Kuala Lumpur, 17 Mac.
Nama aku ialah Doktor Fahmi. Catatan ini adalah sesuatu yang
peribadi dan sangat sulit untuk disebarkan kepada sesiapa kerana ianya sesuatu
yang mungkin boleh mengancam nyawa si pembacanya.
DSP Majid telah datang ke hospital untuk mendapatkan keterangan
aku berkaitan autopsy yang telah aku
jalankan terhadap mayat seorang lelaki Cina. Aku memaklumkan kepadanya bahawa
aku ditugaskan untuk menjalankan "bedah siasat luaran" yang mana si
mati mengalami 80% kesan kebakaran pada anggota badan. Tiada kecerderaan lain.
Pegawai Polis tersebut bertanya kepada aku, mengapa tiada bedah siasat dalaman
dilakukan. Aku jelaskan kepadanya memandangkan 80 peratus daripada anggota
badan terbakar teruk maka si mati telah mengalami "kegagalan renal
akut". Aku jelaskan kepadanya "Renal Akut" adalah komplikasi
akibat kebakaran teruk dan biasanya ia mendorong kepada kegagalan buah pinggang
si mati untuk berfungsi, sekaligus tidak mungkin untuk kembali pulih. DSP Majid
meminta kepada aku laporan lengkap yang mana aku memberitahu dia agar dapatkan
di pejabat pentadbiran hospital.
Kuala Lumpur 18 Mac.
Ketika sedang menikmati minum petang pada waktu rehat di kafetaria
hospital, datang seorang lelaki bermisai, tinggi, kurus dan bertopi hitam ke
arah meja aku dan bertanyakan samaada dia boleh minum disitu atau tidak.
Ironinya dia tidak membawa apa-apa bekas minuman atau makanan melainkan
sekeping envelope bersaiz A4 berwarna
coklat. Aku fikir dia mungkin sedang menunggu seseorang lalu aku hanya
melemparkan senyuman ke arahnya tanpa cubaan memulakan apa jua perbualan.
Usai minum, aku bangun
untuk beredar dari situ namun dengan tiba-tiba lelaki itu tadi memegang tangan
aku dan memberikan envelope itu tadi sambil berkata "ini rahsia, berkaitan
semalam". Aku terkejut dan bilamana aku mahu bertanya lebih lanjut kepada
lelaki itu, dia segera beredar meninggalkan aku.
Envelope yang aku terima dari lelaki itu hanya aku buka setibanya di
rumah, lebih kurang jam 11 malam. Tertulis di atas penjuru kiri envelope itu perkataan
"sulit". Aku buka envelope
itu dan hanya ada sekeping kertas A4 yang tertulis dengan tulisan tangan "Mangsa bukan mati kerana kebakaran
biasa, tetapi kerana dia gagal menyimpan rahsia pasukan". Aku kebingungan. Apakah yang dimaksudkan dengan
“gagal menyimpan rahsia pasukan”? Sepanjang malam aku tidak dapat melelapkan
mata bilamana memikirkan hal tersebut walhal badan dan fikiran aku terasa
begitu letih selepas 15 jam bertugas di hospital. Haruskah aku memaklumkan hal
ini kepada DSP Majid atau aku biarkan dulu? Aku buntu diselubungi rasa takut
dan bimbang.
Kuala Lumpur, 19 Mac.
Aku menemui Doktor Hanim, doktor yang mula-mula merawat lelaki
yang mati akibat terbakar itu. Aku bertanyakan kepada Doktor Hanim sekiranya
dia boleh menjelaskan lebih lanjut berkaitan rawatan kecemasan yang diberikan
kepada mangsa . Doktor Hanim memberitahu aku sekitar jam 11.30 malam, si mati
dimasukkan ke wad. Pada masa itu, si mati masih sedarkan diri dan dapat
menjawab persoalan yang diajukan kepadanya dengan jelas. Si mati mengadu bahawa
dia merasai kesakitan yang terlampau teruk dan meminta agar diberikan rawatan
segera. Doktor Hanim memaklumkan kepada aku bahawa keseluruhan tubuh, kaki dan
muka si mati terbakar. Aku tanyakan akan rawatan yang diberikan dan dia berkata
antara rawatan yang diberikan ialah “intravenous drip”, suntikan dan antibiotik selain ubat pelali berasaskan morfin
diberikan. Belum sempat aku bertanyakan lebih soalan, doktor kecil molek
berambut paras bahu dan bercermin mata itu memberitahu dia mendapat panggilan
kecemasan dan perlu segera ke wad separa kritikal. Percayalah, semua ini masih
tidak berjaya menjawab misteri di sebalik nota dalam envelope yang aku terima. "Bukan mati kerana kebakaran
biasa" dan "gagal menyimpan rahsia pasukan" dua persoalan yang
tidak aku temui jawapan. Akibatnya aku hilang fokus seharian dan terus buntu
merungkai misteri dan persoalan yang datang tidak diundang.
Kuala Lumpur, 23 Mac
Dari hari terakhir aku menerima nota pelik itu sehingga ke hari
ini, tiada apa-apa perkara aneh yang berlaku kepada aku. Semuanya berjalan
seperti biasa melainkan...Ya, pada jam lebih kurang 6 petang aku menerima e-mel
dalam bahasa Inggeris yang berbunyi, "He said to me, someone had poured
petrol on him and then set him on fire with matches."
Aku
terkejut, takut, gelisah, keliru..segala jenis perasaan bercampur aduk. Siapa
pula yang mengirimkan e-mel ini? Motif? Tujuan?
Aku membalas e-mel tersebut namun ternyata ianya hanya sia-sia kerana
pengirimnya tidak membalas semula pertanyaanku. Selepas selesai kerja sekitar
jam 7 malam aku bercadang untuk ke Ibu pejabat polis pusat bandar berjumpa DSP
Majid. Aku sudah tidak sanggup untuk memikirkan semua ini. Mungkin ada baiknya
jika aku serahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Aku yakin
kematian lelaki tersebut bukanlah sesuatu yang terjadi akibat kemalangan tetapi
ianya lebih kepada jenayah yang dirancang. Tetapi adakah itu hanya persepsi aku
atau hakikat sebenar?
Tarikh, tempat dan masa yang tidak diketahui.
Kepala aku berasa sungguh berat sekali seperti baharu lepas
diketuk dengan sesuatu yang keras. Apabila aku membuka mata hanya kegelapan
yang terlihat. Aku tidak ingat apa yang
berlaku dan bagaimana aku berada di situ? Tempat apakah ini? Kemudian ada
cahaya yang samar-samar memasuki bilik tersebut bilamana seseorang membuka
pintu bilik. Seingat aku, perkara terakhir yang aku lakukan ialah memandu untuk
ke balai polis bagi berjumpa DSP Majid. Bilik itu kini diterangi dengan cahaya
lampu kuning yang tidak begitu terang.
Kelihatan seorang lelaki bertubuh gempal sedang memakai sarung
tangan getah. Aku tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu tetapi aku
dapat merasakan sesuatu yang buruk akan terjadi. Apa yang aku sedar, aku kini
dalam keadaan duduk di atas lantai simen dengan tangan bergari. Aku hanya mampu
bersandar di dinding berhampiran penjuru bilik itu.
Aku ketakutan...Lelaki itu berjalan ke arah aku..Dia mempunyai bau
badan yang tidak menyenangkan.
Kebukk! Kebukk Kebukk!
Dia memukul, menyepak, menendang
serta menerajang ke arah tubuhku bertalu-talu! Aku tidak mampu melakukan
apa-apa melainkan hanya menjerit kesakitan.
Bertalu-talu dia menendang aku serta menghantukkan kepalaku ke
dinding. Aku mendengar dia berkata "Jangan jadi hero" beberapa
kali...Kaki aku kekejangan, darah mulai keluar dari mulutku......Segalanya
menjadi kelam dan kegelapan mengambil tempat...
**********************
"Abang
turun makan, buat apa lama-lama dekat atas tu?" suara ibu membuatkan aku
bersegera keluar dari bilik.
"Dah
Ibu, dah turun ni, wah sedap bau ni"
aroma yang enak membuatkan perutku lapar.
"Abang
baca buku yang dia dapat dekat luar pagar tu mak" suara adik membuatkan
aku tergamam seketika. Ah, nanti kalau ibu bertanya lebih lanjut tentang buku
yang dikatakan oleh adik apa pula yang harus aku jawab.
"Adik
ni, abang baca buku komik. Buku orang dewasa..." Aku membalas kata-katanya
lalu mencubit pipi adikku yang berusia enam tahun.
Ibu sedang
menghidangkan makanan di atas meja makan dan aku mengambil peluang membantu apa
yang perlu.
"Ibu
masak rendang ayam hari ini. Ibu nak meraikan kejayaan abang menang pingat emas
taekwando bulan lepas. Tapi maaf terlambat.” Ibu melemparkan senyuman kepada
aku.
Sedang kami menikmati
hidangan makan tengah hari itu, mataku tertarik pada tajuk utama pada surat khabar
yang menjadi lapik di atas meja makan. Rasanya ini surat khabar empat hari
lepas berdasarkan kepada tarikh yang tercetak di bahagian atas surat khabar
itu.
"Doktor Patologi rentung akibat
kemalangan".
Di sisi ruang
beritanya terdapat gambar seorang lelaki melayu dengan kapsyen
"Doktor Fahmi. Mangsa kemalangan....”
"Ibu,
ayah tak balik makan tengah hari?” aku bertanya kepada ibu.
"Masih
di balai polis, ada mesyuarat khas. Esok Presiden Amerika nak datang ke negara
kita, jadi sibuklah dia terlibat mengurus hal ehwal keselamatan. Tambah nasi
lagi tu." Jelas ibu seraya menyuruhku menambah sesenduk dua nasi ke dalam
pinggan.
Aku melihat ibu
dan adik begitu berselera menikmati makanan mereka sedangkan aku entah mengapa
tiba-tiba menjadi resah. Nama doktor yang mengalami kemalangan itu sama seperti
nama individu yang menulis catatan di buku yang aku baca tadi.
Aku bersegera
menghabiskan makanan kemudian terus naik ke bilik.
Serta merta aku
terus teringat akan buku catatan berwarna ungu yang aku baca tadi. Hatiku
berdebar-debar. Buku catatan itu aku temui di dalam sebuah beg plastik yang di
dalamnya juga terdapat sebuah bekas berwarna biru kelihatan seperti kotak
pensel.
Aku merebahkan
badan ke atas katil. Aku menyelak beberapa muka surat terakhir buku catatan
itu. Satu demi satu muka surat diselak sehingga bertemu dengan muka surat yang
belum aku baca.
*****************
Tempat tidak diketahui, 15 April.
Aku kini sedang terbaring di atas katil di suatu bilik berhawa
dingin. Aku dapat merasakan cahaya matahari yang menembusi langsir bilik
ini..Bukankah kali terakhir aku dibelasah teruk? Adakah ini syurga?
Seorang perempuan sedang
duduk di sofa biru yang berada tidak berapa jauh dari katil aku.
"Anda bertuah. Multiple Blunt Trauma, Sub-Arachnoid
Haemorrhage...Tiada siapa yang mampu hidup dengan keadaan sebegitu
rupa" kata perempuan itu. Ya,
dengan ciri-ciri yang disebut oleh perempuan itu aku sewajarnya telah mati dan
mustahil untuk hidup!
Aku bertanyakan kepada dia
akan tarikh hari ini, dan dia katakan "15 April sayang..."
Perempuan itu meninggalkan aku bersendirian. Dia berikan sebuah
i-pod dan alat mendengar. Dia
memberitahu bahawa mendengar lagu akan menenangkan jiwa. Aku bersetuju dengan
kata-katanya..Alunan muzik yang aku dengari itu benar-benar mendamaikan. Sedang
aku dibuai dengan kemerduan alunan muzik instrumental tersebut tiba-tiba
melodinya terhenti. Suara seorang lelaki pula yang kedengaran dari i-pod itu.
"Selamat Pagi.
Selamat menikmati udara segar di dalam bilik yang bertaraf hotel lima bintang
ini. Doktor, tahniah dan anda bertuah kerana dipilih untuk diselamatkan. Saya
Profesor V individu yang mengetuai misi menyelamatkan anda. Ya, rasanya tidak
perlu saya jelaskan bagaimana dan dimana kami menemui anda. Keadaan anda amat
parah. Satu-satunya cara bagi menyelamatkan anda ialah dengan rawatan kecemasan
yang istimewa. Sejenis serum rahsia yang hanya pihak tertentu di negara ini
mengetahui kewujudannya. Doktor jangan bimbang, pihak yang melakukan keganasan
kepada anda telah kami hapuskan.
Doktor, setiap
pertolongan adalakanya perlu dibalas dengan pertolongan dan kami amat berbesar
hati sekiranya doktor sudi membantu. Kami cuma inginkan persetujuan doktor
untuk bersama-sama sebahagian mereka yang berkebolehan membentuk satu pasukan.
Kami pasukan yang melindungi keselamatan tanah air ini secara senyap. Kami
tidak memilih keganasan tetapi kami memilih membersihkan kuman-kuman yang
mencetuskan keganasan. Bunyinya lebih bagus bukan? Mencegah lebih baik daripada
merawat. Doktor, kami berikan anda pilihan. Sekiranya doktor bersetuju,
keselamatan doktor adalah tanggungjawab kami. Namun jika doktor tidak bersedia,
doktor boleh tinggalkan bilik ini. Di dalam almari yang berada di dalam bilik
ini telah tersedia pakaian baharu untuk doktor.
Tapi izinkan saya
memberikan sedikit penjelasan sebelum doktor membuat keputusan.”
Aku menanggalkan alat mendengar itu dari telingaku. Semua ini
tidak masuk akal tetapi bila aku memikirkan semula tentang keadaan aku yang
masih hidup aku kembali memasang alat mendengar itu di telinga.
“Serum yang disuntik ke
dalam tubuh doktor itu sangat bernilai dan ianya mampu memberikan kesan jangka
masa panjang. Serum tersebut mampu menjadikan seseorang sembuh dengan cepat
daripada luka dan kecederaan parah. Ia membantu proses pemulihan dalaman malah
berupaya menambah tenaga kepada individu yang menggunakannya. Pasti doktor
dapat merasa perubahan dalam tubuh doktor bukan? Ini adalah ciptaan untuk
kegunaan masa depan yang masih belum lengkap seratus peratus namun tidak salah
untuk diuji. Namun begitu ia tetap mempunyai kelemahan yang perlu saya
rahsiakan buat masa ini. Ya, cara menghapuskan mereka yang disuntik dengan
serum itu adalah melalui kepanasan pada suhu yang tinggi seperti kebakaran.
Namun sekali lagi suka saya ingatkan kepada doktor agar jangan bimbang dan
khuatir. Doktor bebas membuat pilihan samaada meneruskan kehidupan seperti
sediakala atau menyambut salam perkenalan kami ini. Di dalam dunia tiada apa
yang kekal dan kehidupan yang serba singkat ini harus dipergunakan sebaik
mungkin dengan berbakti pada negara. Bukankah itu yang selalu doktor
dengar? Semoga anda membuat keputusan
yang bijak demi masa depan anda. Terima kasih."
Kuala Lumpur, 30 Ogos
Keputusan yang aku ambil ini sama sekali telah mengubah masa depan
aku atau harus aku katakan aku tiada masa depan. Seringkali aku berfikir bahawa
semua ini seperti telah dirancang. Ketiadaan aku selama sebulan dari tempat
kerja tidak dipersoalkan malah kononnya aku mengambil cuti ke luar negara. Siapakah
disebalik semua ini? Walaupun aku berada dalam "pasukan" mereka namun
aku tidak pernah bertemu mereka. Semuanya dilakukan secara rahsia. Aku masih
belum menemui jawapan pada semua persoalan ini. Bila tiba masanya nyawa bakal
menjadi taruhan. Kamu. Ya kamu yang membaca catatan ini, percayalah aku telah
lama mengikuti perkembangan kamu melalui laman media sosial. Aku yakin kamu
mampu memikul tanggungjawab ini. Aku
percaya kamu mampu mencari jawapan yang tidak berjaya aku temui. Aku berikan
sesuatu yang istimewa kepada kamu. Tetapi harus aku ingatkan bahawa mereka
tidak mengetahuinya tetapi bukan beerti mereka tidak akan cuba untuk menjejak
kamu. Jangan sesekali kamu terpedaya dengan tipu helah mereka. Gunakanlah
pemberian ini dengan rasa tanggungjawab. Semoga berjaya dan ingat rahsia harus
kekal dalam diri sendiri
-Doktor Fahmi-
*********************
Aku melihat isi
kandungan bekas berwarna biru itu dan kelihatan sebatang picagari terkandung
cecair jernih yang masih belum digunakan di dalamnya beserta cebisan kertas
yang tertulis “guna bila perlu”. Adakah aku individu yang dimaksudkan oleh si
penulis buku catatan itu? Perasaan cemas mula mengambil tempat di dalam diriku.
Adakah aku berada dalam bahaya? Atau ini semua hanya kebetulan dan mungkin juga
perbuatan seseorang untuk mengenakanku. Aku buntu memikirkannya. Adakah aku
harus menyimpan rahsia ini berseorangan atau berkongsi dengan orang lain.
Mungkin dengan ayah? Tetapi jika semua yang aku baca di dalam buku catatan itu
benar belaka, beerti keselamatan kami sekeluarga dalam bahaya. Seribu satu
persoalan berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku.
TAMAT