Cerpen : Aireen
Oleh : Isha Idiaz
*****
AIREEN
duduk di atas kerusi goyang itu sambil menikmati pemandangan laut yang terlihat
jelas dari chaletnya. Memang tidak dapat dinafikan. Indah ciptaan Tuhan. Angin
sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipinya yang putih bersih itu.
Azmal melihat Aireen sambil tersenyum.
Secawan mug berisi Milo panas dibawa
bersama. Perlahan dia merapati Aireen yang leka melihat burung-burung camar
terbang di awan waktu itu.
“Drinks
for you,” ujar Azmal sambil meletakkan mug
berisi Milo tadi. Tangan kirinya dilingkarkan di bahu Aireen sambil mengelus
lembut rambut isterinya itu.
Aireen menoleh. Sekuntum senyuman
terukir di bibirnya.
“Terima kasih,” ujar Aireen lembut.
“Kasih diterima,” Azmal membalas
lembut.
Aireen menyandarkan kepalanya di
bahu Azmal apabila lelaki itu duduk disebelahnya. Dia merasa selamat bersama
lelaki ini.
“Abang…” lirih suara Aireen
memanggil Azmal.
“Hmm...”
“Terima kasih sebab abang sudi
menjadi suami Aireen,” ujar Aireen sayu. Berkaca kolam matanya waktu itu.
Dadanya sebak tiba-tiba. Entah kenapa.
Azmal merangkul erat pinggang Aireen
ke dakapannya.
“Terima kasih juga sebab sayang sudi
menjadi isteri abang.”
Sebuah kucupan hinggap di dahi sang
isteri.
Bahagia. Mereka ditakdirkan bersama.
Perkenalan singkat membawa mereka ke jinjang pelamin pada akhirnya.
*****
MALAM sudah
melabuhkan tirainya. Peluh membasahi dahi Aireen. Satu-persatu kenangan silam
menghantui fikirannya. Aireen berlari ke sudut bilik. Dia duduk menyorok di
situ. Di balik langsir. Badannya menggigil. Jantungnya berdegup laju. Kedengaran
derap kaki menuju ke bilik itu. Aireen semakin takut. Dipegang kepala lututnya
kuat.
“Aireen…” Suara di luar memanggil
namanya.
Aireen diam tidak berketik. Tidak
menjawab panggilan itu. Dia masih duduk di sudut bilik itu ketakutan.
“Aireen…” Sekali lagi suara di luar
memanggil namanya.
Aireen menekup telinga dengan kedua
tangannya. Satu-persatu peristiwa lama menghantui kembali dirinya.
“Aireen, buka pintu ni sayang. Abang
nak masuk,” pujuk suara di luar.
Kedengaran tombol pintu dipulas dari
luar. Aireen tidak tentu arah. Semakin lama, semakin keras tombol pintu itu
cuba dibuka dari luar.
“Jangan masuk! Jangan masuk!” laung
Aireen dari dalam.
“Aireen kenapa sayang? Aireen sakit
ke?”
Aireen sudah menjerit-jerit dari
dalam. Azmal sudah tidak senang hati di luar. Mundar-mandir lelaki itu di luar
apabila mendengar isterinya menjerit dari dalam. Dan akhirnya suara Aireen
sudah tidak kedengaran.
Langkah kaki Azmal terhenti.
Cepat-cepat dia merapati pintu bilik.
“Aireen!” laung Azmal dari luar.
Tiada respons. Azmal merempuh pintu
bilik dari luar.
“Aireen!” jerit Azmal apabila
melihat Aireen kaku di sudut bilik. Cepat-cepat dipeluk tubuh Aireen yang keras
dan dingin itu. Tangannya menggosok-gosok badan Aireen berharap dapat
memberikan kehangatan kepada isterinya itu.
“Ya Allah… Kenapa ni sayang?” lirih
suara Azmal. Tubuh isterinya itu digendong. Dia harus membawa isterinya ke
hospital.
*****
AIREEN merenung
ke luar jendela. Air mata menitis lagi buat kesekian kalinya. Dia tidak boleh
hidup begini. Suara tangis yang mulanya perlahan semakin jelas kedengaran.
Terhenjut-henjut bahu Aireen menahan tangisannya.
Azmal menjenguk dari pintu. Ini
pertama kali Azmal melihat Aireen seperti itu. Azmal menyandarkan badannya ke
dinding. Rambutnya yang jatuh ke dahi dikuak ke belakang. Kelibat Doktor Rabiah
menarik perhatiannya. Cepat-cepat Azmal mengikuti doktor itu dari belakang.
“Doktor, boleh saya tahu apa sakit
isteri saya?” soal Azmal ingin tahu.
“Encik Azmal boleh ikut saya ke
bilik sekejap?” Doktor Rabiah meminta persetujuan.
Azmal mengangguk dan mengikuti
langkah Doktor Rabiah.
“Silakan duduk Encik Azmal,” pelawa
Doktor Rabiah.
Azmal terus duduk tanpa membuang
masa. Dia ingin tahu apa yang terjadi pada Aireen isterinya.
“Encik Azmal, saya ingin tanya Encik
Azmal beberapa soalan,” ujar Doktor Rabiah tenang. Wanita itu menyandarkan
badannya ke kerusi.
Azmal mengangguk laju. Apa sahaja
maklumat yang dia tahu dia akan kongsikan dengan doktor ini agar dia tahu apa
sakit yang dialami oleh Aireen.
“Sudah berapa lama Encik Azmal
bernikah dengan Puan Aireen?”
Azmal tidak tahu jika soalan ini ada
kaitan dengan penyakit Aireen. Namun, jika doktor sudah bertanya, pasti ada
kaitannya.
“Baru seminggu doktor. Dan kami
sedang berbulan madu sekarang ini,” ujar Akmal jujur.
“Hmmm. Maafkan saya ya Encik Azmal
jika soalan ini agak kasar kedengarannya. Tetapi kalau tidak keberatan, boleh
saya tahu, sudah berapa kali Encik Azmal menyentuh isteri encik?”
Azmal terkedu. Namun dia menjawab
juga pertanyaan doktor itu.
“Belum pernah doktor.”
Azmal melihat Doktor Rabiah membuka medical record yang tertera nama Aireen
di hadapannya. Tidak berapa lama selepas itu, Doktor Rabiah meletakkan kembali medical record itu di sudut meja.
“Encik Azmal, saya berharap Encik Azmal
dapat menerima berita yang saya sampaikan ini dengan sabar,” ujar Doktor Rabiah
tenang.
Dada Azmal sudah berdebar. Mahu saja
dia menjerit saat itu.
“Encik Azmal, Puan Aireen isteri
encik mengalami genophobia,” terang
Doktor Rabiah.
“Genophobia?”
soal Azmal inginkan kepastian.
“Ya,” ujar Doktor Rabiah.
Dan setiap penjelasan yang keluar
dari mulut Doktor Rabiah setelah itu umpama kaca yang merobek-robek hatinya.
Hancur hatinya mendengar penjelasan Doktor Rabiah. Namun apakan daya, dia juga
mencintai Aireen. Walaupun hatinya sakit, dia harus membantu isterinya itu. Ya,
isterinya.
*****
AIREEN,
gadis itu gadis pertama yang dikenalinya menerusi seorang teman. Gadis kecil
molek yang tidak banyak bicara. Yang hanya bicara apabila ditanya. Gadis yang seolah-olah
hidup dalam dunianya sendiri.
“Aireen,” bisik Azmal lembut ke
telinga isterinya.
Aireen menoleh. Secalit senyuman
mekar di bibirnya. Azmal membalas senyuman Aireen. Pesanan Doktor Rabiah
kembali menerjah mindanya.
“Encik Azmal, genophobia adalah ketakutan fizikal atau psikologi tentang hubungan
seksual atau persetubuhan.”
Berkerut
dahi Azmal mendengar penjelasan Doktor Rabiah.
“Tadi
Encik Azmal beritahu encik dan Puan Aireen sedang berbulan madu bukan? Tetapi
Encik Azmal belum pernah menyentuh Puan Aireen?”
Azmal
mengangguk mengiakan kata-kata Doktor Rabiah.
“Jadi, basically pesakit dengan genophobia biasanya datang ke kami
dengan sejarah persetubuhan yang menjadikan mereka trauma seperti mangsa rogol,
mangsa cabul, orang yang pernah melakukan sumbang mahram ataupun mereka yang
tidak mempunyai keyakinan diri atau bimbang terhadap sesuatu.”
Azmal
menundukkan kepala.
“Dalam
kes Puan Aireen ini, kami syak Puan Aireen pernah menjadi mangsa perkosaan
sebelum Puan Aireen menjadi isteri Encik Azmal,” jelas Doktor Rabiah.
“Kami
telah melakukan pemeriksaan dan kami dapati hymen
atau selaput dara Puan Aireen sudah terobek.”
Azmal
tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Hatinya hancur. Benar-benar
hancur. Aireen tidak pernah memberitahunya mengenai hal ini sebelum mereka
bernikah.
Azmal
memeluk erat tubuh Aireen dalam dakapannya.
‘Kenapa
sayang tak pernah beritahu abang? Sampai bila sayang nak simpan seorang rahsia
ini?’ bisik hati Azmal.
*****
DOKTOR Rabiah memeriksa Aireen pagi
itu. Setelah memberikan nasihat kepada Aireen, Doktor Rabiah meminta diri untuk
memeriksa pesakitnya yang lain. Belum sempat Doktor Rabiah berlalu, tangan
Aireen lebih cepat menyambar tangan doktor itu. Tangan Doktor Rabiah dipegang
kejap.
“Doktor,”
ujar Aireen perlahan.
Doktor
Rabiah menoleh. Tangan Aireen disambut. Wanita itu mengangguk.
“Suami
saya dah tahu?” soalan itu keluar dari mulut Aireen.
Doktor
Rabiah memaut bahu Aireen ke dalam dakapannya.
“Awak
sudah lama menyimpan rahsia ini seorang diri Puan Aireen. Tak salah jika Puan
mahu berkongsi dengan Encik Azmal. Saya yakin Encik Azmal faham situasi Puan.
Berterus-terang lebih baik daripada Puan pendamkan perasaan itu sendiri.”
Air mata
Aireen mengalir lagi. Deras. Doktor Rabiah mengusap lembut bahu wanita itu.
Semoga Allah berikan Aireen kekuatan menghadapi ujian ini.
*****
AIREEN
mengambil
sebatang pen dan beberapa helai kertas. Untuk bertemu dengan Azmal, dia tidak
punya kekuatan. Bukan sahaja kekuatan, malah dia rasa teramat malu. Dia
bukannya isteri yang sempurna buat Azmal.
Jari-jemari
Aireen berlari laju di atas kertas itu. Mencoret semua yang harus dia beritahu
kepada Azmal selama ini. Seharusnya sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Dan
untuk menyingkap kembali semua memori tersebut, Aireen terpaksa bermandi air
mata.
“Hei
perempuan!” jerit seorang lelaki di hujung jalan. Aireen tidak menoleh. Dia
tahu lelaki itu lelaki yang menganggu perempuan di perhentian bas tadi. Namun
kerana Aireen mengherdik lelaki itu di hadapan orang ramai, lelaki itu terus
menghentikan perbuatannya yang memalukan itu. Dia tidak sangka lelaki ini
mengekorinya sekarang.
Hari
semakin gelap. Aireen mempercepat langkah kakinya. Lorong menuju rumah sewanya
ini agak sunyi. Kebanyakkan rumah juga tidak berpenghuni. Badannya berkeringat
dingin.
“Kau
fikir kau superwomen?” lelaki itu
melaung dari jauh.
Aireen
tidak betah untuk berjalan saat ini. Lelaki itu masih mengekorinya dari
belakang. Aireen berlari sekuat hati. Namun dia dapat dengar derapan kaki
lelaki itu semakin menghampirinya.
Belum
sempat Aireen mengunci pintu rumahnya, lelaki itu lebih dulu menolak pintu
tersebut hingga Aireen jatuh terduduk di sudut ruang tamu rumahnya. Badannya
menggigil. Dia takut melihat senyuman lelaki yang tidak dikenalinya itu.
“Keluar!”
jerit Aireen kuat.
“Kalau
aku tak nak keluar macam mana?” soal lelaki itu dan merapati ke arah Aireen.
Aireen
semakin tidak tentu arah. Dia ketakutan. Lelaki itu ketawa berdekah-dekah.
“Kau kan
superwomen. Takkan sekarang takut
kot. Perempuan tadi tu tak adalah cantik sangat pun. Kau lagi cantik. Badan kau
ni buat aku rasa lapar,” ujar lelaki itu.
Melihat
Aireen yang ketakutan, lelaki tersebut semakin berani mendekati Aireen dan
akhirnya tubuh Aireen berada dalam dakapannya. Aireen menolak sekuat hati namun
tenaganya tidak sekuat mana.
Lelaki
itu menggendong Aireen. Tubuh Aireen dilempar ke atas sofa di ruang tamu itu.
Satu-persatu pakaian Aireen ditanggalkan. Aireen tidak mampu melawan. Akhirnya
Aireen tewas ditangan lelaki bernafsu haiwan itu.
Lelaki
itu tersenyum puas melihat Aireen yang menangis teresak-esak di sudut ruang
tamu tanpa sehelai urat benang pun di tubuhnya.
“Aku
suka kau. Sedap. Kalau tak ada orang nak kahwin dengan kau, kau telefonlah aku.
Aku boleh kahwin dengan kau setiap malam,” ujar lelaki itu kuat. Tawanya yang
kuat itu menyakitkan telinga.
Aireen
melempar apa sahaja yang dapat dicapai oleh tangannya waktu itu sehingga lelaki
itu meninggalkannya di rumah sewanya itu. Dia benci lelaki itu.
Aireen
menghela nafas panjang. Pen yang dipegang sejak tadi diletakkan di atas meja
setelah dia meletak tanda noktah di hujung ayat dalam surat itu. Air mata yang
dari tadi mengalir diseka dengan hujung baju. Perlahan Aireen melipat kertas
itu dan memasukkan ke dalam sebuah sampul surat.
Beg yang
sudah siap dikemas diangkat. Cadar yang sedikit renyuk ditegangkan kembali.
Bantal kepala disusun rapi. Sampul surat tadi diletakkan di atas katil. Aireen
sudah mengambil keputusan. Dia harus meninggalkan hospital ini. Dan dia juga
harus meninggalkan Azmal.
*****
SEPUCUK surat ditemukan oleh Azmal di
atas katil Aireen di hospital itu. Sewaktu dia masuk ke wad itu, dia lihat
katil Aireen sudah kosong. Cepat sampul surat itu dikoyakkan. Surat dengan
tulisan tangan Aireen itu dibaca dengan berhati-hati.
Assalammualaikum
abang,
Semoga abang sihat hendaknya. Maafkan
Aireen kerana tidak pernah berterus-terang dengan abang sebelum kita menikah.
Aireen tidak berniat nak menipu abang. Apa lagi nak buat abang kecewa. Aireen
cuma tidak punya kekuatan untuk berhadapan dengan abang dan beritahu abang
tentang hal ini. Mungkin abang sudah tahu duduk perkara sebenarnya. Namun, di
sini Aireen tidak mahu menjadi seorang yang pengecut juga. Jadi Aireen harap
abang dapat baca isi surat ini hingga akhir kerana di sinilah bermula semua
cerita.
Azmal
melepaskan keluhan setelah membaca keseluruhan isi surat yang ditulis oleh
Aireen. Air mata lelakinya menitis juga. Dia merasa bersalah. Memang awalnya
apabila Doktor Rabiah memberitahunya mengenai Aireen, hatinya hancur.
Fikirannya mula menuduh macam-macam terhadap Aireen. Namun setelah membaca
surat ini, Azmal merasa dia yang tidak adil kerana telah menghukum Aireen tanpa
mengetahui cerita sebenar.
Azmal
berlari ke tempat parkir kereta. Dia harus segera mendapatkan Aireen. Dia harus
meminjamkan sedikit kekuatan buat isterinya itu. Teringat pesan Doktor Rabiah
agar dia menjaga Aireen baik-baik memandangkan keadaan emosi isterinya itu
susah difahami.
Setelah
dua puluh minit meredah jalan raya, akhirnya Azmal memakirkan keretanya di
tempat parkir. Tanpa berlengah, Azmal berlari menuju ke chalaet yang mereka
duduki sepanjang tempoh bulan madu ini. Pintu chalet dibuka.
Azmal
mencari Aireen di setiap ruang. Tidak ada. Di mana lagi harus dicari Aireen
jika isterinya tidak ada di chalet itu. Azmal buntu. Sehingga bayu laut
berpuput lembut menampar wajahnya. Azmal memandang ke arah balkoni. Dia melihat
Aireen berdiri di situ.
Pantas
Azmal berlari mendapatkan Aireen. Tubuh Aireen dipeluk perlahan dari belakang.
Aireen terkejut namun setelah melihat wajah Azmal, dia membiarkan pelukan itu.
“Maafkan
abang sayang,” bisik Azmal di telinga Aireen.
Aireen
menoleh ke belakang. Wajah Azmal di tatap penuh kasih.
“Maafkan
sayang sebab tak pernah berterus-terang dengan abang,” ujar Aireen sebak.
Cepat
Azmal meletakkan jari telunjuknya di bibir Aireen.
Pinggang
Aireen dirangkul erat. Kedua-duanya masuk ke dalam chalet. Pintu chalet di
tutup rapat. Langsir tingkap juga ditutup rapat. Malam ini harus menjadi milik
mereka tanpa gangguan sesiapa. Aireen harus dibantu dalam apa jua cara. Azmal
akan memberikan malam yang terindah buat Aireen agar isterinya itu dapat
melupakan semua kisah berdarah dalam hidupnya. Paling penting, istilah genophobia itu dapat dihilangkan dari
kamus hidup Aireen.
“Aireen takut
abang,” bisik Aireen.
“Kan
abang ada,” ujar Azmal sambil merangkul erat tubuh Aireen dalam pelukannya.
*****
©Hak
Cipta Terpelihara : Isha Idiaz