Cerpen : Perisa Koktel
Oleh
: Isha Idiaz
*****
KATA orang,
cinta tu manis macam gula-gula Mentos. Ada juga yang kata, cinta tu masam macam
buah limau. Tak kurang juga yang kata, cinta tu masin macam kicap Habhal botol
hijau.
Tapi pada aku, cinta itu punya banyak rasa. Dan
eloklah aku katakan cinta itu gabungan beberapa rasa sehingga buat kita nikmati
ia seadanya.
Aku letakkan perisa koktel kepada rasa cinta yang kualami
kini. Kenapa aku pilih koktel? Nanti akan aku beritahu kemudian. Cukuplah kau
orang tahu, yang cinta aku tu semacam secawan koktel buah yang punya banyak
rasa di dalamnya. Itupun jika buah-buahan yang kau gunakan terdiri daripada
buah-buahan yang berlainan jenis. Jika buah yang kau guna datang daripada
spesies yang sama, maka kau cuma boleh rasa satu perisa.
Sebenarnya, kau boleh mencorakkan rasa cinta yang
kau alami dengan bermain dengan perisa-perisa yang kau suka. Macam aku, aku
sukakan variasi dan aku seorang yang tamak. Sebab itulah aku pilih koktel buah.
*****
KOKTEL PERISA APEL
Hari itu, aku dan dia bertemu lagi
di Café Cinta. Aku lihat dia segak dengan T-shirt biru polos berkerah. Macam
biasa, dia lebih selesa mengenakan jeans apabila keluar denganku. Daripada
jauh, dia sudah menghadiahkan sebuah senyuman kepada aku. Disebabkan hari ini
aku kurang membuat pahala, maka aku pun membalas kembali senyumannya. Kan kata
orang, senyum tu suatu sedekah.
“Assalammualaikum,” suaranya
menampar gegendang telinga aku.
Aku mengangguk seraya menjawab
salamnya. Pantas, tangannya menarik kerusi yang berada di hadapanku.
“Lama tunggu?”
Aku berpura-pura melihat jam tangan
yang aku pakai di pergelangan tangan kiri. Kemudian memandang wajah Irfan
semula.
“Tak juga, tapi…” sengaja aku
berjeda di situ. Mahu melihat reaksi Irfan.
Kening Irfan sudah bertaut. Namun
mulutnya masih terkunci. Mungkin mahu mendengar penjelasan daripadaku.
“Adalah dua jam,” ujarku bersahaja.
Irfan terus tertawa. Jelas wajahnya
merona merah. Mungkin malu kerana telah dipermainkan olehku sebentar tadi.
Biar dia rasa. Aku terkocoh-kacah
berkejar ke Café Cinta ini sebaik sahaja dia katakan mahu berjumpa aku di sini
tepat jam tiga petang. Ada urusan penting katanya. Mahu aku tak terkejut.
Sudahlah aku sedang berfoya-foya menikmati hari Sabtu dengan menonton filem
Hindustan yang ditayangkan di TV3. Apa sahaja yang aku nampak depan mata, aku
ambil dan sarungkan ke badan. Maka, terduduklah aku di sini dengan seluar jeans
yang semestinya bewarna biru, blousebewarna
kuning, dan juga selendang bewarna ungu. Sekali tengok macam pelangi. Dua kali
tengok, serupa orang gila. Semua gara-gara si Irfan ni.
“Maafkan aku sebab lambat,” ujar
Irfan antara dengar dengan tidak.
Hah? Maaf? Sejak bila si Irfan ni
pandai minta maaf dekat aku? Isk isk. Tidak sihat agaknya dia hari ini.
“Demam eh?” soalku pula.
Irfan menggeleng laju. Aku pula
sudah buat muka blur. Tak pernah si
Irfan ni nak minta maaf dekat aku sepanjang kami kenal sejak aku lahir ke dunia
ni sampai sekarang walaupun terang-terang dia yang salah. Hari ini tiba-tiba
pula dia minta maaf. Pelik bin ajaib.
“Aku lambat sebab ni…” ujar Irfan
lambat-lambat.
Tangannya diseluk ke dalam kocek seluar. Kemudian
sesuatu dikeluarkan. Sebuah bungkusan berbentuk segi empat tepat di letakkan di
atas meja.
Kukerutkan dahi tanda tidak faham
apa yang cuba disampaikan oleh Irfan. Kerana sebuah bungkusan berbentuk segi
empat tepat tu Irfan lambat bertemu aku di Café Cinta ini. Ada apa di dalam
kotak itu?
“Apa benda dalam tu? Katak ke macam
selalu?” soalku bertubi-tubi.
Bukan sekali aku telah dipermainkan
oleh Irfan. Kerana itu aku bertanya dahulu minta kepastian.
“Bukalah dulu,” ujar Irfan dengan
senyuman lebar dibibirnya.
Aku dengan penuh rasa syakwasangka
menarik bungkusan itu ke arahku. Namun kerana perasaan ingin tahu
bermaharajalela di dalam hatiku, aku kuatkan hati untuk membuka kotak itu tidak
kira jika aku terpaksa berhadapan dengan seekor katak seperti selalu.
Sewaktu reben yang ada di kotak itu
aku leraikan jantungku mula berdebar-debar. Keringat sudah mula membasahi dahi.
Lalu, pembalut bungkusan itu kubuka dengan cermat. Dan kubuka kotak itu
perlahan-lahan. Maka, terlihatlah olehku suatu benda aneh di dalamnya.
“Eh!” suaraku naik satu oktaf.
Irfan kulihat semakin lebar
senyumannya. Tidak membiarkan aku terlalu lama mengelamun kerana tidak percaya
melihat isi di dalam kotak itu, maka Irfan mencapai kotak itu daripada tanganku
seraya mengeluarkan sebuah bekas baldu bewarna merah.
Dan entah bila masanya, Irfan sudah
melutut di sebelahku dan memegang sebentuk cincin dan mengucapkan sesuatu
kepadaku. Aku yang kaget pada waktu itu, langsung tidak mendengar buah butir
perkara yang diucapkan oleh Irfan. Maka aku memintanya untuk mengulang buat
kali keduanya.
“Kau cakap apa? Aku tak dengar,”
ujarku antara dengar dengan tidak.
“Aku cakap, kau nak tak jadi isteri
aku?”
Nah! Aku rasa, aku tidak ada masalah
otitis media. Maka, betullah apa yang aku dengar daripada mulut Irfan tadi.
“Aiiiiieeeeiii,” itu sahaja yang aku
dapat jawab buat sementara waktu untuk menutup rasa gementar yang
menendang-nendang tangkai hatiku.
Setelah aku sedikit tenang, aku
lihat kembali ke sisiku. Irfan masih dalam posisi yang sama.
“Kau main-main kan?” soalku
teragak-agak.
“Aku tak tahu jari manis kau besar
mana. Tu sebab aku lambat tadi. Puas aku tanya Dhiya, dia pun tak tahu. Ni pun
aku agak-agak je,” ujar Irfan dalam
senafas.
Sepantas itu juga, Irfan menyambar
tangan kiriku dan terus menyarungkan cincin itu ke jari manis ku. Setelah itu,
kulihat Irfan tersenyum puas. Aku pula hanya ternganga dengan tindakan
spontannya itu.
“Ni kes kahwin paksa ke apa ni?”
soalku benar-benar ingin tahu.
“Paksa rela,” ujar Irfan bersahaja
dan dalam tawa.
Melihat mukaku yang seolah-olah
minta penjelasan, akhirnya Irfan memandang tepat ke anak mataku.
“Kalau aku tak paksa pun, aku tahu,
kau rela,” ujarnya penuh yakin.
Sebuah senyuman dihadiahkan lagi
kepada aku.
Aku dah tak tahu nak kata apa. Tapi
jika difikir-fikirkan balik kata-kata Irfan tadi, memang ada betulnya. Kalau
dia tidak memaksa sekalipun, aku rela. Kerana sepanjang aku hidup dua puluh
lima tahun ini, aku hanya rapat dengan seorang lelaki dan lelaki itu hanyalah
Irfan.
Aku menelan liur. Tiba-tiba dalam
hati aku sudah ada semacam pesta bunga api. Ni ke yang orang kata rasa cinta?
Dan air liur yang kebiasaannya jika kutelan tak rasa apa, tiba-tiba hari ini
rasa manis macam epal.
*****
KOKTEL PERISA ANGGUR
Bila hari-hari kuliah ni, kalau masa
rehat, kalau kau tak jumpa aku dekat perpustakaan, pasti kau akan jumpa aku
dekat tepi kolam ni. Bukan aku saja-saja nak duduk tepi kolam panggil ikan
kaloi macam si Bawang Merah tu. Aku duduk sini sebab aku suka dengar bunyi air
yang jatuh daripada air terjun buatan hiasan tu. Dan seperti biasa, sebab
kawasan kolam ni bukan aku yang punya, maka akan adalah beberapa orang makhluk
lain yang sama-sama duduk menghadap kolam ni macam aku.
Dekat sinilah aku kenal seorang
mamat berjiwa sastera. Bukanlah kenal rapat sangat pun. Cuma aku tahulah, dia
pengunjung setia kolam ni macam aku. Dan setiap kali dia datang sini, pasti ada
sebuah buku nota kecil warna hitam dibawa bersama. Dan setiap kali itu jugalah,
aku dengar dia mengucapkan kata-kata puitis dan menulisnya di dalam buku
tersebut.
“Ehem.” Aku cuba memancing perhatian
si lelaki sastera itu.
Dan pastinya, lelaki itu menoleh ke
arah aku. Aku pula semacam seorang gadis gedik, cepat-cepat menghadiahkan
sebuah senyuman kepadanya.
“Nak jadi macam A. Samad Said ke?
Maksud saya awak minat sastera?” soalku teragak-agak. Bimbang juga aku digelar
minah kepoh oleh lelaki sastera ini.
“Kalau cinta semanis koktel, akan kupancing dengan mata kail.”
Nah! Itu dia. Pantun dua kerat dia
bagi dekat aku. Memang sah lelaki ni minat sastera. Kagum sekejap aku dengan lelaki
spesies ini.
“Terkadang masam terjelir lidah,
takkan aku menyerah kalah.”
Eheh! Macam lain pula bunyinya
pantun dua kerat yang ni. Berdiri jugak bulu roma aku bila dengar pantun ni.
“Patutlah aku telefon daripada tadi
kau tak angkat!” bentak suatu suara yang membuatkan tulang-tulang osikelku
bergetar dengan lebih laju menyampaikan bunyi yang bingit ke dalam membrane
timpani.
Pantas aku melihat ke arah bunyi
suara itu. Lelaki kacak mengalahkan pelakon idaman Malaya kala ini ala-ala
Abang AA sedang berdiri menatap aku daripada atas sehingga bawah.
“Handphone
kau letak mana?” bentaknya keras kepadaku.
Adrenalin memicu aku untuk
meraba-raba poket seluarku. Kosong. Tak ada di situ. Aku raba pula ke dalam
beg. Kosong juga. Panik sebentar.
“Dekat bilik kot…” ujarku
serba-salah memandang wajah Irfan.
“Sengaja tak bawak pergi kelas supaya
aku tak dapat cari kau sebab kau nak melayan jantan dekat kolam ni?” soal Irfan
kasar.
Darah yang mengalir dalam badan aku
ni dah terasa menggelegak. Nak cakap apa pun, cakaplah. Tapi jangan nak buat
fitnah pula duk kata aku melayan jantan mana-mana. Aku tak suka. Kalau kau tak
tahu apa-apa, jangan cakap apa-apa. Tu prinsip aku.
Aku hanya mendiamkan diri. Pada aku,
jika Irfan sudah membuat penilaian sendiri mengenaiku, walau aku kemukakan
hujah sehebat manapun belum tentu aku dapat membela diriku sendiri.
Aku bangun daripada bangku. Pantas juga tanganku
mencapai beg galasku. Aku pandang wajah Irfan sekilas sebelum aku melanggar
bahunya dan membawa haluanku mengikut derapan tapak kakiku saat itu.
Sekarang, siapa cakap koktel tu rasa
dia manis je? Kalau dalam koktel tu
kau letak anggur, kau akan rasa masam macam yang aku rasa sekarang.
Cinta tu tak rasa manis je. Adakalanya, bila tiba kau ada
krisis, cinta tu akan rasa masam. Kau nak telan, tapi tak tahan masam. Bila kau
nak buang, kau rasa sayang.
Walaupun aku secara rasminya dah tak
bertegur dengan Irfan dalam jangka masa 5184000 detik, tapi setiap kali aku
fikir nak minta putus, aku akan terdiam sendiri. Aku rasa aku masih sayang
padanya. Apa yang dia dah buat dekat aku ni, buat aku rasa geram.
*****
KOKTEL PERISA MANGGA
Seminggu sudah aku
tidak bertegur sapa dengan Irfan walaupun banyak kali juga kami terserempak di
blok akademik. Baik aku,mahupun dia, kami sama-sama tidak mahu mengalah.
Dan di petang yang redup itu, aku sekali lagi duduk
di tepi kolam. Aku sekadar menikmati
angin yang berpuput lembut. Aku lihat sekeliling. Tiada lelaki sastera di
hujung kolam itu seperti selalu. Mungkin kerana kejadian tempoh hari, dia tidak
berani lagi untuk berkongsi kolam ini dengan aku.
Aku helakan nafas yang terasa berat. Sedikit lapang
dadaku. Aku renung ikan-ikan yang sedang galak melompat-lompat di dalam kolam
itu dengan asyik sekali. Sehinggalah tiba-tiba ada suatu suara di belakangku
menyapa.
“Tengok ikan tu nampak muka aku ke?”
Suara itu menampar gegendang telinga
aku. Aku menoleh ke belakang. Dan aku dapat lihat Irfan menatapku dengan
senyuman yang memekar di bibirnya yang tipis itu.
“Kalau nampak muka kau, tak nak aku
tengok ikan tu,” ujarku bersahaja sambil membalikkan semula wajahku memandang
kolam.
“Kau marah lagi ke dekat aku?” soal
Irfan serius.
Sebentar kemudian, aku dengar derap
kakinya menghampiri aku. Dan dia terus duduk di sebelahku tanpa rasa segan
silu.
“Buat apa nak marah?” soalku kembali
kepada Irfan. Waktu itu, aku masih berkeras untuk tidak memandang wajahnya .
“Nah, ambil ni. Aku
buat untuk kau,” ujar Irfan tanpa mempedulikan soalan yang aku ajukan kepadanya
tadi.
Aku masih memeluk tubuhku. Tidak
berkata ya, mahupun tidak. Protes kononnya. Aku juga tidak tahu apa yang
dilakukan oleh Irfan namun aku dengar bermacam-macam bunyi di sebelahku. Dari
bunyi sudu hinggalah bunyi gelas berlaga. Apa juga yang dibuat si Irfan ni.
“Bukak mulut… Aaaaa….” ujar Irfan
sewaktu dia betul-betul berdiri di hadapanku dan menyuakan sesuatu ke dalam
mulutku.
Dek kerana tindakan refleks, aku
terus membuka mulutku dan menelan apa sahaja yang disuapkan oleh Irfan sebentar
tadi. Wajah Irfan aku renung dalam-dalam.
“Tu nama dia koktel buah,” ujar
Irfan tenang.
Aku tahu. Melalui rasanya sahaja aku
sudah tahu bahawa itu adalah koktel buah-buahan. Dan aku masih menatap wajah
Irfan. Menanti dia menyambung buah butir bicaranya.
“Dalam koktel tu, aku letak macam-macam
buah. Ada epal merah, ada anggur, ada mangga, dan macam-macam lagi.”
Aku hanya memerhati Irfan sambil
mengidentifikasi rasa buah-buahan yang disebutkannya tadi.
“Sekarang kau rasa perisa dalam
mulut awak tu? Manis ke? Masam ke?” soal Irfan lagi.
Sukar aku nak cakap apa yang aku
rasa. Sebab saat ini, aku rasa manisnya buah epal, aku rasa masamnya buah
anggur, ada rasa masam manis datang daripada buah mangga. Sudahnya, aku tak
tahu nak cakap apa perisa spesifik yang aku rasa sekarang.
“Macam-macam rasa ada,” jawabku
tanpa berdalih.
“Dalam cinta ni, macam tu juga. Ada
masa, kau akan rasa cinta aku pada kau manis macam apel. Ada masa, bila kita
bertengkar macam ni, kau akan rasa cinta aku tu masam belaka macam anggur yang
kau rasa dalam koktel tu,” ujar Irfan mendatar.
Aku bingung. Masih tidak dapat
menangkap kata-kata Irfan.
“Jadi?” soalku sepatah. Apa
kaitannya si koktel ni dengan cinta aku dengan dia?
“Jadi, anggaplah apa yang kita rasa
sekarang ini adalah sebahagian daripada perisa dalam koktel yang kau makan
tadi. Walaupun ada masamnya, kau tetap rasa manisnya,” tokok Irfan lagi.
Ah. Baru aku faham maksudnya.
Cinta tu bukan setakat manis
sepanjang masa. Bukan juga rasa masam sepanjang masa. Bagi aku, sekarang ini,
aku seolah-olah sedang menikmati koktel perisa Mangga. Kerana mangga punya dua
rasa. Jika mangga madu, sudah pasti kau akan nikmati rasa manisnya. Tetapi jika
mangga epal, pasti kau tahu masamnya bagaimana.
Aku menatap wajah Irfan penuh kasih.
Lalu aku menghadiahkan sekuntum senyuman buatnya. Melihat senyumanku, pantas
Irfan menyuapkan sesudu lagi koktel buah buatannya ke dalam mulutku.
*****
10 tahun berlalu…
“Sayang, abang nak
kahwin lagi satu boleh?” soal Irfan tiba-tiba sewaktu kami mahu menjamah
sarapan pagi. Tersedak aku dibuatnya.
“Apa?” soalku sepatah.
Anak mataku sudah mahu terkeluar daripada soket mendengar pertanyaan Irfan
tadi. Aku rasa otot Levator Palpelbra Superior telah bekerja keras untuk
menguak kelopak mataku selebar-lebarnya saat ini.
“Abang tanya, kalau abang nak kahwin
lagi satu boleh?” ujar Irfan dengan nada manjanya.
“Owhh…”
Aku meneguk air Milo yang masih
berasap di dalam gelas. Kelat tekak aku menerima berita yang baru aku dengar
daripada Irfan sebentar tadi.
“Ini abang nak bagi Ira rasa koktel
perisa apa pula?” soalku selamba.
“Alang-alang nak bermadu, kenapa
sayang tak nak cuba koktel perisa mengkudu,” ujar Irfan juga selamba.
“Koktel perisa mengkudu? Abang jelah
makan kalau macam tu,” ujarku seraya bangkit daripada kerusi untuk menuju ke
dapur.
“Merajuklah tu,” Irfan menegurku
sambil mencapai tanganku dan menarik aku untuk duduk di pangkuannya.
Aku hanya memandang kakiku yang aku
kuis-kuis di permaidani. Memang aku merajuk. Ada ke dia cakap nak kahwin lagi
satu.
“Pagi-pagi kena makan koktel perisa
mengkudu, Jangan risau sayang I always love
you,” bisik Irfan ke telingaku.
Aku memandang wajah Irfan, mencari
ketulusan daripada wajahnya. Dan setelah aku menemui jawapan yang aku inginkan,
pantas aku meleraikan pelukanku daripada Irfan dan mencubit pipinya. Irfan
berteriak kesakitan dan aku pula pantas juga menyelamatkan diri sebelum Irfan
melakukan serangan balas terhadapku.
Perisa koktel. Daripada satu
hidangan, kau akan dapat merasa pelbagai perisa. Dan perisa koktel itu cukup
untuk menggambarkan rasa cinta antara aku dan Irfan. Dan daripada perisa koktel
itu, aku belajar untuk bercinta dengan Irfan dan kini aku belajar untuk hidup
bersamanya.
*****
© Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
*****
Daripada dapur
orang bujang : Resepi Koktel Buah-buahan
Bahan:
200 g nanas
200 g buah melon hijau
200 g strawberry
200 g daging buah mangga
5 helai daun mint, cincang kasar
Kuah:
500 ml jus jeruk segar
3 sdm madu
250 ml soda manis
Es batu
Cara membuat:
·
Potong-potong kecil buah-buahan.
·
Taruh dalam wadah, taburi daun mint.
·
Kuah: Aduk jus jeruk segar dengan madu hingga
rata.
·
Tuangkan ke dalam wadah berisi buah. Simpan
dalam lemari es hingga dingin.
·
Saat akan disajikan. Tambahkan es batu dan
air soda manis.
·
Sajikan dingin.
Hidangan untuk 8 orang