Angin lembut bertiup perlahan-lahan menampar pepohon
hijau rendang yang tumbuh meliar di halaman rumah kecil itu. Pepohon kelapa
juga meliang liuk lenggoknya mengikut irama tiupan angin. Suasana petang itu
sungguh damai sekali. Matahari kian condong ke barat tanda senja kian merangkak
tiba.
Anis
menjulurkan kakinya menghadap ke arah padang luas yang terletak di sebelah
rumahnya. Kepenatan mengemas rumah yang baru didiaminya bersama-sama
keluarganya itu dilepaskan di situ. Mereka sekeluarga berpindah untuk menetap
di kawasan perkampungan tersebut sebaik ayahnya menamatkan perkhidmatan
daripada badan beruniform kira-kira sebulan yang lepas. Hati kecilnya
memberontak tatkala ayahnya menyuarakan hasrat mahu tinggal di kampung itu. Dia
tidak betah untuk tinggal di situ sementelah pula dia sudah biasa tinggal di
bandar. Fikirannya jauh menerawang ke tempat lain walaupun matanya terarah ke
arah sekumpulan kambing yang enak meragut rumput di hadapannya.
“Hoi!
Jauhnya termenung. Kau kat Malaysia lagike? Ke dah sampai Amsterdam?” jerkah
Haryani sambil menepuk bahu Anis kuat.
“Adoi!
Sakitlah!” balas Anis seraya menggosok bahu kanannya dengan laju.
Terkebil-kebil matanya menahan pedih akibat tamparan Haryani. Boleh tahan jugak
tangan minah ni, tak padan kecik, omel Anis di dalam hati.
Haryani
ketawa terkekeh-kekeh melihat riak wajah Anis. Kelakar benar wajah Anis ketika
itu. Perlahan-lahan Haryani mendapatkan tempat duduk di sisi Anis. Diusap-usap
bahu Anis seketika seolah-olah mahu meredakan bisa tamparannya sebentar tadi.
“Sorilah,
aku gurau je. Jangan marah eh?” pujuk
Haryani. Sengihannya melebar menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik.
Anis mendengus perlahan.
“Nasib
baik aku ada kau je sebagai kawan kat kampung ni tau tak. Kalau tak, aku
sangkut kau atas pokok kelapa ni ha,” Anis membebel sambil menepuk-nepuk batang
pokok kelapa di belakang mereka berdua.
Haryani
membulatkan matanya sebelum tawa pecah daripada bibirnya. Anis menjegilkan biji
matanya ke arah Haryani. Luas. Bertambah galak Haryani menghamburkan tawanya. Mereka
memang berkawan baik walaupun Anis menetap di bandar dahulu. Sekali sekala
kepulangan Anis ke kampung terutamanya ketika sambutan hari raya akan
dimanfaatkan sepenuhnya di antara mereka berdua. Kini, Anis menetap di kampung
itu. Bertambah eratlah persahabatan mereka berdua selepas ini.
“Eh,
seronok tak duduk sini? Welcome to
kampung life!” Haryani berlelucon sambil mendepakan tangannya di sebelah
Anis. Hatinya sangat gembira apabila Anis kembali menetap di kampung itu.
“Tak
payah welcomesangatlah. Poyo betul
kau ni,” tungkas Anis seraya menolak bahu Haryani. Haryani menepuk-nepuk bahu
Anis dan kemudian melentukkan kepalanya ke bahu itu. Anis membiarkan sahaja.
“Kau
tau tak, kampung ni keras tau,” Haryani berbisik perlahan. Cukup-cukup untuk
didengari oleh Anis seorang.
“Keras?
Apa maksud kau keras?” soal Anis pelik. Keningnya berkerut rapat. Haryani
membetulkan duduknya sambil matanya meliar memerhati keadaan di sekeliling
mereka. Anis memerhati tingkah Haryani dengan pandangan yang pelik.
“Kau
tau tak maksud keras?” soal Haryani tegas.
“Keras?
Kalau yang ni memangla keras. Ni kan batu,” Anis cuba berjenaka walaupun
jenakanya itu tidak kelakar langsung pada pendengaran Haryani. Tangannya mengetuk-ngetuk jalan berturap itu
perlahan-lahan. Haryani berdecit kasar.
“Kau
tau tak maksud makhluk alam lain?” tekan Haryani kepada Anis. Tubuhnya sudah
berpaling menghadap Anis. Terasa mahu dicekik-cekik Anis ketika itu.
“Makhluk
asing? Tu ke maksud kau?” Anis sengaja menguji Haryani. Dia sudah faham apa
yang dimaksudkan oleh Haryani sebenarnya. Tetapi sengaja dia mahu menduga
kesabaran Haryani.
Haryani
memegang kedua-dua belah pipi Anis dan didorong ke wajahnya. “Kau pernah dengar
pasal hantu tak?”. Haryani mengetap bibir geram. Anis menolak wajah Haryani
dari mendekatinya.
“Kalau
ye pun, tak payahlah tarik muka aku. Orang tengok nanti boleh timbul fitnah
tahu?” protes Anis sambil menjauhkan diri daripada Haryani. Haryani menyapu
tapak tangannya perlahan. Perlahan-lahan dia berpusing menghadap padang rumput
di hadapan mereka semula.
“Kau
nak dengar cerita tak? Pasal hantu?” soal Haryani perlahan. Anis mengangkat
sebelah keningnya sambil menjeling ke arah Haryani. Dia menganggukkan kepalanya
tanda mahu walaupun sebenarnya dia malas mahu bertegang urat dengan Haryani
ketika itu.
Haryani
memandang ke hadapan…
*********************************************************
Seluruh
isi kampung tersebut digemparkan dengan perkhabaran bahawa bidan terkenal di
kampung itu sedang sakit tenat. Anehnya, walaupun bidan tersebut jelas
kelihatan sangat uzur, tetapi fizikalnya sama seperti ketika dia masih sihat
dahulu. Walaupun hanya terlantar di atas tilam lusuh yang dibentangkan di
bahagian tengah ruang tamu rumah kecil itu, tetapi kelakuannya akan berubah mendadak tatkala tiba
waktu untuk dia mengisi perutnya. Selera makannya sungguh besar hingga tak
terjangkau oleh fikiran waras seorang manusia normal.
Seluruh
ahli keluarganya menjauhkan diri daripadanya atas sebab yang tidak diketahui
oleh penduduk kampung. Tinggallah bidan tersebut dengan seorang cucu perempuannya
yang bernama Lili. Tanggungjawab menjaga bidan itu berpindah ke bahu Lili,
setelah anak-anak bidan tersebut enggan mengambil tahu mengenai hal orang tua
itu.
Sehinggalah
suatu hari, Lili melarikan diri sambil menangis ke rumah ketua kampung, iaitu
Pak Hamid. Air mata Lili berjejeran. Jelas ketakutan terpancar daripada riak
wajah Lili.
“Lili
tak mahu pulang ke rumah itu lagi tok,” esak tangis Lili menenggelamkan ulas
bicaranya. Isteri Pak Hamid, Makcik Midah mengusap-usap belakang Lili
perlahan-lahan.
Pak
Hamid menggelengkan kepalanya perlahan. Hatinya belas melihat air muka Lili.
“Tak usahlah pulang Lili, tinggal saja di sini.”
Lili
menarik nafas lega. Sungguh, dia tidak rela untuk kembali ke rumah itu lagi.
Malam
itu, sesudah mereka menjamah hidangan makan malam, Lili meminta diri untuk
berehat di dalam bilik. Lili termenung jauh menatap alang rumah kayu tersebut.
Sesekali, angin malam menerobos masuk melalui celahan jendela kayu di bahagian
kepala katil Lili. Damai dirasakan walaupun hati kecilnya merusuh teringatkan
neneknya yang ditinggalkan seorang diri di rumah itu.
“Lili…”
seru satu suara.
Lili
memicingkan pendengarannya. Perlahan-lahan dia menjauhi tempat pembaringannya
itu. Lidahnya kelu. Tiada suara mampu dilantunkan keluar. Serentak dengan itu,
kedengaran seperti kain diseret di atas dedaun kering di luar bilik itu. Hati
Lili berkocak laju. Peluh mula kelihatan merenik di dahinya.
“Lili…
pulanglah… tak kasihankah Lili pada nenek?” suara itu bergema lagi. Lili
terpempan. Itu suara neneknya! Mustahil, bentak hati Lili.
Lili
mencari kekuatan untuk keluar daripada bilik itu, tetapi seluruh anggotanya
terasa seperti terpaku kuat di situ. Ruang bilik dirasakan berpusing-pusing.
Lili menjadi bingung.
“Lili…”
suara itu semakin mendayu-dayu. Semakin lama semakin hampir dengan jendela kayu
itu. Lili hanya mampu memandang ke jendela itu dengan pandangan yang tidak
mampu ditafsirkan. Sebaik wajah makhluk tersebut terpampang di penglihatannya,
Lili menjerit nyaring sebelum seluruh pandangannya gelap.
Lili
tersedar sebaik terasa pipinya ditepuk lembut. Sesekali dirasakan ada percikan
air yang sejuk singgah di kulit wajahnya. Lili membuka matanya perlahan-lahan.
Makcik Midah tersenyum memandang Lili.
“Alhamdulillah,
Lili dah sedar,” ucap Mak Midah syukur. Pak Hamid meraup muka tanda lega.
Lili
memandang ke arah mereka berdua dengan pandangan kurang mengerti. Apa yang dah
berlaku, bisik Lili perlahan.
“Lili
pengsan tadi. Mujur Lili dah sedar,” terang Mak Midah lembut sebaik melihat
kerutan di dahi Lili. Seketika Lili seperti tersedar. Pantas dia memegang
lengan Makcik Midah dengan erat. Matanya bulat memandang Makcik Midah dan Pak
Hamid.
“Makcik,
tadi nenek datang. Dia panggil Lili. Tu kat situ,” terang Lili sambil
telunjuknya dihalakan ke arah jendela kayu tersebut. Makcik Midah ternganga
mendengar kata-kata Lili. Seram sejuk dirasakan seluruh anggota badannya ketika
itu. Pandangannya dikalihkan kepada Pak Hamid yang juga kelihatan terkejut.
“Lili
jangan takut, makcik dan tok ada,” pujuk Makcik Midah setelah Lili kembali
menangis ketakutan di dalam pelukannya. Tangan Lili merangkul Makcik Midah erat
seperti takut ditinggalkan di situ.
“Takpelah,
malam ni, Lili tidur dengan makcik ya,” pujuk Pak Hamid. Lili terus
menyembunyikan wajahnya di dalam pelukan Makcik Midah.
Keesokan
harinya, penduduk kampung dikejutkan dengan berita kematian bidan tersebut.
Lili menangis teresak-esak setelah perkhabaran mengenai kematian neneknya
sampai ke telinganya. Walaupun hatinya menyayangi neneknya sepenuh hati, tetapi
dia tidak mampu untuk bertahan di sisi arwah neneknya di rumah itu.
Setelah
majlis tahlil selesai, seluruh hadirin mula meninggalkan kawasan rumah Pak
Hamid. Lili tidak dibenarkan pulang ke rumah arwah neneknya kerana Pak Hamid
dan Makcik Midah khuatir dengan keselamatannya. Lili sendiri masih tidak
bersedia untuk pulang ke rumah tersebut. Jikalau boleh, dia tidak mahu kembali
lagi ke rumah itu.
Mak
Kalsom menyudahkan jahitan yang terakhir pada baju kurung yang ditempah oleh
pelanggannya itu. Sesekali matanya menjeling ke arah jam yang tergantung di
dinding hadapannya. Sudah pukul 1.00 pagi. Matanya ditenyeh perlahan untuk
menghilangkan rasa mengantuknya.
“Kalsom
ooo Kalsom, aku datang ni,” seru satu suara. Mak Kalsom terpinga-pinga.
Dijelingnya jam yang terletak di hadapannya.
Aku
mengantuk sangatke? Gumam Mak Kalsom perlahan.
“Kalsom,
bukaklah pintu ni, aku datang ni nak tempah baju,” seru suara itu lagi. Mak Kalsom meletakkan kain baju kurung
ditangannya ke atas kerusi di sebelahnya. Perlahan-lahan dia bangkit dari
kerusi kayu itu dan mengatur langkah ke jendela rumahnya. Mak Kalsom mengintai
dari celahan jendela kaca itu. Serentak hatinya terasa seperti berhenti
berdegup! Bidan itu kini berdiri di hadapan pintu rumahnya. Keadaannya sama seperti
ketika dia masih sihat dulu. Mak Kalsom terketar-ketar menjauhi jendela
tersebut. Kakinya seperti berpijak pada gumpalan awan.
“Kalsom,
aku kat luar ni. Kau tak nak bukak pintu ni ke?” soal ‘bidan’ itu.
Mak
Kalsom pantas melarikan diri ke dalam biliknya sebaik dia berjaya mendapatkan
sedikit kekuatan. Sungguh, dia berasa takut hingga ke tulang hitam.
******************************************************************
“Sejak daripada hari tu, kampung ni bising dengan
cerita hantu bidan tu merayau-rayau mengacau orang kampung. Dengar ceritanya,
dia cari Lili,” sambung Haryani menamatkan ceritanya. Anis memandang Haryani
melalui hujung ekor matanya.
“Kau
hidup zaman bila ni? Sekarang ni zaman internet di hujung jari. Punyalah
canggih sampai dalam toilet pun kau
boleh main internet. Kunola cerita kau. Mengarut tau tak,” Anis membantah intipati
cerita itu seraya mengangkat punggungnya. Hujung seluarnya ditepuk-tepuk
perlahan untuk menghilangkan kotoran.
Haryani
mencebik masam. Perlahan-lahan dia bingkas bangun mengikut jejak Anis. “Kau
ingat zaman internet takde hantu?” soal Haryani.
“Ni
dah masuk zaman whatsapp. Orang pun
dah tak pakai sms. Kau masih lagi dengan cerita hantu. Mengarut betul,” sambung
Anis perlahan sambil mengatur langkah menuju ke rumahnya. Senja sudah merangkak
tiba. Cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi.
“Eh
Yani pun ada, kenapa tak masuk?” sapa Puan Laila sambil mengangkat sepasu bunga
orkid hutan untuk digantung pada sangkar burung di tepi rumah itu. Haryani
tersenyum memandang Puan Laila.
“Takpela
makcik, dah nak balik pun. Lainkali la ya,” tolak Haryani sopan seraya meminta
diri untuk pulang. Anis memerhatikan langkah sumbang Haryani.
“Jangan
lupa kirim salam dekat makcik bidan tu kalau kau terjumpa tengah jalan ye,”
jeritnya. Langkah Haryani terhenti di situ. Serentak dia berlari mendapatkan
Anis. Tercungap-cungap nafasnya seperti tidak cukup udara.
“Jahat
betulla kau ni! Aku tak kira, kau kena temankan aku balik!” marah Haryani.
Mukanya merona merah. Anak matanya meliar memerhati ke sekeliling mereka.
“Eh,
apesal pulak! Rumah kau depan tu je kot. Baliklah sendiri,” bantah Anis.
Haryani pantas menarik tangan Anis.
“Aku
tak kira, kau kena temankan aku jugak! Makcik, Yani pinjam Anis kejap ye!”
laung Haryani lantang sambil menarik tangan Anis. Anis menarik tangannya kasar
tetapi tidak berjaya melepaskan dirinya. Serentak bebelan tercetus daripada
bibir Anis mengiringi langkah terpaksanya untuk menemani Haryani.
Anis
berjalan pulang menuju ke rumahnya sesudah menghantar Haryani pulang. Sesekali
tangannya memetik bunga-bunga hutan yang tumbuh di pinggir jalan. Azan maghrib
kedengaran dialunkan daripada surau kampung itu.
“Jangan
cakap besar ya nak,” tegur satu suara. Suara mirip seorang perempuan tua.
Langkah
Anis terhenti. Dilihatnya keadaaan sekeliling. Sunyi. Tiada sesiapa selain
dirinya. Anis menyambung langkahnya semula. Khayalan agaknya, omelnya sendiri.
Serentak langkah diatur laju menuju ke rumahnya. Walaupun hatinya tidak
mempercayai cerita Haryani, tetapi suasana senja yang mula gelap sedikit
sebanyak membawa keberaniannya pergi.
Anis berkurung di dalam biliknya sebaik selesai menjamah
hidangan makan malam. Dicapainya MP3 yang disimpan di dalam laci meja soleknya.
Perhatiannya mula hanyut dengan kelekaan mendengar muzik yang berkumandang
daripada MP3 tersebut.
“Anis…”
satu suara kedengaran menyeru namanya.
Jejari
Anis berhenti daripada mengetuk pahanya. Perlahan-lahan dia menutup majalah
yang berada di tangannya dan memperlahankan suara yang terlantun daripada MP3
tersebut.
“Anis…”
suara itu menyeru lagi. Fikiran Anis terbejat. Suara siapa tu, fikirnya
sendiri.
“Tadi
Anis kirim salam pada makcik kan?” sambung suara itu lagi. Anis terpempan.
Penglihatannya membulat ke hadapan.
“Anis,
ada nampak cucu makcik, Lili tak? Dah lama makcik cari Lili,” sambung suara itu
lagi. Suaranya seakan-akan bergema-gema memenuhi ruang bilik itu. Anis melangkah
perlahan-lahan menjauhi jendela biliknya. Hatinya berdetak halus.
“Anis,
tak tidur lagike?” sapa Puan Laila. Anis terjerit lantang akibat terkejut
mendengar pertanyaan Puan Laila yang tiba-tiba itu. Puan Laila meluru dadanya
perlahan.
“Kenapa
dengan kamu ni? Itulah, dengar lagi muzik malam-malam macam ni. Dah, pergi
tidur,” arah Puan Laila.
“Mak,
orang nak tidur dengan Eja,” sambung Anis sambil mengheret selimut dan bantal
bersama-samanya. Hatinya berasa tidak sedap malam itu. Puan Laila menggelengkan
kepala melihat telatah Anis.
******************************************************************
Tidur Anis diganggu oleh pancaran silauan cahaya yang
tidak diketahui daripada mana datangnya. Anis mendengus kasar. Siapa pulak yang
main lampu suluh malam-malam buta ni, bebel Anis.
Dikerlingnya
ke sebelah kanannya. Eja kelihatan sedang tidur lena. Anis mengerutkan dahinya.
Hairan. Pandangannya dihalakan semula ke hadapan pintu bilik Eja. Lampu
tersebut masih bersinar di situ.
Lampu
suluh apa yang besar sangat ni, fikir Anis. Penglihatannya tetap ditumpukan
pada lampu suluh tersebut. Tidak sedikit pun dia terfikir untuk mengalihkan
pandangannya. Tiba-tiba Anis perasan, lampu suluh tersebut dikelilingi dengan
bulu-bulu halus! Anis tersentak. Nafasnya terasa seperti tersekat-sekat.
Perlahan-lahan dia mendekati Eja. Dicuitnya Eja supaya tersedar. Eja tidur
mati!
Anis
kehabisan akal. ‘Lampu suluh’ itu masih galak menyuluh tepat ke wajahnya. Mujur
sahaja Anis tidak melihat wajah si pemilik lampu suluh sebesar itu. Anis
mencubit Eja kuat. Serentak Eja bangun mengaduh kesakitan. ‘Lampu suluh’ itu
lenyap daripada pandangannya. Di kala itu,Anis menarik nafas lega.
“Kau
ni dah kenapa. Nak gurau, esok-esokla. Aku mengantuk ni. Esok nak pergi
sekolah. Tidurlah!” marah Eja apabila lenanya terganggu.
“Sapa
nak bergurau dengan kau malam-malam buta ni. Tidurlah,” jawab Anis sambil
menarik selimut menutupi kepalanya. Seluruh tubuhnya terasa sejuk hingga ke
tulang sumsum.
Anis
berjalan menuju ke meja makan yang terletak di ruang tamu rumah itu untuk
bersarapan. Hari ini dia perlu tiba ke sekolah lebih awal memandangkan dia
perlu bertugas membersihkan kelas. Dicapainya sekeping roti dan secawan air
milo panas. Perlahan-lahan ditiup air milo tersebut untuk menghilangkan hawa
panas.
“Kau
kenapa cubit aku semalam? Tengok ni, dah biru!” marah Eja sambil mendapatkan
tempat duduk di sebelah Anis. Anis mengerling ke tangan Eja.
“Saja
je. Kau kan gebu. Sedap dicubit kalaupun aku tak selera nak peluk,” sahut Anis
tidak berperasaan. Serentak Eja mencubit pipi Anis geram.
“Malam
ni tidur bilik sendiri. Sempit tau tak!” bebel Eja. Anis tidak memberi reaksi.
Sebaliknya perhatiannya ditumpukan pada roti di hadapannya.
Puan
Laila menatang seteko kopi panas ke arah meja makan tersebut. Kopi itu untuk
suaminya. Suaminya tidak betah untuk bersarapan kalau tidak ada kopi panas.
Perlahan-lahan diletakkan teko tersebut ke atas meja makan itu sebelum
melabuhkan duduknya di situ.
“Tadi
masa mak pergi beli kuih ni kat kedai tadi, mak dengar ada cerita pelik,” Puan
Laila memecahkan kesunyian pagi itu dengan ceritanya. Anis dan Eja saling
berpandangan sesama sendiri.
“Cerita
apa mak?” soal Eja.
Puan
Laila membuka bungkusan nasi lemak di hadapannya dan diletakkan di atas pinggan
putih berbunga merah yang terletak di depan suaminya. Encik Darius mengucapkan
terima kasih sambil mencapai sudu dan garfu yang dihulurkan oleh Puan Laila.
“Semalam,
ada orang kampung kena kejar dengan pontianak kat depan lorong rumah kita ni,”
ujar Puan Laila bersungguh-sungguh. Matanya bulat memandang wajah anak-anak dan
suaminya.
“Puffffffff…”
tersembur air milo yang sedang diminum oleh Anis. Eja terkejut sambil cuba
mengelak daripada terkena semburan air milo tersebut. Encik Darius turut
terkejut dengan aksi spontan Anis. Seketika dia menggelengkan kepala perlahan.
“Kau
ni, habislah baju aku!” marah Eja.
Anis
terbatuk-batuk kecil seraya menarik nafas dalam-dalam. Wajah Puan Laila
dipandang sekilas.
“Mak,
kita hidup di zaman komputer, internet. Zaman monorel, ada lrt tau mak. Cerita kena kejar pontianak ni cerita zaman nenek
moyang kita dulu. Mak tak rasa ke tu mengarut?” tungkas Anis tegas. Matanya
memandang tepat ke mata Puan Laila.
“Tapi
kita kena akui, ‘dia’ memang wujud Anis. Itu tak mustahil,” Puan Laila berhujah
lembut. Anis memang diketahui bersifat keras kepala berbanding Eja.
“Betul,
‘dia’ memang wujud. Dalam Al-Quran pun ada dinyatakan. Tapi, kalau sampai kena
kejar bagai, wah dah macam filem Twilight!
Betul tak ayah?” soal Anis sambil menghalakan pandangannya ke arah Encik
Darius. Encik Darius hanya memandang tanpa membalas apa-apa. Dibiarkan sahaja
mereka berdua berdebat tanpa ada keinginan untuk masuk campur. Kalau dilayan,
makin panjang hujah mereka berdua.
Puan
Laila membiarkan sahaja omelan Anis. Makin dilayan makin sakit hati dia jadinya.
Seketika, Encik Darius menghidupkan enjin kereta untuk menghantar Anis dan Eja
ke sekolah.
“Mak,
agak-agak pontianak tu hensem tak? Teringin
nak berkenalan,” ujar Anis sambil memakai kasut sekolahnya di luar pintu.
Puan
Laila menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Anis.
******************************************************************
Anis pulang dari sekolah dengan muka yang cemberut.
Sakit hatinya apabila teringatkan kejadian di sekolah pagi tadi. Kalau tidak
disebabkan kecuaian Lena, pasti baju sekolahnya tidak sekotor itu. Sudahnya,
dia terpaksa merendamkan pakaian sekolahnya di dalam sebesen air sebelum
dibasuh selepas ini. Anis kemudiannya terlena setelah beberapa minit termenung
di atas katilnya.
Anis
menarik besen yang berisi pakaian sekolahnya menuju ke mesin basuh yang
terletak di tepi bilik mandi di dalam rumah itu. Dia mengalihkan pakaian
sekolahnya ke dalam mesin basuh itu sebelum menekan butang yang terdapat di
atas papan pemuka mesin basuh itu.
“Anis,
air paip tak ada kat situ. Anis kena bukak paip kat luar ya,” pesan Puan Laila
sebelum meninggalkan Anis di situ seorang diri. Anis mengeluh kecil. Suasana
gelap di luar agak menggerunkan hatinya. Sesekali dia rasa menyesal kerana
tertidur sehingga Maghrib. Itupun dia terjaga akibat dibebel oleh Puan Laila.
Anis
pantas menyambungkan hos getah ke saluran paip yang terdapat di muka pintu
hadapan dapur itu. Apabila pintu itu dibuka, Anis dihidangkan dengan
pemandangan yang gelap gelita. Sementelah
rumahnya bersebelahan dengan sebuah hutan kecil. Anis memasang hos getah
tersebut pada kepala paip di situ. Sesekali terdengar bebelan tercetus daripada
bibir Anis.
Sebaik
mesin basuh berhenti berpusing, Anis melepaskan air kotoran yang terkandung di
dalam mesin basuh itu untuk digantikan dengan air yang bersih. Langkahnya
diatur semula ke arah kepala paip yang terletak di luar rumah itu. Sebaik
kepala paip tersebut berjaya dibuka, pandangannya terjatuh pada satu objek
berwarna putih yang tiba-tiba muncul di celah kegelapan malam itu.
Hati
Anis berdetak kecil. Tadi takde pun, gumam Anis sendiri. Pandangannya masih
dipusatkan ke arah objek itu.
Ada
orang tertinggal gunike? Tapi kenapa putih sangat, soal Anis lagi.
Anis
terleka memandang ke arah objek putih itu sebelum dia dikejutkan dengan
sesuatu. Perlahan-lahan objek tersebut bertukar menjadi satu raut wajah dan
bentuk seakan manusia yang sedang duduk bercangkung. Anis menelan liur pekat.
Pandangannya
terpaku pada sinaran mata berwarna kehijauan yang datang daripada makhluk itu.
Raut wajahnya diperlihatkan sedikit demi sedikit. Anis berpeluh sejuk. Sekali
lagi dia diduga akibat keceluparannya. Terasa ingin dilaungkan nama Eja dan ibu
bapanya, tetapi untuk menggerakkan kaki sahaja dia tidak mampu. Raut wajah
makhluk itu sudah jelas di matanya. Sungguh buruk seperti bekas terbakar. Anis
memejamkan matanya. Rapat.
Dia
terasa seperti makhluk itu semakin menghampirinya. Sepasang taring jelas
kelihatan di sebalik bibirnya. Anis terasa seperti mahu menangis saat dia sedar
yang makhluk itu sedang tersengih menyeringai memandangnya. Kakinya keras
seperti batu. Eja, datanglah sini, rintih hati Anis.
Kelibat
makhluk itu semakin menghampirinya. Anis tiada pilihan lain. Dia tidak mampu
untuk bergerak walau selangkah. Sudah habis dia membaca semua ayat suci yang
terlintas difikirannya. Saat makhluk itu hanya berada beberapa inci sahaja
daripadanya, Anis secara tiba-tiba berjaya melarikan diri. Pantas Anis merempuh
pintu dapur dan berlari mendapatkan keluarganya. Ketika itu, satu suara hilaian
kedengaran melengking-lengking di luar rumah. Bingit seperti meraikan sesuatu
lagaknya.
Anis
terjatuh di hadapan ibu dan bapanya sambil menghamburkan tangisan yang kuat.
Puan Laila dan Encik Darius pantas mendapatkan Anis. Panik. Puan Laila memeluk
Anis yang kelihatan pucat lesi. Eja mula menghulurkan segelas air kosong kepada
Anis untuk melegakan Anis.
“Anis
nampak…” Anis bersuara sebaik sahaja dia mendapat kekuatan. Puan Laila, Encik
Darius dan Eja berpandangan sesama sendiri sebaik mendengar cerita Anis. Puan
Laila terus mengeratkan pelukannya kepada Anis untuk melegakan rasa takut di
hati Anis.
“Anis,
makcik dah cakap, jangan cakap besar,” satu suara berbisik di cuping telinga
Anis. Suara perempuan tua itu. Serentak dengan itu, Anis menangis teresak-esak.