Home Cerpen Cinta Tunggu Sekejap
Tunggu Sekejap
Isha Idiaz
5/12/2014 21:50:11
3,418
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Tunggu Sekejap

Oleh : Isha Idiaz

*****

“L,” suara Q jelas menampar gegendang telinga aku sekaligus memadamkan semua soalan-soalan negatif yang baru aku reka sebentar tadi dalam otak.

“Hmm.”

“Aku rasa, aku dah tak boleh nak tunggu kau L.”

Sepi.

Mungkin aku dan Q perlu masa. Atau aku sudah terlalu lama buat Q menunggu sampai Q rasa jemu? Atau mungkin masa yang mencemburui kami? Atau cinta kami ditelan masa?

*****

AKU memandang ke arah telefon bimbit yang sedang di cas. Kalau dahulu, telefon dan aku berpisah tiada. Mana ada aku, di situ ada telefon. Sekarang ni, hidup aku dah berubah seratus peratus. Telefon bawah bantal, aku dekat hospital. Telefon dalam kocek bergetar seribu kali pun belum tentu aku perasan. Biasa juga aku kena marah dengan kawan-kawan sebab aku tak jawab panggilan mereka. Betullah kata orang, sungai pun boleh berubah, inikan pula manusia. Sama macam aku dengan Q. Berapa hari dia tak LINE aku. Senyap tanpa berita.

Aku hela nafas berat. Telefon yang elok terletak di sudut meja aku capai. Aplikasi LINE aku buka dan pantas jari aku mencari nama Q.

Tujuan aku buka aplikasi LINE cari nama Q ni bukan sebab aku nak buat iklan LOVE, LIFE, LINE macam Cinta dan Rangga. Tapi sebab aku rasa rindu dekat Q.

Q

Read. Tapi tak berbalas.

Kau sibuk ke?

Read.

Aku letakkan kembali telefon bimbit ke sudut meja. Badan aku sandarkan ke kerusi. Merenung skrin komputer riba dengan pandangan kosong.

Q dah banyak berubah. Q tak macam Q yang aku kenal dulu.

*****

Sebelas tahun yang lalu…

Aku duduk di meja paling hadapan di dalam kelas. Prinsip aku, siapa duduk depan, dia dapat banyak ilmu. Sama macam dalam solat. Hadis Riwayat Ahmad, Allah dan para malaikat berselawat kepada orang yang solat di saf pertama atau beberapa saf awal.

Macam biasa, beg aku letak dalam laci bawah meja. Dan seperti biasa waktu nak masukkan beg bawah laci tu aku akan periksa dulu kot kot ada orang letak gula getah bawah tu. Dan seperti biasa juga, aku pasti akan raba satu benda yang tak asing lagi oleh tangan aku ni.

“Tadaaaaa,” ujar aku sambil mengunjukkan satu bar coklat Cadburrykegemaran aku pada Marina yang duduk di sebelah.

Seriouslah wei kau dapat coklat lagi hari ni?” soal Marina dengan nada teruja.

Aku angguk laju dan tayang gigi pada Marina. Bangga juga ada secret admirer bagi aku coklat setiap minggu.

“Tapi aku rasa coklat ni bukan untuk akulah. Siapalah yang minat kat aku. Lainlah kau. Cantik. Aku ni biasa-biasa je,” luah aku pada Marina. Kali ini Marina pulak angguk laju dan tayang gigi pada aku.

“Ambiklah,” ujar aku sambil memberikan coklat itu pada Marina. Marina tak fikir dua tiga kali langsung ambil coklat tu dari tangan aku.

Hati rasa lain macam bila sebuah pandangan tajam melirik tepat ke arah aku. Cepat-cepat aku kalih muka pandang ke depan. Terdetik juga dalam hati, jangan-jangan mamat dekat belakang tu yang bagi aku coklat bawah meja tu. Sebab setiap kali aku dapat coklat tu dan aku bagi dekat Marina, mesti mamat tu pandang aku macam nak telan. Tapi kalau aku makan coklat tu, dia senyum pulak.

*****

Zaman sekolah dah lama berlalu. Kadang-kadang terkenang juga coklat pemberian secret admirer.Sampai ni aku tak tahu siapa beri aku coklat tu. Dan hari ni aku rasa macam nak tanya Q siapa yang beri aku coklat masa dekat kelas dulu.

Panggilan bersambung.

“Q, aku ni,” ujar aku memperkenalkan diri. Kalau aku dah cakap aku, Q tahulah aku ni aku.

“Ha, kenapa kau telefon aku pagi-pagi buta ni?” soal Q dengan suara serak-serak basahnya.

“Q, kau tahu tak siapa bagi aku coklat masa sekolah dulu?” soal aku gelojoh.

Q terus tersedak. Aku dengar Q terbatuk-batuk di hujung talian. Cepat-cepat aku jauhkan telinga dari telefon. Sakit telinga kalau dah menggonggong suara Q dekat telefon.

“Wei, kau tersedak air liur ke apa Q?”

Kali ini Q ketawa terbahak-bahak.

“Ye la, aku tersedak air liur. Sebab tidur mimpi kau, banyak gila air liur aku keluar. Tulah, siapa suruh telefon aku pagi-pagi macam ni semata-mata nak tanya siapa bagi kau coklat masa sekolah dulu,” Q mengomel panjang.

Aku ingat apa aku cakap dekat Q tadi tak tersave dalam otak dia walaupun dia mamai masa tu. Nasib baik dia dengar soalan aku tadi. Jadi tak payah tanya dua tiga kali.

“Kau tahu tak siapa?”

“Kalau aku tahu dia siapa, kau nak buat apa dengan budak tu?”

Eheh. Q ni main aci acah-acah nak beritahu-tak-nak-beritahu pula dengan aku. Kalau ada depan mata, lama dah aku pijak kaki mamat ni, biar cepat sikit dia beritahu aku.

“Aku nak coupledengan dia.”

Jawapan aku tu serius sebab aku rasa lelaki tu betul-betul suka dekat aku. Cuma mungkin masa tu aku ni jenis budak nerd jadi dia tak berani nak terus-terang dengan aku dia suka aku.

Serious?”

Yup.

“Okey L, jangan menyesal sebab sekarang kau dah jadi awek aku. Okeylah, aku nak sambung mimpi kau balik,” ujar Q dan langsung memutuskan panggilan.

Mulut aku dah ternganga lebar. Muatlah tiga puluh ekor lalat nak terbang masuk sekaligus dalam mulut aku. Biar betul si Q ni. Jadi selama ni dia yang jadi secret admirer aku?

*****

“BILANYA kau habis belajar L? Lama betul aku tunggu kau ni. Daripada aku muda sampai dah masuk umur jubli perak dah ni. Daripada aku comel sampai aku dah kacak.”

Aku ketawa besar bila dengar Q merungut macam tu. Kadang-kadang keliru juga, dia bosan tunggu aku atau dia nak cakap dia makin handsome sekarang ni. Maklumlah, jumpa pun setahun sekali je. Tu pun kalau aku balik raya.

Sorrylah Q. Aku bukan nak duduk sini lama-lama. Tapi sayang beb. Aku belajar dah empat tahun, takkan nak stop macam tu je sebab kau tak sabar nak kahwin dengan aku,” giliran aku pula membela diri.

Q mengeluh.

“Tapi beb, aku balik raya nanti. Kau tunggulah aku dekat KLIA 2, bentang karpet merah siap-siap untuk aku.”

“Bila kau balik?”

“Lima belas hari bulan.”

“Okey, aku tunggu dengan karpet merah. Siap-siap jelah kau tahan malu nanti.”

Panggilan diputuskan.

Aku dengan Q memang tak pernah cakap lama-lama. Cakap cintan cintun ni bukan kami punya style. Kalau Q kayu, aku batunya. Kalau Q keras, aku beku. Heh. Jangan sesekali guna perumpamaan macam tu dekat sekolah ya adik-adik.

*****

KAKI dihayun masuk dalam kereta. Muka rasa tebal seinci. Tali pinggang keselamatan aku pasang. Mulut rasa terkunci nak cakap apa-apa. Q dekat sebelah dah tersengih-sengih mengalahkan kerang busuk. Puas hatilah dapat kenakan aku tadi depan orang ramai.

Elok je aku keluar dari pintu balai ketibaan antarabangsa, karpet merah terbentang depan mata. Takut juga mula-mula nak pijak. Tapi bila tengok Q dah terpacak depan tu dengan berpeluk tubuh, maka aku rasmikanlah karpet merah seperti permintaan aku lewat telefon dua minggu sebelum aku balik hari tu.

Dan masa tulah, berpuluh mata, eh mungkin beratus mata pandang aku dengan pandangan pelik bila lepas aku lalu atas karpet merah tu, Q pergi gulung karpet tu dari hujung sana. Betul si Q ni buat kerja gila.

“Nah,” ujar Q sambil meletakkan sejambak ros merah atas dashboard depan aku.

Mata jeling Q di sebelah. Bibir dah ukir senyum.

Bahagia.

Q penuh dengan kejutan. Tadi bagi aku jalan atas karpet merah. La ni bagi aku bunga ros merah sejambak. Lepas ni jangan dia turunkan aku tengah highway sudahlah.

Cepat-cepat aku selamatkan ros merah atas dashboard tu sebelum Q buang bunga ros tak bersalah tu ke luar. Aroma ros segar menusuk hidung. Wangi. Aku pandang Q di sebelah yang lebar senyumnya hingga ke telinga.

“Terima kasih Q.”

Makin lebar senyum Q.

“Nah, upah,” ujar Q dan menghulurkan satu plastik yang penuh dengan coklat Cadburry.

Kali ni, aku pula yang rasa nak senyum sampai rabak bibir.

Tak larat nak teman Q bercakap sebab seharian aku tak tidur gara-gara excited nak balik, akhirnya aku tertidur. Q selamat bawak aku balik sampai rumah walaupun dia tak makan sehari suntuk sebab dari tempat kerja langsung bergegas ambil aku di KLIA 2.

*****

“BERAPA lama lagi?” soal Q entah buat ke berapa kalinya. Bibir sudah mengukir senyum. Kalau semuanya sesuai jadual, tinggal sebulan sahaja lagi sebelum aku mendapat gelar doktor.

“Tak lama dah. Cukuplah masa tu, kalau nak kira bulu biri-biri lima ekor,” jawab aku selamba.

Terdengar Q mendengus di hujung talian.

Marahlah tu. Hati dah mula nak sayu bila Q buat perangai macam ni. Tapi kawal dulu. Masih boleh tahan. Relax brader, brader relax. Tak payah nak perempuan sangat dengan Q. Nanti tak memasal dia menyampah dekat aku.

“Kenapa diam? Membazir je kredit jalan tapi tak cakap,” aku cuba memprovokasi Q. Al-maklumlah, mamat Q ni kedekut orangnya. Nak telefon aku dekat seberang laut ni pun berkira. Ni dia telefon tiba-tiba kira macam bulan jatuh ke riba. Tapi bila dia diam, aku pulak rasa bersalah.

Q diam lagi. Aku pun diam. Sepi.

Sejak akhir-akhir ini, aku rasa Q dah banyak berubah. Dia dah ada orang lain ke? Atau dia dah tak sanggup tunggu aku? Atau aku je yang rasa macam tu sedangkan Q tetap sama macam Q yang aku kenal dulu?

“L,” suara Q jelas menampar gegendang telinga aku sekaligus memadamkan semua soalan-soalan negatif yang baru aku reka sebentar tadi dalam otak.

“Hmm.”

“Aku rasa, aku dah tak boleh nak tunggu kau L.”

Sepi.

Mungkin aku dan Q perlu masa. Atau aku sudah terlalu lama buat Q menunggu sampai Q rasa jemu? Atau mungkin masa yang mencemburui kami? Atau cinta kami ditelan masa?

“Kenapa?” soal aku teragak-agak. Takut untuk mengetahui cerita sebenar dan takut untuk menghadapi kenyataan yang Q dah tak cintakan aku.

Sepi lagi.

Aku kuatkan hati. Harus mendengar semua alasan Q supaya aku tak benci dekat dia. Supaya aku tak pernah sakit hati dengan dia.

“Beb, kita kan kawan, kau tak pernah berahsia dengan aku. Ceritalah. Main Hoon Na,” ujar aku berlagak tenang.

Lama baru aku dengar Q bersuara.

“Ada satu officemate aku ni,” Que berjeda di situ. Mungkin nak pancing reaksi aku.

“Ha, kenapa dengan dia?”

Berdebar juga tunggu Q cerita ni. Mengalahkan tengok cerita thriller dekat wayang pula. Mungkin lebih thrillkisah Tunggu Sekejap aku dengan Q ni sebab aku watak utamanya, aku heroin, Q heronya.

“Dia kata dia suka dekat aku. Tapi aku tak bagi respond lagi,” ujar Q lambat-lambat.

Kalau dalam cerita thriller dah ada efek bunyi cemas.

“Dah tu kau suka dia tak?”

Q diam. Sebab Q diam lama, aku rasa aku yang kena cakap meskipun pahit.

“Kalau kau suka dekat dia, cakaplah terus-terang. Aku tak ada apa hal,” ujar aku meyakinkan Q.

“Tapi L…”

Jeda.

“Aku takut kau tak ada tempat nak mengadu lagi kalau aku dah tak ada. Aku takut kalau kau ada masalah, kau tak ada tempat nak share. Aku takut kalau aku tinggalkan kau, kau tak scoreuntuk ujian finalkau. Aku takut kalau aku mintak putus dengan kau, kau akan terjun bangunan,” luah Q satu nafas.

Aku yang dengar ni pun tarik nafas berkali-kali. Banyaknya ketakutan Q pada aku. Dah macam antologi Fobia keluaran Roman je. Walaupun hati aku betul-betul terhiris, remuk, berkecai bila dengar kenyataan Q dah ada perempuan lain tadi, aku masih cuba kawal perasaan lagi.

“Tapi kau suka perempuan tu kan?” soal aku kali kedua.

Q tidak mengiyakan. Tidak juga menidakkan soalan aku yang lebih kepada pernyataan.

“Pergilah dekat dia. Aku okey je,” ujarku bersahaja.

Air mata yang dari tadi aku tahan mengalir membasahi pipi. Aku tahu aku hipokrit. Tapi aku buat semua ni untuk Q.

“Janji dengan aku, kau tak akan benci aku?” pinta Q sebelum memutuskan talian.

Aku mengangguk perlahan. Macam mana aku nak benci kau Q kalau hati aku sentiasa cintakan kau sebelas tahun ni?

*****

Surat untuk Naqiuddin,

Sedang aku meniti hari-hari tanpa kau, aku selalu berfikir kau di sana setia menanti aku tanpa jemu. Ternyata ketiadaan aku di sana, suatu kesunyian buat kau. Aku percaya pada gerak hati, bahwa kau ada yang lain. Cuma aku kesal kerana aku terlewatkan hal terpenting yang terjadi pada kau. Kerana aku tenggelam dalam kesibukan hidup aku sendiri.

Tahniah buat engkau Q. Terima kasih kerana menjadi seseorang yang sabar buat aku. Sabar menunggu aku hingga hari ini. Cuma aku ingin bertanya pada engkau…

Q, bisakah kau Tunggu Sekejap?

Atau bisakah kau tunggu aku sedikit lebih lama?

Kerana saat ini aku tidak sanggup kehilangan engkau.

Kerana saat ini aku menyesal membiarkan kau mencintai orang lain selain diri aku.

Aku yang kesal,

Earlyta.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.