuju kita kena balik rumah saya dulu. Nanti saya bagi gambar bapak tiri saya pada abang. So setuju ke?” tanya lelaki berambut kerinting itu lagi.

Saya tidak memberikan jawapan. Sekiranya saya bersetuju beerti saya harus berpatah balik, pergi ke rumah lelaki berambut kerinting itu untuk mengambil gambar bapak tirinya yang mahu dijadikan sasaran seterusnya. Tapi bukankah itu bermakna saya akan menangguhkan pembunuhan ini?

Sekali lagi saya ingatkan saya ada prinsip. Tidak ambil duit kalau tidak buat kerja. Lelaki berambut kerinting ini harus dibunuh kerana upah telah dibayar walau tidak penuh. Tapi suka saya ingatkan saya juga ada satu prinsip lagi. Saya tidak akan bertemu dengan klien saya selepas kerja dilakukan samaada berjaya atau tidak dan klien saya juga tidak akan mencari saya selepas kerja dilakukan samaada berjaya atau tidak. Itu muktamad. Saya menoleh ke belakang melihat lelaki berambut kerinting itu, mungkin untuk kali terakhir. Mungkin.

**************

Lelaki berusia pertengahan 40 an itu berlari pantas sehingga sukar untuk saya mengejarnya. Namun saya berusaha berlari selaju mungkin. Celaka ingatkan Mat Pet macam dia lari tak laju tapi boleh tahan jugak!

Saya terus mengejarnya sehingga ke lorong belakang bangunan kedai. Lelaki itu sudah kepenatan lalu berhenti berlari. Dia membongkok, nafasnya tercungap-cungap. Saya turut berhenti berlari. Jarak antara kami lebih kurang sepuluh meter.

“Celaka Lu, apasal kejar gua hah? Lu polis ke?” lelaki itu menjerit.

Saya berjalan ke arah lelaki itu.

“Gua tak ada barang pun dalam poket ni. Lu kejar gua pun sia-sia bhai.” Ujar lelaki itu lagi.

“Aku tak mahu barang kau. Aku ada tujuan. Kau mahu tahu tujuan aku?”

“Tujuan apa? Lu merepek apa ni?”

“Kau tahu sebab kenapa kau nak dibunuh?”

“Hoi! Lu Malaikat Maut ke apa hah! Apasal gua nak kena bunuh? Gua bukan curi duit. Gua hisap dadah je kot. Lu bunuh ar orang lain tu.”

Kebukk!

Satu tumbukan hinggap di pipi kirinya. Lelaki itu melawan. Dia cuba menendang ke arah perut saya namun tangan saya lebih pantas menepis kakinya dan sebegitu juga saya memusingkan badan dan melakukan tendangan tepat ke arah lehernya. Dia terjatuh.

Bangg bangg!

Dua das tembakan tepat ke arah dada kiri lelaki itu. Maaf saya bukan pembunuh upahan yang banyak cakap. Sekali pistol dikeluarkan pasti ada mangsa menanti.

Saya berjalan pantas meninggalkan kawasan lorong belakang kedai. Kepekatan langit malam dan cahaya lampu jalan yang samar-samar menjadi saksi perilaku saya tadi. Oh tak lupa Tuhan juga melihat.

Sekarang mari saya ceritakan bagaimana saya boleh menjadi pembunuh upahan. Lima tahun lalu. Semuanya bermula pada detik itu. Ketika saya dan isteri berjalan kaki di Kuala Lumpur, seorang lelaki telah meragut beg tangan isteri saya. Perbuatannya itu tidak dapat saya maafkan. Kerana perbuatan peragut itu isteri saya telah mati. Saya berlari mengejar peragut itu tanpa menyedari isteri saya turut mengejar dari belakang dan sebuah kereta keluar dari satu susur telah melanggarnya. Dia mati di situ. Peragut itu meloloskan diri. Namun wajah peragut itu tidak pernah luput dari ingatan saya. Seminit sebelum beg tangan isteri saya diragut, si peragut itu datang kepada kami berpura-pura bertanya jalan. Seminit kemudian dia datang kepada kami untuk melakukan jenayahnya.

Sejak itu saya bertekad mencari peragut itu dan membuat keputusan untuk membunuhnya jika berhasil ditemui. Banyak pembunuhan yang telah saya lakukan dan tidak seorang pun yang mempunyai wajah yang saya cari selama ini. Namun tidak pada malam ini. Wajah yang saya cari sejak sekian lama telah saya temui dan tadi dendam saya telah terlerai. Terima kasih pada seorang lelaki yang telah mencopet dompet saya ketika di stesen LRT seminggu yang lalu. Kerana dia saya menemui apa yang saya cari selama ini. Bahkan dia, lelaki yang mencopet dompet saya itu antara sasaran saya pada mulanya. Namun semuanya berubah dalam sekelip mata dan dia yang pada mulanya sasaran berubah menjadi klien. Saya fikir kejujurannya adalah kunci kenapa dia terlepas dari dibunuh oleh saya. Lima minit sebelum saya bersedia mahu menamatkan riwayat hidupnya, saya tersedar sesuatu. Saya memeriksa telefon saya dan Ya! nombor telefon si pensyarah yang diberi olehnya untuk dihubungi juga merupakan nombor yang sama di dail oleh perempuan yang dicopet olehnya ketika di laluan pejalan kaki stesen LRT Pasar Seni. Itulah punca saya berubah fikiran dan mula mempercayainya. Saya fikir kini dia sedang menonton tv bersama emaknya dan mungkin lebih menghargai hidup.

Pembunuhan itu tadi merupakan yang terakhir saya lakukan. Selepas ini saya akan cuci tangan. Saya sudah menemui tujuan akhir sebagai pembunuh upahan. Ini hari terakhir saya bergelar pembunuh upahan. Tiada lagi prinsip seorang pembunuh upahan yang saya pegang dan tiada lagi istilah sasaran seterusnya, namun suka saya mengingatkan“Whoever commits murder shall be punished with death.”

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.