Home Cerpen Cinta Good Morning Beautiful
Good Morning Beautiful
illifadli
18/4/2016 05:40:59
3,050
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

"Good Morning Beautiful"

Good Morning Handsome!

Husband, hari ini macam biasa I dah sediakan you sarapan pagi, pancake epal dengan teh jasmine kegemaran you. Maaf, I tak sempat nak tunggu sehingga you bangun sebab pagi ini ada meeting dengan bos besar (nanti lambat kalau nak sarapan sama-sama, sebab you kalau bersiap Taylor Swift pun kalah!). Jangan lupa breakfast ya! I love you...-Mary-

Eric membaca nota ringkas yang ditampal oleh Mary di cermin meja mekap di dalam kamar tidurnya sambil tersenyum.

“Good Morning Beautiful.” Kata Eric sendirian lalu menyimpan nota tersebut di dalam sebuah bekas yang disimpan di dalam laci meja mekap. Itulah rutin harian yang dia lakukan sejak beberapa bulan kebelakangan ini bilamana Mary mula meninggalkan nota ringkas sebelum ke tempat kerja setiap Isnin hingga Sabtu. Eric tidak pernah bertanya mengapa Mary menjadi lebih romantik melalui nota ucapan selamat pagi tersebut tetapi Eric sudah boleh menduga mengapa dan kenapa. Namun yang pasti Eric berasa bahagia setiap kali dia membaca nota itu.

Ding Dong

Bunyi notifikasi dari telefon pintar Eric. Dia membaca mesej tersebut yang dihantar oleh Mary.

“Husband, hari ini pak cik teksi yang biasa itu tak dapat datang ambil you, tapi nanti ada teksi lain akan ambil you. Balik nanti I ambil you dekat hospital ya.”

Eric menarik nafas panjang. Dia kembali berbaring di atas katil memandang ke arah kipas siling yang sedang berputar.

“Dialisis. Oh Tuhan kau tahu aku semakin bosan melakukannya.” Eric berkata sendirian di dalam hati.

********

[WhatsApp]

Hisyam : Good Morning Beautiful!

Sayang, tadi saya ada belikan nasi lemak lauk rendang kerang kegemaran awak dekat tempat biasa yang awak selalu beli tu. Mulanya saya nak kejutkan awak bangun awal sikit tapi saya tak sampai hati bila tengok awak tidur sangat (sangat) lena. Semalam awak balik lewat kan sotak apa ar kalau tidur lama sikit. Lagipun saya tahu awak masuk kerja pukul 11 pagi jadi bettersaya tak ganggu awak. Jumpa malam nanti ya, nanti memandu baik-baik.

Amelia masih di atas katil bilamana dia membaca mesej WhatsApp yang dihantar oleh suaminya, Hisyam. Cahaya matahari sudah mulai memasuki bilik tidurnya dan jam sudah menunjukkan pukul 9.20 pagi, bermakna Amelia harus segera bangun menuju ke bilik mandi dan bersiap-siap untuk ke stesen televisyen tempatnya bekerja. Hari ini giliran dia untuk membaca berita jam 1 petang jadi mahu tidak mahu dia harus sampai ke studio dua jam sebelum siaran berita bermula. Amelia menarik nafas panjang. Ya, semalam dia bertugas sehingga jam 1 pagi kerana tugasnya membaca berita lewat malam. Kepenatan semalam masih belum hilang namun hari yang baharu harus dimulakan. Namun Amelia mengakui kehadiran mesej ucapan selamat pagi daripada suami tercinta ibarat tonik pemberi tenaga untuk dia memulakan hari ini. Apatah lagi di atas meja makan sudah tersedia sebungkus nasi lemak berlauk rendang kerang yang menjadi kegemarannya sedia menanti untuk dijamah.

[Facebook]

Amelia : Bila kita balik rumah dia dah tidur, dan bila dia pergi kerja kita masih tidur. Rasa macam nak cari kerja yang masuk pukul 8 pagi balik 6 petang agar ada masa lebih untuk dia.

********

“Good morning beautiful! Maaf saya lambat sikit. Sikit je kan?” Amri cuba memujuk Latifah yang mula menarik muka tanda penat menunggu.

“Ayat manis tak boleh tenangkan hati saya ok. Awak, saya tunggu dah setengah jam tahu tak. Lain kali kalau lambat awak call ar dulu.”

“Sorry. Telefon dah habis bateri. Tren LRT belum datang lagi?”

“Bukan belum datang tapi dah dua tiga buah yang lalu depan saya ni. Ishh, ikutkan hati saya tinggalkan awak.”

“Ok, ok. Esok saya datang awal sikit. Relaxar, kelas mula pukul 9 pagi, sekarang baru pukul 7.30 pagi ada sejam setengah lagi, InsyaAllah sempat.”

“Kalau saya lambat siap awak.”

“Itulah, saya nak ajak naik motor awak tak mahu. Nak juga naik LRT.”

“Hello. Naik motor berdua pergi kolej? Tak ar kot. Lagipun tak manis orang pandang.”

“Ke awak segan wahai cik Latifah?”

“Segan? Saya bukan materialistik ok tapi saya sedar diri. Tak apa ar, bukan selalu pun awak teman saya naik LRT, tiga kali seminggu je kan.”

Amri tersenyum mendengar kata-kata Latifah itu. Dia dan Latifah pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Sejak kewujudan perkhidmatan LRT di kawasan Puchong, Latifah tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas awam sebaliknya beralih ke perkhidmatan LRT yang lebih cepat dan selesa. Apatah lagi jarak antara rumahnya dan stesen LRT Puchong Perdana tidak sampai dua ratus meter, jadi itu sudah membuatkan dia berasa lebih mudah. Amri pula demi cintanya pada si buah hati sanggup menunggang motorsikal dari Puchong Utama ke stesen LRT Puchong Perdana agar dapat menemani Latifah. Mujur dalam seminggu, tiga hari kelas Amri bermula pada waktu pagi dan kebetulan sama dengan jadual kelas Latifah, jadi itu bukanlah masalah untuknya.

“Tren dah sampai. Kalau kita sampai sebelum jam 9 pagi, saya belanja awak makan roti canai nak?” Amri mengusik Latifah.

“Roti canai? Ok, tahulah kita ni gemuk so sukalah dia nak bagi kita lagi gemuk.” Latifah mencebik.

“Walaupun awak gemuk saya tetap nampak awak cantik hari-hari.”

“Klise bunyinya.”

************

[Twitter]

@Jebat Good Morning Beautiful! Semoga hari kau seindah sinaran matahari pagi ini. Tapi janganlah terlalu terik sebab hari-hari ketiak basah sebab panas!

@Intan @Jebat Good morning! Amboi pagi-pagi ini dah mengeluh.

@Jebat @Intan Mengeluh? Apakah maksudnya wahai cik Intan Payung Senyum Meleret.

@Intan @Jebat panjangnya gelaran nama kita! Tu mengeluh tentang panas.

@Jebat @Intan Oh. Biasalah cuaca memang panas kan.

@Intan @Jebat Kena banyak minum air. Ok ar nak siap-siap nak masuk kerja. Awak tak kerja?

@Jebat @Intan Eh saya dekat tempat kerja ni.

Farhan menghirup kopi 3 in 1 yang sudah beransur suam. Dia melihat jam dinding di pejabatnya, pukul 8 pagi. Tugasannya sebagai kerani pentadbiran di syarikat pelaburan terbesar di negara, PNB bermula untuk hari ini. Setiap pagi tweet ucapan selamat paginya akan mendapat Likedan retweet dari @Intan, gadis manis yang diminati dalam diam oleh Farhan. Ironinya dia hanya mengenali @Intan melalui Twitter sejak enam bulan yang lepas. Jenuh juga Farhan mengintip @Intan di Instagram setiap hari sehingga mencetuskan suatu ledakan perasaan yang hanya dia seorang mengerti. Tidak seperti Farhan, @Intan menggunakan gambar diri sendiri sebagai Twitconmalah akaun Instagramnya turut dipautkan sekali bersama akaun Twitternya dan itu menambahkan keyakinan kepada Farhan bahawa @Intan adalah seorang manusia yang benar-benar wujud, bukan parodi atau palsu.

“Farhan, surat untuk syarikat Han Seng dah siap ke? Nanti tolong buat dua copy ya.”

“Ok Kak Jebb.”

Farhan, lulusan diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat dari UiTM Perak telah bekerja di syarikat tersebut selama hampir dua tahun. Farhan memilih untuk bekerja selepas tamat pengajian peringkat diploma, tidak seperti rakan-rakannya yang lain, memilih menyambung pengajian peringkat Ijazah. Mungkin kerana terlalu merasa rendah diri kerana sekadar bekerja sebagai seorang kerani, Farhan menggunakan tweethandle @Jebat di Twitter dengan twitcongambar sepasang kasut biru. Ketika zaman belajar, dia aktif di Facebook namun kini tumpuannya lebih kepada laman media sosial Twitter.

“Wei Farhan, hari ini ada pekerja baharu masuk department sebelah.” Ghani membelek-belek surat di atas meja Farhan.

“Apa kaitan dengan aku?” tanya Farhan semula.

“Nanti kita usha ar. Nak?”

“Tak payah ar korang berdua nak usha bagai, budak perempuan yang baharu masuk tu jawatan dia Eksekutif bukan kerani. Nak ke dia pandang korang ni kan?” Kak Jebb mencelah.

“Entah si Ghani ni. Kau ngorat je ar Suriati, yang bancuh kopi tu, sama level, hantaran pun nanti tak mahal.” Kata Farhan dalam nada menyindir.

Ghani yang mungkin sedikit terasa terus mengambil beberapa keping surat dan terus beredar pergi.

Farhan menyambung semula kerja-kerja menaipnya. Entah kenapa dia hilang fokus bila mengenangkan semula kata-kata Kak Jebb tadi. Kemudian Farhan melihat telefon pintarnya, membuka aplikasi Twitter. Satu persatu tweet melintasi garis masa Twitter dia baca sekali imbas.

@Intan Hari pertama di tempat baharu. Semoga dipermudahkan. Level 17 saya datang!

Entah mengapa jantung Farhan berdegup kencang bila membaca tweet tersebut.

@Jebat @Intan Kerja baharu? Macam syarikat besar je bunyinya 17 tingkat!

@Intan @Jebat Hehehe. Mahu tak besar. PNB awak, harap lif dekat sini tak pernah rosak!

Farhan menelan air liur, kepalanya tiba-tiba pusing dan telapak tangannya mula berpeluh.

“Budak perempuan baharu department sebelah?” bisik Farhan sendirian.

*********

[Instagram]

*Gambar seorang perempuan bertudung merah sedang membaca buku*

“Good Morning Beautiful”

Pagi ini mengingatkan aku kepada Mama. Cepat betul masa berlalu. Sudah tiga tahun sejak Mama tinggalkan aku dan keluarga. Seringkali aku menyesal bila mengenangkan ketika Mama masih ada, aku tidak pernah mengucapkan ucapan Selamat Pagi. Aku sering terburu-buru mengejar waktu agar tidak terlewat ke pejabat. Adakalanya aku terlupa untuk menelefon Mama bertanyakan samaada dia sudah sarapan? Sudah makan ubat? Nanti tengah hari masak apa? Mama, Irin sudah mula berjalan. Nanti bila dia sudah mula petah berkata-kata Haikal akan ajar dia untuk selalu ucapkan Selamat Pagi kepada Mama dan Papanya. Ucapan itu ringkas tetapi sangat bermakna untuk diungkapkan. Seringkali kita mengabaikan insan-insan yang kita sayang bilamana mereka masih hidup seolah-olah kita menyangka mereka akan terus hidup untuk selama-lamanya, tetapi bilamana mereka sudah tiada baharulah kita sedar betapa rindunya kita kepada mereka. Kita berharap setiap pagi kita akan dapat mengukirkan senyuman buat mereka. Hargailah insan-insan yang anda sayang. Jangan terlalu berkira untuk memberikan Salam serta mengungkapkan sebaris kata “Selamat Pagi” atau “Good Morning” kepada insan-insan yang ada dalam hidup anda. Buat Mama, semoga Mama tenang di sana.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.